Translate

Tajaan

Isnin, 15 Februari 2010

Penipuan e-Perbankan kini makin serius


ORANG ramai dinasihatkan tidak menyerahkan maklumat diri kepada pihak ketiga. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kes penipuan siber e-Perbankan kini terbukti semakin serius apabila Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendedahkan mereka menerima lebih 100 aduan dalam tempoh dua bulan tahun ini berbanding 200 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, selain kes penipuan melibatkan e-Perbankan, terdapat juga aduan yang diterima mengenai usaha mencuri identiti pengguna untuk digunakan dalam perlakuan jenayah siber lain.

"Kes ini semakin meluas dan masalah ini berlaku kerana pengguna kurang mengetahui mengenai perkara ini.

"Sebagai pengguna, kita harus ingat bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan maklumat identiti diri sama ada kata laluan atau sebagainya kepada pihak kedua," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo!

Ahad, 14 Februari 2010

Minum Air Untuk Badan

MENGANTUKNYA! Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak, rungut seorang rakan yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.

Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.

Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.

Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus air dan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.

Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82 peratus kandungan darah membabitkan air.

Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.

Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Berapa banyak air yang kita perlukan?

Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air atau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air melalui peluh.

Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.

Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.

Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.

Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.

Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.

Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul membentuk batu karang.

Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang, jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.

Kesan kekurangan cecair
Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:

  • Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
  • Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
  • Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
  • Tekanan darah menurun
  • Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
  • Lesu pada waktu siang
  • Sakit belakang
  • Dehidrasi
  • Sakit kepala
  • Memperlahankan kadar metabolisma
  • Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
  • Sendi dan otot mengalami kekeringan
  • Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
  • Meningkatkan keinginan untuk makan
  • Darah menjadi pekat
  • Mudah keliru
  • Degupan jantung meningkat
  • Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan

Ngaum bergaung cakar berbisa....

Jenis harimau apakah yang dijadikan haiwan dalam zodiak Cina sempena Tahun Baru? Adakah harimau China atau tidak kira jenis harimau mana? Kalau ada Harimau China, tidakkah patut ada Harimau Melayu. Atau Harimau Malaya. Atau Harimau Malaysia. Tidakkah patut harimau yang dirujukkan sebagai haiwan dalam zodiak China ialah pada mana-mana harimau dan tidak semestinya Harimau China. Atau bagi penduduk Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina, rujukan harimaunya wajar kepada harimau tempatan, iaitu Harimau Malaya atau Harimau Malaysia.

Oleh kerana Tahun Baru Cina merupakan perayaan tradisi kebudayaan China, maka sudah tentu rujukannya adalah Harimau China. Maka daripada lukisan tradisi China yang digandingkan dengan tulisan kaligrafi mereka, harimau yang dipaparkan adalah Harimau China.

Harimau adalah daripada keluarga Mamalia Felidae. Genusnya ialah panthera dan spesies dinamakan sebagai Panthera tigris.

Terdapat lima subspesies harimau, walaupun ada antaranya diancam kepupusan. Sementara tiga subspesies lagi sudah pupus.

Subspesies harimau yang boleh dikatakan sebagai Harimau China ialah Panthera tigris amoyensis dan Panthera tigris altaica.

Panthera tigris amoyensis adalah harimau yang tinggal di sekitar China selatan. Ia dilinduingi oleh pemerintah China kerana diancam kepupusan. Harimau ini dinamakan Harimau China Selatan. Namun begitu, ia juga dikenali sebagai harimau Amoy atau harimau Xiamen.

Sementara Panthera tigris altaica adalah Harimau China yang tinggal di sebelah utara. Ia dinamakan sebagai Harimau Siberia. Tetapi ia juga dikenali sebagai Harimau Amur, Harimau Manchuria, Harimau Altai, Harimau Korea atau Harimau China Utara.

Maka kedua-dua Harimau China Selatan dan Harimau China Utara inilah yang boleh dianggap sebagai Harimau China dan menjadi rujukan sebagai haiwan bagi zodiak kalendar China.

Namun begitu, walaupun namanya Harimau China Utara, ia sudah tidak kelihatan di negara itu. Kehadirannya hanya dikesan di Siberia iaitu dalam Rusia. Maka dalam keadaan begini, apa yang disebut sebagai Harimau China hanyalah patut merujuk kepada Harimau China Selatan.

Tetapi sistem takwim China dengan zodiak haiwan walaupun muncul daripada kebudyaaan China, tetapi ia tidak hanya dirayakan oleh orang China dan keturunan mereka. Tahun Baru China turut dirayakan di Asia Tenggara yang banyak penduduk keturunan China. Namun begitu, Sistem zodiak dan takwim China ini dipakai dan diserap ke dalam kebudayaan beberapa bangsa bukan China iaitu Korea, Mongolia, Vietnam dan Jepun.

Bangsa-bangsa ini turut menjadikan kalendar China sebagai sebahagian daripada kebudayaan mereka. Maka tentunya zodiak haiwan itu turut diambil kira oleh mereka.

Tidak ada harimau yang dikesan di Jepun. Sementara Harimau di Korea dan Mongolia dipercayai merujuk kepada Harimau Siberia yang kini sudah tidak ada di negara-negara itu. Tetapi Vietnam mempunyai harimau yang dikenali sebagai Harimau Indochina. Dengan nama subspesiesnya Panthera tigris corbetti. Ia berada di kawasan Indochina iaitu Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand dan Myanmar. Ia juga ada kalanya dikesan di China.

Maka apabila Vietnam menyambut Tahun Baru, maka harimau yang menjadi rujukannya ialah Harimau Indochina ini.

Rujukan

Tetapi bagi dunia Barat, apabila disebut harimau, sering kali rujukannya adalah Harimau Benggala atau dikenali sebagai Royal Bengal Tiger yang banyak terdapat di India. Oleh kerana Britain pernah menjajah India, maka harimau inilah yang menjadi rujukan dunia Barat. Subspesies yang dikenali sebagai Panthera tigris tigris ini adalah yang paling banyak ada di dunia.

Walaupun India mempunyai harimau paling banyak dan China menjadikan harimau sebagai salah satu daripada haiwan zodiaknya tetapi hanya Malaysia yang menjadikan harimau sebagai haiwan nasional. Ini kerana hanya Malaysia yang menjadikan dua ekor harimau sebagai sebahagian daripada jata negara.

Sememangnya harimau begitu rapat dengan psiki orang Melayu. Harimau yang ada di Malaysia ini dinamakan Harimau Malaya dengan nama subspesiesnya ialah Panthera tigris jacksoni.

Inilah sebenarnya Harimau Melayu dan atas sebab itu ketika merekabentuk jata negeri bagi Johor maka dipilihnya harimau sebagai haiwan untuk melambangkan negeri. Johor merupakan negeri pertama yang mempunyai jati negeri sendiri di Tanah Melayu untuk menunjukkan bahawa ia sebuah negeri berdaulat ketika mula Britain mengukuhkan kekuasaannya ke atas negeri-negeri Melayu.

Warna belang harimau iaitu kuning dan hitam juga dijadikan warna negeri-negeri Perak dan Negeri Sembilan. Maka warna ini juga merupakan latar kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang ditaja penjajah Britain.

Untuk menunjukkan lagi kepentingan harimau, pihak berkuasa Britain menjadinya lambang Keretapi Tanah Melayu. Pengangkutan keretapi merupakan sistem penting dalam mengukuhkan penjajahan dan pentadbiran British ke atas negeri-negeri Melayu.

Harimau juga dijadikan lambang Malayan Film Unit pada tahun 1946. Unit ini sekarang menjadi Filem Negara Malaysia. Dengan adanya lambang harimau, ia meletakkan kepentingan kedua-dua institusi itu dalam kehidupan bernegara Malaysia.

Maka apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan, maka sudah tentu dua ekor harimau dipilih sebagai lambang pada jata negara. Begitu juga dengan Malaysia apabila ia dibentuk.

Singapura pula mengambil seekor harimau untuk diletakkan pada jata negaranya bagi melambangkan hubungan pulau itu dengan Malaya.

Walaupun apa jua kepercayaan orang Cina terhadap Tahun Harimau, tetapi bagi negara yang menjadikan harimau sebagai lambangnya, maka tahun harimau adalah tahun Malaysia.

Seperti kata Balai Seni Lukis Negara dalam kad Tahun Baru Cinanya: Ngaum bergaung, cakar berbisa, menang bertarung, lintas terasa... itulah Resam Harimau.

Enjin jet: Peguam Negara berlepas ke Uruguay

JOHOR BAHRU 13 Feb. - Kerajaan akan memastikan dua enjin pesawat pemintas dan pejuang F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditemui di Uruguay, dibawa balik ke negara ini secepat mungkin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kini sedang dalam perjalanan ke Uruguay bagi menguruskan proses tertentu bagi tujuan tersebut.

"Beberapa dokumen perundangan telah beliau perolehi dan beliau juga telah mendapat kerjasama daripada Kedutaan Uruguay di Malaysia supaya proses membawa balik enjin itu dapat disegerakan," katanya.

Beliau diminta mengulas urusan membawa balik dua enjin jet pejuang F5-E yang yang berpangkalan di Skuadron 12 Scorpion Butterworth, Pulau Pinang.

Dua enjin itu dilaporkan hilang masing-masing pada Jun dan November 2007, bagaimanapun, kehilangan kedua-dua enjin itu hanya disedari setahun kemudian sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 4 Ogos 2008.

Ahmad Zahid berkata, beliau telah berbincang dengan Abdul Ghani mengenai proses membawa pulang enjin tersebut dua hari lalu.

Sementara itu, beliau berkata, dua suspek yang dituduh dalam kes kehilangan dua enjin itu akan dibicarakan pada 29 Mac ini.

Pada 6 Januari lalu, seorang anggota tentera berpangkat sarjan, N. Tharmendran, 42, dan seorang ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad, 37, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan dua enjin jet berkenaan.

Namun mereka berdua mengaku tidak bersalah.

Gelenggang:

Tak ramai tentera kita orang kaum India, apakah mungkin mereka ini akan tersabit kesalahan. Kita tunggu sahaja keputusan mahkamah.

Khairy desak Guan Eng beri penjelasan

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Penafian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung laporan Utusan Malaysia kelmarin mengenai pembatalan perarakan sambutan Maulidur Rasul di negeri itu mula menjerat leher sendiri.

Ia ekoran pendedahan surat bertarikh 5 Februari yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri yang dengan jelas menyatakan bahawa majlis perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul dibatalkan dan diteruskan dengan Majlis Perhimpunan Ummah pada 26 Februari.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta penjelasan daripada Guan Eng mengenai kesahihan surat berkenaan yang menurutnya turut dimuat naik ke laman web Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP).

"Pemuda UMNO menyambut baik kenyataan Guan Eng bahawa sambutan (Maulidur Rasul) kali ini akan dilaksanakan selama tiga hari berturut-turut bermula daripada 25 Februari 2010.

"Namun, Pemuda UMNO ingin bertanya kepada Guan Eng kesahihan salinan surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menyatakan Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Pulau Pinang memutuskan untuk membatalkan perarakan tradisi Maulidur Rasul dalam mesyuaratnya 3 Februari lalu.

"Guan Eng harus menjelaskan perkara ini dengan telus dan jujur sebagaimana cogan kata bagi pentadbiran beliau yang menjurus kepada tema Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya dalam laman blog beliau http://www.rem bau.net.my/.

Menurut Khairy sekiranya laporan itu benar, pembatalan perarakan itu yang merupakan amalan tradisi bagi seluruh Umat Islam di negara ini, adalah satu penghinaan kepada agama Islam dan juga umat Islam di Pulau Pinang.

"Pembatalan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia seakan menidakkan kehendak rakyat Pulau Pinang beragama Islam berarak bagi menzahirkan rasa kasih dan sayang kepada Rasulullah.

"Malah ia juga adalah satu gambaran yang langsung tidak memahami dan menghormati sensitiviti masyarakat majmuk dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia," ujarnya.

Jumaat, 12 Februari 2010

Selamat Tahun Baru Cina (Singgahsana)


Jika dulu kesempatan cuti panjang begini, aku & keluarga berluimba-lumba pulang ke kampung. Ketika itu masih ada Opah Bi tempat untuk bermalam. Betapa ghairah mahu balik kampung sebab ada yang menyambut.

Biasalah Opah Bi akan sentiasa menunggu biar pun kami sering balik lewat malam. Sampai di rumahnya telah terhidang pelbagai juadah. Masakan Opah Bi antara masakan tersedap di dunia. Paling tidak Arwah Opah Bi tak dapat mengatasi keenakan masakan arwah Emak. Keprihatinan Opah Bi terhadap aku & keluarga terkadang mengatasi keprihatinan terhadap menantunya seorang itu. Mak Datin emak AC Mizal. Bayangkan dia telah tahu semua makanan kegemaran anak-anakku. Jika musim durian pasti dia akan sediakan tempoyak, jika musim raya dia pasti tempah lemang buatan Wan Midah.

Pernah terjadi tragedi aku pulang semasa musim kongsi raya. Aku kemalangan di Behrang. Agak dahsyat juga lantaran belasan kereta serentak kemalangan. Aku antara yang tersondol kereta di hadapan. Faham sahajalah masa itu pakai Proton Saga. Kereta perang yang tengah meragam ini. Breknya tak berapa makan. Kereta di belakangku hanya kira-kira seinci sahaja nak sondol keretaku. Kalau brek aku ngam pasti belakang kemik terus. Pasti.

Kenangan bersesak balik kampung nampaknya hanya tinggal kenangan. Kecuali aku dapat mencipta semula kampung halaman. Aku telah mengira kosnya. Sekitar RM25,000 pasti aku akan punyai kampung & dusun semula. Siapa boleh membantu?.

Tahun ini tahun harimau. Harimau merupakan haiwan ketiga dalam kitaran 12 . Kehadiran TAHUN HARIMAU yang membawa SIMBOL KEKUATAN, KEBERANIAN dan KEKENTALAN dilihat sebagai PENYELAMAT di saat dunia ketandusan SEMANGAT JUANG untuk MENCIPTA KEJAYAAN, KEKAYAAN dan KEMAKMURAN. KEGAGAHAN HARIMAU atau nama khususnya GENG YIN bersatu bersama KEINDAHAN dan KELEMBUTAN yang menjadikannya IKON bagi MEREKA YANG MENGHAYATI ilmu simbolik ini. Di dalam kegagahan dan keberanian itu masih terserlah keindahan rupa dan kelembutan perilaku, ini menjadikan HARIMAU seumpama KESEIMBANGAN YANG dan YIN.



GONG XI FA CHAI

Berhati-hatilah ketika memandu di jalan raya. Ingat orang yang disayang. Rasa mengantuk berhenti seketika. Elok bawa bekalan seba faham sahajalah hentian rehat ketika ini sesak banget.

20 Tip agar selesa memandu dari Penyair iDANRADZi

1. Bersabarlah & sentiasalah merasakan perjalanan jauh itu satu suasana santai bersama keluarga. Baca doa. Bergembiralah.

2. Rancang perjalanan anda, ikut lorong yang betul, jangan baran jika ada main lampu ganggu anda memandu. Elok ada peta, kalau pun tidak; ambil maklumat terperinci sebelum bertolak. Mamai sangat tentang jalan raya pakai Global Positioning System (GPS).

3. Jangan sesekali mencari jalan berbalahan atau bertengkar di dalam kenderaan. Baik suami mahu pun isteri. Kereta bukan mahkamah syariah. Baran sahaja stering akan berhantu.

4. Jauhkan cerita yang menggusarkan ketika suami memandu, takut hilang tumpuan. Jika anda rasa nak menangis sedih amat; elok berhenti di hentian rehat atau lorong kecemasan, pasangan lampu kecemasan; menangis puas-puas baru teruskan memandu.

5. Jangan guna SMS baik suami atau isteri ketika memandu, isteri sebelah asyik main SMS & tersenyum sendiri ketika memandu petanda tak baik. Elok tutup telefon bimbit kecuali ketika penting, kut! ada panggilan kecemasan.

6. Izinkan suami mendengar muzik yang digemari. Berikan dia keselesaan memandu, jangan mainkan muzik kuat-kuat. Kereta bukan pusat disko. Jangan ganggu muzik lalok atau menyindir suami. Nak Nahas!.

7. Anak-anak dinasihatkan jangan bising meragam & asyik nak singgah buang air. Jika berhenti rehat pastikan ketika itu anak-anak tak meragam perut, nak buang air kecil segala biarlah terancang. Layan minat anak anda, jika ada DVD di kereta pasangkan; jangan guna suara yang kuat. Belikan pemain MP3 kalau jenis anak anda penggemar muzik. Biar dia tak bosan & ganggu anda.

8. Pastikan sedari awal kenderaan lengkap segala, minyaknya penuh, tayarnya cukup angin. Enjin tak asyik panas, selalu pantau air & minyak hitam. Hidup penghawa dinginnya amat penting. Bayangkan hari hujan tak ada penghawa dingin.

9. Bantu suami jika dia dahaga, elok guna botol kecil jika mahu minum. Cawan, strol semua itu tak perlu; ringkas & selamat. Jangan bawa makanan basah, mudah bertabur & berkelah di dalam kereta anda.

10. Jangan kejar masa, memandu laju tiada untungnya. Ingat orang luar negara sana di lebuh raya melaut luas pun memandu 90km sejam sahaja. Nak cepat sampai bertolak awal.

11. Jika memandu siang pastikan anda pakai kaca mata hitam pilihan utama Ray-Ban cerminnya hijau. Jika malam pula pastikan pakai pakaian selesa, tak tahan penghawa dingin pakai jaket. Kasihan anak-anak yang ada yang tak suka angin malam. Jangan pakai pakaian ketat, kasut tumit tinggi atau apa jua yang tak selesa. Anda dalam kereta bukan dalam parti nak memperaga pakaian keanggunan anda.

12. Jika semua penumpang tidur, gunakan kesempatan itu untuk melayan kenangan indah zaman dedulu. Pasang lagu romantis, berhayallah agar jiwa anda tenag. Jangan pasang lagu metal takut anda terbawa-bawa jadi metallah nanti.

13. Elok sediakan gula-gula agar anda selesa, mulut tak berbau, elok yang ada mint, ada sesuatu yang dikunyah. Jangan gula-gula getah nanti comot sana sini.

14. Jauhi merokok ketika memandu, anda tak kemalangan tetapi penumpang yang kemalangan maut lantaran asap rokok anda. Silap-silapkusyen tebuk sana sini. Lagi malang anda pun rentong sebab puntung rokok anda. Nak merokok berhenti kejap di hentian rehat. Berasaplah.

15. Ikut lebuh raya jika duit berkepuk, selesa cepat, jarang kena saman laju kalau tak laju, jarang lori redah kecuali bas pemandunya mamai. Jika rasa tol terlalu mahal PR13 jangan pilih pemerintah sekarang itu hak anda. (Ini sensitif bukan situs politik) Jika rasa tol mahal kuat kerja cari duit.

16. Lihat pemandangan indah sekeliling secara afdal. Anda kenalah menikmati hidup anda sementara masih segar bugar. Saat memandu berjam-jam inilah peluang baik menikmati keindahan alam ini.

17. Isteri kena layan suami berbual agar tidak mengantuk. Mengantuk baik berhenti minum apa yang patut. Isotonik.

18. Perempuan yang bercinta jangan nak berngada-ngada ketika kekasih sedang memandu, ramai mangsa kemalangan jalan raya; rakan jururawatku bercerita ada tanda-tanda pasangan bercinta tengah ringan-ringan ketika kemalangan. Sabarlah.

19. Jangan lebih muatan, atau membawa barangan yang berbau sepanjang jalan. Barangan tak perlu ada dalam kereta elok dibuangkan. Biar semua selesa ketika berada di kenderaan anda; beli haruman kereta yang boleh mendatangkan suasana segar. Minyak atar kat Mydin murah sahaja.

20. Lafazkan kesyukuran bilamana sampai di destinasi anda. Pun lafazkan kesyukuran bila anda selamat sampai ke rumah anda. Syukur itu pastinya anda akan tambah dilindungi Allah Azzawajalla.

Selamat memandu.

Scorpene , Sukhoi dan Altantuya

Kiriman oleh - Obey_one :: Kategori - Apa apa sahaja

Datuk Seri Najib Tun Razak semalam membidas perbuatan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang sengaja menimbulkan dakwaan-dakwaan palsu terhadap kerajaan berkaitan komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi, selain mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.


Dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat petang semalam, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai “satu rekaan yang diatur secara berterusan untuk kepentingan politik bagi mengelirukan rakyat.”

Katanya: “Tindakan ini tidak langsung memikirkan kesan-kesan buruk terhadap imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keselamatan negara… ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan menegakkan kebenaran.’’

Dalam penggulungannya, antara lain Najib menjelaskan:

- Kementerian Pertahanan tidak pernah membayar komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung berjumlah RM500 juta (Euro 114.96 juta) kepada Perimekar Sdn. Bhd. berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

- Harga pembelian pesawat Sukhoi yang berbeza di antara Malaysia dan India disebabkan perbezaan konfigurasi dan bilangan pesawat yang dibeli.

Malaysia membeli hanya 18 buah pesawat Sukhoi menggunakan teknologi Thales dari Perancis manakala India membeli 180 buah pesawat jenis itu dengan 140 buah dibina di India menggunakan teknologi avionik Israel.

- Beliau tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan Altantuya, 28, yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu telah beberapa kali diperjelaskan, tetapi ada sesetengah anggota pembangkang dengan sengaja cuba mengaitkan nama beliau dalam kes tersebut.

Menghuraikan secara lebih terperinci mengenai kapal selam Scorpene, Najib berkata, pembelian itu dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara yang membabitkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga.

“Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas kelulusan kementerian dan setelah kontrak tersebut dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya.

Najib menyifatkan tuduhan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat kononnya berlaku rasuah dalam pembelian peralatan ketenteraan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Ketika beliau berucap, Wan Azizah mencelah bertanya mengapa harga pembelian kapal selam itu oleh India dan Chile lebih murah daripada Malaysia.

Najib menegaskan, perbezaan harga itu berlaku kerana kelainan spesifikasi memandangkan India menggunakan teknologi Israel sedangkan Malaysia menggunakan teknologi Perancis sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, kontrak perolehan kapal selam Scorpene itu ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh kerajaan dengan syarikat DCNS dari Perancis dan Navantia dari Sepanyol selaku pembekal kapal selam, manakala syarikat Perimekar bertindak sebagai pembekal perkhidmatan projek.

“Nilai kontrak ialah Euro 1.084 bilion (RM5.5 bilion) yang dibahagi kepada dua iaitu pertama membabitkan kos berjumlah Euro 969.15 juta (RM4.94 bilion) merangkumi pembelian dua buah kapal selam dan latihan untuk warga kapal selam.

“Kedua, ia melibatkan perbelanjaan bernilai Euro 114.96 juta (RM586.3 juta) membabitkan Perimekar untuk perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Cherbourg, Perancis dan Cartagena, Sepanyol,” katanya,

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan Perimekar dalam konteks perolehan kapal selam Scorpene.

Syarikat itu, kata Najib, sebenarnya diberi kontrak perkhidmatan sokongan untuk tempoh enam tahun dengan nilai kontrak Euro 114.96 juta (RM586.3 juta).

Pada masa ini, Perimekar baru dibayar sebanyak Euro 95.54 juta (RM487.3 juta).

Najib memberitahu, Perimekar adalah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Beliau menambah, skop kerja perkhidmatan sokongan yang diberikan oleh Perimekar adalah menyediakan kediaman untuk pasukan pegawai TLDM di Perancis dan Sepanyol.

Penyelenggaraan

“Syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan, kediaman serta kelengkapan untuk 156 anggota TLDM dan 30 kakitangan penyelenggaraan pangkalan.

“Ia juga menyediakan insurans, membayar elaun harian bernilai Euro 50 sehari (RM306), membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap anggota pasukan untuk tiga kali setahun serta menyediakan keperluan lain,” katanya.

Di samping itu, kata Najib, Perimekar juga menyediakan perkhidmatan koordinasi dengan memastikan syarikat Malaysia terlibat dalam pembinaan kapal selam serta terbabit dalam program off-set.

Katanya, syarikat itu juga membantu kontraktor utama dalam prosedur kerajaan serta menyelaras latihan krew kapal selam dan menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.

Menjawab isu yang ditimbulkan mengenai pembelian Sukhoi, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kerajaan tidak membayar komisen kepada IMT Defence (M) Sdn. Bhd. yang merupakan wakil tunggal syarikat Rosoboronexport dari Rusia dalam pembelian pesawat pejuang Sukhoi.

Sehubungan itu, kata Najib, tuduhan yang dilemparkan oleh wakil rakyat pembangkang bahawa kerajaan telah membayar komisen bagi pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukhoi adalah tidak benar.

Mengenai pembelian pesawat Sukhoi, beliau berkata, secara prinsipnya, harga pesawat Sukhoi yang ditawarkan oleh Rusia kepada Malaysia tidak banyak berbeza seperti yang ditawarkan kepada India.

Najib yang menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, sebelum memuktamadkan harga dengan pihak Rusia berhubung perolehan tersebut, kerajaan telah membuat kajian termasuk perbandingan harga dengan Tentera Udara India.

Sementara itu, menjawab isu lain yang dibangkitkan oleh Wan Azizah bahawa terdapat unsur rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda generasi baru TLDM yang dibina di Lumut, Najib menegaskan, perkara itu tidak berlaku.

Katanya, kontrak itu diberikan kepada PSC-Nayal Dockyard kerana kerajaan berhasrat untuk membangunkan industri maritim negara dengan kemudahan infrastruktur yang ada dalam negara.

“Kontrak itu membabitkan pembinaan enam buah kapal dengan nilai RM5.35 bilion, namun syarikat itu gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal yang hampir disiapkan.

“Kerajaan terpaksa meneruskan projek itu dengan LTAT mengambil alih PSC-Naval Dockyard bagi mengelakkan kerugian dan kemudian ditukar nama kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.,” katanya.

Berikutan itu, kata Najib, kerajaan terpaksa memberi kelulusan kenaikan nilai kontrak daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion iaitu sebanyak RM1.4 bilion bagi memastikan pembinaan kapal itu berjalan lancar.

Beliau berkata, bayaran yang dibuat oleh kerajaan dalam projek itu adalah berasaskan kepada jadual siap kerja bagi keenam-enam kapal yang dibina serentak.

“Kerajaan juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran penalti kerana jika dikenakan ia tidak setimpal dengan usaha syarikat Boustead Naval Shipyard menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal tersebut,” katanya.

Sumber Dari: www.utusan.com.my

Ps/- Tahniah Dato’ Seri Najib atas penjelasan panjang lebar bersama fakta-fakta penting untuk menjawab fitnah PKR dan lain-lain pembangkang. Sudah naik keletihan bila seharian di momokkan dengan dakyah fitnah didalam ceramah mereka yang pernah aku ikuti.

Aku ingin mengulas seimbas lalu berkaitan isu komisen dan rasuah yang sering dilaung-laungkan PKR terutama melalui ceramah-ceramah politik Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah yang mana sebenarnya hanyalah strategik untuk menjatuhkan kredibiliti Najib sebagai bakal Perdana Menteri.

Ditambah pula dengan dengan betapa kurangnya minat media massa (sebelum ini) untuk memfokuskan kebenaran bagi pihak Najib (pasti ada tangan yg mencuit dibelakang tabir) maka orang ramai terutama penyokong pembangkang dan segelintir penyokong UMNO terpengaruh dengan dakyah pembangkang dan termakan hasutan Anwar.

Nampaknya, semenjak lebih kurang sebulan terakhir ini sudah nampak banyak perubahan sikap dikalangan media tempatan untuk memberi ruang kepada kenyataan Najib bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul. Adakah cengkaman ‘tangan-tangan ghaib’ sudah kian longgar atau mereka mula mengakui Pak Lah sudah hampir ke penghujung hayat politik?

Dengan penjelasan Dato Seri Najib berkaitan isu ini, sudah sampai masanya untuk penyokong dan pejuang UMNO memulakan kempen membersihkan kembali kredibiliti Dato’ Seri Najib, jangan terikut lagi tarian dan gelek lengok Anwar.

Usaha ini mungkin sukar kerana sesetengah kalangan penyokong dan ahli UMNO didalam minda mereka sudah disetkan untuk melihat Najib sebagai tidak bersih. Itu satu kemenangan besar untuk Anwar kerana berjaya membentuk persepsi negatif orang UMNO terhadap Najib sebelum ini.

Apatah lagi, Anwar dan pembangkang lain tidak bersendirian ketika memomokkan isu tersebut kerana mereka turut dibantu oleh ‘jentera tangan ghaib’ dari dalam UMNO yang sama-sama berkempen membusukkan imej Najib pada pandangan khalayak umum terutama melalui saluran internet.

Selamat kembalikan maruah UMNO di mata masyarakat Malayu dan Malaysia.

2008.

http://www.obeyone.com/


THESIS BERTAJUK: PEMBANGUNAN KETENTERAAN MALAYSIA: KAPAL SELAM SCORPENE.


Berikutan pembelian 2 buah kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia yang berharga RM3.4 bilion (USD$972 juta), berkemungkinan menyebabkan beberapa buah pihak menganggap bahawa pembelian tersebut adalah sebagai satu pembaziran. Namun apabila kita meneliti dan menyelidik akan kepentingan kapal selam tersebut, kita akan mendapati bahawa sebenarnya terdapat banyak faedah terhadap pemerolehan kapal selam tersebut. Negara kita malaysia seharusnya terus bangun untuk bersaing dengan negara2 Asia yang lain dalam proses pembangunan ketenteraan ini. Pembelian kapal selam ini tidak boleh dianggap sebagi perlumbaan senjata atau 'arm race' oleh negara-negara lain. sebaliknya mereka harus menganggap ini sebagai satu pembangunan ketenteraan yang sememangnya begitu sinonim dengan negara-negara membangun dan sedang membangun.

Selain itu, sememangnya negara-negara serantau akan merasa terancam kerana mereka berkemungkinan berada dalam "security dilemma" yang mana mereka menganggap ini sebagai ancaman keselamatan kepada negara mereka. Dengan mengambil contoh negara Singapura, mereka sememangnya berada dalam security dilemma kerana berkemungkinan mereka berasa terancam dengan pemerolehan kapal selam pertama Malaysia ini. Kita perlu sedar bahawa ini bukanlah satu perlumbaan senjata untuk membuktikan siapa hebat dan siapa kuat. Semasa kajian terhadap thesis ini dijalankan, didapati bahawa perairan Singapura telah dijaga dan diawasi oleh tentera marin AS yang mana walaupun negara mereka kecil, tetapi sumber yang berada di ZEE menyebabkan mereka senantiasa berwaspada terhadap sebarang ancaman pihak musuh.

Perlu kita fahami, Malaysia bukanlah sebuah negara yang bersifat ketenteraan, namun ia tidak bermakna Malaysia perlu mengabaikan prinsip dan pembangunan pertahanan dan keselamatan. Hakikatnya agenda pembangunan ketenteraan tetap bergerak seiring dengan aspek-aspek lain dan bagi pihak kerajaan, tumpuan dan keutamaan adalah diberikan kepada aspek pendidikan yang akan menjana kemajuan dan pembangunan negara. Oleh kerana proses pembangunan ketenteraan Malaysia adalah berteraskan kedudukan kewangan dan kemampuan negara yang terhad, ia memerlukan satu bentuk pembangunan ketenteraan yang dapat memberi impak yang sangat besar atau kesan yang maksimum kepada keselamatan dan sistem pertahanan Malaysia.

Namun, perasaan security dilemma itu seharusnya tidak wujud dalam diri mana-mana negara serantau. ini kerana menurut J. J Suh (2006):

Security dilemma is a concept central to explaining various international security phenomena, including arms races. On the one hand, many rationalist scholars usually take the dilemma as an unproblematically inherent part of the anarchic international structure, and use as a starting point from which they investigate the effects that the security dilemma has on state behavior or the ways in which some of those effects can be ameliorated”.

Oleh itu, kepada pihak yang menyatakan bahawa pembelian kapal selam Scorpene ini adalah satu pembaziran, fikir dan renungkan kembali.

Sumber: Abdul Adib Zakaria

International Affairs Management.

-Pembangunan Ketenteraan Malaysia Dalam Melindungi Keselamatan Negara.

Kajian Kes: Kapal Selam Scorpene.