Translate

Tajaan

Isnin, 27 April 2015

Tips Lengkap Untuk Mengembara ke Eropah

POSTED ON 13/10/2014

EiffelTowerv3
Saya kerap menerima email bertanyakan tentang pelbagai perkara berkaitan visa, passport, Jerman, Amsterdam, Eropah, tiket, cuaca, makanan halal, keretapi dan macam-macam lagi. Oleh yang demikian di sini saya cuba menjawab kembali semua persoalan yang pernah diajukan kepada saya berserta tips-tips untuk mengembara di bumi Eropah ini.
AMARAN 1: Artikel ini sangat panjang, jadi sila baca dengan teliti, fahamkan dan sekiranya masih tidak faham atau ada pertanyaan lain barulah menulis atau bertanya di ruangan komen.
Amaran 2: Artikel ini adalah untuk “budget traveller” yakni untuk pengembara bukannya pelancong yang inginkan keselesaan dan kemewahan. Ianya untuk mereka yang mempunyai bajet yang kecil dan teringin untuk berjalan-jalan di bumi Eropah dan sanggup untuk makan roti atau kebab berbanding “full course meal” di hotel atau restoran.
Sebelum itu, biar saya ceritakan serba sedikit tentang Eropah bagi mereka yang masih belum faham atau membezakan antara nama negara, benua nama kesatuan dan sebagainya lagi.
Benua Eropah
Eropah adalah sebuah benua yang terdiri daripada 50 buah negara. Antara negara yang terkenal di benua Eropah ini adalah seperti UK (England, Wales, Scotland, North Ireland), Perancis, Jerman, Belanda, Italy, Switzerland, Sepanyol, Portugal, Poland, Republik Czech, Rusia dan banyak lagi. Kesatuan Eropah atau European Union pula adalah terdiri daripada 28 buah negara di dalam benua Eropah termasuklah United Kingdom tetapi tidak termasuk Iceland, Leichtenstein, Norway dan Switzerland. Selepas itu terdapat 26 negara di dalam kesatuan eropah ini yang membatalkan “border control” yakni tiada pemeriksaan passport atau keperluan visa bagi memasuki kesemua negara tersebut yang dikenali sebagai Schengen Area.
Schengen Area
Rakyat Malaysia dibenarkan masuk ke semua 26 negara di Schengen Area ini tanpa visa dan juga tanpa pemeriksaan passport. Untuk pengetahuan anda yang belum pernah tiba di Eropah, tiada pagar atau pintu gerbang bagi menandakan sempadan kebanyakan negara di Schengen Area. Anda hanya akan nampak papan tanda kecil di bahu jalan seperti papantanda sempadan Selangor dan Perak yang menandakan anda sudah masuk ke negara lain.
Jadi maklumat penting yang cuba saya nyatakan di atas adalah – TIADA KEPERLUAN VISA untuk kita rakyat Malaysia masuk ke 26 negara Schengen Area seperti Jerman, Perancis, Netherland, Sepanyol, Italy dan banyak lagi. (Sila rujuk di sini untuk nama setiap negara). Namun, untuk masuk ke UK melalui udara, jalan laut atau darat akan terdapat border control iaitu pemeriksaan passport. Bagi kita rakyat Malaysia, passport anda akan dicop namun tiada visa diperlukan. Namun begitu, anda kadangkala akan diminta(ada orang tidak diminta langsung-ikut nasib) mengemukakan tiket balik, alamat hotel atau penginapan dan travel insurance anda sebagai bukti yang anda adalah seorang pelancong ketika masuk di salah satu negara Schengen ini.
PROSES 1: MEMASANG ANGAN-ANGAN
Perancangan yang paling utama adalah memasang angan-angan terlebih dahulu dan lontarkan idea untuk mengembara bersama keluarga atau rakan-rakan ataupun seorang diri.
Berikutnya, saya akan tunjukkan bagaimana saya merancang kembara saya di bumi eropah ini ataupun di benua lain beserta tips-tips. Cara saya berserta tips ini adalah bagi mereka yang ingin mengembara sendiri bersama keluarga atau kawan ataupun seorang diri. Bagi mereka yang tidak mahu bersusah payah, hubungilah ejen pelancongan yang terdekat dan mintalah khidmat mereka bagi menguruskan percutian anda.
Antara perkara penting yang perlu anda tetapkan atau putuskan ketika merancang kembara anda adalah seperti berikut:
1. Negara atau bandar mana yang ingin dilawati?
2. Nak pergi dengan siapa?
3. Apakah pengangkutan yang anda ingin gunakan ketika bergerak dari satu bandar ke bandar yang lain samada kapalterbang, keretapi, bas ataupun memandu sendiri?
4. Tarikh kembara? Bulan berapa anda ingin pergi dan ketika itu musim apa di Eropah? Perlu pastikan kerana setiap musim samada panas, luruh, sejuk ataupun bunga memainkan peranan penting di dalam menentukan faktor kos dan juga effisien kembara anda nanti.
Empat (4) perkara di atas perlulah ditetapkan terlebih dahulu sebelum anda membuat perancangan seterusnya untuk mencari tiket kapalterbang yang murah, penginapan, persediaan pakaian, makanan dan bermacam-macam lagi.
Saya akan perincikan satu persatu setiap perkara di atas berserta tips-tips yang dapat saya kongsikan melalui pengalaman kembara saya di bumi eropah ini serta negara-negara lain.
1. Nak melawat ke negara mana?
Langkah yang paling penting adalah kenalpasti negara mana yang ingin anda lawati dan tujuan apa anda nak ke sana. Contohnya nak gi shopping di Paris, nak tengok tulips dan kincir angin di Amsterdam, atau nak main ski atau merasa salji di pergunungan Alps dan sebagainya lagi.  Buka Google atau Google Map dan tandakan serta buatlah senarai tersebut. Jangan takut untuk bercita-cita tinggi, senaraikan saja apa-apa saja bandar yang menjadi idaman anda. Saya pasti, bagi mereka yang belum pernah datang ke Eropah ini pasti teringin untuk menjejakkan kaki ke Paris, London dan Amsterdam. Ini adalah 3 contoh bandar yang paling digemari oleh pelancong dari seluruh dunia. Jadi saya bagi contoh yang saya ingin ke bandar-bandar di negara-negara berikut iaitu :-
  • Paris, FRANCE
  • London, ENGLAND
  • Brussel, BELGIUM
  • Amsterdam, HOLLAND
  • Frankfurt, GERMANY
Maka saya senaraikan bandar-bandar tersebut dan buat “research” tentang apa yang menarik disitu dan apa yang anda ingin buat. Macamana nak buat research? Gunalah khidmat google atau buku-buku yang banyak dijual dipasaran. Selesai “research” maka saya akan senaraikan lagi seperti berikut:-
  • Paris, FRANCE – Eiffel Tower,Champs-Élysées, The Louvre, Arc de Triomphe, Notre Dame,…etc
  • London, ENGLAND – London Bridge, Big Ben, London Eye, Buckhingham Palace, Notting Hill, Oxford Road, Bicester Village..etc
  • Brussel, BELGIUM – Grote Markt/Grand Palace, Manekin Piss, Antomium, Mini Europe..etc
  • Amsterdam, HOLLAND – Tulips in Keukenhoff, Windmill at Sansee Schan, Vollandam, Amsterdam Canal Ring, I Amsterdam, etc
  • Frankfurt, GERMANY – Dom Römer, Eisener Steg, Flohmarkt, Zeil, etc
Jadi apabila sudah disenaraikan semua bandar berserta tempat yang ingin dilawati berserta aktiviti yang anda ingin lakukan maka kita akan dapat buat itinerari dengan lebih lengkap dan tepat.
TIPS MEMILIH TEMPAT
  • Gunakan Google Map untuk melihat setiap negara yang ingin dilawati dan catat jarak perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain.
  • Gunakan google dan buat carian dengan keyword berikut “10 things to do/visit in…Paris” atau London atau Prague dan sebagainya dan kemudian catatkan nama tempat-tempat menarik di bandar tersebut.
  • Kalau hendak merasa bermain salji atau ski diluar musim sejuk anda harus memasukkan Switzerland ke dalam senarai anda.
  • Dapatkan alamat semua tempat yang telah dikenalpasti dan catatkan.
  • Cetak (print) peta bandar tersebut dan tandakan tempat-tempat menarik yang telah dikenalpasti tadi untuk rujukan.
Harus diingat senarai tersebut akan mempengaruhi tarikh kembara anda. Contohnya sekiranya anda ingin melihat bunga Tulips di Keukenhof maka anda hanya boleh datang pada 2 minggu terakhir bulan April setiap tahun kerana pada masa itulah bunga tulips berkembang di Keukenhof, Amsterdam. Kalau nak merasa salji boleh datang seawal bulan Oktober atau paling lewat sekitar akhir Disember sehingga pertengahan Januari. Kalau nak merasa salji sepanjang tahun maka hendaklah ke Ski Resort Mount Titlis di Switzerland.
Hampir seluruh Eropah ini boleh dijelajahi melalui jalan darat dan udara dan jarak diantara satu bandar ke satu bandar dan satu negara ke satu negara yang lain adalah sekitar 4-5 jam pemanduan atau menaiki keretapi dan sekitar 45 minit sehingga 1 jam setengah dengan penerbangan. Jadi pilih sahaja negara mana yang anda ingin pergi.
2. Nak pergi dengan siapa?
Mengembara bukanlah untuk semua orang. Ada yang suka melancong yakni semuanya diuruskan dan tinggal di hotel, pergi shopping dan sebagainya. Ada yang betul-betul suka mengembara, masuk ke segenap ceruk kampung, melawat tempat-tempat bersejarah, tidak mahu membeli belah, sanggup tinggal di hostel atau homestay sahaja dan sanggup bangun awal pagi dan balik lewat malam dan sebagainya.
Sepanjang pengalaman saya, kawan atau rakan kembara adalah sangat penting yang “sekepala” kerana jika tidak kembara anda akan menjadi “spoil” disebabkan seorang atau dua yang tidak sekepala dan selalu akan melewatkan atau menggagalkan rancangan perjalanan anda. Kalau mengembara bersama keluarga maka akan jadi lebih mudah sebab ada “big boss” iaitu ayah yang akan memberikan arahan. Kalau bersama rakan ni nak bagi arahan pun serba salah pulak.
TIPS MEMILIH RAKAN KEMBARA
  • Bagi yang hendak pergi dengan keluarga – seeloknya jangan melebihi 7 orang sekiranya merancang untuk memandu. Tiket kapalterbang dan keretapi adalah percuma bagi bayi berusia kurang 2 tahun dan tambang diskaun sehingga 50% untuk kanak-kanak sehingga umur 12 tahun.
  • Bagi yang hendak mengembara bersama rakan, pilihlah rakan kembara dengan hati-hati kerana ia menentukan kejayaan atau kepuasan dan keseronokan kembara anda.
  • Jangan kembara dengan rakan yang suka bangun lambat atau rakan yang tidak pernah tepati masa. Nanti akan adan yang bergaduh dan bermasam muka dan sebagainya.
  • Seeloknya 2 atau 4 orang sahaja  iaitu anda berdua atau berempat kerana lebih mudah sekiranya nak sewa bilik hotel, apartment, hostel ataupun homestay. Jangan sampai 5 kerana susah nak uruskan penginapan.
  • Sekiranya berdua atau berempat, kalau nak naik teksi boleh satu kereta sahaja tetapi kalau berlima maka ada yang akan kena tinggal atau naik teksi lain.
  • Namun sekiranya anda sekumpulan merancang untuk memandu dan sanggup tinggal di hostel atau homestay maka 5 orang pasti menjimatkan kos anda.
Jadi fikir dengan masak-masak siapa rakan kembara anda dan pilihlah mereka yang betul-betul “ngam” dengan anda.
3. Tetapkan jenis pengangkutan
Adakah anda ingin terbang dari satu bandar ke bandar yang lain? Tidakkah anda teringin mengikut jalan darat bagi menikmati pemandangan yang lebih cantik di sepanjang perjalanan?
# Bas
Bas merupakan pengangkutan yang paling murah. Bagi “backpackers” ini adalah mod pengangkutan yang paling sesuai buat anda. Setiap lapangan terbang mempunyai stesen bas dan tiket boleh dibeli di kaunter. Namun sekiranya ingin dapatkan harga yang jauh lebih murah, ando boleh membeli secara online. Sila google.
Eurolines 454CXF Victoria 231206 Derek Dawson
Bagi mereka yang mempunyai cuti yang panjang sekitar 2 minggu dan ingin mengembara ke seluruh eropah secara backpack, saya sarankan anda untuk membeli Eurolines Pass – iaitu tiket bas bermusim yang membenarkan anda menjelajah ke lebih 40 bandar utama seluruh eropah ini selama 15 hari dengan harga cuma €185 (RM765). Untuk maklumat lanjut sila layari http://eurolines.com
TIPS MENAIKI BAS
  • Paling penting adalah untuk mengatur atau membuat itinerari secara terperinci kerana anda perlu tempah tempat duduk untuk setiap perjalanan anda. Sila semak jadual perjalanan di website tersebut dan rancanglah perjalanan anda secara terperinci.
  • Sentiasa ambil bas paling lewat atau bas malam kerana ia akan menjimatkan kos menyewa hotel atau hostel.
  • Sentiasa menepati waktu kerana jika terlambat anda akan ditinggalkan.
Bas memerlukan masa yang panjang untuk sampai ke satu-satu destinasi, jadi sekiranya anda betul-betul mempunyai masa yang banyak dengan cuti yang panjang dan sanggup duduk di atas bas selama 8-16 jam maka pilihlah bas sebagai mod pengangkutan utama anda.
# Keretapi
Pengangkutan utama di eropah ini adalah keretapi. Anda boleh menaiki keretapi ke semua bandar dan negara tersebut dengan pantas menggunakan keretapi laju. Namun tiket keretapi agak mahal di sini di mana sebagai contoh untuk anda bergerak dari Paris ke London meniki keretapi, tiket untuk seorang dewasa sehala adalah berharga serendah €95.00 (RM395) kalau tempah awal melalui internet dan berharga sekitar €300 (RM1,245) sekiranya di beli di kaunter. Sila semak harga dan buat tempahan di laman web berikut:-
640px-Tgv_ice
Keretapi ICE (Germany) di sebelah kiri dan TGV (France) di sebelah kanan yang mana kedua-duanya berkelajuan melebihi 300km sejam.
Ketiga-tiga keretapi utama ini iaitu TGV, ICE dan Eurostar boleh membawa anda ke semua negara yang disenaraikan di atas tadi. Setiap website juga turut menawarkan pakej-pakej khas dengan harga yang lebih murah untuk individu ataupun keluarga.
Selain itu antara pakej tiket keretapi yang popular adalah dengan membeli Eurail Pass. Dengan satu pass anda boleh menaiki keretapi ke mana-mana destinasi di Eropah yang telah dipilih oleh anda. Sila layari http://eurail.com
Bagi keretapi “short distance” contohnya antara bandar kecil yang jaraknya sekitar 45minit perjalanan eloklah tiket di beli di kaunter atau mesin tiket sahaja. Tidak perlu beli pass atau pakej dan sebagainya.
Bagi keretapi atau tram dalam bandar beli tiket berkumpulan walaupun anda 2 orang sahaja kerana ia adalah lebih menguntungkan.
Kepada yang belum biasa menaiki keretapi dalam bandar, sila ke Kuala Lumpur dan cubalah menaiki LRT, Monorel dan juga komuter dan tukarlah dari stesen ke stesen kerana ia akan membiasakan anda dengan sistem perjalanan, masa, papan tanda, peta keretapi dan sebagainya kerana sistem-sistem tersebut adalah sama sahaja di seluruh dunia. Jika anda sudah faham dan mahir cara menaiki ketiga-tiga pengangkutan tersebut maka mudahlah bagi anda untuk menaiki keretapi di mana-mana sahaja.
TIPS MENAIKI KERETAPI
  • Sila cari dan tempah tiket lebih awal kerana harganya lebih murah. Contohnya tiket keretapi dari Frankfurt ke Amsterdam biasanya berharga €120 sehala namun jika dibeli awal harganya cuma €69.
  • Sila tepati masa! Jika anda terlewat 10 saat pun anda tidak dibenarkan menaiki keretapi apabila pintu sudah ditutup. Sila bersedia sekurang-kurangnya 15 minit awal di platform yang ditetapkan kerana kebiasaannya keretapi berhenti cuma  diantara 1 minit hingga 10 minit sahaja. Sekiranya anda membeli tiket murah maka akan hanguslah tiket tadi. Sekiranya anda beli tiket fleksibel maka anda boleh menaiki keretapi berikutnya dengan tiket yang sama.
  • Bagi keretapi antara bandar yang dekat, sila beli tiket di kaunter atau mesin tiket sahaja. Tidak perlu beli pass atau pakej.
  • Bagi keretapi atau tram atau bas dalam bandar pula sila beli tiket berkumpulan (group ticket) kerana ianya lebih menjimatkan.
  • Tiket keretapi dalam bandar biasanya dijual di mesin dan ianya mengikut zon-zon tertentu dan samada untuk sekali perjalanan atau untuk 1 hari.
  • Sila google peta keretapi setiap bandar yang anda ingin pergi, cetak dan kemudian tandakan lokasi yang anda ingin pergi dan pastikan ia terletak di dalam zon mana.
  • Kalau masih tidak faham, jangan malu-malu untuk bertanya kerana malu bertanya sesat jalan.
Keretapi adalah mod pengangkutan yang paling meluas di seluruh Eropah ini. Anda boleh ke mana-mana sahaja hanya dengan menaiki keretapi. Tahukah anda yang anda boleh menaiki keretapi sambung-sambung dari Jerman ke Kuala Lumpur?
# Kapalterbang
Kadangkala tiket kapalterbang adalah jauh lebih murah berbanding dengan tiket keretapi sekiranya anda menggunakan perkhidmatan syarikat tambang murah seperti Ryan Air dan EasyJet.
ryanair_2261642b
Saya kurang berminat menggunakan kapalterbang kerana tidak dapat menikmati keindahan sepanjang perjalanan ke sesuatu destinasi. Namun bagi sesiapa yang lebih gemar terbang, terdapat puluhan syarikat penerbangan yang boleh membawa anda ke seluruh pelusuk eropah ini.
TIPS MENAIKI KAPALTERBANG
  • Cari atau search atau google tiket kapalterbang pada hari Rabu atau Khamis ketika orang lain sedang tidur (lewat malam atau awal pagi) bagi mendapatkan harga yang jauh lebih murah. Selepas membuat carian, sila kosongkan “cache” dan “cookies” komputer anda sekiranya ingin membuat carian di hari yang lain pula. (Sila google “how to clear up computer cache”) Ini adalah bagi memastikan laman-laman web tersebut tidak mengingati carian anda.
  • Jangan terkejut sekiranya tiket kapal terbang adalah lebih murah dari tiket keretapi. Namun anda perlu pergi ke lapangan terbang yang lebih jauh.
  • Syarikat penerbangan tambang murah biasanya menggunakan lapangan terbang yang lebih kecil dan lebih jauh dari pusat bandar atau lapangan terbang utama. Jadi sebelum membuat tempahan, sila pastikan kedudukan lapangan terbang tersebut samada jauh atau dekat. Sekiranya jauh maka kos anda akan bertambah untuk ke pusat bandar atau hotel penginapan anda.
  • Sentiasa datang lebih awal ke lapangan terbang.
  • Elakkan menggunakan teksi kerana mahal dan gunalah keretapi atau bas untuk ke lapangan terbang
Terbang terus ke destinasi yang diinginkan adalah pilihan terbaik unuk mereka yang ingin sampai cepat ke sesuatu destinasi pilihan. Bagi pengembara pula, destinasi tidak penting tetapi perjalanan menuju ke destinasi itu merupakan pengalaman yang dicari.
# Memandu Sendiri (PILIHAN SAYA – HIGHLY RECOMMENDED!)
Memandu di Eropah adalah menyeronokkan. Anda akan menikmati pemandangan yang cantik sepanjang jalan dan boleh berhenti mengambil gambar dan sebagainya. Untuk memandu di sini anda hanya perlukan lesen memandu Malaysia yang sah, berumur lebih 19 tahun dan juga mempunyai kredit kad.
Roadtrip-Europe
Ramai yang takut sebenarnya untuk memandu di sini kerana jalannya yang terbalik (memandu di sebelah kanan) dan stereng kereta di sebelah kiri, gear sebelah kanan, signal sebelah kiri, wiper sebelah kanan yang mana semuanya terbalik. Tetapi, sepanjang pengalaman saya yang telah memaksa ramai rakan-rakan saya yang datang bercuti untuk memandu sendiri di sini, semuanya sukses. Anda akan panik, risau, gelisah atau orang putih panggil “overwhelming” pada 30 minit yang pertama sahaja dan selepas itu semua perasaan tadi akan hilang.
Jadi saya memang sarankan kepada semua pengembara untuk memandu sendiri di Eropah ini. Tidakkah anda ingin merasa pengalaman memandu kereta di lebuhraya tanpa hadlaju di Jerman ini yang dipanggil Autobahn yang sangat terkenal di seluruh dunia? Tidakkah anda ingin menikmati pemandangan indah Banjaran Alps di Switzerland?
switzerland
Ada yang pernah bertanya saya, selamatkah memandu di sini? Tak takutkah kalau kereta sewa rosak? dan macam-macam lagi. Untuk pengetahuan anda, syarikat kereta sewa di sini bukanlah syarikat “kampung” yang mana kereta buruk dah berusia 10 tahun dibuat sewa. Semua kereta yang disewakan berusia sekitar 1 minggu sehinggalah 2 tahun sahaja dimana selepas 2 tahun kereta tersebut akan dijual. Kereta sentiasa dijaga rapi jadi kebarangkalian untuk rosak (breakdown) adalah sangat rendah. Sepanjang pengalaman saya dan rakan-rakan yang sudah bertahun menyewa kereta di sini belum lagi ada kes breakdown ini dan adalah sangat selamat.
Selain itu tiada kes jenayah yang berlaku seperti rompakan, kecurian, kehilangan kereta dan sebagainya. Namun sekiranya anda memandu ke negara Eropah timur anda harus lebih berhati-hati apabila meletak kenderaan anda kerana risiko kecurian. Oleh sebab itu anda harus declare kepada syarikat sewa kereta yang anda akan memandu ke Eropah Timur dan anda akan dikenakan insurans tambahan.
Kalau boleh elakkan memandu atau menyewa kereta ketika bercuti pada musim sejuk bagi mereka yang takut atau was-was kerana sangat merbahaya memandu ketika cuaca buruk di musim sejuk.
Sewa kereta adalah sangat mudah dan sangat menjimatkan sekiranya anda mengembara sekeluarga atau berkumpulan kecil diantara 4-5 orang. Saya bagi contoh – untuk anda bergerak dari Frankfurt ke Amsterdam, harga tiket kapal terbang adalah sekitar €230 seorang pergi balik. Tiket keretapi pula adalah €198 seorang pergi balik. Bagi kereta pula anda boleh sewa kereta untuk ke Amsterdam pergi balik selama 3 hari hanya €80 dan kos minyak pula sekitar €70 dan keseluruhan menjadi €150 sahaja. Sekiranya dibahagikan kepada 4 orang maka seorang baru berjumlah €37.50. Tiada tol yang harus dibayar di antara Jerman, Brussel dan juga Holland. Lebih untung bukan?
Namun sila pastikan yang kereta tersebut diberikan “Unlimited Mileage” maknanya anda boleh memandu sejauh yang mungkin. Bagi kenderaan yang diberikan “limited mileage” maka agak susah kerana telah ditetapkan had kilometernya dan sekiranya anda memandu lebih dari had maka akan dicaj bagi setiap kilometer yanglebih tadi sekitar 15 sen per kilometer.
Europcar copySixt copy
Bagi yang berminat untuk menyewa kereta, anda boleh buat tempahan di laman web berikut:-
Atau google sahaja dengan kata carian “cheap car rental in europe”. Sila bandingkan semua website yang ada bagi mendapatkan harga yang murah.
TIPS MEMANDU SENDIRI

  • Tidak perlu “International Driving Permit” atau lesen antarabangsa atau permit memandu antarabangsa untuk memandu di sini. Kalau ada lebih bagus kalau tiada pun tidak mengapa. Lesen Memandu Malaysia di terima pakai di sini.
  • Hanya kredit kad diterima, debit kad tidak. Kalau tiada maka kena gunakan kad kredit ahli rombongan yang ada.
  • Tempah awal untuk mendapatkan harga yang paling murah. Sentiasa buat perbandingan di antara setiap laman web tersebut.
  • Sila pastikan kereta yang disewa diberikan “Unlimited Mileage” maknanya anda boleh memandu sejauh mungkin tanpa dikira kilometernya. Ada sesetengah syarikat dan sesetengah kereta diberikan “limited mileage” atau had seperti 900km sahaja atau 1200km ataupun 2400km sahaja dan setiap lebihan km anda perlu membayar sekitar 15 sen per kilometer.
  • Anda boleh mengambil dan menghantar kereta di lain stesen contohnya ambil kereta di Paris dan pulangkan di Amsterdam. Sila pilih stesen mana hendak diambil dan stesen mana hendak dikembalikan. Akan ada caj tambahan disitu.
  • Pastikan kereta yang disewa mempunyai sistem pandu arah yang dipanggil “Navi” di sini iaitu singkatan “Navigator” di mana di Malaysia kita panggil GPS.
  • Langkah pertama untuk menggunakan GPS adalah dengan menukar bahasa kepada English terlebih dahulu. Sila pergi ke setting dan tukar bahasa. Kalau tidak GPS anda akan bercakap dan memberi arahan di dalam bahasa jerman atau perancis atau dutch dan sebagainya. Kemudian masukkan semua alamat yang telah dicatat di dalam Navi atau Gps tadi.
  • Satu tempat duduk kereta adalah untuk satu orang sahaja. Maknanya kereta yang ada 5 tempat duduk hanyalah untuk 5 orang termasuk kanak-kanak dan juga bayi. Jangan lebih muatan. Jangan ada anak yang duduk atas riba pulak. Kalau ada 2 dewasa, 3 kanak-kanak dan 1 bayi maka perlu ambil kereta yang mempunyai 7 tempat duduk.
  • Kanak-kanak dan bayi berusia bawah 12 tahun perlu duduk di belakang di atas child seat masing-masing dan dipasang talipinggang keselamatan. Child seat boleh disewa ketika membuat tempahan. Adalah menjadi kesalahan yang akan disaman sekiranya pemandu dan penumpang tidak memakai talipinggang keselamatan. Jangan sesekali mengangkat atau mendukung atau meriba bayi di dalam kereta.
  • Kereta yang diberikan kepada anda adalah dengan minyak yang penuh atau “full tank”. Jadi sila isi penuh kembali apabila memulangkannya. Sekiranya gagal maka kad kredit anda akan dicaj.
  • Sentiasa isi minyak di kawasan bandar berbanding di lebuhraya kerana harganya lebih murah. Harga minyak di Eropah ini berubah setiap hari.
  • Hadlaju lebuhraya di semua negara di Eropah ialah 130kmj kecuali di Germany yang mana kebanyakan segmen lebuhraya adlah tanpa hadlaju. Anda boleh memandu selaju yang mungkin, namun sekiranya terpandang pertukaran hadlaju atau papantanda menujukkan hadlaju maku haruslah ikut arahan tersebut. Sekiranya tiada papantanda menunjukkan hadlaju maka anda boleh memandu selaju mungkin.
  • Kebanyakan lebuhraya di negara lain selain Germany mengenakan tol. 
  • Pulangkan kereta di dalam waktu yang ditetapkan dan di dalam keadaan yang baik. Kalau dalam kontrak dinyatakan perlu hantar sebelum jam 10 malam sila hantar sebelum waktu tersebut. Sekiranya terlebih maka anda akan caj satu hari lagi.
Bagi yang merasakan “the journey worth more than the destination” memandu adalah pilahan yang terbaik untuk anda. Saya jamin 100% yang anda tidak akan menyesal memandu di Eropah ini. Ia merupakan pengalaman yang sukar anda lupakan. Saya pernah menulis tentang roadtrip saya selama 5 hari ke 12 buah bandar di sini.
4. TARIKH PERJALANAN
Adalah penting untuk memilih tarikh yang betul untuk mengembara di negara 4 musim ini. Antara bulan yang paling baik adalah diantara bulan April sehinggalah bulan September. Ini kerana diantara Oktober dan Mac musim sejuk sudah bermula. Diantara bulan Oktober dan pertengahan November masih tidak terlalu sejuk tetapi masuk sahaja bulan Disember sehingga Februari cuaca di Eropah adalah sangat sejuk kadang-kala sehingga negatif 20darjah celcius.
Sila baca tulisan saya mengenai perubahan musim dan cuaca di sini
Namun sekiranya anda tidak kisah dengan cuaca maka datanglah pada bila-bila masa yang anda suka. Sila rujuk artikel saya sebelum ini tentang bercuti pada musim sejuk disini.
TIPS MEMILIH TARIKH PERJALANAN
  • Sila semak aktiviti yang ingin anda lakukan contohnya nak melihat bunga tulip – maka kena datang hanya pada penghujung April. Kalau nak main ski atau merasa salji kena datang paling awal bulan Oktober atau paling lambat bulan Mei.
  • Musim panas diantara April sehingga Ogos, waktu siang hari adalah panjang – jadi anda boleh berjalan-jalan sehingga jam 9 malam dan masih cerah lagi. Jadi sangat untung.
  • Musim sejuk siangnya adalah pendek. Pukul 4.15 petang sudah gelap, jadi tak ada apa yang boleh dilihat ketika gelap – agak rugi.
  • Datang ketika musim panas tak perlu berbelanja lebih untuk membeli jaket, boot, snow cap, long john dan sebagainya lagi namum kalau datang ketika musim sejuk maka kos anda akan meningkat.
  • Namun, ketika musim panas, harga tiket, hotel dan sebagainya agak lebih mahal sebab dikira sebagai “peak season” sebaliknya pada musim sejuk harga tiket dan juga hotel adalah lebih murah sebab “off season”.
  • “Off Season” di Eropah biasanya adalah pada Oktober sehingga April.
PROSES 2: PERANCANGAN AWAL
Setelah mendapat jawapan kepada 3 persoalan di atas maka bolehlah kita membuat perancangan awal. Sebagai contoh saya telah membuat keputusan untuk pergi ke 5 negara terbabit iaitu Germany-France-Brussel-Holland-England. Saya juga membuta keputusan untuk memandu sendiri ke semua negara tersebut pada musim luruh nanti iaitu pada awal November.
Jadi langkah berikutnya saya akan :-
1. Kenalpasti laluan yang akan digunakan untuk memandu.
Gunakan google map untuk plot laluan anda. Negara manakah yang harus dituju terlebih dahulu dan seterusnya. Dengan ini kita dapat elakkan dari melalui jalan yang sama atau bandar yang sama berulang kali. Sila lihat contoh google map di bawah ini di mana sekiranya saya mulakan perjalanan dari Paris – London – Brussel – Amsterdam – Frankfurt maka saya akan gunakan laluan yang sama untuk pergi dan balik dari London.
Googlemaps
Map di bawah ini pula menunjukkan laluan yang lebih effisien iaitu bermula dari Amsterdam – Brussels – Frankfurt- Paris – London di mana anda terbang dari KL ke Amsterdam dan balik melalui London.
gmaps
Setelah laluan dikenalpasti maka saya dapati ada beberapa bandar yang boleh saya singgah di sepanjang perjalanan tersebut. Sekiranya naik keretapi atau kapalterbang maka saya tidak akan dapat peluang ini. Jadi, bandar-bandar yang akan saya lawati atau singgah sekejap sepanjang perjalanan ini adalah:-
  1. Amsterdam (Netherlands)
  2. The Hague (Netherlands)
  3. Rotterdam (Netherlands)
  4. Antwerp (Belgium)
  5. Ghent (Belgium)
  6. Brussels (Belgium)
  7. Cologne (Germany)
  8. Koblenz (Germany)
  9. Frankfurt (Germany)
  10. Luxembourg (Luxembourg)
  11. Reims (France)
  12. Paris (France)
  13. Calais (France)
  14. Dover (England)
  15. London (England)
Jadi, angan-angan saya hanyalah untuk pergi ke 5 negara dan 5 bandar, namun selepas membuat keputusan untuk memandu, saya dapat pergi ke 6 buah negara termasuk Luxembourg yang tidak ada pada perancangan awal dan 15 buah bandar yang sebelum ini hanyalah 5 sahaja.
TIPS MENGENALPASTI LALUAN
  • Gunakan google maps dan pilih “Directions” kemudian masukkan nama bandar A ke bandar B untuk mengetahui jarak dan masa perjalanan.
  • Lihat dengan teliti laluan yang diberikan oleh google dan lihat adakah bandar-bandar lain yang bakal ditempuhi. Sekiranya ada, google nama bandar tersebut dan tengoklah apa yang ada – perlukah untuk singgah atau tidak. Sekiranya perlu singgah maka;
  • Google setiap bandar dan tengok apakah tempat tarikan pelancong yang harus dilawati. Catat alamat lengkap untuk dimasukkan ke dalam sistem gps. Pastikan anda mencatat poskod yang betul kerana poskod adalah sangat penting di eropah ini.
  • Apabila terdapat banyak tarikan di sesebuah bandar maka anda perlu masa yang lebih di situ dan eloklah anda bermalam. Sekiranya bandar tersebut terdapat hanya 1-2 tarikan sahaja, anda cuma perlu singgah bergambar, beli cenderahati dan terus memandu ke destinasi berikutnya.
  • Sila google gambar-gambar di setiap tempat tarikan tersebut dan tengoklah gambar mana yang cantik dan dari sudut mana gambar tersebut diambil. Jadinya nanti anda boleh tiru komposisi gambar tersebut supaya ia turut cantik. Oleh itu anda tidak menyesal apabila pulang nanti kerana gambar yang diambil tidak cantik dan komposisi tidak betul.
2. Berapa hari diperlukan?
Berapa harikah cuti yang anda perlukan atau baki cuti yang ada atau telah anda simpan untuk percutian ini? Katakanlah 10 hari. Jadi saya akan cuba “squeeze” itinerari saya supaya dalam masa 10 hari tadi saya akan dapat pergi ke semua tempat yang telah saya senaraikan. Berdasarkan Google Map saya dapat tengok dan tahu jarak dari satu tempat ke tempat yang lain di dalam sesebuah bandar maka saya boleh bajet berapa lama untuk saya berada di sesuatu tempat sebelum saya perlu bergerak ke tempat yang lain samada berjalan kaki ataupun menggunakan keretapi ataupun kereta. Sebagai contoh:-
  • Paris, FRANCE – Eiffel Tower,Champs-Élysées, The Louvre, Arc de Triomphe, Notre Dame,…etc
  • London, ENGLAND – London Bridge, Big Ben, London Eye, Buckhingham Palace, Notting Hill, Oxford Road, Bicester Village..etc
  • Brussel, BELGIUM – Grote Markt/Grand Palace, Manekin Piss, Antomium, Mini Europe..etc
  • Amsterdam, HOLLAND – Tulips in Keukenhoff, Windmill at Sansee Schan, Vollandam, Amsterdam Canal Ring, I Amsterdam, etc
  • Frankfurt, GERMANY – Dom Römer, Eisener Steg, Flohmarkt, Zeil, etc
  • Dan bandar-bandar lain
Selepas itu berdasarkan apa yang boleh dilawati di bandar tersebut saya akan tahu berapa lamakah masa yang saya perlukan. Jadi di dalam contoh ini saya akan bermalam dibandar seperti berikut:
  1. Amsterdam (2 malam)
  2. The Hague (singgah sebentar)
  3. Rotterdam (singgah sebentar)
  4. Antwerp (Singgah sebentar)
  5. Ghent (singgah makan dan bersiar-siar)
  6. Brussels (1 malam)
  7. Cologne (Singgah sebentar)
  8. Koblenz (Singgah dan bersiar-siar)
  9. Frankfurt (Singgah dan bersiar-siar)
  10. Luxembourg (1 malam)
  11. Reims (Singgah sebentar)
  12. Paris (2 malam)
  13. Calais (singgah sebentar)
  14. Dover (singgah sebentar)
  15. London (2 malam)
Jumlah = 8 malam dicampur dengan masa penerbangan pergi dan balik maka jadilah 10 hari 8 malam. Jadi cukuplah cuti saya yang ada 10 hari itu untuk saya mengembara ke 15 bandar di 6 negara di Eropah ini. Namun perancangan awal saya ini belum tentu sempat atau dapat dilakukan kerana belum lagi dikira kos. Namun kalau tidak sempat atau kos tidak mencukupi maka saya akan buang satu atau dua bandar tersebut dari senarai saya.
TIPS MENYUSUN JUMLAH HARI
  • Sila buat kajian atau “research” dan study betul-betul tempat tarikan utama setiap bandar yang ingin disinggahi atau dilawati.
  • Hanya di bandar yang ada lokasi yang sangat cantik atau terkenal atau “worth” untuk singgah maka anda perlu singgah, kalau tidak sila abaikan.
  • Buat catatan dan tandakan lokasi di atas peta.
  • Berdasarkan hasil kajian anda, ada bandar yang anda tidak perlu singgah, cuma “drive-thru” sahaja, bagi menjimatkan masa.
  • Seeloknya jangan memandu secara terus melebihi 6 jam. Buat carian laluan di google map dan tengok berapa masa pemanduan yang ditunjukkan. Sekiranya melebihi tempoh 6 jam, sila cari banda yang berdekatan dan rancanglah untuk bermalam di situ.
3. Berapa bajet maksimum?
Sesetengah orang bajet ada sekitar 10 ribu hingga 15 ribu (RM) seorang dan ada pula yang bajetnya cuma (RM) 6 ribu tetapi angan-angannya nak melawat sehingga 15 bandar terkenal di Eropah ini. Hakikatnya dengan RM6 ribu anda boleh melawat hampir 12 bandar besar di Eropah ini seperti Paris, Berlin, Prague, Geneva, Barcelona, Madrid, Rome, Milan, Venice dan banyak lagi, tetapi dengan syarat – anda mesti menjadi seorang backpackers dan mestilah tahan lasak, atau anda datang secara berkumpulan seramai 4-5 orang dan sewa kereta memandu sendiri ke semua bandar-bandar tersebut.
Saya sekeluarga (4 orang dewasa) pernah mengembara selama 5 hari ke 12 bandar di 4 negara iaitu Jerman, Austria, Italy dan Switzerland (baca di sini) dengan kos hanya RM1k (seribu) seorang lengkap tidak termasuk tiket flight dari KL ke Frankfurt. Sekiranya dicampur dengan tiket flight maka kos keseluruhan seorang bagi perjalanan lengkap pergi balik dari Malaysia termasuk hotel dan makan minum bagi seorang ke 12 bandar tersebut adalah RM4,200 sahaja.
TIPS MENGENALPASTI BAJET
  • Anda boleh berangan dan buat itinerari dahulu walaupun anda belum ada duit kerana setelah anda tahu kos sebenar maka anda bolehlah mula menabung. Selama ini anda beranggapan bahawa anda memerlukan sekurang9kurangnya RM8,000 untuk datang ke Eropah ini – namun setelah membaca artikel ini dan membuat perkiraan rupanya dengan hanya RM4,500 anda sudah boleh datang iaitu hampir separuh dari kos asal.
  • Untuk lebih effisien di dalam penjimatan kos- eloklah datang di dalam satu kumpulan kecil samada berempat atau berlima (4-5 orang). Satu keluarga dengan 2-3 orang anak adalah terbaik. Anda akan tahu apabila selesai membaca artikel ini
  • Datang seorang diri adalah yang paling jimat – anda akan tahu apabila selesai membaca artikel ini
4. Passport & Visa serta Dokumen  Diperlukan Ke Eropah
Bagi yang belum mempunyai passport, sila pohon passport anda di cawangan pejabat imigresen berhampiran anda. Setiap warganegara Malaysia layak memohon dokumen perjalanan antarabangsa ini. Hanya beberapa dokumen ringkas diperlukan seperti Mykad atau kad pengenalan sementara, 2 keping gambar berukuran 35mmX50mm berlatarbelakang putih dan juga pembayaran sebanyak RM100 untuk 2 tahun dan juga RM300 untuk 5 tahun tempoh sah passport anda. Sila rujuk syarat-syarat di  laman web imigresen di sini.
Sila bawa dokumen yang lengkap dan hadir sendiri ke pejabat imigresen terdekat atau cari yang paling susah orang nak pergi sebab jauh atau tersorok atau susah parking kerana orang mungkin lebih sedikit di sana dan anda tidak perlu menunggu lama. Dulu saya sering perbaharui passport di Terminal 2 Airport Subang, sekarang masih wujud atau tidak saya tak tahu. Sila datang awal pagi supaya dapat elak kesesakan.
Anda juga digalakkan untuk melihat status kelayakan anda untuk ke luar negara. Kadang-kadang kita tidak tahu yang nama kita sudah disenaraihitamkan oleh imigresen, setibanya di lapangan terbang bila dah check-in dan melalui pintu imigresen dan baru anda sedar yang anda dihalang daripada keluar negara. Amat merugikan. Jadi sila semak dulu secara online di sini
Bagi kakitangan awam yang perlukan kelulusan untuk ke luar negara, sila semak dahulu kelayakan anda dan buatlah permohonan.
Bila dah ada passport serta tiada halangan ke luar negara maka bolehlah mula aktviti pencarian tiket kapalterbang. Ini kerana butiran passport anda diperlukan ketika membeli tiket terutamanya nombor passport anda.
Perlu dapatkan atau ada travel insurans. Sekiranya anda sudah mempunyai life insurance dan ada kad insurans dan insurans anda turut cover utk travel maka minta ejen anda buatkan surat atau sijil mengatakan yg perjalanan (travel) anda itu telah diinsuranskan melalui kad insurans yg awak sudah ada itu.
Tiket balik (perlu dicetak), alamat hotel/penginapan atau email confirmation booking anda (perlu dicetak) dan juga wang tunai atau credit card atau debit card perlu ditunjukkan apabila diminta. Sekiranya anda akan berada 2 minggu di Paris/France maka €30 seharix14hari = €420 (RM1700) perlu ditunjukkan dalam bentuk cash atau separuh kad kredit atau debit. Ini bagi membuktikan yang anda mampu menyara diri anda ketika di France.
Sekiranya anda ingin tinggal sekitar 1-3 bulan (tidak melebihi 3 bulan) dan tinggal di rumah rakan atau saudara mara dsb maka ada kebarangkalian anda diminta menunjukkan surat jemputan dari keluarga atau rakan anda yg menyatakan anda dijemput utk melawat mereka dan surat tersebut mestilah disahkan oleh mayor atau datuk bandar kawasan mereka. Perlu juga disertakan salinan kad pengenalan rakan anda, alamat lengkap dan juga contact number mereka.
Perkara ini bukan sahaja di praktikkan di France bahkan di seluruh negara di dunia ini termasuk juga Jerman. Namun, pegawai imigresen hanya memilih pelawat yang perlu sahaja bagi menunjukkan dokumen ini. Ada yang dilepaskan terus, ada yang setakat disoal tujuan datang dan berapa lama sahaja dan dilepaskan, ada juga yang ditanya seribu satu soalan dan dilepaskan, ada yang ditanya 3 soalan namun ditahan dan ada yang tidak ditanya apa2 langsung. Hanya yang “suspicious” sahaja akan ditanya.
Namun sejak kematian 12 orang di Paris akibat serangan “pengganas” maka pintu masuk ke France sudah pasti akan lebih ketat untuk orang2 yang datang dari negara yang majoritinya beragama islam. Maka bersedialah!
TIPS VISA & PASSPORT DAN DOKUMEN
  • Perlu hadis sendiri ke pejabat imigresen untuk membuat passport. Sila datang pada awal pagi ketika pintu pejabat dibuka bagi memudah dan mempercepatkan proses permohonan baru atau pembaharuan.
  • Sila semak status perjalanan anda di laman web imigresen Malaysia. Kalau dihalang, sila berhubung dengan pihak imigresen untuk mendapatkan kepastian atau kesahihan atau maklumat lanjut.
  • Bagi permohonan visa (sekiranya negara yang anda ingin pergi memerlukan visa) sila pohon sekurang-kurangnya 2-3 bulan lebih awal. Bagi negara Eropah sila semak senarai Shengen Area yang tidak memerlukan visa.
  • Bagi kakitangan awam yang memerlukan kelulusan ke luar negara, sila semak dengan jabatan anda
  • Travel insurans boleh dibeli ketika menempah tiket penerbangan. Lebih mudah dan murah
  • Sila bawa kad bank atau debit card dan juga cetak (print) penyata akaun bank dengan menunjukkan baki terkini.
5. PEMBELIAN TIKET KAPALTERBANG
Kos yang paling besar untuk mengembara di benua Eropah ini adalah kos tambang kapal terbang dan juga hotel. Ini adalah kos yang meliputi hampir 75% daripada kos keseluruhan perjalanan. Ada 4 pintu masuk utama ke Eropah ini dari Malaysia iaitu ke Frankfurt Airport-Frankfurt, Charles De Gaulle Airport-Paris, Schipol Airport-Amsterdam ataupun Heatrow Airport-London.
Anda boleh pilih untuk masuk melalui salah satu lapangan terbang ini dan balik melalui lapangan yang sama atau melalui negara lain bergantung kepada itinerari anda. Anda boleh masuk melalui Frankfurt dan balik melalui Paris, atau masuk melalui Amsterdam dan balik melalui London dan sebagainya bergantung kepada pilihan anda ataupun tiket yang paling murah yang anda dapat.
Selain itu, pilihan pintu masuk dan keluar ini juga adalah bergantung kepada jenis perjalanan atau pengangkutan yang anda gunakan di eropah nanti. Contohnya sekiranya anda ingin bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain menggunakan keretapi atau bas atau kapal terbang, maka tidak kisah anda hendak keluar atau masuk dari negara mana pun. Namun sekiranya anda ingin memandu maka saya sarankan eloklah keluar masuk melalui pintu (negara) yang sama kerana lebih mudah menguruskan kereta sewa.
Bagi tiket kapalterbang, kos pergi-balik untuk ke salah satu pintu masuk tadi adalah bermula serendah RM2,400 dan RM2,600 (yang pernah saya dapat menggunakan Malaysia Airlines dari KL ke London pergi balik). Kebiasannya harga adalah sekitar RM3,200 – RM4,500 bergantung kepada destinasi anda. Antara yang sering digunakan adalah :-
  • Malaysia Airlines – Penerbangan terus ke Frankfurt, Paris, London dan Amsterdam (Harga serendah RM2,600)
  • Lufthansa – Penerbangan terus ke Frankfurt (Harga serendah RM3,600)
  • Etihad – Transit di Abu Dhabi dan seterusnya ke Frankfurt, Amsterdam, Paris atau London (Harga serendah RM2,980)
  • Qatar Airways – Transit di Doha dan seterusnya ke Frankfurt, Amsterdam, Paris atau London (Harga serendah RM2,450)
Anda boleh membeli terus melalui laman web syarikat penerbangan tersebut ataupun melalui ejen-ejen tiket yang terdekat. Anda juga boleh menggunakan laman-laman web lain seperti:
  • cheapflights.com
  • skyscanner.net
  • expedia.com
  • edream.com
Sepanjang pengalaman saya, tiket paling murah pergi balik ke Eropah ini adalah RM2,450 dan sekiranya anda dapat harga sekitar harga tersebut maka cepat-cepatlah buat pembelian.
TIPS MENDAPATKAN TIKET MURAH
  • Tetapkan tarikh pergi dan balik dengan pilihan untuk bertolak awal atau lewat sehari dua dari jadual asal. Dengan ini anda lebih fleksible untuk memilih tiket yang lebih murah. Contohnya anda hendak pergi hari Sabtu tetapi tiket hari Ahad adalah jauh lebih murah- maka eloklah pergi hari Ahad.
  • Harga tiket pergi balik adalah jauh lebih murah dari harga tiket sehala. Sebagai contoh harga tiket pergi sehala dari KL-Frankfurt adalah RM2,567 tetapi harga pergi balik adalah RM2,875 – cuma perlu tambah RM300 sahaja.
  • Lebih jimat pergi dan balik dengan penerbangan yang sama seperti pergi dan balik melalui Paris berbanding pergi melalui Paris contohnya dan balik melalui Amsterdam.
  • Sentiasa layari website untuk mencari tiket pada hari Rabu ataupun Khamis dan pada lewat malam atau awal pagi ketika orang lain sedang tidur. Berdasarkan pengalaman pengembara-pengembara tegar, ketika orang lain sedang tidur, harga tiket adalah jauh lebih murah. Sebagai contoh, siang tadi saya melihat tiket dari Frankfurt ke KL berharga RM3,200 tetapi ketika saya menulis artikel ini (jam 2 pagi) harga tiket telah turun menjadi RM2,620. Saya boleh jimat hampir RM600.
  • Sentiasa kosongkan cache dan cookies (clear cache and cookies) komputer anda selepas membuat carian supaya laman web penerbangan ini tidak dapat mengingati carian anda. Sekiranya cache tidak dikosongkan maka anda akan dapat lihat tiket akan menjadi semakin mahal dari sehari ke sehari.
  • Tiket boleh dibeli menggunakan credit/debit card secara online. Sekiranya tidak tahu atau ragu-ragu tiket boleh di beli melalui telefon ataupun di kaunter syarikat penerbangan ataupun melalui ejen.
  • Jika anda menjumpai tiket yang berharga di antara RM2,600-RM2,800 maka boleh terus membeli kerana itu adalah harga yang paling murah.
Setelah berjaya mendapatkan tiket kapalterbang pergi dan balik maka saya akan mula membuat perancangan rapi seperti berikut:-
PROSES 3: PERSEDIAAN KEMBARA
Di peringkat ini, saya sudah mempunyai tarikh dan juga tiket kapalterbang pergi dan balik. Oleh itu saya perlulah membuat persediaan untuk kembara tersebut seperti kewangan, pakaian, makanan dan sebagainya lagi. Saya akan perincikan semua perkara tersebut di bahagian ini.
1. Tempat penginapan
# Hotel
Hotel atau penginapan merupakan perkara yang paling penting yang perlu diselesaikan segera selepas pembelina tiket. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya jarang sekali menginap di hotel kerana harganya yang agak mahal. Saya lebih gemar tinggal di apartment atau di homestay yang mana sangat popular di kalangan pengembara kebelakangan ini.
Harga sebuah bilik hotel untuk 2 orang semalam adalah sekitar €80 manakala harga homestay 2 bilik untuk 4-6 orang semalam juga sekitar €80. Di Eropah ini anda tidak boleh sewa bilik hotel hanya satu bilik dan sumbat seluruh keluarga anda yang berjumlah 5 orang di dalam bilik tersebut. Sekiranya lebih dari 2 orang anda akan diminta menempah bilik lain.
Kepada yang ingin menginap di hotel sila layari http://booking.com atau pergi terus ke website hotel yang telah anda kenalpasti.
TIPS MENEMPAH BILIK HOTEL
  • Sekiranya anda memandu, tidak perlu tempahhotel di tengah bandar. Boleh tempah di bandar kecil lain yang berhampiran atau yang agak terkeluar sikit dari bandar bagi mendapatkan tawaran harga yang jauh lebih murah.
  • Hampir keseluruhan bilik hotel di Eropah ini bersaiz kecil dan sempit.
  • Kebanyakan hotel tidak menyediakan cerek di dalam bilik. Sekiranya diminta pun tiada dan ada yang ada.
  • Kebanyakan hotel juga tidak mempunyai tempat letak kereta. Anda harus mencari hotel yang ada parking atau ada public parking berhampiran
  • Bagi yang merokok sila minta bilik yang dibenarkan merokok
  • Kebanyakan hotel menyediakan sarapan – anda boleh makan roti dan buah-buahan serta minum jus, kopi dan teh.
# Homestay
Tinggal di homestay adalah lebih menarik kerana anda tinggal di rumah orang dan merasa sendiri pengalaman tinggal di sesebuah negara dengan “local setup” dimana anda dapat lihat bagaimana rekabentuk rumah orang Perancis, bagaimana sistem tingkap rumah orang Jerman, bagaimana bentuk loteng rumah orang Belanda, bagaimana heater atau alat pemanas berfungsi dan macam-macam lagi. Kalau anda tinggal di hotel, pengalaman anda adalah sama kerana semua hotel di dunia ni adalah lebih kurang sama sahaja.
Wimdu
Homestay dilengkapi dengan dapur, mesin basuh, pembakar roti, peti sejuk, microve oven dan macam-macam lagi. Bagi pengembara, peluang untuk dapat mencuci pakain sendiri adalah sangat berharga. Selain itu, anda akan di host oleh tuan rumah yang akan melayan anda dengan memberi penerangan tentang tempat menarik, cara nak naik keretapi atau bas, panduan mencari restoran dan banyak tips akan diberikan oleh host anda.
wimdu-paris
Oleh itu, kepada yang ingin tinggal di homestay, sila layari laman web berikut:-
Saya memang menyarankan kepada keluarga atau kumpulan kecil untuk tinggal di homestay. Berikut adalah tips dari saya sekiranya anda ingin menggunakan laman web di atas.
TIPS MENEMPAH HOMESTAY
  • Sekiranya anda memandu, tidak perlu mencari homestay di tengah bandar atau berhampiran kawasan tarikan pelancong kerana kadar sewanya pasti lebih mahal. Cari yang agak terkeluar dari bandar dan kalau boleh yang berdekatan dengan stesen keretapi.
  • Layari laman web yang saya nyatakan di atas. Sila cipta profil anda (create profile) di laman web tersebut. Letakkan gambar dan ceritakanlah tentang diri anda dan keluarga anda sekiranya ada. Ini akan banyak membantu anda di dalam proses penempahan nanti.
  • Sila cari homestay yang sudah di review (mempunyai bintang) lagi banyak review maka lagi “reliable” host tersebut.
  • Akan ada 3 butang yang anda perasan apabila melihat homestay yang dipamerkan iaitu “Instant Booking”, “Request Booking” dan juga “Contact host”. Jika ada butang “Instant Booking” maknanya homestay tersebut boleh ditempah dan dibayar terus. Sekiranya ada butang “Request Booking” maknanya host ingin menapis terlebih dahulu siapa yang akan tinggal dirumahnya. Sekiranya anda klik butang tersebut, anda akan diarahkan membuat pembayaran di mana duit dari debit/kredit card anda akan di pegang seketika sementara menunggu kelulusan dari host. Sekiranya host meluluskan “request” anda maka kad anda akan dicaj. Sekiranya tidak duit tersebut akan dikreditkan kembali.
  • Akan ada selalu kes di mana booking request anda ditolak (decline). Ini biasanya kerana anda tidak mempunyai profil, jadi host atau tuan rumah tidak dapat melihat anda atau membuat sedikit background check mengenai anda. Jadi apabila tuan rumah merasa was-was maka ditolak tempahan anda.
  • Jadi saranan saya jangan terus tempah homestay tersebut. Hubungi host terlebih dahulu (contact host) dan ceritakan serba sedikit tentang siapa anda dari mana, nak ke mana, berapa orang yang hendak menginap di rumah homestay tersebut. Kemudian tanyalah sedikit soalan seperti di tingkat berapa apartment tersebut, ada lift atau tidak dan sebagainya.
  • Tunggu jawapan dari host dahulu. Sekiranya dapat balasan yang positif maka tempahlah dan buat pembayaran.
  • Apabila anda sudah berjaya membuat tempahan dan tinggal di homestay tersebut maka anda boleh login kembali ke website tersebut dan buat review mengenainya. Kemudian hubungi host anda dan minta beliau untuk membuat review juga tentang anda. Review ini akan direkodkan di dalam profil anda dan ini akan memberi rating kepada anda di mana jika anda hendak tinggal di homestay lain, host akan dapat melihat review host lain tentang diri anda dan memberi lebih keyakinan kepada mereka untuk membenarkan anda tinggal di rumah mereka.
  • Sila pastikan anda menjaga rumah atau homestay yang anda duduki itu seperti rumah anda sendiri. Sila pastikan anda kemas dan bersihkan segala sampah dan sisa sebelum anda keluar. Jangan malukan nama orang Malaysia.
# Hostel
Kepada yang ingin lebih jimat boleh tinggal di hostel dengan kada sekitar €15-30 semalam boleh layari http://hostelbookers.com untuk membuat carian dan tempahan. Kebanyakan hostel terletak dekat atau di tengah pusat bandar maka ianya lebih memudahkan anda. Sekiranya anda berdua atau berempat atau berenam, sentiasa cari “private room” yakni bilik hostel untuk 2, 3, 4 atau 6 orang yang tidak dikongsi bersama penyewa lain.
Hostelbookers
Antara salah satu hostel kegemaran saya adalah Meininger Hotel yang mempunyai pilihan bilik untuk 2 orang sehinggalah ke 8 orang sebilik dengan katil 2 tingkat. Harganya juga adalah sangat berpatutan. Boleh pilih hotel/hostel ini di hostelbookers.com untuk kadar yang lebih murah atau layari terus laman web mereka di http://meininger-hotels.com
Meininger
Namun terdapat banyak hostel lain yang lebih murah tetapi Meininger hotel ini sangat bersih dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti dapur, mesin basuh, internet percuma dan banyak lagi.
TIPS MENEMPAH HOSTEL
  • Buat carian dan tempah awal bagi mendapatkan tawaran harga yang murah.
  • Sentiasa pilih hostel berhampiran stesen keretapi bagi memudahkan anda bergerak di dalam pusat bandar.
  • Sekiranya anda memandu, cari hostel yang mempunyai kemudahan tempat letak kereta.
  • Pastikan sentiasa memilih “Private room” sekiranya anda tidak ingin berkongsi bilik dengan pengembara lain.
  • Bagi perempuan, saya sarankan agar sentiasa memilih private room kerana bilik air terdapat di dalam bilik tetapi kalau quad room kadangkala bilik air dil luar dan harus dikongsi bersama pengguna lain.
  • Hampir semua hostel memberikan akses internet wifi secara percuma.
Kadangkala tinggal di homestay adalah lebih murah dan praktikal berbanding hostel. Anda harus sentiasa mencari dan membuat perbandingan terhadap setiap tawaran yang anda jumpa bagi mendapatkan tempat penginapan yang sesuai dan paling baik untuk anda.
2. Pakaian
Untuk mengembara ke negara 4 musim, pakaian adalah sangat penting kerana cuaca di Eropah amatah berbeza dari cuaca di Malaysia. Berdasarkan kembara yang saya cadangkan di atas pada bulan November iaitu sudah menghampiri musim sejuk, maka suhu ketika itu adalah sekitar 2-10 darjah celcius. Sangat sejuk sebenarnya dan kadangkala diselang seli dengan hujan yang kerap turun sepanjang hari.
Young mother and her toddler girl in autumn
Oleh itu pakaian yang sesuai akan memastikan badan kita sentiasa panas dan dapat berjalan dengan selesa. Sila baca tips saya mengenai pakaian musim sejuk di sini.
TIPS PENYEDIAAN PAKAIAN SESUAI
  • Jangan bawa pakaian terlalu banyak bagi mengelakkan bagasi terlebih berat dan memudahkan anda bergerak nanti.
  • Sekiranya datang pada musim sejuk, baju sejuk atau jaket eloklah dibeli di negara yang anda pergi kerana ianya jauh lebih murah. Saya cadangkan anda pergi ke Primark (http://primark.com) kerana pakaian serta jaket dan sebagainya adalah sangat murah. Jaket musim sejuk berharga sekitar €16 (RM65) hingga €40 (RM160) sahaja. Primark terdapat di semua bandar di Eropah seperti London, Paris, Frankfurt, berlin, Brussels, Amsterdam dan banyak lagi.
  • Kalau ada rakan yang sudah ada baju sejuk maka pinjam sahaja dari mereka.
  • Kalau datang pada musim panas memadailah bawa sehelai cardigan atau pullover.
  • Pastikan bawa walking/running shoes atau sneakers. Anda akan banyak berjalan dan lebih selesa kaki anda lebih seronok anda mengembara.
  • Kalau datang pada musim sejuk sila bawa kasut yang kalis air seperti but kulit dan sebagainya. Kaki adalah anggota badan yang sangat penting untuk dijaga pada msuim sejuk selain leher dan tangan.
 3. Makanan
Makanan adalah perkara yang paling dikhuatiri bagi kita pengembara beragama islam. Untuk mendapatkan makanan yang dijamin 100% halal adalah sangat sukar. Sekiranya anda ke London maka agak mudah mencari restoran melayu atau Malaysia. Kalau hendak jimat dan makanan yang sedap boleh makan di Malaysian Hall, kalau nak best sikit boleh cuba makan kat Tukdin. Terdapat puluhan restoran Malaysia di London, anda cuma perlu google dan catatkan alamat mereka.
tukdin-london
Sekiranya di negara lain seperti Perancis, Germany, Belgium maka bolehlah belajar makan kebab setiap hari. Kebanyakan kiosk atau cafe kaum Turki menjual kebab dengan harga sekitar €2.00-€3.00 sahaja dan cukup mengenyangkan.
Bab makan, kita orang melayu islam adalah sangat sensitif. Bagi sesetengah orang, asal takde benda haram (babi) kira boleh makan, ada orang kena nampak logo atau tanda halal baru boleh makan, ada orang pula kalau benda yg disediakan oleh org bukan islam tak boleh makan dan macam2 lagi. Jadi terpulanglah kepada anda.
Kita dikurniakan akal oleh Allah untuk berfikir dan menilai baik dan buruk serta halal dan haram sesuatu benda. Saya tidak mahu mencadangkan apa2 kepada anda kerana nanti apabila datang rasa was-was dan sebagainya dikatakan pulak saya mencadangkan benda yang syubahah.
Bagi yang susah atau takut atau ragu-ragu untuk makan di luar maka anda haruslah membawa makanan sendiri.
TIPS PERSIAPAN MAKANAN
  • Bawa periuk nasi kecil dan bawa sekali adapter untuk plug elektrik. Kalau di London boleh terus pakai namun kalau di France, Germany dan negara lain perlu ada adapter.
  • Beras boleh dibeli di mana-mana kedai atau supermarket di seluruh Eropah. Jangan bawa beras dari Malaysia, kerana dikhuatiri akan dirampas.
  • Boleh bawak pek makanan segera seperti Brahims atau sardin atau makanan dalam tin seperti kari ayam dan sebagainya.
  • Mee segera adalah makanan rasmi yang perlu dibawa oleh rakyat Malaysia. Tetapi jangan terlalu banyak.
  • Bawa serunding atau sambal ikan bilis kering sebagai penambah perisa makanan anda.
  • Jangan sesekali bawa bahan mentah yang berdaun atau buahan.
  • Sila pek makanan anda dengan aluminium foil terlebih dahulu dan kemudian masukkan ke dalam plastik berzip (ziplock). Bagi makanan dalam pek atau dalam tin tak perlulah.
  • Jangan bawa makanan terlalu banyak – kerana ianya berat dan biasanya tidak pernah habis. Sepanjang pengalaman saya setiap rakan saya yang datang ke Eropah membawa banyak makanan pek dan dalam tin berserta mee segera akan makan cuma separuh sahaja dari apa yang dibawa. Jadi, rancang berapa banyak makanan yang hendak anda bawa kemudian kurangkanlah separuh.
Saya tidak mahu cadangkan nama-nama restoran di negara lain dan juga tidak mahu mencadangkan juga apa yang boleh dimakan atau tidak seperti roti, salad, biskut, pizza dan sebagainya kerana tidak mahu ada yang was-was tentang status halalnya. Oleh itu anda perlu google dan buat carian serta gunakanlah akal yang dikurniakan kepada anda untuk membuat penilaian sendiri.
4. Komunikasi
Setiap orang mempunyai telefon pintar sekarang ini dan pastinya memerlukan internet untuk berhubung, bersosial dan sebagainya. Saya sarankan supaya anda membeli sim kad baru di negara yang anda sampai nanti. Kos untuk simkad baru kebiasaanya sekitar €10.00 dengan free kredit sekitar €5.00 hingga €8.00. Jangan aktifkan perayauan antarabangsa kerana ianya sangat mahal.
TIPS TELEFON & INTERNET
  • Beli simkad di airport dan mintalah bantuan pekedai tadi mengaktifkan talian anda termasuk akses internet.
  • Beli dan simpan kad tambah nilai untuk digunakan nanti.
  • Sekiranya anda membuat perayauan antarabangsa (roaming) jangan jawab panggilan telefon dari rakan atau keluarga di Malaysia kerana anda akan di caj 2 kali ganda. Sms pula berharga sekitar RM2.00 sekali hantar. Sekiranya anda tidak mahu beli simkad tempatan, anda boleh sentiasa aktifkan roaming tetapi matikan pakej data. Oleh itu anda hanya boleh update status facebook dan sebagainya apabila mendapat sambungan wifi.
  • Wifi percuma boleh didapati di rangakain cafe Starbucks dan juga hampir keseluruhan cafe-cafe di Eropah ini memberikan akses internet percuma.
Saya biasanya hanya menggunakan akses internet percuma di kafe-kafe, restoran dan juga hotel. Tidak perlu roaming dan tidak perlu simkad tempatan.
5. Ubat-ubatan & Insurans
Sentiasa bersedia dengan ubatan, minyak angin dan sebagainya. Kita tidak tahu bila kita akan sakit kepala sakit badan, sakit sendi, sakit urat, sakit perut dan sebagainya. Jadi eloklah bawa ubatan yang biasa anda gunakan kerana itu adalah lebih mudah dari mencari ubatan di negara asing yang belum tentu sesuai dengan badan anda.
Selain itu insurans juga adalah penting bagi membolehkan anda menerima rawatan dengan segera. Kebanyakan hospital di Eropah memerlukan kad insurans anda sebelum anda diterima masuk ke hospital mereka.
Selain itu kadangkala anda diminta menunjukkan dokumen travel insurans atau kad insurans oleh pegawai imigresen ketika di airport.
TIPS PERUBATAN & INSURANS
  • Sekiranya anda berpenyakit dan sentiasa mengambil ubat yang telah diberikan oleh doktor anda maka anda perlu membawa ubatan tersebut. Sila dapatkan surat pengesahan penyakit dari doktor anda dan juga pengesahan atau “prescription” ubatan tersebut dari doktor anda. Sekiranya ditahan oleh pihak kastam dan anda gagal menunjukkan sebarang surat maka ubatan tersebut boleh dirampas dan anda juga boleh ditahan.
  • Seeloknya anda membeli travel insurans yang memberi perlindungan kecemasan di luar negara.
  • Sekiranya anda sudah mempunyai insurans nyawa (life insurance) dan mempunyai kad, sila berhubung dengan ejen anda danpastikan samada kad tersebut boleh diterima pakai di negara yang ingin anda lawati.
6. Bagasi
Jika anda membawa pakaian dan makanan yang banyak sudah pasti anda memerlukan bagasi yang besar dan berat. Bagasi yang sering kita gunakan ketika ini adalah “trolley bag/suitcase) atau beg tarik yang beroda kerana mudah menolak atau menarik ketika kita di lapangan terbang. Namun, beg tersebut agak payah di tarik atau ditolak di jalan atau laluan pejalan kaki di sekitar Eropah ini kerana rekabentuk pavement yang berbeza. Selain itu, trolley bag ini tidak fleksibel iaitu tidak boleh dikecilkan atau diubah bentuknya bagi dimuatkan ke dalam ruangan yang kecil dan sempit seperti but kereta.
Jika anda bercadang menyewa kereta dan memandu sendiri misalnya – sekiranya ada 5 orang dengan 5 trolley bag bersaiz besar atau sederhana adalah sangat sukar atau mustahil untuk dimuatkan ke dalam but kereta bersaiz sedan. Sekiranya anda bercadang mengembara dengan keretapi pula, untuk membawa beg tersebut dari satu destinasi ke destinasi lain adalah menyusahkan. Bagi pelancong yang percutiaannya diatur oleh ejen, bas datang ambil di hotel dan bawa ke destinasi seterusnya maka adalah praktikal untuk mereka menggunakan trolley bag ini.
Jadi, backpack atau beg sandang adalah lebih sesuai untuk mengembara berbanding trolley bag di mana ia boleh di sumbat masuk ke ruangan yang sempit dengan lebih mudah.
Sila semak dengan syarikat penerbangan berapa berat bagasi yang dibenarkan.
7. Belanjawan/Bajet (Costing)
Ini adalah bahagian yang paling penting. Berikut saya senaraikan perkara-perkara yang perlu dimasukkan di dalam bajet anda berserta anggaran kasar untuk sekumpulan 4 orang untuk 10 hari.
  • Tiket kapalterbang dari KL ke Eropah = RM3,000 seorang pergi balik = (RM12,000)
  • Kos pengangkutan (Keretapi/bas/teksi/kereta sewa) = RM1,600 / 9 hari
  • Kos minyak dan tol = RM1,200 / 9 hari
  • Kos parking = RM800/ 8 hari
  • Kos feri ke London = RM250 / pergi balik
  • Kos penginapan = RM2,300 utk 8 malam
  • Kos makan/minum = RM90/seorang sehari X 4 orang X 10 hari = RM3,600
  • Kos tiket = muzium dan sebagainya = RM600 / anggaran
  • Kos Cenderahati utk keluarga terdekat = RM1,200 / 4 orang
  • Jumlah keseluruhan = RM23,550 / 4 orang = RM5,887.50 seorang.
Anggaran tersebut adalah anggaran minimum untuk seorang sekiranya anda datang dengan kumpulan kecil seramai 4 orang. Sekiranya 5 orang adalah lebih jimat. Namun boleh dijimatkan atau dikurangkan lagi perbelanjaan ini sekiranya anda bawa makanan sendiri, atau sanggup makan kebab atau roti bersama serunding setiap hari dan tidak membeli sebarang souvenir dan tidak masuk ke muzium dan sebagainya. Maknanya kembara anda ini adalah memang kembara bajet kecil dan anda hanyalah mengembara dan sightseeing sahaja maka kos akan menjadi sekitar RM4,800 seorang.
Namun saya galakkan anda sediakan bajet kontigensi sebanyak RM1k seorang jadi kos kembali kepada asal iaitu RM5,800. Maknanya RM6,000 adalah kos atau bajet yang paling baik untuk mengembara secara berkumpulan seramai 4 orang. Saya ada terbaca di blog-blog lain yang menukis tentang kos kembara ke eropah ini dan memang benar kos mereka juga adalah sekitar yang dipaparkan di atas.
Kos membeli pakain musim sejuk (sekiranya mengembara ketika musim tersebut) tidak dimasukkan ke dalam bajet ini.
TIPS BAJET/COSTING
  • Sentiasa bajet extra (on the higher side) dan tambah sekurang-kurangnya 10-15peratus untuk kontigensi atau kecemasan.
  • Matawang Euro hendaklah ditukar di Malaysia lagi – sangat sukar atau hampir tiada penggurup wang yang menerima ringgit di sini.
AKAN BERSAMBUNG…..
Sudah masuk minggu ke 4 saya menulis artikel ini dan masih belum siap kerana banyak perkara yang ingin saya kongsikan. Saya terpaksa berhenti setakat ini dahulu kerana buat masa ini saya tidak mampu terus menulis. Saya akan bercuti mulai lusa sehinggalah 2 minggu akan datang Jadi saya akan sambung menulis apabila selesai bercuti nanti.
Diharap anda akan kembali untuk melihat artikel ini dari semasa ke semasa kerana ianya akan sentiasa dikemaskini. Antara tips yang akan saya sambung nanti adalah seperti :-
  • Tips kembara solo (Backpackers) untuk lelaki dan wanita
  • Tips ketika hendak berlepas
  • Tips ketika ketibaan
  • Tips ketika kembara
  • Tips keselamatan diri
  • Tips membeli-belah
  • Tips mendapatkan duit kembali melalui tax refund (VAT)
  • Tips Penggunaan wang tunai, debit kad atau kredit kad
  • Dan macam-macam lagi
TIPS PENTING : 40 Jenis penipuan atau “scam” yang perlu anda tahu dan hindari ketika di luar negara. Sila baca DI SINI
10 Tips Penting Kembara di Bumi Rome, Italy sila baca DI SINI
Namun sekali lagi saya ingatkan yang tips ini adalah untuk mereka yang berbajet kecil dan yang impiannya hanyalah untuk menjejakkan kaki ke tempat-tempat yang sering dilihat di kaca tv ataupun di majalah – bukannya untuk membeli belah, untuk menikmati makan malam romantik, untuk menghabiskan 2-3 hari di sesebuah bandar dan bangun pagi di bilik hotel mewah dengan balkoni mengadap laut.
Jadi besarlah harapan saya agar tip-tips yang saya berikan ini dapat membantu anda merealisasikan hasrat anda untuk mengembara ke bumi Eropah ini. Untuk terus mendapatkan tips yang selanjutnya bolehlah “follow my blog” melalui email di ruangan sebelah atau boleh “like” FB page saya.
Adakah anda rasa tulisan saya kali ini sangat membantu anda?
ENTAHLAH…I Dont Know, but if it does, a simple thank you would really makes my day!
bis später, Auf wiedersehen!
signature