Translate

Tajaan

Jumaat, 9 September 2011

Radovic restu hasrat Safee

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

KELAB Indonesia, Pelita Jaya FC (PJFC) masih belum memberi kata putus mengenai hasrat penyerang utama negara, Mohd Safee Sali untuk menjalani ujian percubaan (trial) bersama kelab Liga Divisyen Dua England, Cardiff City selama dua minggu bermula Isnin ini.

Namun impian penyerang berusia 27 tahun itu berkemungkinan tidak menghadapi sebarang masalah selepas mendapat restu jurulatih kelab terbabit, Misha Radovic semalam yang memandangkan sebagai sesuatu yang positif. “Jurulatih (Radovic) semalam sudah memberikan kebenaran. Cuma kini perlu menunggu pelepasan pihak kelab yang mungkin diketahui dalam tempoh sehari dua selepas perbincangan pihak pengurusan diadakan,” kata penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu ketika dihubungi semalam.

Difahamkan pengurus kelab Indonesia itu, Lalu Mara Satria, antara individu penting PJFC kini berada di Timor Leste serta berada di kawasan yang sukar dihubungi dan dijangka pulang hari ini.

Bekas penyerang Selangor itu yang kini giat mengharungi latihan pra-musim bersama PJFC berkata dia masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai ujian percubaan terbabit namun tetap bersedia untuk memberikan yang terbaik.

“Saya baru saja menjalani latihan kembali bersama kelab. Tahap kecergasan mungkin belum mencapai 100 peratus namun saya akan berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya.

Mohd Safee jelas menjadi aset penting kepada PJFC selepas membantu kelab terbabit daripada tersingkir ke liga bawahan apabila menjaringkan sejumlah gol penting walaupun hanya pada pusingan kedua Liga Super Indonesia (ISL).

Malah dia satu-satunya pemain import PJFC yang tidak digugurkan untuk menghadapi saingan baru ISL yang bermula 8 Oktober depan. Cardiff City, kelab dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee kelmarin membuka pintu buat penyerang berbisa negara itu untuk menjalani ujian percubaan selepas turut memberikan peluang yang sama kepada kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim yang terpaksa menangguhkannya berikutan komitmennya bersama Selangor dalam kancah Piala Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan