Translate

Tajaan

Ahad, 2 Februari 2014

Keluar Darah Beku Ketika Buang Air Kecil

SOALAN:
Saya cberusia 29 tahun dan sudah berkahwin selama tujuh tahun tetapi masih belum dikurniakan anak. Masalahnya, kitaran haid saya tidak menentu serta mempunyai masalah kencing manis dan kegatalan pada alat sulit.

Ada kalanya, keluar darah beku bila saya buang air kecil. Adakah ia dianggap darah haid?

Semasa kecil, saya tidak mendapat suntikan mencukupi. Adakah ia punca masalah saya kini? Adakah saya berpeluang untuk hamil?

Mai,
Bandar Baru Ampang, Selangor


JAWAPAN:
Penyakit kencing manis anda perlu diberikan tumpuan terlebih dulu. Lazimnya wanita yang mempunyai kencing manis tidak mempunyai masalah untuk hamil tetapi berisiko untuk mengalami keguguran dan kecacatan janin.

Tidak mustahil jika sebenarnya anda pernah mengalami keguguran awal yang disangka sebagai haid lewat. Berkemungkinan juga anda mempunyai masalah lain yang menyebabkan kesukaran hamil. Ini perlu diperiksa.

Kegatalan alat sulit dan darah selepas membuang air kencing adalah petanda jangkitan faraj serta jangkitan air kencing. Ia bukan saja perlu disahkan melalui ujian mudah secara mengambil sampel lelehan faraj dan air kencing, ia juga perlu dirawat.

Malah, jangkitan berulang adalah satu petanda keadaan kencing manis yang masih belum terkawal sebaiknya.

Anda dinasihatkan berjumpa pakar perubatan endokrinologi untuk menilai status penyakit kencing manis anda. Rawatan perlu diteruskan sama ada dari segi ubat-ubatan atau corak pemakanan.

Pemeriksaan dan ujian awal berkaitan kesuburan juga boleh dilakukan sekarang, seelok-eloknya oleh pakar sakit puan am. Setelah ia terkawal, barulah anda boleh memulakan kehamilan.

Suntikan pelalian yang diberikan sewaktu kecil bertujuan melindungi kita daripada penyakit berjangkit seperti batuk kering (tuberkulosis atau TB) dan seumpamanya.

Sebagai makluman, sebahagian penyakit ini (jika dijangkiti) boleh juga mengganggu sistem peranakan wanita misalnya TB pelvis boleh merosakkan ruang rahim dan pelvis.