Translate

Tajaan

Khamis, 2 September 2010

Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969)

Pak Saudara Penyair iDANRADZi

Sila klik gambar

sumbangan

Mohd Fadli Ghani,

2005

Dr. Burhanuddin dilahirkan pada 29hb November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota Bharu Perak. Ayahnya berasal dari Minangkabau, Indonesia. Kehadirannya di bumi bertuah ini memberi sumbangan bermakna kepada politik Malaysia justeru beliau terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut kemerdekaan sejak sebelum pendudukan Jepun.


Dalam bidang perubatan homeopati, beliau merupakan lulusan Medical Doctor of Homoeopathy (M.D.H) dari Ismeliah Medical College, Hydrabad, India. Selain itu, beliau juga menerima ijazah Doctor of Naturopathy (N.D) daripada School of Naturopathy, London dan Doctor of Divinity daripada International Academy Canada. Beliau juga merupakan ahli International Federation of Naturopath (I.F.N) dan Homoeopathic Physician Association (H.P.A., London).


Di kalangan masyarakat homeopati di Malaysia beliau dikenali sebagai orang Melayu pertama yang belajar homoeopati dan bertanggungjawab memperkembangkannya pada dekad-dekad awal. Meskipun beliau dikatakan telah mempraktikkan ilmu perubatan homoeopati sejak tahun 1930an lagi, namun beliau terlalu sibuk dengan agenda politik semasa. Kerana itulah, hanya pada tahun 1953 atau 1954 baru beliau beroleh kesempatan mendidik pelajar perintis homoeopati.


Selepas merdeka pada tahun 1957, beliau melangkah ke hadapan dalam kerjaya politik apabila memenangi kerusi parlimen bagi tahun 1959-1964. Di waktu itu beliau mengusaha penubuhan persatuan homeopati yang pertama di Malaysia. Persatuan homeopati itu didaftarkan pada 1962 dan dikenali sebagai Persatuan Perubatan Homoeopathy Malaysia (Malaysian Homoeopathic Medical Association) atau PPHM. Pada masa yang sama beliau dilantik sebagai presiden persatuan yang pertama.


Selain bijak dan petah berucap, Dr. Burhanuddin juga mahir menulis. Beliau banyak menyumbangkan hasil tulisan baik dalam bidang politik maupun homoeopati. Banyak artikel yang ditinggalkan beliau. Sebahagian daripada tulisan itu telah diterbitkan, khususnya mengenai politik. Buku-buku homeopati beliau telah disalin dan diperturunkan kepada kerabat homeopati dari generasi pertama, tetapi malangnya tiada satupun diterbitkan. Sedangkan karyanya mengenai falsafah homeopati, materia medika dan biokimia merupakan rujukan utama dalam bahasa ibunda bagi para pelajar homeopati di Malaysia untuk dua dekad yang pertama.


Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmy

SHAH ALAM: Sudah sampai masanya pejuang-pejuang kemerdekaan yang banyak memberikan sumbangan tenaga, masa dan pemikiran mereka pada satu masa dahulu diberikan pengiktirafan berbentuk anugerah negara.

Meskipun ada di kalangan mereka berjuang di haluan lain di dalam menggembleng kesedaran rakyat negara ini di dalam usaha dan sanggup bangun memperjuangkan hak rakyat di dalam mewujudkan sebuah negara merdeka.

Tokoh-tokoh itu termasuk Dr Burhanuddin Al-Helmy Mohd Noor yang banyak memimpin persatuan yang semuanya menuju ke arah kemerdekaan negara termasuk akhirnya menjadi Yang Dipertua PAS ke-3 pada 25 Disember 1956, Ibrahim Yaakob (Kesatuan Melayu Muda (KMM), Ishak Haji Mohamad yang memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Perkara ini ditegaskan oleh Pengarah Ummah Centre, Haji Ir Izham Hashim ketika berucap dalam Seminar Pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmy pada 2 Ogos lalu di Dewan Muzium Selangor, dekat sini.

Ir Izham juga berharap ada usaha dilakukan untuk mendapatkan kembali wang pencen Dr Burhanuddin sebagai bekas Ahli Parlimen Malaysia Kawasan Besut yang dinafikan sehingga kini termasuk menobatkan beliau sebagai tokoh pejuang kemerdekaan negara yang terlibat selama tiga dekad, sebelum, semasa dan selepas merdeka memertabatkan agama, bangsa dan negara.

Ucaptama seminar itu telah dilakukan oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Husam Musa sekaligus merasmikan seminar serta menyempurnakan pelancaran Ummah Centre sebagai sebuah NGO bebas yang menjalankan kajian menerusi pusat keceriaan ummah.

Turut menyampaikan pandangan di dalam seminar itu adalah Dato’ Kamaruddin Jaaffar, Tan Sri Prof Khoo Kay Kim, Dr Dzulkifly Ahmad, Haji Azmi Abdul Hamid, Prof Madya Saliha Haji Hassan, Haji Khalid Samad dan Saudara Muzammil Mohd Nor.

Majlis itu juga diserikan dengan kehadiran isteri Dr Burhanuddin, Puan Che Suri Haji Yahya, adiknya, Haji Norbit dan anaknya sendiri, Saudara Nouxman dan Haji Shukri serta menantu dan cucu-cucu beliau.


Menurut informasi yang diketengahkan di dalam seminar ini dinyatakan kelahiran Kg Changkat Tualang, Kota Bharu, Perak pada 1911 berketurunan Minang hasil kongsi hidup Haji Mohamad Noor yang berasal dari Batu Sangkar, daerah Tanah Datar, Minangkabau Sumatera dan telah datang ke Perak pada tahun 1908 manakala ibunya, Sharifah Zaharah Habib Osman berasal dari Melaka.

Pada 1934, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Aligarh, New Delhi, India sehingga mendapat PhD di dalam bidang falsafah dan sastera, merupakan seorang yang lemah lembut sehingga digelar Al-Helmy dan disenangi banyak pihak.

Dr Burhanuddin merupakan anak Malaysia pertama terlibat di dalam menyatakan sokongan kepada perjuangan umat Islam Palestin di mana beliau berbuat demikian dalam usia 24 tahun semasa dalam perjalanan pulang dari India.

Beliau juga adalah Pengasas Perubatan Homeopathy Malaysia termasuk banyak menulis buku mengenai pengubatan tanpa dadah itu. Menjadi Penasihat Hal Ehwal Islam & Adat Istiadat Melayu ketika Pendudukan Jepun pada 1942 hingga1945 dengan tujuan untuk menjaga kepentingan sekolah-sekolah agama ketika itu.

Pada 1950, beliau ditahan British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura, 1956 menyertai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu(PAS), dipilih sebagai Yang Dipertua Agung PAS ke-3 menggantikan Dato' Dr Haji Abbas Alias dan 1959 memenangi Kerusi Parlimen Besut,Terengganu Pada Pilihan Raya Umum 1959.

Dari 1964 hingga 1969, Dr Burhanuddin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kononnya menjadi agen Indonesia dan terlibat dengan kegiatan menentang penubuhan Malaysia dan 10 Oktober 1969, beliau meninggal dunia akibat penyakit lelah dan juga kesan seksaan yang beliau terima semasa dalam tahanan ISA. IBH


Tiada ulasan:

Catat Ulasan