nazmi@bharian.com.my
2010/10/25
Teka-teki siapa raih Anugerah Penulisan SEA 2010 terjawabKEJAYAAN penyair generasi muda, Zainal Palit atau lebih dikenali sebagai Zaen Kasturi yang meraih Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2010 bagi Malaysia memberi pengharapan kepada penulis muda bahawa penilaiannya tidak hanya berpihak kepada pengarang veteran.
Penguasaan pengarang berusia lebih 50 tahun sangat ketara dalam tempoh 10 tahun mutakhir seperti Azmah Nordin yang menerimanya tahun lalu; Prof Dr Hatta Azad Khan (2008); Prof Madya Rahman Shaari (2007); Abdul Ghafar Ibrahim (2005); Dr Zurinah Hassan (2004); Prof Dr Zakaria Ali (2003); Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan (2002) dan Zakaria Ariffin (2001).
Dalam tempoh yang sama juga, nama penulis muda turut tersenarai dalam pencalonan seperti Rahimidin Zahari; Ramli Selamat (Marsli NO); Shamsudin Othman; Abdul Hadi Yusof dan Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani), selain Zaen Kasturi sendiri yang hampir meraihnya pada 2007, tetapi Jawatankuasa Penilainya berpihak kepada Rahman, Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM).
Bagaimanapun kali ini, kehadiran satu lagi calon yang disebut-sebut berpeluang meraihnya, iaitu Siti Zaleha Hashim, juga Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Ke-18 Kategori Kumpulan Puisi, tidak berupaya lagi menghalang Zaen Kasturi daripada menjadi Penerima Anugerah Penulisan SEA Ke-32.
Kemenangan itu pasti mengingatkan khalayak sastera kepada penilaian pada dekad awal ia diperkenalkan sejak 1979 apabila Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said menerimanya pada usia 44 dan diikuti Datuk (Dr) Baharuddin Zainal (Baha Zain) yang baru setahun menjengah usia 40-an, sekali gus menerima pada usia lebih muda berbanding Zaen Kasturi, 46.
Justeru, tidak hairanlah Panel Penilai Anugerah Penulisan SEA Malaysia 2010 menyimpulkan Zaen Kasturi sebagai penulis prolifik yang berkarya dalam hampir semua genre sastera dan konsisten dalam menanjakkan pemikiran dalam karyanya.
“Setiap karya Zaen Kasturi selalunya mendukung pemikiran tinggi, seolah-olah kalau ia tidak memberi pemikiran yang besar dan bermakna, beliau tidak akan berkarya. Dengan itu, karya Zean dirujuk sebagai karya bermutu dan mendapat perhatian penulis serta penggiat sastera.
“Tidak syak lagi, dengan kedudukan yang kukuh dalam penghasilan setiap karyanya, Zaen Kasturi mampu meninggalkan kesan yang kuat dalam mempertingkat kedudukan dan martabat kesusasteraan Melayu,” laporan Panel Penilai Anugerah Penulisan SEA Malaysia 2010 dipetik.
Pemilihan Zaen Kasturi yang menghasilkan kumpulan puisi, Katarsis dan Iga itu juga, diharap akan dijadikan permulaan baru kepada penilaian yang memberi tumpuan besar terhadap kekuatan karya daripada sudut estetika dan pemikiran, tanpa terikat kepada faktor berterusan yang pastinya lebih memihak kepada pengarang veteran kerana usia kepengarangan mereka.
Penyair muda, Muhammad Lutfi Ishak, berkata anugerah atau hadiah sastera berdasarkan senioriti bukanlah cara terbaik untuk mengangkat sastera tanah air, sebaliknya pihak bertanggungjawab seperti DBP mengutamakan karya bermutu dalam konteks estetika dan berpemikiran besar.
“Saya anggap kemenangan Zaen Kasturi sebagai isyarat penting dalam meneruskan kesinambungan karya besar yang terkandung dalam khazanah kesusasteraan Melayu yang perlu dikekalkan.
“Pada sama sama, DBP juga wajar menguruskannya dengan lebih baik agar tidak berlaku kelewatan seperti dalam kes Zaen Kasturi, apabila ia diumumkan terlalu lambat sehingga menghilangkan minat khalayak sastera sendiri,” katanya yang menghasilkan kumpulan puisi, Kafe.
Bagaimanapun, kemenangan Zaen Kasturi itu, bagi Muhammad Lutfi, tidak boleh dipandang enteng oleh penulis muda, sebaliknya perlu kembali kepada masyarakat dengan menguasai ruang wacana seperti dalam akhbar untuk memberi fikiran mereka terhadap isu budaya, sastera, politik dan agama.
“Mereka juga perlu menunaikan tanggungjawab kesenimanan mereka dengan menghasilkan karya berbobot, pengucapan segar dan meningkatkan kreativiti pengkaryaan.
“Selain itu, mereka tidak boleh meminggirkan pembabitan dalam persatuan kerana aktiviti yang bersifat kolektif penting disebabkan suara majmuk penulis lebih didengari, khususnya dalam sesetengah isu,” katanya.
Muhammad Lutfi turut mencadangkan penilaian Anugerah Penulisan SEA Malaysia mencontohi penganugerahan bagi Thailand yang mengambil kira karya terbaik pada tahun penilaian tanpa terikat dengan faktor konsisten.
Justeru, tidak hairanlah apabila Anugerah Penulisan SEA 2010 bagi Thailand membuat kejutan apabila Panel Penilainya mengumumkan Zakariya Amataya, 35, sebagai penerimanya melalui kumpulan puisi kecilnya, Poems Without Maidens setebal 83 halaman dan mengandungi 36 puisi yang menyelongkar isu keganasan di Selatan Thailand dan Asia Barat, cinta sejagat, agama, falsafah dan ketuhanan, selain turut memperlihatkan sisi jenakanya.
Selain Zaen Kasturi dan Zakariya, penerima Anugerah Penulisan SEA yang lain ialah Wijaya bagi Brunei Darussalam; Afrizal Malna (Indonesia); Dara Kanlaya (Laos); Marjorie Evasco (Filipina); Johar Buang (Singapura) dan Nguyen Nhat Anh (Vietnam).
Setiap pemenang akan mendapat hadiah wang tunai RM6,796.77 (Bath 70,000), penerbangan dua hala dalam kelas perniagaan oleh Thai Airways International dan penginapan di Hotel Mandarin Oriental, Bangkok, sepanjang menghadiri Minggu Anugerah Penulisan SEA yang bermula 2 hingga 6 November ini.
Penganugerahan pula akan diberikan pada Malam Gala dan Pengurniaan Anugerah oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan Puteri Srirasm di Hotel Mandarin Oriental pada 5 November.
Bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan