Translate

Tajaan

Isnin, 11 Julai 2011

Mat Sabu: Land Rover polis rempuh saya


Joseph Sipalan
Jul 11, 11
3:44pm


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini mendakwa polis menggunakan trak merempuh motosikal yang diboncengnya ketika dalam perjalanan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 kelmarin.

NONEMelawat Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam dengan berkerusi roda, pemimpin yang selalu ceria itu kelihatan serius menceritakan kembali pengalamannya itu.

Mohamad (kiri) berkata, ketika dalam perjalanan dari Masjid Negara, tiba-tiba sebuah Land Rover merempuhnya.

Ketika itu, tambahnya, beliau tidak tahu bahawa kenderaan itu dipandu pihak polis.

Dalam sidang media itu, Mohamad berkata, setelah terjatuh di jalan, beliau dan penunggang motosikal itu dibawa dengan Land Rover itu ke klinik di Jinjang sebelum kes itu dirujuk ke hospital.

Kartunis Zunar terima anugerah antarabangsa


Kartunis kontroversi Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar dianugerahkan penghormatan antarabangsa ekoran kritikan sinisnya terhadap perjalan politik di negara ini.

Beliau menerima anugerah dalam bidang kartun editorial di daripada Jaringan Antarabangsa Hak Kartunis (CRNI) yang berpengkalan di Amerika Syarikat pada 7 Julai lalu.

Anugerah itu disampaikan dalam majlis tahunan di St Petersburg, Florida oleh Presiden CRNI Joel Pett.

NONESementara itu, Pengarah CRNI Dr Robert Russell dalam ucapannya berkata cara Zunar menangani "penapisan yang tidak sah" menjadi pedoman bahawa semua orang boleh mempertahankan kebebasan bersuara dan mengekalkannya.

"Satu pengajaran yang kita dapat dari pemenang anugerah tahun ini ialah kebebasan bersuara di sebahagian besar tempat di dunia ini terpaksa diperolehi dengan membayar harga yang mahal," katanya.

Zunar mendapat perhatian CRNI apabila beliau dan Malaysiakini memfailkan saman terhadap Kementerin Dalam Negeri ekoran pengharaman dua bukunya 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun.

Menurut CRNI, ketabahan dan ketahanan Zunar menghadapi tekanan, menggunakan strategi kreatif dan keberanian melawan kekuasan melayakkan beliau menerima anugerah itu.

Antara yang hadir menyaksikan acara itu termasuklah pemenang Anugerah Pulitzer dalam kartun editorial seperti Daryl Cagle, Dick Locher, Clay Bannet, Ben Sergeant, Mark Fiore, Mike Keefe, Ed Stein dan Rob Rogers.

Pemenang-pemenang sebelum ini antaranya kartunis Iran Mana Neyestani (2010), kartunis Mexico Mario Robles (2009), dan kartunis Palestin Baha Boukhari (2008).

CRNI mewakili lebih 600 kartunis di seluruh dunia dengan 21 kerjasama dengan negara membangun di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Pak Samad: Puisi sudah jadi 'senjata'


Salhan K Ahmad
Jun 27, 11
5:36pm

Sasterawan negara Datuk A Samad Said berkata, siasatan polis yang dijalankan ke atasnya hari ini menunjukkan puisi telahpun menjadi "satu senjata" dan bukan lagi satu hiburan semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa sedih ke atas tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan, sedangkan puisinya itu mengandung niat "murni."

"Apa yang saya lakukan ialah merakamkan satu peristiwa di mana saya fikir, untuk memperbaiki suasana, bukan untuk memperburukkan suasana.

NONE"Dalam puisi saya itu memang saya katakan kita sebenarnya perlu mempersuci demokrasi bukan memperkeruhkan atau mencemarinya.

"Dalam puisi itu adalah saranan-saranan yang saya fikir amat suci yang sepatutnya dihargai bukan dicurigai," katanya lagi ketika mengulas siasatan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu.

Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Tanpa menunjukkan rasa gentar, A Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa.

"Barangkali (polis) memberi amaran, tapi itu kalau seorang sasterawan, ini sememangnya lebih mendorongnya, menaikkan semangatnya oleh kerana mereka mulai tahu kesusasteraan mempunyai kuasa juga.

"Saya fikir puisi sekarang sudah diterima sebagai alat berkesan sebagai senjata. Dulu puisi ini untuk menghibur-hiburkan saja, sekarang rupanya puisi sudah mendapat perhatian yang amat luar biasa," katanya lagi ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas A Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini, A Samad berkata ucapan berkenaan turut dimuatkan di laman blog peribadinya – samadsaid.wordpress.com.

Ucapan berkenaan antara lainnya menyentuh mengenai gambaran media arus perdana ke atas kumpulan BERSIH 2.0.

"Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal.

"Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan 'siasah' yang sangat bercita-cita buruk.

"Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat," ucapan itu dipetik.

Unggun Bersih


Puisi : A. Samad Said
Muzik : Az Samad

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

Ahad, 10 Julai 2011

Anak Muda tak minat Politik


"Dah daftar untuk mengundi Afiz"

"Kat mana nak daftar tu ayah!"

"Dalam internet pun ada kut!" aku baru menyemaknya, huh! satu kelemahan kena pergi ke pejabatnya di Shah Alam; dalam dunia yang canggih masih ada ketidaktelusannya SPR ini.

http://www.spr.gov.my/index_files/hubungi_kami/hubungi.asp

Selalunya jika ada majlis ceramah atau apa jua himpunan politik ada meja daftar pengundi ini.

Maka itu anak muda tak ramai minat berpolitik, jiwa mereka masih terumbang ambing dalam mencari suasana mencari kerja. Apatah lagi penyata hutang PTPTN telah datang ke rumah. Belum pun dapat kerja hutang telah keliling pinggang. Apatah lagi jika ditanya fahaman politik mereka sungguh tak semua ambil tahu. Malahan ketika mengundi pun jiwa mereka entah ada entah tidak kesedaran.

Media arus perdana terusan menjaja dasar kerajaan yang indah bunyinya. Namun hakikat kehidupan belum tentu golongan muda ini akan dapat hdup sendiri; secara keseluruhannya mereka masih bergantung kepada ibu bapa. Mereka bukan anak jati kerajaan apatah lagi jika belajar di IPTS atau kolej swasta. PTPTN tidak sama dengan biasiswa apatah lagi dalam masa terdekat ini mereka yang gagal mendapat CGPA yang baik PTPTN akan ditarik balik.

Hidup terkaparlah mereka, tanpa keluarga entah ke manalah arah pembelajaran mereka. Sebab itu negara maju membolehkan rakyatnya belajar secara percuma. Ini amat perlu difikirkan oleh kerajaan. Tanpa warganegara yang bijak apalah yang ada sebagai aset buat negara.

PM gesa 'majoriti senyap' bangun nyata pendirian


Joseph Sipalan
Jul 10, 11
5:37pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini menggesa "majoriti senyap" di kalangan rakyat Malaysia, yang beliau dakwa menentang perhimpunan BERSIH 2.0 semalam, supaya menyatakan pendirian jelas mereka di ruang siber.

Katanya, sudah tiba masanya bagi mereka berhenti menjadi majoriti senyap, dan mengambil kesempatan daripada kemudahan di talian yang sedia ada seperti laman rangkaian sosial untuk menyuarakan pandangan mereka.

Perdana menteri menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar selepas berucap kepada 6,000 ahli Umno dan NGO di PWTC pagi ini.

Sambil membayangkan pentadbiran beliau lebih suka rakyat menyuarakan pandangan mereka di internet, Najib menegaskan bahawa bila kerajaan menolak perhimpunan jalanan, ia tidak bermakna ia menjauhi demokrasi.

"Ia tidak bermakna kita tidak komited kepada demokrasi di negara ini, dan kedaulatan undang-undang ... sudah ada demokrasi di negara ini," katanya.

PENTING BERSIH 2.0: Mengapa Ambiga?

Salam Palestin,

Mengapa Ambiga?

Wanted

Semasa saya berada di Mesir sebulan lepas, ada persoalan dibangkitkan oleh para pelajar di sana berkaitan BERSIH 2.0, penganjur perhimpunan aman yang menuntut reformasi pilihan raya yang telus dan adil, terutama berkaitan pengerusinya, Datuk S. Ambiga. Ia agak hangat apabila kumpulan anti BERSIH, termasuk sesetengah kumpulan Islam mula mempertikaikan kesanggupan PAS menganggotai BERSIH, sedangkan beliau adalah seorang yang disifatkan anti Islam berdasarkan rekodnya yang tersebar, sebahagiannya benar, manakala sebahagian lagi adalah bohong dan fitnah.

Saya telah menjawabnya dan saya fikir jawaban saya mampu menenangkan mereka walaupun agak ringkas kerana soalan-soalan lain yang agak banyak dan pelbagai yang menyuntukkan masa. Tetapi, persoalan itu terus hidup sehingga kini di tanah air kita apabila ia sentiasa diberi nafas melalui peluru sms dan bicara siber yang bersifat dan bertujuan menyentak dan membantut semangat anak-anak muda Islam daripada menyertai perhimpunan aman pro demokrasi adil yang semakin menjadi kenyataan sabtu ini, insya Allah.

Walaupun agak lewat, saya fikir elok juga untuk para penjengok blog saya meneliti dapatan yang saya muatkan di bawah. Tujuan saya adalah untuk mempertingkatkan kefahaman politik Islam, seterusnya meyakinkan semua bahawa PAS telah mengambil keputusan yang betul, syar’ie dan positif demi kepentingan politik negara dan umat Islam juga yang sentiasa berhadapan kekeliruan oleh penganut Melayunya sendiri.

Pertama, Bolehkah kita berketuakan seorang non muslim? Ini soalan yang jawabannya agak mudah, cuma mudah juga untuk dikelirukan oleh pengeliru yang suka menyusahkan dan menjalani hidup hipokrit.

Untuk institusi dan kumpulan kehidupan sosial, samada dalam masyarakat Islam yang majoriti atau sebaliknya, Islam tidak pernah melarang berketuakan seorang non muslim, lelaki atau perempuan, jika institusi dan kumpulan itu bertujuan baik dan tidak bercanggah dengan agama. Itu dapat dilihat melalui ‘ijmak’ ulama masa kini yang membiarkan penglibatan umat Islam di dalam pelbagai pertubuhan sosial yang bertujuan membina kehidupan manusia yang lebih baik.

Contoh terbaik adalah pertubuhan peringkat antarabangsa seperti PBB. Ia selalunya diketuai non muslim dan tujuannya baik walaupun sering tunduk kepada kekuasaan yang acap kali memusuhi Islam seperti Amerika. Tiada fatwa yang mengharamkan negara-negara Islam – sedangkan mereka adalah ketua-ketua umat Islam – menganggotainya. Jika begitu, anda bolehlah kiaskan secara mudah betapa pertubuhan-pertubuhan yang lebih kecil adalah lebih layak dan syar’ie bagi umat Islam untuk menyertainya.

Maka, pada asasnya, penyertaan PAS di dalam BERSIH 2.0 yang diketuai seorang non muslim adalah harus kerana tujuannya yang murni, malah merupakan tunjang kehadiran Islam di muka bumi, iaitu menegakkan keadilan dan kebebasan hidup.

Adapun untuk sebuah negara, berketuakan non muslim dalam sebuah negara yang umat Islam Islam memiliki kekuatan untuk melantik dan memilih seorang muslim sebagai ketuanya adalah tidak harus. Ini kerana adalah mustahil seorang non muslim akan memandu negara tersebut untuk patuh tunduk kepada syariat Islam di dalam bernegara.

Sebaliknya, jika umat Islam tiada memiliki kekuatan tersebut, seperti memiliki jumlah minoriti, maka berketuakan non muslim adalah harus selagi mereka bebas menjalani hak mereka sebagai seorang muslim. Contoh mudah ialah kerajaan nabi Yusuf alaihissalam. Baginda adalah menteri kepada kerajaan yang kufur. Ada beberapa persoalan mungkin timbul, saya ketepikan dulu untuk memberi laluan kepada topik asal perbincangan.

Kedua, bagaimana jika ketua itu anti Islam? Ada beberapa keadaan. Pertama, jika pertubuhan itu bermaksud anti Islam, maka jelas haram menyertainya. Jika tidak, bahkan untuk turut menyokong matlamat Islam, maka hukum adalah sebaliknya. Kedua, jika ketuanya anti Islam dan secara jelas dilihat begitu, maka hendaklah dilihat kesan baik dan buruknya. Jika keburukan mendahului atau sama atau ditakuti buruknya, maka hukumnya tidak harus. Ini soal ijtihadiah dalam siyasah syar’ieyah.

Lihat juga perbahasan ulama dan fatwa mereka dalam penyertaan umat Islam di dalam pertubuhan-pertubuhan tajaan zionis misalnya. Walaupun zahirnya kelihatan baik, tetapi keraguan adalah besar disebabkan matlamat zionis terhadap Islam adalah jelas, apatah jika ketua pertubuhan tersebut dilihat pro zionis.

Adapun jika ketua tersebut dilihat anti Islam kerana beberapa tindakannya yang menunjuki demikian, maka ia bergantung kepada matlamat pertubuhan tersebut dan perjalanannya, bukan pada ketuanya. Semua bukan Islam adalah biasa dan natural jika beberapa tindakannya dilihat bercanggah atau memusuhi Islam. Jika tidak, terbantutlah kehidupan yang dicanang agama Islam yang sejagat agar Islam menghubungkan sesama manusia, bukan memutuskan! Islam dengan itu akan hanya relevan dalam masyarakat Islam sahaja, bukan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya.

Ketiga, bagaimana dengan Datuk S. Ambiga? Saya akan merujuk kepada beberapa dakwaan terhadapnya sehingga beliau dituduh oleh pihak yang menuduh sebagai anti Islam, terutama berkaitan soal murtad dan pluralisme agama.

1) Adakah salah untuk seorang bukan Islam berpendapat dan bertindak menyalahi hukum Islam sedangkan ia tidak menyalahi undang-undang negara? Jika salah, maka adalah baik untuk kita tumpukan dulu pertuduhan dan kemarahan kita itu terhadap orang Islam sendiri yang berkata dan bertindak menyalahi hukum agamanya sendiri daripada melampiaskan kemarahan kita kepada orang luar yang mungkin saja bertindak demikian hanya kerana melihat telatah umat Islam sendiri yang menolak agamanya.

Jika tidak salah, maka mengapa kita menganggapnya anti Islam, sedangkan undang-undang negara tidak menganggapnya salah? Adakah agama kita memaksakan mereka sebagaimana agama kita memaksakan kita? Tidak bukan? Undang-undang negara membenarkan mereka mencabar. Jadi, salahkah mereka bergerak di atas lunas-lunas itu?

Yang boleh memaksakan semua adalah undang-undang yang terpakai di dalam sesebuah negara. Islam tak terpakai di negara kita. Jadi persoalan asas adalah mengapakah tidak dilaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, atau dalam isu ini, yang berkaitan penjagaan terhadap agama Islam dan individu muslim daripada dijadikan bahan murahan dan mainan seperti kes murtad oleh umat sendiri.

Maksud saya, pertuduhan anti Islam terhadap individu non muslim seperti Datuk S. Ambiga dan sepertinya adalah berbentuk persepsi dan anggapan. Ia bukan terbukti. Sesuatu yang samar-samar tidak boleh dibina hukum di atasnya. Ia adalah kezaliman. Kezaliman tertolak daripada merajai hukum agama.

Ya, benar bahawa persepsi dan kesamaran itu berguna untuk sikap berhati-hati. Adakah anda menjangkakan BERSIH 2.0 adalah medan untuk menolak agama? Atau ianya adalah untuk menolak ketidakadilan? Penilaian adalah ke atas BERSIH 2.0, bukan lagi pada individu yang mengetuainya itu. Saya tidak berhujah untuk memperkenalkan BERSIH 2.0 di sini. Topik kita ialah ketuanya sesudah BERSIH 2.0 difahami sebagai kumpulan yang bersih murni matlamatnya.

Lainlah jika anda memang berpendapat bahawa BERSIH 2.0 itu sendiri adalah tidak bersih. Kita bincang di lain kali pula hal itu.

2) Siapakah yang patut bertanggung jawab terhadap tindakan-tindakan oleh kumpulan bukan Islam yang mencabar hukum agama Islam? Apatah, apabila tindakan tersebut dilakukan melalui lunas undang-undang negara? Sudah pasti jawaban kita adalah jelas bahawa yang bertanggung jawab adalah penggubal dan mereka yang meluluskannya. Hukum-hukum Islam, umat Islamlah – pemerintah Islamlah – yang mesti melaksanakan kedaulatannya sehingga tidak boleh lagi dicabar sewenang-wenangnya.

Malangnya, sebelum non muslim, umat Islam sendirilah yang berada di hadapan menentang perlaksanaan hukum syariat ke atas mereka dan negara mereka juga. Siapakah mereka? Agak malang, bahkan pelik sekali kerana mereka inilah juga yang sering menuduh Datuk S. Ambiga sebagai anti Islam?! Jadi, sudah pasti nyata bagaimana pertuduhan terhadap pengerusi BERSIH tersebut adalah semata-mata untuk mengaburi masyarakat agar turut menolak BERSIH 2.0 tersebut, walaupun pengerusinya ditukar kepada TG Abdul Hadi Awang! Saat itu, pertuduhan khas pula dicipta ke atas TG Abdul Hadi Awang. Mungkin sebagai neo Khawarij!?

Khulasahnya, sebelum anda melihat kepada Datuk S Ambiga, lihat dulu kepada kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan syariat Islam yang sebenar dan begitu takut dan ngeri dengan kemaraan BERSIH 2.0 itu. Mengapa takut kepada pencinta keadilan dan kebebasan jika mereka juga adalah kerajaan yang adil dan pro kebebasan?

3) Apakah yang sebenarnya dituntut oleh bukan Islam? Sudah pasti hak mereka sebagai rakyat yang mahukan keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek. Anda harus faham, sebagai sebuah minoriti agama dan bangsa, non muslim memiliki perasaan sendiri bahawa mereka merasa masih tidak selesa dan selamat dengan undang-undang dan perlaksanaannya di negara ini yang dilihat tidak mesra minoriti. Ini termasuklah hak beragama dan kawalan terhadap agama mereka.

Adakah setiap kali mereka bersuara, maka hukumnya adalah ‘anti-Islam’, sedangkan tiada pun Islam sebenar yang menjadi undang-undang di negara ini? Adalah menjadi tuntutan agama Islam bahawa menjaga hak bukan Islam adalah teras besar kepada undang-undang Islam. Tanpa ini, undang-undang Islam adalah terbantut, lemah dan tidak relevan sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

4) PAS konsisten memperjuangkan Islam dan kedaulatannya semenjak sekian lama. Ia pertubuhan politik dan dakwah yang secara jelas memperkenalkan Islam dan syariatnya yang sebenar walau terpaksa berhadapan kesusahan dan tindakan zalim pemerintah. Adakah PAS yang diketuai oleh syura ulama yang menepati maksud kekuasaan sebenar Islam tiba-tiba gagal mengenal Datuk S Ambiga? Ia agak jauh, sukar dan ‘unreachable’ oleh otak yang BERSIH!!

Kelima, mengapa Ambiga? Mengapa tidak PAS yang mengetuai demonstrasi aman BERSIH 2.0, sedangkan PASlah yang dilihat menjadi pemain utama menggerakkan massa? Perhatikan,

1) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif politik dan parti politik semata-mata, bahkan dilihat sebagai tuntutan bersama rakyat Malaysia, termasuk yang tidak mesra politik dan orang politik. Rakyat mahu pemerintah mereka adalah yang mereka pilih melalui proses pilihan raya yang adil dan telus. Dengan penglibatan golongan non partisan seperti puluhan NGO yang bergabung di dalam BERSIH 2.0, maka adalah nyata bahawa rakyat seluruhnya telah nampak secara jelas bahawa perjalanan pilihan raya negara adalah di tahap lemah dan sering dimanipulasi oleh pemerintah semasa. Rakyat seluruhnya mahukan reformasi pilihan raya!

Maka, Datuk S Ambiga dicalonkan dan semua pihak menerimanya mengetuai BERSIH 2.0.

2) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif agama semata-mata. Oleh kerana PAS terlalu ‘agama’, maka sudah pasti BERSIH 2.0 akan gagal mencapai matlamatnya yang mahukan seluruh rakyat yang mahukan reformasi pilihan raya itu turut menyertainya tanpa rasa curiga terhadap motif pihak lain. Ia adalah matlamat yang disepakati bersama.

Kesepakatan melakukan kebaikan adalah dendangan syariah Islam.

3) Agar PAS tidak dilihat sebagai ekstrimis agama. Walaupun PAS berjaya daripada semasa ke semasa memperkenalkan dirinya sebagai pertubuhan Islam yang sederhana dan ‘wasathiyah’, ia tetap menjadi buruan golongan anti Islam untuk menghancurkannya dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Antara peluru utama ke atas PAS adalah senjata tajaan Amerika yang menghukum golongan Islamis sebagai ekstrimis dan pelampau agama. Sudah pasti tujuannya adalah menjauhkan masyarakat, terutama non muslim daripada PAS.

Apabila orang yang dilabel pula sebagai anti Islam seperti Datuk S Ambiga bersedia untuk bersama-sama PAS mengetuai perhimpunan rakyat, maka ia adalah kebaikan untuk kedua-dua pihak. Sebagai mana PAS, beliau dan kumpulan non muslim juga tidak gemar di label dengan tuduhan-tuduhan yang negatif yang tidak membantu ke arah perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini.

4) PAS memerlukan sokongan semua lapisan dan kumpulan rakyat. Negara dibina dan dibentuk oleh rakyat. PAS mencadangkan alternatif yang dilihat terbaik untuk negara Malaysia iaitu negara berkebajikan yang bertunjangkan Islam sebagai neracanya. Adalah satu kesempatan dan peluang yang baik untuk PAS memperkenalkan dirinya sebagai pejuang bersama menuntuk hak-hak rakyat yang diketepikan oleh pihak pemerintah. Adakah menjadi ‘bos’ dalam semua perkara adalah syarat atau rukun dakwah? Adakah ia juga satu hikmah dalam berdakwah? Tidak bukan?

5) Dekad terakhir dalam sejarah dan politik negara adalah dekad anjakan paradigma rakyat dalam banyak hal. Antara yang menarik adalah pecahnya tembok binaan UMNO yang berusaha memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. Kesan tembok itu adalah buruk. Non muslim mengenal Islam yang diperkenalkan oleh UMNO. Kesannya, tiada yang indah dalam Islam. Melayu UMNO adalah dipenuhi penyakit. Bagaimana si pesakit boleh menawarkan kesihatan?

Apabila tembok pecah, kini non muslim mula melihat dan mengenal Islam daripada PAS. Daripada PAS yang ditakuti, kini menjadi PAS yang disenangi. BERSIH 2.0 adalah sebahagian proses berkenalan di dekad baru ini, dekad yang dipenuhi cita-cita bersama ke arah Malaysia yang lebih harmoni, merdeka dan berjaya.

Sekarang anda telah melihat beberapa perkara penting yang mampu menghapuskan keraguan mengenai penerimaan PAS untuk menyertai BERSIH 2.0 walaupun diketuai oleh seseorang yang menghadapi tohmahan sebagai anti Islam.

Walaupun saya tidak membawa nas-nas penghujahan secara lebih terperinci demi meringkaskan, adalah cukup dengan memahami hujah-hujah yang diberi, kita akan melihat nas-nas agama itu seperti bersedia untuk tampil.