Saya sudah berkahwin selama 16 tahun dan ingin tahu cara merancang kehamilan sendiri.
Selama ini saya merancang keluarga secara pemasangan alat dalam rahim (IUD) dan suntikan. Baru-baru ini saya mengambil pil perancang tetapi selepas tiga hari mengambilnya, urat kaki bengkak seperti masuk angin.
Apakah punca keadaan itu?
Jah,
Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur
JAWAPAN:
Urat kaki yang membengkak itu berkemungkinan suatu keadaan yang dinamakan vena varikos. Tubuh kita mempunyai sistem aliran darah yang sistematik.
Darah dihantar kembali ke jantung melalui salur darah vena secara pengecutan berperingkat otot vena ini dan dibantu oleh kehadiran injap pada bahagian tertentu (seperti segmen atau ruas) untuk memastikan perjalanan darah ini sehala dan tidak kembali terkumpul di bawah apabila rentak otot berehat seketika.
Vena varikos terjadi akibat dinding salur darah vena menjadi lemah dan mengembang menyebabkan injap di bahagian terbabit tidak dapat menutup sepenuhnya dan darah kembali berkumpul ke segmen lebih bawah.
Terdapat dua aliran selari salur darah pada bahagian kaki yang dikenali sebagai vena dalaman yang terletak di bahagian lebih dalam kaki dan vena luaran yang terletak berhampiran permukaan kulit. Sekitar 90 peratus aliran darah ke jantung dikendalikan oleh sistem vena dalaman.
Vena varikos pula terjadi di bahagian sistem vena luaran. Vena varikos ini lebih berisiko terjadi mengikut usia, jenis pekerjaan atau aktiviti tertentu seperti aktiviti membabitkan posisi berdiri untuk tempoh lama, pil kontraseptif berhormon kombinasi, kehamilan, menopaus dan terapi hormon estrogen.
Memandangkan faktor risiko ini terdapat lebih pada wanita, vena varikos lebih berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki (dilaporkan tiga hingga empat kali ganda).
Vena varikos boleh menyebabkan kawasan terbabit membonjol kelihatan seperti urat berlingkar berwarna kebiruan pada permukaan kulit, kesakitan, inflamasi (phlebitis), kegatalan (dermatitis), mengeras, sensitif terhadap sentuhan, ulser dan pendarahan pada bahagian buku lali dan kaki.
Dalam kebanyakan kes, ia hanyalah masalah kosmetik, namun ada juga yang memerlukan rawatan sama ada secara suntikan ataupun pembedahan. Jarang ada yang berkait dengan darah beku yang memerlukan perhatian khusus.
Dalam keadaan tertentu sahaja ia mungkin berkaitan penyakit darah beku yang boleh mendatangkan bahaya kesihatan seperti sekiranya sudah terdapat darah beku (bukannya masalah injap) yang menghalang aliran darah menyebabkan vena varikos.
Seeloknya anda menjalani pemeriksaan doktor, walaupun anda membuat keputusan untuk menghentikan pengambilan ubat pil perancang ini. Penggunaan stokin khas dapat membantu aliran darah.
Selain itu, elakkan berdiri atau duduk untuk tempoh yang lama serta amalkan senaman. Sewaktu berbaring atau duduk, amalan meninggikan kaki ke atas daripada paras jantung juga boleh membantu.