Translate

Tajaan

Ahad, 4 Mac 2012

Warkah untuk P Ramlee


P Ramlee

Erti Yang Sakti

oleh Ahmad Sarji Pada 22 Mac 1998,

Saya telah diberi penghormatan oleh Dato' Zakiah Hanum binti Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah Arkib Negara untuk melancarkan Tabung Bin Ramlee Bin Puteh, Muzium Siber P Ramlee dan Album 'Di Mana Kan Ku Cari Ganti' nyanyian Liza Hanim. Majlis itu diadakan bersempena sambutan memperingati hari lahir P Ramlee ke 69 di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Di dalam ucapan di majlis itu, saya tleh mengemukakan lima cadangan untuk mengembangkan karya seni P Ramlee. Cadangan-cadangan itu ialah:

(i) Menyalin filem-filem lakonan dan arahan P Ramlee dalam bentuk cakera laser dan digital untuk memeliharanya sepanjang zaman;

(ii) dibukukan jalan cerita filem-filem P Ramlee;

(iii) mengumpulkan drama-drama lakonan P Ramlee dalam televisyen Malaysia, sama ada yang sudah dan belum ditayangkan; (iv) menghasilkan sebuah biografi P Ramlee; dan

(v) penulisan sebuah ensiklopedia P Ramlee.

Mengenai "Warisan P Ramlee", lagendanya masih hidup kekal di sanubari berjuta orang lelaki, perempuan serta kanak-kanak di Malaysia dan di rantau ini yang ramai di antara mereka belum pun lahir apabila P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973. P Ramlee hidup bukan sahaja dalam fikiran mereka tetapi juga melalui penayangan filem-filemnya di televisyen dan juga melalui tanda-tanda ingatan yang tidak kunjung putus seperti buku, cenderamata dan lain-lain bagi memperingati hayat dan karyanya. Dato' Zakiah Hanim juga telah menubuhkan 'Persatuan Peminat P Ramlee Malaysia' yang keanggotaannya sedang meningkat dengan pesatnya. Buku ini diberi judul 'P Ramlee - Erti Yang Sakti'.

Perkataan-perkataan 'Erti Yang Sakti' dipetik daripada sajak 'Lagu Bunga II' oleh Datuk A Samad Said, Sasterawan Negara. Saya memilih perkataan-perkataan tersebut bagi menyampaikan gambaran yang tepat mengenai kesan dan nilai hasil karya P Ramlee dalam lapangan-lapangan pengubahan lagu, nyanyian, lakonan dan pengarahan. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Datuk A Samad Said yang memberi kebenaran kepada saya untuk menggunakan perkataan-perkataan itu. Saya menulis buku ini dalam bentuk ensiklopedia sebagai menyahut cabaran saya sendiri yang saya lafazkan pada 22 Mac 1998, sebagai suatu sumbangan yang tidak sepertinya kepada gedung pengetahuan mengenai anak Malaysia yang masyhur ini. Untuk menulis buku ini, saya telah menggeledah berbagai sumber. Dalam buku ini dikemukakan suatu barisan yang terpilih dari kalangan pelakon, penyanyi, pengarah dan lain-lain yang telah menyumbangkan bakat mereka kepada seniman agung ini.

Pengeluar-pengeluar filem, iaitu Shaw Brothers dan Merdeka Film Productions juga diberi pengakuan sewajarnya dalam buku ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah memberi saya pengalaman yang menyeronokkan dalam menghasilkan buku ini, khususnya isteri saya Sagiyah Salikin yang mempunyai minat yang serupa dengan saya mengenai P Ramlee dan kerana dorongan dan kesabarannya. Saya juga menyatakan penghargaan yang mendalam kepada Dato' Ng Tieh Chuan dari Pelanduk Publications yang bekerjasama dengan saya menguruskan timbunan manuskrip dan ratusan gambar yang perlu dipilih.

Saya juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih saya kepada Dato' Dr. Shamsudin Kassim yang telah membantu menterjemahkan bahan-bahan rujukan Bahasa Inggeris ke dalam bahasa kebangsaan. Sudah semestinyalah segala kesilapan dalam buku ini adalah tangungjawab saya, kecuali pengiktirafan (credits) di dalam filem-filem, yang telah saya putuskan dikekalkan bahasa dan ejaan asalnya sebagaimana yang tertera di layar perak. Petikan-petikan daripada majalah dan terbitan adalah mengikut ejaan dan gaya bahasa asal seperti yang didapati di dalammya. Terdapat banyak ruang-ruang yang kosong terutamanya pada tarikh lahir dan meninggal dunia tokoh-tokoh yang berkenaan. Saya berharap kekosongan ruang- ruang tersebut akan dapat diisi dan berberapa fakta dan kesilapan yang terdapat dalam buku ini akan diperbetulkan kelak.

Ahmad Sarji
Kuala Lumpur, 21 Ogos 1999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan