Translate

Tajaan

Isnin, 5 September 2011

Aqiqah

PENGERTIAN ‘AQIQAH
  • ‘Aqiqah ialah sembelihan binatang an‘am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata‘ala.

HUKUM MELAKUKAN ‘AQIQAH

  • Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

WAKTU PELAKSANAAN ‘AQIQAH

  • Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut.

  • Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .

Maksudnya:
"Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."
(Riwayat Abu Daud)

SYARAT ‘AQIQAH

  1. Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih.

  2. Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur.

PERKARA SUNAT SEMASA ‘AQIQAH

  1. Berdoa semasa hendak menyembelih:


    بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ ... (sebut nama anak)
    Maksudnya:
    "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…".

  2. Menyembelih ketika matahari sedang naik.

  3. Daging ‘aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.

  4. Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang ‘aqiqah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.

  5. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.

  6. Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu.

PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK

  1. Mengazankan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir.

  2. Membaca iqamah di telinga sebelah kirinya.

  3. Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas.

  4. Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang.

  5. Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya.

  6. Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya.

  7. Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih ‘aqiqah untuknya.

  8. Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut.
  9. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.

HIKMAH ‘AQIQAH

  1. ‘Aqiqah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:
  2. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
  3. Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
  4. Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
  5. Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.
  6. Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.

Perbezaan antara ‘aqiqah dan qurban.

Terdapat beberapa perbezaan antara ‘aqiqah dengan qurban:

  1. ‘Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah.

  2. Daging ‘aqiqah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.

  3. ‘Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala qurban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Isma‘il.

  4. Daging qurban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging ‘aqiqah sunat disedekahkan setelah dimasak.

Ahad, 28 Ogos 2011

Eurofine rancang bina kompleks studio filem di Ayer Keroh

BAYANGKAN kecanggihan dan keluasan kompleks studio filem terbesar di dunia, Ramoji Film City di Hyderabad India bakal didirikan di negara kita. Bukan lagi omong kosong, sebaliknya ia akan direalisasikan anak syarikat Eurofine, Fine Leisure Development Sdn Bhd selepas membuat perancangan selama 10 tahun.

Bakal dinamakan Laman Seni Film City, ia dijadual dibangunkan awal tahun depan di tapak seluas 21.6 hektar di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka dengan kos kira-kira RM300 juta.
Ramoji Film City yang dimiliki Ramaji Rao dan mula beroperasi pada 1996, dibina di tapak lebih 800 hektar dan keluasannya diiktiraf Guiness Book of World Records.

Pengarah Urusan Kumpulan Eurofine, Ida Rahayu Md Noor sendiri pernah melawat Ramoji Film City pada 2001, namun bagi projek di Melaka itu, tanah yang digunakan tidaklah sebesar kompleks studio filem di Hyderabad, tetapi fungsinya boleh dianggap sama.

Selain menawarkan kemudahan dan peralatan untuk penggambaran filem serta drama, projek kebanggaan Eurofine ini turut berfungsi menjana sektor pelancongan melalui perancangan membuka empat taman tema keluarga dipanggil Laman yang setiap satunya menggunakan watak animasi dan drama yang pernah diterbitkan Eurofine.

Nama yang dimaksudkan ialah karakter Yokies, Frootees, filem Putih dan drama Sara Akashah yang pernah disiarkan di kaca TV dulu. Empat hotel juga bakal dibangunkan yang keseluruhannya memuatkan 1,000 bilik, selain Akademi Filem dan sajian terbuka kepada rakyat yang bakal bebas belajar tanpa sebarang kelayakan tertentu.
“Pengunjung juga bakal berpeluang melihat aliran kerja pembikinan filem dan drama. Secara tak langsung, kita dapat terus menyemarakkan industri pembikinan filem dan drama tempatan. Kita sediakan kemudahan kepada penggiat seni dengan caj untuk penggunaan utiliti dan sebagainya.

“Kompleks studio ini nanti turut menempatkan studio suntingan, grafik dan audio digital terkini, pusat beli-belah laman rekreasi dan hiburan. Bayangkan pembikin filem boleh masuk ke situ dengan sebuah skrip dan keluar dengan segulung filem kerana segala kemudahan ada di situ,” kata Ida yang juga aktif menerbit drama.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian tanah bagi membangunkan projek terbabit diadakan pada 9 Disember lalu di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, dihadiri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Turut hadir rakan media dan artis seperti Dira Abu Zahar, Almy Nadia, Roy Azman dan Ezany.

Berita Minggu yang menjadi wakil tunggal akhbar dari Kuala Lumpur diundang ke sana turut berpeluang meninjau keseluruhan lokasi terbabit yang dibeli pada harga RM11.1 juta pada petang hari sama dengan menaiki kereta pacuan empat roda dan difahamkan sebuah pawagam terbuka turut dirancang dibina dalam kawasan kompleks berkenaan.

“Untuk menzahirkan projek ini bukan sekecil anak usahanya. Tahun ini kita hanya mampu melunaskan proses pecah tanah, tetapi harapnya ia satu permulaan yang baik. Kita akan usahakan projek ini dalam tiga fasa yakni selama tiga tahun sebelum dijangka memulakan operasi pada 2014.

“Kami yakin projek berpaksikan seni sebegini wajar diusahakan pihak berkaitan, baru ada ‘feel’. Kami juga dalam perbincangan dengan beberapa rakan kongsi dari Amerika Syarikat untuk turut serta membangunkan projek ini,” katanya, tetapi belum dapat mendedahkan identiti rakan kongsi yang bakal dipilih.

Ida berkata, projek itu juga penanda aras bagi Eurofine yang mula beroperasi pada 1991, sekali gus tidak mahu ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga, sebaliknya sebagai mercu tanda Malaysia dan industri seni negara sehebat Universal Studio, Disneyland dan Legoland di AS.

“Projek ini juga bagi membantu meningkatkan industri pelancongan negara, terutama di Melaka. Dengan adanya Laman Seni Film City, kita mensasarkan tambahan 1 juta lagi pelancong dan orang tempatan mengunjungi negeri ini.
Melaka sendiri dianggap bandar raya bersejarah dan kita mahu mencipta sejarah baru dengan penghasilan projek ini.

“Harapnya pelancong yang datang akan bercakap mengenai projek ini dan melakukan promosi mulut ke mulut kepada teman senegara. Siapa tahu selepas Hollywood dan Bollywood, akan muncul Malaywood atau Melakawood pula selepas ini,” katanya peneraju syarikat penerbitan yang aktif menerbit program terbitan televisyen tempatan dan luar negara ini.

Info
Kumpulan Eurofine


  • Beroperasi di Bandar Baru Nilai sejak 1991.
  • Beberapa program animasi terbitannya berjaya dijual ke AS, Timur Tengah, Brunei dan Indonesia.
  • Anak syarikat lain, Fine International Network, Fine Gallery Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd, Fine Animation Sdn Bhd dan P T Fine Media Kreasi di Jakarta.
  • Man United calar maruah Arsenal 8-2

    2011/08/29
    LONDON: Wayne Rooney mencipta hatrik pertama di awal musim Liga Perdana Inggeris bagi memastikan kemenangan besar Manchester United ke atas Arsenal 8-2 di Old Trafford, sebentar tadi.

    Rooney meledak pada minit ke-40 dan 62, kedua-duanya menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-81.
    United memperoleh gol awal menerusi Danny Welbeck pada minit ke-21 sebelum Asley Young meledak pada minit ke- Theo Welcott menyamakan kedudukan pada minit ke-27. Theo Walcott kemudian menyumbat masuk pada minit ke-48.

    Masuk separuh masa kedua Nani meledak pada minit ke-65 disusuli Park Ji Sung pada minit ke-69 sebelum Robin Van Persie memperoleh gol kedua Arsenal pada minit ke-73.

    Young sekali lagi merembat jaringan pada minit ke-90 untuk melengkapkan kemenangan bersejarah United 8-2.

    Sabtu, 27 Ogos 2011

    Tolak baju baru

    Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
    zatuliffah@hmetro.com.my

    KUALA TERENGGANU: “Arwah berpesan kepada isterinya supaya tidak membelikannya baju raya tahun ini walaupun mereka sekeluarga sentiasa berpakaian sedondon setiap kali menyambut hari lebaran.

    “Namun, isterinya tetap menyediakan baju raya itu tanpa memaklumkan arwah dan siapa sangka pesanan itu adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarganya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri,” kata Maznah Bakar, 43, kakak ipar kepada Sukri Awang, 38, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.


    Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Sukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian depan cedera parah di dada dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu manakala isterinya yang juga adik kepada Maznah, Norwani Bakar, 36, cedera di rusuk namun dirawat sebagai pesakit luar.

    Selain itu, tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd Amin, 6, yang cedera di rusuk dan Mohd Naim, lima bulan, yang mengalami pendarahan di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala Mohd Amni, 3, yang cedera di muka ditempatkan di wad biasa HSNZ.


    Ketika kemalangan, mereka yang menetap di Kem Tentera Iskandar, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke kampung Norwani di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri.


    Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dipandu Norwani dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan Honda Accord yang datang dari arah bertentangan.

    Menurut Maznah, Norwani juga bersikap pelik apabila tidak memberitahu kepulangan mereka sekeluarga, sedangkan sebelum ini mereka biasanya memaklumkan perkara itu setiap kali pulang beraya di rumahnya di Kampung Alur Pilai, Jelawat, Bachok.


    “Sebelum ini, saya tanya sama ada mereka akan pulang beraya tetapi Norwani memaklumkan tidak tahu kerana suaminya bekerja. Mungkin dia dan arwah suaminya merahsiakan kepulangan mereka kerana ingin membuat kejutan.

    “Difahamkan, mereka bertolak daripada Kem Tentera Iskandar jam 12 tengah malam Khamis lalu. Jika saya tahu hal itu, pasti saya tidak membenarkan mereka pulang kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.


    Maznah yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia turut berasa tidak sedap hati pada hari kejadian dan segala perasaannya terjawab apabila menerima panggilan daripada Norwani memaklumkan dia dan keluarga terbabit kemalangan.


    “Norwani menghubungi saya selepas kejadian itu sebelum panggilan terputus disebabkan telefonnya rosak. Namun ketika cuba menghubunginya semula, saya terdengar bunyi ambulans dan menyangka mereka sekeluarga hanya terbabit dalam kemalangan biasa.


    “Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda, apatah lagi mengenangkan tragedi berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri,” katanya.


    Seorang rakan Sukri yang enggan dikenali memaklumkan, arwah sememangnya teruja untuk pulang beraya pada malam sebelum kejadian walaupun isterinya mencadangkan mereka pulang pada keesokan harinya.


    “Arwah baru saja bertugas di kem ini selama tiga hari selepas dipindahkan dari Melaka. Dalam tempoh itu, arwah tidak pernah tinggal menunaikan solat sunat tarawih, cuma dia kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang berhari raya pada malam sebelum kejadian,” katanya.


    Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, 153 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh empat hari Ops Sikap 24 dilancarkan sejak 23 Ogos lalu membabitkan lapan kemalangan maut dengan lapan kematian.

    Selasa, 23 Ogos 2011

    Buah tangan terakhir Seri Bayu

    PORT DICKSON: “Ayah (Seri Bayu) sempat menghasilkan sebuah lagu berjudul ‘Sebelum Aku Pergi’ untuk saya,” kata penyanyi remaja, Nazira Abdul Ghani, ketika ditemui pada majlis pengebumian komposer dan penulis lirik terkenal itu.

    Nazira yang juga anak angkat kepada Seri Bayu berkata, dia mengenali arwah ketika menyertai pertandingan karaoke di Tasik Idaman, Bangi, Selangor, empat bulan lalu.


    “Saya disapa arwah ayah yang turut menyaksikan pertandingan itu. Dia menyatakan kagum dengan suara saya, malah berjanji menggilap saya menjadi penyanyi popular,” kata anak bongsu lima beradik itu.

    Menurutnya, arwah ayah angkatnya itu meminta untuk tinggal bersama keluarganya di Kampung Teluk Pelanduk, di sini, dengan alasan suka dengan suasana kampung dan mudah mendapat ilham mencipta lagu.


    Nazira berkata, arwah seperti dapat menjangka hayatnya tidak lama apabila begitu tergesa-gesa menyiapkan lagu untuk rakaman album.


    “Ketika keluarga saya dan arwah ke Shah Alam berjumpa seorang komposer lagi bagi pembikinan video klip lagu Sebelum Aku Pergi, dia beria-ia minta disiapkan pada Mei, apabila ditanya kenapa tidak bulan April, dia hanya tersenyum saja. “Rupa-rupanya arwah seperti mengetahui ajalnya dan tidak mahu albumnya disiapkan dalam tempoh berpantang 44 hari,” katanya.

    Kelmarin, komposer dan penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Port Dickson di sini, kira-kira jam 8.30 malam akibat penyakit saraf motoneuron dihidapinya sejak 2004 lalu.


    Isterinya yang juga seorang penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 27, atau Erema, turut kelihatan walaupun sebelum ini rumah tangga mereka bermasalah dan kes itu masih dalam perbicaraan mahkamah.

    “Saya masih sah isteri arwah dan reda dengan pemergiannya,” kata Erema yang mengetahui berita kematian suaminya itu kira-kira jam 9 malam kelmarin.


    “Kali terakhir berjumpa arwah ketika hadir perbicaraan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Ogos lalu. Namun, kami kerap berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar antara satu sama lain,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu.


    Jenazah Seri Bayu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Pelanduk, di sini, semalam kira-kira jam 2 petang.

    Keluarga wajib bertaubat

    KUALA LUMPUR: Perbuatan membelakangkan bapa sebagai wali bukan saja melanggar undang-undang keluarga Islam, malah semua pihak yang bersubahat memalsukan keterangan itu melakukan dosa besar dan wajib bertaubat.

    Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata selepas menerima aduan daripada Sham, pihaknya kini dalam proses untuk memfaraqkan pasangan itu kerana secara jelas berlaku penipuan dalam perkahwinan terbabit.


    “Secara umumnya, wali mujbir atau wali akrab menjadi satu syarat utama sah sesebuah pernikahan, tetapi dalam kes ini berlaku manipulasi undang-undang apabila si anak lebih sanggup mengaku anak tidak sah taraf daripada meminta bapa kandung menjadi wali.

    “Kes seumpama ini pernah berlaku apabila seorang wanita menipu dengan menggunakan sijil kematian palsu bapanya untuk bernikah secara berwali hakim. Mahkamah kemudian memerintahkan pasangan itu difaraqkan serta-merta. Justeru, mengambil intipati perundangan sama tindakan tegas perlu diambil bagi kes ini,” katanya yang ditemui, semalam.


    Beliau berkata, pasangan itu hanya boleh dinikahkan semula dengan berwalikan bapa kandungnya yang masih hidup kerana mengikut hukum syarak, perkahwinan tanpa wali mujbir tidak sah.


    “Dalam kes ini, jurunikah juga bukan sekadar memastikan semua maklumat dalam borang nikah lengkap, malah sahih bukan bersikap sambil lewa.

    “Malah, semua pihak yang mengetahui mengenai perkara ini, tetapi tidak menghalangnya wajib bertaubat kerana melakukan dosa besar selain melanggar undang-undang syariah,” katanya.

    3 beradik mati lemas dipercayai ditolak bapa ke dalam kolam air

    KLUANG: Tiga kanak-kanak meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditolak ke dalam sebuah kolam takungan air oleh bapa mereka dalam kejadian di Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol, di sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Fawzi Arshad berkata dua kanak-kanak perempuan berumur tiga dan lima tahun serta adik lelaki mereka, berusia dua tahun, dipercayai ditolak ke dalam kolam kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada 7.30 malam.

    "Ketiga-tiga beradik itu dipercayai dibawa ke kolam berkenaan oleh bapa mereka yang berumur 29 tahun dengan alasan untuk memancing ikan sebelum ditolak dan mati lemas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

    Mohd Fawzi berkata pusat kawalan IPD Kluang menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada 10.20 malam sebelum meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang bagi melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.


    Beliau berkata mayat kesemua kanak-kanak yang lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira satu setengah jam kemudian.


    Katanya polis kemudian berjaya menahan bapa kanak-kanak terbabit di rumahnya malam tadi, yang merupakan pemandu traktor di ladang berkenaan yang cuba membunuh diri dengan meminum racun.

    Lelaki itu katanya turut berada di bawah pengaruh alkohol dan kini ditempatkan di Hospital Kluang untuk rawatan.

    "Polis sedang menyiasat motif kejadian mengapa lelaki itu sanggup menolak anaknya ke dalam kolam yang menjurus kematian. Bedah siasat terhadap tiga kanak-kanak terbabit akan dilakukan hari ini untuk mengetahui punca kematian sebenar," katanya.

    Menurut Mohd Fawzi polis sudah merekodkan keterangan ibu kanak-kanak itu yang berumur 23 tahun bagi membantu siasatan dan polis sedang mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman suaminya.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama