Translate

Tajaan

Rabu, 11 Ogos 2010

Salam Ramadan (Singgahsana)

Salam Ramadan
agar tahun ini menjanjikan Ramadan yang damai
sempurna
pun dapat kita menambah ibadah
memohon keampunan
membersihkan semua dosa
Selamat berbuka puasa
pun selamat bersahur

iDAN

Sabtu, 7 Ogos 2010

PSI bukukan kajian tentang makhluk halus

PENGKAJI kanan tim PSI, Siti Nadhirah Mohd Zain menunjukkan buku 99 Jelmaan Makhluk Halus Dengan Antropologi Melayu yang menghimpunkan kajian tentang makhluk-makhluk halus di alam Melayu dan negara-negara Barat.

PENGKAJI-PENGKAJI cerita rakyat (folklore) mentafsirkan istilah hantu atau makhluk halus setara dengan penggunaan kata tahyul untuk mewakili unsur-unsur yang berada di luar akal logik manusia.

Malah, ada pandangan-pandangan yang cuba meremehkan sesuatu kelompok sosial melalui penggunaan istilah ‘kepercayaan masyarakat’ (folk belief). Pengertian itu sinonim dengan pandangan bahawa masyarakat setempat tidak terlepas daripada unsur tahyul atau hantu.

Dalam masyarakat Melayu hantu, semangat, jembalang atau penunggu telah wujud sejak zaman animisme lagi. Masyarakat pada ketika itu percaya semua benda besar seperti pokok atau batu yang besar dianggap didiami jin penunggu yang perlu dijaga dengan baik agar jin tersebut tidak mengamuk dan mendatangkan bala kepada penduduk sekitar.

Pemimpin desa atau pawang akan bertanggungjawab ‘menjaga’ hubungan baik dengan makhluk-makhluk halus tersebut terutama menyediakan jamuan makanan (acak) untuk memastikan mereka membantu penduduk daripada serangan wabak penyakit dan musuh tanaman.

Amalan ini masih kekal dikalangan penduduk asli yang masih mengamalkan kepercayaan animisme di kawasan-kawasan terpencil yang jauh daripada pembangunan.

Kedatangan agama Hindu dan Buddha ke Nusantara telah menyebabkan konsep penunggu dan jembalang diubah menjadi konsep dewa-dewa yang mendiami tempat-tempat tertentu.

Bagi menghormati dewa-dewa ini, kuil-kuil dibina di tempat-tempat tersebut dengan tujuan pemujaan bagi mendapatkan perlindungan. Namun, pemahaman tentang keberadaan makhluk halus (kononnya ada yang baik dan sebaliknya) terus kukuh meskipun Islam telah membawa perspektif baru tentang keradaan makhluk-makhluk tersebut.

Pada umumnya masyarakat Melayu percaya hantu atau makhluk halus akan keluar pada waktu malam sahaja khususnya pada bulan mengambang dan sebahagian besar daripadanya menyerupai wanita.

Kebanyakan hantu ini matanya merah, pada mulutnya merah kesan-kesan darah. Mulutnya penuh dengan gigi yang tajam bercerancang, berwarna merah yang menjadikan darah sebagai hidangan.

Munsyi Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah mencatatkan puluhan makhluk halus yang dipercayai oleh masyarakat Melayu. Antaranya ialah pontianak, toyol, hantu raya, pelesit, hantu bungkus (pocong), hantu air, langsuir, bota, bajang, bunian, pari-pari dan orang minyak.

Namun, dari perspektif antropologi, makhluk-makhluk ghaib tersebut merupakan sebuah kerangka budaya masyarakat yang diwarisi sejak era animisme

Klasifikasi makhluk halus yang dipercayai oleh masyarakat dunia termasuk Nusantara oleh Wayland D. Hand yang dimuatkan dalam buku The Brown Collection of North Carolina Folklore Jilid VI dan VI, antara lain membahagikannya kepada empat elemen.

Elemen-elemen tersebut ialah makhluk halus di persekitaran hidup manusia, makhluk halus di alam gaib dan makhluk halus yang berkaitan dengan penciptaan alam semesta.

Makhluk-makhluk halus dalam kepercayaan masyarakat Melayu secara antropologi telah diterima sebagai sebuah kebudayaan. Namun, persepsi, pemahaman atau konsep sering berbeza.

Ini kerana pemahaman dan konsep tersebut diberi pentafsiran mengikut individu atau kelompok hingga proses ritual untuk berhubung (umumnya pengubatan daripada gangguan mereka) sering berbeza.

Oleh itu, bentuk dan rupa makhluk halus tersebut hanya bersifat pemahaman kerana terlalu kecil jumlah masyarakat yang mempunyai pengalaman bertemu dengan hantu, bunian dan sebagainya.

Terbaru, Ketua Kumpulan PSI (Paranormal Scene Investigation), Syed Abdullah Hussein Alattas (Uncle Seekers) telah menghasilkan buku 99 Jelmaan Makhluk Halus Dengan Antropologi Melayu, satu himpunan tentang makhluk-makhluk ghaib di alam Melayu.

Buku setebal 1,066 muka surat itu yang memaparkan kajian selama empat tahun mengenai dunia paranormal di lingkungan masyarakat Melayu hanya dicetak sebanyak 99 naskhah sahaja.

Setiap naskhah akan dijual dengan harga RM999.99. Dan, ia hanya akan dijual kepada individu yang benar-benar berminat untuk mengenali serta memahami tentang makhluk halus.

Secara keseluruhan, buku tersebut memaparkan ilustrasi mengenai rupa bentuk makhluk halus berdasarkan kepercayaan masyarakat Melayu di samping kajian-kajian ilmiah yang dibuat oleh para pengkaji sebelumnya sejak 1866 lagi.

Satu kajian lengkap yang memuatkan jenis-jenis 99 hantu menurut kepercayaan Melayu seperti hantu raya, toyol, pontianak, hantu kopek dan lain-lain. Selain itu, ia juga memuatkan kepercayaan masyarakat Melayu tentang tanda-tanda kewujudan hantu, cara menghindari dan pendekatan berhubung dengan makhluk halus.

Menariknya, buku itu turut mengupas teknik-teknik rahsia yang digunakan oleh bomoh palsu untuk mengaburi masyarkat (pesakit) terhadap ilmu-ilmunya.

Di samping Jenglot, bigfoot dan fenomena santau, buku itu juga memaparkan barang-barang mistik yang dipercayai sebagai medium pengasih, penggerun, pelaris perniagaan dan ilmu kebal.

Turut dimuatkan ialah pengalaman beberapa pengkaji dari Eropah dan Jepun yang membuat kajian bersama dengan Tim PSI tentang makhluk halus dan paranormal di Malaysia.

Keberadaan buku tersebut cukup menarik untuk dimiliki oleh cendiakawan, pensyarah dan pelajar antropologi dan peminat dunia mistik serta paranormal.

Ini kerana 99 Jelmaan Makhluk Halus Dengan Antropologi Melayu

Kajian tentang budaya melayu berhubung dengan hantu secara ilmiah dan tersusun telah banyak ditulis oleh pengkaji-pengkaji barat. Penulis merupakan orang melayu yang pertama yang membongkar rahsia ini secara ilmiah serta lebih lengkap dan secara langsung menambah koleksi pembendaharaan ilmiah negara secara umum dan masyarakat Melayu secara khusus.

Tulisan 99 Jelmaan Makhluk Halus dengan Antropologi Melayu mengajak pembaca berfikir berkenaan kewujudan makhluk halus. Pemikiran dan persepsi masyarakat berkenaan makhluk halus akan berubah sesudah membaca buku ini yang sarat dengan sejarah, fakta dan penyelidikan saintifik, serta penemuan-penemuan yang belum pernah didedahkan.

Meskipun pemikir Perancis abad ke-16, Voltaire berkata, “Aku mati dengan mencintai Tuhanku, mencintai teman-temanku, tidak membeci musuhku dan membenci thayul”, hingga kini masyarakt dunia (termasuk orang Melayu) tetap tidak mampu terlepas daripada alam ghabib dan tahyul.

Seperti juga pernah disebutkan oleh ahli falsafah British, Francis Bacon (1561-1626) bahawa dalam proses menjauhi kepercayaan terhadap tahyul akan terdapat sebuah lagi tahyul.

Khalayak yang berminat untuk mendapat buku tersebut boleh hubungi Pengurus Tim PSI, Zelmey di talian 019-349 6688/019-368 2323 atau emel zelmey@hotmail.com atau Syed Abdullah sendiri, uncleseekers@gmail.com.

Utusan Malaysia