Translate

Tajaan

Khamis, 14 Januari 2010

Terkenang Anna Abadi 2

Tentang Cinta


Cinta

Sekiranya kamu dapati dirimu menyintai seseorang yang tidak membalas cintamu,
janganlah merasa tersisih dan sedih. Tiada salahnya menyintai seseorang kerana cinta tidak memilih untuk singgah di hati seseorang

Sekiranya kamu dicintai oleh seseorang yang tidak kamu cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat dirimu tetapi selitkan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur. Jangan ambil kesempatan dan janganlah melukakan.

Bagaimana kamu mengurusi cinta begitulah kamu mengurusi dirimu dan setiap hati dan perasaan mengalami kepedihan dan kebahagiaan yang serupa sekalipun cara kita mengendalikannya berbeza.

Sekiranya kita bercinta dengan seseorang yang begitu menyintai diri kita dan tiba tiba cinta memilih untuk pergi, tiada siapa yang harus dipersalahkan, relakanlah cinta itu pergi. Kerana setiap yang berlaku ada maksud yang tersembunyi.
Dan kita akan menyedari apabila masa silih berganti

Ingatlah bahawa jangan terlalu memilih cinta. Kerana cinta itu sendiri akan memilih untuk singgah di hati sesiapa. Kamu hanya perlu menerima kehadiran cinta itu dengan segala misteri didalamnya apabila ia datang mengetuk pintu hatimu. Nikmatinya sebagaimana ia membuat hidupmu bahagia dan bebaskan ia. Cinta sentiasa dan selamanya akan menjadi misteri. Bersyukurlah kerana ianya pernah singgah di hati kamu...

**kata-kata ni aku dapat dari Teratak Anna Abadi yang suatu ketika dulu menjadi tempat favourite untuk bermadah,, kini tiada lagi,, tuan punya teratak dah kembali ke jalan Ilahi,,


Aida Di Tengah Malam ~ Anna Abadi
(Dedikasi khusus buat dirinya)

Di tengah malam yang hening
kala mata sudah kuyu
atau memang sudah pun terlena
enak dibuai mimpi indah
dia masih setia di sini
berteduh di Teratak ini…

Celoteh tanpa suaranya menemani
mereka yang keseorangan
mereka yang perlu berteman
mungkin juga bergurau senda
dengan si ‘dahan a.k.a dd’ penjaga masa
adakalanya dia bersendirian
namun tetap setia di sini…
berteduh di Teratak ini…

Kenapa di malam hening?
lewat dinihari menyapa…
kenapa tidak di kala malam muda?
ohh..jangan salahkannya
beza masa benua Eropah-Asia
5 jam kita mendahuluinya….

Aida di tengah malam
jari-jemari tetap setia menaip
kata-kata buat 2-3 Teratakian
yang masih segar terjaga
samada benar belum terlelap
atau turut berada di perangkap masa
yang berlainan waktu siang dan malamnya
dari bumi Malaysia tercinta

Aida di tengah malam
walau kehadirannya sebentar cuma
sementara menemani trip ayah
seminggu di bumi Hitler
tetap mencuri perhatianku
dia kugelar Aida di tengah malam
sesuai dengan karektornya
yang istimewa dan mencuit hati
Aida yang pasti dirindui…..

Aida di tengah malam
semoga kembalimu ke tanahair
menjadi Aida di tengah siang
jangan terus menyepi…..
Teratak ini pasti sunyi…

Anna Abadi
18 April 2004


" Pesanan anna… tutuplah hompej anna. ..tutuplah blog anna…tutuplah Teratak dan segala-gala perkara yg melibatkan anna di internet. Buanglah semua gambar-gambar anna yg tersimpan di chamber rahsia yg hanya diketahui teman-teman rapat. Buanglah puisi-puisi anna kerana anna tidak mahu kawan-kawan anna bersedih dgn apa yg anna tinggal. Hilangkan semua jejak anna di alam maya yang tidak bertepi ini. Mereka tahu password anna. Password anna hanya satu utk semua perkara. Anna tidak pernah mengubahnya sejak pertama kali anna mengenali apa itu password di alam maya. Password itu tetap sama dan ada makna tersendiri. Mereka adalah kawan-kawan anna yang anna percayai dan anna tahu mereka tidak akan mengecewakan permintaan anna.

Anna tidak mahu website anna tergantung-gantung di maya selepas ketiadaan anna. Anna telah banyak melihat website dan blog yang ditinggalkan sepi oleh pemiliknya yang sudah kembali kepada Tuhannya. Dan tahun ini saja sudah ada 2 teman blog anna yg deceased. Salah satunya blog teman blogger anna, misznana yg telah kembali ke rahmatullah. Blognya tergantung begitu saja tanpa ada sesiapa menutupnya.."


NOTA : antara pesanan terakhir yang ditinggalkan arwah anna kepada kawan-kawannya.. wallahualam..



KETIKA HATI MENANGIS..

Tuhanku,
ketika hati sedang menangis
hanya Engkau saja yang tahu
betapa merananya diriku
tak mungkin yang lain tahu….

Tuhanku,
ketika mereka meninggalkan aku
sendiri terkapai-kapai
ketika dunia tiada simpati
Kau tetap mendengar rintihanku
padaMu tempatku menagih kasih
ketenangan kurasa mendekatiMu
syahdu malam tak terasa sunyi..

Tuhanku,
ketika aku dalam kepayahan
keseorangan dihimpit beban derita
Kau beri aku kesabaran
pengalaman mengajar erti kematangan
lantas Kau membuka pintu hatiku
untuk memberi kemaafan
pada mereka yang pernah melukakanku..
pada mereka yang terus melukakanku…
dan pada mereka yang tersedar kerna melukakan…

Tuhanku,
ketika aku buntu
keliru dengan masa depanku
kau berikan aku kekuatan
Kau tunjukkan aku jalan
peluang kedua yang sungguh bermakna
sebagai suluh hidupku
menebus usia yang sia-sia
mengganti semalam yang pergi
memperbaiki kelemahan diri
mempelajari pengajaran dari kesilapan
menimbus kekecewaan dan dendam

Moga tiada lagi aku
bercita-cita lemas di laut
atau terlanjur menelan berlebihan pil
sungguh pelik bunyinya tetapi benar
hanya Kau saja yang mengerti
hatiku terseksa sekian lama
kini akhirnya bangkit semula
melupakan episod terakhir
dan menyambut lembaran baru…

Tuhanku Yang Maha Pengasih
rahmatMu tak terkira
syukurku melangit pun tak tercapai
sungguh aku rasa berdosa
kerana dulu sering terlalai
semoga penyesalanku kau terima…

Nukilan:
Anna Abadi®

Aku dan kau
terlalu lama mengenali
ibarat mengenali tapak tangan sendiri
corak dan laku sudah dapat dibaca
hingga riak muka sekilas difahami
begitu akrabnya kita!
mampukah terpisahkan???

Namun sepanjang perhubungan ini
bukan semuanya seindah pelangi
banyak waktunya kita diuji
hanya kesabaran menjadi benteng
diiringi doa dan tawakal yg tak pernah putus
cekal yg masih bertahan
harapan yg tetap ada
penantian yg terasa menyeksa
pengorbananan yg tak sudah

Badai melanda kita tetap cuba berdiri
agar cinta kita tidak dikikis
dan dugaan itu begitu dasyhat
adakalanya airmata seperti sungai alirannya
mana mungkin kita berpisah
setelah segalanya kita hadapi?

Kau dan aku tetap percaya
takdir itu bukan kita merancangnya
hanya pada Tuhan kita berserah
agar jodoh itu tetap dipihak kita

Jangan pisahkan
kasih sayang ini anugerah terindah
terasa ia lembut membelai hati
membasuh duka-duka yg sendu
membuatku tersenyum seketika
walau dalam hiba dan sayu

Jangan pisahkan
kumohon padamu Tuhan
satukan kami dalam ikatan suci
jangan biarkan kami sengsara
menanti restu yg tak kunjung tiba
moga mereka sedar
Dua jiwa ini sudah tak terpisahkan
kecuali dengan kuasa takdirMu, Tuhan…

Nukilan:
(Allahyarham) Anna Abadi

CINTA TERHALANG

Di suatu hari yang indah
kita ditakdirkan bertemu
sama-sama membalas senyuman
sama-sama membalas jelingan
tanpa diduga sama sekali
kerna pertemuan indah itu jualah
kita ditakdirkan jatuh cinta!

Saat kita merancang
untuk membina mahligai bahagia
disatukan dalam ikatan suci
halangan datang silih berganti
ujian menimpa bagaikan badai
dugaan menerpa ibarat ribut merah
air mata mengalir tak berhenti
apalah daya bila cinta terhalang

Ayahanda bonda
dan juga sanak saudara
kami datang memohon restu
kenapa dihalangi cinta yang suci
restuilah percintaan ini
ia berlandaskan niat yang murni
pernikahan mengikut hukum Ilahi
bukan sempadan pilihan kami
satukan kami menurut adat dan agama
jangan biarkan kami sengsara

Oh Tuhan
apalah daya kami
bila cinta tak direstui keluarga
semakin kuat mereka cuba memisahkan
semakin kuat cinta kami jadinya
berilah petunjuk
agar jalan yg kami ambil tidak bertentangan

Cinta ini cinta terhalang
setiap arah ada penghadang
ke mana lagi hendak dituju
adakah mereka akan terus membiarkan
hati ini merana memakan diri
dan air mata bertukar darah???
apalah dosa kami
hingga dihukum sedemikian rupa…

Perpisahan adalah penyelesaian
tapi perpisahan adalah pilihan terakhir kami
mereka tahu tapi mereka enggan terima
bahawa perpisahan bukanlah jalan terbaik
kami mungkin terpisah
tapi begitu dekat di hati
kami mungkin berjauhan
tapi hati kami tetap bersatu
kami mungkin dikahwinkan dgn pilihan keluarga
tapi percayalah perkahwinan itu tak akan bahagia
bila satu jiwa sedang merana

Cinta ini cinta terhalang
mungkin ada hikmah disebaliknya
kami kan terus berdoa memohon restu Ilahi
dan menanti penuh sabar restu famili
Oh Tuhan..kami akur sekali
jodoh dan maut di tanganMu
mana mungkin kami menentukan sendiri
andai tiada jodoh
kami redha
kerana kami sedar
kasihMu pada hambamu lebih besar
dari kasih manusia sesama manusia
betapa kerdilnya kami disisiMu

Tuhan..berilah pedoman buat kami
yang semakin hari semakin keliru
jangan biarkan kami tewas
hingga memilih jalan yang salah
hanya padaMu kami berserah
moga cinta kami direstui…

Nukilan hati:
Anna Abadi®

Mungkin Tuhan menginginkan
kita bertemu dan bercinta dengan orang
yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti
bagaimana berterima kasih atas kurniaan itu.


Jangan melarikan diri dari 'cinta' apabila ia berada di hadapan
kamu. Jangan melarikan diri daripadanya kerana suatu hari nanti, kamu pasti akan teringatkannya kembali dan menyesali perbuatan kamu itu.

Cinta
bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta
bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan.

Cinta
bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat -Hamka

Sungguh menyakitkan
mencintai seseorang
yang tidak mencintaimu,
tetapi lebih menyakitkan adalah mencintai seseorang
dan kamu tidak pernah memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya
.


Seandainya kamu ingin mencintai atau memiliki hati seorang gadis,
ibaratkanlah seperti menyunting sekuntum mawar merah. Kadangkala kamu mencium harum mawar tersebut tetapi kadangkala
kamu terasa bisa duri mawar itu menusuk jari.

Hal yang menyedihkan dalam hidup adalah ketika kamu bertemu seseorang yang
sangat bererti bagimu. Hanya untuk menemukan bahawa pada akhirnya menjadi tidak
bererti dan kamu harus membiarkannya pergi.

Kamu tahu bahwa kamu sangat merindukan seseorang, ketika kamu memikirkannya hatimu hancur
berkeping.

Dan hanya dengan mendengar kata "Hai" darinya, dapat menyatukan kembali kepingan hati
tersebut.

Kaum lelaki sering mempersoalkan kelemahan wanita kerana sering mengalirkan airmata. Tetapi, segagah-gagah dan perwiranya lelaki, sedarlah bahawa suatu hari nanti mereka juga akan mengalirkan airmata syahdu kerana satu perkara kecil iaitu kerana
CINTA
. Alangkah misterinya cinta seorang wanita yg dianggap lemah sehingga boleh mengalirkan airmata seorang wira! Aneh, tetapi itulah
hakikatnya.

Tuhan ciptakan 100 bahagian kasih sayang. 99 disimpan disisinya dan hanya 1 bahagian diturunkan ke dunia. Dengan kasih sayang yang satu bahagian itulah, makhluk saling berkasih sayang sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak.

Kadangkala
kamu
tidak menghargai orang yang mencintai
kamu sepenuh hati, sehinggalah kamu kehilangannya. Pada saat itu, tiada guna
sesalan kerana perginya tanpa berpatah lagi.

Jangan kerana
cinta, kita gugur dari perjuangan, dan jangan kerana
cinta juga, prinsip kita menjadi larut dan
cair. Cinta tidak semestinya akan berakhir dengan perkahwinan dan perkahwinan juga tidak semestinya akan menoktahkan titik akhir kepada
percintaan. Kesetiaan akan mengikat
cinta, kecurangan akan meranapkan segala kemanisan
cinta. Sesebuah perkahwinan akan menjadi indah jika
cinta terus bersama.

Cinta sejati ialah kasih Tuhan kepada hambaNya. Kasih murni ialah kasih ibu bapa kepada anaknya. Kasih saudara masa berada. Kasih sahabat masa binasa. Kasih suami isteri sepenanggungan. Kasih orang menaruh harapan.

Jangan mencintai seseorang seperti bunga, kerana bunga mati kala musim
berganti. Cintailah mereka seperti sungai, kerana sungai mengalir selamanya.

Cintailah seseorang itu atas dasar siapa dia sekarang dan bukan siapa dia
sebelumnya. Kisah silam tidak perlu diungkit lagi kiranya kamu benar
menyintainya setulus hati.

Teringat Anna Abadi (Singgahsana)

Ramai kian melupakan Teratak Anna Abadi, situs ini telah tiada di dunia maya tetapi rasanya bait-bait indah dari penulis Anna Abadi pasti teringat-ingat akan Allahyarhammah.

Pemergian Allahyarhammah pada tanggal 26 dec 06.

Antara dalam forum yang Anna Abadi tuliskan.

ANA? adalah nama panggilan saya. Tapi nama pena saya pelbagai. Antara yang sering saya gunakan ialah Intan Ariani, Ariana, Airina dan Han Ariani. Saya memang suka nama-nama tu. Saya suka menulis sajak mengikut perasaan saya ketika itu. Selalunya sajak-sajak yang saya nukilkan berdasarkan peristiwa semasa atau saya tujukan khas pada seseorang seperti teman-teman.Sebahagian karya saya disumbangkan kepada majalah-majalah dan akhbar tempatan. Perak adalah negeri kelahiran saya..Saya dilahirkan dalam bulan April 1977 dan berbintang Taurus.Suka bersiar-siar dan membaca.Emm..tak tahu lagi apa nak tulis..Itu saja dari ANA..Ceria selalu ! Selamat Membaca..... Well, banyak orang request nak tengok gambar saya. Actually, dah ada kat ruangan About Me tapi they all cakap gambar tak keluar. Maybe ada technical problem,kot...So, I fix it lately..but tak tau laa kalau masih 'blank'...Agaknya sebab saya ni pemalu, gambar pun segan nak keluar..hheheeeee. Anyway..utk memenuhi permintaan, saya letak gambar-gambar ni pula. Kalau tak keluar juga..janganlah marah saya...Sebenarnya, saya malu sangat2 nak tunjuk muka coz' I'm not a public figure. Saya orang biasa je...Segan laaa....Okaylah...see ya!!!

NOTA : kata-kata anna abadi pada tahun 2002, anna abadi nama mu akan tetap abadi di alam cyber, moga rohmu tenang di sisi Allah swt. Amin.


Dari Kujie

Monolog suatu malam- Tentang cinta
Khas Buat Adriana ...

Tentang Cinta
Petikan dari Internet: Sumbangan Sajak Puisi Adriana

Menyintai Tidak Bermakna Memiliki

Janganlah kau angkuh melaungkan
si dia kepunyaanmu
atau kau kepunyaan si dia
kerana hakikatnya
kita tidak pernah memiliki sesiapa
walau sekeping hati seorang insan
tidakkah kau sedar
hukum alam menyatakan
menyintai tidak semestinya memiliki?

Manusia pandai berpura
berlakon di pentas dunia
dan bertopeng
menutup rahsia
tetapi hati
tidak pernah berdusta pada empunya
tentang perasaan yang bergolak di dalamnya

Tidakkah kau sedar
mungkin si dia melafazkan
ungkapan cinta padamu
tetapi hati dan perasaannya
tidak pernah berniat begitu
dia hanya berselindung
di sebalik sejuta alasan

Dan kau
begitu jujur dan setia menyintainya
sehingga terlupa
hukum alam menyatakan
menyintai tidak bermakna memiliki...

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu...
dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah..
kita sebenarnya kepunyaan
Yang Maha Esa
tiada sesiapa berhak memiliki diri kita
kecuali Dia
Dia mengasihi hambaNya
Dia memiliki hambaNya
Dan ke pangkuan Dia kita kembali

Nukilan asli:
Anna Abadi
~suatu tika dulu


~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~
~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~.~

Ketika Hati Menangis

Tuhanku,
ketika hati sedang menangis
hanya Engkau saja yang tahu
betapa merananya diriku
tak mungkin yang lain tahu....

Tuhanku,
ketika mereka meninggalkan aku
sendiri terkapai-kapai
ketika dunia tiada simpati
Kau tetap mendengar rintihanku
padaMu tempatku menagih kasih
ketenangan kurasa mendekatiMu
syahdu malam tak terasa sunyi..

Tuhanku,
ketika aku dalam kepayahan
keseorangan dihimpit beban derita
Kau beri aku kesabaran
pengalaman mengajar erti kematangan
lantas Kau membuka pintu hatiku
untuk memberi kemaafan
pada mereka yang pernah melukakanku..
pada mereka yang terus melukakanku...
dan pada mereka yang tersedar kerna melukakan...

Tuhanku,
ketika aku buntu
menanggung lara hatiku
kau berikan aku kekuatan
Kau tunjukkan aku jalan
Kau tak biarkan aku keseorangan...

Tuhanku Yang Maha Pengasih
rahmatMu tak terkira
syukurku melangit pun tak tercapai
sungguh aku rasa berdosa
kerana dulu sering terlalai
semoga penyesalanku kau terima...

Thank You Allah for the blessings You have given me...


Nukilan asli:
Anna Abadi
~monolog suatu malam

.:: Anna Abadi ::.


Apa Itu Cinta?

Cinta itu perasaan jiwa semulajadi. Ia adalah fitrah yang menjadi salah satu sifat manusia. Ia wujud bila hati tertarik kepada yang dicintainya itu penuh emosi dan gembira kerana itu.

Dalam memenuhi keperluan untuk puas dalam cinta,manusia menghadapi krisis nilai. Insan yang mula jatuh cinta akan bersungguh untuk mencapai kepuasan dalam cinta itu. Ada yang menjadi buta dan kabur nilai akibat bercinta. Tapi bagi yang bijaksana mereka mendambakan cara yang sesuai dan mulia untuk memenuhi keperluan cintanya itu. Insan sebegini ingin hidup yang bersih dan penuh taqwa.

Sifat Cinta
Cinta itu suci,mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah cinta sebenar cinta.

Cinta Wujud Sejak Dilahirkan
Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia itu lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta kepada belaian ibu,membawa kepada cinta kepadakekasih dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci,maka akan cinta kepada Tuhan Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa dan cinta sebenar cinta itu suci murni serta putih bersih.

Cinta Bersedia
Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta,maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta itu.Pada mulanya jiwa itu bersedia menerima cinta,lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Setia untuk dipertanggungjawapkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai.

Cinta Itu Indah
Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat,tetapi cinta itu indah dan cantik. Cantiknya itu tulin dan tidak ia bertopeng.Bukan saja ia cantik malah suci murni,bercahaya gemerlap dan putih bersih.

Cinta Itu Mengharap Balasan
Cinta antara manusia itu berkehendak kepada jodoh atau pasangan,dari diri yang punya persamaan,dari diri yang asalnya satu.Bila dapat yang dicari, bermakna cinta itu menganggap telah bertemu yang paling sesuai dan secucuk dengan jiwanya,untuk bersatu kembali. Kehendak itu timbal balik sifatnya kerana manusia dalam bercinta tidak hanya menerima tapi juga menerima.

Cinta Itu Menakluki
Sifat cinta itu ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihinya itu hanya khusus untuk dirinya. Dia tidak mahu ianya dikongsi dengan orang lain. Sifat ini menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi,dalam pada ingin menakluki,ia juga ingin ditakluki sepenuhnya.

Cinta Itu Mengetahui
Pada asasnya sebenarnya cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut dicintainya. Cinta tidak perlu bertanya.Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi,cinta cuma tahu bercinta.Ia tidak tahu akan peraturan cinta jika tiada diberikan panduan.

Cinta Itu Hidup
Cinta adalah ibarat manusia,boleh berputik,lalu mekar serta boleh layu dan gugur. Cinta itu punya deria dan perasaan. Cinta mendengar cinta,berkata cinta,melihat cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci,cemburu,gembira,sedih,tenang,tertekan,ketawa dan menangis. Cinta itu hidup sampai satu ketika ia akan menemui mati.Tapi ramai orang berharap agar cinta itu kekal selagi dia masih hidup dan tetap hidup walaupun telah mati.

Cinta Itu Suci
Sebagaimana yang banyak dikatakan orang,cinta itu suci. Sucinya cinta bukan bermakna ia tidak mengharap balasan. Cinta mengharap balasan cinta. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa Itulah sifat asal cinta,ia suci bagaikan anak yang baru lahir. Mereka yang kenal erti cinta akan cuba mengekalkan cinta itu sesuci mungkin. Mengekalkan cinta suci bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan.Kerana nafsulah cinta suci jadi bernoda dan berdosa.

Cinta Itu Mempesona
Cinta itu bukan saja indah,tapi mempersonakan. Ia bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia adalah sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang comel dan bersih. Dia senyum pada anda dan merapati anda. Anda terpesona kerana bukan saja ianya comel,tapi kerana dia adalah insan yang tidak berdosa. Kerana sifat cinta yang mempersona ini selalunya manusia itu berbuat silap bila bercinta.Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya...mempersonakannya dan nampak cantik serta betul walaupun itu adalah satu dosa dan akan menodai cinta itu sendiri. Itulah juga yang menyebabkan orang yang bercinta itu walaupun seorang yang bijaksana,akan menjadi bodoh kerana pesona cinta. Akal itu mampu dikalahkan oleh nafsu.Nafsu itu tidak bisa dikalahkan melainkan jika anda sentiasa ingat kepada Tuhan Maha Pencipta.

Apakah itu Bukti Cinta?
Cinta perlukan bukti. Ramai orang percaya bahawa bukti cinta itu ialah mengorbankan atau menyerahkan apa saja yang kekasih anda mahu.Mereka percaya jika itu tidak berlaku,maka cinta itu tidak tinggi nilainya.

Sebenarnya anggapan itu tidak tepat. Jika anda beri semua yang dia mahu,apakah yang tinggal pada anda? Benarkah dia cinta pada anda bila dia mahukan pengorbanan anda?

Cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri kekasih yang dicintai. Malah ia menjaga agar kekasih tetap suci dan selamat sebagaimana sucinya cinta itu sendiri "Janganlah hendaknya kecintaan anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi lupa dan kebencian anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi hancur" - Saidina Umar Ibnul Khattab.

Seorang Faizal Tahir

Faizal Tahir
suatu nama yg pasti tak akan kulupakan
kerana seorang Faizal Tahir itu
adalah teman baikku
dari dulu, kini dan biarlah selamanya

Faizal Tahir
kenapa kau begitu baik terhadap diriku?
kau sentiasa sabar
dengan segala karenahku
kau membantuku apa saja
tanpa mengharap balasan
kau cukup faham dengan diriku

Bila ku muncung
kau buatku ketawa
bila ku bersedih
kau buatku tersenyum
bila ku merajuk
sanggup kau berhari2 memujuk
bila ku kalah
kau mengalah
bila ku berputus asa
kau menyakinkan ku semula

Faizal Tahir
kau lelaki cukup baik
menghormati wanita
malah begitu penyayang
mengambil berat akan diriku
tanpa mengira waktu kau sedia datang padaku
bila ku teresak, kau sabar menasihatiku
bila ku bingung
kau menyedarkan aku kembali
kaulah pendengar paling setia
penyimpan rahsia hidupku paling amanah

Faizal Tahir
inginku pinjam kekuatan dirimu
buat penguat semangat wanitaku
dan sehingga kini
kau berbuatku tertanya-tanya
adakah kau lelaki terlalu sempurna???

Nukilan:
Anna Abadi
10 Januari 2005
~buat Faizal Tahir~



CETUSAN MELANKOLIA

Andainya kudapat
mencairkan hatimu
yang keras dan jitu
pastilah daku insan
paling bahagia di dunia...

Namun kusedari
aku hanya mampu bermimpi
tak mungkin ia berlaku
kerana kau bagai tersihir
dek kekecewaan cinta semalam
hingga kepercayaanmu goyah
menutup rapat pintu hatimu
lantas kau enggan
bergelar sang putera
di takhta hati
seorang gadis di menara
yang semakin putus harapannya....

Karya: azdriana@hotmail.com


Dari Wanita Buat Wanita

Bangunlah wahai teman
jangan terus dibuai mimpi
kita wanita penggerak wawasan
harus tabah menghadapi cabaran
walau seribu dugaan menimpa
semangat kita tak usah padam

Buktikanlah teman
kita mampu seganding mereka
menimba ilmu memancar citra
demi masa depan gemilang
menjadikan kita Wanita terbilang

Wanita berhemah, berkarisma tinggi
manfaat ilmu maruah terjaga
meneroka impian menebus kecewa
mengenggam bara menjadi arang

Duhai teman
hargailah detik kehidupan kita
kegagalan lalu jadikan pedoman
untuk merealisasikan
harapan dan cita
renungkanlah masa depan yang cerah
kerana kita istimewa
kita punya azam
kita punya visi
kita adalah Wanita harapan bangsa
tunggak kejayaan negara!

Karya: Anna Abadi
Di MENARA INI

Aku adalah seorang wanita
yang cuba mengekalkan kesantunan
wanita Timur penuh kelembutan
jua seorang siswi
yang berusaha setengah mati
melengkapkan ilmu di dada
bagi memegang segulung ijazah
penentu masa depan bangsa
dan aku jualah seorang muda
darah masih panas membara
dalam lingkaran penuh dugaan
dikelilingi bermacam ragam
manusia dan peristiwa?

Di menara ini
tiada siapa menghalang
maupun menasihati
teguran hanya segelintir saja
lalu aku pun bebas memilih
jalan hidupku sendiri
jalan ini jalanku
benar salah terletak atasku
atau mungkin di persimpangan
siapa yang peduli?
Oh aduhai!
Aku semakin menyedari
keputusan hidupku
di tangan sendiri???.

Karya: Anna Abadi


DUGAAN

Ada tikanya
rasa resah dan hiba
mencengkam jiwa
semangat goyah putus asa
peritnya menahan kecewa
apa yang dicita
tidak kesampaian
kerana yang terjadi
tak seperti yang diingini

Seharusnya
jangan biar kecewa berlarut
jiwa meresah dimamah duka
kelak ia memakan diri

Insafilah...
kita hanya merencana
takdir Tuhan penentu segala
anggaplah ia sebagai dugaan
mengajar erti kesabaran
moga kita tak terhalang
untuk bangkit semula
menebus kegagalan
dengan kembali
berusaha......

Karya: Anna Abadi


HARAPAN

Awan kelabu menyelubungi diri
ribut melanda segenap fikiran
penderitaan bagaikan darah daging
lautan air mata melemaskan diri
Bebaskan daku!

Di hujung sana kulihat
keindahan dan keriangan
aroma mesra
memukau sukma
kasih sayang
melimpah ruah
kebahagiaan merupakan
suatu realiti..tetapi
hanya di sana..

Aku cuba berjuang
membebaskan diri
bergelut dalam segala kepayahan
dengan harapan
penderitaan itu berlalu
usahlah mendera diriku lagi
kerana aku
sudah bosan berduka
dan kini mendambakan
sejalur bahagia.......

Karya: Anna Abadi
Insan Bernama Wanita

Ciptaan indah ini
adalah suatu kurniaan Ilahi
bukan untuk dicemuh dan dikeji
dan bukan jua untuk dipuja hingga terlalai
atau dianggap lemah tanpa gunanya?

Tetapi..
alangkah santunnya
pabila dia dihargai
dibelai dengan penuh kasih
mewarnai semarak cinta dan budi

Hormatilah dia sebagai
insan bernama Wanita
jagailah perasaan halusnya
maruahnya bukan untuk dijual beli
lindungilah dirinya dari dipermainkan
sumbangannya jangan diperkecilkan
kerana dia adalah Wanita
penyambung zuriat bangsa
tulang belakang nadi kehidupan
bersama membantu kejayaan
janganlah dipandang enteng?

Karya: Anna Abadi
PUISI BUAT KEKASIH

Bila mata kita bertemu
dunia kita yang punya
terasa lidah kelu berkata
namun bisikan hati menggamit rasa
meluahkan sayang melimpah ruah
seakan tiada esok menanti

Pancaran rindu membajai kasih
mentari garang nyaman terasa
kicauan camar rentak cinta
angin berpuput membelai debar
indah alam secantik dikau
kejernihan wajahmu menenangkan jiwa
hati batu cair akhirnya
dek kehangatan cintamu
aku rela tersungkur....

Bicaramu tersusun indah
kupasti kan terpesona
manja suaramu memukau kalbu
menguat lagi degup jantungku
kelembutanmu menyejukkan hati
kehalusan pekertimu mengangkat maruah
Dikau istimewa kekasih sejati
karisma unggul ada padamu
dan pastilah aku bertuah
berjaya merampasmu dari rebutan
memiliki hatimu suatu keajaiban....

Kekasihku
kaulah insan yang menginsafkan diriku
aku dahulu lupa asalku
hanyut dalam dunia sementara
zaman remaja bermain cinta
pelajaran tidak kuendahkan
lalu kuterus hanyut mengemudi masa
hancur agama keranaku

Hasrat ke menara terpendam bisu
aku kalah, rebah dan lemas
tiada tangan dihulurkan padaku
musuh Tuhan terus ketawa
membiarkanku di awangan
agar neraka menjadi milikku
dan hancur agama keranaku...

Namun tatkala kuterkapai
kau hadir dalam hidupku
membawa sinar menerangi kegelapan
menukar musim ke wajah baru
membuang gelita hatiku
kepunahan terubat jua..

Kau berkata...
dahulu aku seorang yang sakit
dibuai mimpi-mimpi indah
fantasi dianggap realiti
kebenaran tiada kulihat
dan nasihatmu agar aku berubah...

Ketika dunia sedang tenat
pemuda-pemudi tersalah langkah
remaja berlibur tanpa arah
gadis berkeliaran di kota desa
titisan air mata ayah bonda
membentuk sungai kekecewaan
lalu bersamamu aku cuba bangun
membentuk peribadi bermaruah
ilmu kutimba sebanyak mungkin
bintang di hamparan langit
kita hitung di malam permai..

Percayalah kekasihku
walaupun kau jauh beribu batu di bumi Eropah
aku akan tetap setia menantimu
jika diizinkan Tuhan
kita pasti bertemu lagi
dengan segulung ijazah tempatan
dan segulung ijazah luar negerimu

Jangan hancur cinta yang kita bina bersama.....


Karya: Anna Abadi

Untukmu, Zie
(buat seorang sahabat yang sentiasa dikenang)

Dikala ini, Zie
aku teringatkanmu
apa khabarmu di sana?
sudah lama kita tidak bertemu
usah dibayangkan
rindu hatiku terhadapmu,teman
adakah engkau juga begitu
atau sudah pun melenyapkan namaku
dari diari hidupmu?
Zie, aku tak pernah melupakan
saat-saat suka duka kita dahulu

Zie yang jauh
adakah kau masih menggelarku sahabat
atau tetap juga kau anggap musuh?
perhubungan kita sudah terputus
lantaran salah faham dan peristiwa itu
takdir itu sungguh kejam
kerna memisahkan kita
menjarakkan kita
aku mahu kau tahu,Zie
aku tetap mengganggapmu
seorang sahabat
yang kukenang sehingga kini

Masihkah kau ingat saat2 manis kita
di alam kampus yang penuh ceria
kita ibarat isi dan kuku
persahabatan kita sungguh akrab
kita sehati sejiwa dalam banyak perkara
ke mana2 sering bersama
hingga orang menganggap kita bersaudara
atau adik-beradik kembar
sememangnya Zie
aku anggap kau seperti darah dagingku sendiri
saudara kembarku
saudaraku sehingga ke akhir hayatku

Zie yang diingati
adakah masih ada bara dendam dihatimu?
tidakkah ia mahu terpadam
api bencimu masihkah marak?
terlampau marahkah engkau terhadapku
sehingga kini tak termaafkan???

Zie,
janganlah turut keegoan kita
kita sama-sama bersalah dahulu
kita tidak matang waktu itu
kita menjadi mangsa persekitaran
kita keliru dan semakin keliru
dan akibatnya persahabatan kita tersungkur

Namun, Zie
demi persahabatan kita yg pernah wujud dahulu
aku telah begitu lama memaafkanmu
aku tidak pernah menaruh benci padamu
aku kini hanya mengharapkan
kau jua sudi memaafkan aku
atas segala kesilapanku sepanjang mengenalimu
adakah masih ada ruang kemaafan dihatimu??

Zie,
angkara peristiwa itu
kita bagaikan orang asing sesama sendiri
tak bertegur sapa
tak mahu lagi mengambil berat
malah kau seolah membuang aku
jauh-jauh dari hidupmu..

Zie,
kedewasaan ini mengajar aku
betapa bodohnya kita memutuskan persahabatan
aku tak menyalahkan sesiapa
ia adalah sebenarnya berpunca
dari kecetekan kita sendiri
dalam menilai erti persahabatan

Aku berterus terang,Zie
aku begitu sayang pada persahabatan kita
aku menangis saat ia menunjukkan tanda
ia akan hancur menjadi debu
tidakkah kau juga menyayanginya??
namun kita juga telah merelakan
ia lerai dan berantakan
dan penyesalan tiada gunanya

Aku doakan kau bahagia Zie
bersama suami dan anak-anak
serta saudara dan teman-teman yang menyayangimu
aku masih sendiri
masih seperti dahulu
masih insan yang pernah kau kenali
cuma mungkin aku berubah dewasa
waktu mematangkan diriku
dalam menjalani kehidupan ini

Zie sahabatku
kita sesama Islam
siratulrahim kita sesama Islam
aku telah melupakan peristiwa itu sepenuhnya
aku tak mahu lagi mengingatinya
ia adalah suatu kisah tragis yang penuh kekeliruan
betapa dalamnya ia melukakan hati kita
terlalu dalam, Zie
sungguh tragis
hanya kau dan aku sahaja
yang mengerti

Zie...
pahatkan ayat ini dihatimu
"Kau tetap sahabatku
walau apa tanggapanmu terhadapku..."

Salam Ingatan Dariku Untukmu

Anna Abadi 1977- 2006
MENYINTAI TIDAK BERMAKNA MEMILIKI

Janganlah kau angkuh melaungkan
si dia kepunyaanmu
atau kau kepunyaan si dia
kerana hakikatnya
kita tidak pernah memiliki sesiapa
walau sekeping hati seorang insan
tidakkah kau sedar
hukum alam menyatakan
menyintai tidak semestinya memiliki?

Manusia pandai berpura
berlakon di pentas dunia
dan bertopeng menutup rahsia
tetapi hati
tidak pernah berdusta pada empunya
tentang perasaan yang bergolak di dalamnya

Tidakkah kau sedar
mungkin si dia melafazkan
ungkapan cinta padamu
tetapi hati dan perasaannya
tidak pernah berniat begitu
dia hanya berselindung
di sebalik sejuta alasan

Dan kau
begitu jujur dan setia menyintainya
sehingga terlupa
hukum alam menyatakan
menyintai tidak bermakna memiliki

Sesungguhnya...
"Aku tidak pernah memiliki dirimu...
dan kau jua tidak memiliki diriku."

Mengertilah
kita sebenarnya kepunyaan
Yang Maha Esa
tiada sesiapa berhak memiliki dir kita
kecuali Dia
Dia mengasihi hambaNya
Dia memiliki hambaNya
Dan ke pangkuan Dia kita kembali

karya" azdriana@hotmail.com


HARAPAN

Awan kelabu menyelubungi diri
ribut melanda segenap fikiran
penderitaan bagaikan darah daging
lautan air mata melemaskan diri
Bebaskan daku!

Di hujung sana kulihat
keindahan dan keriangan
aroma mesra
memukau sukma
kasih sayang
melimpah ruah
kebahagiaan merupakan
suatu realiti..tetapi
hanya di sana..

Aku cuba berjuang
membebaskan diri
bergelut dalam segala kepayahan
dengan harapan
penderitaan itu berlalu
usahlah mendera diriku lagi
kerana aku
sudah bosan berduka
dan kini mendambakan
sejalur bahagia.......

Karya: Anna Abadi
Putra

dari meminati menjadi cinta
walau dari kejauhan
walau tanpa sedarmu
menyintaimu suatu kebahagiaan
tak terhingga rasanya?
Wajahmu yang tenang
mempesonakan
bisa mencairkan jiwa nan lara
sinar matamu bak panahan arjuna
hingga aku bagaikan tersesat
dalam renungan matamu
Putra
Inspirasiku datangnya darimu
kau menghidupkan semangatku
hingga ke awan biru
Ada tikanya kutenggelam
dalam khayalan
ingin bersamamu selamanya
dan kadang-kadang kubermimpi
kita bercinta di atas pelangi
Putra
Curahan hatiku tak terluah padamu
kerana memiliki dirimu
suatu kemustahilan
hingga rela kuterbeban
bahagia dalam kesengsaraan
hanya kerna takdir tersurat
menyintaimu dalam diam
kau sentiasa di hatiku?

PUTRA (II)
(Nukilan Suatu Ketika)
Putra
sukar untuk kunukilkan
dalam bait-bait puisi cintaku
apa yang sebenarnya bergolak
dalam gelora perasaanku
Ia hadir bersama debaran
bak gadis santun yang resah
menunggu pinangan
dalam kemerahan wajahnya
Lingkaran kerinduan
menyesak nafasku
hingga tergamak
kumelangkah sendiri
ke penjara cintamu
dan tak terdaya kulari lagi
dari hukuman ini

Diriku bergelar tawanan
dalam sangkar hatimu
pembebasan tak mungkin lagi
kerana akulah yang bersalah
menyintaimu dalam diam
tanpa permisi

Karya: anna abadi
Menyintai Atau Tak Menyintai?

Adakah kau menyintai...
atau tidak menyintaiku???
pertanyaan ini sudah lama bersarang difikiranku
cuma lidah kelu melontarkan
ia kekal menjadi pertanyaan
yang tak terjawab

Kau melayanku seperti teman biasa
tetapi di lain waktu seperti seorang kekasih
kau kerap mengusikku dengan gurauan bersahaja
nadanya seolah menyatakan
aku hanya sekadar seorang sahabat
boleh diusik dengan pelbagai jenaka
dipanggil dengan pelbagai gelaran
namun bersama temanmu yang lain
kau diam-diam memujiku
kau katakan yang indah-indah
kau menghormati dan mengkagumiku...

Mereka berkata
setiap kali kau membicarakan tentangku
ada sinar cahaya di matamu
ibarat membicarakan sesuatu yang suci
adakah itu petandanya kau menyintai
atau...tidak menyintaiku...?

Di suatu masa kau begitu memanjakan aku
di suatu masa yang lain kau buat tak endah
ada saatnya kau diam-diam mencuri pandangan
bila ku tersedar kau cepat-cepat berpaling
adakah kau mampu melindungi
wajahmu yang berubah merah??

Katakan padaku
adakah kau menyintai atau
tidak menyintaiku???
adakah aku hanya dilanda perasaan
tersalah tafsir dengan sifatmu yang mengelirukan
atau aku sebenarnya lebih keliru
dengan perasaanku sendiri
adakah aku menyintai
atau tidak menyintai dirimu....??

Karya : Anna Abadi



Ingin Sekali

Dari kejauhan itu
kuterpandang seraut wajah
tenang dalam diam
namun seakan menyimpan
suatu nostalgia memilukan
rahsia tak terucap
Ingin sekali kumenghampiri
memulakan bicara
berbual mesra
namun hajatku tak pernah
kesampaian
kerna sifat malu seorang wanita
masih menebal dalam diri
Oh bilakah peluang itu
akan tiba akhirnya?

Ingin sekali kuselami
lubuk hatinya
meleraikan misteri
membebaskan kekecewaan lalu
aku ingin sekali melepaskan
belenggu hatinya
dan membangkitkan kembali
ghairah kehidupannya!

Karya: Anna Abadi


Rabu, 13 Januari 2010

Wajah-Wajah anggun 3 (Delima Merkah)



kenapa bilamana melaihat wajah perempuan
hati pasti berbisikkan sesuatu?

Selasa, 12 Januari 2010

Bahana baca SMS (Ceritera)

KUALA LUMPUR: Menyayat hati apabila seorang isteri diseret suaminya sejauh beberapa meter dari kereta dinaiki hingga menyebabkan mangsa berlumuran darah tidak sedarkan diri selain mengalami gegaran otak.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 39, yang ditemui wartawan semalam berkata, kejadian malang yang menimpanya itu rentetan pelbagai bentuk penderaan mental dan fizikal yang dialaminya sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, suaminya yang juga seorang anggota tentera di Kem Batu Kentomen, Jalan Ipoh di sini sudah sekian lama bersikap dingin terhadap dirinya dan anak-anak selepas dipercayai menjalin hubungan intim dengan seorang gadis.

“Sikapnya itu menyebabkan saya mula mengesyaki suami menyembunyikan sesuatu apatah lagi selepas mendapati sikap anehnya yang kerap tidak berenggang dengan beg dibawa. Malah, empat telefon bimbit miliknya turut ‘pantang’ disentuh sesiapa.

“Namun, kesempatan ketika dia sedang lena tidur petang kelmarin, menyebabkan saya cuba memeriksa satu telefon bimbitnya sebelum menemui khidmat pesanan ringkas (SMS) mencurigakan jam 8 malam,” katanya.

Bagaimanapun, tindakannya itu disedari suami yang kemudian memaki hamunnya.

“Tidak cukup dengan itu, suami saya menumbuk pintu almari hingga pecah menyebabkan anak-anak saya menjerit ketakutan kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Katanya, suaminya kemudian mengunci pintu rumah sebelum beberapa minit kemudian membuka pintu dan terus menghamburkan kata-kata kesat kononnya dia sengaja ingin memalukannya kepada jiran.

“Suami saya kemudian bergegas menuju ke arah kereta sebelum saya mengekorinya dengan niat cuba untuk meredakan ketegangan berkenaan. Namun, sebaik saya cuba membuka pintu kenderaan dan masuk ke dalamnya, suami menekan minyak sekuat hati menyebabkan saya yang ketika itu masih memegang pintu kereta terheret sebelum terhumban jatuh ke atas jalan raya.

“Akibat kejadian itu, kepala saya terhantuk ke atas jalan hingga menyebabkan saya hampir pitam,” katanya.

Dia berkata, kejadian itu menyebabkan dahi, lengan kanan dan kakinya berdarah selain ubun kepalanya sakit akibat hentakan kuat.

“Saya tidak percaya suami tergamak melakukan perkara itu, malah langsung tidak berhenti menolong walaupun menyedari saya terpelanting selepas kereta terbabit dipecut laju.

“Dengan bantuan kakak dan ibu bapa mentua, saya dibawa mendapatkan rawatan kecemasan di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum membuat laporan di Balai Polis Jinjang jam 12.30 tengah malam semalam,” katanya.

Menurutnya, walaupun pemeriksaan X-Ray mendapati dia tidak cedera serius namun kesan kemalangan itu menyebabkan dia muntah selain mengalami rasa sakit pada seluruh tubuh.

“Ini bukan kali pertama saya diseksa berikutan sebelum ini mata saya pernah ditinju hingga lebam berdarah pada Aidiladha lalu di hadapan anak-anak hanya kerana kesilapan kecil. Sikap panas baran suami semakin menjadi-jadi sejak dua tahun lalu hingga langsung tidak mahu bertegur sapa dengan saya dan anak-anak.

“Jika ditanya, suami kerap mengherdik dan memberi alasan `saya lelaki dan saya boleh buat apa saya suka’ atau `awak jangan ambil tahu’. Pernah saya cuba mengambil hatinya namun kepala saya sebaliknya dihentak pada dinding rumah dan peti sejuk hingga bengkak,” katanya.

iDAN: Mungkin kejadian ini kerap berlaku terhadap pasangan kini, baik suami mahu pun isteri sering diuji dengan SMS yang datang. Ada sebahagian sememangnya berniat jahat mahu meruntuhkan rumah tangga. Ada juga suami atau isteri yang memang curang; ada juga sekadar SMS sesat. Mana dapat menolaknya.

Aku lebih mengatakan ini ujian sebab hanya kejujuran & ketulusan pasangan kita sahaja dapat menangkis ujian ini. Bukan SMS sahaja, e-mel, blog, forum, panggilan telefon & banyak wadah lain yang boleh menganggu gugat hubungan suami isteri kini, jika silap menggunanya. Pandai-pandailah kita memandu hati sendiri. Mana yang nyata & mana fatamorgana yang sekadar menganggu hati kita.

Aizat, Yuna buktikannya! (Hiburan)

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

KETIKA dalam program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) tiga tahun lalu, Muhammad Aizat Amdan, 20, hanya mampu bertahan selama tujuh minggu sebelum tersingkir. Namun, semangatnya tidak pernah pudar apabila muncul dengan album pertama, Percubaan Pertama yang benar-benar membawa tuah kepadanya.

pix_middle
sebelum

selepas

Tahun ini Aizat kembali ke AJL24 dengan dua lagu, Pergi ciptaan Pete Teo dan lirik Amran Omar serta Kau Aku ciptaan sendiri. Ternyata penyertaan kali ini mencatat kejayaan besar buat Aizat apabila Pergi diumumkan juara manakala Aizat turut menang Persembahan Terbaik untuk Kau Aku. Begitu juga kejayaan Yunalis Zarai atau Yuna, pelajar jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang menjadi perhatian tahun lalu dengan lagu Dan Sebenarnya ciptaan sendiri di tempat kedua. Tambahan pula penampilan bersahaja Yuna di pentas bersama gitarnya.


AJL24 juga menjadi milik penyanyi solo apabila lagu dendangan Faizal Tahir, Bencinta menang tempat ketiga. Juara membawa pulang RM35,000, tempat kedua, RM15,000 dan ketiga RM12,000.


Pergi yang juga lagu tema filem Talentime disampaikan Aizat dalam irama akustik sentimental bukan saja membuai perasaan lebih 10,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Stadium Putra, Bukit Jalil, malah barisan juri terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan; Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Dr Wan Zawawi, Dr Syed Ahmad Faizal Syed Fadzil Al-Attas (Pacai), Zainal Abidin, Fatimah Abu Bakar, Hazami dan ketua juri, Fauzi Marzuki. Persembahan Aizat dimantapkan lagi dengan kehadiran dua vokalis, Linda berketurunan India serta sepupunya, Shukri Nazam dan gesekan Erhu (biola Cina) oleh Endang. Gimik kreatif menggunakan 30 pelajar berpakaian sekolah rendah dan menengah mengiringi Aizat ketika mempersembahkan Kau Aku mencuri tumpuan hingga membawa kejayaan Persembahan Terbaik. Untuk ini, Aizat membawa pulang RM10,000 bersama trofi.


Kejayaan Pergi mengembalikan kegemilangan lagu penyanyi solo selepas dua tahun dikuasai penyanyi berkumpulan, Estranged melalui Itu Kamu pada AJL22 dan Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain), tahun lalu.

Bagaimanapun, Pete tidak dapat meraikan kejayaan itu bersama kerana berada di luar negara begitu juga dengan Amran yang tidak kelihatan pada majlis itu. Pembantu Pete, Albert Law berkata, Pete terkejut dengan kemenangan Pergi dan cukup gembira dengan kejayaan ini," katanya.

Pergi yang ditujukan khas buat insan meninggal dunia seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Datuk Sudirman Arshad, Mokhtar Dahari dan Yasmin Ahmad, menjadi sumber inspirasi kekuatan lagu itu. Aizat berkata, kejayaan meraih juara AJL24 dan Persembahan Terbaik memberi makna besar terhadap perkembangan karier seninya selepas pengalaman pahit terkeluar dari AF5. "Saya tidak sangka lagu Pergi dan Kau Aku melonjak nama saya ke tahap tertinggi anugerah muzik Malaysia. Ini pencapaian membanggakan kerana tidak pernah menang sebarang pertandingan membaca puisi atau nyanyian disertai sebelum ini. "Saya tuju kejayaan untuk keluarga dan semua penyokong Aizat. Ia mengubati kesedihan selepas kehilangan dua ekor kucing kesayangan baru-baru ini. Secara keseluruhan, saya beri penghargaan terhadap peminat setia menyokong industri muzik Malaysia," katanya.


Mengenai konsep budak sekolah diketengahkan untuk Kau Aku, Aizat berkata, idea serta konsep itu menjadi pilihannya selepas mengadakan sesi sumbang saran bersama kru Kasi Gegar Entertainment termasuk bersama semua ahli keluarga. "Kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah datang dari Sekolah St John Kuala Lumpur serta sekolah rendah di Muar, Johor dan beberapa saudara," katanya.


Populariti Aizat terbukti paling popular apabila lagu Hanya Kau Yang Mampu dari album pertama, Percubaan Pertama, mencatat kejayaan apabila Sebaik AJL24 berakhir, Aizat akan menjalani latihan menjayakan Konsert Satu Suara anjuran Siti Nurhaliza Production (SNP) bersama Datuk Siti Nurhaliza dan pemenang tempat ketiga AJL24, Faizal Tahir di Istana Budaya pada 12, 13 dan 14 Februari depan. Selain itu, Aizat masih dalam proses menyiapkan rakaman album kedua dijangka berada di pasaran tahun ini. Katanya, aktiviti seninya padat untuk beberapa bulan pertama ini.


"Saya mahu terus menghasilkan lagu berkualiti untuk memajukan industri muzik tempatan," katanya.

Yuna yang menyertai AJL24 buat kali pertama tidak menyangka Dan Sebenarnya menduduki tempat kedua. Katanya, kejayaan itu membawa makna besar buat dirinya kerana tidak pernah bersaing dalam persembahan pentas kompetitif seperti AJL. "Tahun lalu, saya menyaksikan AJL sambil makan keropok kentang bersama rakan di rumah dan tahun ini tidak sangka menduduki tempat kedua.


"Mungkin ini rezeki saya dan harap mampu meningkatkan perancangan dan pelaburan dalam muzik untuk mencapai tahap lebih tinggi pada masa depan. Buat masa ini, saya masih dalam peringkat perbincangan bersama sebuah syarikat rakaman suara daripada Amerika Syarikat," katanya.


PROFIL AIZAT
NAMA: Muhammad Aizat Amdan
NAMA KOMERSIAL: AIzat
UMUR: 20 tahun
TARIKH LAHIR: 21 Januari 1989
TINGGI: 176sm
ZODIAK: Aquarius
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
PENCAPAIAN: Pergi lagu runut Talentime (muncul juara keseluruhan dan persembahan terbaik AJL24)
:Lagu Kau Aku menjadi tema untuk drama Merah Putih.
:Akademi Fantasia Musim Kelima (tersingkir minggu ketujuh)

PROFIL YUNA
NAMA: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIAL: Yuna
USIA: 23 tahun
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar
1990)
PENDIDIKAN: Masih menuntut dalam tahun akhir di UiTM Shah Alam dalam
bidang undang-undang
PENCAPAIAN: Tempat kedua AJL24 menerusi Dan Sebenarnya
E-MEL: yunaroom records@gmail.com

iDAN:

Azim kata baju Yuna tu macam baju hujan; banyak sangat lapisnya. Memang sedap lagu selamba Yuna.

Luahan Hati Wardina Safiyyah (Hiburan)

Ditulis oleh Norman Ismail


Di petik dari laman Facebook:

(Kredit kepada: Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot)

Ikan lumba-lumba adalah binatang yang amat digemari oleh semua lapisan masyarakat. Mereka bijak dan mampu menceriakan sesiapa sahaja. Ikan lumba-lumba adalah mamalia seperti juga kita manusia. Di kebanyakkan Negara, ikan lumba-lumba dilindungi daripada dieksploitasi dan penyiksaan. Data menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 2’700 ikan lumba-lumba ditangkap dari habitat asal mereka. 53% yang hidup, akan mati dalam masa 90 hari dan setengah dari mereka mati dalam dua tahun pertama akibat terseksa di ‘tempat’ baru, kerana mereka tidak boleh menyusuaikan diri. Kajian menunjukkan bahawa ikan lumba-lumba adalah antara haiwan yang tidak mungkin dapat menyesuaikan diri dalam ‘kurungan’ walau selama mana pun mereka dilatih. NAluri semulajadi mereka adalah di lautan, melompat dan bebas bergerak.


The Dolphins and Sea Lion Show” yang dibawakan oleh LD Sports Sdn Bhd, menampilkan dua ekor ikan lumba-lumba bernama Rio and Karon dan sepasang singa laut bernama Gendon and Brad menunjukkan bagaimana Malaysia dan rakyatnya tidak sentsitif langsung mengenai hak dan isu eksploitasi binatang. Saya merasa dukacita mereka dibenarkan dibawa masuk ke Negara ini. Binatang-binatang ini akan diusung dari Kuala Lumpur kemudian ke Penang dan Johor selama tiga bulan berturut-turut. Cubalah bayangkan bagaimana siksanya mereka terpaksa diangkat kesana kemari hanya kerana ingin memberi “hiburan” kepada manusia.

Rio and Karon dipaksa melakukan tiga pertunjukkan satu hari pada hari biasa dan sehingga lima pertunjukkan sehari pada hari Sabtu dan Ahad! Bayangkanlah betapa penatnya mereka. Sudahlah mereka dikurung dalam penjara buatan manusia. Jika kita pun disuruh bekerja melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya, pasti ada perasaan derita di hati bukan? Sekurang-kurangnya kita dibayar gaji dan tidak dikurung dalam ‘penjara’. Mamalia ini Cuma diberi makan ikan mati, yang tidak pun mereka gemari! Diet ikan lumba-lumba, adalah ikan hidup yang segar!

Binatang ini juga punyai perasaan. Sayangnya perasaan ikan lumba-lumab tidak mampu dizahirkan di wajah mereka. Hakikatnya otot di muka ikan lumba-lumba tidak boleh bergerak, oleh sebab itu, sedih atau takut, sakit atau sihat, mereka akan kelihatan sepert ‘tersenyum’ sentiasa.

Persembahan singa laut dan ikan lumba-lumba ini tidak member secebis pun maklumat atau pengajaran berguna kepada penonton yang hadir, yang rata-ratanya terdiri dari golongan anak-anak. Tidak ada sedikit pun cerita mengenai binatang ini, dari mana asalnya, bagaimana habitatnya, apa yang mereka gemari? Mesej yang diberikan kepada penonton adalah – “Tidak mengapa kita bersuka ria, dan bertepuk tangan. Tidak salah kita menangkap ikan lumba-lumba ini dan memaksa mereka menghiburkan kita. Melayan binatang seperti objek hiburan adalah perbuatan yang boleh diterima”. Music yang kuat dan pengacara yang menjengkelkan membuatkan saya merasa begitu simpati sekali kepada haiwan-haiwan ini.

Di akhir pertunjukkan, puluhan manusia akan beratur panjang untuk mengambil gambar dengan ikan lumba-lumba ini dan dikenakan caj tambahan RM15. Ikan lumba-lumba tidak suka disentuh oleh begitu ramai orang! memegang ikan lumba-lumba dengan sesuka hati, menyebabkan mereka merasa tekanan yang amat dahsyat. Tekanan ini menebabkan usus dalaman mereka rosak dan ini boleh membawa kepada kematian.

Tempat ‘tinggal’ Ria dan Karon terlalu kecil pada pandangan saya. Ikan lumba-lumba di lautan menyelam sehingga 150 kaki dan melompat serta berenang beratus-ratus kilometer jauhnya. ‘Penjara’ ini cuma 2.5 meter dalam, saya seperti mahu mengalirkan air mata. Menurut pekerja yan bertugas “sangkar” singa laut lebh kecil lagi. Cara binatang ini dieksploitasi, menunjukkan bahawa manusia sememangnya sangat tamak dan tidak berperikemanusiaan. Haiwan ini dikerah bekerja bagi segelintir untuk mendapat pulangan. Jika Malaysia mahu mencapai status Negara maju, pertunjukkan sebegini sepatututnya tidak dibenarkan dan diharamkan di Negara ini. Saya pasti negara-negara maju tidak akan membenarkan pertunjukkan yang jelas menyeksa binatang-binatang ini masuk ke dalam Negara mereka. Saya lebih terkejut lagi apabila melihat logo Tourism Malaysia tertera di kain rentang pertunjukkan ini, walhal hakikatnya Tourism Malaysia tidak pernah pun bekerjasama dengan penganjur. Bagaimana mereka dengan sesuka hati boleh meletakkan logo Tourism Malaysia tanpa kebenaran. Dan siapakah yang membenarkan pertunujkkan ini masuk ke Malaysia?

Bukalah mata anda semua, bersuaralah dan hentikanlah kekejaman ini! Ikan lumba-lumba ini sepatutnya bebas berenang di lautan bersama keluarga mereka! Saya pasti Malaysia, kerajaan, wakil rakyat, NGO dan rakyatnya peka kepada nasib malang binatang-binatang ini.

Isnin, 11 Januari 2010

Cara mengupas bawang (Petua)

BAHAN:

Semangkuk air

CARA-CARA:

1. Mula-mula, rendamkan dahulu bawang yang hendak dikupas di dalam air.

2. Biarkan seketika.

3. Setelah itu, bolehlah dikupas seperti biasa. Kerja mengupas bawang akan menjadi lebih mudah.

SELAMAT MENCUBA