Translate

Tajaan

Jumaat, 3 Julai 2009

Hong Kong dan Malaysia sama, tapi cukup berbeza

SALAM dari Hong Kong. Saya kini berada di wilayah pentadbiran khas (SAR) China itu sejak Jumaat lalu. Bukan tujuan untuk lari dari macam-macam hal di Malaysia dan cuitan saya ke atas beberapa pihak di Kedah, tapi untuk merasai kehidupan orang Cina di metropolitan ini. Kali terakhir saya berada di sini ialah pada Mac 1997, dua bulan sebelum ia berpisah dengan British - kerana membuat liputan saudara Anwar Ibrahim di satu forum perniagaan.

Setelah berpisah di bawah pengaruh dan kuasa Inggeris itu pada 1 Julai 1997, ia kini berada dalam kekuasaan Beijing yang ditadbir di bawah prinsip ''satu negara, dua sistem''. Istimewanya sistem ala British masih diamalkan di wilayah ini. Sekolah-sekolahnya banyak mengamalkan sistem Inggeris itu. Kanak-kanak perempuan sekolah masih lagi memakai pinafore paras betis, sama macam murid-murid kita pakai dulu dan sekarang, yang kini bercampur dengan baju kurung.

Menjelang musim sejuk sekarang, semua orang memakai pakaian ala-Barat yang stylish. Sekolah-sekolah mubaligh Kristian banyak di sini yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dan Cina. Malah bahasa Inggeris dan Cina sama banyak digunakan. Perdagangannya amat bebas, tanpa ikatan pengaruh komunis. Malah di Tanah Besar China di seberang sana pun, ekonominya telah terbuka luas, misalnya Shenzhen dan Guangzhou (Canton). Malah keseluruhan ekonomi China mengalahkan mana-mana negara di dunia ini. Jika situasi ini berterusan, kita menjangka golongan muda China yang akan menjadi tua kelak bakal mengetepikan komunisme kepada kapitalisme.

Sejak 12 tahun lalu, kerancakan Hong Kong ini semakin terserlah. Orangnya kini cukup pembersih. Pendek kata Hong Kong kini ialah sebuah wilayah yang cukup tersusun, sistematik - lebih baik daripada Kuala Lumpur, yang kini semakin tidak tersusun dan kelam-kabut. Singapura ternyata meniru konsep Hong Kong. Dan dengarnya Pulau Pinang kini pula mahu meniru konsep Singapura.

Hong Kong sesungguhnya bukan sahaja sebuah pelabuhan bebas dan pusat kewangan dunia yang rancak, ia juga menyediakan prasarana pelancongan yang cukup hebat dan bertaraf dunia. Malah beberapa sektor pelancongannya diswastakan kepada pihak-pihak antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat. Oleh itulah urusan pelancongannya cukup hebat.

Malaysia dan Kuala Lumpur harus belajar dari wilayah ini. Bangunan-bangunan lama kolonial telah dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancongan yang menarik. Jika di Malaysia bangunan Carcosa terlalu eksklusif, tanpa mahu didekati oleh orang awam dan pelancong, tapi di sini bangunan Heritage 1881, bekas ibu pejabat Polis Marin dan kandang kuda polis British telah diubah menjadi pusat membeli-belah dan hotel mewah yang tidak lekang dari lensa kamera semua orang.

Trem ke Puncak Victoria, hasil peninggalan British, telah dikomersialkan menjadi tarikan yang cukup hebat ala Genting Highlands, sebaliknya trem atau kereta api Bukit Bendera kita, asyik rosak. Suasana di atas Bukit Bendera dari 50 tahun lalu berdasarkan gambar nenek moyang saya bergambar sebelum naik kapal haji tidak berubah sampai sekarang!

Ternyata Hong Kong bukan sahaja mempunyai pedagang yang terhebat dunia, mereka juga mempunyai pentadbir dan perancang bandar yang cukup hebat. Rangkaian MTR bawah tanah sama seperti LRT kita juga cukup baik. Rangkaiannya merangkumi keseluruhan Hong Kong yang terdiri daripada pulau Hong Kong, Kowloon dan New Territories (sehingga ke sempadan China). Pergerakan manusia pantas dan murah melalui MTR. Sebaliknya, tidak pasti bila rangkaian LRT kita akan lengkap? Laluan ke Shah Alam, Klang dan Bangi yang ramai penduduk pun tidak siap-siap sampai sekarang?

Masyarakat Cina memang satu masyarakat yang amat kuat kerja. Mereka cukup 'enterprising' (rajin, berdagang, kreatif (baik atau buruk), megah dengan kekayaan). Ekonomi, perdagangan dan perniagaan adalah hidup mereka. Tidak hairan orang Cina Hong Kong berjaya 'merebut' sebelah sarung tangan Michael Jackson yang dilelong dengan harga hampir sejuta ringgit.

Orang Cina di Hong Kong dan di Malaysia sama sahaja. Mereka rajin bekerja untuk hidup senang-lenang di dunia. Malah apabila mati kelak pun mereka 'puas' kerana akan mendapat tanah kubur bernilai tinggi ala Nirvana di Nilai, Seremban.

Mereka juga suka makan. Di mana-mana simpang, apabila masanya mereka akan pulun makan semahu-mahunya. Orang kita (Melayu Islam) pula apabila sampai di sini, terlalulah susah nak makan. Bukan apa, orang sini punyalah suka makan 'haiwan itu'. Akhirnya terpaksalah kita melilau mencari kedai-kedai 'halal' milik Pakistan di Tsim Sha Tsui, Yau Ma Tei (di Kowloon) dan di Wan Chai (pulau Hong Kong). Di Tsim Sha Tsui (di tanjung Kowloon, laut menghadap pulau Hong Kong), terletak kawasan membeli-belah mahal dan berjenama dan di selang-seli dengan murah (tapi rata-rata mahal). Tapi saya syorkan makan sepuas-puasnya makanan Cina dan Dim Sum (satu-satu tempat yang saya tahu halal di Hong Kong) dengan harga yang murah di kantin tingkat lima Masjid Ammar & Pusat Islam Osman Ramju Sadick di No. 40 Oi Kwan Road dekat Hennessy Road, daerah Wan Chai (lihat www.islam.org.hk).

Di sebelah stesen MTR Tsim Sha Tsui (sebelah Kowloon) juga terdapat sebuah masjid atau Pusat Islam Kowloon. Makanan halal India Utara dan Pakistan banyak diperoleh di situ. Di sini juga terdapat ramai komuniti Pakistan, malah mengikut sesetengah pihak 'Awang Hitam' pun semakin banyak kelihatan selain orang Filipina dan Indonesia yang menjadi pandangan biasa di kota kosmopolitan ini.

Pendek kata, Hong Kong dalam 10 tahun ini amat berbeza. Ia lebih hebat, lebih bersih, lebih indah dan tidak nampak lagi tanda-tanda jalan yang melarang orang meludah. Orang Cina Hong Kong bukan macam orang Cina generasi dulu, mereka tidak lagi suka meludah. Mentaliti mereka sudah jauh ke depan. Berada di Hong Kong, seakan sama seperti berada di New York - terlalu ramai orang yang berjalan laju. Bagi pelancong jangan tertipu dengan mitos lama mengatakan di sini semuanya murah. ''Ini Hong Konglah bukannya Malaysia,'' kata seorang pegawai hotel tempat saya menginap sambil tersenyum. Sebenarnya Hong Kong ialah antara bandar raya termahal di dunia!

Minggu depan, insya-Allah kita akan berjumpa dari Hyderabad, India pula. Salam sejahtera.

Khamis, 2 Julai 2009

Cili (Petua)

Cili Jeruk Tahan Lama

Celurkan cili yang telah dihiris ke dalam air panas. Biarkan semalaman. Toskan airnya sehingga kering. Kemudian campurkan sedikit cuka, air masak dan masukkan ke dalam bekas yang bertutup.


Cili Kisar Tahan Lama

  • Buang biji cili kering terlebih dahulu dan rendam semalaman.
  • Kisarkan sehingga hancur. Rebus bersama sekit minyak masak sehingga kering.
  • Apabila sejuk, masukkan ke dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti sejuk.

Masakkan cili dengan air dan sedikit garam. Setelah sejuk bolehlah dikisar hingga hancur. Simpan dalam peti sejuk.


Menghancurkan Biji Cili

Kita sering menghadapi masalah untuk menghancurkan biji cili setelah dikisar:-

  • Masukkan cili dan bahan-bahan lain ke dalam balang pengisar.
  • Tuangkan sedikit minyak masak ke dalam balang pengisar tadi.
  • Kisar sehingga semuanya hancur
  • Rabu, 3 Jun 2009

    Cuit: Alkisah India di India dan India di Malaysia

    BERADA di kota raya tua India, Hyderabad selama seminggu minggu lalu amat memberi kesedaran kepada diri ini. Setiap inci persegi tanah di kota-kotanya dihuni oleh ratusan insan. Setiap kilometer persegi dihuni oleh ratusan ribu insan dan setiap bandar raya di negara keramat itu dihuni oleh jutaan manusia. Dan India ialah tanah bagi 1.2 bilion umat manusia. Angkanya bertambah setiap saat.

    Berada di India bererti kita berada dalam satu realiti kemanusiaan yang sebenar. India ialah tanah bagi manusia ramai. Jurang hidupnya adalah antara langit dan bumi. Yang papa terlalu papa, yang kaya terlalu kaya. Yang kaya, tidak pandang ke bawah, yang bawah tetap di bawah.

    Kasta, darjat atau keturunan masih diamalkan secara tebal di seluruh India. Ia semacam satu agama. Kasta atas tidak boleh bersatu kasta rendah.

    Jalan rayanya haru-biru. Suasananya hiruk-pikuk. Bas, lori, kereta, basikal, teksi roda tiga, kereta lembu, kuda bersimpang siur. Bunyi hon adalah wajib. Pegang sahaja stereng, bunyi hon dulu. Di belakang bas dan lori tertulis `tolong hon’. Tiada siapa marah jika dia dihon. Hon ialah nyawa.

    Semasa dalam perjalanan menghadiri makan malam perpisahan di Istana Chowmohalla (dibina pada 1780 oleh Nawab Nizam Ali Khan, Asaf Jah II),

    pemandu bas yang membawa kami tiba-tiba turun lari meninggalkan bas yang dibawanya. Hilang dalam lautan manusia dan kenderaan. Kami terpinga-pinga. Dua lelaki preman masing-masing memegang submesingan jenis sterling yang mengawal keselamatan kami dalam bas berkata ``jangan bimbang’’. Pemandu tadi sebenarnya turun untuk meleraikan kenderaan-kenderaan yang sudah berpintal di atas jalan raya. Dia bertindak menjadi polis trafik.

    Sambil dia menyelesaikan kekusutan itu, saya melihat di seberang sana seorang penumpang turun dari teksi roda tiga yang dinaikinya menolak kenderaan itu yang mati di atas jalan raya. Tiada rasa marah pun di muka penumpang itu yang menolong menolak teksinya yang rosak.

    Tiada siapa peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka. Polis trafik pun menjalankan apa yang terdaya, tanpa memperlihatkan sedikit pun kekerutan di dahinya. Trafik lalu lintas tetap berjalan lancar, walaupun dalam suasana kekecohan.

    Sebelah malam, di tepi-tepi jalan insan-insan tidur merata-rata. Ada yang telah nyenyak membungkus tubuh dengan kain selimut daripada kedinginan kota itu. Yang belum tidur, duduk mencangkung sambil memandang ke satu tujuan yang tidak diketahui.

    Hampir dua jam bergelut kami tiba di istana bereka bentuk masjid itu. Di sepanjang dinding tembok istana tertulis tulisan dalam bahasa Inggeris ``Ini tempat suci jangan kencing’’. Kencing berdiri sambil si anunya memancut ke dinding adalah pemandangan umum yang biasa. Mungkin kerana terlalu ramai manusia, tandas bukan lagi pilihan. Awas, setiap pagi berhati-hati berjalan di kaki-kaki lima kerana terlalu banyak jerangkap samar dari isi perut manusia berlonggok di sana-sini. Suasana serupa juga juga khabarnya boleh dilihat di bandar raya lain termasuk di Mumbai.

    Sampainya di istana itu, kami dibawa masuk ke dalamnya. Satu suasana antara langit dengan bumi. Kawasan istana lama itu diwarnai dengan lampu-lampu berwarni yang menyenangkan perasaan. Bagaikan berada dalam kisah Hikayat 1001. Tarian-tarian Bollywood dari era 50-an hingga kini dipersembahkan kepada kami. Selesai persembahan kami dijamu dengan juadah Hyderabad tersohor di dunia, nasi beriyani.

    Kami makan beriyani kambing dan ayam, tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Ia terlalu sedap tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana restoran Malaysia, waima Hameediah di Campbell Street, Pulau Pinang mahupun Mahbob di Bangsar.

    Di luar tembok sana, suasananya adalah terlalu kontras. India yang penuh warna-warni. India yang penuh dengan drama. Di dada-dada akhbarnya konflik di mana-mana. Di Parlimennya pun haru-biru seperti di atas jalan rayanya juga. Televisyen memaparkan bagaimana seorang speaker dewannya tidak diendahkan oleh ahli-ahli Parlimen yang memboikot sesi soal-jawab. Akhbar Deccan Chronicle dalam karikatur muka satunya (macam Senyum Kambing) keesokan harinya mencuit: Mengapa mereka tidak mahu buat sesi soal-jawab dalam kantin saja, kan di situ tempatnya ahli Parlimen selalu melepak?

    India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh.

    Namun, kita di Malaysia pun ada orang India. Kecohnya pun lebih kurang sama. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada ahli-ahli profesional, peguam dan kini menjadi ahli politik. Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising. Mereka menguasai Majlis Peguam dan kini mereka sudah ramai di Parlimen, bukan mewakili MIC, tapi mewakili DAP dan PKR.

    Kerana mereka lantang dan suka buat haru-biru, suara mereka sering kedengaran. Salah seorangnya ialah N. Kulasegaran yang kini memegang jawatan Naib Pengerusi DAP Perak. Beliau lantang mempersoalkan hak-hak orang Melayu.

    Katanya, beliau tidak faham mengapa setelah bertahun lamanya masih ada kelompok manusia percaya kepada warna kulit atau penampilan yang lebih tinggi daripada satu kaum lain.

    Kita tidak pasti apakah beliau ikhlas dengan kenyataannya itu. Dia tahukah apa yang dia cakap? Tapi yang pasti kenyataannya itu cukup sensitif dan akan membuat kumpulan lain marah. Tapi seperti biasa orang Melayu marahnya tidak lama. Tak apalah. Orang Melayu tidak seperti orang India, walaupun ada juga Melayu yang darah keturunan Keling (DKK), tapi darah Melayu yang lembut banyak menguasai mereka.

    Jika di India, mungkin kita akan sentiasa dikawal oleh pengawal bermesingan. Kulasegaran perlu mengambil cuti. Pergilah melawat ke India, dan hayatilah erti kehidupan di sana, hayatilah erti kasta dan darjat, miskin dan kaya, seperti yang saya alami minggu lalu.

    Seburuk-buruk Malaysia, inilah tanah tumpah darah kita.

    Selasa, 2 Jun 2009

    Membersihkan Cerek (Petua)


    Untuk menghilangkan mendapan kapur dalam cerek, ikuti petua ini :-

    • Isikan air dan cuka dalam cerek dengan sukatan yang sama. Didihkan dan biarkan semalaman. Mendapan kapur akan tanggal dan cerek kembali bersih.

    • Untuk membersihkan cerek yang diperbuat daripada aluminum, campurkan sedikit asam jawa dengan air. Biarkan seketika dan dibasuh.

    Isnin, 1 Jun 2009

    Beras (Petua)

    Membersihkan Beras :-
    Jangan dibasuh beras lebih dari tiga kali krana ia akan mengurangkan kanji dan khasiatnya akan hilang.


    Beras Tidak berkutu:-
    Masukkan beberapa tangkai cili kering atau serai ke dalam bekas beras. Hasilnya beras tidak akan berkutu dan sebaliknya berbau wangi.
    Menghilangkan Hapak Beras :-
    Caranya ialah dengan membasuh dan masak beras iru seperti biasa di dalam periuk. Apabila airnya kering, masukkan sehelai daun pandan ke dalamnya.
    Beras Tidak Bermutu:-
    Kalau anda tersilap membeli beras dan mendapatinya kurang enak dan tidak bermutu, cubalah petua ini untuk mengatasinya :-
    Goreng beras tanpa minyak dan rendam dalam air beberapa minit. Masaklah seperti biasa. Nasi akan menjadi lembut dan sedap di makan.

    Sabtu, 2 Mei 2009

    Hilangkan Hanyir Hati Ayam (Petua)

    Bersihkan hati ayam dengan tepung gandum. Setelah dibersihkan dengan air, gaulkan pula dengan gula pasir. Perapkan selama 10 minit

    Jumaat, 1 Mei 2009

    Batu Timbuk (Petua)


    Membersihkan Batu Tumbuk

    Batu Tumbuk yang baru dibeli selalunya berpasir. Cara Untuk menghilangkannya ialah dengan menumbuk dahulu dengan hampas kelapa. Setelah itu, basuhkan dengan air. Batu tumbuk ini pasti tidak berpasir bila digunakan semula.