Translate

Tajaan

Sabtu, 22 Januari 2011

Mona Fandey 8

Episode XXXII "Tuan-tuan & Puan-puan..."

TARIKH : 9 FEBRUARI 1995
TEMPAT : MAHKAMAH TINGGI TEMERLOH
TERTUDUH : JURAIMI HUSIN, MOHD AFFANDI ABDUL RAHMAN DAN MAZNAH ISMAIL ATAU MONA FANDEY.

SEBELUM tujuh juri membuat keputusan terhadap ketiga-tiga tertuduh perbicaraan kes pembunuhan bekas Adun Batu Talam, Datuk idros @ Mohd Mazlan Idris, Hakim Datuk Mokhtar Sidin menggulung kesnya. Berikut antara petikan penggulung kesnya.


"TUAN-tuan dan puan-puan para juri. Sekarang telah tiba masa bagi saya membuat penggulungan. Sebagaimana yang disedia maklum, perbicaraan telah berjalan lebih daripada tiga bulan sejak 12 September 1994, sungguhpun perbicaraan sebenar hanya 69 hari.

Pada 12 September 1994, juri berikrar untuk memberikan verdik (keputusan) yang sebenarnya berasaskan keterangan yang telah diberikan diperbicaraan ini.telah mendengar keterangan kedua-dua pihak iaitu pihak pendakwa dan pembela. Kini kita berada di peringkat terakhir di mana saya dikehendaki menggulung perbicaraan ini.

Ini juga peringkat juri dikehendaki membuat pertimbangan keputusan dalam perbicaraan ini. Inilah masanya juri dikehendaki memenuhi kewajipan seperti yang diikrarkan dulu.


Sungguhpun saya telah terangkan dengan ringkas berkenaan dengan kewajipan juri dalam perbicaraan setelah juri berikrar dulu, namun izinkan saya terangkan tanggungjawab kita dengan lebih lanjut lagi. Kewajipan saya sebagai seorang hakim yang membuat keputusan atau arahan mengenai persoalan undang-undang. Saya hakim dari segi undang-undang manakala juri
adalah hakim dari segi fakta. Juri bertanggungjawab memutuskan sama ketiga-tiga Orang Kena Tuduh (OKT) atau mana-mana daripada mereka bersalah atau tidak, berdasarkan fakta yang dikemukakan di mahkamah dengan pertimbangan juri. Untuk mendapatkan keputusan yang wajar, juri hendaklah pertimbangkan hanya keterangan dan fakta yang dikemukakan di mahkamah. Juri jangan dipengaruhi apa-apa perkara di luar mahkamah, laporan media massa, komen di luar mahkamah atau apa cara sekalipun. Juri adalah bebas untuk membuat keputusan, melahirkan pandangan serta kesimpulan berdasarkan keterangan yang diberikan dalam mahkamah.


Sekiranya saya memberikan pandangan mengenai saksi, juri boleh mengambil perhatian mengenai pandangan saya tetapi tidak terikat untuk ikut atau bersetuju dengan pandangan saya. Bermakna di sini juri bebas untuk membuat keputusan sendiri mengenai apa-apa fakta atau keterangan tanpa dipengaruhi pandangan atau pendapat saya.

Bagaimanapun, ingin saya ingatkan berkaitan dengan soal undang-undang, juri adalah terikat dengan apa yang saya kata atau putuskan. Jika saya katakan bahawa sesuatu itu adalah undang-undang, juri hendaklah terima kenyataan itu sebagai salah atau betul.

Juri hendaklah menerimapakai (apply) undang-undang itu kepada fakta dari keterangan dalam kes ini. Saya ingin menerangkan secara ringkas beberapa
prinsip undang-undang jenayah yang perlu diingatkan dan diterima pakai oleh juri di dalam kes ini.


Adalah menjadi prinsip utama dalam undang-undang jenayah bahawa seseorang itu dianggap tidak bersalah di sisi undang-undang sehingga dibuktikan bersalah. Undang-undang tidak memerlukan OKT (orang kena tuduh) membuktikan yang ia tidak bersalah dalam mahkamah. Sebaliknya pula, undang-undang 'memerlukan pihak pendakwa membuktikan bahawa OKT adalah bersalah seperti yang dituduh.

Kewajipan untuk membuktikan sesuatu di sisi undang-undang adalah disebut sebagai beban (burden) membukti. Beban membuktikan kesnya melampau sebarang keraguan yang munasabah di dalam bahasa Inggeris `beyond reasonable doubt' adalah dipertanggungjawabkan kepada pendakwa.

Undang-undang tidak memerlukan pendakwa membuktikan kesnya hingga ke tahap 100 peratus sehingga tidak ada sebarang keraguan langsung. Sekiranya juri setelah menilai semua keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan ini, juri masih khuatir sama ada OKT bersalah atau tidak, maka itu adalah keraguan yang munasabah.

Ini adalah keraguan atau kekhuatiran yang wujud dan bersemadi dalam pemikiran juri. Keraguan yang munasabah ini ialah satu-satunya keraguan yang serius yang menyebabkan juri teragak-agak mengenai keputusan yang hendak diberikan.

Keraguan ini hendaklah timbul dari keterangan yang telah dikemukakan atau pun tidak dikemukakan dalam mahkamah. Keraguan inilah bukan keraguan yang tidak nyata yang hanya wujud dalam fikiran juri yang tidak ada keterangan yang memadai.

Sekiranya pendakwa telah menghapuskan semua keraguan dalam fikiran juri, yang saya telah huraikan, maka barulah boleh dikatakan pendakwa telah membuktikan kes terhadap OKT hingga melampui keraguan yang munasabah. Beban pembuktian pembela tidak berat. Kewajipan pembela hanya menimbulkan keraguan terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap OKT.

Pendakwa tidak perlu meyakinkan juri mengenai kes ini. Adalah memadai bagi pembela mengemukakan cerita OKT dan menimbulkan keraguan yang munasabah serta mungkin benar. Berikan manfaat kesangsian kepada pembelaan juri tidak pasti sama ada OKT bersalah atau tidak berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pembela dan pendakwa.

Juri harus ingat bahawa juri bukan saja bertanggungjawab terhadap OKT tetapi juga kepada masyarakat dan negara bagi memastikan OKT mendapat perbicaraan yang adil. Saya yakin juri dapat menjalankan tanggungjawab sambil menegakkan keadilan. Menurut Seksyen 300 Kanun Kesesakan ada lima pengecualian bagi mengetepikan tuduhan membunuh dengan niat.

Bagaimanapun kelima-lima pengecualian ini tidak diterima pakai dalam kes ini. Sekiranya juri berpuas hati pendakwa membuktikan ada rancangan untuk membunuh si mati (Mazlan) untuk ambil wang maka ia tidak mengambil kira siapa yang melakukan pembunuhan itu.


Bagi membuktikan ada niat dalam pembunuhan itu pendakwa perlu membuktikan unsur berikut:

* Bahawa Mazlan mati di antara 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993.

* Bahawa kematian si mati adalah disebabkan perbuatan ketiga-tiga OKT atas niat bersama.

* Bahawa ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan dengan niat dan pengetahuan bersama.

Unsur pertama - (antaranya) si mati kali terakhir dilihat berada bersama OKT 2 berdasarkan keterangan saksi yang dikemukakan di mahkamah oleh pendakwa. Keterangan saksi menunjukkan si mati dilihat kali terakhir bersama OKT 2 pada 2 Julai 1993, jam 11 malam sebelum si mati dilaporkan hilang.

Unsur kedua - (antaranya) pendakwa berjaya membuktikan bahawa kematian si mati berpunca daripada perbuatan ketiga-tiga OKT yang melakukan pembunuhan dengan niat bersama.

Unsur ketiga - (antaranya) penemuan sijil saham si mati di rumah tertuduh dan keterangan itu tidak dipertikaian oleh pembela. Pemberian jam tangan si mati kepada abang OKT 2 menunjukkan OKT 2 berada di tempat pembunuhan. Tambahan pula dia sendiri mengaku meniru tandatangan si mati bagi menukar hak milik si mati. OKT 3 sendiri ketika dibawa oleh polis ke tempat kejadian pada pagi 22 Julai 1993 telah menunjukkan tempat mayat si mati ditanam dengan muncung mulut di samping menunjukkan tempat beberapa barang kes ditemui. Tempat penemuan mayat tidak dipertikaian oleh pembela kerana pendakwa telah membuktikan bahawa ketiga-tiga OKT tinggal di rumah berkenaan ketika pembunuhan berlaku. Mayat yang ditemui di rumah itu turut disahkan oleh isteri dan sepupu si mati dengan keterangan sokongan pakar gigi. Keterangan pakar forensik bahawa kemungkinan si mati ditetak dengan kapak serta ketiadaan sebarang luka tangkis pada mayat si mati membuktikan ada niat dalam kes ini.


Pendakwa juga membuktikan bahawa pembunuh si mati mahu wang si mati kerana sebelum kematian si mati mengeluarkan lebih RM250,000 daripada beberapa bank dan ini disokong oleh keterangan saksi. Simpanan wang ketiga-tiga OKT ketika kejadian tidak banyak. Sebelum si mati hilang mereka ada sekitar RM2,000.

Selepas si mati hilang Affandi dan Mona telah berbelanja besar lebih RM200,000 dalam masa dua minggu. Juraimi turut dikatakan mendapat RM15,000. Kebanyakan not RM1,000 yang dibelanjakan oleh Affandi dan Mona mempunyai hubungan dengan wang yang dikeluarkan oleh si mati yang kebanyakannya not RM1,000.


Affandi dan Mona juga berusaha menjual kereta si mati sementara keterangan saksi turut menunjukkan Affandi berusaha memindahkan harta si mati dengan mendapat perkhidmatan peguam. Keterangan keadaan berdasarkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi turut perlu dipertimbangkan sewajarnya serta teliti. Percakapan beramaran tidak boleh diambil kira oleh juri kerana ia hanya menyokong. Juri juga jangan mengambil kira kejadian lain yang terkandung dalam percakapan beramaran tertuduh kerana seperti yang saya katakan tadi seseorang yang dituduh itu tidak bersalah selagi dibuktikan bersalah. Percakapan beramaran tertuduh tetapi keterangan pendakwaraya semata-mata untuk menyokong kes mereka.

Juraimi dan Affandi memberikan keterangan membela diri lebih dua minggu. Juraimi mengaku dia yang menetak si mati. Dia berkata dia tak sedar apa yang dilakukan dan hanya ikut arahan. Pembelaan Juraimi adalah tiada niat untuk membunuh si mati tetapi hanya mengikut arahan. Juraimi berkata, ada rancangan dua minggu sebelum pembunuhan berlaku.


Affandi berkata, dia menjual tongkat dan songkok kepada si mati dengan harga RM2.5 juta di mana RM500,000 sudah dibayar manakala bakinya dijelaskan secara ansuran. Affandi berkata dia tidak tahu mengapa Juraimi menetak si mati. Dia berkata dia seorang yang hidup mewah, pakai kereta mewah tetapi keterangannya tidak disokong. Jadi timbul persoalan bagaimana
dia memiliki wang yang banyak.

Terpulang kepada juri untuk membuat andaian mengenainya. Affandi berkata dia ada simpan RM400,000 sejak di Petaling Jaya (pada 1992) tetapi saya hairan kerana adalah tidak logik wang sebanyak itu dibawa ke sana kemari ketika hidup di beberapa tempat. Walaupun dia kata ada wang sebanyak itu namun keterangan saksi menunjukkan dia berhutang untuk membeli keperluan dapur.

Pembela juga gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menunjukkan Affandi dan Mona hidup senang lenang dan memiliki kereta mewah sedangkan semua itu dibuktikan dengan mudah sekiranya benar. Malah dakwaan Affandi bahawa tongkat dan songkok yang dijual kepada si mati berhikmat tidak disokong oleh keterangan yang diberikan saksi pembela walaupun saksi pernah terbabit dengan penjualan benda itu kepada beberapa orang.

Pembela juga mendakwa Affandi dan Mona menjual surat sokongan berharga di antara RM2,000 dan RM3,000 tetapi gagal mengemukakan keterangan sokongan bagi menyokong kenyataan itu. Hanya isteri Affandi, Mona yang memberikan keterangan menyokong suaminya. Tetapi keterangan itu tiada nilai kerana kebenarannya tidak dapat ditentukan.

Mona pula memberikan dari kandang tertuduh menyebabkan keterangannya tidak dapat diperiksa balas bagi membuktikan kebenarannya. Juri boleh mengeluarkan keputusan berdasarkan tiga keadaan.

Pertama, sekiranya setelah menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan oleh pendakwa dan pembela, juri berpuas bahawa pendakwa telah membuktikan kesnya terhadap ketiga-tiga OKT atau mana-mana OKT hingga tidak ada keraguan yang munasabah maka juri hendaklah memberi keputusan bersalah.

Kedua, sekiranya juri tidak berpuas hati atau berasa ragu-ragu yang ketiga-tiga OKT atau mana-mana OKT telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesakan tidak terjumlah kepada lima pengecualian maka juri boleh menimbangkan keputusan kesalahan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Ketiga, sekiranya juri berpuas hati bahawa pendakwa telah gagal membuktikan kesnya atau ada keraguan yang munasabah bahawa OKT yang menyebabkan kematian si mati, maka juri hendaklah memberikan keputusan tidak bersalah.

Seterusnya reaksi tertuduh ketika keputusan juri diumumkan...

Episode XXXIV "Sayang!?"

CERITAKU mengenai Mona Fandey hampir ke penghujungnya. Waktu itu adalah hari-hari terakhir aku bersama Mona serta dua tertuduh lain - Juraimi Husin dan Mohd Affandi Abdul Rahman.


Cerita dalam mahkamah sudah selesai. Juri memberi keputusan 7-0. Kalau main bola sepak ni kata orang kena belasah teruk macam pasukan Malaysia. Tugas aku tak tamat lagi, aku kena bekejar ke luar mahkamah kena dapat kenyataan daripada ketiga-tiga tertuduh. Uh, mana dan aje le, hulur perakam kaset. Nanti ada satu gambar, engkau orang nampak tangan aku saja. Hasilnya : "Hukuman itu adil dan saya sudah jangka macam itu," kata Maznah Ismail atau Mona Fandey mengenai keputusan sebulat suara tujuh juri bahawa dia, Affandi dan Juraimi bersalah membunuh Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris.

Katanya, dia puas hati dengan keputusan mahkamah dan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Saya menerima keputusan itu. Syukur Alhamdulillah."

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada wartawan dan seluruh rakyat Malaysia. Saya cintakan Malaysia," katanya ketika dibawa keluar dari bilik mahkamah untuk ke trak polis.

Menjawab soalan, Mona berkata dia sangat sayangkan suaiminya, Affandi. "I love Encik Fandi very much," katanya..


Ditanya mengapa sayang Affandi, Mona menjawab: "Affandi adalah hak saya, hak saya juga adalah hak Affandi."

Mengenai anaknya Mona menjawab: "Anak saya tak kisah, kalau ada laki, dapat anak."

Mona ketika ditanya sama ada mahu meminta maaf kepada keluarga Mazlan seperti yang dilakukan oleh Juraimi, katanya:

"Saya sayang pada keluarga Datuk semua. Sebagai adik kandung saya."


Affandi pula ketika ditanya perkara yang sama pula menjawab:

"I only (saya cuma) minta maaf to God (pada tuhan). Pada isteri Datuk pun tidak."

"I'm not the one who do it (bukan saya melakukan pembunuhan itu), but he the one who do it (tetapi dia yang melakukannya)."


Juraimi pula ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah, berkata dia macam biasa dan tidak gugup ketika menunggu keputusan itu.

Episode Finale "Senyum"

TANGGAL 10 Februari 1995, itulah kali terakhir aku bertemu muka dengan Maznah Ismail atau Mona Fandey dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Husin. Pada hari itu, aku bertemu Mona dan Affandi di Balai Polis Temerloh, Pahang. Di sini mereka ditahan sehari selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi Temerloh kerana dengan niat bersama membunuh bekas Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. Juraimi pula ditahan di Balai Polis Raub. Dari sini Mona dibawa ke Penjara Kajang, sementara Affandi dan Juraimi ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu rayuan masing-masing.


Memang rezeki aku dapat bertemu Mona. Apa tidaknya, aku mendapat tips bahawa Mona dan Affandi akan dibawa ke penjara pada awal pagi itu. Aku bergegas ke balai polis dari hotel, tempat menginap dengan hanya memakai kemej-T. Pakai apa saja yang ringkas, takut tidak dapat bertemu mereka. Nasib baik, Mona baru dibawa keluar dari lokap. Tapi pada waktu itu, aku tidak sempat bercakap dengannya kerana diiringi polis. Namun, sebagai wartawan, aku tidak mengalah dan buat apa saja asalkan Mona buka mulut. Apabila peluang tiba, soalan pertama yang keluar dari mulut aku adalah :"Wah glamourlah Kak Mona." Itu kata orang soalan pemanis mulut - pembuka bicara - untuk memancing dia bercakap.

Nak tahu apa Mona jawab : "Saya tak mahu glamour. Dari dulu pun saya tak glamour."


Mona sering berpakaian cantik dan seksi serta berdandan sepanjang perbicaraan kes bunuh Datuk Mazlan Idris.

Ditanya jika tidak mahu glamour mengapa pula berpakaian cantik. Jawapannya agak laser, katanya dalam sinis : "Yalah, takkan hendak telanjang pulak." (Ambil kau, kena sebiji). Menurutnya lagi, dia mahu tersenyum ketika dalam tahanan sementara menanti rayuannya dan hukuman selepas itu.

"Saya mahu tersenyum kepada semua orang. Senyum bagi orang tengok," katanya dari trak polis yang membawanya ke Penjara Kajang.

Pada hari itu, Mona seperti pada hari dijatuhkan hukuman, kelihatan riang dan ketawa dengan anggota polis yang berada di situ. Bomoh itu sempat juga bergurau dan mengucapkan selamat tinggal kepada anggota polis di balai itu. Mona dan suaminya, Affandi serta Juraimi, didapati bersalah mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mereka didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada Julai 1993.


Mona sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua orang sambil berkata: "Saya sayang orang Malaysia. Terima kasih."

Ditanya perasaannya yang menjadi pesalah dan bukan lagi tertuduh katanya: "Saya sama saja dari dulu. Orang tengok pun macam itu."

Sebelum trak polis meninggalkan perkarangan Balai Polis di sini untuk ke Balai Polis Raub mengambil Juraimi, Mona sempat berpesan: "Jangan tulis bukan-bukan. Saya tidak suka apa saya katakan ditokok tambah. Jangan tulis sebarangan, jangan buat cerita." (Kena sebiji lagi)


Apa yang dibawa Mona ke penjara? Aku nampak lima bungkusan plastik mengandungi pakaian dan alat solek Mona dan suaminya Affandi.

Itu cerita Mona, lain pula cerita Affandi. Aku ingat peluang untuk bercakap dengannya buat kali terakhir tidak kesampaian. Apa tidaknya, ketika sibuk 'memburu' Mona, Affandi sudah masuk ke dalam trak untuk ke Penjara Sungai Buloh. Tapi, kata orang kalau ada rezeki, tak ke mana. Ketika trak itu hendak beredar dari balai polis, Affandi berteriak dan memanggil aku. Dia tahu aku wartawan, mana tidaknya, aku duduk di depan dia setiap hari perbicaraan. Tapi, dia tak tahu nama aku.


Dia kata, saya nak cakap sikit. Katanya : "I will pray to God."

Katanya lagi :"Saya mengucapkan selamat berjaya kepada Malaysia, semoga Malaysia berjaya."

Bomoh itu juga sempat memberi ucapan kepada tujuh juri dan Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang mendengar perbicaraan itu dengan berkata: "Saya berdoa kepada Tuhan semoga juri dan hakim panjang umur."

Sebelum trak polis meninggalkan balai polis di sini, Affandi melambaikan tangan sambil berkata: "Selamat tinggal semua."



Juraimi pula yang bercakap dari dalam van yang membawanya ke Penjara Kajang di perkarangan Balai Polis Mentakab, semalam, ketika ditanya apa yang akan dilakukannya ketika dalam tahanan sementara menunggu rayuan dan hukuman seterusnya berkata: "Saya akan beramal dan berdoa supaya panjang umur."

Pengalaman membuat liputan kes Mona Fandey adalah antara paling berharga dalam hidup aku sebagai wartawan. Banyak yang aku pelajari daripada kes ini bukan saja dari segi perundangan, malah lebih penting 'hidup dengan lebih bernakna sebagai hamba Allah.'

Apa yang aku ceritakan dalam kes ini adalah benar. Ini kerana semua yang memberi keterangan telah bersumpah memberi keterangan sebenar-benarnya. Hanya diri mereka dan Allah yang tahu jika mereka berbohong.

Engkau orang sudah baca dan nilai sert timbangkan sendiri dengan minda dan akal kurniaan Allah. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Itulah kali terakhir aku bertemu Mona, Affandi dan Juraimi. Selepas itu aku tidak mengikuti kes rayuan mereka kerana bertugas di London selama dua setengah tahun. Aku pulang ke tanah air pada 1998 dan hanya mengikuti perkembangan kes rayuan mereka melalui media saja.


Pada Subuh 2 November 2001, Mona, Affandi dan Jurami menjalani hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan. Jenazah mereka selamat disempurna dan dikebumikan pada hari sama. Jenazah Modan dan Affandi dikebumikan sebelah menyebelah di Tanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. Jenazah Juraimi pula dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Al-Fatihah- Amin.

kredit diberikan kepada bro miraks kerana menghasilkan 35 episod perjalanan kisah perbicaraan Mona Fendi. kalau korang nak tau lebih lanjut pasal bro ni boleh refer kat blog ni..

mesin taip buruk

utk pengetahuan korang, "aku" dalam setiap episode bukannya aku yg mengopipes ni sebaliknya adalah merujuk kepada bro miraks..

sama2 kite doakan kesihatan beliau..

Mona Fandey 7

Episode XXVIII "Jujur"

PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi Husin, menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995 :

Di dalam kes yang berada di depan kita ada dua isu yang perlu penjelasan dan keterangan lanjut.

Isu pertama dalam kes ini adalah sama ada Orang Kena Tuduh (OKT) pertama (Juraimi) mempunyai niat bersama seperti yang diterangkan dalam Seksyen 34 Kanun Keseksaan untuk melakukan pembunuhan ke atas bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris bersama-sama dengan OKT kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) dan OKT ketiga (Maznah Ismail atau Mona Fandey).

Isu kedua ialah adakah pembunuhan itu yang dilakukan oleh Juraimi menyebabkan OKT pertama dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 302 kanun yang sama jika sabit kesalahan. Kata kunci di sini adalah niat yang membawa maksud hajat atau tujuan.

Apabila kita mengatakan hajat atau tujuan ianya membawa erti pula kepada sesuatu yang akan diperolehi atau didapati sebagai imbuhan niat itu. Ia mestilah mempunyai rantaian penyebab atau 'chain of causationer'. Sebagai contoh, dalam kes ini niat membunuh Mazlan mempunyai rantaian iaitu untuk membolot harta serta wang ringgitnya.

1. Persoalannya apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

2. Adakah Juraimi mendapat keuntungan daripada pembunuhan itu?

3. Apakah natijah pembunuhan itu terhadap Juraimi?

Persoalan ini telah pun dijawab oleh saksi pendakwa dan pembela.

Juraimi tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk membunuh Mazlan. Niat jahat hanya ada pada Affandi dan Mona saja. Ini jelas kerana daripada keterangan saksi pendakwa ke-20, Azmi Abdul Rahman yang mengatakan
dia diminta menubuhkan syarikat dan memindahkan geran tanah milik Mazlan. Segala transaksi itu langsung tidak membabitkan Juraimi.

Saksi pendakwa ke-21, Mohd Nashir Hussein dan saksi ke-22, Kong Foo Mun serta saksi ke-33, Abdul Latiff Ahmad mengesahkan nama Juraimi tiada dalam apa-apa transaksi yang diuruskan oleh mereka.

Saksi pendakwa ke-24, pakar bedah plastik, Dr Wong Kang Seng mengatakan Mona ada menjalankan pembedahan plastik untuk kecantikan. Perbelanjaan ini adalah hasil dari wang yang diperolehi daripada Mazlan, sedangkan OKT pertama ditinggalkan di (Kampung Peruas) Ulu Dong, dalam keadaan yang serba kekurangan dan daif.

Saksi ke-28, Tengku Yahya Tengku Abdullah juga mendapat nikmat daripada Affandi dan Mona. Di sini jelas menunjukkan individu yang tidak ada kena
mengena mendapat keuntungan seperti Azmi dan Tengku Yahya. Jika OKT pertama mempunyai kepentingan bersama OKT kedua dan ketiga, sudah tentu Juraimi tidak ditinggalkan dalam serba kekurangan.

Ini jelas bahawa Juraimi telah digunakan oleh OKT kedua dan ketiga. Saksi ke-39, Tan Teck Seng, seorang pemandu yang baru dikenali juga mendapat nikmat. Dia telah dijemput untuk menjadi rakan kongsi untuk perniagaan kereta terpakai oleh Affandi, sedangkan OKT pertama langsung tidak dipedulikan.

Demikian juga dengan saksi pendakwa lain yang mengatakan bahawa Affandi dan Mona membelanjakan banyak wang ringgit untuk kepentingan mereka berdua serta bermewah-mewah.

Sedangkan Juraimi hanya diberi pada mula RM180 dan kemudian RM1,500, yang mana RM1,000 untuk beli makanan itik dan RM500 untuk makannya. Di sini jelas dilihat taraf permakanan itik adalah lebih tinggi dan baik daripada taraf Juraimi sendiri.

Oleh yang demikian apakah niat Juraimi membunuh Mazlan?

Saya berhujah OKT pertama membunuh Mazlan tanpa sebarang niat kerana Maxim `Actus non facit reum nisi men sit rea' tidak ada pada OKT pertama.

`Men rea, guilty mind' atau suatu pemikiran jahat adalah penting dalam kes jenayah, tetapi ini tiada pada Juraimi.

Walaupun dalam kes bunuh, motif tidak penting, tetapi motif adalah penting untuk menentukan sama ada OKT pertama bersalah mengikut Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu berada dalam keadaan yang dia sendiri tidak dapat mengawal perbuatannya. Juraimi telah mengatakan dia tidak sedar apa yang dilakukannya sebelum kejadian (malam pembunuhan pada 2 Julai 1993) dan hanya sedar semula setelah Affandi berjumpa dan menyentuhnya dia di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993.

Di mana OKT pertama secara spontan dan sukarela memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis seperti keterangan saksi ke-56, Penolong Penguasa Mahpop Jaafar.

Keterangan yang mengatakan Affandi menyentuh Juraimi disokong oleh saksi pendakwa ke-57, Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd.

Keterangan ini nampak mudah, tetapi penting untuk menunjukkan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua kerana ini dibuktikan sendiri oleh Affandi dalam keterangannya. Affandi dengan bangga mengatakan bahawa dia telah memberi air jampi kepada OKT pertama, lalu Juraimi boleh bersilat.

OKT kedua berkata lagi, dengan minum air jampi seseorang itu tidak boleh membuka langkahnya sendiri ikut sesuka hati. Affandi juga berkata bahawa dengan sekali sentuh OKT pertama boleh menidurkan ayam.

Apabila ditanya dalam pemeriksaan balas, adakah untuk memulihkan semula ayam ini juga perlu disentuh Affandi menjawab, ya.

Untuk itu, mahkamah mestilah melihat perkara ini dalam skop yang lebih luas iaitu adalah dipercayai sebelum kejadian OKT kedua telah memberi air jampi kepada OKT pertama, supaya Juraimi menurut saja apa yang diarahkan kepadanya.



Affandi turut menyentuhnya supaya lupa apa yang berlaku sehinggalah disentuh sekali lagi pada 22 Julai 1993, yang mana OKT pertama sedar semula.

Menurut Mahpop, pada 19 Julai 1993, dia ke tempat kejadian bersama OKT pertama, tetapi Juraimi sendiri tidak tahu apa tujuan dibawa ke sana. Pada hari itu, Mahpop mengambil pita video dan sijil-sijil saham yang disimpan dalam laci almari besi kepunyaan Affandi, tanpa ditunjuk Juraimi.

Mahpop apabila ditanya Gulam, berkata Juraimi tidak memberi kerjasama seperti 22 Julai 1993. Apabila saya menyoal balas Mahpop sama ada OKT pertama patuh kepada OKT kedua, saksi ke-56 itu bersetuju.

Ini membuktikan bahawa OKT pertama adalah di bawah kuasa OKT kedua.

Saksi ke-39, Tan Teck Seng juga mengatakan Juraimi patuh kepada Affandi.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua.

Episode XXIX "Gila"

PEGUAMBELA Ikmal Hisam Idris yang membela tertuduh pertama dalam perbicaraan kes bunuh bekas Adun Batu Talam, Juraimi Husin, meneruskan hujah penggulungan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Keterangan OKT pertama adalah apa yang sebenarnya berlaku dan dia adalah seorang saksi jujur berbanding keterangan OKT kedua, Mohd Afandi Abdul rahman.

OKT kedua mempunyai trend yang bahaya dan perlu penapisan yang cukup teliti kerana sentiasa cuba mengelak serta menangkis kebanyakan soalan yang dikemukakan kepadanya, dengan melemparkan beban kepada OKT ketiga dan pertama. Malah beban itu juga dilemparkan kepada peguamnya sendiri.

Hampir keseluruhan keterangan Affandi adalah satu pembohongan dan OKT kedua mahu mahkamah mempercayai keterangannya.

OKT kedua juga mengakui mahu menjual kereta milik Mazlan bernombor pendaftaran CAA 5115, tetapi berkenaan songkok, tongkat dan azimat tidak dijual kerana bukan haknya, tapi hak mangsa (Mazlan). Keterangan ini bercanggah di antara satu sama lain.

OKT kedua juga berkata, pada 6 atau 7 Julai 1993, dia bersama OKT ketiga, anak mereka (Mazdiana Affendy), Tengku Yahya dan Simon (Tan Teck Seng) ke tempat kejadian semula untuk mengambil dokumen Mona.

Pemergian sebenar OKT kedua dan ketiga ke sana untuk memastikan semua arahan Affandi dan Mona kepada Juraimi telah dipatuhi sepenuhnya. Ini kerana telah menjadi satu trend kepada semua penjenayah untuk melawat kembali tempat kejadian bagi memastikan semua bukti yang boleh mengaitkan si penjenayah itu dihilangkan atau dikenali sebagai `Doctrine of Lapse'.

Ini dapat dilihat pada barang kes P22 (rakaman percakapan beramaran Mona) pada muka 31 para 50, di mana OKT ketiga mengatakan "Kami berada di Ulu Dong kira-kira satu jam sahaja. Sebenarnya tujuan kami balik untuk periksa keadaan rumah dan Gondrong (Juraimi) tentang kematian Datuk Mazlan".

Pada muka 28, para 43 baris lima, OKT ketiga mengatakan "Ketika itu saya nampak Affandi berpaling kepada Gondrong sambil memberi isyarat kepadanya dengan mengarahkan matanya supaya Gondrong jalankan kerjanya. Saya nampak Gondrong memegang kapak dan terus `dum' ke leher Datuk Mazlan."

Keterangan OKT ketiga dari kandang orang kena tuduh juga tidak patut diambil kira oleh mahkamah, sebaliknya rakaman percakapan beramaran Mona mestilah diterima.

Sebelum 22 Julai 1993, Juraimi adalah dalam keadaan tidak boleh berfikir dengan waras dan tidak boleh mengetahui sebab serta akibat daripada perbuatannya serta tidak boleh mengawal pergerakan dirinya sendiri.

Dia telah menjadi seperti robot kepada OKT kedua dan ketiga. OKT pertama juga dijadikan tempat untuk membuang segala bebanan kerja jahat OKT kedua dan ketiga.

Perancangan ini dapat dilihat daripada mereka masih di Kuantan lagi yang mana semua bil diletak atas nama Juraimi, setelah dia tidak lagi diperlukan, OKT pertama ditinggalkan untuk menghadapi apa-apa saja yang bakal menimpa dirinya.

Menurut keterangan saksi pembela ke-4, Sarjan Masara Yuasuap keadaan OKT pertama ketika ditahan adalah seperti seorang penagih dadah kerana berada dalam keadaan khayal, mata merah berair, bercakap tak tentu arah, rambut panjang paras bahu, muka cengkung, badan kurus dan pakaian
lusuh dan kotor.

Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam, Masara mengatakan OKT pertama kurang normal dan ada masa kita bercakap dengan dia, dia diam dan ada masa dia tak faham apa kita cakap.

Masara juga memberi keterangan pada masa ini Juraimi nampak gemuk, rambut pendek, muka dia cerah dan pakaian kemas. Keterangan saksi pembela ke-6, Sarjan Mejar Mashood Yaacob juga sama dengan keterangan saksi pembela ke-4, yang mana saksi ke-6 berkata, OKT pertama bermata kuyu, badan kurus, berambut panjang serta berpakaian lusuh dan kotor.

Mahpop juga berpuas hati OKT pertama ditangkap atas alasan dadah kerana keadaan Juraimi ketika itu seperti penagih dadah. Menurut keterangan Masara dan OKT pertama, OKT pertama ke Balai Polis Dong sebanyak dua kali (pada 13 Julai 1993).

Juraimi berkata, pada kali pertama beliau dibawa ke Balai Polis Dong dengan sebuah landrover polis dan kemudian dilepaskan kerana OKT pertama hendak beri makan burung dan itik, serta pegawai juga tiada.

OKT pertama disuruh datang pada jam 7 malam. Juraimi agak terlewat dan menelefon Balai Polis Dong dari Kampung Pamah Kulat mengatakan dia terlewat sedikit.

Kedatangan kali kedua ini bolehlah dikatakan sebagai serah diri dan OKT pertama tidak gentar atau takut ke Balai Polis Dong kerana ini jelas menunjukkan dia tidak tahu apa sebenarnya berlaku.

Sekiranya OKT pertama tahu apa yang telah dilakukannya itu menyalahi undang-undang, ketika dilepaskan kali pertama itulah peluang yang sehabis baik untuk dia melarikan diri.

Jelas bahawa Juraimi, tidak mempunyai sebarang motif, niat dan tujuan berkaitan dengan tragedi kejadian itu. Memandangkan kepada keterangan yang ada, OKT pertama tidak boleh disabitkan kesalahan membunuh dengan niat bersama yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tetapi Juraimi mestilah dihukum mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Dari segi perlakuan, OKT pertama adalah seorang pendiam, sabar, tidak pernah menyakiti hati orang, tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah sebelum ini dan orang kampung tidak pernah mengadu apa-apa hal yang tidakbaik terhadapnya. Demikian yang diterangkan oleh saksi ke-3 pembela, Husin Jamaluddin.

Saksi pendakwa ke-58, Noraini Abdul Rahman juga menyokong pandangan ini dengan mengatakan Juraimi adalah seorang yang baik dan pendiam. Kebenaran ini juga disokong oleh Affandi sendiri yang berkata, OKT pertama tidak banyak cakap, rajin serta tekun dan taat kepadanya.

Dengan keadaan inilah OKT kedua mengambil kesempatan untuk mempergunakan OKT pertama. OKT pertama juga mengatakan dia tidak mempunyai apa-apa dendam terhadap Mazlan. Dia juga tidak pernah bergaduh, bermasam muka atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Malah, hubungan OKT pertama dengan Mazlan macam biasa saja. Juraimi juga tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Mazlan, baik dari segi perbadi mahupun perniagaan. OKT kedua juga mengatakan setahunya OKT pertama tidak ada apa-apa perselisihan faham dengan Mazlan. Oleh demikian dengan bukti serta autoriti yang telah dijelaskan, adalah dengan ini dihujahkan bahawa OKT pertama tidak ada langsung niat bersama untuk membunuh Mazlan dan ketika Juraimi menetak leher Mazlan, dia melakukannya dalam keadaan tidak sedar yang menyebabkannya tidak tahu akibat serta natijah daripada perbuatannya dan oleh itu dia patut dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Sekian

Episode XXX "Keraguan Munasabah"

HANYA orang tidak siuman akan melakukan pembunuhan ngeri ke atas Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris yang dipotong kepada 18 bahagian.

Peguambela Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan berkata, mengikut keterangan Juraimi ketika melakukan pembunuhan itu, dia tiada perasaan, hilang akal dan seperti sesuatu masuk ke dalam badannya.

Katanya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey dalam keterangan mereka pula menyatakan Juraimi seperti orang hilang pedoman dengan giginya terkancing ketika pembunuhan itu.



"Adakah di sini hendak dinyatakan kemungkinan Juraimi tidak siuman ketika itu?

"Di sini, saya meminta pihak juri memberi perhatian terhadap perkara ini," katanya ketika menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Menurutnya, hanya pakar atau psiktrik yang dapat menentukan keadaan Juraimi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada keterangan menyokong bahawa Juraimi tidak siuman atau tidak sedar seperti dalam keterangannya. Peguambela Affandi dan Mona itu juga mempersoalkan mengapa peguambela Juraimi tidak mengemukakan laporan mengenai keadaan tertuduh pertama yang diarah menjalani rawatan sakit jiwa di Hospital Kuantan, Oktober 1994.

Pada soalan ini, peguambela Karam Singh Bhal bangun membantah dan berkata, perkara itu telah diberitahu kerana Hospital Kuantan tiada kemudahan untuk menjalankan rawatan itu.

Ikmal Hisam Idris kemudian menambah, tujuan Juraimi dihantar ke hospital itu bukan untuk menentukan sama ada dia siuman atau tidak, tetapi bagi menguji tahap IQnya.

Gulam yang tidak puas hati dengan jawapan itu kemudian menyoal, mengapa tiada laporan mengenainya.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Mokhtar Sidin berkata, perkara itu telah diperjelaskan kepada semua peguambela dan timbalan pendakwaraya di kamarnya. Gulam kemudian berkata tiada laporan mengenainya. Hakim kemudian menjawab dengan nada marah: "Encik Gulam jangan berlagak, berlakon. Saya panggil semua orang dalam kamar saya dan jelaskan perkara itu.

"Saya kurang senang dengan kenyataan Encik Gulam, seolah-olah Encik Gulam diabaikan, tidak diberitahu langsung mengenainya."

Gulam kemudian berkata: "Maksud saya, mengapa tiada ada susulan pemeriksaan itu."

Ikmal kemudian bangun dan berkata: "Kami meminta mahkamah supaya pemeriksaan itu tidak diteruskan."

Peguambela Affandi dan Mona seterusnya berhujah.



Yang Arif dan juri, seperti yang telah saya katakan sebelum ini, sejauh mana kita hendak mempercayai keterangan Juraimi Husin. Ini terletak kepada keterangannya di mahkamah dan rakaman percakapan beramarannya yang menjadi barang kes.

Untuk menentukan kewibawaan Juraimi, saya membawa juri kepada beberapa perkara mengikut keterangannya di mahkamah dan rakaman percakapannya.

Dalam percakapan beramarannya, Juraimi ada memberitahu: "Lebih kurang seminggu sebelum pembunuhan, Haji Fendi (Affandi) telah beritahu saya supaya siap buat Datuk."

Dalam keterangannya, Juraimi berkata cadangan itu datang daripada Mona dan Affandi yang suruh buat persiapan.

Apabila disoal balas oleh saya, Juraimi berkata, bukan Mona tetapi Affandi yang arahkan.

Di sini, menimbulkan satu keraguan yang mana kita hendak pakai bagi membuat keputusan. Versi yang mana satu yang betul. Juraimi telah bercakap bohong. Di sini, dia tidak bercakap betul dan ini menimbulkan keraguan terhadap Affandi dan Mona.

Dalam keterangan di mahkamah, Juraimi berkata: "Saya tidak ada apa-apa rancangan dibuat olehnya. Affandi dan Mona tidak berbincang dengan saya dan saya sendiri tidak tahu."

Dalam percakapan beramaran, Juraimi kata: "Semuanya telah dirancang."

Ini adalah satu perancangan yang hebat dan saya minta juri mengambil kira perkara ini sedalam-dalamnya.

Pihak juri perlu memberi penilaian terhadap perkara ini dengan membandingkan percakapan beramaran dan keterangan Juraimi di mahkamah.

Bolehkah kita korbankan dua nyawa (Affandi dan Mona) dengan hanya mendengar keterangan daripada Juraimi?

Dalam keterangan mahkamah, pihak pendakwa bergantung semata-mata kepada keterangan Juraimi (pengakuan pembunuhan Mazlan dan rancangan membabitkan Mona dan Affandi).

Saya berani berkata tanpa keterangan Juraimi, tiada keterangan kuat atau prima facie bagi pihak pendakwa.

Dalam keterangan Juraimi ada berkata Affandi mengambil selimut dan bantal ke bilik air. Dalam percakapan beramarannya pula, Juraimi kata Mona ambil
selimut dan bantal ke bilik belakang. Lihatlah juri, percanggahan ini. Ini adalah satu lagi untuk kita menguji sejauh mana kewibawaan keterangan Juraimi. Hendakkah kita percaya keterangan Juraimi untuk korbankan dua nyawa.

HAKIM: Encik Gulam, jangan cakap untuk korbankan nyawa. Kita belum buat sebarang keputusan lagi.
(Gulam kemudian mengemukakan beberapa fakta dalam keterangan dan percakapan Juraimi yang bercanggah).

Affandi dan Mona telah menafikan bahawa mereka memberi arahan kepada Juraimi (untuk melakukan pembunuhan itu).

Yang Arif dan juri, saya ingin membawa kembali kepada perkara tidak sedar yang dibangkitkan oleh Juraimi ketika saya menyoal balasnya.

Juri, jika Juraimi tidak sedar bagaimana dia sedar ketika menerima arahan. Di sini tiada niat bersama. Di mana kedudukan niat bersama. Di sini, sukar untuk dinilai keadaan tidak sedar, hanya pakar dan psiktrik yang dapat membantu kita di sini (untuk menentukan keadaan Juraimi).

Tapi, kita tidak mendapat perkhidmatan mereka untuk menolong kita. Juraimi kata dia tidak sedar dua minggu sehingga disentuh oleh Affandi pada 22 Julai 1993.

Mengapa Juraimi tidak disentuh sekarang supaya Juraimi tidak boleh berkata apa-apa mengenai pembunuhan itu.

Kalaulah Affandi dan Mona mempunyai kuasa seperti itu sudah itu mereka menggunakan kuasa itu pada bila-bila masa.

Di sini, saya meminta juri berfikir, ini adalah sesuatu perkara yang pelik sekali. Adakah pengakuan Juraimi itu benar. Itu yang juri perlu fikirkan dengan teltiti tanpa keterangan pakar dan psiktrik.

Peguambela Juraimi yang bijaksana telah mencadangkan, Juraimi diberi minum segelas air jampi sebelum pembunuhan supaya Juraimi menurut arahannya. Affandi berkata tidak.

Ini satu tuduhan yang dilemparkan kepada Affandi, yang mana tidak berasas sama sekali. Jika Juraimi tidak sedar ketika melakukan pembunuhan, bagaimana dia boleh sedar ketika Affandi menyentuh badannya?

Ini semua cerita dongeng dan karut, alasan yang tidak berasas dan tidak boleh diterima sama sekali. Perkara tidak sedar dan diberi air jampi tidak timbul langsung dalam percakapan beramaran Juraimi. Ini fakta, bukan saya
merepek di sini.

Mengapa tidak sebut kerana perkara ini tidak berlaku langsung. Ini adalah rekaan yang datang daripada pembelaan Juraimi. Apabila saya soal balas mengapa tidak sebut, Juraimi berkata dia terlupa, tak ingat.

Saya katakan perkara tidak sedar dan disentuh ini, sengaja diada-adakan untuk menyelamatkan dirinya. Dalam keadaan tidak sedar, Juraimi boleh menetak tepat ke leher Mazlan. Jika dalam keadaan tidak sedar Juraimi menetak leher Mazlan, tentu Affandi dan Mona sudah habis. Juraimi hentam saja, tetak di mana-mana tubuh Mazlan, tak perlu tumpu pada leher.

Di sini saya mahu juri membuat pertimbangan kerana keterangan Juraimi bahawa dia tidak sedar datang dari dirinya sendiri. Tiada keterangan sokongan seperti daripada pakar atau psiktrik. Sudah tentu jika dia tidak sedar, Juraimi akan tetak di mana-mana. Ini tidak, jasad dipotong kepada 18 bahagian, lebih bijak dari pakar bedah atau tukang potong daging.

Affandi ada berkata: "Kita semua habis." Affandi berkata demikian dengan secara spontan kerana perbuatan Juraimi, kami semua terbabit.

Dalam keterangan Affandi, dia ada berkata Juraimi berkata kepadanya:"Bapa dan ibu hanya ada, tapi saya yang buat." Ini bermakna kejadian pembunuhan itu telah berlaku tanpa niat bersama oleh Affandi dan Mona.

Percakapan beramaran Affandi telah diambil pada 23 Julai 1993, sehari selepas ditahan polis. Affandi tidak mempunyai masa untuk mereka-reka cerita ketika memberi percakapan beramaran itu.

Jadi apa yang berlaku ke atas Affandi dan Mona seperti yang diceritakan dalam percakapan beramaran itu adalah benar. Tiap-tiap alasan pihak pembela ialah Juraimi tidak sedar, tanpa keterangan menyokong. Alasan yang diberikan Juraimi adalah sesuatu untuk membebaskan dirinya sendiri.

Kalaulah dengan menggunakan taktik ini dan telah menerima arahan dia tidak bersalah dan dibebaskan, tidak selamat kita semua. Juraimi boleh melakukannya lagi dan menggunakan taktik yang sama.

IKMAL: Yang Arif, tuduhan itu tidak adil.

HAKIM: Encik Gulam, berlaku adil.

GULAM: Dalam keadaan sama ada Juraimi sedar atau tidak, sama ada dia siuman atau tidak, mahukah juri sama sekali percaya dengan keterangannya, mahukah mengorbankan kedua-dua nyawa (Mona dan Affandi).

HAKIM: Bagaimana dengan nyawa tertuduh pertama?

GULAM: Mahukah juri korbankan ketiga-tiga nyawa, jika betul Juraimi tidak sedar.

Oleh sebab tiada keterangan sokongan atau bukti dari pakar dan psiktrik, kita tidak boleh terima keterangan Juraimi.

Pihak pendakwa gagal membuktikan satu kes pembunuhan terhadap Affandi dan Mona tanpa sebarang keraguan. Sekarang saya pergi kepada motif pembunuhan. Kita tidak ada satu pun keterangan bahawa Affandi dan Mona telah mengambil wang milik Mazlan yang ditunaikan pada 2 Julai 1993.

Pihak pendakwa cuba mengaitkan pembelian barang kemas, perabot dan kereta oleh Affandi dan Mona dengan wang RM298,850 yang ditunaikan oleh Mazlan pada hari itu. Kita tidak ada bukti sama ada wang yang dibayar oleh Affandi dan Mona untuk pembelian barang itu diambil dari Mazlan.

Di sini kita tidak boleh kata motif Affandi dan Mona beri arahan kepada Juraimi supaya membunuh Mazlan kerana wang. Sebaliknya Affandi dan Mona memang mempunyai wang RM400,000 sejak tinggal di Petaling Jaya (pada 1992) dan RM500,000 lagi cengkeram penjual tongkat, songkok dan
azimat kepada Mazlan.

Keterangan ini tidak dipatahkan oleh mana-mana pihak Berkaitan dengan RM298,850, wang itu telah diagih-agihkan kepada ahli Umno ketika mesyuarat oleh Mazlan secara sulit pada malam kejadian terbabit. Pendakwa tidak ada keterangan yang mereka menggunakan duit Mazlan. Angka-angka itu diberikan oleh pegawai-pegawai bank yang memberi keterangan di mahkamah.

Kita juga mempunyai cukup keterangan Affandi dan Mona hidup mewah. Ini berdasarkan keterangan Mona dan Affand sendiri, serta abang Mona, Tengku Yahya Tengku Abdullah dan abang Affandi, Azmi.

Mengenai mengapa Affandi dan Mona tinggal di rumah buruk di Tanjung Lumpur, Kuantan, itu tidak menjadi persoalan. Itu terpulang kepada budi bicara seseorang, ada orang tidak suka menunjuk-nunjuk. Orang kampung pun tidak menunjuk-nunjuk, tapi ada banyak harta. Begitu juga dengan mengapa mereka ada kereta kecil. Itu juga terpulang kepada budi bicara.

Bagi mereka cukup hidup mewah dengan tinggal dan makan di hotel-hotel. Affandi dan Mona tidak rancang untuk membunuh Mazlan, jika mereka rancang sudah tentu Affandi tidak mahu mendedahkan dirinya pada hari pembunuhan itu.

Affandi mengikuti Mazlan ke Kuala Lumpur, jumpa adik Mazlan, jumpa anak bekas Menteri Besar, pergi mesyuarat Umno dan jumpa ahli-ahli Umno. Jika mereka merancang untuk bunuh Mazlan sudah tentu Affandi tidak mendedahkan dirinya kepada orang ramai.

Tiada keterangan menyatakan Juraimi dipaksa atau diugut supaya membunuh Mazlan. Tiada keterangan Affandi dan Mona mengambil bahagian dalam pembunuhan itu, mereka berada di situ cuma untuk menjalankan upacara mandi bunga.

Saya katakan bagi pihak pembela Affandi dan Mona telah menimbulkan keraguan. Mereka tidak berniat bersama untuk membunuh Mazlan. Mereka tidak harus didapati bersalah mengikut Seksyen 302. Mereka harus dilepas dan dibebaskan.

Sekian hujah saya.

Lepas ni hujah pendakwa.

Eisode XXXI "Kanun Keseksaan"

TIMBALAN Pendakwaraya, Zakaria Sam menggulung hujahnya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.



Pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh ialah:

"Bahawa kamu di antara jam 10 malam 2 Julai 1993 hingga 12 tengah malam 8 Julai 1993, di sebuah rumah tanpa nombor, di Kampung Peruas, Ulu Dong, dalam daerah Raub di dalam negeri Pahang, dengan niat bersama seperti yang ditakrifkan oleh Seksyen 34 Kanun Keseksaan, telah melakukan kesalahan bunuh, iaitu menyebabkan kematian YB Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris (nombor kad pengenalan 1317702) dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama."

Fakta yang tidak dipertikaikan di sini ialah:

1. Pada hari pembunuhannya Datuk Mazlan telah mengeluarkan wang hampir RM300,000 dari beberapa bank di Kuala Lumpur.

2. Jasad yang ditemui dalam lubang stor di rumah yang didiami oleh Juraimi, Affandi dan Mona di Ulu Dong adalah jasad Mazlan.

3. Mazlan telah dibunuh di rumah tempat kediaman ketiga-tiga tertuduh pada 2 Julai 1993 jam lebih kurang 11.30 malam.

4. Pada masa kejadian ketiga-tiga mereka berada di situ.

5. Ketiga-tiga tertuduh mengenali Mazlan beberapa bulan sebelum kejadian.

6. Juraimi telah membawa pihak polis kepada penemuan senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Apa yang dipertikaikan di sini ialah siapakah yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu.

- Juraimi mengatakan dia telah menetak leher Mazlan kerana arahan Affandi dan Mona. Sebulan sebelum kejadian, Affandi dan Mona telah membuat rancangan untuk membunuh Mazlan dan dia diminta memberikan kerjasama.
Semasa menetak itu dia dalam keadaan tidak sedar.

- Affandi dan Mona pula di satu pihak mengatakan pada malam kejadian ketika mereka menjalankan upacara mandi bunga ke atas Mazlan, Juraimi dengan tiba-tiba seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan. Motif Juraimi berbuat demikian kerana cemburukan hubungan Mazlan dengan Noraini.

Bagi pihak pendakwa pula, pembunuhan itu adalah hasil perancangan bersama ketiga-tiga tertuduh untuk membunuh Mazlan pada 2 Julai 1993. Dalam usaha membuktikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh, pendakwaan bergantung kepada peruntukan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30 Akta Keterangan.

Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan:

"Apabila suatu perbuatan jenayah dilakukan oleh beberapa ramai orang bagi mencapai niat bersama mereka semuanya, tiap-tiap seorang daripada mereka itu adalah bertanggungjawab atas perbuatan itu sama seperti seolah-olah perbuatan itu telah dilakukannya olehnya."

Ini bermakna walaupun Juraimi yang menetak leher Mazlan sehingga membawa maut, Affandi dan Mona adalah dianggap turut membunuh Mazlan kerana mereka bertiga telah merancangkan pembunuhan itu bersama-sama.
Pembunuhan itu adalah satu operasi yang dirancangkan bersama-sama oleh ketiga-tiga tertuduh. Tetakan pada leher Mazlan dan kemudian jasadnya dikerat-kerat dan lapah dagingnya adalah bukti niat untuk membunuh. Tugas setiap tertuduh telah ditentukan lama sebelum kejadian:

- Satu lubang yang besar dan dalam digali oleh Juraimi beberapa hari sebelum kejadian,

- Juraimi telah mengasah kapak, Affandi dan Mona setiap seorang mengasah sebilah parang yang akan digunakan dalam pembunuhan itu,

- Affandi dan Mona akan berpura-pura menyediakan Mazlan untuk membuat ibu duit dengan membaring dan mendongakkan kepalanya,

- Juraimi akan menetak leher Mazlan,

- Mayat itu akan dikerat-kerat dan dilapah, kemudian ditanam dalam lubang stor dan disimen supaya pembunuhan itu tidak dapat dikesan.

Seksyen 30 Akta Keterangan pula memperuntukkan:

"Apabila lebih daripada seorang dibicarakan bersama atas suatu kesalahan yang sama, dan pengakuan salah yang dibuat oleh seorang daripada mereka yang menjejaskan dirinya dan beberapa orang lain itu terbukti, mahkamah boleh menimbangkan pengakuan salah itu bagi menentang orang yang lain itu dan juga bagi menentang orang yang membuat pengakuan salah itu."

Ini membawa maksud apabila Juraimi mengaku menetak leher Mazlan di atas arahan Affandi dan Mona, keterangan Juraimi mengesahkan pembabitannya dalam rancangan pembunuhan itu boleh digunakan terhadap Affandi dan Mona untuk membuktikan pembabitan mereka dalam pembunuhan itu.

Dalam kes ini, Juraimi melalui keterangannya di mahkamah dan percakapan beramarannya telah mengaku menetak leher Mazlan seperti yang dirancang oleh mereka bertiga.

Dia juga dengan percakapan beramaran Mona yang menyebut perancangan mereka bertiga untuk membunuh. Percakapan Mona boleh digunakan terhadap Juraimi dan Affandi.

Saya berhujah bahawa adanya niat bersama ketiga-tiga tertuduh untuk membunuh Mazlan. Percakapan beramaran Juraimi dan keterangannya di mahkamah jelas menunjukkan pembabitan Juraimi dalam pembunuhan itu.

Juraimi tahu akan niat Affandi dan Mona untuk membunuh Mazlan bagi mendapatkan wangnya, tanah dan harta lain yang berharga. Beliau bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada Affandi dan Mona dalam melaksanakan rancangan itu.

Menurutnya, perancangan telah dibuat sebulan sebelum kejadian. Peranannya telah ditetapkan seperti mengasah kapak, menggali lubang, mendirikan stor, mencari kayu dan tayar buruk. Dia ditugaskan untuk menetak leher Mazlan hingga putus, mengerat-ngerat jasad Mazlan, melapah dan seterusanya menanamnya.

Juraimi dengan jelas mengatakan dia telah menetak leher Mazlan tiga kali untuk memutuskannya. Ini untuk memastikan Mazlan mati seperti dirancangkan bersama.

Percakapan beramaran Juraimi jelas menunjukkan dia akan menerima habuan sebanyak RM15,000. Walaupun Juraimi dalam keterangannya mengatakan dia tidak mempunyai niat dan sebab serta tidak memperolehi sebarang kepentingan dari segi kewangan dalam pembunuhan itu, itu tidak relevan.

Dia menyertai rancangan itu dari awal lagi dengan penuh kesedaran. Katanya, dia diminta bekerjasama dan mengikut saja dan dia mengaku menetak leher Mazlan. Kapak yang diasahnya dengan tajam itulah yang digunakan untuk menetak leher Mazlan.

Niat dan motif tidak penting kerana ada keterangan nyata bahawa Juraimi di atas pengakuannya menetak leher Mazlan. Dia tahu perbuatannya salah. Apabila sepupu Mazlan datang bertemunya seminggu selepas kejadian bertanyakan mengenai Mazlan dia mengaku menjadi takut dan terus menanam semua senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Hujah saya, apabila sepupu Mazlan datang sekali lagi pada 12 Julai 1994 mencari Mazlan dan mengugut untuk laporkan kepada polis, Juraimi jadi takut dan ke Kuala Lumpur mencari Affandi dan Mona, kerana takut rahsia pembunuhan terbongkar.

Keterangan Juraimi ini dan percakapan beramarannya boleh digunakan terhadap Affandi dan Mona untuk menunjukkan niat bersama mereka bertiga untuk membunuh Mazlan. Ini diperuntukkan mengikut Seksyen 30 Akta Keterangan.

Juraimi dalam keterangan dan percakapan beramaran jelas mengatakan bahawa rancangan pembunhan Mazlan datang dari Affandi dan Mona. Mona telah arahkan korek lubang dan Affandi arahkan ikat batu. Affandi dan Mona asah parang untuk pembunuhan, Affandi menyuruh Juraimi menunggu Mazlan datang. Pada 2 Julai 1993 sebelum Mazlan datang pada sebelah malam, Mona telah memberitahu Juraimi bahawa Mazlan akan bawa banyak duit malam itu dan telah suruh Juraimi standby untuk pembunuhan.

Keterangan Juraimi, sebulan sebelum kejadian Affandi dan Mona telah memberitahu rancangan mereka kepada saya. Apa yang jelas di sini, rancangan membunuh Mazlan telah dibuat oleh Affandi dan Mona sebulan sebelum Mazlan dibunuh. Ini memberikan masa yang cukup untuk Affandi dan Mona merencanakan rancangan mereka dengan rapi.

Mereka menunggu masa yang sesuai iaitu apabila Mazlan membawa duit yang banyak. Saya berhujah, Mazlan mengeluarkan wang yang banyak ini bukan untuk diagihkan kepada penyokongnya, tetapi dibuat ibu duit kerana dia memerlukan wang yang banyak bagi pemilihan Ketua Bahagian Umno. Ini berasaskan dalam kenyataan saksi pendakwa ketiga, Ramlan Majid yang tidak menyebut Mazlan mengagih-agih duit pada malam itu. Encik Gulam ketika menyoal balas Ramlan ' tidak mengemukakan soalan mengenai pengagihan wang.

Juraimi pula mengatakan dia ada mendengar Affandi memberitahu Mazlan, nanti ada orang cakap duit akan banyak jatuh. Adalah jelas pada 1 Julai 1993 lagi, Affandi sudah tahu bahawa pada keesokan harinya Mazlan akan
keluarkan banyak wang. Dengan itu dia memberitahu Mona pada 2 Julai
1993 sebelum ke Kuala Lumpur supaya beritahu Juraimi untuk bersedia untuk
pembunuhan pada malam itu.

Mona menyampaikan arahan itu kepada Juraimi sekembalinya dari menghantar Madiana ke sekolah. Peranan Mona dalam pembunuhan ini jelas dilihat dari percakapan beramarannya.

Para 41 mengatakan rancangan pembunuhan itu adalah rancangan pembunuhan mereka bertiga dan bagaimana Affandi telah memberi isyarat kepada Juraimi untuk menetak leher Mazlan.

Kemudian dia dan Affandi telah mencuci darah di luar bilik air di bahagian lantai. Jadi adalah jelas ada niat bersama dan perancangan di antara mereka untuk membunuh Mazlan pada malam 2 Julai 1993. Pembelaan Juraimi ialah ketika kejadian dia tidak sedar apa yang berlaku.

Dia tidak sedar dari tarikh kejadian dan hanya sedar pada 22 Julai 1993 apabila Affandi memegang bahunya. Hujah saya, cerita Juraimi bahawa dia tidak sedar ketika kejadian hanyalah rekaannya semata-mata bagi melepaskan diri dari pertuduhan. Ini berdasarkan alasan berikut:

Perkara dia tidak sedar, tidak ada perasaan, saya khayal semacam sesuatu masuk ke badan, langsung tidak disebut dalam percakapan beramarannya. Encik Gulam juga ada bertanya sebanyak dua kali kenapa tak beritahu polis dalam percakapan beramaran bahawa dia khayal, Juraimi tidak beri jawapannya.

Kalau inilah pembelaannya adalah mustahil bagi dia tidak menyebutnya dalam percakapan beramarannya kerana perkara ini amat penting. Kalau tidak sedar bagaimana Juraimi boleh mencari Affandi di Tin Mines, beli cincin dan rantai emas di Kuala Lumpur, bermalam di rumah kawan di Klang dan ceritakan dengan terperinci kejadian pembunuhan dari awal hingga akhir.

Juraimi juga mengaku membohongi Penolong Penguasa Mahpop Jaafar ketika ditanya di mana Affandi dan Mona berada pada 19 Julai 1993. Pembohongan itu untuk menutup fakta bahawa ketika itu Mazlan telah mati dan menunjukkan Juraimi sedar apa yang berlaku.

Kalau tidak sedar bagaimana Juraimi boleh sedar Affandi beri RM180 pada malam kejadian, Mona beri RM1,000 dan Affandi suruh tambah RM500 pada 8 Julai 1993. Juraimi juga ingat pesanan Mona RM1,000 untuk makan itik dan RM500 untuk makannya.

Cerita Juraimi bahawa dia hanya sedar apa yang berlaku setelah Affandi menyentuhnya di Balai Polis Raub pada 22 Julai 1993 dan memintanya menceritakan apa yang berlaku adalah rekaan Juraimi kerana:

- Kalau dia tidak sedar, dia tidak akan tahu Affandi menyentuh bahunya.

- Juraimi memutuskan untuk menceritakan pada peringkat ini apa yang sebenarnya berlaku kerana Affandi telah beritahu polis rahsia pembunuhan itu. Jadi, tiada sebab untuknya menyimpan rahsia itu.

- Sebelum Juraimi sedar dia boleh mengingati dengan terperinci di mana Affandi dan Takbir berdiri dalam bilik di Balai Polis Raub, siapa berada dalam bilik itu termasuk jarak Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd daripadanya.

Juraimi juga boleh mengingati dengan jelas telah menetak leher Mazlan tiga kali kerana dua tetakan pertama leher Mazlan tidak putus. Juraimi juga melukis kedudukannya, Affandi dan Mona dalam rajah kasar. Kalau tidak sedar masakan dia boleh ingat dan melukiskan kedudukan itu.

Apakah yang dimaksudkan oleh Juraimi bahawa dia tidak sedar? Adakah dia tidak sedar hingga ke peringkat tidak siuman? Beban membuktikan bahawa dia tidak sedar hingga ke peringkat tidak siuman terletak di bahunya.

Pembelaan Affandi dan Mona pada malam itu ketika mereka sedang memandikan bunga ke atas Mazlan, tiba-tiba Juraimi datang dan tetak leher Mazlan.

Menurut Juraimi, tidak ada mandi bunga, itu hanya alasan Affandi dan Mona. Upacara yang dijalankan pada malam itu ialah upacara membuat ibu duit untuk menggandakan duit Mazlan kerana:

1. Juraimi ada mendengar Affandi memberitahu Mazlan dalam bilik air, nanti ada orang cakap duit akan banyak jatuh.

2. Untuk mandi bunga Mazlan tidak perlu berbaring.

3. Dalam upacara mandi bunga tidak perlu mengeraskan semangat.

4. Tidak perlu Juraimi mengangkut bekas air mandi bunga untuk buang keluar kerana di bilik air itu ada laluan air.

5. Hanya sekuntum bunga orkid digunakan. Untuk mandi bunga beberapa jenis bunga digunakan.

Adalah saya berhujah upacara membuat ibu duit malam itu sebenarnya hanyalah alasan untuk Mazlan disuruh berbaring supaya senang lehernya

1. Besen diletakkan di bawah kepala Mazlan untuk menakung darah yang keluar dari lehernya supaya tidak keluar melalui laluan air keluar rumah yang mana akan dilihat orang.

2. Juraimi ada mendengar Mazlan berkata kepada Affandi bahawa dia tidak tahan mendongak lama-lama. Untuk mandi bunga tidak perlu kepala Mazlan didongakkan lama-lama kerana air mandian akan masuk ke teling dan hidung. Ketika berbaring kepala Mazlan diletakkan di atas bendul batu yang agak tinggi. Ini akan menyebabkan lehernya terlindung. Dengan mendongakkan kepala Mazlan di atas bendul yang tinggi leher Mazlan akan terdedah luas bagi memudahkan Juraimi menetaknya dengan tepat seperti dirancangkan.

3. Selimut yang diletakkan di bawah badan Mazlan untuk menyerap darah yang mengalir bagi kurangkan kesan darah.

4. Bilik air itu sempit untuk empat orang. Tanpa perancangan rapi, bukan mudah untuk Juraimi menetak leher Mazlan.



Jadi keterangan Affandi dan Mona bahawa Juraimi masuk dengan tiba-tiba menetak leher Mazlan adalah rekaan mereka untuk mengenakan Juraimi seorang, kerana:

1. Jika benar Juraimi masuk meluru dan menetak leher Mazlan, tangan Affandi dan Mona akan tertetak sama kerana masa itu Affandi kononnya sedang mengusap muka Mazlan dan Mona sedang menjirus muka Mazlan.

2. Apabila kepala Mazlan didongakkan dan Affandi menutup mata Mazlan pada ketika itu Affandi memberi isyarat tangan kepada Juraimi supaya masuk dan tetak leher Mazlan. Sementara itu Affandi dan Mona beralih ke belakang untuk memudahkan Juraimi menetak.

4. Kalau Juraimi meluru masuk dalam keadaan hilang pedoman dia tidak akan dapat menetak dengan tepat leher Mazlan. Ini menunjukkan ada perancangan rapi.

5. Keterangan Affandi dan Mona yang mengatakan Juraimi masuk secara tiba-tiba dan menetak leher Mazlan juga bercanggah dengan percakapan beramaran Affandi:

"Gondrong bangun dan telah mencapai kapak besar yang berada di tepi pintu dekat kami mandikan Mazlan dan terus menetak pada halkum Mazlan."

Cerita Affandi yang tidak konsisten ini jelas menunjukkan dia berbohong mengenai kejadian sebenarnya.

5. Cerita Affandi dan Mona bahawa Juraimi meluru masuk dan seperti orang hilang pedoman menetak leher Mazlan adalah cerita rekaan mereka berdua untuk meletakkan beban keseluruhan ke atas bahu Juraimi.

6. Sebelum menetak Mazlan, Affandi ada berpesan kepada Juraimi: "Rong tetak biar tepat jangan salah tempat, kalau tidak habislah kita." Inilah perancangan mereka bertiga.

7. Menurut Juraimi, perancangan awal adalah mereka bertiga akan bersama-
sama mengerat badan Mazlan kerana itulah Affandi dan Mona masing-masing mengasah satu parang. Tapi pada malam kejadian Juraimi seorang yang mengerat dan melapah daging Mazlan. Mona dan Affndi ke Kuala Lumpur, tinggalkan Juraimi melakukan kerja itu sendirian.

8. Adalah hujah saya bahawa mayat Mazlan dikerat-kerat dan dilapah supaya cepat busuk dan senang dihapuskan.

9. Juraimi juga ada bertanya kepada Affandi bagaimana dengan mayat ini. Affandi jawab, tanya ibu dulu. Affandi keluar dan jumpa Mona, masuk semula dan berkata, ibu suruh tanam saja. Ini jelas menunjukkan adanya rancangan niat bersama.

10. Selepas kejadian sebelum ke Kuala Lumpur, Affandi telah memberikan Juraimi RM180 dan pada 8 Julai 1993 mereka beri Juraimi RM1,500. Keterangan ini tidak dicabar dan ini menunjukkan ada perancangan bersama. Kalau Juraimi melakukan pembunuhan itu atas sebab-sebab sendiri, tidak ada sebab Affandi dan Mona berinya wang itu.

11. Juraimi menafikan dia ada memberitahu Affandi selepas kejadian. Bapa dan ibu keluar, orang macam ini lebih baik mampus. Ibu bawa adik lari mana-mana, biar Gondrong tanggung. Ini adalah rekaan Affandi untuk melepaskan dirinya dan Mona. Kalau benar Juraimi ada berkata begini, kenapa pula Juraimi hendak membabitkan mereka berdua? Jika benar Juraimi ada berkata demikian kenapa Juraimi tidak disoal dalam soal balas mengenai perkara ini. Hujah saya bahawa apa yang tercatat dalam percakapan beramaran Juraimi dan keterangan di mahkamah serta percakapan beramaran Mona mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan adalah perkara sebenarnya berlaku. Jika pembunuhan itu tidak dirancangkan oleh Affandi dan Mona, tidak ada sebab untuk Juraimi mengait atau membabitkaan Affandi dan Mona dengan kejadian itu. Affandi dan Mona tidak ada mengemukakan sebarang keterangan kepada mahkamah bahawa Juraimi ada berselisih faham, dendam, sakit hati dengan mereka untuk menganiayai mereka.

12. Menurut Affandi dan Mona, Juraimi menetak leher Mazlan malam itu kerana Juriami cemburu dengan Mazlan yang mempunyai hubungan sulit dengan Noraini.

Ini dinafikan oleh Juraimi dan Noraini.

Dengan ini jelas Affandi dan Mona gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan mengenai pembelaan mereka dalam pembunuhan Mazlan. Pembelaan Mona. Pihak pendakwa telah membuktikan kepada mahkamah bahawa Mona telah memberi percakapan beramaran kepada Takbir pada 14 Ogos 1993 dan mahkamah memutuskan percakapan itu diberi secara sukarela dan diterima sebagai barang kes. Dalam percakapan itu, Mona menjelaskan akan rancangan pembunuhan Mazlan oleh mereka bertiga dan bagaimana Affandi telah memberi isyarat kepada Juraimi untuk menetak leher Mazlan dan dia kemudian telah mencuci darah di luar bilik air. Menurutnya, tujuannya dan Affandi kembali ke Ulu Dong pada 8 Julai 1993 untuk memeriksa ke atas rumah dan Gondrong tentang kematian Mazlan. Mona telah memilih memberi penyataan dari kandang tertuduh. Apa pembelaannya? Hanyalah penafian semata-mata. Mona telah menafikan memberi percakapan kepada Takbir. Dalam kenyataannya Mona tidak langsung memberi penjelasan jika dia tidak terbabit dalam rancangan pembunuhan kenapa tidak laporkan kejadian itu atau menasihatkan Affandi laporkan kepada polis. Mona juga tidak menjelaskan kepada mahkamah selepas menyaksikan satu pembunuhan ngeri dan dalam keadaan terkejut dan tergamam, Mona boleh membeli kereta mewah tujuh atau 8 jam selepas pembunuhan, membeli-belah barang kemas dan perabot, menyanyi di music lounge Hotel Park Royal dan menjalani pembedahan plastik. Tindak tanduk atau kelakuannya bukanlah kelakuan orang yang munasabah.

Selanjutnya keputusan juri dan penghakiman.

(Pernah dengar citer sorang akak warden penjara. Semasa menjaga Mona ni, memang seram sejuk walaupun berada di dalam jeriji besi. Dan Mona ni asyik tersenyum jer bila pandang warden warden penjara yg menjaganya. Di dalam jeriji besi tu jugak, dia asyik tawaf jeriji besi tu.

Menjaga Mona ni, warden kene penjara sekali. Maksudnya, Mona ni ditempatkan di dalam jeriji besi yg diluarnya pun dipenjara gak. Senang, Penjara didalamnya ada penjara lagi. Ketat betul tempat tu diawasi.)


Mona Fandey 6

Episode XXIII "Pukau"




AJAL dan maut semuanya ketentuan-Nya. Hal ini tiada siapa yang boleh melawannya. Betapa kuat atau kebalnya kita di dunia ini, Allah lebih daripada segala-galanya. Kalau Allah katakan jadi, maka jadilah seperti kehendak-Nya.

Intro semacam aje. Bukan apa, ada kaitan dengan cerita seterusnya. Bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris memiliki tongkat, songkok dan azimat yang dikatakan dapat menjadikannya kebal,kalis kaca dan peluru, tapi dia mati kerana hanya ditetak dengan kapak. Mengapa boleh jadi begitu. Ketentuan Illahi.

Tapi, bomoh Mohd Affandi Abdul Rahman ada jawapannya ketika disoal mengenai perkara itu di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Dia mengakui bahawa Mazlan yang memiliki tongkat, songkok dan azimat mempunyai kekuatan itu. Tapi, dia mati selepas lehernya ditetak oleh Juraimi Husin kerana barang-barang berkenaan tidakada padanya (Mazlan) ketika itu. Menurutnya, pada malam pembunuhan 2 Julai 1993, Mazlan hilang kekebalannya kerana tidak memegang tongkat serta tidak memakai songkok dan azimat.

"Songkok, tongkat dan azimiat itu perlu dipakai bersama setiap masa untuk memastikan kesaktiannya," katanya ketika menjawab soalan balas Timbalan Pendakwaraya Zakaria Sam.

Selain itu, Affandi berkata, hikmat lain barang itu ialah dapat membuatkan pemiliknya makan kaca dan menundukkan seorang. Katanya, jika tongkat itu dihalakan kepada wanita hamil sambil membacakan perkataan tertentu, kandungannya akan gugur. Menurutnya, Mazlan tahu segala hikmat tongkat, songkok dan azimat yang dikatakan dibeli dengan harga RM2.5 juta. Menjawab soalan Zakaria bahawa Mazlan tidak perlu ilmu itu kerana diabukan hendak berperang ke Somalia, Affandi menjawab: "Soal perang atau tidak itu soal orang yang memilikinya. Dia hendak pergi berperang itu hak dia. Ini kerana tongkat ini ibarat ikhtiar, bagaimana Nabi Musa menggunakan tongkat untuk membelah laut."

ZAKARIA: Itu nabi.
AFFANDI: Ya, tapi melalui doa.

Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian berkata, apa yang ada pada Nabi Musa adalah mukjizat dan bukan doa saja. Ini adalah perkara yang berbeza. Affandi juga berkata, Mazlan memerlukan tongkat, songkok dan azimat itu untuk keselamatannya dalam bidang politik.

Memanglah sukar nak percaya benda macam ini. Tapi, ia memang tidak dinafikan berlaku. Kalau tidak, takkan timbul perkara macam ni. Entah betul ke tidak, hanya Allah dan tuan punya diri yang tahu...



Bercerita pasal benda ini, ramai yang bertanya betul ke Affandi tu bomoh hebat. Kalau pandai main bomoh kenapa kena tangkap. Kenapa tak pukau aje semua orang supaya ikut cakap dia. Nak tahu apa dia cakap ketika soalan itu ditanya dalam mahkamah.

Affandi berkata dia sudah tentu memukau peguambela Ikmal Hisam Idris di mahkamah jika mempunyai pengetahuan mengenai ilmu hitam itu. Menurutnya, dia tidak mengetahui ilmu pukau seperti yang dikatakan oleh peguambela Juraimi Husin itu. Katanya, kenyataan Ikmal bahawa dia (Affandi) telah memukau Juraimi sehingga tertuduh pertama tidak boleh berbuat apa-apa dan mengikut sajaarahannya, adalah tidak benar.

"Saya tidak pukau Juraimi dan saya tak tahu ilmu pukau. Kalau saya ada ilmu pukau, sudah tentu Encik Ikmal saya pukau," katanya disambut gelak mereka yang berada di mahkamah, termasuk Juraimi dan Maznah Ismail atau Mona Fandey. Affandi, Mona dan Juraimi menghadapi tuduhan dengan niat bersama membunuh Datuk Mazlan Idris di rumah tak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub pada Julai 1993. Affandi juga menolak kenyataan Ikmal bahawa dia memberi air jampi kepada Juraimi sehingga tertuduh pertama hilang pendoman dan menurut saja arahannya.

Menurutnya, air jampi itu diberikan kepada sesiapa saja yang belajar silat dengannya. Katanya, dia juga pada bila-bila masa tidak mempunyai rancangan untuk menganiaya Juraimi yang dianggapnya sebagai anak sendiri. Dalam keterangan lain pula. Mazlan mengakui ada menyimpan
patung Cina, India dan Siam di setiap rumah yang dia tinggal kerana keunikan dan seni ukirnya.




Affandi berkata patung-patung itu ditinggalkan oleh orang yang berubat dengannya. Menurutnya, pertanyaan mengenai patung itu pernah dikemukakan oleh Juraimi Husin, ketika mereka tinggal di Teluk Gong pada 1991.

"Saya beritahu Juraimi, saya selalu mengubat orang. Kadangkala ada orang India, Cina dan Siam datang.

"Mereka (orang yang datang berubat) mempercayai jika patung itu ada di rumah, mereka akan sakit dan tidak boleh tidur.

"Mereka bawa patung itu untuk saya melihat dan menawari jika ada sesuatu yang ada pada patung itu," katanya ketika disoal peguambelanya, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan. Affandi berkata, mereka meninggalkan patung itu di rumahnya dan ada yang tidak mengambilnya semula.

Katanya, dia bimbang untuk membuang patung itu kerana mungkin pemiliknya mahu patung itu semula.

"Saya juga beritahu Juraimi, saya tidak anggap patung itu sebagai patung. Jika patung itu dibuat daripada besi, saya anggap besi. Kalau tanah, tanahlah dan kalau kaca, kacalah. Bukan istilah patung kepada saya," katanya.

Affandi juga mengakui dia mempunyai bilik memuja di setiap rumah yang mereka tinggal, tapi menurutnya, bilik itu adalah bilik untuk memuja kalimah Allah.

Episode XXIV "RM2.5 Juta"


TENTU ada yang bertanya mengapa soal tongkat sakti dan songkok hikmat menjadi perkara penting dalam keterangan pembelaan tertuduh kedua dan ketiga kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris. Dua barang itu dikatakan sanggup dibeli Mazlan dengan harga RM2.5 juta.

Jumlah itu yang didakwa Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey hutang Mazlan kepada mereka. Itu dakwa Affandi dan Mona. Tapi berlainan pula dengan tertuduh pertama, Juraimi Husin. Dia mendakwa pasangan bomoh itu membunuh bekas Adun Batu Talam itu kerana harta, duit dan kereta.

Juraimi berkata, Mona dan Affandi berniat membunuh Mazlan dan merancang pembunuhan itu sejak Jun 1993.

"Mona dan Affandi ada niat membunuh Datuk Mazlan kerana harta, duit dan kereta.

"Apa yang saya katakan ini bukanlah rekaan semata-mata untuk melepaskan diri daripada tuduhan membunuh Datuk Mazlan, tetapi adalah kenyataannya. "Saya tidak bohong," katanya menjawab soalan peguambela Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995. Affandi dalam keterangannya pula menafikan tuduhan itu dan mendakwa pembunuhan itu dilakukan tanpa pengetahuan mereka oleh Juraimi seorang diri. Jadi kalau bukan kerana harta, mengapa geran tanah, wang dan kereta Mazlan bertukar tangan kepada pasangan bomoh itu.

Aku tak mahu cerita panjang. kau orang baca aje keterangan Affandi.




Datuk Mazlan menyerahkan geran tanahnya kepada bomoh Affandi sebagai cagaran RM2 juta iaitu baki bayaran bagi azimat, songkok dan tongkat yang dikatakan boleh menjadikan Mazlan sebagai Menteri Besar. Affandi berkata, Mazlan akan melunaskan bayaran RM2 juta itu selepas beliau berjaya dalam pemilihan bahagian Umno pada 1993. Menurutnya, Mazlan menjelaskan RM500,000 sebagai cengkeram mendapatkan azimat, tongkat dan songkok yang semuanya bernilai RM2.5 juta kepadanya di Tanjung Lumpur pada 1993.

"Datuk Mazlan membawa duit itu dalam briefcase ke rumah saya di Tanjung Lumpur pada 1993.

"Dia membuka briefcase itu dan kemudian menyerahkan wang RM500,000 dan saya kemudian memberinya azimat, songkok dan tongkat itu," katanya.

Menurutnya, dia kemudian memberikan RM400,000 yang kebanyakannya dalam not RM1,000 kepada isterinya, ketika mereka berpindah dari Tanjung Lumpur ke Ulu Dong.





Affandi juga memberitahu mahkmah, Mazlan ada memberinya surat mengenai penjualan sebahagian tanahnya di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub kepada pasangan bomoh itu.

Menurutnya, dia membeli tanah itu dengan harga RM7,000, iaitu RM4,000 dibayar di Tanjung Lumpur dan RM3,000 lagi dijelaskan di Ulu Dong pada 1993.

Katanya, surat itu pernah ditunjukkan kepada saudara mara Mazlan, termasuk anak saudaranya, Noraini Abdul Rahman dan Tarmizi Abdul Rahman, selepas mereka kerap kali bertanya sama ada Mazlan sudah menjual tanah itu kepada Mona dan Affandi.

Dalam keterangannya, Mohd Affandi juga mengaku memalsukan tandatangan Datuk Mazlan dalam surat perjanjian jual beli tanah dan banglo milik bekas Adun Batu Talam itu di Jalan Semarak (dulu JalanGurney), Kuala Lumpur, Julai 1993.

Affandi meniru tandatangan Mazlan berdasarkan sekeping surat Mazlan mengenai pembayaran RM250,000 bagi pembelian tanah dan rumah di Jalan Gurney.

"Saya telah meniru tandatangan Datuk Mazlan berdasarkan surat itu dan menurunkannya dalam surat perjanjian jula beli itu," katanya.

Menurutnya, urusan penyediaan surat perjanjian itu dilakukan oleh abangnya, Azmi dengan peguam Mohd Nashir Hussein dari syarikat guaman, Nashir Johal & Company.

Nashir dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa surat perjanjian itu bertarikh 6 Julai 1993. Menurutnya, dia juga tidak melihat Mazlan menandatangani surat perjanjian itu.

Affandi ketika ditanya peguambelanya, Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan, berkata surat Mazlan mengenai pembayaran RM250,000 itu disimpan dalam beg hitamnya.

Bagaimanapun, surat itu tidak ada dikemukakan di mahkamah..

Episode XXV "Kasih Gondrong"

KITA telah mendengar keterangan pembelaan diri tertuduh pertama, Juraimi Husin dan tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman dalam perbicaran kes bunuh Datuk Mazlan Idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994.

Juraimi sudah mengaku menetak leher Datuk Mazlan dengan kapak yang menyebabkan kematian bekas Adun Batu Talam itu. Affandi pula memberitahu mahkamah Juraimi melakukan perbuatan itu sendiri tanpa arahannya. Dia dan isterinya, Maznah Ismail atau Mona Fandey tidak merancang atau terbabit dalam pembunuhan Datuk Mazlan.

Bagaimana dengan Maznah Ismail atau Mona Fandey?

Mengikut rakaman percakapan beramarannya dia mengaku terbabit dalam pembunuhan Datuk Mazlan. Rakaman percakapan beramaran itu diterima masuk sebagai barang kes pada 21 November 1994.

Timbalan Pendakwaraya, Zakaria Sam, berkata bukan Juraimi Husin saja terbabit dalam pembunuhan Mazlan di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong, pada malam 2 Julai 1993, malah Mona juga terbabit.

"Mona juga terbabit dalam pembunuhan itu melalui pengakuannya dalam rakaman percakapannya.

"Itulah yang saya katakan ada rancangan bersama untuk melakukan pembunuhan Datuk Mazlan pada malam itu," katanya. Apakah keterangan pembelaan Mona atas tuduhan itu. Berbeza dengan Juraimi dan Affandi, Mona memilih untuk memberi kenyataan dari kandang orang kena tuduh tanpa boleh dicabar oleh sesiapa di Mahkamah Tinggi Temerloh pada awal 1995. Kes ini berlarutan hingga 1995.



Mona memilih untuk memberi kenyataan dalam kandang orang kena tuduh selepas jurubahasa mahkamah membacakan tiga pilihan untuk membuat pembelaan kepadanya.

Mona berdiri di kandang tertuduh untuk memberi kenyataan.

HAKIM: Nama.

MONA: Nama saya Maznah Ismail atau Tengku Rohani Tengku Abdullah dan satu lagi Mona Fandey.

GULAM: Cakap kuat-kuat sikit kerana hakim hendak mencatat.

MONA: Selamat berbahagia kepada juri-juri, Timbalan Pendawaraya. Saya tertuduh ketiga, Mona atau Mona Fandey dan suami saya, Encik Affandi (Mohd Affandi Abdul Rahman), tertuduh ketiga.

HAKIM: Apa ceritanya.

MONA: Saya dan suami saya tidak merancang dan tidak langsung berniat atau apa-apa sekalipun mengakibatkan Datuk Mazlan (Datuk Idros @ Mohd
Mazlan Idris) dibunuh. Saya dan suami saya, hidup mewah, apa dikatakan dalam rumah tangga bahagia, yang mana saya dan suami saya bagaikan orang politik yang sanggup bersusah payah, tanpa pentingkan puji dan puja. Saya katakan dalam politik kami suami isteri, bertanggungjawab sebagai warga negara Malaysia.

Kami sedia membantu negara. Apa dikatakan rukun dan damai dalam masyarakat berbilang kaum, tak kira warna kulit atau bangsa. Itulah perjuangan saya dan suami saya, hingga titisan terakhir sekalipun, penuh jiwa dan semangat.

MONA: Bacakan semula Yang Arif (Hakim Datuk Mokhtar Sidin kemudian membacakan peranggan terakhir kenyataan Mona).

MONA: Di mana-mana saya dan suami saya hidup, kami membantu dan apa juga sekalipun terpaksa bersusah payah siang dan malam, seperti yang suami saya terangkan (dalam mahkamah).

Yang mana kami duduk di Taman Sri Andalas, Klang dan buat gelanggang silat serta kumpul anak-anak muda untuk kebaikan kepada negara. Semasa saya tinggal di Sri Andalas bersama suami dan anak saya, kami membuka satu cawangan baru Umno di Jalan Kebun Kelapa, Klang iaitu Umno cawangan Kebun Kelapa. Sebelum itu belum wujud lagi, Allamdulliah telah berjaya. Selepas itu datang Ketua Pemuda, Sanip namanya di Kampung Teluk Gong suruh kami pindah ke Teluk Gong seperti mana apa yang dicakapkan oleh Encik Affandi, begitulah seterusnya.

Saya berpindah ke Teluk Gong dan duduk di Kampung Perajurit. Mula-mula sekali kami buka gelanggang di situlah kami kenal dengan Juraimi Husin (Mona beberapa kali menyebut Juraimi sebagai Julaimi).

Saya katakan Yang Arif, di mana-mana anak murid seperti suami saya kata, tiada pilih kasih semua adalah sama, tiada anak emas atau anak perak.

Pada malam itulah saya kenal Juriami yang mana dia panggil suami saya bapak dan saya ini ibu.

GULAM: Cakap perlahan-perlahan, tunggu Yang Arif habis catat baru sambung.

MONA: Ya, Yang Arif, saya anggap semua yang panggil saya ibu adalah seperti anak saya, saya ikhlas, tak tahulah anak itu anggap saya sebaliknya.

Selepas Kampung Perajurit, kami pindah ke Kampung Nelayan. Bagaimana suami saya terangkan itu adalah benar.

Juriami bukan duduk dengan kita orang, dia pergi balik, pergi balik ke rumahnya, seperti guru dan anak murid, semua orang datang.

Saya ada seorang anak perempuan bernama Mazdiana Affendy binti Mohd Affandi.

Anak saya memang susah nak sayang orang atau dengan sesiapa anak murid saya, kerana saya sebagai seorang ibu mendidik dia dengan penuh tanggungjawab.

Anak saya menghormati sesiapa sekadar senyuman dan tegur, tapi dia tidak mahu dekat walaupun dengan saudara kami, abang dia, dia tetap dengan saya dan suami saya.

Saya juga hairan mengapa anak saya suka kepada Juriami. Yang buat saya hairan, bila dia tidur selalu sebut nama Juriami, tapi sebagai ibu yang menyayangi anak, kata orang kalau dah suka, terpaksa ikut kemahuan anak saya.

Anak saya memang boleh dikatakan kanak-kanak nakal, masa itu umurnya enam tahun, kalau tidak silap, enam tahun lebih, belum sekolah. Anak saya sudah biasa hidup mewah, shopping pilih tempat, tapi sejak kenal dengan Gondrong (Juraimi) ais krim tepi jalan pun dia makan.

Saya hairan anak saya, suka naik motor, tak pernah dalam hidup dia, baik bapak, mahu pun saya sendiri naik motor. Motor tu pulak dengan lampu tak ada.

HAKIM: Motor mana?

MONA: Motor dia (Juraimi), motor di tempat Juraimi tinggal.

MONA: Lesen pun tak ada, nombor plat pun tak ada. Bukan saya pandang hina, tidak sekali-kali mahu menjatuhkan anak angkat saya. Itu adalah kenyataan benar. Sepatutnya dia (Juriami) kena fikir, macam Juraimi, apakah itu tidak menyusahkan budak itu yang masih kecil dan tidak ingat
kepada ibu bapa dia.

Saya sendiri dan suami saya, sudah tentu bimbang dan risau, yang mana saya sendiri tidak tahu bagaimana Juraimi layan anak saya, maklumlah keadaan kanak-kanak.

Itulah kanak-kanak menyusahkan kita orang tua dan sebagainya.

Juraimi juga tahu, Mazdiana adalah buah hati pengarang jiwa saya kerana dia yang bongsu.

Saya anggap anak saya seperti pelita hidup saya. (Jam dinding mahkamah menunjukkan jam 10.55, air mata Mona bercucuran ketika menceritakan kisah anaknya itu).

Ya sebagai ibu, Yang Arif dan sebagai bapak, dapat fahami perasaan seorang ibu. (sambil mengesat air matanya dengan sapu tangan).

Bagaimanapun, saya tetap tersenyum menerima apa yang terjadi kepada anak saya. Saya tetap terima apa yang terjadi pada saya.

Anak saya tidak pernah cakap bohong ketika dengan saya. Kalau pergi shopping, saya dan bapaknya, bayar duit. Tapi bila rapat dengan Gondrong, dia sanggup curi duit beri kepada Gondrong.

Cuba Yang Arif fikir, budak itu *****, enam tahun, tiap-tiap hari nak ke kedai, tak kira malam.

Yang Gondrong pun tak boleh fikir ke, kalau tak siang, malam, walaupun kedai itu tak jauh, dalam kampung.




Begitulah, anak saya sikapnya telah berubah. Oleh kerana itu, di situlah Gondrong mengikut saya pergi dengan alasan untuk menuntut konon.

Selepas itu saya pindah di PJ (Petaling Jaya) di situlah Gondong tinggal di rumah saya dan Affandi. Dia juga selalu menelefon, Encik Affandi selalu bekerja, kadang-kadang nak cakap dengan suami saya pun susah.

Encik Affandi seperti apa yang kita tengok dalam mahkamah, dia cakap lemah lembut, dia tak banyak cakap. Sepatah cakap, kata orang kalau tanya itu, itulah jawabnya.

Saya dah kahwin dengan dia 10, 11 tahun. Suami saya, semasa di PJ, seperti apa yang suami saya terangkan di mahkamah adalah benar, kami ada RM400,000. Kami sentiasa ada RM200,000 hingga RM300,000, hanya orang mewah saja yang tahu (kehidupan kami).

Suami saya rajin bekerja seperti bomoh, masuk susuk dan (jual) azimat seperti yang diterangkan di mahkamah. Saya dan suami saya suka pergi hotel besar seperti Shangri-La, Merlin (sekarang Concorde) dan Park Royal, Kuala Lumpur. Walaupun kami ada rumah di mana-mana kami tinggal di KL,
kami tidak balik ke rumah, duduk di hotel bila-bila suka. Kami cakap dengan orang yang berjaya, macam kami yang banyak duit.

Seperti suami saya katakan, kami memiliki kereta mewah seperti Jaguar (bernombor pendaftaran) BCP 98 warna kelabu milik saya, Mercedes Benz 280 WBL 2556 berwarna hijau, Trooper WBN 900 warna biru, BMW 5 siri dan 3 siri serta Station Wagon dan banyak kereta lagi.

Saya tidak hairan siapa nak pinjam, siapa nak pakai, macam Lawyer Latiff (saksi pendakwa ke-33 Abdul Latiff Ahmad) yang kata hendak pinjam BMW tiga siri saya. Kata nak pinjam sehari, tapi sampai sebulan hingga putus coil.
Coil BMW bukannya murah, tapi saya tiak kisah, boleh beli baru.

Walaupun yang pakai itu saudara saya, yang beli adalah suami saya. Dia tidak boleh ceduk saya, saya bukan nak buruk-burukkan saudara sendiri. Saya maksudkan Lawyer Latiff yang beri keterangan dalam mahkamah.

Suami saya Encik Affandi murah hati, tak kisah duit ringgit. Begitu juga dengan kawan, rakannya, tapi saya selalu jaga suami saya. Kalau ada orang nak ajak Encik Affandi keluar, bukan saya tak beri. Saya beri, tapi tengok tengok keadaan, kalau sakit, demam, kematian jemput ke majlis politik ke. Itupun saya pergi sama. Di sinilah dikatakan Encik Affandi berlagak, dikatakan sombong.

Di sini saya katakan, ada yang kenal dia dan lebih faham dan kenal dia (Affandi). Siapa tak kenal Encik Affandi, good couple in the town (pasangan bahagia), kami hidup begitulah.

Yang Arif, saya katakan apa-apa juga keterangan suami saya dari mula hingga hari ini (di mahkamah) benar belaka.

Pada 2 Julai 1993, hari itu adalah hari Jumaat, anak saya sekolah. YB (Yang Berhormat) Datuk Mazlan datang menjemput dan ambil Encik Affandi ke KL.
Pergi meeting (mesyuarat), buat kerja-kerja politik dan sebagainya.

Yang Berhormat Datuk dan suami saya, apabila habis meeting suruh saya siap. Datuk kata, nanti balik ambil kakak (Mona) pergi KL, nak pergi rumah (Menteri Pertahanan) Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak).

Sebelah pagi, saya menunggu kepulangan suami saya dan Datuk. Mereka balik ke rumah saya (di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub) pada jam 11 malam. Sampai di rumah, Juraimi buka pintu gate (pagar). Datuk parking (letak) kereta di rumah yang belum siap lagi.

Saya menunggu ketibaan suami dan Datuk di muka pintu. Saya bertanya Datuk, awat lambat balik, macam mana meeting. Datuk jawab, dah selesai, dah beres. Mereka pun masuk dan terus duduk. Saya tanya lagi, jadi ke KL kita ni. Jadi, kata Datuk. Datuk dan suami saya duduk dan sembang-sembang. Dalam sembang-sembang, Datuk kata, mengapa saya rasa lemah semangat. Saya rasa nak mandilah abang haji (Affandi). Selepas itu kata suami saya kepada Datuk, ada bawa kain.

Biasanya bawa, Datuk kata lagi. Abang haji, tolong perasap tongkat, songkok dan azimat ni, kata Datuk.

Yalah, kata suami saya. Suami saya kata, kepada saya, yang pergi ambil bunga orkid. Suami saya panggil saya, sayang, yang.

Datuk keluar dari kereta dan saya besama Datuk masuk ke rumah. Tempat saya ambil orkid dekat dengan tempat Datuk letak kereta, pasal pokok itu banyak dekat rumah saya. Datuk masuk dan serahkan tongkat, songkok dan azimat itu kepada Affandi untuk diperasapkan. Datuk juga bawa briefcasenya sekali.

Kemudian Affandi suruh saya masuk dalam bilik dengan Datuk.

Datuk membuka jamnya dan beri kepada saya. Pakailah, kata Datuk. Saya gelak, pasal tangan saya kecil (sambil menunjukkan pergelangan tangannya dan tergelak kecil). Gondrong pun ada pada masa itu, keluar masuk dari dapur.

Datuk kemudian buka baju, pistol dia cabut keluar dan letak di depannya. Atas carpet (permaidani). Baju Datuk warna putih, lengan pendek dan Datuk kemudian tukar kain. Saya keluar (dari bilik) dan serahkan tongkat, songkok dan azimat kepada Datuk.

Kemudian Datuk ambil dan letakkan atas organ. Datuk kemudian ambil pistol dan azimat, masukkan dalam briefcase dan tutup. Datuk kemudian ambil songkok dan tongkat atas organ dan letakkan pula atas briefcase itu.

Macam ini Yang Arif. (Mona mengambil sapu tangan yang digunakan mengesat air matanya tadi dan diletakkan di atas pagar kandang tertuduh. Dia kemudian membuka sapu tangan itu, seolah-olah Mazlan membuka briefcase dan tutup semula.

(Kemudian Mona menunjukkan tongkat dan songkok yang diletakkan oleh Mazlan di atas briefcasenya, di atas sapu tangan itu.)

Ketika itu anak saya tidur. Suami saya kemudian suruh Juraimi ambil besen. Kami bertiga ada menunggu dalam bilik, tempat kejadian.

HAKIM: Kami bertiga itu siapa?

MONA: Saya, suami saya dan Datuk Mazlan.

MONA: Juraimi kemudian membawa masuk besen yang mana barang-barang seperti sintuk, bunga orkid, keris, kapak biasa dan parang diletakkan dalam besen itu. Selepas itu Datuk Mazlan tidur mengiring, saya memasang lilin 21 batang, apabila telah siap lilin dipasang, suami saya tutup lampu.

Habis itu, suami saya suruh saya jirus kepala Datuk. Kali pertama jirusan, suami saya kata, Rong ambil air, buang.

Ketika itu suami saya tunduk dan saya pun tunduk. Gondrong ambil besen dan buang air.

Barang-barang seperti keris, kapak dan parang tidak buang, suami saya keluarkan dulu, air saja dibuang.

MONA: Yang Arif baca balik.

MONA: Selepas itu Datuk tidur melentang semula. Encik Affandi menguap-guap muka Datuk (sambil menggayakan dengan tangan, cara Affandi meratakan air ke muka Mazlan), sambil mukanya tunduk sikit.

Pintu keluar masuk bilik itu terbuka. Maaf tadi terlupa nak cakap. Selepas itu, dengan tibatiba ada satu bunyi, macam rupp. Benda apa, saya tak pasti.

Tiba-tiba kapak besar itu, dengan cepat dan laju ke halkum Datuk dua kali. Tetakan pertama, percikan darahnya terkena baju saya sebelah kanan.

Saya tengok gigi Juraimi terkancing. Begini Yang Arif, begini. (Mona menunjukkan cara gigi Juraimi terkancing dengan badannya ke belakang).

Juraimi macam orang hilang pedoman. Matanya macam ini (sambil membeliakkan matanya dan gigi diketap rapat. Aksi Mona ini menyebabkan mereka yang berada di mahkamah ketawa).

Nak kata dia gila, tidak gila.

Suami saya terundur ke belakang. Saya tergamam. Saya terketar-ketar, maklumlah saya orang perempuan.

Suami saya tanya kepada Jurami, awat jadi jadi macam ini. Macam mana jadi macam ini.

Orang macam ini biar mampus, kata Juraimi.

Selepas itu, saya dengar suara anak saya menangis dan panggil saya, mama, mama.

Juraim kata kepada saya, ibu, bapak bawa adik lari ke mana-mana. Biar Rong yang tanggung.

Saya dan Encik Affandi keluar (dari bilik tempat kejadian) dan Juraimi tutup pintu.

Sebenarnya saya hendak ambil terus anak saya, tetapi memandangkan baju saya terkena darah, saya takut anak saya nampak, saya tanggalkan dan biarkan atas lantai.

Kelam kabut malam itu, Tuhan saja mengetahuinya.

Saya cakap benar, demi Allah, jika saya cakap tak benar, saya terkeluar dari umat Nabi Muhammad.

(Mona berhenti seketika, air matanya mula mengalir dan dia mengesatnya dengan sapu tangan. Tiba-tiba Mona bersuara tinggi dan memandang ke arah tempat duduk peguambela Juraimi, Karam Singh Bhal dan Ikmal Hisam Idris di depan tempatnya memberi kenyataan).

MONA: Jangan ada yang cakap saya tak cakap benar. Apa hek, hek, hek (dirujuk kepada bunyi menyindir). Macam tak percaya saya cakap.

Encik Ikmal pun sama, terhegeh-hegeh apa cakap macam itu. Saya cakap betul, saya sedih.

(Peguambelanya, Gulam Mustaffa Nadar Ali Khan kemudian menghampiri Mona dan menenangkannya).

MONA: Begitulah, kelam kabutnya kami pada malam itu.

Encik Affandi tidak salin (pakaian). Mana-mana yang boleh ambil masa itu kami ambil, briefcase dia (Affandi).

Kami masuk ke kereta Datuk.

Sebelum keluar, kami terdengar bunyi dari jauh, sayup sayup, tup, tup, tup.

Tak tahulah apa dia (Juraimi) buat, ketuk bantal ke? Saya tak tahulah.

Kami masuk ke kereta, tak toleh kiri kanan dan terus ke Hotel Plaza (Kuala Lumpur).

Tak cakap apapun, ketakutan.

HAKIM: Puan Mona, kita berhenti di Hotel Plaza dan sambung semula Isnin ini.

Perbicaraan berhenti tepat jam 11.50 pagi dan akan disambung..

Episode XXVI "Yang Arif"

MAZNAH Ismail atau Mona Fandey memilih untuk memberi kenyataan dari kandang orang kena tuduh tanpa boleh dicabar oleh sesiapa di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1995.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mona berkata dia dan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman kelam kabut pada malam pembunuhan Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris, 2 Julai 1993.

Menurutnya, mereka masuk ke kereta Mazlan bernombor pendaftaran CAA 5115 dan terus ke Hotel Plaza, Kuala Lumpur.



Mona meneruskan kenyataannya.

MONA: Sampai di Hotel Plaza, kami telefon abang Ku Yahya (Tengku Yahya Tengku Abdullah). Seperti mana suami saya (Mohd Affandi Abdul Rahman) telah terangkan (di mahkamah), dari Hotel Plaza kami ke Pudu pada keesokannya. Selepas ke Pudu kami ke Melaka, seperti mana suami saya
terangkan. Selepas itu kami bawa kereta (Mercedes Benz) MU 280 dari
Melaka ke Park Royal.

Selepas itu, kereta itu dibawa repair (baiki), tukar tayar baru, dibersihkan. Kami berada di Park Royal seperti mana suami saya terangkan di mahkamah ini.

Selepas itu, Tengku Yahya datang ke Park Royal. Seperti yang suami saya katakan memang niat nak cerita, tak jadi nak cerita. Selepas itu saya bersama abang dan anak saya (Mazdiana Affendy) pergi shopping (membeli-belah) di Lot 10 (Kuala Lumpur).

Selepas itu saya pun balik (ke hotel). Seperti mana suami saya terangkan pada 8 hari bulan (8 Julai 1993) kami ke (Kampng Peruas), Ulu Dong ambil surat beranak, surat nikah dan surat peribadi saya. Kami balik sekejap, lebih kurang 20 minit.

Kami dengan Tengku Yahya, semua. Di Park Royal ke Hospital Tung Shin. Selepas itu kami sewa di SUJ, USJ yang suami saya sebutkan. Sewa sebuah rumah.

Pada 20 dan 21 Julai 1993, saya ditangkap di rumah saudara saya, Tuan Ibrahim, Komando Bukit Aman. Saya, suami saya, anak saya Mazdiana Affendy, bekas Mejar Azmi, abang ipar saya. Di mana suami saya telah terangkan di mahkamah ini.

Kami dibawa ke Balai Polis Jalan Hang Tuah (Kuala Lumpur) pada 21, 22 (Julai 1993). Di situ seperti mana suami saya terangkan kami berpisah.



Pada malam itu, saya dibawa balik ke rumah saya (di USJ, Subang Jaya) merampas segala barang saya. Saya cakap pada Tuan Mahpop beg itu banyak barang penting. Tuan Mahpop dan anggota lain membawa dua lori tayar besar.

Saya dibawa ke rumah saya, mula-mula saya tak tahu tujuan dibawa saya ke situ. Saya tidak tahu tujuan dibawa saya ke situ. Polis arahkan saya
duduk diam, suruh tengok-tengok saja, jangan cakap-cakap. Saya kata, Tuan kalau nak ambil beg itu pergilah beritahu suami saya, tangkap sama-sama kerana beg ini suami saya punya.

Malam itu dia ambil semua barang-barang, langsir, walau apapun. Saya pun ada melawak, kenapa tak kopak simen dan bubuh dalam lori. Dia orang diam aje.

Selepas itu saya pergi ke Bukit Aman, baru jumpa suami saya dan anak saya, Mazdiana. Saya dibawa ke (Balai Polis) Jalan Travers (Kuala Lumpur) pada 23 Julai 1993. Saya memberi caution statement (percakapan beramaran) kepada Idros Ayob, ASP (Penolong Penguasa) pada jam 4.15 petang. Empat suku, empat lima belas minit, serupakan.

Pada 24 Julai 1993, saya diambil lagi oleh orang yang sama. Saya katakan Yang Arif, pada 13 Ogos 1993, saya tak bagi caution statement kepada Tuan Takbir (Timbalan Penguasa Takbir Ahmad Nazir Mohd).

Pada 13 dan 14 Ogos 1993 saya tidak memberi apa-apa percakapan, walau apa juga. Hanya saya hendak mengadu pada Tuan Takbir. Saya mengadu
bagai bapak dan anak. Saya mengadu, jangan seksa saya dalam bilik gelap, bilik itu kecil, tak ada tingkap, tak ada masuk angin, torture (dera) saya,
jika tidak silap ingatan saya dari 25, 26, 27, 28, 29, 30 (Julai 1993) sampai 10 Ogos (1993).

Tak tahu berapa lama, Yang Arif, tapi dia tak kesian dengan saya. Makan tak tentu arah, tidur di (Balai Polis) Jalan Travers. Dengan sakit saya, saya berkali-kali cakap dan saya dibawa ke Bukit Aman setiap hari. Tiada off, penat macam mana, merangkak pun pergi.

Saya tak minta simpati dari tuan-tuan. Saya katakan Tuan Takbir menganiaya saya. Takkanlah saya nak suap leher saya ke tali gantung. Saya tidak beri apa-apa pun percakapan kepada Takbir. Ini libatkan semua tiga ekor. (Mona, Affandi dan Juraimi Husin). Mentang-mentang dia ada besi atas bahu (pangkat). Dia tidak ingat kita ini manusia, akan mati. Tiada orang tongkat langit, Yang Arif.

Ada suatu ketika, saya tidak ingat hari bulan dan jam. Tuan Takbir ambil kayu tiga kaki setengah. Tuan Takbir ambil kayu itu dan tunjukkan kepada saya dan kata aku tahu kau dan laki kau bunuh Mazlan.

Dia tengking saya, sampai saya terketar-ketar. Adakah dia tahu kesopanan dan kesusilaan apa dikatakan Rukun Negara tadi. Saya kata, sebagai OKT seperti saya sudah tentulah Orang Kena Tuduh, OKT, sama ada salah atau tidak itu bukan hak dia. Saya kata inilah tempatnya (mahkamah), saya bercakap benar. Saya rujuk keterangan saya, yang mana kata-kata kotor yang dilemparkan atas muka saya.

Saya rasa tak payah sebut, masa saya angkat sumpah...

Yang Arif.

Affandi mana..., dia kata saya macam itu.

Hoi Mona, berapa banyak Menteri dan VIP dah kau...Dengarkah? Saya terdiam, jangan cakap tengking-tengking dengan saya. (Kali ini Mona dapat mengawal perasaannya daripada menitiskan air mata, ketika sesi perbicaraan dalam perbicaraan Mona menangis).

Dalam bilik itu, ada empat lelaki dan hanya seorang saja perempuan, perempuan pun perempuan polis juga, termasuk Tuan Takbir, enam orang semuanya.

(Mona berhenti seketika. Dia kemudian membuka cekak rambutnya berwarna hitam, kemudian menyisih rambut di bahagian hadapan kepalanya.

Kemudian dia membongkokkan kepalanya sambil menunjukkan parut di bahagian itu).



Inilah masa saya sakit, ketua juri boleh tengok, dicucuk macam kuih. Dah setahun maklumlah, tinggal parut.

Yang Arif sesungguhnya seikhlas hati saya memberi keterangan ini. Saya mengakhiri saya tidak langsung rancang atau pakat apa-apa sekalipun.

Oleh kerana gara-gara Juraimi, terima kasih. Mona bukan saksi pembela, dia hanya memberi keterangan. Jadi tiada soalan balas untuknya. Selepas itu, pendakwa serta penguambela tertuduh membuat penggulungan kes. Tamat penggulungan kes - tujuh juri bersidang untuk memutuskan sama ada Juraimi, Affandi dan Mona didapati bwesalah atau tidak membunuh Datuk Mazlan.

Episode XXVII "Penggulungan Hujah"

AKU dah bawakan keterangan saksi dan ketiga-tiga kes bunuh Datuk Mazlan idris di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 1994 dan 1995. Perbicaran yang pada awalnya boleh diselesaikan dua bulan berlarutan sampai enam bulan.
Kali ini aku bawakan dulu hujah penggulungan peguambela tertuduh pertama, Juraimi Husin.

Bekas Adun Batu Talam, Datuk Idros @ Mohd Mazlan Idris, menjadi korban pembunuhan untuk ilmu hitam berdasarkan kematiannya yang luar biasa.

Peguambela Karam Singh Bhal berkata, saksi pendakwa kelapan, Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Abdul Rahman Yusof telah memberi keterangan terperinci bagaimana jasad Mazlan dipotong 18 bahagian.

"Selepas meneliti cara jasad itu ditemui serta keadaan potongan bahagian itu, satu manifestasi menarik timbul, di mana kematiannya adalah satu pembunuhan untuk korban ilmu hitam, orang bomoh.

"Di sini, kami hendak menyoal siapakah bomoh dalam kejadian itu?

"Tertuduh kedua (Mohd Affandi Abdul Rahman) mengaku dia dan isterinya (Maznah Ismail atau Mona Fandey) adalah bomoh, sedangkan Juraimi tidak mengaku dia seorang bomoh," katanya.

Katanya, pembunuhan Mazlan di rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Ulu Dong dipercayai berlaku tengah malam menjelang 3 Julai 1993.



"Ini bermakna pembunuhan itu berlaku sekitar tengah malam, masa sesuai untuk membuat korban bagi syaitan mengikut cerita dongeng, misteri dan kebanyakan kitab suci," katanya.

Seorang peguambela Juraimi, Ikmal Hisam Idris pula berhujah, tiga tetakan pada tulang keempat dengan potongan bersih dan licin; luka hirisan bersih; daging dicerai daripada tulang, abdomen dihiris serta zakar hilang, bukanlah perbuatan yang datang sendiri daripada Juraimi.

Menurutnya, perkara itu dilakukan untuk pembomohan, yang datang sendiri daripada Juraimi.



Menurutnya, perkara itu dilakukan untuk pembomohan, yang mana Affandi dan Mona sendiri mengaku mereka adalah bomoh.

"Jika Juraimi berniat membunuh Mazlan kerana dendam seperti yang dicadangkan oleh Gulam (Mustaffa Nadar Ali Khan), adalah tidak munasabah Juraimi melakukan ini semua, cukup dengan memenggal kepala Mazlan," katanya.

Ikmal Hisam berkata, perbuatan seperti ini tidak akan datang daripada Juraimi sendiri kecuali fikiran tertuduh pertama tidak stabil. Ikmal Hisham dan Karam singh juga berhujah pembunuhan Datuk Mazlan mempunyai kaitan dengan niat untuk membolot harta dan wang ringgit bekas Adun Batu
Talam itu.

Menurut mereka, Juraimi Husin tidak mempunyai sebarang niat atau motif untuk membunuh Mazlan. Malah, kata mereka, tertuduh pertama tidak mendapat sebarang imbuhan lumayan daripada tindakannya membunuh Mazlan pada malam 2 Julai 1993.

Ikmal Hisham berkata, keterangan saksi menunjukkan, Juraimi tidak terbabit dalam sebarang kegiatan yang dilakukan oleh tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman dan Maznah Ismail atau Mona Fandey.

Katanya, Juraimi tidak terbabit dalam penubuhan syarikat Diana Dignity Sdn Bhd, pembelian barang kemas, perabot dan perkakas elektrik serta rancangan menukar milik tanah dan kereta Mazlan yang membabitkan pasangan itu.

"Semua ini dilakukan tanpa kehadiran atau pengetahuan tertuduh pertama," katanya.

Karam pula berkata, Juraimi tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada pembunuhan yang dirancang oleh Affandi dan Mona. Menurutnya, tertuduh ketiga hanya diberi RM1,680, termasuk RM1,000 untuk makanan itik selepas malam pembunuhan. "Di sini terbukti, Juraimi tidak mempunyai sebarang motif atau niat untuk membunuh Mazlan," katanya..