Translate

Tajaan

Jumaat, 1 November 2013

Wanita Diabetis Boleh Hamil


SOALAN:
Saya sudah berumah tangga selama tiga tahun dan masih tidak mempunyai anak. Saya begitu tertekan apabila sanak saudara asyik bertanyakan keadaan saya. Saya ingin tahu, jika salah seorang suami atau isteri mempunyai kencing manis, adakah sukar bagi mereka mendapatkan zuriat? Bagaimana pula jika kedua-dua suami dan isteri mengalami kencing manis?

Ada yang memberitahu saya penghidap kencing manis sukar mendapatkan zuriat. Untuk pengetahuan puan, saya baru saja menjalani pembedahan di bahagian rahim kerana haid terhadang.


Junn,
Yuan Ching Road, Singapura

JAWAPAN:
Anda perlu menyatakan usia anda terlebih dulu kerana usia wanita memainkan peranan penting dalam menentukan kesuburan dan kejayaan dalam rawatan kesuburannya. Wanita yang mengalami penyakit kencing manis lazimnya tidak mempunyai masalah untuk hamil namun berisiko untuk mengalami keguguran dan kecacatan janin jika kencing manis itu tidak terkawal.

Namun, penyakit kencing manis mungkin turut dihidapi oleh wanita yang mengalami penyakit yang mengganggu kesuburan seperti sindrom ovari polisistik (PCOS). Lelaki yang berpenyakit kencing manis pula boleh mengalami mati pucuk dan tidak berupaya mencapai ereksi zakar untuk dimasukkan ke dalam faraj. Secara amnya, bilangan sperma dan kualiti asasnya (pergerakan dan bentuk) sama dengan lelaki tanpa kencing manis namun kajian lanjut menunjukkan ada kerosakan DNA (struktur genetik) pada sperma lelaki penghidap kencing manis yang boleh mengurangkan kesuburannya. Perkara ini tidak diuji dalam ujian air mani biasa.

Puan tidak nyatakan jenis penyakit yang puan alami serta jenis pembedahan dijalani. Berkemungkinan puan tidak didatangi haid untuk beberapa bulan dan didapati lapisan haid (endometrium rahim) sudah menebal lalu puan dinasihati menjalani prosedur D&C untuk memeriksa lapisan haid (endometrium dalam rahim) dengan lebih lanjut sama ada berpenyakit ataupun sebaliknya.

Puan dinasihatkan meneruskan rawatan kesuburan. Suami juga dinasihatkan menjalani ujian air mani. Penyakit kencing manis (jika dialami) juga perlu dikawal sebelum memulakan kehamilan. Mulakan pengambilan pil asid folik sebanyak lima miligram setiap malam.