Translate

Tajaan

Ahad, 25 Oktober 2009

K'jaan Belanja RM1.2 Juta Sehari Utk Banduan Di Seluruh Negara (Ceritera)

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kerajaan perlu membelanjakan lebih kurang RM1,274,490 sehari bagi menampung perbelanjaan penghuni-penghuni di penjara di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow.

Beliau berkata perbelanjaan itu adalah untuk 42,483 orang tahanan di semua institusi penjara termasuk di Depot Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dicatatkan sehingga 4 Sept lepas.

"Daripada jumlah itu, warganegara asing ialah 16,303 orang iaitu 38.3 peratus dan kos perbelanjaan sehari untuk mereka ialah RM489,090," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Astaman Abdul Aziz (BN-Titiwangsa) yang meminta Menteri Keselamatan Dalam Negeri menyatakan kos purata yang ditanggung kerajaan bagi setiap banduan yang sedang menjalani hukuman penjara bagi tahun 2005.

Fu berkata kerajaan terpaksa membelanjakan RM30 sehari bagi seorang banduan yang sedang menjalani penjara bagi tahun lepas.

"Kos-kos yang terpaksa ditanggung kerajaan tidak termasuk kos perubatan itu adalah meliputi kos pengurusan harian dan kos pemulihan.

"Kos pengurusan harian ialah makan dan minum, penyediaan tempat tahanan, penggunaan air dan elektrik, penyediaan pakaian, perkhidmatan dobi dan tenaga kawalan manakala kos pemulihan meliputi latihan vokasional, kebajikan, program kaunseling, ceramah agama, kemudahan perpustakaan, perjumpaan keluarga dan urusan surat menyurat," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan