Saya kini hamil enam minggu. Berat saya 63 kilogram dan tinggi 160 sentimeter. Sewaktu hamil sebelum ini, berat saya mencecah 80 kilogram dan anak lahir secara normal seberat empat kilogram.
Saya risau kalau berat akan bertambah lebih teruk berbanding waktu hamil sebelum ini.
Adakah perlu saya mengamalkan diet mengurangkan karbohidrat dan lemak untuk memastikan berat badan tidak terlalu naik seperti sebelum ini?
Gee,
Shah Alam
JAWAPAN:
Walaupun peningkatan berat sepanjang kehamilan boleh mencapai sekitar 25 peratus daripada berat badan asal (seperti yang anda alami iaitu sebanyak 27 peratus), ia hanya sebagai panduan saja.
Berat badan 80 kilogram (kg) ke atas adalah salah satu faktor risiko penyakit diabetes mellitus (kencing manis) sewaktu kehamilan.
Atas sebab itu, wanita hamil yang mencapai berat badan 80kg ke atas disarankan menjalani ujian darah toleransi glukosa yang lebih dikenali sebagai MGTT.
Anda juga melahirkan bayi seberat empat kilogram, ini termasuk dalam kategori makrosomia (bayi bersaiz besar) dan berkemungkinan ada kaitan dengan penyakit diabetes mellitus yang tidak dikesan sebelum kelahiran.
Malah, doktor mungkin tidak menyangka bayi anda seberat itu daripada saiz rahim mahupun pemeriksaan ultrabunyi.
Kadangkala sukar untuk mengagak berat janin dengan hampir lebih-lebih lagi jika ibu bersaiz besar ataupun jika saiz janin itu sendiri yang terlalu besar, ralat ukuran melalui ultrabunyi boleh tersasar sehingga satu kilogram.
Jika dikesan atau disyaki bersaiz besar, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjutan iaitu melihat struktur organ janin dengan lebih terperinci, indeks air ketuban, ujian MGTT dan menasihati anda menjalani pembedahan Caesarean bagi mengelakkan trauma kelahiran terhadap anda dan bayi.
Pengambilan karbohidrat dan gula ringkas serta lemak bagi sesiapa saja eloklah dihadkan (bukan dihentikan) mengikut keperluan piramid makanan.
Anda boleh mengambil makanan dengan kandungan kalori berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,800 kcal sehari berpandukan kepada nasihat pakar dietetik.
Anda juga elok menjalani ujian MGTT, sekiranya normal mungkin anda diminta menjalaninya sekali lagi apabila kandungan memasuki usia 28 minggu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan