Translate

Tajaan

Sabtu, 26 Disember 2009

Majlis Serina ke mata dunia (Hiburan)


BAGAIKAN merpati dua sejoli, pasangan bahagia ini akan memulakan tahun baru 2010 dengan majlis perkahwinan yang gah dan meriah.


TIDAK dinafikan, niat di hati pasangan bakal pengantin baru, Serina Redzuawan dan Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahuddin Ghaffar sekadar menginginkan upacara akad nikah dan majlis persandingan melatari hari bahagia mereka.

Enggan berlebih-lebihan, Serina, 26, dan Salahuddin, 33, semahu-mahunya hendak bersederhana dalam segala aspek apatah lagi tidak mahu memberi tekanan kepada diri yang duduk di singgahsana dihiasi indah pada pembukaan tahun 2010 nanti.

Namun apakan daya, pelakon dan pengacara wanita popular tanah air itu harus memenuhi kemahuan ayah tercinta yang merupakan individu berpengaruh dunia masakan, Chef Wan apabila lima buah majlis bakal dijalankan sempena detik bersejarahnya.

Dalam tempoh sama, dua beranak terkenal itu sering bertekak dan berselisih pendapat dalam sebilangan hal berkaitan hari persandingan yang boleh diterjemahkan sebagai majlis perkahwinan gilang-gemilang dalam kalendar seni di negara ini.

Menurut Serina, pada awalnya dia dan Salahuddin mahu mengadakan majlis nikah dan bersanding sahaja disebabkan tidak mahu berasa tertekan atau kelam-kabut pada hari tersebut.

"Iyalah, selama ini saya dengar kawan-kawan cakap bukan mudah untuk lakukan persiapan perkahwinan. Kemudian apabila sampai masa sendiri, barulah saya tahu kesukaran yang dialami oleh bakal pengantin lalu memikirkan untuk buat majlis biasa-biasa saja.

"Tetapi saya sedar diri saya mempunyai seorang ayah yang merupakan selebriti bertaraf dunia, ditambah ayah ingin memperkenalkan majlis perkahwinan ini menerusi saluran Asian Food Channel (AFC) bagi mempromosikan Malaysia dan budaya perkahwinan Melayu maka saya bersetuju sajalah dengan keputusannya.

"Memang saya ada angan-angan sendiri untuk melangsungkan acara perkahwinan ini. Terus terang, beberapa kali juga saya dan ayah bertengkar tentang itu dan ini sebab masing-masing degil dan punya idea sendiri untuk diluahkan.

"Tetapi selepas berbincang secara baik lantas kami mencapai kata sepakat dengan hati terbuka. Alhamdulillah, setakat ini semua keputusan yang dilakukan dengan ayah mencapai keinginan saya.

"Oleh itu, saya cukup berterima kasih kepada ayah dan keluarga yang sanggup bersusah-payah buat segala persiapan. Meskipun ada bertikam lidah, hakikatnya saya tahu dia begitu menyayangi anaknya dan mahukan yang terbaik," luah Serina tatkala ditemui pada sesi mengukur baju pengantin Salahuddin di Lord's Tailor, Bangsar, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Tidak ketinggalan, Chef Wan dan anak bujangnya, Chef Riz bakal menyarungkan pakaian daripada Lord's Tailor pada hari bahagia itu kelak.


SALAHUDDIN (tengah) akan menjadi ahli keluarga baru tukang masak terkenal (dari kanan) Chef Wan, Serina, Chef Riz dan Norhayati Ayub.

Biarpun persiapan diuruskan oleh Chef Wan yang terkenal dengan sifat kesempurnaan, Serina bagaimanapun tidak sekadar lepas tangan. Sebaliknya anak bongsu daripada dua beradik itu turut menyumbang tenaga selain memberikan bantuan wang ringgit.

Berdoa semua berjalan lancar

Mengambil cuti selama sebulan untuk menguruskan majlis bersejarahnya, Serina juga sempat menyelesaikan beberapa perkara seperti menguruskan borang nikah dan imigresen memandangkan bakal suaminya berasal dari London, England.

"Tidak senang hendak berkahwin dengan orang dari negara luar. Saya harus menemani dia mengisi borang itu dan ini. Memanglah sedikit memenatkan. Tetapi hendak buat macam mana, saya harus patuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan," ujarnya.

Sementara itu, Salahuddin yang sedikit pemalu apabila diwawancara oleh pihak media mengaku sudah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal menantikan hari istimewa bakal diijabkabul menjadi ketua keluarga dan suami kepada Serina.

Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn. Bhd. yang mengusahakan perniagaan antarabangsa bola sepak itu terus terang mengatakan dia teruja untuk menjalani lima majlis yang dihadiri oleh hadirin dari serata negara.

"Keluarga saya dari London akan datang pada majlis ini sambil membawa rombongan seramai 15 hingga 20 orang termasuk ibu bapa. Mereka sendiri tidak sabar untuk menyaksikan cara perkahwinan masyarakat Melayu yang penuh adat dan budaya unik.

"Mengenai perancangan selepas mendirikan rumah tangga, saya dan Serina akan terus menetap di Malaysia apatah lagi saya menyukai negara ini yang memiliki banyak kelebihan berbanding negara lain.

"Tiada masalah sebenarnya untuk mengamalkan corak hidup Melayu kerana saya sudah berada di negara ini sejak sembilan tahun lalu. Saya sudah terbiasa dengan cuaca, makanan, kehidupan dan orang di Malaysia

"Saya juga tidak menghalang Serina untuk meneruskan kerjaya lakonannya selepas ini kerana bidang lakonan merupakan minatnya. Saya sentiasa menyokongnya dari belakang," akhiri anak kedua daripada lima beradik itu sambil tersenyum bahagia.

Serina bakal menerima wang hantaran berjumlah RM30,000 dengan mas kahwin sebanyak RM1,000 daripada Salahuddin selain dulang hantaran tujuh berbalas sembilan.

Selain kelima-lima majlis, sebuah lagi acara meraikan mempelai akan diadakan di Sungai Koyan, Pahang pada penghujung Januari tahun depan bagi meraikan penduduk kampung yang tidak dapat hadir pada majlis yang diadakan di ibu negara.

Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan