Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my
TANGAN lelaki itu kelihatan berkematu. Telapak tangannya keras dan kasar. Kuku dan jari-jemarinya kotor serta kehitaman.
Namun, perkara itu langsung tidak diendahkan. Dia tekun menyiapkan
jahitan pada sekeping kulit lembu yang telah dikeringkan. Sesekali dia
mengetuk pahat kecil untuk membuat lubang di atas kulit tersebut.
Raut wajahnya berubah-ubah. Sekejap berkerut, sekejap tidak. Selang
beberapa ketika, dia berhenti sementara. Sebatang rokok dinyalakan.
Sedutannya panjang sebelum kembali menghembuskan asap rokok yang
berkepul-kepul.
Belum pun habis sebatang rokok, dia kembali menyambung tugasnya untuk menyiapkan dompet yang diperbuat daripada kulit itu.
“Inilah sumber pendapatan saya. Menjahit barang-barang kulit.
Perniagaan Gil’s Leather Craft ini sudah beroperasi sejak 19 tahun
lalu,” ujar Gilbert Rozells, lelaki berketurunan Portugis yang berasal
dari Pulau Pinang.
Menurut Gilbert atau lebih mesra disapa Gil, kemahiran menjahit
barangan kulit dipelajari sendiri tanpa mengikuti sebarang kursus
berkaitan.
Semua itu bermula disebabkan kegilaannya terhadap barangan kulit
sejak muda. Malah, keterujaan lelaki berusia 54 tahun itu terhadap
produk kulit semakin membuak-buak apabila dia melihat rakan-rakan yang
balik dari Eropah memakai topi kulit koboi dan sebagainya.
“Memang seronok melihat gaya pemakaian rakan-rakan ketika itu. Saya
hanya mampu memegang barangan tersebut dan mencubanya sesekali.
“Namun, untuk memilikinya jauh sekali lantaran harganya yang terlalu
tinggi,” tutur Gilbert sambil tangannya ligat meneruskan jahitan untuk
menghasilkan dompet.
Bagaimanapun, peristiwa dia menemui sebuah karung tinju yang tidak
digunakan di tepi jalan mengubah hidup Gilbert. Secara tiba-tiba dia
mendapat ilham untuk memanfaatkan karung tinju yang masih elok rupanya
itu.
Sebaik sahaja dibawa pulang ke rumah, dia terus memotong karung tinju
tersebut dan membuang isi di dalamnya. Kulit karung itulah yang
kemudian dijahit untuk dibuat topi.
“Waktu itu saya baru berusia 17 tahun. Walaupun tidak tahu teknik
menjahit dengan betul, saya melakukannya mengikut gerak hati.
“Selepas melihat hasil jahitan pertama saya, perasaan puas dan
seronok menguasai hati. Maka, bermulalah kehidupan saya sebagai penjahit
dan pembuat barangan kulit,” cerita Gilbert yang sanggup mengeluarkan
duit simpanan sebanyak RM800 sebagai modal memulakan perniagaan
kreatifnya.
MENJAHIT dan menjual barangan kulit adalah sumber pendapatan kepada Gilbert.
Semua itu bermula disebabkan kegilaannya terhadap barangan kulit
sejak muda. Malah, keterujaan lelaki berusia 54 tahun itu terhadap
produk daripada kulit semakin membuak-buak apabila melihat rakan-rakan
yang balik dari Eropah bergaya sambil memakai topi kulit koboi dan
sebagainya.
“Ketika itu, saya hanya mampu memegang barangan tersebut dan
mencubanya sekali dua. Namun, untuk memilikinya jauh sekali lantaran
harganya yang terlalu tinggi,” tutur Gilbert sambil tangannya ligat
meneruskan jahitan untuk menghasilkan dompet.
Obses barang kulit
Sebagai lelaki yang dilahirkan pada era 1950-an, Gilbert mengetahui
populariti topi koboi yang dianggap ikon Amerika dan sering dikaitkan
dengan dataran luas Wild Wild West. Malah, penampilan seseorang koboi
pasti akan terasa kekurangan tanpa topi mereka.
“Topi koboi ibarat pelengkap kepada gaya maskulin yang tahan lasak.
Kepentingan aksesori tersebut sukar dinafikan seperti pepatah koboi
lama, ‘ia adalah benda yang terakhir ditanggalkan dan perkara pertama
yang akan dilihat’,” ungkap lelaki ini yang turut mempraktikkan hal
serupa hingga tidak lekang memakai topi koboinya ketika melakukan rutin
harian menjahit kulit.
Selepas hampir setahun menjalankan bisnes barangan kulit, ternyata sambutan daripada pelanggan sangat memberangsangkan.
Keadaan itu menguatkan lagi semangat Gilbert untuk terus menjadi penjahit kulit yang dikenali dengan jenama tersendiri.
Menggunakan kulit kerbau, lembu dan biri-biri, bekalan tersebut
diperoleh dari merata tempat seperti Pulau Pinang, Taiping dan Kuala
Lumpur. Malah, ada juga kulit yang diimport dari Sepanyol.
Antara barangan kulit yang dihasilkan ialah tali pinggang, beg
tangan, dompet, topi dan gelang tangan. Setiap barangan dijahit dengan
penuh teliti dan mengambil sedikit masa.
Bagi jahitan sebuah beg duit atau dompet kecil, Gilbert boleh
menyiapkannya dalam tempoh satu hingga dua jam. Begitu juga dengan topi
dan tali pinggang.
Cuma, untuk barangan bersaiz besar seperti jaket atau beg tangan
wanita, dia mengambil masa selama satu hingga dua minggu untuk
menyudahkannya.
Kini, Gilbert menjalankan perniagaan di sebuah gerai kecil di kaki
lima bangunan kedai di pekan Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang.
Sudah empat tahun dia beroperasi di situ.
Sebelum ini, dia sering merantau dan berniaga di serata tempat
seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Biasanya, Gilbert memilih
lokasi seperti stesen bas atau kaki lima untuk membuka gerai kecilnya
bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam.
Ditanya cabaran dan risiko sebagai penjahit barangan kulit, bapa
kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, tangan dan jari-jemari akan
luka-luka dan pecah dek kerana proses menjahit yang lama.
Lebih teruk lagi apabila ada individu yang tidak bertanggungjawab mencuri barangan yang dijual ketika Gilbert tekun menjahit.
Bagaimanapun, perkara itu bukan penghalang untuk Gilbert meneruskan
minatnya. Kepuasan yang diperoleh apabila melihat sesuatu barangan
kulit siap dihasilkan melebihi segala-galanya.
“Kecurian itu perkara biasa. Walaupun geram juga dengan situasi
tersebut, saya tidak boleh melakukan apa-apa. Biarlah orang yang
mencuri itu sedar sendiri kesilapannya.
PULUHAN gelang tangan kulit yang berwarna-warni menyukarkan pelanggan membuat pilihan.
“Mungkin juga mereka mencuri sebab terdesak,” jujur bicara lelaki ini
sekali gus menimbulkan rasa kagum dalam diri penulis. Harga barangan
yang dijual Gilbert bermula daripada RM15 hingga RM600. Untuk gelang
kulit pelbagai warna hanya RM15, dompet (RM65-RM80), beg tangan
(RM160-RM600), dan topi (RM170-RM220).
Hantar pesanan
Barangan yang paling digemari pelanggan adalah beg, tali pinggang dan
topi. Lebih mengagumkan, barangan Gilbert dihantar sampai ke luar
negara seperti Jerman, Sweden, England, Australia dan Jepun.
Kebanyakan pelancong asing yang membuat pesanan kepada Gilbert terus
membayar harga barang yang diingini. Setelah siap, dia akan
mengirimkannya berdasarkan alamat yang ditulis di dalam buku pesanan
yang sudah bertukar warna kepada kekuningan.
Apa yang pasti, sejak mula membuat barangan kulit pada usia 17 tahun,
Gilbert sudah berjaya menyiapkan ribuan produk kulit yang memikat hati
pelanggan.
Seorang pelanggan, Ward Jennet dari Australia mengakui produk kulit yang dihasilkan Gilbert bermutu tinggi dan kemas jahitannya.
“Kali pertama saya melihat pelbagai barangan kulit di gerai ini,
saya terus berminat untuk menempahnya. Dia memang penjahit kulit yang
bagus,” kata Jennet yang datang bercuti ke Cameron Highlands selama
seminggu.
Di sebelah gerai Gilbert, terdapat juga gerai yang menjual barangan
kulit iaitu Sally Lai Craft. Pemiliknya, Rizal Mohamad, 35, ketika
ditemui berkata dia baru setahun menjual barangan kulit di pusat
pelancongan tanah tinggi itu.
Berbanding Gilbert yang menjahit kulit sendiri, Rizal pula menjual
barangan kulit siap yang diambil dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Dulu saya ada juga mengambil tempahan secara kecil-kecilan, tetapi
sekarang tidak lagi. Saya lebih selesa menjual barangan kulit siap
seperti ini.
“Sambutan yang diterima sangat baik. Pelanggan pula terdiri daripada
pelbagai peringkat usia. Malah, ketika musim cuti persekolahan atau cuti
umum, hasil jualan sangat tinggi.
“Paling kurang, saya boleh memperoleh
RM400 sehari,” ungkap Rizal
yang segak memakai jaket kulit rona coklat cair dilengkapi topi hitam.
Bagi mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai jenama Gil’s Leather Craft sila hubungi Gilbert di talian 017-550 8326 atau Rizal 019-527 3773.