Translate

Tajaan

Isnin, 12 September 2011

Roh ketika ajal.

Tajuk : Keadaan Seseorang Ketika Sampai Ajal

Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya. Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah".

Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi." Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh.

Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam 'illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi".

Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah". Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi.

Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya.

Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): "…..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..". (Kemudian Baginda s.a.w bersabda): "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpalah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ…….."

Al-Bara' bin 'Azib r.a

Jumaat, 9 September 2011

Radovic restu hasrat Safee

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

KELAB Indonesia, Pelita Jaya FC (PJFC) masih belum memberi kata putus mengenai hasrat penyerang utama negara, Mohd Safee Sali untuk menjalani ujian percubaan (trial) bersama kelab Liga Divisyen Dua England, Cardiff City selama dua minggu bermula Isnin ini.

Namun impian penyerang berusia 27 tahun itu berkemungkinan tidak menghadapi sebarang masalah selepas mendapat restu jurulatih kelab terbabit, Misha Radovic semalam yang memandangkan sebagai sesuatu yang positif. “Jurulatih (Radovic) semalam sudah memberikan kebenaran. Cuma kini perlu menunggu pelepasan pihak kelab yang mungkin diketahui dalam tempoh sehari dua selepas perbincangan pihak pengurusan diadakan,” kata penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu ketika dihubungi semalam.

Difahamkan pengurus kelab Indonesia itu, Lalu Mara Satria, antara individu penting PJFC kini berada di Timor Leste serta berada di kawasan yang sukar dihubungi dan dijangka pulang hari ini.

Bekas penyerang Selangor itu yang kini giat mengharungi latihan pra-musim bersama PJFC berkata dia masih belum mendapat sebarang maklumat mengenai ujian percubaan terbabit namun tetap bersedia untuk memberikan yang terbaik.

“Saya baru saja menjalani latihan kembali bersama kelab. Tahap kecergasan mungkin belum mencapai 100 peratus namun saya akan berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya.

Mohd Safee jelas menjadi aset penting kepada PJFC selepas membantu kelab terbabit daripada tersingkir ke liga bawahan apabila menjaringkan sejumlah gol penting walaupun hanya pada pusingan kedua Liga Super Indonesia (ISL).

Malah dia satu-satunya pemain import PJFC yang tidak digugurkan untuk menghadapi saingan baru ISL yang bermula 8 Oktober depan. Cardiff City, kelab dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee kelmarin membuka pintu buat penyerang berbisa negara itu untuk menjalani ujian percubaan selepas turut memberikan peluang yang sama kepada kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim yang terpaksa menangguhkannya berikutan komitmennya bersama Selangor dalam kancah Piala Malaysia.

Selasa, 6 September 2011

PPSMI sudah ‘berkubur’

Oleh Hafizah Iszahanid
2011/08/22

Kerajaan diminta bertegas dengan dasar yang sudah diputuskan

TIMBUL lagi isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu berikutan pengakuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan sedia menimbang untuk membenarkan dasar PPSMI di sekolah pilihan.

Meskipun keesokan harinya, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata, kerajaan tegas untuk memansuhkan PPSMI dan tidak akan tunduk pada walau apa juga tekanan, isu ini menyebabkan sebahagian besar warga Malaysia gelisah. Kenapa mesti berdolak-dalik dan bertarik tali pada sesuatu perkara yang sudah diputuskan?

Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faridah Jalil berkata, jika disorot dari sudut Perlembagaan Malaysia, kedudukan bahasa Melayu sudah dimaktubkan dalam Perkara 152. Bagaimanapun, perlembagaan itu hanyalah kata-kata yang boleh diubah dan ditafsirkan mengikut kepentingan.

Secara jelas Perkara 152 menggariskan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu dan semua urusan rasmi kerajaan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu, ini merangkumi pendidikan kerana ia dalam kategori urusan rasmi.

“Sebelum ini tuntutan untuk penubuhan Universiti Merdeka pada 1981 yang ingin menggunakan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya ditolak oleh mahkamah kerana penggunaan bahasa Cina secara jelas berlawanan dengan Perkara 152. Malah ia juga bercanggah dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Malaysia,” katanya pada pertemuan dengan Sastera.

Bagaimanapun pada dekad 2000, kerajaan menggubal Akta Pengajian Tinggi Swasta yang membenarkan penubuhan universiti dan kolej persendirian yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Ini selari dengan matlamat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa.

“Inilah yang saya maksudkan dengan perlembagaan itu boleh diubah dan ia sebenarnya boleh disesuaikan dengan masa. Jika kita lihat, di Thailand dan Indonesia, isu seperti ini tidak berbangkit kerana mereka bangga dengan bahasa ibunda mereka. Namun di Malaysia, tinggalan penjajah British terlalu kuat dan memansuhkan penggunaan bahasa Inggeris selepas merdeka tidak begitu relevan, apabila kita menyaksikan bahasa Inggeris menjadi bahasa antarabangsa,” katanya.

Dr Faridah menilai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melaksanakan PPSMI dibuat atas polisi kerajaan pada masa itu bukan dengan maksud memperkukuhkan bahasa Inggeris melalui kedua-dua mata pelajaran terbabit kerana penguasaan bahasa penjajah antaranya dapat dilaksanakan menerusi subjek sastera.

Subjek Matematik tidak memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris yang tinggi kerana ia hanya bermain dengan simbol dan formula berbanding dengan Sains, selain pada zaman Tun Mahathir, Malaysia hendak menjadi negara yang melahirkan teknokrat, lalu penekanan bahasa Inggeris ditingkatkan hingga kita melupakan perkara asas.

“Saya berpendapat jika subjek Matematik dan Sains dilakukan dalam bahasa Inggeris, ia tidak akan menjejaskan jati diri, seandainya kita bersama-sama pejuang bahasa dan sastera terus giat memperjuangkan bahasa dan sastera. Jika PPSMI dimansuhkan dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) saya berharap MBM itu bukan hanya memartabatkan, sebaliknya juga memperkasakan.

“Kesilapan paling besar ialah apabila Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dalam laporan di lawan sesawang dan akhbar, memperjuangkan PPSMI dengan menyebut ‘bahasa Melayu tidak berupaya menjadi bahasa ilmu atau bahasa saintifik yang kurang nilai komersial.

“Kenapa kita perlu berjuang dengan memperlekehkan orang lain? Kalau hendak perjuangkan PPSMI silakan, tetapi bukan dengan memperlekehkan bahasa Melayu. Situasi ini menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan sebilangan besar orang Melayu dan pejuang bahasa Melayu,” tegasnya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Dr Mohd Ali Hassan berkata, isu terbabit sepatutnya sudah selesai dan pihak yang berkaitan perlu lebih peka dalam mengeluarkan kenyataan tanpa perlu menyinggung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di negara ini.

“Apa yang kelihatan ialah kerajaan tidak tegas dengan usaha pemansuhan PPSMI dan seolah-olah tidak serius mahu melaksanakan MBMMBI. Ia juga memberi gambaran kerajaan tidak jitu dengan keputusan yang sudah dibuat dalam usaha memperkasakan bahasa ibunda, lalu kenyataan sebegitu dilihat sebagai satu taktik pemancingan politik,” katanya.

Prof Mohd Ali, kerajaan seolah-olah tidak mahu menjayakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa tamadun dan bahasa sains dan teknologi sehingga kesemua itu memberi implikasi yang negatif lalu menunjukkan ketidakwibawaan.

“Kenapa perlu tiba-tiba berpatah balik ke belakang untuk sesuatu yang sudah diputuskan? Mengapa tidak tegas dalam isu perjuangan bahasa Melayu? Kalau isunya PPSMI itu perlu wujud kerana kegagalan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, kita mesti faham ia adalah dua perkara berbeza.

“Kalau gagal bahasa Inggeris, perbaiki bahasa Inggeris, semak kembali kokurikulum, prasarananya, guru yang dipertanggungjawabkan bagaimana? Hendak perkasakan bahasa Inggeris, perkasakan dulu guru yang mengajar subjek itu, PPSMI tidak akan memperkasakan bahasa Inggeris pelajar sekolah negara ini,” ujarnya.

Prof Mohd Ali melihat langkah kerajaan mahu membenarkan sekolah memilih sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik, akan mencelaru dan menghuru-harakan pelajar, selain menjejaskan perpaduan.

“Akan wujud dua kelompok dalam generasi hadapan. Ibu bapa kena ingat, sekolah ini sekolah kerajaan dan mesti mengikut aspirasi kerajaan. Kalau hendak anak belajar bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik, hantar anak ke sekolah persendirian,” katanya.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr Hassan Ahmad, ketika dihubungi Sastera, jelas tidak dapat membendung kekecewaannya dan perkara ini dapat dilihat melalui kenyataannya yang melihat sebagai dasar yang memecah-belahkan rakyat.

“PPSMI adalah dasar penjajah yang memisahkan sekolah elit dengan sekolah tidak elit dan sekolah kampung dengan sekolah bandar. Dasar yang sebelum ini sudah berjaya mengapa perlu kita berpatah balik?,” soalnya

Bahasa Perak

Tuesday, June 8, 2010
Mari Belajar Bahasa Perak


Untuk Gantinama:

teman = saya
mike = awak
kamu=awak
mengkema =engkau orang(ramai)
kome=engkau orang/boleh juga pada sorang atau berdua
kume=kami
keme=saya (bacha dengan E tanda diatas)
yob/yeop = bagi memanggil lelaki yg kita tak tau namanya
Yong = bagi memanggil permpuan yg kita tak tau nama nya.
kedua dua gelaran ini juga digunakan didalam keluarga.
Pah/Opah = Nenek
Tok = datuk
Enda = panggilan ibu yang biasa dipanggil oleh anak2 sadah di Perak.....tak semua
Tok Enda = panggilan nenek



Kebanyakkan hujung ING tinggal IN saja

Kambing = kambin
kuching = kucin
lembing = lembin
daching = dachin
cacing = cacin
guling = gulin
pusing = pusin
bising = bisin

kebanyakkan akhiran IR diganti dengan IO, AR diganti dengan O
Acar = aco
air = ayo
Ajar = ajo
akar = ako
asar = aso
fikir =pikio
pasir =pashio
putar = puto..........ada ungkapan orang marah.....puto dek hawa taun lah kamu..makna nya biar kamu kena taun
kikir=kikio
cicir = cicio
kafir=kapio
lendir lendio
hanyir= hanyio
bibir =bibio.................tapi kalau bebio dah jadi cacing halus seperti hampas kelapa selalu
kedapatan pada dubur kanak kanak
biar=bio...........sebab itu ada kata kata orang tua bebio kalu di bio naik kemata buta makna nya sakit cacaing pada bebudak ne tak bleh di biar kan begitu saja tanpa diubati kerana kalau sudah sampai naik kemata boleh mengakibatkan buta.

bakar=bako
belukar=beluko
tikar =tiko
seluar=seluo
ular =ulo
sambar=sambo
selimbar selimbo
takar=tako
besar=beso.........itu chik beso maknanya encik besar..panggilan kepada abang sulong dalam sesetengah keluarga sadah diPerak (mungkin tak semua mengamal nya) anak ana saudaranya pula akan memenggil Ayah Beso.

chegar=chego (batu bulat lonjong didalam sungai ). itu yang ada nama kampong Chego Galah (Chegar Galah) di Kuala Kangsar penempatan keluarga sadah di Hulu Perak selain di sebelah hilirnya di kampung Pulau Pisang di daerah Parit.

zikrr = jikio


PERKARTAAN2 LAIN

ate = habis tu (penyedap cakap)
biole = biar lah
belontok = macamikan haruan berbintik cokelat
bujuk = ikan haruan
bolen = telanjang bulat
cucor pisang = cekodok pisang
cucor bawang = cekodok tepung campur bawang
cucor = jirus
cabuk = berkudis buruk cth orang marah..cabuk le kaki kamu.....makna nya biar kaki kamu tu berkudis teruk
tumpo = mati (bahasa kasar)

pegho = sampan
cebok = alat mencedok air
bebeno = sungguh/sangat cth budak ne jahat bebeno
nyor = kelapa
biut = degil
begholoh = tidor
tak sio = tak mahu
teghoyak = menangis
bedeah = tipu/menipu
piat = pulas.....cth aku piat telinga tu karang.
petia = perhati
bedek(membedek) = belek (membelek)
kela = gaduh
berkela = bergaduk
kayo = pergi buang air
kayo beso =berak
kayo kecik = kencing
yangat = kopi atau teh panas.
tepek = lempeng
jamban = selain makna biasa.......nama bagi pelantar atau rakit tampat mandi di sungai Perak biasanya dibuat dari batang balak.
kulu = kehulu
kelio = kehilir
kedarat = hala menjauhi sangai
kebaroh = hala kesungai
Tebin = tepi sungai
telio = teringin
buah kanto = buah enau
koi = kueh
kek = cake
cekelat = gula gula
kopek = tetek
kutey = cubit halus
kutei = dah lama
nohen = buat dek jer...
kodak/kekodak = lebihan/serbuk kueh.........umpama orang bertanya banyak ke lagi kueh raya
jawabnya tinggei kekodak tong aje.......

ngekek = ketawa terbahak bahak
ngonyam = gatei (berkaitan lelaki/perempuan)
seniat = pukul........dengan lidi umpamanya.
sidang = berhenti.......pada hujan
samo = warna merah jambu
geduak = kerdas
getik = benci
amra = kedondong
meghenin = berkilat
nganto = sejenis permainan anak muda dibulan puasa dekat dekat nak raya ketika ibu sibuk buat kueh deme
akan ambil beberapa jenis kueh buboh dalam pinggan umpamanya dihantar secara senyap senyap
kerumah kawan di letak atas tangga umpamanya kemudian diletupkan mercun bagi tau isi rumah
ahli keluarga rumah itu akan keluar dan mengejar si penghantar jika dapat mukanya akan dilumur
dengan bedak atau arang tapi no hard ffeeling kerana ini seronok seronok dan tuan rumah yang
menerima kueh itu akan makan seisi keluarga . Tetapi permainan ini sudah hampir pupus melainkan
di kampung 2 pedalaman.

melantak = kuat makan
megholoh = kuat tidor
hambo tebo = bersepah/berselerak
R yang diawal atau tengah perkataaan di ganti drngan GH

rumah = ghumah
orang = oghang
kerja = keghoje
memburu = menbughu
resah = ghesah
rosak =ghosak
ribu = ghibu

Ada beberapa perkataan oghang puteh oleh orang tetue di perakkan
bob = buku
belen = baki
merket = pasar
bot =bot

Tentang duit
1 sen = seduit
5 sen = 5 duit
10 sen = sekupang
15 sen = 15 duit
20 sen= 2kupang
25 sen = dua kupang 5 duit
setersnya hingga
90 sen =sembilan kupang
95 sen = sembilan kupang lima duit
seringgit = seringgit
RM1.25 = seringgit suku
RM1.50 = tenghah dua ringgit

Potong Tangan

(satu pandangan)

Perbuatan mencuri adalah berat di sisi Allah. Ia sama berat dengan perbuatan menyekutukan Allah, zina, membunuh anak-anak sendiri, mendatangkan umpatan dan mengingkari Nabi. Petunjuk dipetik daripada firman Allah berbunyi:

"Wahai Nabi, apabila wanita-wanita mukmin datang kepada kamu, dengan berjanji setia kepada kamu, bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, dan tidak akan mencuri, dan tidak melakukan zina, dan tidak membunuh anak-anak mereka, dan tidak mendatangkan umpatan yang mereka mengada-adakan antara tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka, dan tidak juga mengingkari kamu pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (60:12)

Mencuri bermaksud "mengambil kepunyaan orang tidak dengan kebenarannya, memaling" menurut Kamus Dewan. Perbuatan itu zalim, dan hukumannya ditetapkan di dalam ayat berikut:

"Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa, Bijaksana." (5:38)

Ayat yang menyusul menyuruh pencuri bertaubat dan membetulkan, dan kemudian, Allah akan menerima taubatnya:

"Sesiapa bertaubat sesudah kezalimannya, dan dia membetulkan, Allah akan menerima taubatnya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (5:39)


Potong

Tangan pencuri, baik lelaki mahupun perempuan, harus dipotong menurut ayat 5:38 tadi. Perkataan potong yang menyerlah diterjemah daripada kalimat qata'a. Ia dijumpai di dalam lima belas ayat al-Qur'an, termasuk yang baru disebut. Kerana konteks ayat yang berlainan maka terjemahan bagi kalimat itu berbeza. Perbezaan mereka dapat dilihat di dalam ayat-ayat yang diturunkan di bawah ini, tetapi dengan ringkas sahaja:

"Orang-orang yang memecahkan perjanjian Allah ..." - 2:27 (dan perjanjian disebut lagi, tetapi bukan Allah, di dalam 13:25)

"Supaya Dia memotong sebahagian orang-orang yang tidak percaya ..." - 3:127 (ayat 8:7 turut menceritakan memotong orang-orang yang sama)

"Sisa terakhir kaum yang membuat kezaliman dipotong." - 6:45 (sisa terakhir orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah disebut di dalam ayat 7:72, dan kaum Lut, 15:66)

"... dan tidak juga mereka melalui sesuatu lembah," - 9:121.

"... menghulurkan tali ke langit, kemudian hendaklah dia memotongnya," - 22:15

"... aku tidak biasa memutuskan sesuatu urusan sehingga kamu mempersaksikan aku." - 27:32.

"... kamu mendatangi lelaki, dan memotong jalan," - 29:29

"Tidak terputus, dan tidak tercegah," - 56:33 (pelbagai rezeki di syurga)

"Apa sahaja pohon palma yang kamu tebang," - 59:5, dan,

"Kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya (Muhammad)," - 69:46

Kalimat qata'a terbit daripada akar berhuruf qaf-ta-ain. Adalah difahamkan seterusnya bahawa empat kata lain terbit daripada akar tersebut - qit, qita, qatta'a, dan taqatta'a. Mereka, seperti qata'a, diterjemah kepada beberapa perkataan juga, iaitu sebahagian, bahagian-bahagian, kawasan-kawasan, dipotong, memotong, dibelah, memutuskan, diputuskan, memecahkan dan berpecah, menurut konteks ayat.

(Sila rujuk ayat-ayat mengandungi kalimat qata'a [potong] yang lengkap, dan ayat-ayat daripada empat kata terbitan lain yang disebut, melalui "link" di hujung halaman ini, atau di sini. Terima kasih.)

Lantaran itu, kesemua kalimat tersebut kelihatan membawa maksud potong atau seumpamanya, dan ayat-ayat yang mengandunginya pula nampak jelas, tidak macam jenis mutasyabihat atau perumpamaan.


Hukum

Sekiranya diterima hukuman potong tangan bagi pencuri sebagai hukum hudud Allah, atau had-had Allah, tentu ia menjadi hukuman yang maksima. Dengan itu, tambahan anggota badan, seperti kaki untuk dipotong, atau pencuri dihukum bunuh, sebagaimana ajaran sesetengah golongan, telah melewati batas-batas yang ditetapkan Allah. Itu amat berat, jauh lebih berat daripada mencuri.

Sehubungan itu, satu kes mencuri yang tidak dipotong tangan tersurat di dalam al-Qur'an. Daripadanya boleh diambil iktibar. Kes itu disebut di dalam sebuah cerita seorang Nabi yang menjadi "pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai minda" (12:111).

Barang yang dicuri adalah gelas berkaki kepunyaan raja (12:72). Sebagai balasan, pencuri ditahan (12:79). Keterangan lanjut boleh dibaca dalam kisah Nabi Yusuf.

Perbuatan mencuri gelas kepunyaan raja tidak seharusnya dipandang ringan, apatah lagi kalau disamakan dengan "membuat kerosakan di bumi" (12:73). Namun, dalam kes yang agak berat itu pun, Allah menunjukkan keadilan-Nya dengan tidak mengisyaratkan memotong tangan pencuri.


Pertimbangan

Mencuri merupakan suatu kezaliman (5:39 tadi) terhadap orang lain. Maka timbul soalan, umpamanya, berapa nilai atau berat kezaliman yang dilakukan oleh pencuri sehingga dia harus dikenakan hukuman maksima? Bagaimana kalau dia memulangkan curiannya, dan dia bertaubat? Mahukah dipotong juga tangannya? Atau, memotongnya setelah sabit kesalahan yang kedua?

Soalan-soalan tersebut, dan banyak yang lain, harus diambil kira dalam pertimbangan sebelum memotong tangan seorang hamba-Nya.

Seterusnya, didapati dalam jenayah yang lebih berat, seperti membunuh orang, yang membawa hukuman mati, sebagai hukuman maksima, pun, Allah menggesa orang-orang yang mempunyai minda memilih kehidupan di atas pembunuhan. Atau, mengutamakan sifat perikemanusiaan. Firman-Nya,

"Dalam qisas ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)

Pembunuh itu selanjutnya boleh dimaafkan oleh saudara orang yang dibunuh dan membayar "ganti rugi". Ayat al-Qur'an yang menjelaskannya berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan (ditetapkan) bagi kamu ialah pembalasan (qisas) ..... tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Pemelihara kamu, dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (2:178)

Petunjuk di atas tentu baik diambil kira dalam masalah mencuri. Bayaran ganti rugi tidak menzalimi sesiapa. Ia tanda permaafan.


Hukuman contoh

Hukuman memotong tangan pencuri dianggap sebagai "hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa, Bijaksana." (5:38). Atau, sebagai penghalang, daripada pencuri menlanjutkan kegiatannya, atau menghalang orang lain daripada mencuri sepertinya. Barangkali, hukuman itu dapat, misalannya, menghalang wang rakyat berjuta ringgit daripada dicuri oleh orang-orang yang ingin mencurinya.

Bagi orang yang melempar tuduhan mencuri ke atas orang lain pula, dia harus mendatangkan empat saksi, atau bukti, kalau mahu ikut kes zina, iaitu kejahatan yang disebut bersama mencuri di dalam ayat pertama dipapar di halaman ini. Dan menurut kes zina lagi, dalam menjalankan hukum Allah, "janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu mempercayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan daripada orang-orang mukmin mempersaksikan azab mereka." (24:2)

Masih dengan zina. Kali ini, yang menjadi iktibar ialah hukuman sebat yang dikenakan. Sebat di situ bukan metafora. Macam itu juga pendapat penulis ke atas potong tangan. Pendapatnya mungkin berbeza dengan pendapat sesetengah orang lain. Apapun, ia hanya satu pandangan sahaja.

Hukuman potong tangan pencuri lelaki dan perempuan tidak dijalankan dengan sewenang-wenangnya. Pertimbangan untuk menyelamatkan tangan mereka dan peluang untuk bertaubat, dan dimaafkan, walaupun mereka jahat, harus menjadi agenda penting bagi orang-orang mempunyai minda, dan bertakwa (takut kepada Tuhan), apabila mereka duduk untuk menegakkan hukum Allah. Takut nanti, azab-Nya akan turun lalu meliputi seluruh ahli masyarakat Islam, atas kezaliman yang dilakukan terhadap mereka pula. Dan atas, salah guna nama Islam yang murni.

Sila rujuk:
Kalimat curi di dalam al-Qur'an
Kalimat potong di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
November 2003
Ramadan/Syawal 1424

Isnin, 5 September 2011

2/3 Kota Bharu (Episod 2)


"Bila ayah nak balik ke Meru" entah kali ke berapa Mila bertanya, sambil dia kemas rumah sambil itu dia mencongak waktu.

"Ayah ikut saja, kalau ibu nak balik sekarang pun ayah tak jadi masalah!"

Dengar khabarnya Mila & adik-adiknya mahu berkumpul di rumah pusaka mereka. Ini tahun pertama keluarga Mila berhari raya tanpa ibu & ayah. Nyaie (bahasa baku tulis Nyai.. aku suka nulis Nyaie.. ada bunyi eee hujungnya) pergi meninggalkan kami ketika dewan perkahwinan gegak-gempita dengan alunan lagu pilihan Mila. Aku sebenarnya menolak lagu yang lantang ketika majlis; selalu berpesan pada Mila. Jika buat majlis biarlah tetamu santai; waris ramai datang nak berbual nak dengar lagu banyak kat radio; entah berapa banyak FM di saluran radio kita.

Apatah lagi jika majlis siap berkaraoke; bukan aku anti hiburan tetapi tak tahu mana nak dengar. Di ruang terbuka mungkin boleh diterimapakai; bayangkan jika di dewan. Nak makan-makan atau bersembang pun rasa serba tak kena. Jika mahu hiburan; alunkan saja lagu sederhana rendah nadanya. Jangan memaksa tetamu mendengarnya.

Nyaie menyambut panggilan Ilahi sekitar 2:15 petang; khabarnya tersebar sekitar 2:30 petang. Laguan gegak-gempita beralun sampai sekitar 3:00 petang. Roh nan pergi tetap pergi, kita di dunia seperti biasanya terpaksa meneruskan perjalanan hidup kita. Huh! itu kenangan lama.

"Selipar itu kenangan kita ke Melakalah ibu, takkan tak ada pasangannya!" aku ternampak Mila tangkap muat sahaja barangan yang dia mahu buang; memang ramai kalangan kita suka rumah jadi padang golf akhirnya lapang cuma tinggal tahi cicak sahaja. Aku perasan ada beberapa pasang kasut kesayanganku yang mahu aku baiki tinggal sebelah sahaja; mana pasangannya aku tak pasti. Ketika aku tiada di rumah Mila & anak-anaknya buat operasi Bersih. Jangkaan aku betul; stor aku di atas sana tak boleh dimasuki kini. Konsep sumbat muat akan menjadi sejarah kamar Afiz duduki kini; nak buka pintu pun tak boleh lagi.

Untuk mengemas rumah zaman sekarang telah banyak kemudahan; konsep simpan dalam kotak kertas sudah kurang berkesan; paling cantik simpan dalam kotak plastik; siap beroda & mudah dialihkan. Titik bab kemas rumah.

Sedar tak sedar; hairan bin ajaib. Mila buat keputusan beraya di Jenaris. Seingat aku entah berapa lama kami tak beraya di Jenaris; silap-silap telah berbelas tahun kami mesti raya di Meru. Jika Hari Raya Korban itu mungkin selalu.

Dua hari sebelum raya aku telah bising menyuruh Mila sinaraikan barangan yang mahu dibeli. Biasalah hari raya mesti ada sahaja keperluan dapur yang tak cukup. TESCO tak jauh dari rumahku ini; sekitar 2 atau 3 kilometer sahaja. Selalunya jika musim perayaan TESCO akan dibuka sampai jam 1:00 pagi (buka 8:00 pagi memang telah menjadi jadual harian). Aku perasan jika mencari barangan basah keperluan dapur dua pasar raya ini bersaing sihat. TESCO & Econsave. Giant yang beberapa ratus meter sahaja dari rumahku memang tak dapat tandingi harga runtuh dua pasar raya ini.

Rakan St Michael's Inst Ipoh (SMI) yang buka restoran Nasi Arab pun mengadu, terpaksa berlari ke TESCO untuk mendapatkan harga barangan yang munasabah. Pasar Borong pun tak dapat menyaingi kemurahan barangan basah di TESCO ini.

Mila merancang nak masak Sayur Lodeh; sambal kacang dia telah beli kompeninya yang buat; Sime Darby. Nasi himpit dia mahukan buatan Adabi yang peketnya kecil. Banyaklah barangan yang kena beli; faham sahajalah nak buat Sambal Lodeh.

Awal pagi Isnin aku telah bising nak ke TESCO, Mila buat faham tak faham sahaja; akhir sekitar jam 12:00 tengah hari baru aku bertolak ke TESCO. Alahai hanya jual bulu ayam sahaja untuk cuci habuk; tak jumpa biarpun kaki ayam di TESCO; udang pun cuma ada udang kering; kacang panjang pun habis; ketupat segera cuma ada jenama Nona yang peketnya besar. Aku berbual dengan Minaci yang menjadi Jurutimbang di bahagian sayuran & barangan dapur.

"Jam 8:00 pagi orang telah serbu; ayam awal pagi lagi dah habis! ayam memang ada tawaran murah hari ini!" aku tanya pada pemotong ayam si Bangla yang memang aku telah cam mukanya.

"Bila ayam mahu sampai?... ini petang adakah?"

"Sudah kasi tahu stok habis tapi tarak tahu bila mahu sampai!" Huh! gemek sahaja TESCO ni; aku buka di akhbar memang harga ayam mereka jual RM3.39 setiap keluarga 4 ekor. Gua punya keluarga tarak dapat seekor pun.

- bersambung

Sila ke situs Penyair iDANRADZi di http://idanradzi.blogspot.com/ jika mahu tahu kisah perjalanan raya 2011 Penyair ini.

Aqiqah

PENGERTIAN ‘AQIQAH
  • ‘Aqiqah ialah sembelihan binatang an‘am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata‘ala.

HUKUM MELAKUKAN ‘AQIQAH

  • Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

WAKTU PELAKSANAAN ‘AQIQAH

  • Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut.

  • Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam:

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .

Maksudnya:
"Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."
(Riwayat Abu Daud)

SYARAT ‘AQIQAH

  1. Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih.

  2. Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur.

PERKARA SUNAT SEMASA ‘AQIQAH

  1. Berdoa semasa hendak menyembelih:


    بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ ... (sebut nama anak)
    Maksudnya:
    "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…".

  2. Menyembelih ketika matahari sedang naik.

  3. Daging ‘aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.

  4. Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang ‘aqiqah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.

  5. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.

  6. Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu.

PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK

  1. Mengazankan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir.

  2. Membaca iqamah di telinga sebelah kirinya.

  3. Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas.

  4. Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang.

  5. Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya.

  6. Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya.

  7. Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih ‘aqiqah untuknya.

  8. Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut.
  9. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.

HIKMAH ‘AQIQAH

  1. ‘Aqiqah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:
  2. Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
  3. Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.
  4. Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
  5. Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.
  6. Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.

Perbezaan antara ‘aqiqah dan qurban.

Terdapat beberapa perbezaan antara ‘aqiqah dengan qurban:

  1. ‘Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah.

  2. Daging ‘aqiqah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.

  3. ‘Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala qurban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Isma‘il.

  4. Daging qurban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging ‘aqiqah sunat disedekahkan setelah dimasak.