Saya ibu tiga anak yang menghidap kencing manis. Sejak menghidap penyakit berkenaan, kemaluan saya sering mengeluarkan sejenis cecair yang membuatkannya gatal dan melekit.
Saya sering menggaru kemaluan kerana ia terlalu gatal. Sejak itu, saya juga tidak selesa dan tidur sering terganggu. Apakah yang harus saya lakukan?
Fara,
Selangor
JAWAPAN:
Pesakit kencing manis (diabetes mellitus) perlu memastikan paras gula di dalam darah berada pada tahap terkawal. Paras gula berlebihan ini boleh mendedahkan risiko jangkitan berulang, jangkitan yang lazimnya didapati adalah jangkitan kulit dan faraj.
Dalam erti kata lain, lelehan faraj yang anda alami berulang kali mungkin satu petanda penyakit kencing manis anda tidak berada dalam paras kawalan yang baik.
Berjumpalah dengan doktor untuk mengenal pasti jenis kuman penyebab jangkitan itu serta ubat yang bersesuaian. Lazimnya, pemeriksaan dalaman menggunakan spekulum akan dilakukan untuk mengambil sampel lelehan dan dilakukan ujian kultur di makmal ini mengambil masa beberapa hari.
Buat sementara itu, doktor lazimnya memberikan ubat yang bersesuaian mengikut pengamatan ke atas lelehan terbabit. Jika kemudian didapati ubat ini tidak bersesuaian dengan keputusan makmal kelak, ia akan diganti dengan ubat lain.
Ujian ini kemudian boleh diulang untuk memastikan ia sudah dirawat sepenuhnya.
Di samping itu, ujian berkaitan kawalan penyakit kencing manis juga boleh dilakukan.
Ini termasuk ujian paras glukosa dalam darah pada hari terbabit serta ujian darah fruktosamin dan ujian darah HbA1c sebagai pengukur kawalan penyakit anda dalam tempoh kebelakangan ini (beberapa minggu hingga beberapa bulan sebelumnya).
Keperluan dos ubatan anda juga boleh dinilai semula.