Translate

Tajaan

Isnin, 22 Disember 2014

Ketuat di Kemaluan


SOALAN :

Saya adalah gadis berumur 21 tahun, merupakan anak sulung dan tidak pernah melakukan seks. Baru-baru ini saya dapati ketuat di kemaluan (genital wart) saya berasa sakit. Ketuat itu memang ada sejak saya kecil dan meningkat dewasa.

Soalan saya, adakah mempunyai 'genital wart' itu normal? Bagaimana ia boleh tumbuh? Adakah perubahan pada ketuat tersebut disebabkan perubahan hormon? Adakah ketuat yang berdarah boleh menjadi tanda kanser servik? Bolehkah ketuat bertukar kepada malignant cell dan menyebabkan kanser di bahagian reproduktif wanita?

Terima kasih.
Gadis, Ipoh

JAWAPAN :

Daripada cerita di atas saya kurang pasti sama ada ketuat di kemaluan yang dialami itu genital wart atau tidak. Genital wart adalah tidak normal jika dialami oleh seseorang wanita. Genital wart atau kutil genitalis (Kondiloma Akuminata) merupakan kutil yang tumbuh di dalam atau di sekeliling faraj atau dubur. Ia berjangkit melalui hubungan seksual dan disebabkan oleh 'human papiloma virus'. Kebiasaannya kutil tersebut timbul selepas satu hingga enam bulan diinfeksi dan tumbuh dalam bentuk kluster dan bukannya satu sahaja. Wanita yang mengalami masalah ini disarankan menjalani ujian pap smear.

Saya yakin apa yang dialami sudah bertahun-tahun (sejak kecil lagi) adalah suatu ketumbuhan (kutil) yang jinak dan tidak bermasalah. Ketumbuhan yang ganas akan membesar dalam masa yang singkat. Kutil sebegini dikenali sebagai 'cutaneous skin tag', seperti kulit yang terlebih tumbuh. Kebiasaannya berlaku pada bahagian lipatan iaitu di bahagian leher, ketiak dan celah paha (pangkal paha). Ia tidak memudaratkan dan tidak sakit, tidak membesar dalam masa yang singkat. Selalunya ia bertangkai dan sebesar biji halba atau beras. Ia bertukar rupa dan mungkin menimbulkan kesakitan jika terluka dan diinfeksi oleh bakteria. Anda tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi kutil sebegini. Bagi wanita yang ingin mendapat perawatan disarankan berjumpa dengan pakar kulit. Perawatan secara laser, krioterapi (pembekuan) atau pembedahan dengan bius lokal.

Untuk pengetahuan anda, sekarang sudah ada vaksin bagi mencegah diinfeksi oleh human papiloma virus. Human papiloma virus (HPV) jenis 16 dan 18 adalah penyebab utama kanser serviks bagi wanita. Vaksin yang ada di negara kita adalah Cervarix dan Gardasil. Vaksin ini boleh mencegah seseorang wanita daripada diinfeksi oleh HPV utama tersebut. Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat berkenaan pengambilan vaksin ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan