Translate

Tajaan

Rabu, 7 Mac 2012

Si pencipta Raleigh Chopper


Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012

Mohd Faizal Md Yusof, 37, atau lebih dikenali dengan panggilan Pejal merupakan peminat fanatik basikal Chopper jenama Raleigh yang begitu terkenal ketika lewat era 1970-an.

Dek keterujaan gemarkan basikal klasik itu, beliau telah berjaya mengumpul tiga basikal jenama Raleigh yang mula di kumpulnya sejak 2008.

Ketika ditemui di kediamannya di Bukit Naga, Shah Alam, Selangor, Mohd Faizal memberitahu, dua daripada basikalnya itu adalah model Raleigh Chopper MK2 manakala sebuah basikal lagi adalah model Raleigh Tomahawk MK1 (untuk kanak-kanak).

Menurutnya, bukan mudah mengumpul ketiga-tiga koleksi basikal itu kerana kini sudah tiada di pasaran.

“Saya berusaha juga untuk mendapatkan basikal yang diidamkan dan ternyata segala usaha itu berbaloi,” katanya yang pernah berdepan peristiwa sedih ekoran kegagalan memperoleh basikal terbabit satu ketika dulu.

Popular sekitar 80-an

Basikal Chopper mula memasuki pasaran Malaysia ketika lewat era 1970-an. Kanak-kanak mahupun remaja yang memilikinya kebanyakan berasal dari keluarga yang berkemampuan. Harganya pada ketika itu dalam lingkungan RM300 hingga RM500, harga yang begitu tinggi untuk sebuah basikal pada waktu itu.

Basikal ini amat popular kerana keunikannya selain mempunyai gear kelajuan yang tersendiri. Reka bentuknya yang cukup futuristik dengan saiz tayar depan yang kecil dan besar di belakangnya menjadikan basikal ini kegilaan ramai.

Disebabkan kepopularannya, Mohd Faizal yang bersekolah rendah pada masa itu telah menyuarakan hasrat kepada keluarganya untuk mendapatkan basikal Chopper. Namun, kekangan kewangan keluarga telah membatasi keinginan Faizal.

“Setiap kali nampak kalangan rakan menaiki basikal Chopper, perasaan sedih terus datang. Namun saya kuatkan semangat dan anggap itu semua rezeki mereka. Mungkin satu masa kelak, saya mampu milikinya,” ceritanya kepada penulis.

Tahun demi tahun berlalu, setelah Mohd Faizal menginjak dewasa dan mempunyai kerjaya sendiri, dia akhirnya berjaya juga mendapatkan basikal idaman daripada kenalan yang tinggal di Banting, Selangor.

“Saya beli dengan harga RM650. Walaupun kelihatan basikal tersebut agak uzur, saya berpuas hati kerana dapat juga penuhi impian untuk dapatkan Chopper.

“Saya membaik pulih basikal sedikit demi sedikit daripada segi menyelenggarakan, membuka dan memasangnya semula. Akhirnya basikal ini kelihatan seperti asal dan baru,” katanya.

Dia akui kos untuk membaik pulih basikal tersebut juga tinggi terutamanya untuk menyadur semula bahagian yang chrome. Seminggu sekali, dia akan membersihkan basikal dan mengilatkan pada bahagian kromnya. Manakala sebulan sekali dia akan minyakkan bahagian yang memerlukan minyak pelincir.

Enggan jual

Bapa kepada tiga cahaya mata, Nurul Ain Qistina, Hijazz Mikhail dan Nurul Airis Karmila itu menjelaskan, harga sebuah basikal Raleigh Chopper yang telah dibaik pulih seperti baru pada masa kini boleh mencecah sehingga RM3000.

Menurutnya, pengumpul basikal berkenaan pastinya boleh menjana pendapatan lumayan sekiranya mereka miliki banyak koleksi berharga itu.
Namun dia tidak berniat untuk menjual koleksi basikalnya walaupun telah membaik pulih dan tampak begitu menarik.

“Basikal ini saya ingin mewariskan kepada anak supaya mereka boleh mengenang betapa susah payahnya seorang ayah membaik pulih basikal yang buruk menjadi basikal baru,” ujarnya.

Mohd Faizal tidak menafikan hobi mengumpul basikal Chopper itu bukan murah, sebaliknya menelan kos ribuan ringgit bagi membaik pulihnya. Ini kerana kebanyakan barang gantinya agak sukar diperoleh.

“Kadang-kadang, saya perlu mencarinya di kedai lama atau pun menghubungi kawan yang ada barang ganti tersebut. Ada kalanya saya mengunjungi pasar karat (tempat jual barang lama dan antik) atau melalui eBay (pembelian secara atas talian), contohnya tayar basikal yang sememangnya tidak dijual di negara ini.

“Saya membuat pembelian secara atas talian melalui eBay dari United Kingdom semata-mata untuk mendapatkan tayar tersebut,” ujarnya yang merasakan satu kepuasan apabila dapat menghidupkan semula ke semua basikal itu yang usianya sudah menjangkau lebih 30 tahun.

Koleksi lain

Suami kepada Siti Hajar Ramli bukan hanya meminati basikal Raleigh Chopper, malah mengumpul jam tangan dan cermin mata sebagai koleksi peribadi paling berharga.

“Saya miliki tujuh jam tangan jenama Camel Trophy. Semuanya menggunakan enjin ‘movement’ quartz dan automatik.

“Walaupun jenama itu sudah tiada di pasaran, sekurang-kurangnya koleksi itu masih disimpan rapi dalam koleksinya,” katanya yang turut mengumpul jam berjenama Seiko, Citizen dan Casio.

Menurutnya, hobi mengumpul basikal Raleigh Chopper, jam dan cermin mata itu adalah perjuangannya dalam memenuhi segala impian yang diinginkan selama ini.

“Berjaya mendapatkan basikal Raleigh Chopper merupakan momen paling indah manakala koleksi jam dan cermin mata ini mungkin boleh dijadikan pelaburan yang baik sekiranya ingin menjual semula kepada pengumpul lain,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan