Translate

Tajaan

Ahad, 3 Januari 2010

ASB 7.3 Seunit (Singgahsana)

ASB AGIHKAN PENDAPATAN 7.30 SEN SEUNIT DAN BONUS 1.25 SEN SEUNIT
14 Disember 2009

KUALA LUMPUR : Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009.

Peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM4.95 bilion oleh ASNB, iaitu peningkatan sebanyak 19.56 peratus berbanding jumlah RM4.14 bilion yang diperuntukkan bagi pengagihan pendapatan ASB pada tahun 2008.

Peruntukan bagi pembayaran bonus pula membabitkan jumlah sebanyak RM537.65 juta oleh PNB.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji berkata, pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 6.78 juta pemegang unit yang kini melanggan 70 bilion unit ASB.

Sehingga 10 Disember, 2009, ASB telah memperolehi pendapatan kasar sebanyak RM5.46 bilion, peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding RM5.28 bilion yang dicatatkan pada tahun 2008. Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM1.48 bilion atau 27 peratus daripada jumlah pendapatan kasar tersebut manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang sebanyak RM3.67 bilion atau 67 peratus. Pendapatan selebihnya yang berjumlah RM309 juta atau 6 peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pelaburan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan ini adalah berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan ASB yang berakhir pada 31 Disember 2009. Pengiraan bonus pula dibuat berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan yang dimiliki pelabur dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2000 sehingga 2009.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit. Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB mulai 4 Januari 2010.

Semua urusniaga bagi ASB di Ibu Pejabat ASNB, pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB di seluruh negara akan ditangguhkan bermula pada 21 Disember, 2009 sehingga 3 Januari, 2010 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

ASB adalah sebuah tabung ekuiti pendapatan berharga tetap yang disasarkan kepada Bumiputera berumur 12 tahun ke atas. Sasaran tabung ASB ialah menjana pulangan jangka penjang yang konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit dan pada masa sama, memastikan pengekalan modal pada tahap risiko yang munasabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan