Translate
Tajaan
Khamis, 9 Januari 2014
Penjahit kulit tanah tinggi
TANGAN lelaki itu kelihatan berkematu. Telapak tangannya keras dan kasar. Kuku dan jari-jemarinya kotor serta kehitaman.
Namun, perkara itu langsung tidak diendahkan. Dia tekun menyiapkan jahitan pada sekeping kulit lembu yang telah dikeringkan. Sesekali dia mengetuk pahat kecil untuk membuat lubang di atas kulit tersebut.
Raut wajahnya berubah-ubah. Sekejap berkerut, sekejap tidak. Selang beberapa ketika, dia berhenti sementara. Sebatang rokok dinyalakan. Sedutannya panjang sebelum kembali menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul.
Belum pun habis sebatang rokok, dia kembali menyambung tugasnya untuk menyiapkan dompet yang diperbuat daripada kulit itu.
“Inilah sumber pendapatan saya. Menjahit barang-barang kulit. Perniagaan Gil’s Leather Craft ini sudah beroperasi sejak 19 tahun lalu,” ujar Gilbert Rozells, lelaki berketurunan Portugis yang berasal dari Pulau Pinang.
Menurut Gilbert atau lebih mesra disapa Gil, kemahiran menjahit barangan kulit dipelajari sendiri tanpa mengikuti sebarang kursus berkaitan.
Semua itu bermula disebabkan kegilaannya terhadap barangan kulit sejak muda. Malah, keterujaan lelaki berusia 54 tahun itu terhadap produk kulit semakin membuak-buak apabila dia melihat rakan-rakan yang balik dari Eropah memakai topi kulit koboi dan sebagainya.
“Memang seronok melihat gaya pemakaian rakan-rakan ketika itu. Saya hanya mampu memegang barangan tersebut dan mencubanya sesekali.
“Namun, untuk memilikinya jauh sekali lantaran harganya yang terlalu tinggi,” tutur Gilbert sambil tangannya ligat meneruskan jahitan untuk menghasilkan dompet.
Bagaimanapun, peristiwa dia menemui sebuah karung tinju yang tidak digunakan di tepi jalan mengubah hidup Gilbert. Secara tiba-tiba dia mendapat ilham untuk memanfaatkan karung tinju yang masih elok rupanya itu.
Sebaik sahaja dibawa pulang ke rumah, dia terus memotong karung tinju tersebut dan membuang isi di dalamnya. Kulit karung itulah yang kemudian dijahit untuk dibuat topi.
“Waktu itu saya baru berusia 17 tahun. Walaupun tidak tahu teknik menjahit dengan betul, saya melakukannya mengikut gerak hati.
“Selepas melihat hasil jahitan pertama saya, perasaan puas dan seronok menguasai hati. Maka, bermulalah kehidupan saya sebagai penjahit dan pembuat barangan kulit,” cerita Gilbert yang sanggup mengeluarkan duit simpanan sebanyak RM800 sebagai modal memulakan perniagaan kreatifnya.
Semua itu bermula disebabkan kegilaannya terhadap barangan kulit sejak muda. Malah, keterujaan lelaki berusia 54 tahun itu terhadap produk daripada kulit semakin membuak-buak apabila melihat rakan-rakan yang balik dari Eropah bergaya sambil memakai topi kulit koboi dan sebagainya.
“Ketika itu, saya hanya mampu memegang barangan tersebut dan mencubanya sekali dua. Namun, untuk memilikinya jauh sekali lantaran harganya yang terlalu tinggi,” tutur Gilbert sambil tangannya ligat meneruskan jahitan untuk menghasilkan dompet.
Obses barang kulit
Sebagai lelaki yang dilahirkan pada era 1950-an, Gilbert mengetahui populariti topi koboi yang dianggap ikon Amerika dan sering dikaitkan dengan dataran luas Wild Wild West. Malah, penampilan seseorang koboi pasti akan terasa kekurangan tanpa topi mereka.
“Topi koboi ibarat pelengkap kepada gaya maskulin yang tahan lasak. Kepentingan aksesori tersebut sukar dinafikan seperti pepatah koboi lama, ‘ia adalah benda yang terakhir ditanggalkan dan perkara pertama yang akan dilihat’,” ungkap lelaki ini yang turut mempraktikkan hal serupa hingga tidak lekang memakai topi koboinya ketika melakukan rutin harian menjahit kulit.
Selepas hampir setahun menjalankan bisnes barangan kulit, ternyata sambutan daripada pelanggan sangat memberangsangkan.
Keadaan itu menguatkan lagi semangat Gilbert untuk terus menjadi penjahit kulit yang dikenali dengan jenama tersendiri.
Menggunakan kulit kerbau, lembu dan biri-biri, bekalan tersebut diperoleh dari merata tempat seperti Pulau Pinang, Taiping dan Kuala Lumpur. Malah, ada juga kulit yang diimport dari Sepanyol.
Antara barangan kulit yang dihasilkan ialah tali pinggang, beg tangan, dompet, topi dan gelang tangan. Setiap barangan dijahit dengan penuh teliti dan mengambil sedikit masa.
Bagi jahitan sebuah beg duit atau dompet kecil, Gilbert boleh menyiapkannya dalam tempoh satu hingga dua jam. Begitu juga dengan topi dan tali pinggang.
Cuma, untuk barangan bersaiz besar seperti jaket atau beg tangan wanita, dia mengambil masa selama satu hingga dua minggu untuk menyudahkannya.
Kini, Gilbert menjalankan perniagaan di sebuah gerai kecil di kaki lima bangunan kedai di pekan Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. Sudah empat tahun dia beroperasi di situ.
Sebelum ini, dia sering merantau dan berniaga di serata tempat seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Biasanya, Gilbert memilih lokasi seperti stesen bas atau kaki lima untuk membuka gerai kecilnya bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam.
Ditanya cabaran dan risiko sebagai penjahit barangan kulit, bapa kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, tangan dan jari-jemari akan luka-luka dan pecah dek kerana proses menjahit yang lama.
Lebih teruk lagi apabila ada individu yang tidak bertanggungjawab mencuri barangan yang dijual ketika Gilbert tekun menjahit.
Bagaimanapun, perkara itu bukan penghalang untuk Gilbert meneruskan minatnya. Kepuasan yang diperoleh apabila melihat sesuatu barangan kulit siap dihasilkan melebihi segala-galanya.
“Kecurian itu perkara biasa. Walaupun geram juga dengan situasi tersebut, saya tidak boleh melakukan apa-apa. Biarlah orang yang mencuri itu sedar sendiri kesilapannya.
“Mungkin juga mereka mencuri sebab terdesak,” jujur bicara lelaki ini sekali gus menimbulkan rasa kagum dalam diri penulis. Harga barangan yang dijual Gilbert bermula daripada RM15 hingga RM600. Untuk gelang kulit pelbagai warna hanya RM15, dompet (RM65-RM80), beg tangan (RM160-RM600), dan topi (RM170-RM220).
Hantar pesanan
Barangan yang paling digemari pelanggan adalah beg, tali pinggang dan topi. Lebih mengagumkan, barangan Gilbert dihantar sampai ke luar negara seperti Jerman, Sweden, England, Australia dan Jepun.
Kebanyakan pelancong asing yang membuat pesanan kepada Gilbert terus membayar harga barang yang diingini. Setelah siap, dia akan mengirimkannya berdasarkan alamat yang ditulis di dalam buku pesanan yang sudah bertukar warna kepada kekuningan.
Apa yang pasti, sejak mula membuat barangan kulit pada usia 17 tahun, Gilbert sudah berjaya menyiapkan ribuan produk kulit yang memikat hati pelanggan.
Seorang pelanggan, Ward Jennet dari Australia mengakui produk kulit yang dihasilkan Gilbert bermutu tinggi dan kemas jahitannya.
“Kali pertama saya melihat pelbagai barangan kulit di gerai ini, saya terus berminat untuk menempahnya. Dia memang penjahit kulit yang bagus,” kata Jennet yang datang bercuti ke Cameron Highlands selama seminggu.
Di sebelah gerai Gilbert, terdapat juga gerai yang menjual barangan kulit iaitu Sally Lai Craft. Pemiliknya, Rizal Mohamad, 35, ketika ditemui berkata dia baru setahun menjual barangan kulit di pusat pelancongan tanah tinggi itu.
Berbanding Gilbert yang menjahit kulit sendiri, Rizal pula menjual barangan kulit siap yang diambil dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Dulu saya ada juga mengambil tempahan secara kecil-kecilan, tetapi sekarang tidak lagi. Saya lebih selesa menjual barangan kulit siap seperti ini.
“Sambutan yang diterima sangat baik. Pelanggan pula terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Malah, ketika musim cuti persekolahan atau cuti umum, hasil jualan sangat tinggi.
“Paling kurang, saya boleh memperoleh RM400 sehari,” ungkap Rizal yang segak memakai jaket kulit rona coklat cair dilengkapi topi hitam.
Bagi mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai jenama Gil’s Leather Craft sila hubungi Gilbert di talian 017-550 8326 atau Rizal 019-527 3773.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan