Translate

Tajaan

Isnin, 10 Mei 2010

Tasik Bera


Tasik Bera Yang Indah Tapak Ramsar Pertama Di Malaysia

"Tasik Bera bukan sahaja penting kerana kaya dengan biodiversiti malahan dari segi saintifik, rekreasi, pendidikan serta ekonomi. Kawasan paya gambut lanar ini juga menampung komuniti biologi yang unik bagi Malaysia."

Tasik Bera, yang terdiri daripada tujuh lembah yang dibanjiri air sungai yang bersama-sama membentuk satu sistem tasik sungai berukuran 35 km kali 20 km dengan keluasan 6,150 hektar, adalah takungan air tawar terbesar di Malaysia.

Tasik Bera bukan sahaja penting kerana kaya dengan biodiversiti malahan dari segi saintifik, rekreasi, pendidikan serta ekonomi. Kawasan paya gambut lanar ini juga menampung komuniti biologi yang unik bagi Malaysia.

Hampir 100 spesies ikan air tawar, 200 spesies burung dan 68 spesies mamalia hidup di sini. Spesies-spesies yang diancam kepupusan termasuk gajah Asia, harimau belang, harimau dahan, badak cipan (tapir), Arowana Asia dan buaya julung-julung (Malayan gharial). Manakala keladi paya hanya boleh ditemui di Tasik Bera.

Terdapat dua musim hujan dan panas yang ketara di sini dengan musim hujan dialami dari April hingga Mei dan September hingga Januari. Paras air pula akan naik dan turun mengikut musim, daripada kedalaman satu meter semasa musim panas iaitu dari Februari hingga April dan Jun hingga Ogos, hingga tujuh meter semasa tempoh monsun.

Pada 1994, Tasik Bera menerima pengiktirafan antarabangsa apabila ia diisytiharkan sebagai tapak Ramsar pertama di Malaysia. Konvensyen Ramsar mengenai Tanah Lembap merupakan satu perjanjian antara kerajaan bagi pemuliharaan dan penggunaan lestari tanah lembah dan sumbernya.

Sejak itu, pelbagai undang-undang telah diperkenalkan untuk melindungi eko-sistem Tasik Bera yang mudah musnah. Kawasan teras tasik itu, yang terdiri daripada kira-kira 32 hektar, diklasifikasi sebagai Rizab Hidupan Liar di mana pelancongan berasaskan kepada alam semulajadi digalakkan bersama pembabitan masyarakat Semelai.


Bagi rekod, Malaysia kini mempunyai enam tapak Ramsar. Lima yang lain ialah Pulau Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai di Johor, kesemuanya diwujudkan pada 2003; Tanah Lembap Kuching di Sarawak (2005) dan Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama di Sabah, yang menerima pengiktirafan itu baru-baru ini (29 Okt).

TARIKAN

Selama lebih 600 tahun, Semelai - satu daripada puak Orang Asli - telah menghuni sekitar Tasik Bera dan bergantung kepada sumber-sumber semulajadi.

Hari ini, kira-kira 4,000 orang Semelai menetap di 14 kampung yang berselerak di sekitar tasik.

Kebanyakan mereka bekerja di ladang-ladang kelapa sawit dan getah yang terletak berdekatan.

Dengan bantuan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kaum Semelai telah menubuhkan sebuah pertubuhan yang berasaskan kepada masyarakat mereka yang dikenali sebagai Semelai Association for Boating and Tourism (SABOT), yang mengatur program homestay dan eko-adventur serta program kebudayaan bagi tetamu.

Aktiviti-aktiviti yang ditawarkan termasuk:

TREKING HUTAN

Ketahui bagaimana sumber-sumber semulajadi hutan digunakan. Melihat bekas tapak kaki haiwan berlainan yang boleh ditemui di sekitar tasik termasuk harimau yang di ambang kepupusan, babi hutan, harimau dahan, beruang dan kancil.

Pemandu akan mengadakan demonstrasi bagaimana damar dikeluarkan daripada pokok Keruing; mereka melakukannya dengan memotong kulit pokok dan menyalakan api yang terkawal dalam lubang yang dibuat pada batang di mana damar akan mengalir keluar.

Damar, yang mengandungi unsur-unsur penting, pernah digunakan oleh pedagang Arab dan India untuk menyediakan wangian, lilin, perekat dalam membina bot dan sebagai bahan api untuk obor.


KENU

Helaian daun Pandanus menguasai pemandangan tasik, mewujudkan laluan air yang berselirat serta teluk-teluk terpencil. Bergerak senyap menerusi laluan air berliku-liku yang berselirat dalam kenu tradisi yang dikorek daripada kayu memberikan pelawat peluang terbaik untuk melihat haiwan yang bersembunyi atau yang tinggal di celah-celah daun.

MENANGKAP IKAN

Walaupun penangkapan ikan dibenarkan, bilangan tangkapan dihadkan. Pemandu memantau rapi kesemua ikan yang ditangkap untuk mengelakkan spesies jarang daripada pupus sama sekali. Mereka juga akan menunjukkan lebih 50 cara masyarakat Semelai menangkap ikan.

PERTUNJUKAN KEBUDAYAAN DAN KRAFTANGAN

Kraftangan Semelai dianggap sebagai lebih hebat berbanding kumpulan lain masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Tukang-tukar yang mahir akan menunjukkan bagaimana mereka membuat peralatan muzik tradisional, perangkap haiwan, peralatan kebun serta kenu minatur serta model rumah-rumah Semelai.

Kaum wanita Semelai menenun daun mengkuang untuk menjadikannya bakul, tikar, topi dan dompet yang cantik.

Para pelawat juga boleh ikut serta dengan penduduk kampung menari tarian tradisional 'sewang'.

PENGINAPAN

Persona Lake Resort menawarkan pelbagai chalet, bilik-bilik mewah dan asrama. Selain daripada kemudahan asas dan 'coffee house', tetamu boleh melakukan aktiviti mengayuh kayak dan treking hutan bersama pemandu tanpa sebarang bayaran tambahan.

Tapak Pengurusan Ramsar Tasik Bera mempunyai pejabat tapak berhampiran resort dan menjalankan taklimat percuma mengenai apa yang berlaku di tasik.

Bagi mereka yang mahukan adventur ala Indiana Jones, SABOT mempunyai beberapa kem hutan di pelbagai lokasi sekitar tasik bagi memudahkan pelawat bermalam.

Jika bernasib baik pelawat boleh melihat selayang pandang unggas air yang jarang boleh ditemui, kancil, landak dan banyak lagi. Kem-kem hutan yang terdapat itu ialah Kem Hutan Kampung Chenderung, Tapak Kem Kampung Sembilan, Tapak Kem Kampung Dato dan Tapak Kem Kampung Mikok.

Para tetamu juga boleh memilih untuk bermalam di rumah tradisional Semelai. Rumah itu, yang dibina mengikut tradisi Semelai dan dipanggil balai, boleh menampung sehingga 10 orang. Bagaimanapun ia hanya menyediakan kemudahan sebuah perigi, tandas di luar dan lampu minyak tanah untuk kegunaan pada waktu malam.

Satu lagi cara baik untuk menikmati kemesraan penduduk tempatan ialah dengan menyertai program homestay. Program homestay ini memberi peluang kepada pelawat untuk bermalam di sebuah rumah tradisional Semelai serta melalui kehidupan harian keluarga Semelai.

Jika pelawat memilih untuk berada lebih dekat dengan alam semulajadi dan mempunyai khemah sendiri, mereka boleh mendirikannya berhampiran rumah tradisi atau mana-mana khemah hutan. Perkhemahan dibenarkan di tapak resort.

BAGAIMANA UNTUK KE TASIK BERA

Dari Johor: Guna Lebuhraya Utara-Selatan. Keluar di Yong Peng dan hala ke Segamat. Di Segamat pusing kanan ke Laluan Persekutuan 12 (Route 12). Teruskan sejauh 60 km, dan belok kiri di Kampong Landak, terdapat papan tanda menunjukkan arah ke Persona Lake Resort di Tasik Bera.

Dari Kuala Lumpur: Ikut Laluan Persekutuan 2 (Route 2) (Jalan Kuantan). Pusing ke selatan di Temerloh dan masuk ke Laluan Pesekutuan 10 (Route 10). Belok kanan di Kerayong dan ikut tanda jalan menunjukkan arah Tasik Bera.

Dengan keretapi: Turun di stesen Triang. Buat temujanji dengan Persona Lake Resort (Tel: 609-5135566, Faks: 609-5130510) atau SABOT (6013-2865367) untuk menjemput anda.

Dengan bas: Khidmat bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Temerloh boleh didapati di stesen bas Pekeliling di Jalan Tun Razak (bersebelahan stesen Titiwangsa LRT/monorel). Di Temerloh, buat temujanji dengan Persona Lake Resort atau SABOT untuk menjemput anda.

Perlu diakui Tasik Bera memang lain sama sekali. Bagi pengembara yang mencintakan alam sekitar dan mahukan peluang unik untuk melihat dan mengalami persekitaran semulajadi dan adat resam tempatan, Tasik Bera memang destinasi yang menarik.

Imej indah Tasik Bera akan kekal dalam minda mana-mana pelawat. Jadi, jika anda meminati eko-pelancongan, maka pastinya Tasik Bera pilihan paling sesuai.

Tiada ulasan:

Catat Komen