Translate

Tajaan

Ahad, 9 Jun 2013

Shahidan 'belasah' FAM

KUALA LUMPUR - ''Saya akan lepaskan dan kena melepaskannya.''

Demikian ujar Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar) berhubung kesediaannya untuk melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) bagi membolehkan jawatan itu dipegang Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Namun, alang-alang digantung 30 bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kesalahan mengkritik badan induk itu, Shahidan tidak sesekali gentar untuk terus 'menghamburkan' rasa marahnya terhadap FAM.

''Saya kena lepaskan (jawatan Presiden PFA) tetapi saya cuma marah kepada FAM. Mereka 'buang' saya, gantung saya tetapi tiada seorang pun pihak dalam FAM bertanya khabar PFA.
''Tahukah mereka, PFA tiada siapa pegang jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Ia satu badan yang tiada orang nak tolong bayar gaji. Saya sendiri terpaksa keluar duit poket nak bayar gaji (PFA),'' tegasnya.

Ujar Shahidan, FAM selaku badan yang kaya seharusnya membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.

''Saya nak minta FAM tolonglah PFA. Kalau dahulu tak boleh kena tegur, sekarang saya nak tegur. Perlis (PFA) kena teruk dan miskin tidak bergaji, bantulah.

''Kepada Menteri Besar Perlis (Azlan), mahu atau tidak, beliau kena pegang jawatan Presiden PFA,'' katanya.

Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 menyebabkan bekas Menteri Besar Perlis yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Atas dasar itu, Ahli Majlis PFA dikatakan sudah sebulat suara bersetuju untuk melantik Azlan sebagai presiden yang baharu dalam Mesyuarat Agung PFA yang bakal diadakan 16 Jun ini.
Dalam pada itu, Shahidan turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Kabbadi Malaysia dan Persatuan Petanque Malaysia.

Bagaimanapun beliau meminta 'jasa baik' Kementerian Belia dan Sukan supaya dikekalkan untuk menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

''Kalau boleh, saya nak kekal dalam renang (ASUM) sebab sukan ini boleh dimajukan ke peringkat lebih tinggi,'' katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan