Translate

Tajaan

Sabtu, 22 Januari 2011

Mona Fandey 7

Episode XXVIII "Jujur"

PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi Husin, menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 :

Di dalam kes yang berada di depan kita ada dua isu yang perlu penjelasan dan keterangan lanjut.

Isu pertama dalam kes ini adalah sama ada Orang Kena Tuduh (OKT) pertama (Juraimi) mempunyai niat bersama seperti yang diterangkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk melakukan pembunuhan ke atas bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris bersama-sama dengan OKT kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan OKT ketiga (Maznah Ismail atau Mona Fandey).

Isu kedua ialah adakah pembunuhan itu yang dilakukan oleh Juraimi menyebabkan OKT pertama dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 302 kanun yang sama jika sabit kesalahan. Kata kunci di sini adalah niat yang membawa maksud hajat atau tujuan.

Apabila kita mengatakan hajat atau tujuan ianya membawa erti pula kepada sesuatu yang akan diperolehi atau didapati sebagai imbuhan niat itu. Ia mestilah mempunyai rantaian penyebab atau 'chain of causationer'. Sebagai contoh, dalam kes ini niat membunuh Mazlan mempunyai rantaian iaitu untuk membolot harta serta wang ringgitnya.

1. Persoalannya apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

2. Adakah Juraimi mendapat keuntungan daripada pembunuhan itu?

3. Apakah natijah pembunuhan itu terhadap Juraimi?

Persoalan ini telah pun dijawab oleh saksi pendakwa dan pembela.

Juraimi tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk membunuh Mazlan. Niat jahat hanya ada pada Affandi dan Mona saja. Ini jelas kerana daripada keterangan saksi pendakwa ke-20, Azmi Abdul Rahman yang mengatakan
dia diminta menubuhkan syarikat dan memindahkan geran tanah milik Mazlan. Segala transaksi itu langsung tidak membabitkan Juraimi.

Saksi pendakwa ke-21, Mohd Nashir Hussein dan saksi ke-22, Kong Foo Mun serta saksi ke-33, Abdul Latiff Ahmad mengesahkan nama Juraimi tiada dalam apa-apa transaksi yang diuruskan oleh mereka.

Saksi pendakwa ke-24, pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Seng mengatakan Mona ada menjalankan pembedahan plastik untuk kecantikan. Perbelanjaan ini adalah hasil dari wang yang diperolehi daripada Mazlan, sedangkan OKT pertama ditinggalkan di (Kampung Peruas) Ulu Dong, dalam keadaan yang serba kekurangan dan daif.

Saksi ke-28, Tengku Yahya Tengku Abdullah juga mendapat nikmat daripada Affandi dan Mona. Di sini jelas menunjukkan individu yang tidak ada kena
mengena mendapat keuntungan seperti Azmi dan Tengku Yahya. Jika OKT pertama mempunyai kepentingan bersama OKT kedua dan ketiga, sudah tentu Juraimi tidak ditinggalkan dalam serba kekurangan.

Ini jelas bahawa Juraimi telah digunakan oleh OKT kedua dan ketiga. Saksi ke-39, Tan Teck Seng, seorang pemandu yang baru dikenali juga mendapat nikmat. Dia telah dijemput untuk menjadi rakan kongsi untuk perniagaan kereta terpakai oleh Affandi, sedangkan OKT pertama langsung tidak dipedulikan.

Demikian juga dengan saksi pendakwa lain yang mengatakan bahawa Affandi dan Mona membelanjakan banyak wang ringgit untuk kepentingan mereka berdua serta bermewah-mewah.

Sedangkan Juraimi hanya diberi pada mula RM180 dan kemudian RM1,500, yang mana RM1,000 untuk beli makanan itik dan RM500 untuk makannya. Di sini jelas dilihat taraf permakanan itik adalah lebih tinggi dan baik daripada taraf Juraimi sendiri.

Oleh yang demikian apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

Saya berhujah OKT pertama membunuh Mazlan tanpa sebarang niat kerana Maxim `Actus non facit reum nisi men sit rea' tidak ada pada OKT pertama.

`Men rea, guilty mind' atau suatu pemikiran jahat adalah penting dalam kes jenayah, tetapi ini tiada pada Juraimi.

Walaupun dalam kes bunuh, motif tidak penting, tetapi motif adalah penting untuk menentukan sama ada OKT pertama bersalah mengikut Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu berada dalam keadaan yang dia sendiri tidak dapat mengawal perbuatannya. Juraimi telah mengatakan dia tidak sedar apa yang dilakukannya sebelum kejadian (malam pembunuhan pada 2 Julai 1993) dan hanya sedar semula setelah Affandi berjumpa dan menyentuhnya dia di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993.

Di mana OKT pertama secara spontan dan sukarela memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis seperti keterangan saksi ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar.

Keterangan yang mengatakan Affandi menyentuh Juraimi disokong oleh saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Keterangan ini nampak mudah, tetapi penting untuk menunjukkan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua kerana ini dibuktikan sendiri oleh Affandi dalam keterangannya. Affandi dengan bangga mengatakan bahawa dia telah memberi air jampi kepada OKT pertama, lalu Juraimi boleh bersilat.

OKT kedua berkata lagi, dengan minum air jampi seseorang itu tidak boleh membuka langkahnya sendiri ikut sesuka hati. Affandi juga berkata bahawa dengan sekali sentuh OKT pertama boleh menidurkan ayam.

Apabila ditanya dalam pemeriksaan balas, adakah untuk memulihkan semula ayam ini juga perlu disentuh Affandi menjawab, ya.

Untuk itu, mahkamah mestilah melihat perkara ini dalam skop yang lebih luas iaitu adalah dipercayai sebelum kejadian OKT kedua telah memberi air jampi kepada OKT pertama, supaya Juraimi menurut saja apa yang diarahkan kepadanya.



Affandi turut menyentuhnya supaya lupa apa yang berlaku sehinggalah disentuh sekali lagi pada 22 Julai 1993, yang mana OKT pertama sedar semula.

Menurut Mahpop, pada 19 Julai 1993, dia ke tempat kejadian bersama OKT pertama, tetapi Juraimi sendiri tidak tahu apa tujuan dibawa ke sana. Pada hari itu, Mahpop mengambil pita video dan sijil-sijil saham yang disimpan dalam laci almari besi kepunyaan Affandi, tanpa ditunjuk Juraimi.

Mahpop apabila ditanya Gulam, berkata Juraimi tidak memberi kerjasama seperti 22 Julai 1993. Apabila saya menyoal balas Mahpop sama ada OKT pertama patuh kepada OKT kedua, saksi ke-56 itu bersetuju.

Ini membuktikan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng juga mengatakan Juraimi patuh kepada Affandi.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua.

Episode XXIX "Gila"

PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi Husin, meneruskan hujah penggulungan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua, Mohd Afandi Abdul rahman.

OKT kedua mempunyai trend yang bahaya dan perlu penapisan yang cukup teliti kerana sentiasa cuba mengelak serta menangkis kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya, dengan melemparkan beban kepada OKT ketiga dan pertama. Malah beban itu juga dilemparkan kepada peguamnya sendiri.

Hampir keseluruhan keterangan Affandi adalah satu pembohongan dan OKT kedua mahu mahkamah mempercayai keterangannya.

OKT kedua juga mengakui mahu menjual kereta milik Mazlan bernombor pendaftaran CAA 5115, tetapi berkenaan songkok, tongkat dan azimat tidak dijual kerana bukan haknya, tapi hak mangsa (Mazlan). Keterangan ini bercanggah di antara satu sama lain.

OKT kedua juga berkata, pada 6 atau 7 Julai 1993, dia bersama OKT ketiga, anak mereka (Mazdiana Affendy), Tengku Yahya dan Simon (Tan Teck Seng) ke tempat kejadian semula untuk mengambil dokumen Mona.

Pemergian sebenar OKT kedua dan ketiga ke sana untuk memastikan semua arahan Affandi dan Mona kepada Juraimi telah dipatuhi sepenuhnya. Ini kerana telah menjadi satu trend kepada semua penjenayah untuk melawat kembali tempat kejadian bagi memastikan semua bukti yang boleh mengaitkan si penjenayah itu dihilangkan atau dikenali sebagai `Doctrine of Lapse'.

Ini dapat dilihat pada barang kes P22 (rakaman percakapan beramaran Mona) pada muka 31 para 50, di mana OKT ketiga mengatakan "Kami berada di Ulu Dong kira-kira satu jam sahaja. Sebenarnya tujuan kami balik untuk periksa keadaan rumah dan Gondrong (Juraimi) tentang kematian Datuk Mazlan".

Pada muka 28, para 43 baris lima, OKT ketiga mengatakan "Ketika itu saya nampak Affandi berpaling kepada Gondrong sambil memberi isyarat kepadanya dengan mengarahkan matanya supaya Gondrong jalankan kerjanya. Saya nampak Gondrong memegang kapak dan terus `dum' ke leher Datuk Mazlan."

Keterangan OKT ketiga dari kandang orang kena tuduh juga tidak patut diambil kira oleh mahkamah, sebaliknya rakaman percakapan beramaran Mona mestilah diterima.

Sebelum 22 Julai 1993, Juraimi adalah dalam keadaan tidak boleh berfikir dengan waras dan tidak boleh mengetahui sebab serta akibat daripada perbuatannya serta tidak boleh mengawal pergerakan dirinya sendiri.

Dia telah menjadi seperti robot kepada OKT kedua dan ketiga. OKT pertama juga dijadikan tempat untuk membuang segala bebanan kerja jahat OKT kedua dan ketiga.

Perancangan ini dapat dilihat daripada mereka masih di Kuantan lagi yang mana semua bil diletak atas nama Juraimi, setelah dia tidak lagi diperlukan, OKT pertama ditinggalkan untuk menghadapi apa-apa saja yang bakal menimpa dirinya.

Menurut keterangan saksi pembela ke-4, Sarjan Masara Yuasuap keadaan OKT pertama ketika ditahan adalah seperti seorang penagih dadah kerana berada dalam keadaan khayal, mata merah berair, bercakap tak tentu arah, rambut panjang paras bahu, muka cengkung, badan kurus dan pakaian
lusuh dan kotor.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam, Masara mengatakan OKT pertama kurang normal dan ada masa kita bercakap dengan dia, dia diam dan ada masa dia tak faham apa kita cakap.

Masara juga memberi keterangan pada masa ini Juraimi nampak gemuk, rambut pendek, muka dia cerah dan pakaian kemas. Keterangan saksi pembela ke-6, Sarjan Mejar Mashood Yaacob juga sama dengan keterangan saksi pembela ke-4, yang mana saksi ke-6 berkata, OKT pertama bermata kuyu, badan kurus, berambut panjang serta berpakaian lusuh dan kotor.

Mahpop juga berpuas hati OKT pertama ditangkap atas alasan dadah kerana keadaan Juraimi ketika itu seperti penagih dadah. Menurut keterangan Masara dan OKT pertama, OKT pertama ke Balai Polis Dong sebanyak dua kali (pada 13 Julai 1993).

Juraimi berkata, pada kali pertama beliau dibawa ke Balai Polis Dong dengan sebuah landrover polis dan kemudian dilepaskan kerana OKT pertama hendak beri makan burung dan itik, serta pegawai juga tiada.

OKT pertama disuruh datang pada jam 7 malam. Juraimi agak terlewat dan menelefon Balai Polis Dong dari Kampung Pamah Kulat mengatakan dia terlewat sedikit.

Kedatangan kali kedua ini bolehlah dikatakan sebagai serah diri dan OKT pertama tidak gentar atau takut ke Balai Polis Dong kerana ini jelas menunjukkan dia tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

Sekiranya OKT pertama tahu apa yang telah dilakukannya itu menyalahi undang-undang, ketika dilepaskan kali pertama itulah peluang yang sehabis baik untuk dia melarikan diri.

Jelas bahawa Juraimi, tidak mempunyai sebarang motif, niat dan tujuan berkaitan dengan tragedi kejadian itu. Memandangkan kepada keterangan yang ada, OKT pertama tidak boleh disabitkan kesalahan membunuh dengan niat bersama yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetapi Juraimi mestilah dihukum mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dari segi perlakuan, OKT pertama adalah seorang pendiam, sabar, tidak pernah menyakiti hati orang, tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah sebelum ini dan orang kampung tidak pernah mengadu apa-apa hal yang tidakbaik terhadapnya. Demikian yang diterangkan oleh saksi ke-3 pembela, Husin Jamaluddin.

Saksi pendakwa ke-58, Noraini Abdul Rahman juga menyokong pandangan ini dengan mengatakan Juraimi adalah seorang yang baik dan pendiam. Kebenaran ini juga disokong oleh Affandi sendiri yang berkata, OKT pertama tidak banyak cakap, rajin serta tekun dan taat kepadanya.

Dengan keadaan inilah OKT kedua mengambil kesempatan untuk mempergunakan OKT pertama. OKT pertama juga mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa dendam terhadap Mazlan. Dia juga tidak pernah bergaduh, bermasam muka atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Malah, hubungan OKT pertama dengan Mazlan macam biasa saja. Juraimi juga tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Mazlan, baik dari segi perbadi mahupun perniagaan. OKT kedua juga mengatakan setahunya OKT pertama tidak ada apa-apa perselisihan faham dengan Mazlan. Oleh demikian dengan bukti serta autoriti yang telah dijelaskan, adalah dengan ini dihujahkan bahawa OKT pertama tidak ada langsung niat bersama untuk membunuh Mazlan dan ketika Juraimi menetak leher Mazlan, dia melakukannya dalam keadaan tidak sedar yang menyebabkannya tidak tahu akibat serta natijah daripada perbuatannya dan oleh itu dia patut dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Sekian

Episode XXX "Keraguan Munasabah"

HANYA orang tidak siuman akan melakukan pembunuhan ngeri ke atas Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris yang dipotong kepada 18 bahagian.

Peguambela Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan berkata, mengikut keterangan Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu, dia tiada perasaan, hilang akal dan seperti sesuatu masuk ke dalam badannya.

Katanya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey dalam keterangan mereka pula menyatakan Juraimi seperti orang hilang pedoman dengan giginya terkancing ketika pembunuhan itu.



"Adakah di sini hendak dinyatakan kemungkinan Juraimi tidak siuman ketika itu?

"Di sini, saya meminta pihak juri memberi perhatian terhadap perkara ini," katanya ketika menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Menurutnya, hanya pakar atau psiktrik yang dapat menentukan keadaan Juraimi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada keterangan menyokong bahawa Juraimi tidak siuman atau tidak sedar seperti dalam keterangannya. Peguambela Affandi dan Mona itu juga mempersoalkan mengapa peguambela Juraimi tidak mengemukakan laporan mengenai keadaan tertuduh pertama yang diarah menjalani rawatan sakit jiwa di Hospital Kuantan, Oktober 1994.

Pada soalan ini, peguambela Karam Singh Bhal bangun membantah dan berkata, perkara itu telah diberitahu kerana Hospital Kuantan tiada kemudahan untuk menjalankan rawatan itu.

Ikmal Hisam Idris kemudian menambah, tujuan Juraimi dihantar ke hospital itu bukan untuk menentukan sama ada dia siuman atau tidak, tetapi bagi menguji tahap IQnya.

Gulam yang tidak puas hati dengan jawapan itu kemudian menyoal, mengapa tiada laporan mengenainya.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Mokhtar Sidin berkata, perkara itu telah diperjelaskan kepada semua peguambela dan timbalan pendakwaraya di kamarnya. Gulam kemudian berkata tiada laporan mengenainya. Hakim kemudian menjawab dengan nada marah: "Encik Gulam jangan berlagak, berlakon. Saya panggil semua orang dalam kamar saya dan jelaskan perkara itu.

"Saya kurang senang dengan kenyataan Encik Gulam, seolah-olah Encik Gulam diabaikan, tidak diberitahu langsung mengenainya."

Gulam kemudian berkata: "Maksud saya, mengapa tiada ada susulan pemeriksaan itu."

Ikmal kemudian bangun dan berkata: "Kami meminta mahkamah supaya pemeriksaan itu tidak diteruskan."

Peguambela Affandi dan Mona seterusnya berhujah.



Yang Arif dan juri, seperti yang telah saya katakan sebelum ini, sejauh mana kita hendak mempercayai keterangan Juraimi Husin. Ini terletak kepada keterangannya di mahkamah dan rakaman percakapan beramarannya yang menjadi barang kes.

Untuk menentukan kewibawaan Juraimi, saya membawa juri kepada beberapa perkara mengikut keterangannya di mahkamah dan rakaman percakapannya.

Dalam percakapan beramarannya, Juraimi ada memberitahu: "Lebih kurang seminggu sebelum pembunuhan, Haji Fendi (Affandi) telah beritahu saya supaya siap buat Datuk."

Dalam keterangannya, Juraimi berkata cadangan itu datang daripada Mona dan Affandi yang suruh buat persiapan.

Apabila disoal balas oleh saya, Juraimi berkata, bukan Mona tetapi Affandi yang arahkan.

Di sini, menimbulkan satu keraguan yang mana kita hendak pakai bagi membuat keputusan. Versi yang mana satu yang betul. Juraimi telah bercakap bohong. Di sini, dia tidak bercakap betul dan ini menimbulkan keraguan terhadap Affandi dan Mona.

Dalam keterangan di mahkamah, Juraimi berkata: "Saya tidak ada apa-apa rancangan dibuat olehnya. Affandi dan Mona tidak berbincang dengan saya dan saya sendiri tidak tahu."

Dalam percakapan beramaran, Juraimi kata: "Semuanya telah dirancang."

Ini adalah satu perancangan yang hebat dan saya minta juri mengambil kira perkara ini sedalam-dalamnya.

Pihak juri perlu memberi penilaian terhadap perkara ini dengan membandingkan percakapan beramaran dan keterangan Juraimi di mahkamah.

Bolehkah kita korbankan dua nyawa (Affandi dan Mona) dengan hanya mendengar keterangan daripada Juraimi?

Dalam keterangan mahkamah, pihak pendakwa bergantung semata-mata kepada keterangan Juraimi (pengakuan pembunuhan Mazlan dan rancangan membabitkan Mona dan Affandi).

Saya berani berkata tanpa keterangan Juraimi, tiada keterangan kuat atau prima facie bagi pihak pendakwa.

Dalam keterangan Juraimi ada berkata Affandi mengambil selimut dan bantal ke bilik air. Dalam percakapan beramarannya pula, Juraimi kata Mona ambil
selimut dan bantal ke bilik belakang. Lihatlah juri, percanggahan ini. Ini adalah satu lagi untuk kita menguji sejauh mana kewibawaan keterangan Juraimi. Hendakkah kita percaya keterangan Juraimi untuk korbankan dua nyawa.

HAKIM: Encik Gulam, jangan cakap untuk korbankan nyawa. Kita belum buat sebarang keputusan lagi.
(Gulam kemudian mengemukakan beberapa fakta dalam keterangan dan percakapan Juraimi yang bercanggah).

Affandi dan Mona telah menafikan bahawa mereka memberi arahan kepada Juraimi (untuk melakukan pembunuhan itu).

Yang Arif dan juri, saya ingin membawa kembali kepada perkara tidak sedar yang dibangkitkan oleh Juraimi ketika saya menyoal balasnya.

Juri, jika Juraimi tidak sedar bagaimana dia sedar ketika menerima arahan. Di sini tiada niat bersama. Di mana kedudukan niat bersama. Di sini, sukar untuk dinilai keadaan tidak sedar, hanya pakar dan psiktrik yang dapat membantu kita di sini (untuk menentukan keadaan Juraimi).

Tapi, kita tidak mendapat perkhidmatan mereka untuk menolong kita. Juraimi kata dia tidak sedar dua minggu sehingga disentuh oleh Affandi pada 22 Julai 1993.

Mengapa Juraimi tidak disentuh sekarang supaya Juraimi tidak boleh berkata apa-apa mengenai pembunuhan itu.

Kalaulah Affandi dan Mona mempunyai kuasa seperti itu sudah itu mereka menggunakan kuasa itu pada bila-bila masa.

Di sini, saya meminta juri berfikir, ini adalah sesuatu perkara yang pelik sekali. Adakah pengakuan Juraimi itu benar. Itu yang juri perlu fikirkan dengan teltiti tanpa keterangan pakar dan psiktrik.

Peguambela Juraimi yang bijaksana telah mencadangkan, Juraimi diberi minum segelas air jampi sebelum pembunuhan supaya Juraimi menurut arahannya. Affandi berkata tidak.

Ini satu tuduhan yang dilemparkan kepada Affandi, yang mana tidak berasas sama sekali. Jika Juraimi tidak sedar ketika melakukan pembunuhan, bagaimana dia boleh sedar ketika Affandi menyentuh badannya?

Ini semua cerita dongeng dan karut, alasan yang tidak berasas dan tidak boleh diterima sama sekali. Perkara tidak sedar dan diberi air jampi tidak timbul langsung dalam percakapan beramaran Juraimi. Ini fakta, bukan saya
merepek di sini.

Mengapa tidak sebut kerana perkara ini tidak berlaku langsung. Ini adalah rekaan yang datang daripada pembelaan Juraimi. Apabila saya soal balas mengapa tidak sebut, Juraimi berkata dia terlupa, tak ingat.

Saya katakan perkara tidak sedar dan disentuh ini, sengaja diada-adakan untuk menyelamatkan dirinya. Dalam keadaan tidak sedar, Juraimi boleh menetak tepat ke leher Mazlan. Jika dalam keadaan tidak sedar Juraimi menetak leher Mazlan, tentu Affandi dan Mona sudah habis. Juraimi hentam saja, tetak di mana-mana tubuh Mazlan, tak perlu tumpu pada leher.

Di sini saya mahu juri membuat pertimbangan kerana keterangan Juraimi bahawa dia tidak sedar datang dari dirinya sendiri. Tiada keterangan sokongan seperti daripada pakar atau psiktrik. Sudah tentu jika dia tidak sedar, Juraimi akan tetak di mana-mana. Ini tidak, jasad dipotong kepada 18 bahagian, lebih bijak dari pakar bedah atau tukang potong daging.

Affandi ada berkata: "Kita semua habis." Affandi berkata demikian dengan secara spontan kerana perbuatan Juraimi, kami semua terbabit.

Dalam keterangan Affandi, dia ada berkata Juraimi berkata kepadanya:"Bapa dan ibu hanya ada, tapi saya yang buat." Ini bermakna kejadian pembunuhan itu telah berlaku tanpa niat bersama oleh Affandi dan Mona.

Percakapan beramaran Affandi telah diambil pada 23 Julai 1993, sehari selepas ditahan polis. Affandi tidak mempunyai masa untuk mereka-reka cerita ketika memberi percakapan beramaran itu.

Jadi apa yang berlaku ke atas Affandi dan Mona seperti yang diceritakan dalam percakapan beramaran itu adalah benar. Tiap-tiap alasan pihak pembela ialah Juraimi tidak sedar, tanpa keterangan menyokong. Alasan yang diberikan Juraimi adalah sesuatu untuk membebaskan dirinya sendiri.

Kalaulah dengan menggunakan taktik ini dan telah menerima arahan dia tidak bersalah dan dibebaskan, tidak selamat kita semua. Juraimi boleh melakukannya lagi dan menggunakan taktik yang sama.

IKMAL: Yang Arif, tuduhan itu tidak adil.

HAKIM: Encik Gulam, berlaku adil.

GULAM: Dalam keadaan sama ada Juraimi sedar atau tidak, sama ada dia siuman atau tidak, mahukah juri sama sekali percaya dengan keterangannya, mahukah mengorbankan kedua-dua nyawa (Mona dan Affandi).

HAKIM: Bagaimana dengan nyawa tertuduh pertama?

GULAM: Mahukah juri korbankan ketiga-tiga nyawa, jika betul Juraimi tidak sedar.

Oleh sebab tiada keterangan sokongan atau bukti dari pakar dan psiktrik, kita tidak boleh terima keterangan Juraimi.

Pihak pendakwa gagal membuktikan satu kes pembunuhan terhadap Affandi dan Mona tanpa sebarang keraguan. Sekarang saya pergi kepada motif pembunuhan. Kita tidak ada satu pun keterangan bahawa Affandi dan Mona telah mengambil wang milik Mazlan yang ditunaikan pada 2 Julai 1993.

Pihak pendakwa cuba mengaitkan pembelian barang kemas, perabot dan kereta oleh Affandi dan Mona dengan wang RM298,850 yang ditunaikan oleh Mazlan pada hari itu. Kita tidak ada bukti sama ada wang yang dibayar oleh Affandi dan Mona untuk pembelian barang itu diambil dari Mazlan.

Di sini kita tidak boleh kata motif Affandi dan Mona beri arahan kepada Juraimi supaya membunuh Mazlan kerana wang. Sebaliknya Affandi dan Mona memang mempunyai wang RM400,000 sejak tinggal di Petaling Jaya (pada 1992) dan RM500,000 lagi cengkeram penjual tongkat, songkok dan
azimat kepada Mazlan.

Keterangan ini tidak dipatahkan oleh mana-mana pihak Berkaitan dengan RM298,850, wang itu telah diagih-agihkan kepada ahli Umno ketika mesyuarat oleh Mazlan secara sulit pada malam kejadian terbabit. Pendakwa tidak ada keterangan yang mereka menggunakan duit Mazlan. Angka-angka itu diberikan oleh pegawai-pegawai bank yang memberi keterangan di mahkamah.

Kita juga mempunyai cukup keterangan Affandi dan Mona hidup mewah. Ini berdasarkan keterangan Mona dan Affand sendiri, serta abang Mona, Tengku Yahya Tengku Abdullah dan abang Affandi, Azmi.

Mengenai mengapa Affandi dan Mona tinggal di rumah buruk di Tanjung Lumpur, Kuantan, itu tidak menjadi persoalan. Itu terpulang kepada budi bicara seseorang, ada orang tidak suka menunjuk-nunjuk. Orang kampung pun tidak menunjuk-nunjuk, tapi ada banyak harta. Begitu juga dengan mengapa mereka ada kereta kecil. Itu juga terpulang kepada budi bicara.

Bagi mereka cukup hidup mewah dengan tinggal dan makan di hotel-hotel. Affandi dan Mona tidak rancang untuk membunuh Mazlan, jika mereka rancang sudah tentu Affandi tidak mahu mendedahkan dirinya pada hari pembunuhan itu.

Affandi mengikuti Mazlan ke Kuala Lumpur, jumpa adik Mazlan, jumpa anak bekas Menteri Besar, pergi mesyuarat Umno dan jumpa ahli-ahli Umno. Jika mereka merancang untuk bunuh Mazlan sudah tentu Affandi tidak mendedahkan dirinya kepada orang ramai.

Tiada keterangan menyatakan Juraimi dipaksa atau diugut supaya membunuh Mazlan. Tiada keterangan Affandi dan Mona mengambil bahagian dalam pembunuhan itu, mereka berada di situ cuma untuk menjalankan upacara mandi bunga.

Saya katakan bagi pihak pembela Affandi dan Mona telah menimbulkan keraguan. Mereka tidak berniat bersama untuk membunuh Mazlan. Mereka tidak harus didapati bersalah mengikut Seksyen 302. Mereka harus dilepas dan dibebaskan.

Sekian hujah saya.

Lepas ni hujah pendakwa.

Eisode XXXI "Kanun Keseksaan"

TIMBALAN Pendakwaraya, Zakaria Sam menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.



Pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh ialah:

"Bahawa kamu di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993, di sebuah rumah tanpa nombor, di Kampung Peruas, Ulu Dong, dalam daerah Raub di dalam negeri Pahang, dengan niat bersama seperti yang ditakrifkan oleh Seksyen 34 Kanun Keseksaan, telah melakukan kesalahan bunuh, iaitu menyebabkan kematian YB Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris (nombor kad pengenalan 1317702) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama."

Fakta yang tidak dipertikaikan di sini ialah:

1. Pada hari pembunuhannya Datuk Mazlan telah mengeluarkan wang hampir RM300,000 dari beberapa bank di Kuala Lumpur.

2. Jasad yang ditemui dalam lubang stor di rumah yang didiami oleh Juraimi, Affandi dan Mona di Ulu Dong adalah jasad Mazlan.

3. Mazlan telah dibunuh di rumah tempat kediaman ketiga-tiga tertuduh pada 2 Julai 1993 jam lebih kurang 11.30 malam.

4. Pada masa kejadian ketiga-tiga mereka berada di situ.

5. Ketiga-tiga tertuduh mengenali Mazlan beberapa bulan sebelum kejadian.

6. Juraimi telah membawa pihak polis kepada penemuan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Apa yang dipertikaikan di sini ialah siapakah yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

- Juraimi mengatakan dia telah menetak leher Mazlan kerana arahan Affandi dan Mona. Sebulan sebelum kejadian, Affandi dan Mona telah membuat rancangan untuk membunuh Mazlan dan dia diminta memberikan kerjasama.
Semasa menetak itu dia dalam keadaan tidak sedar.

- Affandi dan Mona pula di satu pihak mengatakan pada malam kejadian ketika mereka menjalankan upacara mandi bunga ke atas Mazlan, Juraimi dengan tiba-tiba seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan. Motif Juraimi berbuat demikian kerana cemburukan hubungan Mazlan dengan Noraini.

Bagi pihak pendakwa pula, pembunuhan itu adalah hasil perancangan bersama ketiga-tiga tertuduh untuk membunuh Mazlan pada 2 Julai 1993. Dalam usaha membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh, pendakwaan bergantung kepada peruntukan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30 Akta Keterangan.

Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan:

"Apabila suatu perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa ramai orang bagi mencapai niat bersama mereka semuanya, tiap-tiap seorang daripada mereka itu adalah bertanggungjawab atas perbuatan itu sama seperti seolah-olah perbuatan itu telah dilakukannya olehnya."

Ini bermakna walaupun Juraimi yang menetak leher Mazlan sehingga membawa maut, Affandi dan Mona adalah dianggap turut membunuh Mazlan kerana mereka bertiga telah merancangkan pembunuhan itu bersama-sama.
Pembunuhan itu adalah satu operasi yang dirancangkan bersama-sama oleh ketiga-tiga tertuduh. Tetakan pada leher Mazlan dan kemudian jasadnya dikerat-kerat dan lapah dagingnya adalah bukti niat untuk membunuh. Tugas setiap tertuduh telah ditentukan lama sebelum kejadian:

- Satu lubang yang besar dan dalam digali oleh Juraimi beberapa hari sebelum kejadian,

- Juraimi telah mengasah kapak, Affandi dan Mona setiap seorang mengasah sebilah parang yang akan digunakan dalam pembunuhan itu,

- Affandi dan Mona akan berpura-pura menyediakan Mazlan untuk membuat ibu duit dengan membaring dan mendongakkan kepalanya,

- Juraimi akan menetak leher Mazlan,

- Mayat itu akan dikerat-kerat dan dilapah, kemudian ditanam dalam lubang stor dan disimen supaya pembunuhan itu tidak dapat dikesan.

Seksyen 30 Akta Keterangan pula memperuntukkan:

"Apabila lebih daripada seorang dibicarakan bersama atas suatu kesalahan yang sama, dan pengakuan salah yang dibuat oleh seorang daripada mereka yang menjejaskan dirinya dan beberapa orang lain itu terbukti, mahkamah boleh menimbangkan pengakuan salah itu bagi menentang orang yang lain itu dan juga bagi menentang orang yang membuat pengakuan salah itu."

Ini membawa maksud apabila Juraimi mengaku menetak leher Mazlan di atas arahan Affandi dan Mona, keterangan Juraimi mengesahkan pembabitannya dalam rancangan pembunuhan itu boleh digunakan terhadap Affandi dan Mona untuk membuktikan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.

Dalam kes ini, Juraimi melalui keterangannya di mahkamah dan percakapan beramarannya telah mengaku menetak leher Mazlan seperti yang dirancang oleh mereka bertiga.

Dia juga dengan percakapan beramaran Mona yang menyebut perancangan mereka bertiga untuk membunuh. Percakapan Mona boleh digunakan terhadap Juraimi dan Affandi.

Saya berhujah bahawa adanya niat bersama ketiga-tiga tertuduh untuk membunuh Mazlan. Percakapan beramaran Juraimi dan keterangannya di mahkamah jelas menunjukkan pembabitan Juraimi dalam pembunuhan itu.

Juraimi tahu akan niat Affandi dan Mona untuk membunuh Mazlan bagi mendapatkan wangnya, tanah dan harta lain yang berharga. Beliau bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada Affandi dan Mona dalam melaksanakan rancangan itu.

Menurutnya, perancangan telah dibuat sebulan sebelum kejadian. Peranannya telah ditetapkan seperti mengasah kapak, menggali lubang, mendirikan stor, mencari kayu dan tayar buruk. Dia ditugaskan untuk menetak leher Mazlan hingga putus, mengerat-ngerat jasad Mazlan, melapah dan seterusanya menanamnya.

Juraimi dengan jelas mengatakan dia telah menetak leher Mazlan tiga kali untuk memutuskannya. Ini untuk memastikan Mazlan mati seperti dirancangkan bersama.

Percakapan beramaran Juraimi jelas menunjukkan dia akan menerima habuan sebanyak RM15,000. Walaupun Juraimi dalam keterangannya mengatakan dia tidak mempunyai niat dan sebab serta tidak memperolehi sebarang kepentingan dari segi kewangan dalam pembunuhan itu, itu tidak relevan.

Dia menyertai rancangan itu dari awal lagi dengan penuh kesedaran. Katanya, dia diminta bekerjasama dan mengikut saja dan dia mengaku menetak leher Mazlan. Kapak yang diasahnya dengan tajam itulah yang digunakan untuk menetak leher Mazlan.

Niat dan motif tidak penting kerana ada keterangan nyata bahawa Juraimi di atas pengakuannya menetak leher Mazlan. Dia tahu perbuatannya salah. Apabila sepupu Mazlan datang bertemunya seminggu selepas kejadian bertanyakan mengenai Mazlan dia mengaku menjadi takut dan terus menanam semua senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Hujah saya, apabila sepupu Mazlan datang sekali lagi pada 12 Julai 1994 mencari Mazlan dan mengugut untuk laporkan kepada polis, Juraimi jadi takut dan ke Kuala Lumpur mencari Affandi dan Mona, kerana takut rahsia pembunuhan terbongkar.

Keterangan Juraimi ini dan percakapan beramarannya boleh digunakan terhadap Affandi dan Mona untuk menunjukkan niat bersama mereka bertiga untuk membunuh Mazlan. Ini diperuntukkan mengikut Seksyen 30 Akta Keterangan.

Juraimi dalam keterangan dan percakapan beramaran jelas mengatakan bahawa rancangan pembunhan Mazlan datang dari Affandi dan Mona. Mona telah arahkan korek lubang dan Affandi arahkan ikat batu. Affandi dan Mona asah parang untuk pembunuhan, Affandi menyuruh Juraimi menunggu Mazlan datang. Pada 2 Julai 1993 sebelum Mazlan datang pada sebelah malam, Mona telah memberitahu Juraimi bahawa Mazlan akan bawa banyak duit malam itu dan telah suruh Juraimi standby untuk pembunuhan.

Keterangan Juraimi, sebulan sebelum kejadian Affandi dan Mona telah memberitahu rancangan mereka kepada saya. Apa yang jelas di sini, rancangan membunuh Mazlan telah dibuat oleh Affandi dan Mona sebulan sebelum Mazlan dibunuh. Ini memberikan masa yang cukup untuk Affandi dan Mona merencanakan rancangan mereka dengan rapi.

Mereka menunggu masa yang sesuai iaitu apabila Mazlan membawa duit yang banyak. Saya berhujah, Mazlan mengeluarkan wang yang banyak ini bukan untuk diagihkan kepada penyokongnya, tetapi dibuat ibu duit kerana dia memerlukan wang yang banyak bagi pemilihan Ketua Bahagian Umno. Ini berasaskan dalam kenyataan saksi pendakwa ketiga, Ramlan Majid yang tidak menyebut Mazlan mengagih-agih duit pada malam itu. Encik Gulam ketika menyoal balas Ramlan ' tidak mengemukakan soalan mengenai pengagihan wang.

Juraimi pula mengatakan dia ada mendengar Affandi memberitahu Mazlan, nanti ada orang cakap duit akan banyak jatuh. Adalah jelas pada 1 Julai 1993 lagi, Affandi sudah tahu bahawa pada keesokan harinya Mazlan akan
keluarkan banyak wang. Dengan itu dia memberitahu Mona pada 2 Julai
1993 sebelum ke Kuala Lumpur supaya beritahu Juraimi untuk bersedia untuk
pembunuhan pada malam itu.

Mona menyampaikan arahan itu kepada Juraimi sekembalinya dari menghantar Madiana ke sekolah. Peranan Mona dalam pembunuhan ini jelas dilihat dari percakapan beramarannya.

Para 41 mengatakan rancangan pembunuhan itu adalah rancangan pembunuhan mereka bertiga dan bagaimana Affandi telah memberi isyarat kepada Juraimi untuk menetak leher Mazlan.

Kemudian dia dan Affandi telah mencuci darah di luar bilik air di bahagian lantai. Jadi adalah jelas ada niat bersama dan perancangan di antara mereka untuk membunuh Mazlan pada malam 2 Julai 1993. Pembelaan Juraimi ialah ketika kejadian dia tidak sedar apa yang berlaku.

Dia tidak sedar dari tarikh kejadian dan hanya sedar pada 22 Julai 1993 apabila Affandi memegang bahunya. Hujah saya, cerita Juraimi bahawa dia tidak sedar ketika kejadian hanyalah rekaannya semata-mata bagi melepaskan diri dari pertuduhan. Ini berdasarkan alasan berikut:

Perkara dia tidak sedar, tidak ada perasaan, saya khayal semacam sesuatu masuk ke badan, langsung tidak disebut dalam percakapan beramarannya. Encik Gulam juga ada bertanya sebanyak dua kali kenapa tak beritahu polis dalam percakapan beramaran bahawa dia khayal, Juraimi tidak beri jawapannya.

Kalau inilah pembelaannya adalah mustahil bagi dia tidak menyebutnya dalam percakapan beramarannya kerana perkara ini amat penting. Kalau tidak sedar bagaimana Juraimi boleh mencari Affandi di Tin Mines, beli cincin dan rantai emas di Kuala Lumpur, bermalam di rumah kawan di Klang dan ceritakan dengan terperinci kejadian pembunuhan dari awal hingga akhir.

Juraimi juga mengaku membohongi Penolong Penguasa Mahpop Jaafar ketika ditanya di mana Affandi dan Mona berada pada 19 Julai 1993. Pembohongan itu untuk menutup fakta bahawa ketika itu Mazlan telah mati dan menunjukkan Juraimi sedar apa yang berlaku.

Kalau tidak sedar bagaimana Juraimi boleh sedar Affandi beri RM180 pada malam kejadian, Mona beri RM1,000 dan Affandi suruh tambah RM500 pada 8 Julai 1993. Juraimi juga ingat pesanan Mona RM1,000 untuk makan itik dan RM500 untuk makannya.

Cerita Juraimi bahawa dia hanya sedar apa yang berlaku setelah Affandi menyentuhnya di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993 dan memintanya menceritakan apa yang berlaku adalah rekaan Juraimi kerana:

- Kalau dia tidak sedar, dia tidak akan tahu Affandi menyentuh bahunya.

- Juraimi memutuskan untuk menceritakan pada peringkat ini apa yang sebenarnya berlaku kerana Affandi telah beritahu polis rahsia pembunuhan itu. Jadi, tiada sebab untuknya menyimpan rahsia itu.

- Sebelum Juraimi sedar dia boleh mengingati dengan terperinci di mana Affandi dan Takbir berdiri dalam bilik di Balai Polis Raub, siapa berada dalam bilik itu termasuk jarak Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd daripadanya.

Juraimi juga boleh mengingati dengan jelas telah menetak leher Mazlan tiga kali kerana dua tetakan pertama leher Mazlan tidak putus. Juraimi juga melukis kedudukannya, Affandi dan Mona dalam rajah kasar. Kalau tidak sedar masakan dia boleh ingat dan melukiskan kedudukan itu.

Apakah yang dimaksudkan oleh Juraimi bahawa dia tidak sedar? Adakah dia tidak sedar hingga ke peringkat tidak siuman? Beban membuktikan bahawa dia tidak sedar hingga ke peringkat tidak siuman terletak di bahunya.

Pembelaan Affandi dan Mona pada malam itu ketika mereka sedang memandikan bunga ke atas Mazlan, tiba-tiba Juraimi datang dan tetak leher Mazlan.

Menurut Juraimi, tidak ada mandi bunga, itu hanya alasan Affandi dan Mona. Upacara yang dijalankan pada malam itu ialah upacara membuat ibu duit untuk menggandakan duit Mazlan kerana:

1. Juraimi ada mendengar Affandi memberitahu Mazlan dalam bilik air, nanti ada orang cakap duit akan banyak jatuh.

2. Untuk mandi bunga Mazlan tidak perlu berbaring.

3. Dalam upacara mandi bunga tidak perlu mengeraskan semangat.

4. Tidak perlu Juraimi mengangkut bekas air mandi bunga untuk buang keluar kerana di bilik air itu ada laluan air.

5. Hanya sekuntum bunga orkid digunakan. Untuk mandi bunga beberapa jenis bunga digunakan.

Adalah saya berhujah upacara membuat ibu duit malam itu sebenarnya hanyalah alasan untuk Mazlan disuruh berbaring supaya senang lehernya

1. Besen diletakkan di bawah kepala Mazlan untuk menakung darah yang keluar dari lehernya supaya tidak keluar melalui laluan air keluar rumah yang mana akan dilihat orang.

2. Juraimi ada mendengar Mazlan berkata kepada Affandi bahawa dia tidak tahan mendongak lama-lama. Untuk mandi bunga tidak perlu kepala Mazlan didongakkan lama-lama kerana air mandian akan masuk ke teling dan hidung. Ketika berbaring kepala Mazlan diletakkan di atas bendul batu yang agak tinggi. Ini akan menyebabkan lehernya terlindung. Dengan mendongakkan kepala Mazlan di atas bendul yang tinggi leher Mazlan akan terdedah luas bagi memudahkan Juraimi menetaknya dengan tepat seperti dirancangkan.

3. Selimut yang diletakkan di bawah badan Mazlan untuk menyerap darah yang mengalir bagi kurangkan kesan darah.

4. Bilik air itu sempit untuk empat orang. Tanpa perancangan rapi, bukan mudah untuk Juraimi menetak leher Mazlan.



Jadi keterangan Affandi dan Mona bahawa Juraimi masuk dengan tiba-tiba menetak leher Mazlan adalah rekaan mereka untuk mengenakan Juraimi seorang, kerana:

1. Jika benar Juraimi masuk meluru dan menetak leher Mazlan, tangan Affandi dan Mona akan tertetak sama kerana masa itu Affandi kononnya sedang mengusap muka Mazlan dan Mona sedang menjirus muka Mazlan.

2. Apabila kepala Mazlan didongakkan dan Affandi menutup mata Mazlan pada ketika itu Affandi memberi isyarat tangan kepada Juraimi supaya masuk dan tetak leher Mazlan. Sementara itu Affandi dan Mona beralih ke belakang untuk memudahkan Juraimi menetak.

4. Kalau Juraimi meluru masuk dalam keadaan hilang pedoman dia tidak akan dapat menetak dengan tepat leher Mazlan. Ini menunjukkan ada perancangan rapi.

5. Keterangan Affandi dan Mona yang mengatakan Juraimi masuk secara tiba-tiba dan menetak leher Mazlan juga bercanggah dengan percakapan beramaran Affandi:

"Gondrong bangun dan telah mencapai kapak besar yang berada di tepi pintu dekat kami mandikan Mazlan dan terus menetak pada halkum Mazlan."

Cerita Affandi yang tidak konsisten ini jelas menunjukkan dia berbohong mengenai kejadian sebenarnya.

5. Cerita Affandi dan Mona bahawa Juraimi meluru masuk dan seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan adalah cerita rekaan mereka berdua untuk meletakkan beban keseluruhan ke atas bahu Juraimi.

6. Sebelum menetak Mazlan, Affandi ada berpesan kepada Juraimi: "Rong tetak biar tepat jangan salah tempat, kalau tidak habislah kita." Inilah perancangan mereka bertiga.

7. Menurut Juraimi, perancangan awal adalah mereka bertiga akan bersama-
sama mengerat badan Mazlan kerana itulah Affandi dan Mona masing-masing mengasah satu parang. Tapi pada malam kejadian Juraimi seorang yang mengerat dan melapah daging Mazlan. Mona dan Affndi ke Kuala Lumpur, tinggalkan Juraimi melakukan kerja itu sendirian.

8. Adalah hujah saya bahawa mayat Mazlan dikerat-kerat dan dilapah supaya cepat busuk dan senang dihapuskan.

9. Juraimi juga ada bertanya kepada Affandi bagaimana dengan mayat ini. Affandi jawab, tanya ibu dulu. Affandi keluar dan jumpa Mona, masuk semula dan berkata, ibu suruh tanam saja. Ini jelas menunjukkan adanya rancangan niat bersama.

10. Selepas kejadian sebelum ke Kuala Lumpur, Affandi telah memberikan Juraimi RM180 dan pada 8 Julai 1993 mereka beri Juraimi RM1,500. Keterangan ini tidak dicabar dan ini menunjukkan ada perancangan bersama. Kalau Juraimi melakukan pembunuhan itu atas sebab-sebab sendiri, tidak ada sebab Affandi dan Mona berinya wang itu.

11. Juraimi menafikan dia ada memberitahu Affandi selepas kejadian. Bapa dan ibu keluar, orang macam ini lebih baik mampus. Ibu bawa adik lari mana-mana, biar Gondrong tanggung. Ini adalah rekaan Affandi untuk melepaskan dirinya dan Mona. Kalau benar Juraimi ada berkata begini, kenapa pula Juraimi hendak membabitkan mereka berdua? Jika benar Juraimi ada berkata demikian kenapa Juraimi tidak disoal dalam soal balas mengenai perkara ini. Hujah saya bahawa apa yang tercatat dalam percakapan beramaran Juraimi dan keterangan di mahkamah serta percakapan beramaran Mona mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan adalah perkara sebenarnya berlaku. Jika pembunuhan itu tidak dirancangkan oleh Affandi dan Mona, tidak ada sebab untuk Juraimi mengait atau membabitkaan Affandi dan Mona dengan kejadian itu. Affandi dan Mona tidak ada mengemukakan sebarang keterangan kepada mahkamah bahawa Juraimi ada berselisih faham, dendam, sakit hati dengan mereka untuk menganiayai mereka.

12. Menurut Affandi dan Mona, Juraimi menetak leher Mazlan malam itu kerana Juriami cemburu dengan Mazlan yang mempunyai hubungan sulit dengan Noraini.

Ini dinafikan oleh Juraimi dan Noraini.

Dengan ini jelas Affandi dan Mona gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan mengenai pembelaan mereka dalam pembunuhan Mazlan. Pembelaan Mona. Pihak pendakwa telah membuktikan kepada mahkamah bahawa Mona telah memberi percakapan beramaran kepada Takbir pada 14 Ogos 1993 dan mahkamah memutuskan percakapan itu diberi secara sukarela dan diterima sebagai barang kes. Dalam percakapan itu, Mona menjelaskan akan rancangan pembunuhan Mazlan oleh mereka bertiga dan bagaimana Affandi telah memberi isyarat kepada Juraimi untuk menetak leher Mazlan dan dia kemudian telah mencuci darah di luar bilik air. Menurutnya, tujuannya dan Affandi kembali ke Ulu Dong pada 8 Julai 1993 untuk memeriksa ke atas rumah dan Gondrong tentang kematian Mazlan. Mona telah memilih memberi penyataan dari kandang tertuduh. Apa pembelaannya? Hanyalah penafian semata-mata. Mona telah menafikan memberi percakapan kepada Takbir. Dalam kenyataannya Mona tidak langsung memberi penjelasan jika dia tidak terbabit dalam rancangan pembunuhan kenapa tidak laporkan kejadian itu atau menasihatkan Affandi laporkan kepada polis. Mona juga tidak menjelaskan kepada mahkamah selepas menyaksikan satu pembunuhan ngeri dan dalam keadaan terkejut dan tergamam, Mona boleh membeli kereta mewah tujuh atau 8 jam selepas pembunuhan, membeli-belah barang kemas dan perabot, menyanyi di music lounge Hotel Park Royal dan menjalani pembedahan plastik. Tindak tanduk atau kelakuannya bukanlah kelakuan orang yang munasabah.

Selanjutnya keputusan juri dan penghakiman.

(Pernah dengar citer sorang akak warden penjara. Semasa menjaga Mona ni, memang seram sejuk walaupun berada di dalam jeriji besi. Dan Mona ni asyik tersenyum jer bila pandang warden warden penjara yg menjaganya. Di dalam jeriji besi tu jugak, dia asyik tawaf jeriji besi tu.

Menjaga Mona ni, warden kene penjara sekali. Maksudnya, Mona ni ditempatkan di dalam jeriji besi yg diluarnya pun dipenjara gak. Senang, Penjara didalamnya ada penjara lagi. Ketat betul tempat tu diawasi.)


1 ulasan:

  1. seronok baca...
    mcm betul2 ade dlm mahkamah n sdg dengar perbicaraan... =)

    BalasPadam