Translate

Tajaan

Rabu, 3 Mac 2010

Kemeriahan festival Elvis


SEBUAH keluarga tampil dengan gaya tersendiri cuba menyerupai penampilan keluarga Elvis bersama isteri, Priscilla dan anak mereka, Lisa Marie.


DI sebalik kemeja dan seluar panjangnya yang ketat di paha, Gnarnayarrahe Inmurry Waitairie basah dengan keringat di bawah terik panas di bumi Kanggaru. Lengkap dengan penampilan ala Raja Rock n Roll, Elvis Presley, lelaki itu turut mengenakan rambut palsu berwarna hitam berkilauan.

Sambil mengendong sebuah gitar di atas bahunya, Waitaire membawa bersama sekeping pas rasmi untuk membuat persembahan. Lelaki itu cuba membetulkan kedudukan cermin mata hitam dan menarik tali gitarnya. Lalu, dia bersedia menggoncang-goncangkan tubuh dan menari ala idola muzik Amerika Syarikat (AS) itu.

"Elvis boleh jadi sesiapa sahaja kerana dia mampu mencairkan hati anda.

"Penduduk asal tidak ada idola seperti Elvis. Jadi, saya datang ke sini untuk menjadi Elvis. Saya ialah Elvis Hitam," kata Waitairie, 67.

Waitairie merupakan seorang penari Orang Asli yang berasal dari Yindjibarndi di barat Australia. Demi menjadi sebahagian daripada kemeriahan sambutan hari jadi terbesar Elvis di Australia baru-baru ini, dia sanggup menukarkan penampilannya.

Ketika peminat-peminat setia di kota Memphis, AS menyambut ulang tahun ke-75 Raja Rock n Roll itu, ribuan pengunjung tertumpu di pekan Parkes, Australia untuk aktiviti tahunan, Festival Elvis. Pekan Parkes yang kering-kontang dan kecil itu hanya terletak 300 kilometer dari barat Sydney.

Segala-galanya bermula dua dekad lalu sebagai satu impian kecil pasangan, Bob dan Anne Steel. Pasangan tersebut mengendalikan sebuah pusat penyambut tetamu bertemakan retro, Gracelands. Mereka nekad untuk menghidupkan suasana musim panas di pekan yang terkenal dengan aktiviti perlombongan dan perladangan itu.

Ikon muzik

"Kami berharap penganjuran satu festival pada bulan Januari boleh merancakkan aktiviti perniagaan di pekan ini. Saya rasa mesti ramai yang bersorak gembira sekarang.


TREN dari Sydney ke Parkes pada hari ulang tahun kelahiran Elvis Presley kini dikenali sebagai Elvis Ekspres.


"Kebanyakan orang nampak impaknya ke atas ekonomi dan kami juga memerlukan impak seperti itu," kata Steel.

Parkes yang dihuni oleh golongan petani dan pelombong itu jauh sekali dijangka menjadi lokasi untuk memberi penghormatan kepada seorang ikon muzik terkemuka seperti Elvis.

Sebelum ini, populariti pekan itu hanya bersandarkan pada sebuah teleskop radio, The Dish.

Teleskop itu telah digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) untuk menerima imej-imej pendaratan Apollo 11 di bulan pada 1969.

Namun daripada sebuah karnival pekan yang kecil, Festival Elvis Parkes kini menjadi acara tahunan.

Karnival yang hanya dihadiri oleh 200 orang pengunjung pada 1993, kini berjaya menarik lebih 10,000 orang pelawat tahun ini. Festival itu juga berjaya menjana pendapatan tambahan bernilai RM15.66 juta kepada ekonomi tempatan.

Ratusan pengunjung bersesak dalam tren, Elvis Ekspres, untuk menuju ke Parkes dari Sydney. Lengkap dengan penampilan retro, para pengunjung bersorak gembira dengan iringan muzik dan tarian buat seorang ikon legenda.

Peminat-peminat fanatik bersesak-sesak di jalanan untuk membuat persembahan. Sesetengah pula berusaha untuk menarik perhatian juri-juri dalam pertandingan meniru Elvis.

Selain itu, terdapat pelbagai acara menarik lain seperti peraduan Idola Elvis, perjumpaan keagamaan beramai-ramai dan sebuah istana raja khas untuk menyimpan sejumlah besar koleksi barangan Elvis.


MENIRU gaya Elvis antara aktiviti yang diadakan sempena Festival Elvis.


Waitairie yang menjelajah sejauh 600 kilometer untuk mengambil bahagian dalam festival itu, berharap menjuarai persembahan jalanan. Dia juga berhasrat memperbaharui ikrar perkahwinannya dalam majlis Back to the Altar with Elvis secara beramai-ramai di taman tersebut.

"Elvis adalah simbol kasih sayang dan keharmonian. Sejak saya berusia 14 tahun saya sudah menyukai sisi Elvis," katanya.

Seorang peserta pertandingan meniru Elvis, Graeme Mackaway memberitahu, dia telah empat kali menggunakan perkhidmatan tren Elvis Express untuk ke Parkes.

"Setiap tahun, bilangan pengunjung yang datang semakin ramai dan perjalanannya juga dirasai kian lama," tambah pengarah sebuah syarikat swasta itu.

Dalam tempoh lima hari, festival tersebut berjaya meningkatkan jumlah pendapatan tahunan sektor perlancongan. Ini sekali gus menjadikannya sumber pendapatan ketiga terbesar selepas sektor pertanian dan perlombongan.

Di Parkes, kebanyakan bilik hotel telah ditempah setahun lebih awal. Di sekitar kawasan bandar, khemah-khemah didirikan di merata-rata tempat. Pihak berkuasa memberitahu, pengunjung yang hadir setiap tahun terdiri daripada golongan muda.

Tambah Steel, apa yang bermula sebagai satu idea kecil dua peminat fanatik Elvis kini bertukar menjadi sambutan besar-besaran untuk budaya rock 1960-an. Lebih penting lagi, ia menyatukan gaya hidup kedua-dua masyarakat bandar dan luar bandar.

"Saya telah menjadi peminat Elvis sejak berusia 11 tahun. Sekarang, saya sudah pun masuk 66 tahun. Hari ini, anda tidak semestinya perlu menjadi peminat Elvis untuk berada di sini," katanya. - AFP

Kosmo!

Gelengg@ng:

Elvis, Michael, P Ramlee, Sudirman tak pasti siapa lagi yang akan muncul sebagai lagenda seniman.

Jika dulu Mawi disebut-sebut sebagai seniman yang penuh dengan aura, nampaknya sekarang semakin sepi. Apek sekadar pelawak, Nabil jika tak pandai menjaga disiplin diri pasti akan di pinggir peminat. Siapa lagi nampaknya. Apakah Raja Lawak Adlan akan menjadi lagenda.

Mr Bean juga boleh dikatakan ada peminatnya tersendiri. Di Malaysia siapa agaknya.




Dari Jalan Petaling ke Mid Valley

Bermula dengan menjual buah-buahan secara kecil-kecilan, perniagaan Lee Foo kemudian diteruskan oleh anak lelakinya Ying Cheong. Legasi perniagaan itu diteruskan oleh cucunya, Adnan Lee yang kini menjual buah-buahan di pasar raya.




LEGASI perniagaan buah-buahan keluarga Lee bermula di sekitar Jalan Petaling dan Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekitar tahun 60-an dan 70-an.

Seperti rakan-rakannya yang lain, Lee Foo yang berasal dari China memilih untuk berhijrah ke Malaysia atau lebih dikenali sebagai Tanah Melayu ketika itu untuk mencari rezeki dan memulakan kehidupan baru.

Bermula sebagai buruh kasar, pendapatan yang kecil menyebabkan Lee beralih menjaja buah-buahan secara kecil-kecilan di sekitar Kuala Lumpur.

Dengan pendapatan itu juga dia membesarkan lapan orang anaknya semasa menetap di sebuah perkampungan setinggan di Bukit Bintang.

Keramahan Lee menyebabkan beliau disenangi penduduk setempat. Bahkan kegigihannya juga menjadi inspirasi anak-anaknya.

Tradisi perniagaannya itu kemudian diambil alih oleh salah seorang anaknya, Lee Ying Cheong, 60. Ying Cheong berniaga buah-buahan di sekitar Pasar Pudu dan Jalan Imbi sekitar tahun 70-an dan 80-an dengan basikal roda tiga.

Pada cuti hujung minggu atau cuti sekolah, Ying Cheong membawa keempat-empat orang anaknya ke tempat beliau berniaga sambil dibantu isterinya, Loh Lai Choo, 53. Selain dapat membantunya, Ying Cheong mahu anak-anaknya memahami bagaimana sukarnya dia dan isteri mencari rezeki.

Tanpa disedari, anak sulung Ying Cheong, Adnan Lee, 35, mula menunjukkan minat dalam bidang perniagaan. Adnan kerap mengikut dan membantu bapanya berbanding adik-beradiknya yang lain.

Segala selok-belok perniagaan dikutip dan dijadikan landasan untuk mewarisi perniagaan keluarganya itu.

Lelaki dengan ketinggian 194 sentimeter (sm) itu sebenarnya amat meminati bidang lukisan ketika di bangku sekolah, namun minat itu tidak menghalangnya melibatkan diri dalam bidang perniagaan yang diwarisi sejak berumur lapan tahun.

Basikal roda tiga


PELBAGAI jenis pisang segar dijual pada harga yang berpatutan.


Sejurus menamatkan pelajaran pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1994, beliau memberanikan diri berniaga dengan basikal roda tiga.

"Hari pertama berniaga, saya mendapat keuntungan sebanyak RM30, walaupun kecil namun sudah cukup untuk membakar semangat saya agar terus gigih dalam bidang ini," kata Pengarah Urusan MBG (Money Back Guarantee) Fruits Sdn. Bhd. itu.

Menceritakan pengalaman pahit yang ditempuhinya, Adnan memberitahu ketika itu dia tidak mempunyai lesen dan berniaga di beberapa buah lokasi di sekitar ibu negara.

"Sebab itu, setiap kali nampak kelibat lori atau pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya akan segera menutup perniagaan dan melarikan diri. Saya bukan sahaja pernah didenda, bahkan barang-barang perniagaan juga pernah disita sebelum ini," ujarnya.

Serik berdepan dengan pengalaman pahit itu setiap hari, Adnan nekad membuka perniagaan secara tetap di Pasar Imbi pada sebelah pagi.

"Ketika itu perniagaan semakin berkembang, habis berniaga di pasar pagi, pada sebelah malamnya saya akan berniaga di pasar malam di sekitar Taman Desa, Taman Maluri dan Kuchai Lama

Memeluk Islam pada 2001 dan berkahwin dengan seorang warga Indonesia, Nurul Aini, 34, pada tahun yang sama, Adnan bertekad untuk memperkenalkan buah-buahnya di pasar raya.

"Cawangan pertama saya ialah di pasar raya NSK Selayang. Saya bertanggungjawab menguruskan bahagian penjualan buah-buahan situ, selepas itu saya menguruskan cawangan kedua di pasar raya NSK Rawang," ujar bapa kepada tiga cahaya mata perempuan iaitu Nur Lee Mei Yee, 8, Nur Lee Tar Sha, 6 dan Diana Lee Mei Kuan, 4.

Tanpa menoleh ke belakang, Adnan memberanikan diri membuka cawangan di pusat beli-belah Avenue K di Jalan Ampang pada 2005.

"Saya mengeluarkan modal sebanyak RM90,000, pada mulanya keluarga tidak bersetuju kerana ia berisiko tinggi tetapi saya berjaya menyakinkan mereka.

"Dalam tempoh enam bulan pertama, perniagaan saya mengalami kerugian disebabkan kekurangan pelanggan, apabila dikaji ia berpunca daripada ketiadaan promosi. Dari situ baru saya tahu, konsep berniaga di pusat beli-belah berbeza dengan berniaga di pasar malam," ujarnya.

Minat yang mendalam dalam bidang lukisan sedikit sebanyak memberi idea kepada Adnan untuk menjenamakan perniagaannya di bawah MBG.

Jelasnya, usaha dan strategi pemasaran yang dilakukan ternyata berhasil apabila konsep yang diperkenalkan mendapat kepercayaan pelanggan dan pengusaha pusat beli-belah khususnya di sekitar Lembah Klang.


ADNAN (dua dari kiri) melayan pelanggan-pelanggannya ketika menjalankan perniagaan di Bukit Bintang.


"Saya berpegang kepada tiga prinsip utama iaitu kebersihan gerai dan premis, sentiasa memenuhi kehendak pelanggan dan memastikan kualiti produk yang dijual. Jika mereka tidak berpuas hati kita akan pulangkan semula wang tanpa ragu-ragu.

"Berkat kesungguhan saya, MBG akhirnya mampu berdiri teguh dan kini mempunyai 16 cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk satu di Melaka. Antara cawangan yang ada ialah di The Gardens, Mid Valley, Sunway Pyramid, Subang Parade dan The Curve," kata Adnan yang mempunyai 140 orang pekerja.

Perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan menyebabkan Adnan cuba mempromosikan perniagaannya secara talian dan khidmat penghantaran.

"Idea ini timbul kerana saya tidak mahu ketinggalan dalam bisnes sebab itu saya tidak ragu-ragu untuk melabur dan membangunkan kaedah jualan secara talian.

"MBG juga turut menawarkan perkhidmatan penghantaran buah-buahan kepada pelanggan dan mungkin ia antara konsep pertama yang diperkenalkan di negara ini," ujarnya yang memberitahu setiap buah tidak akan disimpan lebih daripada seminggu.

Gembira dengan maklum balas daripada pelanggan, Adnan berkata, kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan kadar caj yang dikenakan.

"Kami mempunyai seorang pekerja penghantar di setiap cawangan, jika pelanggan menempah sebelum pukul 12 tengah hari, buah-buahan tersebut akan dihantar pada sebelah petang, jika tempah pada waktu petang ia akan dihantar keesokan hari.

"Lagipun buah-buahan bukannya seperti makanan segera yang perlu dimakan terus. Ia mungkin disimpan sebelum dimakan dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari kemudian, kecuali mereka yang inginkan perkhidmatan segera," jelasnya yang bercadang membuka cawangan di Jakarta, Indonesia.

Kosmo!

Isnin, 1 Mac 2010

Derita saya silih berganti

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/03/01

SUNGAI BULOH: “Saya sudah banyak melakukan kesilapan, kalau boleh saya nak minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ambillah saya, jagalah saya dan anak-anak saya...saya minta tolong sangat,” kata Nurhanim Aziz, 25, tersedu-sedu.

Ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafia Humairah yang mati didera dalam kejadian di Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, Khamis lalu itu mengharapkan JKM membantu dia dan dua lagi anaknya ditempatkan di rumah kebajikan untuk menjalani pemulihan, kaunseling dan perlindungan bagi memulakan hidup baru.

Dia yang ditemui di rumah keluarganya di Batu 16 1/2, Sungai Plong di sini, berkata dia kini trauma untuk meneruskan hidup dengan kejadian menimpa anak perempuannya itu.

Katanya, dia tidak sanggup lagi hidup menderita kerana terpaksa berdepan satu demi satu cabaran dalam hidup bermula dengan penahanan suaminya, Sahari Usol, 33, di Penjara Sungai Buloh sejak 2006 kerana kesalahan jenayah dan kini kehilangan anak tersayang. Menceritakan pengalaman hidupnya, Nurhanim berkata selepas suami dipenjarakan, dia yang sebelum itu suri rumah sepenuh masa terpaksa bekerja sebagai jurujual di pusat beli-belah di ibu negara bagi menyara tiga anaknya dan pada masa sama berdepan pandangan serong masyarakat kerana bersuamikan banduan.

“Saya masih muda...suami pula ditahan (di penjara) menyebabkan saya hidup menderita. (Kemudian) teman lelaki (suspek) hadir dalam hidup untuk membantu dan menjaga saya sehingga kami merancang untuk berkahwin tetapi suami tidak mahu melepaskan saya. “Pada masa itu, saya tidak tahu kepada siapa hendak mengadu dan meminta tolong, sekarang (kematian anak akibat didera) banyak pihak menyalahkan saya sedangkan ketika menderita tiada siapa yang ambil tahu,” katanya yang turut mengaku serik untuk menerima mana-mana lelaki lagi dalam hidupnya. Dia turut dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Anak keduanya, Syafia Humairah, 3, mati dengan kesan luka di muka dan perut, dipercayai didera teman lelaki Nurhanim di kediaman suspek di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam Khamis lalu. Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga cedera parah pada tubuh selain luka di muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan. Syafia meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) ketika dibawa suspek sebelum ditinggalkan di wad kecemasan. Suspek mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, pihak hospital mengesyaki berlaku penderaan terhadap mangsa selepas menemui banyak kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak itu sebelum polis menahan suspek yang mengaku mencederakan Syafia. Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya melalui JKM sedia membantu menempatkan Nurhanim dan dua lagi anaknya di rumah kebajikan bagi mendapatkan perlindungan dan pemulihan untuk memulakan hidup baru selepas trauma dengan kejadian menimpa anaknya. Nurhanim berkata, sejak berkenalan dengan teman lelakinya itu, lelaki berkenaan menunjukkan sikap mengambil berat terhadap anak-anaknya termasuk Syafia dan sering membawanya keluar makan bersama sertamembeli pakaian baru untuknya. Namun, Nurhanim tidak menyangka hubungan rapat itu akhirnya bertukar tragedi yang menyebabkan dia kehilangan seorang anak yang pintar, lebih menyedihkan melihat jenazah Syafia dalam keadaan sadis.

“Sebelum ini saya pernah melihat ada kesan luka dan lebam pada badan Syafia tetapi bila saya tanya pada arwah, dia cuma kata terjatuh ketika bermain di luar rumah. Saya tidak menyangka sebenarnya perbuatan itu dilakukan teman lelaki.

“Saya sekarang sentiasa teringatkan arwah...nak melelapkan mata pun nampak wajah arwah. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, dia ada membuat permintaan supaya saya memakai tudung,” katanya.


Nurhanim berkata, pada hari kejadian, dia sedang bekerja dan menerima panggilan telefon daripada teman lelakinya yang memberitahu Syafia meninggal dunia akibat terjatuh dari motosikal menyebabkannya terkejut dan bergegas ke HKKB. “Tak sangka rupa-rupanya anak saya tidak terbabit dalam kemalangan, tetapi dipukul dan didera sehingga meninggal dunia,” katanya.

Ditanya mengenai laporan media sebelum ini yang mengatakan dia mengandung empat bulan hasil hubungan dengan teman lelakinya itu, Nurhanim menafikan kenyataan itu.

MyMetro

Khamis, 25 Februari 2010

Sokong Dengan ‘Rayuan Wardina’- Akuro San

Jika korang ada baca akhbar Utusan Malaysia pada 18 Feb yang lepas, di bahagian Hiburan/Hits, selain terdapat berita mengenai Konsert Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Aizat, terdapat satu artikel bertajuk ‘Rayuan Wardina Kepada Selebriti‘ yang menarik perhatian saya. Dimana rayuan dari artis yang terkenal dengan sebagai model iklan Shampoo Sunsilk ini telah menggerakkan hati saya untuk menaip entri blog pada kali ini untuk memberi SOKONGAN PADU pada Wardina yang berani melangkah kehadapan menyeru para artis di Malaysia ini agar menunjukkan tauladan yang baik kepada masyarakat.

Kalau korang belum pernah baca artikel ‘Rayuan Wardina Kepada Selebriti‘ ini, korang boleh baca petikan kata-kata Wardina dibawah ini.

“Saya menyeru supaya artis-artis kita menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat. Contohnya, bagi yang bercinta atau bukan muhrim jangan berpegang tangan di depan khalayak termasuklah melalui media massa.

“Kalau berlakon pun elakkan bersentuhan dengan pelakon bukan muhrim. Semua itu akan menjadi tontonan dan boleh menjadi ikutan golongan remaja. Ia adalah antara punca awal yang boleh mendorong kepada perbuatan zina.

“Sebab itu saya mahu menjalankan suatu kempen bersama dengan mana-mana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berminat bagi menangani masalah tersebut,” katanya kepada Hits.

“Adegan-adegan berpegangan tangan atau berpelukan dalam drama televisyen serta filem di kalangan pelakonnya boleh menggalakkan perhubungan bebas antara lelaki dan wanita. Ia boleh mempengaruhi golongan muda.

“Sebab itu, saya sarankan supaya diharamkan adegan-adegan seperti itu di mana ia boleh digantikan dengan adegan-adegan lain yang lebih kreatif. Kita jangan terlalu mahu meniru budaya dari Barat yang tidak ada batas sempadan.

“Saya tidak berniat mahu tunjuk alim dalam soal ini tetapi ia adalah tanggungjawab sosial saya sebagai orang Islam. Selepas ini saya tidak kisah kalau ada selebriti yang tidak sukakan saya kerana komen-komen saya ini,” tuturnya.

Hasil perbincangannya dengan Habiburrahman el-Sirazy yang membenarkan novel-novelnya yang berkonsepkan keislaman diadaptasi ke filem, beliau mencadangkan agar lebih banyak filem sedemikian dihasilkan.

“Daripada forum yang kami sertai itu, banyak tercetus idea-idea contohnya bagi menggalakkan lebih banyak filem-filem berunsurkan keislaman diterbitkan di negara ini. Kita tidak sepatutnya meniru gaya hidup Barat melalui filem.

Sebaliknya, apa yang sepatutnya kita tiru ialah soal kreativiti dan teknologi yang dibawa dari Barat. Sudah sampailah masanya lebih ramai selebriti tampil ke depan bersama-sama saya bagi menjayakan hasrat murni ini,” katanya lagi.

Ok, jika korang nak baca artikel penuh, korang boleh check di sini.

Seriously, saya sangat bersetuju jika Malaysia dapat mengeluarkan filem berbentuk Islamic seperti filem ‘Ayat-ayat Cinta‘ dan ‘Ketika Cinta Bertasbih‘. Jika sebelum ini Ahmad Idham pernah juga mengeluarkan filem ‘Syurga Cinta‘ yang boleh dikatakan menarik dari segi pelakonnya dan berbentuk Islamic, tetapi agak kurang sesuai dari segi ‘penyampaian dakwahnya‘. Manakala jalan ceritanya ada sedikit mirip filem ‘Kiamat Sudah Dekat‘. Walaubagaimana pun, ianya satu permulaan yang baik dan saya berharap akan ada lagi cerita-cerita yang berbentuk Islamic seperti ini di Malaysia.

Mungkin ada yang terfikir, jika filem ‘Syurga Cinta‘ mempunyai sedikit mirip seperti filem ‘Kiamat Sudah Dekat‘, adakah perlu kita mengeluarkan filem Islamic di Malaysia yang mirip filem ‘Ayat-ayat Cinta‘ atau ‘Ketika Cinta Bertasbih‘? Sudah tentu tidak!

Bagi dikalangan peminat-peminat novel di Malaysia, pengarang novel bernama Ramlee Awang Murshid sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama beliau tidak asing lagi sebagai seorang penulis novel thriller di Malaysia ini. Penghasilan novel beliau yang bukan saja berbentuk thriller, tetapi sarat dengan ilmu dan panduan Islam dengan penyampaian yang cukup menarik dan berbeza.

Jika diambil salah satu novel karangan beliau yang bertajuk Cinta Sang Ratu dan dijadikan filem, saya yakin ianya boleh menjadi ‘ikon’ filem Islamic dari Malaysia yang tidak mempunyai persamaan dengan filem dari novel Habiburrahman El-Shirazy. Filem yang dihasilkan bukan saja menjadi filem thriller yang mempunyai jalan cerita yang menarik, malah ianya tetap di isi dengan ilmu dakwah. Jika pembuat filem Malaysia berjaya menghasilkan filem yang menggunakan teknologi terkini seperti filem ‘Cicakman‘, ‘Duyung‘, ‘Puteri Gunung Ledang‘ atau ‘Pontianak Harum Sundal Malam‘, saya yakin ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk menghasilkan filem dari novel ‘Cinta Sang Ratu‘ ini.

Sesuai dengan saranan yang dikatakan oleh Wardina, “Apa yang sepatutnya kita tiru ialah soal kreativiti dan teknologi yang dibawa dari Barat“. Tidak teringinkah kita melihat filem dari Malaysia ini yang menggunakan teknologi yang setanding filem ‘Lord Of The Ring‘ atau ‘Harry Potter‘? Walaubagaimana pun saya akui, saya bukan seorang pembuat filem atau seorang director filem. Malah saya juga bukan seorang pelakon filem. Mungkin apa yang saya katakan disini hanyalah kata-kata dari seseorang yang tidak mengenali apa itu ‘Layar Perak‘. Apapun saya percaya, untuk menghasilkan filem seperti ini tentunya memerlukan kos yang sangat tinggi. Tetapi ianya tidak mustahil untuk menghasilkan filem tersebut. Cuma mahu atau tidak mahu sahaja~

Oh, ya~ Bagi sesiapa yang belum pernah baca novel ‘Cinta Sang Ratu‘, korang pergilah cari dikedai buku berdekatan ya~ Serious! korang akan ‘jatuh cinta‘ dengan watak Laksamana Sunan dalam novel tersebut. Selepas membaca novel tersebut, ayat ini akan melekat dikepala korang, “Kerana manusia, aku sayang pada kamu…” dan “Mati itu pasti! Hidup itu Insya’Allah…

Ok, akhir kata, selamat membaca, berfikir dan beramal~ ya~

p/s: Alhamdulillah~ blog saya sudah boleh ‘upload’ gambar balik~ :wink:

Rujukan: Utusan Online

Petikan dari situs: http://www.nuristimewa.com

100 Pengikut (Singgahsana)

Gelengg@ng nampaknya semakin dikunjungi. Maka aku kenalah berkerja keras mencari bahan yang lebih menarik.

Gelengg@ng sebenarnya lebih kepada laman sesawang@situs yang mengiringi iDANRADZi.
Banyak isu semasa akan diselitkan di ruangan Gelengg@ng agar tidak mengganggu isian di laman sesawang iDANRADZi yang lebih berbentuk peribadi.
Sebenarnya selain Gelengg@ng aku juga ada situs yang lain.
berkait dengan sastera satu genre tulisan yang aku minati.

http://idan.easyjournal.com
http://dkelopak.blogspot.com

aku juga terkadang terpanggil dengan isu politik
apa yang aku baca tentang politik & ianya aku rasa menarik
aku sering muatkan di situs yang ini

http://peluit.blogspot.com
http://meraban.easyjournal.com

Tulisan lamaku banyak juga terkumpul di sini

http://idanradzi.easyjournal.com



Ada beberapa lagi situs yang aku kelolakan; aku rasa elok dirahsiakan
agar tak menjadi persoalan buat pengunjungnya.

Kenapa terlalu banyak situs yang aku bangunkan?

Antara sebabnya aku lihat di dunia maya terlalu banyak situs Bahasa Melayu yang agak tercemar bahasanya pun bahannya amat banyak boleh dipertikaikan. Aku sebenarnya pejuang Bahasa Melayu. IsyaAllah dari masa ke semasa aku akan cuba memperbaiki Bahasa Melayu yang aku tulis & kumpul agar menjadi bahan kajian untuk diakses oleh generasi datang.


Jangan layan - Papa

KUALA LUMPUR - Tuntutan gaji minimum pembantu rumah dari Indonesia sebanyak RM800 sebulan tidak perlu dilayan dan diperbesarkan, tegas Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa).

Presiden persatuan itu, Alwi Bavutty berkata, isu gaji amah hanya perlu dirunding antara majikan dan pekerja sahaja sebagaimana yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut Alwi, selain Indonesia, beberapa negara lain turut membekalkan amah bekerja di sini seperti Filipina, Thailand serta Myanmar dan mereka menghormati peraturan yang ditetapkan oleh negara ini.

"Gaji minimum dalam pasaran kerja pembantu rumah di Malaysia sekarang antara RM500 hingga RM700 adalah sangat berpatutan dan mereka sepatutnya bersyukur dapat bekerja di sini.

"Ada amah dari Filipina yang berkelulusan ijazah dan diploma sanggup bekerja di negara ini dengan paras gaji sekarang tanpa sebarang masalah," kata Alwi ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Restorasi khazanah purba (Delima Merkah)


SEHINGGA kini, sebanyak 100,000 muka surat atau kira-kira 300 buah buku sudah didigitkan mengikut piawaian UNESCO.


DI tingkat bawah tanah Perpustakaan Universiti Mumbai, bangunan katedral yang dibina dengan reka bentuk gothik oleh British pada pertengahan abad ke-19, kelihatan lebih setengah dozen manusia sedang bekerja keras.

Sesetengah daripadanya sedang membongkok di komputer dan mesin pengimbas, manakala yang lain sibuk di dalam makmal berhawa dingin dan dikelilingi unit penghapus hama, bahan kimia, dulang cecair jernih dan rak-rak pengering logam.

Sebenarnya projek pemuliharaan buku-buku berharga di institusi itu sedang berlangsung. Ia bertujuan mengembalikan khazanah purba atau hasil kerja yang sukar didapati supaya generasi akan datang dapat mempelajari peristiwa silam.

Kesemua yang mengambil bahagian berkongsi tanggungjawab yang sama iaitu memulihkan buku-buku yang rosak supaya dapat digunakan untuk 100 tahun lagi.

"Generasi akan datang harus tahu sejarah silam," kata Kirti Joshi, seorang pembantu pemuliharaan.

"Untuk melakukannya kita mesti menyelamatkan buku-buku itu," tambahnya.

Projek bernilai 2.5 juta rupee (RM184, 000) itu bermula sejak awal tahun lalu dan kini hampir siap.

Setakat ini sebanyak 100,000 muka surat atau kira-kira 300 buah buku sudah didigitkan mengikut piawaian Pertubuhan Mengenai Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan sebanyak 88,000 muka surat digunting, dibersihkan dan dilapik dengan kertas tisu Jepun bebas kimia dan dilengkapi dengan kulit buku berwarna merah dengan tulisan emas timbul.

Mereka yang bertanggungjawab mengembangkan projek itu berharap memperoleh dana, sebanyak 500,000 buku daripada 800,000 koleksi berharga universiti itu dapat diselamatkan.

Amol Divkar, seorang ahli akademik pemilik firma arkib sains swasta berkata, mereka telah menjadi buruh cinta kerana dana yang ada hanya cukup untuk menampung kos material dan tenaga kerja.


PARA pekerja pemuliharaan sibuk memulihkan buku-buku yang rosak supaya ia dapat digunakan dalam tempoh 100 tahun lagi.


Tetapi katanya, projek itu mempunyai signifikan yang lebih luas iaitu menggalakkan tindakan yang sama dilakukan oleh institusi lain di seluruh negara.

"Kami bersungguh-sungguh untuk menunjukkan bahawa di sebalik pelbagai halangan, kami mampu menjalankan projek yang positif dan hebat," katanya.

India adalah salah satu ketamadunan tertua di dunia.

Masalah dana

Tetapi tolak ke tepi beberapa pengecualian, usaha menyimpan khazanah negaranya sering kekurangan.

Katedral Anglikan Mumbai, St. Thomas's contohnya, mempunyai rekod sejak kurun ke-17, menjadi keuntungan untuk penggemar sejarah keluarga dan sejarawan, kata Divkar.

Tetapi buku-buku tulisan tangan itu sudah berhabuk, ditumbuhi cendawan dan membusuk.

Seperti banyak cabang kehidupan lain, dana menjadi satu masalah. Bagi mendapatkan bantuan kerajaan memerlukan proses tender yang lambat dan kerenah birokrasi.

Pakar pengawetan buku terlatih seperti Joshi dan rakan-rakannya adalah kurang, dengan beberapa kerja mereka adalah membetulkan hasil kerja orang lain yang sebelumnya cuba melakukan pemuliharaan kecemasan.

"Mereka melakukan pengawetan tetapi tidak mempunyai pengetahuan yang tepat mengenai bagaimana buku-buku itu perlu dirawat," kata pembantu perpustakaan, Anjali Kale.

"Lihat muka suratnya telah bergulung. Ia memerlukan haba untuk dibetulkan," tambahnya.

Dengan usaha yang kurang, kapasiti pengetahuan, ia terpulang kepada individu yang berminat seperti Tilaka Joseph, bekas pembantu perpustakaan untuk memperkasa projek itu dan mencari jalan alternatif.

Dia meyakinkan Perkhidmatan Konsultasi Tata, pengeksport perisian terbesar India untuk menyediakan dana.

Kumpulan Tata gergasi konglomerat itu turut mengambil bahagian dalam membantu Persatuan Asiatik berprestij Mumbai untuk memulihkan sebanyak 200,000 koleksi kuatnya.

Sebanyak 3,200 buku telah dipulihkan termasuk sebuah manuskrip Dante bertajuk Divine Comedy, salinan buku Charles Darwin iaitu On the Origin of Species dan ilustrasi manuskrip daun palem Buddha yang dihasilkan pada kurun ke-13.

Sebuah skim anak angkat buku telah dijalankan sejak 1991 oleh institusi berusia 195 tahun itu bagi individu yang ingin menyumbangkan dana tunai bagi kos pemuliharaan.

Karya Galileo pada 1632 iaitu Dialogue Concerning the Two Chief World Systems adalah satu daripada banyak volum diselaputi habuk di dalam tingkat bawah tanah itu, akan dipulihkan menerusi dana yang disumbangkan oleh ahli perniagaan Itali tempatan.

"Perkara pertama ialah bagi mendapatkan penderma untuk mengadopsi buku atau menggalakkan kas bagi membolehkan kita memelihara buku itu," kata Presiden organisasi tersebut, Aroon Tikekar.


PROJEK pemuliharaan buku-buku lama bertujuan mengembalikan khazanah purba untuk generasi akan datang.


Tanpa dana berterusan, Tikekar dan Divkar bimbang akan kehilangan khazanah India akibat salah guna, terlebih guna serta kesan kerosakan akibat suhu tropika, kelembapan monsun dan dimamah hama serangga.

"Penting untuk maklumat-maklumat dan pengetahuan ini disampaikan kepada semua.

"Beberapa karya terbaik di dunia ini sejak kurun ke-17 terdapat di Mumbai. Tidak ramai yang mengetahuinya," kata Divkar.

"Sekiranya ia tidak disimpan untuk pengkaji masa depan, ia akan hancur ditelan masa dan hilang nilai kekayaannya. Maklumat berharga juga akan hilang.

"Apa yang kita miliki hari ini adalah kerana usaha nenek moyang kita. Sekiranya kita tidak dapat memeliharanya, kita akan gagal mewarisi kepada generasi seterusnya," tambahnya. - AFP