SOALAN:
Saya pernah mendengar tentang penyakit tiroid lebih kerap menyerang
wanita berbanding lelaki. Baru-baru ini kakak ipar saya disahkan
menghidap penyakit ini semasa hamil. Dr, apakah yang menyebabkan ibu
hamil berisiko menghidap penyakit ini dan apakah rawatannya. Mohon Dr
menjelaskan lebih lanjut mengenainya.
Su,
Johor
JAWAPAN:
Penyakit tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding
lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan.
Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan
rawatan pada peringkat awal dilakukan.
Kelenjar tiroidSecara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti
rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin
(T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme
(pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan
sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat
badan, kemurungan dan tahap tenaga.
Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya.
Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat
dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari
pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila aras hormon tiroid
tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon
terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain
seperti diabetes mellitus juga boleh menganggu pengeluaran hormon
tiroid.
Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga simptom tertentu yang boleh
digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan
menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar
tiroid yang tidak teratur.
Ada dua jenis penyakit tiroid iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme
yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki. Empat nisbah satu
penyakit tiroid menyerang wanita berusia 20 tahun ke atas kerana sebab
dan alasan yang tidak diketahui hingga kini.
Penyakit hipotiroidismePenyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid
tidak berfungsi secara optimum sehingga hormon tidak dikeluarkan
secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid berlebihan
juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisme.
Lazimnya, penyakit hipotiroidisme disebabkan keradangan pada kelenjar
tersebut, yang dipanggil tiroiditis. Penyakit ini juga dikenali sebagai
penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun yang merangsang
pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.
Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid
supaya kelenjar tiroid berkerja lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut
membesar dan dipanggil goiter. Akhirnya, kelenjar tiroid tidak lagi
dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.
Simptom hipotiroidisme adalah bengkak kaki, ingatan terganggu, lembap,
malas, kuat tidur, badan sering terasa sejuk dan boleh mengakibatkan
masalah jantung jika tidak segera dirawat. Pesakit yang mengalami
penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil hormon tiroksin
seumur hidup. Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala bergantung
kepada aras hormon tiroid.
HipertiroidismePenyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan
hormon berlebihan. Biasanya ia disebabkan penyakit autoimun manakala
badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar
tiroid. Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif
dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin. Penyakit Grave adalah
penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar. Selain itu, ubat yang
diambil untuk hipotiroidisme mungkin menyebabkan hipertiroidisme, jadi
pengawasan doktor amat penting. Simptom hipertiroidisme adalah hilang
berat badan, kerap buang air besar, berpeluh, berdebar-debar,
menggeletar, penglihatan terjejas dan bertambah selera makan.
Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat
untuk mengurangkan debaran jantung mungkin perlu diberikan. Sekiranya
rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin
beradioaktif diberikan untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid.
Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan.
Penyakit tiroid semasa hamil Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda
dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan
kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.
Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan
anda juga mungkin diubah dos ubat secara berkala di samping ujian darah
dan ujian lain yang difikirkan perlu akan dilakukan.
Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit hamil. Ada
sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil
postpartum tiroiditis. Lazimnya aras hormon tiroid ibu terbabit kembali
ke normal dengan pantas. Namun, ada segelintir ibu mungkin mengalami
hipotiroidisme pada masa hadapan. Perlu ditegaskan ujian pengesanan atau
ujian darah hormon tiroid bukan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan
antenatal.
Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera,
apatah lagi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan yang
menyebabkan keguguran, kelahiran pra matang, janin kecil dan kecacatan
mental. Kes ini biasanya di bawah pengawasan doktor pakar yang biasanya
akan dipantau di 'combine clinic' iaitu doktor pakar perbidanan dan
doktor pakar endokrin. Usah gusar, ia selamat dan mudah dirawat.
Sama-sama juga saya doakan agar kakak ipar anda dan bayi yang dikandung
selamat dilahirkan.