Translate

Tajaan

Sabtu, 22 Januari 2011

Mona Fandey 5

Episode XVII "Sambungan Keterangan Juraimi 3"

AKU sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin ketika membela diri pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Dalam keterangannya, tertuduh pertama ini memberitahu dia tidak berniat membunuh Datuk Mazlan Idris. Tapi kenapa dia bunuh juga. Adakah dia kesal dengan perbuatannya. Aku tak mahu ceritakan, tapi baca cerita ini sampai habis.

Peguambela Juraimi, Karam Singh Bahl ketika menyoal Juraimi ingin tahu apa yang berlaku seminggu selepas pembunuhaan Datuk Mazlan.

JURAIMI: Sepupu Datuk Mazlan datang ke rumah itu (tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub)?

Episode XVIII "Penyesalan Juraimi"

AKU sambung lagi keterangan membela diri Mohd Juraimi Husin di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Dia disoal peguambelanya Karam Singh Bahl dalam perbicaraan kes membunuh Datuk Mazlan Idris. Salam keterangan kali ini dia menceritakan perasaannya ketika melakukan pembunuhan terhadap Mazlan Pendekkan cerita kau orang bacalah keterangannya.

KARAM: Sepanjang tinggal dengan Mona selama satu tahun lapan bulan, adakah Juraimi tidak teringat untuk pulang ke kampung?

JURAIMI: Tidak.

KARAM: Tolong cerita dengan mahkamah, mengapa tak balik?

JURAIMI: Ikut hati nak balik, tapi tak berdaya hendak balik kerana Affandi control (kawal) semua. Dia tak kasi (beri) saya balik, saya nak telefon kampung pun tak kasi. Saya ikut arahan dia, dia tak kasi balik, saya tak baliklah.

KARAM: Apakah hubungan Datuk Mazlan dengan Mona dan Affandi. Apa istimewanya mereka hingga Datuk Mazlan sanggup berjumpa mereka?

JURAIMI: Datuk jumpa Affandi supaya dia (Mazlan) dijadikan Menteri.

KARAM: Mengapa hendak jumpa Affandi jadi Menteri, dia bukan orang politik?

JURAIMI: Affandi dan Mona memang bukan orang politik, tapi dia seorang bomoh.

KARAM: Bagaimana Juraimi tahu?

JURAIMI: Saya tahu, Affandi ada satu bilik. Dalam bilik itu ada banyak barang pemujaan.

KARAM: Di mana bilik itu?

JURAIMI: Di setiap rumah yang Affandi dan Mona tinggal, ada bilik pemujaan.

KARAM: Bagaimana, Juraimi tahu?

JURAIMI: Masa itu di Kijal, Terengganu, dia ada ubatkan orang sakit.

KARAM: Adakah Juraimi seorang bomoh.

JURAIMI: Saya tidak.

KARAM: Ada belajar jadi bomoh?

JURAIMI: Ada juga dia ajar sikit-sikit jadi bomoh.

KARAM: Cara macam mana?

JURAIMI: Macam pemujaan. Ada ayat yang mesti dihafal.

KARAM: Ada Juraimi tahu cara mandi bunga?

JURAIMI: Cara mandi bunga dan bacaannya saya tak tahu.

KARAM: Cara mandi ubat?

JURAIMI: Itu pun saya tak tahu.

KARAM: Ada Mona dan Affandi berbincang dengan Juraimi apa yang hendak dibuat terhadap Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bincang atau beritahu?

JURAIMI: Beritahu.

KARAM: Apa niat mereka terhadap Datuk Mazlan?

JURAIMI: Mereka beritahu: Tunggu Datuk datang bawa duit, baru kita bunuh.

KARAM: Ada niat untuk tarik daripada terbabit dengan rancangan itu?

JURAIMI: Ada, tapi tak berdaya.

(Mona yang duduk bersebelahan Affandi di kandang tertuduh ketawa dan berbisik sesuatu kepada suaminya).

KARAM: Ada niat nak bunuh Datuk Mazlan?

JURAIMI: Saya memang tiada niat nak bunuh Datuk kerana saya dengan Datuk biasa saja.

KARAM: Jika pada hari kejadian, kamu seorang diri tanpa Mona dan Affandi ada di situ, adakah kamu akan bunuh Datuk Mazlan?

JURAIMI: Kemungkinan besar tidak.

KARAM: Apa yang menyebabkan Juraimi lakukan pembunuhan itu?

JURAIMI: Saya kira, tidak ada perasaan, hilang akal.

(Mona dan Affandi sekali lagi tersenyum mendengar ayat yang terkeluar dari mulut Juraimi itu. Ikmal Hisham (seorang lagi peguambela Juraimi) kemudian bangun dan menyoal Juraimi).

IKMAL: Kamu kata tadi, sejak ikut Mona dan Affandi ada niat untuk melarikan diri, tapi tak berdaya. Mengapa?

JURAIMI: Ada terfikir untuk balik ke kampung, tapi tak terdaya. Affandi halang saya.

IKMAL: Halang macam mana?

JURAIMI: Affandi bagi tahu, tak boleh balik, sebab takut semua rahsia terbongkar. Semua rahsia ada dalam tangan saya.

IKMAL: Ada peluang untuk lari?

JURAIMI: Memang ada.

IKMAL: Mengapa tak lari?

JURAIMI: Apabila nak lari, nak melangkah, macam ada orang halang.

(Mona dan Affandi yang berdiam diri kelihatan berbisik-bisik dan kemudian kedua-duanya ketawa).

IKMAL: Ketika ditahan di Balai Polis Raub, Juraimi ada disoal-siasat.

JURAIMI: Memang saya tak tahu apa yang berlaku. Mereka (polis) pukul macam mana pun saya tak tahu.

IKMAL: Adakah Juraimi mahu melindungi Mona dan Affandi atau tak tahu?

JURAIMI: Memang benar saya tak tahu, bukan untuk melindungi mereka.

IKMAL: Juraimi ada kata pada malam menjelang 22 Julai 1993 selepas Affandi memegang bahu baru teringat semua. Mengapa?

JURAIMI: Selepas malam menjelang 22 Julai 1993 dan selepas Affandi pegang bahu, baru saya boleh ceritakan segalanya. Baru saya tersedar dan boleh ceritakan. Perasaan saya dah seperti biasa, dah normal seperti apa yang saya ceritakan di mahkamah sekarang.

IKMAL: Juraimi tak menyesal dengan perbuatan itu (pembunuhan)?

JURAIMI: Menyesal memang ada.

IKMAL: Menyesal macam mana?

JURAIMI: Menyesal bunuh orang.

Dalam siri ke-19 aku akan ceritakan kehandalan pasangan bomoh ini buat tangkal, azimat dan tongkat sakti. Apa yang aku hairan ada orang percaya dan beli dengan harga mahal.

Ish ish ish....
susah nak percaya.

Episode XIX "Madziana"

NAMPAKNYA cerita aku ni tak boleh ditutup pada siri ke-20. Ada banyak lagi yang engkau orang nak tahu. Yahlah, tu baru cerita Mohd Juraimi Husin, tertuduh pertama kes oembunuhan Datuk Mazlan Idris. Engkau orang nak tahu juga cerita Mohd Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey - tertuduh kedua dan ketiga. Mesti mereka ada cerita sendiri untuk membela diri. Aku tak boleh ceritakan panjang lebar. Hanya yang relevan - kata orang Melayu.

Paling penting cerita pada malam pembunuhan itu. Inilah keterangan Affandi. Katanya, sebanyak 21 lilin menerangi Datuk Mazlan Idris ketika dibunuh sewaktu upacara mandi bunga di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 2 Julai 1993.

Lilin itu dipasang oleh Mona Fandey di bilik air, tempat bekas Adun Batu Talam itu mati ditetak dengan kapak oleh Juraimi.

Affandi berkata lilin itu dipasang sebelum dia memadamkan lampu di bilik itu.

"Pemasangan lilin itu adalah amalan biasa dalam upacara mandi bunga yang saya amalkan," katanya di perbicaraan kes bunuh Mazlan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Kes ini berlarutan hingga awal 1995.

Menurutnya, dia nampak Juraimi dengan jelas menetak leher Mazlan dengan kapak sebanyak dua kali dalam sinaran cahaya lilin.

Bagaimanpun, katanya, dia dan Mona tidak dapat menahan Juraimi daripada menetak leher Mazlan kerana tergamam. Affandi berkata, dia hanya nampak kapak pada halkum Mazlan ketika itu dan tidak dapat berbuat apa-apa.

"Saya tiba-tiba mendengar bunyi `rupp' dan kapak sudah berada pada halkum Datuk Mazlan.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu itu bunyi apa dan tidak pasti dari mana ia datang," katanya ketika disoal balas peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal.

Menjawab soalan Karam, Affandi berkata, dia tidak dapat menahan Juraimi daripada menetak leher Mazlan pada kali kedua kerana tergamam.

Lagipun, katanya, dia melihat Juraimi dalam keadaan seperti orang hilang pedoman.

Tertuduh kedua juga mengaku tidak memeriksa sama ada Mazlan hidup atau mati selepas Juraimi menetak leher bekas Adun Batu Talam itu.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia, Mona dan anaknya, Mazdiana, meninggalkan rumah itu selepas diarahkan oleh Juraimi supaya berbuat demikian.

Bagaimana keadaan Mazlan ketika ditetak. Nak tahu kena tunggu lagi. Aku sambung ceritanya.

KARAM: Apa dia buat?

JURAIMI: Dia (sepupu Mazlan) ada cakap dengan saya dan bertanya adakah Datuk datang ke situ?

KARAM: Tahu siapa nama sepupu Datuk Mazlan itu?

JURAIMI: Namanya tidak tahu.

KARAM: Bagaimana Juraimi tahu dia sepupu Datuk Mazlan?

JURAIMI: Dia yang perkenalkan dirinya.

KARAM: Apa Juraimi cakap pada dia?

JURAIMI: Saya jawab: Biasanya Datuk datang seminggu sekali, tapi dah dua minggu dia tak datang.

KARAM: Dia datang sebelah pagi atau petang?

JURAIMI: Pagi.

KARAM: Sebelah petang apa jadi?

JURAIMI: Petang itu, selepas sepupu Datuk balik, saya terus ambil kapak dan parang dan tanam.

KARAM: Masa itu Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan Mona (Maznah Ismail atau Mona Fandey) ada?

JURAIMI: Tiada, mereka ke Kuala Lumpur.

KARAM: Ada Affandi dan Mona balik ke rumah di Kampung Peruas?

JURAIMI: Ada pada 7 atau 8 hari bulan (Julai 1993).

KARAM: Adakah itu kali pertama mereka pulang ke rumah selepas kejadian itu?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Mereka datang seorang atau ada orang lain?

JURAIMI: Seorang itu Tengku Yahya (Abdullah, abang tiri Mona), seorang Cina (pemandu limosin, Tan Teck Seng) dan anak mereka (Mazdiana Affendy). Mereka kemudian masuk dalam rumah.

KARAM: Apa berlaku dalam rumah?

JURAIMI: Affandi terus masuk dalam bilik dia. Mona kemudian panggil saya dan kenalkan dengan Tengku Yahya. Selepas itu, Mona panggil saya ke belakang dan bagi duit. Mula-mula dia beri RM1,000. Kemudian Mona tanya:

"Ada orang datang ke?" Saya jawab: "Ada sepupu Datuk Mazlan." Selepas itu, Mona tanya: "Kau jawab apa?" Saya jawab: "Saya tak tahu dan kata mereka pergi KL." Selepas itu Mona tanya: "Mana kapak, parang dan pistol." Saya jawab: "Saya dah tanam." Kemudian Affandi keluar dari bilik dia dan bertanya kepada saya: "Berapa ibu (Mona) kasi (beri) duit berapa?" Selepas itu Affandi berkata kepada Mona: "Yang (Sayang, panggilan mesra Mona) beri lagi RM500." Selepas itu Mona kata: "RM500 untuk makan dan RM1,000 untuk beri makan itik."

KARAM: Adakah mereka tinggal di rumah itu pada hari itu?

JURAIMI: Mereka terus balik pada tengah hari itu.

KARAM: Kesemua lima orang?

JURAIMI: Semua lima orang.

KARAM: Juraimi tinggal seorang?

JURAIMI: Betul. Sebelum pergi Affandi ada kata pada saya. Dia kata: "Bapak nak ke KL. Bapak nak uruskan hand phone. Seminggu lagi bapak balik."

KARAM: Juraimi ada keluar rumah ketika tinggal seorang diri?

JURAIMI: Pada 12 hari bulan (12 Julai 1993), ketika saya keluar untuk beli makanan burung, saya bertemu sepupu Datuk Mazlan.

Dia tanya: "Affandi dah balik?" Saya jawab: "Belum." Sepupu Datuk Mazlan kemudian berkata lagi: "Saya ada jumpa bomoh di Kuantan. Dia (bomoh) kata Datuk ada bersama Affandi.

"Saya hendak jumpa Affandi untuk tengok di mana Datuk berada."

"Saya nak report (buat laporan) polis, nanti buat awak susah saja."

Selepas itu saya jawab: "Nak report, reportlah, saya tak kisah." Kemudian sepupu Datuk Mazlan kata: "Saya bagi tempoh, kalau Khamis atau Jumaat, Datuk tak balik, saya terpaksa report."

Saya terus ke kedai itu. Selepas itu saya mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur pada hari itu juga.

KARAM: Ada Juraimi ke Kuala Lumpur?

JURAIMI: Ada, saya hendak cari Affandi di KL (Kuala Lumpur). Saya ke KL lebih kurang jam 3 petang pada 12 Julai 1993. Saya cari Affandi sampai jam 11 malam, tapi tak jumpa.

KARAM: Di mana cari Affandi?

JURAIMI: Di kawasan KL. Selepas 11 malam saya ke hotel...hotel apa. (berfikir) Tin Mine Hotel Hilton. Saya ke situ sebab kalau sebelah malam, Affandi biasanya ke situ. Pada 11 malam tak ada, saya ke Klang dan tidur di rumah kawan.

KARAM: Pada esoknya (13 Julai 1993), apa jadi?

JURAIMI: Pada esoknya, saya balik ke Raub direct (terus ke Raub).

Apabila saya balik ke rumah, saya tengok ada orang di rumah dalam satu kereta.

KARAM: Ada berapa orang dalam kereta itu?

JURAIMI: Tiga orang. Saya masuk saja, sepupu Datuk Mazlan pun bertanya: "Mana Datuk?" Saya jawab: "Tak tahu, saya baru balik cari Affandi di KL."

Baru saya hendak releks, sepupu Datuk Mazlan cakap: "Ini adik dia (Mazlan) baru sampai dari KL." Saya cakap: "Saya tak tahulah." Kemudian, ada satu land rover polis datang, tiga anggota polis terus masuk dalam kawasan halaman rumah. Anggota polis itu bertanya: "Mana Datuk pergi?" Saya jawab:

"Saya tak tahu." Anggota polis itu kemudian meminta IC (kad pengenalan) saya, dan saya pun beri IC.

Kemudian anggota polis itu berkata, tak apalah kita cerita dekat balai. Kami pun pergi ke Balai Polis Dong. Di balai, polis tanya lagi, mana Datuk? Saya cakap, tak tahu. Apabila sudah cerita, dia suruh balik kerana pegawai tak ada dan minta saya datang jam 7 malam. Saya balik lebih kurang 3.30 petang. Saya balik ke rumah dan beri makan itik dan pada masa itu sudah jam 7 malam lebih.

Saya kemudian mencari pondok telefon awam dan menelefon Balai Polis Dong memberitahu terlewat tapi anggota di situ memberitahu supaya saya datang juga.

Di Balai Polis Dong, ada seorang datuk Sarjan, namanya saya tak tahu.

(Karam kemudian memanggil Ketua Balai Polis Dong, Sarjan Masara Yuasap dan Juraimi mengecamnya). Dia (Masara) tanya mana Datuk, saya kata saya tak tahu. Kemudian dia menelefon Balai Polis Raub. Kemudian ada dua anggota polis datang dan bawa saya ke Balai Polis Raub. Dalam perjalanan ada seorang Sarjan berkata: "Tak apalah, kita buat kes dadah. "Saya tahu awak tak hisap dadah. Dari muka, saya tahu awak tak hisap dadah." Di Balai Polis Raub, saya masuk lokap. Di lokap, air kencing saya pun tak ambil.

KARAM: Masa di lokap Balai Polis Raub, ada Juraimi disoal-siasat mengenai Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Apa kamu jawab?

JURAIMI: Saya jawab: "Tak tahu. Saya main tak tahu aje."

KARAM: Berapa lama ditahan di Balai Polis Raub?

JURAIMI: Dari 13 hingga 23 Julai 1993. Mengenai kes dadah.

KARAM: Ketika ditahan di Balai Polis Raub, ada jumpa Affandi.

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bila jumpa?

JURAIMI: Di Balai Polis Raub, pada malam 21 Julai menjelang 22 Julai 1993, ada jumpa Affandi.

KARAM: Ada disoal-siasat mengenai Datuk Mazlan?

JURAIMI: Dalam lokap, saya bangun tidur dan Din Mamak (Detektif Lans Koperal Nordin Sadakathullah) ambil saya berjumpa Tuan Mahpop (Penolong Penguasa Mahpop Jaafar).

KARAM: Ada dia soal-siasat kamu?

JURAIMI: Mahpop tanya: "Mana kamu tahan Datuk Mazlan?"

KARAM: Apa jawabnya?

JURAIMI: Mahpop kata: "Saya tahu, semuanya. Affandi pun dah kena tangkap, Mona pun dah kena tangkap. Affandi pun dah ada kereta, Mona dah pakai barang kemas. Mereka mahu menganiaya awak. Baik awak cerita."

(Selepas memberi keterangan ini dan sementara menunggu soalan lanjut Karam, Juraimi memandang jam di dinding mahkamah berhampiran kandang saksi. Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 10.43 pagi. Juraimi tersenyum memberi sesuatu isyarat kepada Karam.)

KARAM: Apa kamu jawab?

JURAIMI: Saya jawab tak tahu. Kemudian (bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah) Datuk Zaman Khan dan Takbir (Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd) masuk ke bilik.

Datuk Zaman Khan pun tanya: "Mana kau tahan Datuk Mazlan?" Saya jawab: "Saya pun tak tahu." Takbir kemudian terus menampar saya dan keluar dari bilik itu. Lima minit kemudian Takbir masuk balik bersama Affandi. Apabila berjumpa, Affandi berdiri di belakang saya dan memegang bahu dan
berkata: "Rong (Gondrong) ini bapak (Affandi). Kau ceritalah, bapak dah cerita segala-galanya.

"Ibu (Mona) pun, dah kena tangkap, adik pun dah kena tangkap. "Saya pun berdiam diri. Apabila Affandi keluar, baru saya teringat apa yang berlaku semuanya. Selepas itu, saya dan Affandi dibawa ke rumah di Ulu Dong pada malam itu juga (menjelang 22 Julai 1993).

(Ketika di rumah itu, polis ditunjukkan lubang, tempat jasad Mazlan serta pistol, kapak dan parang ditanam. Juraimi juga menunjukkan peluru yang dibuang dalam lubang tangki najis)

...kemudian..
...sambung lagi...

Episode XX "Bela Diri"

CERITA pasal Mona Fandey sepatutnya ditamatkan riwayatnya pada episod ini - 20. Tapi, atas permintaan engkau orang aku sambung lagi. Macam sinetron dan telenovela pulak Kali ini aku sambung lagi keterangan membela diri Mohd Affandi Abdul Rahman, tertuduh kedua perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris.

Dalam keterangannya, Affandi memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa darah terpancut ke atas dan percikannya kemudian membuak-buak dengan banyak ke kiri dan kanan ketika leher Datuk Mazlan Idris ditetak dua kali oleh Juraimi Husin pada malam 2 Julai 1993.

Affandi yang duduk di bahagian atas kepala Mazlan sambil meratakan air ke muka bekas Adun Batu Talam itu. Katanya, pada masa itu kepala Mazlan terkulai dalam besen air bunga pada tetakan kali kedua dan darah keluar dengan banyak.

Menurutnya, pada ketika itu dia tergamam dan tidak dapat menahan Juraimi daripada melakukan pembunuhan di bilik air rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub itu.

"Juraimi menetak dengan pantas, sekali tetak, terlekat pada halkum dan tetak sekali lagi.

"Saya tidak nampak Juraimi datang dan hanya nampak kapak sudah berada di halkum Datuk Mazlan," katanya ketika disoal balas peguambela Juraimi Husin, Ikmal Hisam Idris.

Affandi berkata sebagai bomoh dan guru silat, dia tidak mampu menahan Juraimi daripada melakukan perkara itu kerana tergamam.

Lagipun, katanya, dia tidak nampak Juraimi datang ke bilik itu pada masa kejadian.

Tertuduh kedua juga berkata, dia nampak kapak yang digunakan Juraimi kena pada halkum Mazlan dan bukan tempat lain, walaupun gambar jasad Mazlan yang ditunjukkan kepadanya menunjukkan bekas tetakan di bawah dagu mangsa.

Affandi masih mahu menggunakan perkataan halkum dan tidak bersetuju dengan Ikmal bahawa bahagian yang putus itu adalah leher.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian terpaksa menerangkan makna halkum dan leher dengan menunjukkan lehernya sendiri untuk memastikan bahagian mana yang dimaksudkan oleh tertuduh kedua.

Bagaimanapun, Affandi tetap mengatakan halkum walaupun dua keping gambar yang ditunjukkan kepadanya menunjukkan tetakan itu di bawah dagu. Bagaimana keadaan Datuk Mazlan ketika mandi bunga. Affandi menerangkan badan melentang dengan tengkuk dialas dengan batu dan di bawah kepala pula diletakkan besen berisi air serta senjata seperti keris dan kapak kecil. Ini adalah antara peramalan mandi bunga bomoh Affandi dan cara itu juga dibuat ketika dia menjalankan upacara mandi bunga ke atas Datuk Mazlan.

Affandi berkata, mengikut amalannya dia tidak menjalankan upacara mandi bunga dengan orang yang akan dimandikan duduk di atas bangku atau lantai.

Katanya, dia tidak tahu cara orang lain mandi bunga, tetapi mengikut caranya orang yang hendak dimandikan perlu berkedudukan badan melentang dengan tengkok dialas dengan batu.

Affandi berkata demikian ketika menjawab soalan balas Ikmal Hisam.

Ikmal: Encik Affandi, bolehkah mandi bunga dilakukan secara duduk?

Affandi: Cara orang lain, saya tak tahu, cara saya macam itu.

Ikmal: Seseorang yang hendak mandi bunga, boleh duduk atas kerusi atau lantai dan dijirus ke atasnya.

Affandi: Itu bukan cara saya.

Mengikut Ikmal, cara yang diamalkan oleh Affandi dengan kedudukan Mazlan seperti itu pada malam itu bagi memudahkan leher Mazlan dipancung. Bagaimanapun, Affandi menafikannya dengan berkata dengan kedudukan begitu akan memudahkannya mandikan Mazlan.

Bomoh itu dalam keterangan sebelum ini juga berkata Juraimi mematuhi arahannya supaya mengangkat besen dan membuang air di dalamnya pada malam itu.

Katanya, Juraimi juga berkeadaan normal pada ketika itu. Affandi juga tetap dengan pendiriannya bahawa dia tidak nampak Juraimi datang menetak leher Mazlan pada malam itu ketika ditanya sekali lagi oleh Ikmal.

Episode XXI "Tongkat Sakti dan Songkok Hikmat"

CERITA perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 aku teruskan lagi. Kali ini aku nak bawakan keterangan mengenai tongkat sakti dan songkok hikmat.

Ada bertanya apa pentingnya kedua-dua benda itu dalam kes ini. Tentulah penting. Jika tidak, takkan dibawa ke mahkamah. Aku malas nak cerita panjang lebar pasal benda itu. Kalau dah cerita tak syok nak baca nanti.



Tongkat sakti dan songkok hikmat yang diambil dari rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, tempat jasad Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris ditemui pada Julai 1994, tidak boleh dipisahkan. Tongkat dan songkok yang ditemui di rumah pasangan bomoh, Mohd Affandi Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey, yang dikatakan bernilai lebih RM2.5 juta itu mesti dipakai bersama. Perkara itu diberitahu oleh peguambela, Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, ketika memeriksa balas saksi pendakwa ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar. Ghulam Mustaffa juga berkata, tongkat yang kononnya milik Presiden Sukarno itu dibawa dari Indonesia. Tongkat hitam yang panjangnya kira-kira satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak serta songkok hitam lipat itu kemudian dikemukakan di mahkamah dan diterima sebagai barang kes. Mahpop dalam keterangannya berkata, tongkat dan songkok itu diambil oleh Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Ahmad di rumah berkenaan pada 22 Julai 1993. Menurutnya, dia juga pernah melihat kedua-dua barang itu ketika menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan pada 19 Julai 1993. "Saya mendengar cerita tongkat dan songkok itu telah dijual kepada Allahyarham Datuk Mazlan dan saya tidak tahu nilainya," katanya. Ghulam Mustaffa ketika memeriksa balas Mahpop mengenai tongkat dan songkok itu antara lain bertanyakan soalan berikut:

Ghulam: Pada 19 Julai 1993, ketika memeriksa rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, adakah Encik Mahpop menjumpai satu tongkat. (Ghulam kemudian meminta izin Hakim Mokhtar Sidin untuk bertanya sesuatu kepada Affandi). Tongkat itu panjangnya kira-kira satu meter, kedua-dua hujungnya disalut perak.

Mahpop: Saya ada nampak.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, bahawa tongkat itu...
(Ghulam terhenti seketika untuk memikirkan perkataan sesuaiuntuk menunjukkan kepentingan tongkat itu. Pada ketika ini, hakim mencelah).

Hakim: Tongkat hikmat...

Ghulam: Satu tongkat sakti yang tidak dapat dimiliki dengan wang ringgit. Bilakah Takbir ambil tongkat itu? Mahpop: Pada 22 Julai 1993.

Ghulam: Tongkat sakti... (belum sempat Ghulam meneruskan ayat itu hakim sekali lagi mencelah).

Hakim: Saya catatkan tongkat saja, saktinya sudah hilang.

Ghulam: Ada satu lagi barang berharga. Adakah Encik Mahpop nampak satu songkok?

Mahpop: Ada.

Ghulam: Apa warnanya.

Mahpop: Hitam.

Ghulam: Songkok itu berlipat?

Mahpop: Jenis lipat.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, itu adalah songkok hikmat dan songkok sakti seperti yang dikatakan oleh hakim?

Hakim: Saya tak kata.

Mahpop: Bagi saya, ia adalah songkok biasa. Sehingga hari ini, saya tidak tahu hikmatnya. Begitu juga dengan tongkat itu.

Ghulam: Tadi kata tahu.

Mahpop: Saya hanya dengar cerita.

Ghulam: Tahukah Encik Mahpop, tongkat dan songkok itu tidak boleh dipisahkan. Mesti pakai bersama-sama.

Mahpop: Ya.

Ghulam: Adakah Encik Mahpop pegang dan belek tongkat itu?

Mahpop: Ada, tapi biasa saja. Tongkat sakti itu juga dikatakan mengandungi dua besi hikmat. Besi kuning dan aji dalam tongkat hitam sepanjang kira-kira
satu meter dengan hulu dan pangkalnya disalut perak itu juga dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri. Ghulam Mustaffa memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kedua-dua besi hikmat itu yang disimpan di hulu tongkat itu sudah hilang.

"Tongkat ini sudah dibuka," katanya sambil membuka dan menunjukkan hulu tongkat itu.

Peguambela itu memberitahu demikian ketika menyoal balas saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Takbir juga menafikan kenyataan Ghulam bahawa dia telah berbuat sesuatu kepada tongkat itu, termasuk membuka hulu dan melihat isi kandungannya.

Bagaimanapun, pegawai polis itu mengaku ada membelek-belek songkok hikmat hitam yang ditemui di tempat yang sama, tetapi tidak nampak ayat-ayat ikal seperti yang dinyatakan oleh Ghulam Mustaffa.

Ditanya oleh Ghulam Mustaffa sama ada dia mengetahui keistimewaan tongkat dan songkok itu katanya: "Saya tidak nampak apa-apa keistimewaan pada tongkat dan songkok itu."

Takbir juga berkata, dia diberitahu oleh Penolong Penguasa Mahpop Jaafar, bahawa tongkat itu milik Mazlan.

Pegawai polis itu mengambil tongkat dan songkok berkenaan pada 22 Julai 1993 selepas diberitahu mengenainya oleh tertuduh kedua.

Kedua-dua barang itu kemudian disimpan di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur sehingga diserahkan kepada Mahpop pada 11 Ogos 1993. Cerita ini tak habis lagi. dalam siri seterusnya akan dipaparkan
gambar Datuk Mazlan

Episode XXII "Allahyarham Datuk Mazlan"

RAMAI yang ingin menetap wajah Datuk Mazlan Idris (gambar bawah). Puas mencarinya. Dalam internet tak jumpa. Nasib baik dalam keratan akhbar lama ada satu saja gambarnya. Itu pun hitam putih. Teringat album Hitam Putih Kehidupan yang dirip dan sudah diupkan dalam laman sezali.



Oklah aku sambung lagi cerita pasal tongkat dan songkok yang dikatakan mempunyai sakti. Pasti ada bertanya mengapa kedua-dua benda itu dikatakan begitu berharga. Tertuduh kedua kes pembunuhan Datuk Mazlan, Mohd Affandi Abdul Rahman memperolehi tongkat dan songkok yang dikatakan peninggalan Presiden Sukarno, Indonesia kerana rapat dengan ahli pondok dan kiai di Jawa Barat, Indonesia. Menurutnya, dia juga pemegang amanah Dana Aliran Wang Bantuan di tiga pesantren (pondok) di kawasan itu.

"Saya selalu membantu pesantren. Dari situlah saya mencari wang membantu pesantren seperti membina atau membesarkan musolah (masjid) serta untuk kegunaan pasentren. "Saya juga murid kiai di tiga-tiga pesantren," katanya.

Affandi berkata, dia memberitahu demikian ketika Datuk Mazlan ke rumahnya di Tanjung Lumpur, Kuantan pada 1993 untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keistimewaan songkok dan tongkat itu.

Menurutnya, dia juga memberitahu Mazlan, harga songkok dan tongkat serta azimat itu ialah RM2.5 juta. Katanya, barang-barang itu pernah ditawarkan kepada seorang kerabat diraja Negeri Sembilan, Tengku Hishamuddin Tengku Laksaman Nasir tetapi tiada jawapan mengenainya.

"Saya juga memberitahu Datuk Mazlan, dia perlu membayar cengkeram RM500,000 jika mahu barang-barang itu," katanya.

Affandi berkata, Mazlan hendak sangat barang-barang itu kerana telah lama mendengar mengenai keberkesanannya.

Katanya, Mazlan mempercayai akan keistimewaan azimat, tongkat dan songkok itu selepas mencubanya sendiri. itu cerita songkok dan tongkat berharga RM2.5 juta. Orang banyak duit aje yang mampu membeli benda itu.
Kalau tongkat dan songkok - kena beli kedua-duanya - beli satu, ilmu tak jadi - mahal, pasangan bomoh Affandi dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey ada jual azimat. Yang ini taklah sampai juta-juta ringgit tapi, hampir RM10,000 juga.

Dalam keteranganny, Affandi memberitahu mahkamah harganya RM7,000 saja. Itulah harga yang diletakkan oleh mereka kepada sesiapa yang ingin mendapatkan satu azimat. Harga itu juga dikenakan oleh mereka untuk memasukkan susuk emas kepada sesiapa yang menghendakinya. Affandi berkata, lebih 700 orang kebanyakannya orang politik `membeli' azimat itu daripadanya ketika mereka tinggal di Teluk Gong, Klang pada 1991.

Menurutnya, azimat itu antara lain boleh menjadikan orang yang memilikinya kebal dan tidak lut dengan senjata tajam. Selain itu, tertuduh kedua mengenakan bayaran mengikut umur kepada mereka yang ingin belajar silat.

"Jika seseorang itu berusia 17 tahun bayarannya ialah RM17, begitulah jika berusia 30 tahun, bayarannya adalah RM30. "Saya mempunyai lebih 5,000 ahli silat sejak tinggal di Kampung Perajurit hingga Kampung Nelayan, Teluk
Gong," katanya.

Affandi juga berkata, ketika di Teluk Gong dia membuka tiga gelanggang silat iaitu di Kampung Perajurit, Kampung Hamid Tuah dan Kampung Nelayan.

Menurutnya, tertuduh pertama, Juraimi Husin akan mengajar silat ketika ketiadaannya.

Affandi mengakui dia dan isteri seorang bomoh ketika tinggal di Teluk Gong.

Katanya, ketika tinggal di Kampung Nelayan, dia mengajar Juraimi membuat minyak burung serta mengenali bahan membuat ubat.

Affandi berkata, dia juga ada membeli rumah di Tanjung Lumpur, Kuantan, untuk menamatkan ilmu `kullhu' yang dituntut oleh Juraimi.

Affandi memberitahu mahkamah dengan mengamalkan lmu `kullhu', Juraimi menjadi kebal hingga boleh makan kaca, kalis asid, kalis senjata dan boleh menidurkan benda bernyawa. Datuk Mazlan dikatakan memiliki tongkat sakti dan songkok hikmat, tetapi mengapa boleh cedera dan mati dengan kapak?

Keputusan Perbicaraan

TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.
HAKIM : DATUK MOKHTAR SIDIN

TEPAT jam 2.31 petang, tujuh juri membuat keputusan sebulat suara bahawa ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes bekas Adun Batu Talam bersalah menyebabkan kematian Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, UluDong, Raub Julai 1993.

Juraimi Husin (tertuduh pertama), Mohd Affandi Abdul Rahman (kedua) danMaznah Ismail atau Mona Fandey (ketiga), dijatuhi hukuman mati mandatori.

Tiada tangisan, tapi senyuman diberikan oleh pasangan bomohMaznah Ismail atau Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman ketika ketua juri memberi keputusan 7-0, bahawa mereka dan Juraimi Husin bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris. Juraimi pula terdiam sambil menahan sebak ketika ketua juri menyampaikan keputusan sebulat suara itu kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin.

Mona dan Affandi yang duduk bersebelahan di kandang tertuduh sempatberbual dan bergurau sebelum keputusan itu dibuat. Selepas keputusan dibuat, Mona masih mampu tersenyum dan menjelirkan lidahnya, sambil tergelak kecil memandang ke arah Affandi yang kelihatan tenang. "I am very happy (saya gembira)," katanya dalam kandang tertuduh ketika ditanya mengenai keputusan itu sejurus hakim membacakan hukuman terhadapnya.

Affandi pula berkata: "Ini keputusan mahkamah, bukan keputusan Tuhan." Affandi sempat mengucup dahi Mona sebelum dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Hakim ketika membacakan hukuman itu berkata:
"Berikut adalah hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu satu
hukuman mandatori. Saya tiada pilihan untuk menjatuhkan hukuman itu seperti berikut.
"Hukuman mahkamah terhadap kamu bertiga ialah kamu akan dibawa dari
mahkamah ini ke penjara yang sah dan kamu akan dibawa ke suatu tempat
di mana hukuman mati, iaitu gantung akan dijalankan."

Affandi, Mona dan Juraimi didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam itu dan dijatuhkan hukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Ketiga-tiga mereka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.
Hakim berkata, mereka berhak merayu secara automatik ke Mahkamah Rayuan, walaupun Mona dan Affandi tidak membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh ketika itu.

Peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal yang membuat rayuan bagi pihak Juraimi selepas Mokhtar membuat keputusannya, berkata Juraimi yang
berusia 23 tahun ketika melakukan pembunuhan itu tidak mendapat pendidikan tinggi, setakat darjah tiga.


Katanya, Juraimi anak kedua daripada enam beradik juga tidak mempunyai pekerjaan.
"Dia juga seorang yang jujur dan taat kepada ibu bapa serta tidak pernah melakukan kesalahan jenayah sebelum ini. Saya merayu kepada mahkamah untuk menimbang nasibnya dalam kesalahan jenayah pertamanya," katanya.

Juraimi pula berkata: "Terpulang kepada jasa baik mahkamah." Peguambela Mona dan Affandi pula berkata, dia diarahkan oleh Mona danAffandi untuk membawa keputusan itu ke Mahkamah Rayuan. Affandi dan Mona berkata, mereka menerima keputusan mahkamah Pendakwa kes bunuh Datuk Mazlan Idris berjaya membuktikan Juraimi, Affandi dan Mona atau Mona Fandey mempunyai niat untuk membunuh bekas Adun Batu Talam itu.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang menggulung kes perbicaraan itu berkata, tiga unsur yang menunjukkan pasangan bomoh itu dan pembantu mereka mempunyai niat untuk membunuh Datuk Mazlan berjaya dikemukakan oleh
pendakwa melalui keterangan saksi.


Katanya, pendakwa membuktikan bahawa unsur pertama iaitu Mazlan mati di
antara jam 10 malam 2 Julai 1993 dan 12 tengah malam 8 Julai 1993 disebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong Raub. Unsur kedua kematian Mazlan adalah disebabkan perbuatan ketiga tertuduh atas niat bersama, sementara unsur ketiga adalah semua tertuduh dengan niat serta pengetahuan menyebabkan kematian Mazlan turut dibuktikan oleh pendakwa, katanya.

Menurutnya, ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat Mohd Mazlan seperti yang disahkan oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital KualaLumpur (HKL), Dr Abdul Rahman Yusof turut membuktikan Mohd Mazlan
dibunuh dengan niat.
Sebaliknya, katanya, pembela gagal mengemukakan keterangan sokongan kepada fakta yang ditimbulkan dalam perbicaraan bagi mewujudkan keraguan munasabah.

Menurutnya, Affandi berkata tongkat sakti dan songkok ajaib berharga
RM2.5 juta mempunyai hikmat tetapi gagal membuktikannya walaupun memanggil dua saksi untuk memberi keterangan sewaktu pembelaan. Mokhtar berkata, bukti juga tidak dikemukakan bagi menunjukkan bahawa pasangan bomoh itu memiliki RM900,000 seperti didakwa oleh pembela
serta hidup dalam suasana mewah.

Sebaliknya, katanya, Mona dan Affandi berbelanja besar lebih RM200,000selepas kematian Mohd Mazlan sedangkan pendakwa berjaya membuktikan Mazlan mengeluarkan RM250,000 pada siang 2 Julai 1993.
Sedangkan, katanya, baki dalam akaun simpanan Mona dan Affandi tidak
banyak iaitu sekitar RM2,000. Katanya, kebanyakan not RM200,000 yang dibelanjakan oleh pasangan bomoh itu adalah not RM1,000 sama seperti not yang diterima oleh Mazlan dari bank.

Jumaat, 21 Januari 2011

Mona Fandey 4


Episode XV "Sambungan Keterangan Juraimi"

AKU nak sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin, tertuduh pertama kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994. Cerita ini ada aku ceritakan dalam posting yang lalu. Tetapi yang ini lebih terperinci. Aku kena buat transkrip percakapan mereka dalam mahkamah. Bayangkan berapa panjang mereka cakap. Kalau terlaju cakap terkial-kial aku nak 'figure out' apa benda dia cakap. Kalau salah catat, pembaca pun dapat maklumat salah.

Tapi aku ada cara sendiri, minta rujukan catatan peguambela atau pendakwa raya. Kadang kala mereka pun kelabu asap. Pinjam nota aku. Cara terakhir minta rujukan nota hakim. Part ni selalunya berat sikit - kena tahan telinga dan tebalkan muka - dengar 'syrahan' hakim dulu. Dah kerja nak buat macam mana.

Bukan itu aja perbuatan dan riak wajah mereka pun kita kena perhatikan. Dia senyum ke, menangis ke, ketawa ke, marah ke - semua kena 'dirakamkan'. Nampak macam real sebab pembaca tak tahu apa yang berlaku dalam mahkamah.

Berikut adalah petikan keterangan dalam kes pembelaan diri tertuduh ketika disoal peguambelanya, Karam Singh Bahl (dia ni tak ada kena mengena dengan Karam Singh Wariar - betul ke eja nama dia. Juraimi dalam keterangan di mahkamah menceritakan dari mula dia mengenali pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey hingga kepada pembunuhan Mazlan.

KARAM: Pada Hari Raya Puasa tahun lalu (25 Mac 1993), bolehkah Juraimi beritahu apa yang berlaku?

JURAIMI: Raya ke berapa?

KARAM: Raya keempat.

JURAIMI: Kami (termasuk Affandi, Mona dan anak mereka, Mazdiana Affandey) berpindah ke (Kampung Peruas), Ulu Dong, Raub.

KARAM: Dari Tanjung Lumpur, Kuantan ke Ulu Dong?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Siapa yang rancang perpindahan itu?

JURAIMI: Rancangan Affandi.

KARAM: Ada Affandi bincang mengenai rancangan itu dengan Juraimi?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bagaimana?

JURAIMI: Affandi kata hendak pindah dari Tanjung Lumpur ke Ulu Dong.

KARAM: Affandi beritahu atau berbincang dengan Juraimi?

JURAIMI: Beritahu.

KARAM: Apa sebab hendak pindah ke Ulu Dong?

JURAIMI: Untuk beramal.

KARAM: Beramal untuk siapa?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Siapa yang cadang pindah ke Ulu Dong?

JURAIMI: Affandi yang cadang untuk berpindah ke Ulu Dong. Dia hendak cari tempat sesuai untuk beramal kepada Datuk (Mazlan).

KARAM: Siapa yang pilih Ulu Dong? Mengapa tidak pilih tempat lain?

JURAIMI: Tempat itu sesuai.

KARAM: Untuk siapa?

JURAIMI: Untuk Affandi (pada jawapan ini Mona yang diam sejak Juraimi memberi keterangan mulai jam 9.54 pagi tersenyum).

KARAM: Tahukah Juraimi, tanah di Ulu Dong tanah siapa?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Bagaimana tahu?

JURAIMI: Datuk Mazlan yang beritahu sendiri.

KARAM: Kepada siapa?

JURAIMI: Kepada Affandi.

KARAM: Adakah Datuk rancang apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Tiada. Saya hanya ikut saja.

KARAM: Juraimi ikut siapa?

JURAIMI: Saya ikut Affandi, dia kata pindah, saya pindahlah.

KARAM: Ketika berpindah ke Ulu Dong, ada rumah di situ?

JURAIMI: Langsung tiada rumah.

KARAM: Pada mulanya, tiada rumah, hidup mana-mana?

JURAIMI: Kami tinggal dalam khemah.

KARAM: Semua keempat-empat orang tinggal dalam khemah?

JURAIMI: Ya.

KARAM: Berapa lama tinggal dalam khemah?

JURAIMI: Sebulan lebih.

KARAM: Selepas sebulan apa berlaku?

JURAIMI: Saya buat sebiji (sebuah) rumah.

KARAM: Bahan binaan untuk mendirikan rumah, siapa yang beli?

JURAIMI: Affandi dan Mona.

KARAM: Siapa yang keluarkan duit untuk membeli bahan-bahan itu?

JURAIMI: Di antara dua, kalau tak Affandi, Monalah.

KARAM: Ketika rumah itu dibina, ada Datuk Mazlan datang tengok?

JURAIMI: Ada juga.

KARAM: Ketika Datuk Mazlan tengok Juraimi mendirikan rumah, ada dia bercakap apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Dia hanya cakap dengan Affandi dan Mona.

KARAM: Setiap kali Datuk Mazlan datang ke situ, dia cakap dengan siapa?

JURAIMI: Cakap dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Setiap kali Datuk datang ke situ, ada cakap dengan Juraimi?

JURAIMI: Ada juga (ketika ini kedengaran Mona terbatuk).

KARAM: Sila beritahu mahkamah, apa yang Datuk Mazlan cakapkan kepada Juraimi?

JURAIMI: Datuk bertanya bila rumah nak siap.

KARAM: Selain itu ada Datuk Mazlan merancang dan berbincang apa-apa dengan Juraimi?

JURAIMI: Dia bincang dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Ada Juraimi terbabit dalam perbincangan itu?

JURAIMI: Tiada, saya sibuk dengan kerja saya.

KARAM: Ada Datuk Mazlan tolong Juraimi mendirikan rumah itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Mona dan Affandi ada tolong?

JURAIMI: Tolong naikkan siling rumah.

KARAM: Berapa lama bahagian dinding, lantai dan bumbung siap?

JURAIMI: Satu bulan lebih.

KARAM: Apabila rumah siap, ada Datuk Mazlan datang. Apabila datang dia cakap dengan siapa?

JURAIMI: Ada, Datuk cakap dengan Mona dan Affandi.

KARAM: Biasanya berapa kali Datuk Mazlan datang ke rumah itu?

JURAIMI: Setiap minggu datang ke rumah itu.

KARAM: Hari apa Datuk Mazlan datang?

JURAIMI: Kadang-kadang pada hari minggu (Ahad) atau Sabtu.

KARAM: Apabila Datuk Mazlan datang, dia cakap dengan Mona dan Affandi. Adakah pada bila-bila masa, Juraimi mendengar perbualan mereka?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Juraimi tahu tujuan Datuk Mazlan ke rumah itu?

JURAIMI: Tujuan Datuk ke rumah itu, saya tak tahu.

KARAM: Adakah Datuk Mazlan meminta ubat daripada mereka?

JURAIMI: Ada juga.

KARAM: Ubat apa, terangkan kepada mahkamah.

JURAIMI: Ubat dia macam serbuk.

KARAM: Mengapa Datuk meminta ubat itu, ada Juraimi tahu?

JURAIMI: Tidak.

KARAM: Berkenaan dengan pendawaian, nama dalam bil cagaran untuk mendapatkan bekalan elektrik atas nama siapa?

JURAIMI: Atas nama saya.

KARAM: Siapa yang bagi wang untuk membayar cagaran itu?

JURAIMI: Mona bagi.

KARAM: Dari mana Mona mendapat duit itu?

JURAIMI: Saya sendiri tak tahu.

KARAM: Ketika di rumah di Ulu Dong, ada Juraimi dengar sesiapa minta wang daripada Datuk Mazlan?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Siapa?

JURAIMI: Mona meminta wang daripada Datuk.

KARAM: Ada dengar berapa banyak?

JURAIMI: RM5,000.

(Peguambela Mona dan Affandi, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan, bangun untuk membuat teguran).

GHULAM: Jika boleh saya berharap Encik Karam tidak membimbing saksi untuk menjawab soalan.

HAKIM: Saya tidak nampak begitu. Ada soalan yang tidak difahami saksi dan perlu diterangkan oleh peguambela.

KARAM: Ada Juraimi nampak sesiapa memberi wang kepada Mona?

JURAIMI: Ada, arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Ada Juraimi tahu, berapa banyak?

JURAIMI: Tahu, RM5,000.

(Juraimi kemudian ditunjukkan bil cagaran mendapatkan bekalan elektrik).

KARAM: Bil ini adalah bil Tenaga Nasional Berhad untuk bayaran cagaran mendapatkan bekalan elektrik. Nampak berapa jumlah yang dicatatkan di situ?

JURAIMI: RM200.

KARAM: Duit RM200 itu, adakah Juraimi minta daripada Datuk Mazlan?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Siapa yang bagi duit itu kepada Juraimi?

JURAIMI: Mona.

KARAM: Selepas Mona terima RM5,000, lebih kurang dua minggu selepas itu, apa yang berlaku?

JURAIMI: (Juraimi terdiam seketika seolah-olah berfikir sesuatu dan menjawab)...selepas terima wang, Datuk ada datang pada 1 hari bulan malam (1 Julai 1993).

KARAM: Sebelum Datuk Mazlan ke rumah itu, ada apa-apa berlaku di rumah itu. (Juraimi hanya berdiam dan tidak menjawab soalan itu, dan Karam kemudian menyoal lagi).

KARAM: Lebih kurang seminggu sebelum Datuk Mazlan datang ke rumah itu, ada apa-apa persiapan dibuat di rumah itu?

JURAIMI: Ada.

(Ghulam bangun sekali lagi membantah cara Karam menyoal Juraimi kerana menyifatkan peguambela itu membimbing tertuduh pertama untuk memberi jawapan).

HAKIM: Saya faham maksud Encik Ghulam, tapi saksi tak faham soalan itu.

KARAM: Apa persiapan itu?

JURAIMI: Persiapan untuk kejadian itu (pembunuhan Datuk Mazlan).

(Juraimi kemudian memberitahu mahkamah bahawa Datuk Mazlan datang ke rumah pada 2 Julai 1993 bukan 1 Julai 1993 seperti yang diberitahunya sebelum ini).

KARAM: Apa persiapan itu?

JURAIMI: Persiapan seperti lubang, stor...

KARAM: Lagi.

JURAIMI: Kapak, parang, kayu, tayar.

KARAM: Lagi.

JURAIMI: Cukup.

KARAM: Persiapan itu dibuat atas arahan siapa?

JURAIMI: Atas arahan Affandi.

KARAM: Persiapan itu atas cadangan siapa?

JURAIMI: Cadangan Affandi dan Mona.

KARAM: Ada kamu mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai persiapan itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Ada mereka berbincang dengan Juraimi untuk menjayakan rancangan itu?

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Ada Juraimi tahu apa yang akan berlaku?

JURAIMI: Saya sendiri tak tahu.

KARAM: Ada Juraimi korek lubang?

JURAIMI: Ada, atas arahan Mona.

KARAM: Ikat batu pada dinding, arahan siapa?

JURAIMI: Atas arahan Affandi.

KARAM: Ada arahan lain daripada Affandi?

JURAIMI: Affandi suruh saya asah kapak.

KARAM: Tahu siapa asah parang?

JURAIMI: Ada dua parang, satu Mona asah dan satu lagi Affandi asah.

KARAM: Selepas kapak dan parang diasah, ada rancangan dibuat bersama Juraimi?

JURAIMI: Tiada. Saya hanya mengikut arahan Affandi.

KARAM: Apa arahannya?

JURAIMI: Seperti semua tadi, korek lubang, sediakan kayu, kapak, tayar.

KARAM: Berkenaan Datuk Mazlan, ada arahan untuk dia?

JURAIMI: Ada.

KARAM: Bagaimana?

JURAIMI: Affandi suruh saya tunggu Datuk datang.

KARAM: Ada Datuk Mazlan datang?

JURAIMI: Ada pada 2 hari bulan tujuh (2 Julai 1993).

KARAM: Apa jadi pada Datuk Mazlan pada malam itu?

JURAIMI: Pada lebih kurang jam 10 malam lebih, Datuk tiba di rumah itu dengan Affandi.

KARAM: Mereka datang dengan apa?

JURAIMI: Dengan kereta Datuk.

KARAM: Pada masa itu, di rumah ada berapa orang?

JURAIMI: Ada tiga orang.

HAKIM: Siapa?

JURAIMI: Saya, Mona dan Mazdiana.

KARAM: Sebelum Datuk Mazlan datang, ada sesiapa memberi arahan kepada Juraimi?

JURAIMI: Mona arahkan saya supaya standby (siap sedia) sebelum Datuk datang.

KARAM: Standby untuk apa?

JURAIMI: Untuk kejadian.

KARAM: Kejadian apa?

JURAIMI: Satu pembunuhan (ketika Juraimi memberikan jawapan ini jam di dinding mahkamah menunjukkan jam 12.08 tengah hari).

KARAM: Ketika Datuk Mazlan datang ke rumah itu dengan Affandi, siapa yang masuk dahulu ke dalam rumah?

JURAIMI: Apabila mereka tiba, saya buka pintu pagar.

KARAM: Siapa yang memandu kereta itu?

JURAIMI: Arwah Datuk Mazlan.

KARAM: Siapa yang masuk dahulu dalam rumah?

JURAIMI: Affandi.

KARAM: Apa berlaku selepas itu?

KARAM: Apa Datuk Mazlan buat?

JURAIMI: Apabila Datuk masuk, Mona kata kepadanya: "Abang (Affandi) ada menunggu dalam bilik itu"

KARAM: Ada Datuk Mazlan bawa apa-apa?

JURAIMI: Satu briefcase.

KARAM: Ada nampak dia beri briefcase itu kepada siapa?

JURAIMI: Tidak nampak.

KARAM: Ada Datuk Mazlan beri briefcase itu kepada Juraimi atau Juraimi memintanya daripada Datuk Mazlan.

JURAIMI: Tiada.

KARAM: Juraimi tahu apa Affandi buat dalam bilik itu?

JURAIMI: Sebab dia nak buat ibu duit, ilmu duit (Affandi yang duduk di kandang tertuduh dan tekun mendengar keterangan Juraimi tersenyum).

KARAM: Ketika Mona berkata: "Abang ada menunggu dalam bilik," Juraimi ada dengar?

JURAIMI: Dengar.

KARAM: Apa berlaku selepas itu?

JURAIMI: Datuk masuk dalam bilik Affandi.

KARAM: Adakah Datuk Mazlan pernah masuk bilik itu?

JURAIMI: Tak pernah.

KARAM: Ketika Datuk Mazlan masuk bilik itu, Juraimi ada di mana?

JURAIMI: Di bahagian dapur.

KARAM: Berapa jauh dapur dengan bilik air?

JURAIMI: Tidak jauh.

KARAM: Boleh Juraimi dengar perbualan dalam bilik itu (Affandi dan Mazlan berada)?

JURAIMI: Tak boleh dengar.

KARAM: Dari tempat Juraimi berdiri, boleh nampak mereka?

JURAIMI: Tak nampak sebab ada pintu.

KARAM: Ada nampak mereka berdua keluar?

JURAIMI: Affandi keluar dahulu, kemudian Datuk.

KARAM: Selepas itu apa berlaku?

JURAIMI: Mona ada bertanya kepada Datuk sama ada dia ada membawa kain atau tidak. Datuk jawab, ada bawa kain, ada dalam kereta.

KARAM: Ada Datuk Mazlan keluar selepas itu?

JURAIMI: Datuk Mazlan kemudian keluar untuk mengambil kain.

KARAM: Apa jadi kemudian?

JURAIMI: Selepas itu Affandi membuka baju dan terus pakai kain.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Affandi terus mengambil satu blanket (selimut) terus masuk bilik air dan membawa dua biji bantal (Affandi sekali lagi kelihatan tersenyum mendengar keterangan ini).

KARAM: Apabila Datuk Mazlan datang ke rumah, apa dia buat?

JURAIMI: Sebelum Datuk masuk, dia memetik bunga orkid di luar rumah.

KARAM: Datuk Mazlan bagi pada siapa?

JURAIMI: Datuk pegang dan kemudian beri pada Mona.

KARAM: Apa berlaku seterusnya?

JURAIMI: Sebelum Datuk masuk bilik air, Mona suruh buka baju dan seluar dan pakai kain saja...kecuali seluar dalam. (Mereka yang berada dalam mahkamah ketawa berderai).

KARAM: Ada sesiapa yang suruh Datuk Mazlan masuk bilik air?

JURAIMI: Mona suruh.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Saya bangun ke dapur.

KARAM: Ada Datuk Mazlan keluar dari bilik air?

JURAIMI: Tidak.

HAKIM: Bilik air mana?

JURAIMI: Bilik air yang Datuk masuk.

HAKIM: Ketika itu Affandi di mana?

JURAIMI: Dalam bilik air.

KARAM: Selepas itu?

JURAIMI: Selepas itu, Mona, Affandi dan Datuk ada dalam bilik air.

KARAM: Ada dengar apa-apa?

JURAIMI: Saya mendengar Affandi berkata kepada Datuk...(terdiam).

KARAM: Cerita depan Yang Arif.

JURAIMI: (Affandi kata) Datuk baring, nanti ada suara ghaib berkata, duit sebanyak ini jatuh. (Mona tersenyum mendengar cerita Juraimi).

KARAM: Apa jadi.

JURAIMI: Sebelum baring, Datuk ada cakap: "Saya tidak boleh tahan dongak lama-lama."

KARAM: Datuk cakap kepada siapa?

JURAIMI: Kepada Affandi dan Affandi menjawab: "Sekejap aje."

KARAM: Jadi Datuk Mazlan terus baring?

JURAIMI: Datuk terus baring.

KARAM: Ada lampu pada masa itu?

JURAIMI: Lampu elektrik dipasang di bilik air. Ada lilin.

KARAM: Selepas itu apa berlaku?

JURAIMI: Datuk sudah baring, Mona ada meletakkan bunga pada dahi Datuk. Affandi duduk sebelah Mona dan ketika duduk Affandi menutup mata Datuk dengan tangannya. Selepas ditutup, Affandi nampak lampu cerah dan tutup. Kemudian nyalakan lilin. Setelah lampu padam dan lilin dinyalakan, Affandi duduk balik di sebelah Mona. Setelah itu, Affandi menutup semula mata Datuk dengan tangan dan memanggil saya dengan isyarat tangan. Ketika saya masuk, anaknya, Mazdiana terjaga dari tidur. Selepas itu, saya keluar balik. Affandi terus bangun mendapatkan anaknya dan selepas anaknya tidur, Affandi berjumpa saya.

Ketika berjumpa saya, Affandi berkata: "Rong (singkatan panggilan Gondrong), kalau tetak biar kena tepat, jangan salah tempat. Kalau tidak habis kita."

KARAM: Ketika Affandi keluar untuk menjaga anaknya, Mona di mana?

JURAIMI: Ada di situ bersama Datuk.

KARAM: Apabila Affandi balik ke bilik air itu apa dia buat?

JURAIMI: Affandi terus duduk di tempat asal dan menutup semula mata Datuk. Affandi panggil saya dengan isyarat tangan dan saya terus masuk ke bilik itu dan tetak bahagian leher.

KARAM: Dengan apa (menetak kepala Datuk Mazlan)?

JURAIMI: Kapak.

(Pada masa ini, jurubahasa mahkamah mengeluarkan kapak yang dikemukakan di mahkamah selepas mendapat arahan Karam. Ghulam kemudian bangun).

HAKIM: Saya tahu Encik Ghulam. Tak perlu keluarkan (kapak) dahulu, tunggu arahan peguambela. Jangan tunjukkan dulu pada saksi. Takut juga Encik Ghulam, juri pun takut juga. (Bilik mahkamah sekali lagi berderai dengan ketawa).

KARAM: Ini kapak yang digunakan? (menunjukkan kapak itu yang diletakkan di atas meja peguambela dan pendakwaraya).

JURAIMI: Ya, ini kapak yang digunakan.

KARAM: Siapa yang memiliki kapak ini?

JURAIMI: Ini kira, Affandi yang beli.

KARAM: Selepas tetak bahagian leher, apa jadi kepada Affandi dan Mona?

JURAIMI: Saya tetak tiga kali, selepas itu baru kepala putus.

HAKIM: Kepala siapa?

JURAIMI: Kepala Datuk (jawapan itu membuatkan mereka yang berada dalam mahkamah sekali lagi ketawa kerana jawapan itu mungkin juga merujuk kepada Hakim Datuk Mokhtar Sidin. Menyedari itu Juraimi terus menjawab Datuk Mazlan).

JURAIMI: Affandi dan Mona pun bangun. Affandi terus mengarahkan saya potong bahagian sendi-sendi. Affandi suruh lapah sekali dan selepas lapah, Affandi terus keluar ke bilik air lain.

KARAM: Ada sesiapa masuk bilik air itu?

JURAIMI: Selepas itu tiada. Selepas itu Affandi terus masuk bilik amal dia. Affandi kemudian keluar dan membawa keluar satu sampul surat. Dia kepit sampul surat itu.

KARAM: Apa ada dalam sampul surat itu?

JURAIMI: Saya tidak nampak.

KARAM: Ada Juraimi terima apa-apa arahan selepas itu?

JURAIMI: Saya ada bertanya kepada Affandi: "Macam mana dengan mayat itu?" Affandi jawab: "Tanya ibu (Mona) dulu." Affandi kemudian bertemu Mona dan datang balik serta berkata: "Ibu (Mona) kata suruh tanam saja."

KARAM: Ada beri apa-apa?

JURAIMI: Affandi beri duit sebanyak RM180 dan berkata: "Bapak (Affandi) hendak ke KL (Kuala Lumpur). Seminggu lagi bapak akan balik."

KARAM: Dia pergi dengan siapa?

JURAIMI: Affandi pergi dengan Mona dan anak mereka. Apabila mereka keluar dari rumah, saya keluar dari bilik itu dan kunci pintu depan.

KARAM: Mereka pergi dengan apa?

JURAIMI: Kereta Datuk, nombornya CAA 5115.

KARAM: Juraimi terus tinggal di rumah itu?

JURAIMI: Ya, seorang diri.

KARAM: Ceritakan apa yang berlaku selepas itu?

Episode XVI "Sambungan Keterangan Juraimi 2"

AKU sambung lagi keterangan Mohd Juraimi Husin ketika membela diri dalam perbicaraan kes peembunuhan Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi temerloh pada 1994. Pada posting sebelum ini, Juraimi bercerita panjang lebar mengenai pembabitannya dalam pembunuhan Mazlan. Juraimi disoal peguambelanya,

Karam Singh Bahl :Ceritakan apa yang berlaku selepas itu?

JURAIMI: Selepas kunci rumah, saya masuk ke bilik air dan ambil satu basin. Saya kemudian kumpulkan tulang dan daging (jasad Datuk Mazlan) dalam basin itu.

KARAM: Boleh ingat berapa keping?

JURAIMI: Ketika itu tak ingat berapa keping.

KARAM: Apa buat dengan tulang dan daging dalam basin itu?

JURAIMI: Saya ke belakang, ke bilik stor dan terus curahkan tulang dan daging itu ke dalam lubang (yang sudah siap digali).

KARAM: Ada Juraimi tutup lubang itu (selepas masukkan tulang dan daging)?

JURAIMI: Ada, saya kambus balik.

KARAM: Apa Juraimi buat selepas itu?

JURAIMI: Saya kemudian masuk bilik air itu dan ambil kain, blanket, bantal dan pakaian Datuk yang mempunyai kesan darah Saya kemudian terus ke belakang rumah dan membakarnya. Selepas itu, saya cuci bilik air dan apabila semuanya siap saya mandi.

KARAM: Bila Juraimi simen lubang itu?

JURAIMI: Pada keesokan harinya (3 Julai 1993).

KARAM: Kejadian dalam rumah itu habis jam berapa?

JURAIMI: Apabila saya hendak tidur, saya lihat jam pukul 1.30 pagi.

Pendek aje cerita kali ini.
Penat menaip.
Nanti aku sambung cerita lagi...

Mona Fandey 3

Episode XIV "Keterangan Juraimi"


ADA orang tanya cerita apa ni. Apa tidaknya, ada yang baru membaca catatan ini. Ada yang tak baca daripada awal. Aku nak jelaskan buat sekian kalinya bahawa apa yang aku ceritakan ini adalah liputan perbicaraan kes Mona Fandey pada 1994 dan 1995. Kes ini pada masa tu memang cukup famous - aku cakap orang putih sikit. Budak kecil pun aku agak tahu Mona Fandey tu. Ada tiga watak penting dalam kes ini - tertuduh pertama Juraimi Husin; tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman dan tertuduh ketiga, Maznah ismail atau Mona Fandey. Affandi dan Mona kerap dirujuk seebagai pasangan bomoh dan Juraimi pula pembantu mereka. Ah ada lagi orang tanya berapa Juraimi dapat. Mengikut keterangannya di Mahkamah Tinggi Temerloh, dia hanya diberi RM180 atas tugasnya - menetak leher Datuk Mazlan Idris.

Aku teruskan lagi cerita ini.

Juraimi Husin mengaku hanya diberi RM180 selepas selesai melaksanakan arahan menetak leher, memotong sendi-sendi, melapah kulit dan daging serta menanam jasad Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris. Dia memberitahu mahkamah Affandi memberinya wang sebanyak itu setelah semua tugasnya selesai.

"Affandi memberi wang itu sebelum dia, Mona (Maznah Ismail) dan anak mereka, Mazdiana Affendy ke Kuala Lumpur.

"Dia (Affandi) beritahu hendak ke KL (Kuala Lumpur) dan seminggu lagi akan balik," katanya ketika disoal peguambelanya, Karam Singh Bahl.

Juraimi mendakwa melaksanakan pembunuhan itu atas rancangan dan arahan Affandi serta Mona pada malam 2 Julai 1993 di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas Ulu Dong, Raub. Menurutnya, seminggu sebelum pembunuhan itu, dia diarah untuk melakukan beberapa persiapan, termasuk menyediakan lubang, parang, kayu dan tayar serta mengasah kapak yang digunakan untuk menetak leher Mazlan.

Katanya, Mona dan Affandi masing-masing mengasah satu parang.

"Rancangan itu dilakukan oleh Mona dan Affandi. Saya hanya mengikut arahan tanpa mengetahui perkara sebenarnya," katanya.

Itu bayaran yang dinyatakan Juraimi di mahkamah. Ish,ish,ish sikitnya - kata bebudak sekarang ciput. Ada orang tanya lain macam mana dia tetak Datuk Mazlan. Terus mati ke? Juraimi dalam keterangannya di mahkamah berkata, dia menetak leher Datuk Mazlan dengan kapak sehingga tiga kali.

Ini kerana kepala Datuk Mazlan tidak putus dari badannya selepas tetakan pertama dan kedua.

"Saya tetak leher Datuk Mazlan sebanyak tiga kali. Kali pertama tidak putus, kali kedua pun tidak putus dan kali ketiga baru putus.

"Bagaimanpun, saya sendiri tidak tahu sama ada tetakan kali ketiga itu untuk memastikan Datuk Mazlan sudah mati," katanya. Menurutnya, Affandi ada memberitahunya supaya menetak leher Mazlan dengan tepat. Juraimi juga mengulangi kenyataannya bahawa dia melakukan pembunuhan terhadap Mazlan atas arahan Mona dan Affandi. Selepas ada yang nak tahu lagi mengapa Juraimi seorang buat semua kerja. Ada juga tanya mengapa mesti dikerat-kerat. Susah juga nak ceritakan kerana bukan aku yang buat kerja itu. Tapi kalau nak tahu juga baca cerita ini sampai habis. Dalam keterangannya juraimi berkata, kerja mengerat badan Datuk Mazlan selepas dibunuh pada malam 2 Julai 1993 sepatutnya dilakukan oleh dia, Mona dan Affandi seperti dipersetujui bersama. Bagaimanapun, Juraimi berkata, selepas kejadian itu hanya dia seorang yang melakukan kerja itu.

"Pada peringkat awal (mengikut rancangan) saya, Mona dan Affandi akan kerat bersama badan Datuk Mazlan.

"Saya sendiri tidak tahu mengapa Mona dan Affandi tidak mengerat sama badan Datuk Mazlan," katanya. Menurutnya, dia juga tidak mengetahui mengapa dan siapa yang arahkan dada hingga ke perut Mazlan dibelah selepas pembunuhan itu. Juraimi berkata Mona dan Affandi yang mencadangkan supaya badan Mazlan dikerat selepas dibunuh. Ditanya mengapa bahagian-bahagian badan Mazlan yang telah kerat perlu dibakar, katanya:

"Saya sendiri pun tidak tahu mengapa mayat itu perlu dikerat dan dibakar." Tertuduh pertama juga berkata, Mona dan Affandi yang memilih supaya lubang digali dalam stor di rumah tak bernombor Kampung Peruas, Ulu Dong,Raub untuk menamam mayat Mazlan. Menurutnya, dia mengambil masa lebih sehari untuk menggali lubang itu. Apa cerita selepas ni. Ada orang nak tahu betulkah mereka ini bomoh dan pandai main ayat-ayat. Nak tahu nanti aku cerita lagi.

- bersambung.

Mona Fendey 2

Episode IV "Perbicaraan Kes"


Hari pertama (12.9.1994) Mona Fandey dibawa ke mahkamah

PASANGAN bomoh, Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affendy Abdul Rahman serta pembantu mereka, Juraimi Husin tenang ketika tuduhan terhadap mereka dibacakan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada hari pertama perbicaraan - 12 September 1994.

Aku dapat melihat riak wajah mereka dengan jelas dari tempat duduk media. Pada waktu tuduhan dibacakan aku mesti tengok reaksi mereka untuk dilaporkan dalam akhbar. Mereka memang 'cool' ketika itu. Lagipun, itu baru tuduhan sehingga mahkamah memutuskan mereka bersalah atau tidak.

Mereka yang menghadapi tuduhan pindaan membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Datuk Idros @ Mazlan Idris, Julai tahun lalu, faham dengan tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa, M Muthualagu dan mahu dibicarakan.

(Pindaan dibuat ke atas tarikh pembunuhan iaitu dari di antara jam 11malam 2 Julai 1993 hingga 13 Julai 1993 kepada di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993).




Juraimi adalah tertuduh pertama perbicaraan itu, Affendy (tertuduh kedua) dan Mona (tertuduh ketiga).

Mona dan Affendy yang berdiri bersebelahan ketika tuduhan itu dibaca bercakap sesama sendiri selepas tuduhan dibaca. Juraimi pula hanya berdiam dan memandang ke arah peguambelanya.

Dalam perbicaraan itu, Mona dan Affendy diwakili oleh Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan, sementara Juraimi pula oleh Karam Singh Bahl dengan dibantu Ikmal Hisam Idris.

Affendi masuk ke mahkamah

Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam dengan dibantu Timbalan Pendakwaraya AC Fernandis dan Saiful Edris Zainuddin pula bertindak sebagai pendakwaraya dalam perbicaraan yang didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Sidin.

Mokhtar juga menetapkan perbicaraan dijalankan terus menerus dari jam 9 pagi hingga 2 petang serta memperuntukkan waktu rehat tidak lebih 15 minit.




Peraturan itu bagi memastikan kelancaran perjalanan perbicaraan. Memang mencabar membuat liputan kes ini. Aku dan seorang lagi wartawan kena buat transkrip percakapan dalam mahkamah. Kadang-kadang ada juga perkataan yang 'miss' kerana percakapan mereka kurang jelas. Dalam hal ini, kalau tak minta bantuan rakan media lain, aku merujuk pada hakim, pendakwa raya atau peguam bela. Tapi ada kalanya kena 'marah' juga dengan hakim. Ada kalanya pendakwa raya dan peguam bela pinjam nota aku. Jurami keluar dari trak polis Tapi, apapun aku cukup seronok membuat liputan kes ini. Aku tumpang bangga menjadi - part of the history.

Macam aku kata tadi perbicaraan ini cukup mencabar pada semua pihak. Semua orang mahukan perbicaraan berjalan lancar. Hakim Datuk Mokhtar Sidin beberapa kali menegur pihak pendakwaraya dan peguambela supaya tidak membazir masa dan memastikan perbicaraan berjalan lancar.

Berbalik pasal Mona Fandey ada 'member' (Multiply) bertanya cantik ke si Mona tu. Entahlah...

Episode V "Peribadi Mona"


CANTIK ke si Mona Fandey? Persoalan itu sukar untuk dijawab. Pada aku cantik atau tidak terpulang kepada mata orang yang memandangnya. Tapi apapun, Maznah Ismail atau Mona Fandey yang muncul kali pertama di khalayak ramai selepas lebih lapan bulan - pada 12 September 1994 - memang berbeza dengan penampilannya sebelum itu. Pada mata aku, dia pada masa itu kelihatan semakin cantik dan seksi.

Mona tidak kelihatan seperti umurnya yang menjangkau hampir 40 tahun pada waktu itu. Ada yang kata Mona bukan 38 tahun, tetapi sebenarnya lebih 50 tahun. Tertuduh ketiga kes itu memang mendapat perhatian ramai ketika tiba di mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang - tempat perbicaraan kesnya.



Malah, ketika dia keluar mahkamah untuk menaiki trak, orang ramai yang berdiri di luar pagar mahkamah berteriak: "Mona makin lawa! Mona makin lawa!"

Mona hanya membalas dengan senyuman berikutan pujian orang ramai itu. Beberapa anggota polis, saksi dan wakil media massa juga berpendapat Mona semakin anggun dan berseri-seri. Mona pada hari itu mengikat rambutnya dengan riben biru muda, menampakkan lehernya yang jinjang.

Dia yang memakai blaus merah berbintik hitam tanpa lengan serta seluar ketat berwarna hitam tersenyum lebar melihat reaksi orang ramai menjerit-jeritkan namanya.

Dia yang memakai rantai manik berwarna ungu gelap dan gelang tangan merah berjalur hitam kelihatan sihat dan riang berbanding tertuduh kedua, Mohd Affendy Abdul Rahman, dan Juraimi Husin (tertuduh pertama).

Aku juga masih ingat pada hari kedua perbicaraan Affendy turut memuji-muji kecantikan isterinya. Aku tengok Mona cukup gembira dengan pujian suaminya. Pada aku Mona ada aura tersendiri. Kata orang dia pakai 'pemanis'. Almaklumalah seorang bomoh. Tapi itu aku tak pasti. Itukan cakap-cakap orang. Mana boleh pakai. Tapi yang pasti dalam keterangan di mahkamah dia mengaku membuat pembedahan plastik. Yang ini bukan cakap-cakap kosong, tetapi fakta dalam mahkamah.

Cerita pasal Mona bergaya pun menjadi perhatian ramai. Ada yang suka dan tidak kurang menyampah. Adatlah di dunia ini - tak semua orang suka pada apa yang kita buat walaupun tak ada kena mengena dengan mereka.

Dalam hal ini Mona berhak memakai pakaian yang disukainya pada perbicaraan. Bagaimanapun, Hakim Makhamah Tinggi, Datuk Mokhtar Sidin, yang mendengarperbicaraan itu boleh meminta Mona berpakaian lebih sopan, jika berpendapat pakaian tertuduh itu tidak sesuai dengan suasana mahkamah. Alasannya Mona hanyalah tertuduh kes itu dan dan belum dibuktikan bersalah. Mona mempunyai kebebasan untuk memakai pakaian yang disukainya di samping berhias.

Mona hanya tahanan polis yang dipercayai terbabit dengan kes bunuh dan bukannya banduan yang perlu memakai pakaian yang disediakan oleh pihak penjara. Selagi tiada teguran daripada Mokhtar, selagi itu Mona boleh memakai pakaian yang diminatinya.

Apapun pada aku si Mona ni pandai menjaga imejnya. Pakaiannya walaupun tidak begitu banyak dia pandai memadankannya. Tetapi kadang kala'over' pula aku tengok. Ada ketikanya tidak kena tempat. Ada beberapa kali pakaiannya nampak seksi dan terpaksa ditutup dengan selendang dan jaket. Memang si Mona ni suka glamour kot.

Aku masih ingat apabila persoalan itu dikemukakan kepadanya sewaktu dia dibawa keluar dari lokap Balai Polis Temerloh ke Penjara Kajang selepas sehari didapati bersalah. Aku dapat bercakap dengannya - tak sampai seminit minit pun. Itu pun dah kira bagus kerana mengikut peraturan tidak boleh cakap pun dengan dia. Tapi berlaku secara spotan ketika aku mengikutinya dari belakang ketika dibawa ke trak.

Tak silap aku menegurnya wah glamourlah Mona. Tak sangka pula dia membalas dengan berkata : "Saya tak mahu glamour (melaram). Dari dulu pun saya tak glamour."

Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian antik, Mona berkata: "Yalah, takkan hendak telanjang pulak." Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu. "Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya.

Tapi yang aku tahu ketika dibawa ke Penjara Kajang dia membawa lima beg plastik yang berisi pakaian dan aksesorinya. Ada lagi cerita pasal Mona cantik ni. Tunggu cerita Mona buat pembedahan plastik.

Episode VI "Kecantikan Mona"


CERITA Mona Fandey cantik, lawa, menawan, anggun dan seksi rupa-rupanya menjadi perhatian bukan saja dalam mahkamah, malah di luar sana. Aku sebenarnya pernah tengok gambar Mona ketika dia menjadi penyanyi. Aku tak mahulah komen buruk pasal orang lain. Lagipun siapalah aku nak komen orang tu cantik atau tidak. Aku bukannya pakar kecantikan, tapi sekadar wartawan cabuk. Nanti bebudak sekarang cakap cantik ke dia nak mengata orang. Tapi, hakikatnya Mona tidaklah semenawan ketika perbicaraan kesnya. Lain benar Mona yang aku tengok dalam akhbar, majalah dan tv dengan Mona ketika 1994. Tak tahulah aku - dia tu kan bomoh 'handal'. Tak mahu aku buruk sangka. Dapat dosa aje.

Tapi, sewaktu perbicaraan mahkamah diberitahu bahawa Mona pernah menjalani pembedahan plastik di bahagian muka, dahi dan hidung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Motifnya tentulah supaya kelihatan lebih muda dan cantik.

Pembedahan oleh pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Shen di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu itu dijalankan pada 15 Julai 1993.

Dr Wong memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh bahawa kos rawatan untuk pembedahan itu lebih RM13,000. Menurutnya, pelanggannya itu, Maznah Ismail, menemuinya di pejabatnya di Plaza KL pada 5 Julai 1993 untuk mendapatkan penerangan mengenai pembedahan berkenaan. "Dalam pertemuan itu, dia (Mona) meminta saya menjadikannya lebih muda dan cantik," katanya. Dr Wong berkata, pembedahan untuk menegangkan kulit muka dan dahi serta hidung itu berjalan hampir lima jam.

Pembedahan itu adalah dari belakang teling kanan, merentasi atas kepala dan ke bawah bahagian belakang teling kirinya. Dr Chua menyifatkan pembedahan itu sebagai biasa, walaupun agak intensif. Doktor pakar itu juga memberitahu mahkamah, Mona keluar dari hospital itu dua hari kemudian.

Episode VII "Fakta Pembunuhan"





GAMBAR RAJAH di atas membawa banyak cerita dalam kes Mona Fandey. Nak tahu apa yang tersirat dalam gambar rajah ini. Nanti aku ceritakan...

Gambar rajah itu adalah keratan badan jasad Datuk Mazlan idris yang dipotong 18 bahagian. Memang mengerikan. Aku yang diberi pelung melihat foto-foto cebisan tulang keratan itu tidak tergamak hendak melihatnya kali kedua. Malam tu aku tak boleh tidur terbayang-bayang apa yang dilihat siangnya. Dalam keterangan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 November 1994 tertuduh pertama kes ini, Juraimi Husin mengaku menetak leher Datuk Mazlan.

"Saya tetak leher Datuk Mazlan dengan kapak sebanyak tiga kali baru kepalanya putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman)," kata Juraimi dalam keterangan membela diri.

Menurutnya, dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan setelah mendapat arahan lanjut daripada Affandi. Bagaimanapun, tertuduh pertama itu tidak dapat ingat berapa bahagian dia memotong tulang dan daging mayat Mazlan. (Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof dalam keterangannya memberitahu mahkamah mayat Mazlan dipotong 18 bahagian). "Tulang dan daging itu kemudian saya masukkan ke dalam basin dan mencurahkannya ke dalam lubang stor rumah yang sudah digali sejak seminggu lalu dan menimbusnya.




"Saya kemudian menyimen lubang itu pada keesokan harinya (3 Julai 1993)," akuan itu ketika disoal peguambelanya, Karam Sigh Bahl. Kejadian itu, menurut Juraimi, dilakukan atas rancangan dan arahan Maznah Ismail atau Mona Fandey (tertuduh ketiga) dan Affandi (kedua) di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, pada 2 Julai 1993. Pembunuhan itu selesai dalam tempoh kira-kira tiga setengah jam dengan persedian dilakukan seminggu sebelum itu. Juraimi berkata, Mazlan ke rumah itu kira-kira jam 10 malam dengan memandu kereta bernombor pendaftaran CAA 5115 bersama Affandi.

"Mazlan kemudian diminta menyalin pakaian dan memakai kain saja oleh Mona sebelum masuk ke dalam bilik air. "Sebelum itu, Affandi yang membawa dua biji bantal dan selimut sudah berada dalam bilik berkenaan," katanya menceritakan dengan tenang apa yang berlaku sejak mula dia berkenalan dengan pasangan bomoh itu sehingga pembunuhan Mazlan. Juraimi berkata, Mazlan kemudian diarah berbaring dengan Mona duduk di bahagian kepalanya sambil meletakkan bunga pada dahi mangsa.

Katanya, ketika Mazlan baring, Affandi ada berkata: "Datuk (Mazlan) baring, nama ada suara ghaib berkata, duit sebanyak ini akan jatuh." Menurutnya, Affandi yang duduk di sebelah Mona pula menutup mata Mazlan dengan tangannya. "Tertuduh kedua itu kemudian memadam lampu dan menyalakan lilin. Affandi kemudian menutup mata Mazlan dengan tangan sambil berkata kepada saya: "Rong (Gondrong), tetak biar kena tepat, jangan salah tempat, kalau tidak habislah. "Kemudian Affandi memberi isyarat tangan dan saya menetak leher Mazlan," kata Juraimi. Gondrong adalah nama panggilan Juraimi.

Episode VIII "Barang Kes"

KETIKA perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994 - keterangan saksi pendakwa Dr Abdul Rahman Yusof - aku kira paling menarik.

Dr Abdul Rahman yang pada waktu itu Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur memberi keterangan selama tiga jam 18 minit di mahkamah. Tugas dia memang mencabar membuat bedah siasat jadad Datuk Mazlan. Ia bukan pertama kali dia menjalankan bedah siasat mayat, tetapi kali ini berlainan sekali. Beberapa tahun selepas kes itu, aku bertemua semula Dr Abdul Rahman secara kebetulan ketika menyaksikan satu perembahan di Istana Budaya. Pada waktu itu, dia masih mengenali aku. Aku pula ingat-ingat lupa wajahnya. Selepas memperkenalkan dirinya, aku bertanya khabarnya. Kami hanya sempat berbual ringkas. Tapi dia ada memberitahu selepas kes Mona Fandey, keadaannya tidak 'stabil'. Dia kemudian dihantar ke luar negara sebelum kembali bekerja di HKL.

Dr Abdul Rahman dalam keterangan di mahkamah turut ditunjukkan tiga senjata tajam iaitu sebilah kapak dan dua bilah parang untuk mendapatkan pengesahan sama ada senjata itu boleh menyebabkan kecederaan hingga membawa kematian.



Dr Abdul Rahman memberitahu kapak yang matanya berukur 17 sentimeter itu boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut.

Sebelum itu, beliau meminta izin mahkamah untuk mengukur kapak berkenaan apabila Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, bertanya sama ada senjata boleh digunakan bagi memancung.

Dr Abdul Rahman memberitahu mahkamah, senjata yang berat seperti parang panjang, kapak dan pedang boleh digunakan bagi memancung, sebagaimana kecederaan yang dialami oleh Mazlan.

ZAKARIA: Parang kecil ini boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa kepada kematian mangsa?

DR ABDUL RAHMAN: Senjata ini (sambil mengukur) mempunyai blade (mata) sepanjang 35 sentimeter daripada handle (hulu). Lebarnya adalah lebih kurang 4.5 sentimeter.

ZAKARIA: Bolehkah senjata itu membawa maut kepada mangsa?

DR ABDUL RAHMAN: Saya rasa agak sukar walaupun boleh untuk hasilkan luka pada bahagian leher.

ZAKARIA: Adakah senjata ini boleh menyebabkan kecederaan sehingga membawa maut? (sambil menunjukkan parang panjang).

DR ABDUL RAHMAN: Parang ini blade (mata) berukuran 30.3 sentimeter panjang. Lebarnya lima sentimeter.

ZAKARIA: Bolehkah ia menyebabkan kecederaan yang membawa maut?

DR ABDUL RAHMAN: Tidak sesuai kerana ia ringan.

ZAKARIA: Pada kecederaan lain, daripada tiga senjata yang mana mungkin menyebabkan kecederaan lain?

DR ABDUL RAHMAN: Ketiga-tiga boleh menyebabkan kecederaan lain iaitu seperti luka hiris pada abdomen.

Episode IX "Bahagian Tubuh Mangsa"

KISAH buah zakar Datuk Mazlan Idris hilang mendapat perhatian ramai baik di dalam atau luar mahkamah. Aku ingat lagi bagaimana orang ramai berminat dengar kisah ini. Tahu ajelah - yang hilang itu benda sulit. Pelbagai persoalan ditimbulkan. Ke mana perginya, apa hendak dibuat dengan benda tu. Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Temerloh, Dr Abdul Rahman Yusof yang ketika itu Perunding Kanan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, berkata kedua-dua buah zakar pada jasad yang ditemui dalam lubang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada 22 Julai 1993, didapati hilang.



Dr Abdul Rahman membuat keterangan hasil pemeriksaan dan bedah siasat terhadap jasad yang kemudian dicam sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap jasad itu, mendapati sistem saluran kencing si mati adalah baik dan tidak mempunyai kelainan. "Semua organ dalam sistem itu diperiksa dan saya mendapati tiada kelainan.

"Kelenjar prostate tidak membesar, keadaan kemaluan adalah baik dan bersunat serta kedua-dua buah zakar sudah hilang," katanya.

Dr Abdul Rahman juga mendapati bahagian kulit betis kedua-dua bahagian kiri dan kanan, serta otot-otot lengan kanan si mati hilang.

"Saya juga mendapati lapisan dinding lemak pada abdomen jasad itu telah tiada.

"Saya juga mendapati hepar (hati), pundi hempedu, buah pinggang dan usus pada jasad itu dalam proses pembusukan," katanya.

Dr Abdul Rahman juga memberitahu mahkamah bahawa jasad itu telah dicerai-ceraikan kepada 18 bahagian, termasuk lima bahagian ketulan daging.

Katanya, bahagian kepala telah dipisahkan daripada bahagian badan pada leher. Sementara, bahagian badan tercerai daripada kedua-dua tangan pada bahagian ketiak, serta kedua-dua kaki pula tercerai pada pangkal paha.

Menurutnya, bahagian tangan kanan terpisah kepada tiga bahagian iaitu pada pergelangan tangan dan siku, sementara tangan kiri pula terpisah kepada dua bahagian pada bahagian siku.

Katanya, kaki kiri dan kanan jasad itu terputus kepada tiga bahagian iaitu pada pangkal paha, lutut dan buku lali. Aku rasa lepas habis baca cerita ni, ramai tak 'jumpa' kisah pasal buah zakar tu. Aku terangkan sikit, mana tahu ada yang 'confuse' - yang hilang tu buah zakar. Dalam bahasa mudah telurnya, batangnya masih ada. Aku pun nak tahu ke mana perginya buah zakar tu. Siapa yang mengambilnya, untuk apa. Hingga selesai keterangan dan kes ini tamat, aku sendiri tak menemui jawapannya. Aku ingat engkau orang fikirkan sendiri apa yang boleh dilakukan dengan buah zakar tu..

Episode X "Perincian Kes"

Keratan bahagian-bahagian jasad bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Mohd Idros @ Mohd Mazlan Idris, ditemui dalam empat lapisan tanah selepas digali sedalam kira-kira 1.6 meter. Bahagian-bahagian itu ditemui dalam lubang seluas 1.2 kali 1.3 meter di sebuah rumah belum siap di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada 22 Julai 1993.

Perkara itu diberitahu oleh saksi kelapan, Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof, ketika memberi keterangan perbicaraan pasangan bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman, Maznah Ismail atau Mona Fandey serta pembantu mereka Juraimi Husin di Mahkamah Tinggi pada 1993.

Dr Rahman berkata ketika ke tempat kejadian, lubang itu sudah digali sedalam 1.5 meter oleh pasukan polis hutan. Menurutnya, pada kedalaman kira-kira 1.6 meter, kelihatan bahagian belakang satu jasad manusia dalam lubang itu.

Katanya, di sebelah kanan hujung jasad itu pula, ada bahagian atas kepala manusia yang terpisah. "Jasad itu tidak mempunyai kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki,"
katanya. Beliau berkata, jasad itu kemudian dikeluarkan dan proses menggali
Lubang diteruskan. Menurutnya, pada lapisan kedua, ada bahagian-bahagian paha dan ketulan daging.

Katanya, pada lapisan ketiga pula, mereka menjumpai tulang betis dan tulang paha serta tangan kiri. Dr Rahman berkata, pada lapisan keempat, mereka menjumpai bahagian tangan kanan yang terputus serta kedua-dua kaki kiri dan kanan yang
terpotong di bahagian buku lali. "Saya kira ada 18 bahagian jasad yang dijumpai, termasuk bahagian kepala, dada, badan, bahagian-bahagian kaki dan tangan serta beberapa ketulan daging," katanya.

Menurutnya, beliau telah menyusun jasad itu mengikut keadaan semula jadinya.

Katanya, semua bahagian itu bersesuaian, berdasarkan keadaan semula jadi dan bentuk tulang itu menyamai satu tubuh atau jasad manusia. Dr Rahman berkata, jasad itu kemudian dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat.

Menurutnya, jasad itu dicam sebagai (Datuk) Mazlan oleh balu Allahyarham, Datin Faridah Zainuddin, dan sepupu Mohd Mazlan, Zainal Abidin Ibrahim.

"Saya bersihkan jasad itu dan susun mengikut keadaan semula jadinya serta menutupnya dengan kain putih.

"Mula-mula saya buka bahagian kepala dan (Datin) Faridah berkata, ia mempunyai misai dan rambut yang dicam olehnya. Kemudian ditunjukkan pula bahagian jari tangan dan seterusnya bahagian kaki." Pada ibu jari kaki kanan ada tanda hitam dan bentuk kaki mengikut kata (Datin) Faridah bersesuaian dengan jasad suaminya," katanya.

Mayat Datuk Idros @ Mazlan Idris dicam oleh isterinya, Datin Faridah Zainuddin berdasarkan tanda-tanda pada badan Mazlan. Tanda-tanda itu adalah kaki yang penuh, jari kaki yang panjang, tanda hitam pada kuku ibu jari kaki kanan, gigi bahagian atas yang bertampal, misai nipis, dahi yang luas serta rambut yang ikal. Faridah memberitahu Mahkamah Tinggi Temerloh semua tanda-tanda membolehkannya cam mayat suaminya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, Faridah berkata sesi cam itu dijalankan di Hospital Daerah Raub pada awal pagi 22 Julai 1993 dengan disaksikan oleh Dr Abdul Rahman Yusof.

Episode XI "Sambungan Perbicaraan"

RAMAI yang ingin tahu lagi mengenai keadaan jasad Datuk Mazlan Idris yang ditemui di sebuah rumah belum siap di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada 22 Julai 1993. Ada yang pandai buat andaian sendiri. Macam penyiasat persendirian. Aku tak mahu cerita panjang kerana keterangan dalam mahkamah tidak boleh dimanupulasi. Ia mesti tepat supaya tidak menimbulkan kekeliruan pada orang awam. Nak cerita panjang lebar, takut tersilap fakta pula. Jadi aku turunkan petikan keterangan Dr Abduk Rahman Yusof yang ketika itu Perunding Kanan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur. Dr Abdul Rahman disoal Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam



ZAKARIA: Pada 22 Julai 1993, kira-kira jam 3.20 pagi adakah Dr terima panggilan daripada polis?

DR RAHMAN: Ada.

HAKIM: Daripada siapa?

DR RAHMAN: (Timbalan Penguasa) TPP Takbir (Ahmad Nazim Mohamad).

ZAKARIA: Apa pesanannya?

DR RAHMAN: Dia memberitahu supaya bertolak ke Balai Polis Raub dan seterusnya ke tempat kejadian (rumah tak bernombor, Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub), di mana satu jasad ditemui.

ZAKARIA: Pukul berapa bertolak ke Raub?

DR RAHMAN: Bertolak kira-kira jam 6 pagi dan tiba kira-kira 7.20 pagi.

(Dr Abdul Rahman kemudian meminta hakim untuk membuat rujukan catatannya.)

ZAKARIA: Apa yang dibuat di tempat kejadian?

DR RAHMAN: Saya bertemu dengan TPP Takbir (Ahmad Nazim Mohamad); Pegawai Penyiasat Ketua Inspektor (ketika itu Penolong Penguasa) Mahpop Jaafar; Datuk Zaman Khan dan Datuk Ragib Salleh. Saya ditunjukkan satu lubang yang siap digali di rumah tidak siap. Saya melihat lubang itu telah digali dengan kedalaman kira-kira 1.5 meter dengan keluasan 1.2 meter kali 1.3 meter. Ketika tiba di tempat kejadian, kerja-kerja menggali sudah dihentikan.

ZAKARIA: Setelah tiba, kerja-kerja menggali di sambung semula?

DR RAHMAN: Kerja disambung semula kira-kira jam 8 hingga 10 pagi.

ZAKARIA: Apa yang Dr saksikan?

DR RAHMAN: Kerja menggali dilakukan oleh pasukan polis hutan. Pada kedalaman kira-kira 1.6 meter jelas kelihatan dalam lubang itu bahagian belakang satu jasad manusia dan satu bahagian dari penjuru kanan ada bahagian atas kepala manusia. Saya telah turun dalam lubang itu untuk membuat anggaran kedudukan tangan dan kaki jasad itu. Proses menggali diteruskan dan saya mendapati bahawa jasad itu tidak mempunyai kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki. Maksudnya terpisah. Selepas gambar diambil oleh jurugambar polis, bahagian yang terpisah itu dikeluarkan.



ZAKARIA: Siapa yang keluarkan?

DR RAHMAN: Saya sendiri yang angkat. Pada masa itu saya dapat melihat ada kesan luka, kesan tetakan pada leher. Kemudian saya meminta bantuan anggota polis yang masih berada di bawah untuk mengeluarkan jasad itu.

Bahagian badan itu terpisah akibat proses pemotongan bahagian lengan dan pangkal paha. Dan jelas bahagian tengah abdomen ada kesan luka yang panjang. Selepas jasad dikeluarkan, proses menggali diteruskan. Pada lapisan kedua, ada bahagian paha dan ketulan daging. Pada lapisan ketiga ada tulang betis dan tulang paha serta tangan kiri. Pada lapisan keempat ada bahagian tangan kanan yang putus. Saya kira ada 18 bahagian jasad yang dijumpai antaranya bahagian kepala, dada, badan, bahagian kaki dan tangan serta beberapa ketul daging. Saya telah susun jasad itu mengikut keadaan semula jadinya. Semua bahagian itu bersesuaian, berdasarkan bentuk semula jadinya dan bentuk tulang, terdiri daripada satu tubuh atau satu jasad manusia.

Selepas gambar (jasad) diambil, bahagian tubuh itu dihantar ke Hospital Raub untuk saya jalankan bedah siasat. Zakaria kemudian meminta izin hakim untuk menunjukkan gambar-gambar bahagian jasad Mazlan untuk pengecaman. Hakim juga meminta supaya gambar-gambar itu diberikan kepada juri. Dr Abdul Rahman kemudian mengesahkan gambar-gambar itu.

ZAKARIA: Di hospital (Raub) adakah (bekas isteri Mohd Mazlan) Datin Faridah (Zainuddin) datang membuat pengecaman mayat?

DR RAHMAN: Untuk justifikasi jasad si mati, saya mendapat keterangan dengan membawa isteri untuk mengecam mayat yang dipercayai Datuk Mazlan dan sepupunya (Mohd Mazlan), Zainal Abidin Ibrahim untuk membuat pengecaman.

ZAKARIA: Bolehkan Datin Faridah dan Zainal Abidin mengecamnya?

DR RAHMAN: Boleh.

(Faridah dan Zainal Abidin kemudian dibawa masuk ke bilik mahkamah untuk pengecaman oleh Dr Abdul Rahman. Beliau kemudian meneruskan keterangan).

DR RAHMAN: Datin Faridah tiba dulu dan kemudian Zainal Abidin. Datin Faridah ditemani oleh Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri (kini Tun) Mohd Khalil Yaakob, memasuki ruang pembedahan. Saya kemudian tunjukkan jasad yang telah dibersihkan. Saya susun jasad itu mengikut keadaan semula jadinya dan tutup dengan kain putih. Mula-mula saya membuka bahagian kepala dan Datin Faridah berkata ia mempunyai misai dan rambutnya yang telah dicam oleh beliau. Kemudian saya tunjukkan bahagian jari tangan dan seterusnya bahagian kaki. Ibu jari kaki kanan ada tanda hitam dan bentuk kaki mengikut Datin Faridah bersesuaian dengan jasad suaminya.

ZAKARIA: Boleh beritahu mahkamah letak tanda itu?

DR RAHMAN: Pada hujung ibu jari kanan.

ZAKARIA: Adakah Zainal Abidin cam jasad itu?

DR RAHMAN: Ya.

ZAKARIA: Dr kata tadi, sebelum pengecaman mayat dibersihkan. Apakah pendapat Dr sebagai pakar, jasad itu boleh dicam oleh orang yang biasa melihatnya?

DR RAHMAN: Ya.

Selepas itu ditanya bagaimana keadaan mayat. Ceritanya agak terperinci. Potong kat mana. Apa yang ada. Apa yang hilang. Malas nak cerita panjang, kau orang tunggu aje.

Episode XII "Keterangan Bedahsiasat"

KETERANGAN Dr Abdul Rahman Yusif memang panjang - sampai tiga jam. Aku masih ingat kami dapat rehat sebentar aje. Masa rehat pun perbicaraan diteruskan. Lenguh juga tangan aku buat catatan. Hasilnya yang anda semua baca ni. Sebutir sebutir cakap dia aku kena tulis. Pendekkan cerita aku teruskan catatan keterangan dia.

ZAKARIA: Apakah penemuan bedah siasat?

DR RAHMAN: Pada pemeriksaan luaran, saya menjalankan pemeriksaan pada satu jasad yang telah dipisah-pisahkan kepada 18 bahagian. Saya juga menyediakan satu salinan carta untuk rujukan. Pertama bahagian kepala yang telah terpisah daripada bahagian badan pada bahagian leher. Kedua, bahagian badan yang telah tercerai dengan kedua-dua tangan pada bahagian ketiak dan tercerai kedua-dua kaki pada pangkal paha. Ketiga, bahagian tangan kanan telah terpisah kepada tiga bahagian iaitu bahagian pergelangan tangan dan bahagian siku. Keempat, bahagian tangan kiri terpisah kepada dua bahagian pada bahagian siku.

DR RAHMAN: Kelima, kedua-dua bahagian kaki, kiri dan kanan telah terputus kepada tiga bahagian iaitu pangkal paha, lutut dan buku lali. Keenam, lima ketulan daging telah dikeluarkan daripada tulang panjang iaitu daripada tulang lengan, tulang tangan kanan dan dua daripada tulang paha. Saya juga mendapati bahagian kulit yang telah hilang iaitu kulit, betis kedua-dua bahagian kiri dan kanan serta otot-otot lengan kanan. Semua bahagian yang saya periksa ini dalam proses pembusukan dan tidak ada sebarang ulat hasil proses itu. Ada tahi lalat pada pipi kiri. Keadaan mata telah kecut, keadaan lidah juga kecut. Keadaan abdomen tidak bengkak disebabkan ada luka hiris di bahagian hadapan yang telah mendedahkan usus-usus dari tali usus yang sedang bengkak. Anggaran ketinggian jasad itu kira-kira 1.65 meter. Saya mendapati pada bahagian kepala jelas keseluruhan dengan tiga kesan tetakan pada paras tulang keempat (tulang leher). Keadaan pemotongan ini adalah potongan bersih dan licin (clean cut) merintangi bahagian hadapan leher terus ke belakang dengan memotong badan keempat dan ada kesan pendarahan di sekeliling badan keempat. Lukis hiris itu memotong keseluruhan struktur bahagian leher daripada kulit, otot-otot, saluran darah, tulang bahagian alat pernafasan dan saraf tunjang yang putus keseluruhannya.

Dari bahagian bawah dagu terus ke belakang, luka hiris ini bertembung atau bersambung dengan luka hiris atau tetakan pada bahagian sebelah kiri kepala dan leher. Luka pertama telah memotong sebahagian daripada bawah cuping telinga kiri terus mengarah ke belakang dan ke bawah menembusi tulang kepala bahagian belakang. Dan ini menyebabkan satu ruang akibat tetakan yang telah mendedahkan bahagian dalam tempurung kepala. Satu lagi luka berkaitan luka potong pada bahagian bawah, luka ini adalah luka hiris dan telah menyebabkan terpotongnya tulang belakang kepala berukuran 11 kali 2 sentimenter.



Bahagian badan telah terpisah pada bahagian atas iaitu bahagian kepala, kedua-dua bahagian ketiak dan bahagian pangkal paha. Luka hiris pada bahu kanan adalah luka potong dan bentuk luka itu adalah terdiri daripada tiga kali hiris atau potong dengan setiap satu panjangnya 13 sentimenter. Selain itu, tangan kanan yang terputus di bahagian bahu dan juga siku mengandungi hanya sebahagian kecil tisu atau otot-otot. Lengan kanan yang telah terputus di bahagian siku dan pergelangan tangan menunjukkan disebabkan hiris bersih. Sebahagian besar tisu iaitu otot-otot telah ditanggalkan daripada tulang belakang. Tangan kanan telah terpisah pada
pergelangan tangan dengan luka hirisan bersih. Bentuk tangan masih boleh dapat dilihat dengan baik, walaupun proses pembusukan dalam keadaan berat (advance decomposition). Kuku-kuku jari tangan kanan telah tercabut. Tangan kiri telah dipisahkan pada bahagian bahu dan siku, iaitu dengan luka hiris bersih pada paras kepala siku dan kepala tulang radius.
Keadaan otot-otot adalah dalam proses pembusukan. Kaki kanan putus akibat potongan cara luka hiris pada pangkal paha. Ini menyebabkan kepala tulang paha masih melekat pada tulang punggung.

Paha kiri juga telah terputus pada bahagian pangkal paha dan seterusnya pada bahagian tulang. Kaki kiri terputus pada bahagian tengah kepala lutut iaitu pada kawasan tengah. Bahagian kaki kedua-duanya terputus akibat luka hirisan pada paras buku lali dan sebahagian besar kuku telah tertanggal melainkan kuku ibu jari kaki kanan. Saya juga melihat perubahan selepas
pembedahan. Selain proses pembusukan, bahagian lapisan luar kulit mudah tercerai dan begitu juga dengan rambut yang mudah tertanggal.

ZAKARIA: Apakah hasil pemeriksaan lanjut?

DR RAHMAN: Saya teruskan dengan pemeriksaan dalam. Saya akan terangkan mengikut sistem. Pertama, sistem saraf. Keadaan otak adalah dalam proses pembusukan iaitu otak telah cair. Saya tidak mendapati ada kesan patalogi yang jelas selain terputusnya saraf terutama saraf tunjang. Sebagaimana dinyatakan sebelum ini, sistem jantung dan saluran darah utama telah terputus akibat daripada luka hiran pada bahagian bersesuaian pada kecederaan luaran, terutama pada bahagian leher yang telah memutuskan saluran darah utama ke kepala. Bagi bahagian bahu dan pangkal paha, salur nadi utama adalah baik tetapi ada sedikit tompokan lemak. Keadaan jantung adalah biasa dengan beratnya kira-kira 300 gram dan mengalami proses pembusukan, di mana ada rongga-rongga udara di dalam otot jantung.



Saluran darah koronori ke jantung adalah baik, melainkan cabang sebelah
kanan ada sedikit tompokan lemak. Tidak ada parut atau kesan fibrosis pada otot jantung. Kedua, sistem pernafasan. Rangka dada adalah baik dan ada

perlekatan di antara paru-paru dengan kulit dada pada bahagian kanan. Saluran pernafasan putus pada paras tulang leher atas bahagian halkum dan juga di atas hiaod. Ada kesan pendarahan di sekitar tisu leher pada kawasan luka hiris. Kedua-dua paru-paru adalah kecut dan berada dalam pembusukan yang berat. Tiada kelainan atau perubahan patalogi atau penyakit pada paru-paru itu. Ketiga sistem GET. Abdomen menunjukkan ada luka hiris di bahagian hadapan dan luka ini adalah luka hiris menembusi keseluruhan dalam kulit abdomen.

Saya mendapati lapisan dinding lemak pada abdomen, telah tiada. Organ lain yang saya periksa satu persatu termasuk hepar (hati), pundi hempedu, buah pinggang, gester dan usus, kesemuanya dalam proses pembusukan.

Selain gester kosong atau tiada makanan, tiada kelainan atau penyakit. Berikutnya, sistem RES iaitu sum-sum tulang, tidak menunjukkan kelainan selain mengalmai proses pembusukan. Sistem limpa juga adalah baik dan tidak menunjukkan pembesaran. Sistem saluran kencing pula, semua organ diperiksa dan didapati tiada kelainan, kelanjar prostat tidak membesar, keadaan kemaluan adalah baik dan bersunat, serta kedua-dua buah zakar didapati hilang. Sistem tulang, selain kesan luka pada tulang kepala, tulang

vetebra keempat terputus sama sekali. Begitu juga tulang kedua-dua bahagian bahu, tulang tangan pada bahagian siku pergelangan tangan kanan. Kemudian kedua-dua tulang pangkal paha, diikuti kedua-dua tulang bahagian sambungan lutut dan buku lali. Sistem lain, selepas diperiksa semuanya mengalami proses pembusukan dan tidak didapati kecederaan lain yang bermakna. Ada lagi ceritanya.

Ada bertanya macamana keadaan Datuk Mazlan ketika dibunuh. Sedar ke atau tidak. kena tunggu lagi

Episode XIII "Punca Kematian"



AKU sambung lagi cerita bedah siasat jasad Datuk Mazlan Idris. Pada masa ini (1995/94) kaedahnya tidaklah secanggih sekarang. Macam cerita CSI dengan segala bantuan sains dan teknologi sekarang mereka dapat selesaikan semua masalah.

Tapi apabila aku dengar keterangan Dr Abdul Rahman Yusof aku tabik pada dia. Orang kita pun tak kurang hebatnya. Keterangannya sukar dicabar terutama dari segi teknikal. Biasanya peguambela pandai putarbelitkan soal teknikal nak lepaskan anak guam mereka.

Kelain pula aku. Aku sambung balik keterangan Dr Abdul rahman yang disoal Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam.

ZAKARIA: Hasil daripada pemeriksaan, apakah kesimpulan atau sebab kematian?

DR RAHMAN: Hasil daripada pemeriksaan menunjukkan lelaki ini adalah dalam keadaan sihat dan tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan dia mengalami penyakit ataupun perubahan patalogi yang boleh menyebabkan kematiannya. Hasil bedah siasat menunjukkan bahawa jasad itu telah dicerai-ceraikan kepada 18 bahagian, termasuk lima bahagian ketulan daging. Luka hiris pada bahagian leher adalah luka utama menyebabkan kematian dengan terputusnya struktur-struktur leher. Ini juga dikenali dengan istilah `decapitation of head'. Berdasarkan kepada bentuk kecederaan di mana tidak ada luka tangkisan (defensive wound). Luka di bahagian leher adalah luka hiris atau satu tetakan menggunakan senjata yang tajam dan berat. Dan luka ini menyebabkan kematian yang serta-merta, iaitu terhentinya sistem denyutan jantung atau pernafasan, terputusnya saluran saraf tunjang dan terputus saluran-saluran darah utama yang menyebabkan pendarahan. Dengan ini saya mengesahkan bahawa kematian dalam kes ini adalah disebabkan "decapitation of head due to sharp and cutting heavy weapon". (terputusnya kepala disebabkan tetakan senjata tajam dan berat).

ZAKARIA: Ada lima ketulan daging, adalah ia tercerai cara semula jadi?

DR RAHMAN: Bukan sebab semula jadi tetapi diceraikan.

HAKIM: Bagaimana diceraikan?

DR RAHMAN: Paha dipotong terlebih dahulu dan dipisahkan daripada tulang.

HAKIM: Dengan senjata?

ZAKARIA: Boleh doktor jelaskan kedudukan jasad ketika leher terputus, dipancung?

DR RAHMAN: Kalau menurut bentuk kecederaan sebagaimana yang saya sebut tadi, saya tidak lihat luka tangkis atau defensive wound. Luka yang menyebabkan kematian ada pada leher. Tetakan ini adalah bersesuaian dengan tetakan daripada hadapan ke belakang di mana tetakan ini menyebabkan tulang dari depan ke bekalang dipotong, dalam keadaan melentang bukan terbaring atau tertunduk.

ZAKARIA: Boleh doktor beritahu mahkamah jangka waktu kematian?

DR RAHMAN: Ya. Masa kematian yang pasti tidak mungkin. Anggaran masa berdasarkan kepada keadaan mayat dan perubahan selepas kematian.

Sebagaimana anggaran ini, mayat ini mati lebih daripada dua minggu tapi tidak melebihi empat minggu (iaitu ketika ditemui pada 22 Julai 1993).

Ada orang tanya ketika dibunuh bagaimana keadaan Datuk Mazlan - dia sedar atau tidak. Berdasarkan bedah siasat Datuk Mazlan idris dipercayai tidak melawan ketika kepalanya dipancung. Dr Abdul Rahman membuat andaian itu berdasarkan ketiadaan luka tangkis pada jasad Mohd Mazlan selepas pemeriksaan dan bedah siasat.

"Jika mengikut bentuk kecederaannya, saya tidak lihat luka tangkis. Saya juga dapati tiada kesan tumbukan atau tikaman pada jasad itu.

"Berdasarkan pemeriksaan juga, saya percaya tidak berlaku pergaduhan sebelum kepalanya dipisahkan daripada leher," katanya. Dia juga percaya Mohd Mazlan masih hidup dan berada dalam kedudukanmenelentang dengan mukanya ke atas ketika dipancung.

Dr Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa Mohd Mazlan tidak mungkin berdiri atau membongkok ketika kematiannya. Selain itu, katanya, luka yang menyebabkan kematian adalah pada leher.

Menurutnya, tetakan itu adalah bersesuaian daripada hadapan ke belakang menyebabkan tulang dari dagu ke belakang dipotong. Katanya, adalah jelas bahawa kepala itu terputus keseluruhannya dengan tiga kesan tetakan pada paras tulang belakang leher.

"Keadaan potongan itu adalah potongan bersih dan licin merintangi bahagian hadapan terus ke belakang," katanya. Selepas ini kita dengar pula keterangan Juraimi bagaimana Datuk Mazlan ditetak.

- bersambung









Kes Perbicaraan Arwah Mona Fandey

Oleh: Miraks




"Mona Fandey"

Episode I

AKU pernah melihat wajahnya di kaca tv pada sekitar awal 1990-an. Apa yang aku tahu dia seorang penyanyi pada masa itu.

Tapi yang aku pelik mengapa orang yang tak boleh menyanyi boleh bikin album. Bukan itu saja lagunya yang hingga kini aku sendiri tak boleh ingat masuk dalam Muzik Muzik Muzik terbitan TV3. Minggu pertama masuk dah terkeluar. Iras dan raut wajahnya macam 'jantan' memang aku tak boleh lupakan. Mungkin ramai lagi yang tak perasan dia sebagai penyanyi.

Tiba-tiba pada 1993 - namanya meletup dan menjadi sebutan ramai. Bukan kerana lagunya menduduki carta lagu atau menang pertandingan menyanyi - tetapi dikaitkan dengan pembunuhan ngeri. Kalau sebut kes Mona Fandey dah ramai yang tahu siapa wanita ini. Nama asalnya Maznah Ismail. Dia bersama suaminya dan pembantu mereka ditahan kerana dituduh membunuh Datuk Mazlan Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang antara pukul 10 malam - tengah malam 13 Julai 1993 di sebuah rumah di Kampung Peruas Ulu Dong, Raub, Pahang.

Mona Fandey, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman, dan pembantu mereka Juraimi Hussin telah dibicara dan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Rayuan mereka kepada Lembaga Jumaah Pengampunan Negeri Pahang telah ditolak.

Mereka dihukum gantung hingga mati pada 6 hingga 6:30 pagi Jumaat 2 November 2001. Aku sebut pasal Mona Fandey kerana pernah 'bersama' mereka hampir setahun. Hari-hari tengok muka mereka.

Episode II "Mona's Background"


NAMA sebenarnya Maznah binti Ismail. Asalnya dari Perlis. Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang ketika kesnya dibicarakan pada 1994, dia turut memperkenalkan dirinya sebagai Mona Fandey.

Mona juga memberitahu mahkamah bahawa dia seorang artis, ahli perniagaan dan bomoh serta bekas ketua cawangan sebuah parti politik. Gaya dia memberi keterangan memang cukup dramatik - ada kala serius,menangis dan ketawa. Aku masih ingat bagaimana Mona Fandey menyanyi dalam mahkamah ketika memberitahu hakim bahawa dia seorang artis. Lagunya Menangis Tak Berair Mata yang dipopularkan oleh Jamal Abdillah. Nasib baik intronya saja. Kalau tidak...

Tapi aku hanya mampu tersenyum dan tiada siapa yang berani ketawa. Bukan kerana takut ditegur hakim, tetapi bimbang Mona melenting. Aku masih ingat ketika diberi tugasan membuat liputan kes Mona. Perasaan bercampur baur. Suka pun ada, takut pun ada. Apa tidaknya, pasangan bomoh suami isteri ini dikatakan handal. Boleh 'buat' orang dengan merenung saja.

Sebab tu, masa buat liputan kes ini, aku banyak berzikir dan membca ayat suci al-Quran sebagai pendinding. Kata orang berjaga-jaga, akukan bakal menghadap mereka setiap hari. Satu lagi pesanan jangan tenung muka mereka. Kalau mereka tenung, jangan pandang balik. Tapi kadang kala kena tengok juga mereka sebab kandang orang kena tuduh dan tempat duduk media bertentangan. Bukan jauh pun, Adalah dalam lima kaki.

Aku kena tengok juga apa dia buat dalam kandang. Kena tulis tu sebab dalam mahkamah tak dibenarkan rakam gambar. Lama kelamaan sudah biasa. Aku dan rakan lain tak 'takut' dengan Mona. Alhamdullillah, tiada perkara buruk berlaku. Malah, kami 'berkawan' baik pula dengan mereka.

Tapi dalam percaya tak percaya - banyak peristiwa aneh berlaku ketika kes ini. Yang ini tak dilaporkan media. Ada yang sakit perut, kemalangan jalan raya, kereta rosak ketika hendak pergi ke tempat kejadian hingga peguambela dimasukkan ke hospital. Berbalik pasal Mona Fandey, aku pun tak tahu macam mana dia dapat nama glamour ni. Kalau ada kebenaran masa tu, hendak juga aku temu ramah dia.

Aku ingat Mona tu nama mesra dia. Fandey tu kemungkinan panggilan pendek suami dia, Mohd Affendy Abdul Rahman. Gabungan itu, maka jadilah nama komersial - Mona Fandey.

Nama Mona Fandey sebenarnya berada di persada seni pada 1987 dengan kemunculan album - Diana I. Aku sendiri pun tak pernah tengok album tu.
Album sembilan lagu ini terbitan syarikatnya MFJ Productions Sdn Bhd dan pengedarnya Warnada Music. Mona mempunyai strategi sendiri untuk melariskan album ini dengan mengadakan kuiz yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000. Aku rasa artis sekarang masih boleh pakai strategi ini. Tapi kalau tawar duit pun, kalau lagu tak menyengat orang tak akan beli. Buktinya album Mona ni.

Nak tahu soalan kuiz tu. Berapakah usia Mona ketika itu. Jawapan pilihan 27, 29 dan 31.

Soalan lain, tahun berapakah Mona mendapat gelaran Ratu Trengkas Melayu Malaysia - A. 60-an, B. 70-an dan C. 80-an. Di negeri manakah Mona dilahirkan - A. Kelantan, B. Perak dan C. Perlis.

Soalan lain - Berapa hari bulankah album pertama Mona dikeluarkan. A. 15.6.1987, B. 13.6.1987 dan C. 20.6.1987.

Soalan paling lawak. Siapakah nama suami Mona. A. Mohd Affandi Ab Rahman, B. Afandi Rahman dan C. Afendi Rahman. Kalau zaman ini aku rasa sesuai untuk kuiz album Anita Sarawak. Soalannya siapakah nama suami Kak Nita.

Album ini hanya meletup selepas kes Mona mendapat perhatian ramai. Bukan apa - orang nak dengar juga macam mana suara Mona ni. Pada 1991, Mona menggemparkan dunia seni tanah air apabila keluar berita dengan tajuk - Artis miliki pulau persendirian. Dalam laporan itu Mona mendakwa membeli sebuah pulau di selatan thailand. Fuh kayanya dia. Laporan itu menyebut Mona Fandey dan suaminya, Affendy Abdul Rahman, menjadi artis pertama Malaysia yang memiliki sebuah pulau persendirian seluas 4,800 hektar yang hendak dimajukan sebagai pusat peranginan terbesar di rantau ini.

Mona dilaporkan membeli Pulau Oaks berhampiran Pulau Langkawi, Phuket dan Pattaya, dengan harga RM5.8 juta pada 1990.

Mona juga mendakwa gemar mengumpul kereta sehingga beliau dan suaminya memiliki lima BMW dari siri 3 hingga 7, Honda Prelude, Mercedes Benz, Jaguar, Trooper dan beberapa wagon.

Episode III "fakta kes"


TARIKH 12 September 1994 - tidak mungkin dapat aku dilupakan dalam hidup ini. Bukan apa, aku membuat liputan kes paling sensasi pada abad ke-20. Pada hari itu di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang, pasangan bomoh Maznah Ismail atau Mona Fandey, ketika itu berusia 38 tahun dan suaminya, Mohd Affendy Abdul Rahman, 37, serta pembantu mereka Juraimi Husin, 24, mula dibicarakan.

Mereka bertiga menghadapi tuduhan membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Talam, Allahyarham Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Perusa, Ulu Dong, Raub, diantara jam 11 malam 2 Julai hingga 9.30 malam 13 Julai 1993. Ketiga-tiganya dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahannya.

Kes ini juga mempunyai sejarah tersendiri apabila menjadi perbicaraan terakhir menggunakan khidmat juri di Malaysia. Selepas itu sistem juri dalam membuat keputusan perbicaraan dihapuskan.

Kes yang pada awalnya boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan berlarutan hingga sembilan bulan. Kes itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mokhtar Sidin. Mohd Affendy dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu, manakala Mona di Penjara Kajang, sebelum dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.

Kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Temerloh selepas lapan bulan Hakim Mahkamah Tengah Temerloh, Jalaludin Saleh yang bertindak sebagai majistret dalam siasatan awal kes berkenaan, memerintahkan supaya kes itu dibicara di Mahkamah Tinggi pada 18 Disember 1993. Kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi selepas mendapati keterangan pendakwa mencukupi untuk mendakwa mereka bertiga terhadap tuduhan dengan niat bersama membunuh Mazlan.

Siasatan awal kes itu dijalankan selama 17 hari di Mahkamah Majistret Raub, mulai 26 Oktober 1993. Pendakwaraya hanya memanggil 70 saksi untuk memberi keterangan dalam itu dan menawarkan 86 saksi lain kepada penguambela tertuduh.

Dalam siasatan awal juga 295 barang kes, termasuk pelbagai jenis senjata serta barang kemas, dikemukakan kepada mahkamah. Dalam siasatan awal, Mona dan Nor Affendy dibela oleh Gulam Mustapha Nadar Ali Khan sementara Juraimi pula diwakili R V Lingam. Mayat Allahyarham Mazlan dijumpai dalam keadaan terpotong kepada 18 bahagian, tertanam di bawah sebuah stor di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, pada 22 Julai 1993.

Kali terakhir Allahyarham Mazlan dilihat ialah pada jam 9.30 malam 2 Julai 1993. Laporan mengenai kehilangan Mazlan dibuat di Balai Polis Raub pada 18 Julai 1993 oleh bekas Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Zuki Kamaluddin, selepas Allahyarham tidak muncul dalam beberapa majlis rasmi di Pahang, sejak 3 Julai 1993.

Pasangan suami isteri itu ditahan di Balai Polis Wangsa Maju, dekat Kuala Lumpur pada 20 Julai 1993 manakala Juraimi ditangkap tiga hari selepas itu.

- bersambung