Translate

Tajaan

Rabu, 20 Januari 2010

Terasa mual, pening dan menggigil

Serangan panik melampau boleh diatasi asalkan individu bijak mengawal stres dan ketakutan yang dialami.




MEMBERSIHKAN muntah setiap hari sudah menjadi rutin wajib ibunya. Dia muntah bukan kerana sakit atau demam. Tapi, hanya disebabkan serangan panik melampau yang sering dialami.

"Saya terlalu fobia nampak darah sama ada di televisyen atau realiti. Walaupun hanya setitik darah, saya terus panik dan muntah. Kepala terasa pening seperti terhantuk ke dinding, badan pula menggigil bagai hendak demam.

"Bagi saya, darah sesuatu yang terlalu menyakitkan sehingga ngilu seluruh badan. Disebabkan itu, saya panik sekiranya kesakitan itu berlaku pula kepada saya," luah Fetty Zuramaslina Zulkepli, 23, yang kini bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan di salah sebuah pusat rawatan di Bangi, Selangor.

Dipapah pesakit

Sudahlah bertugas di pusat rawatan tetapi panik melihat darah. Bagaimana? Graduan Diploma Komunikasi, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) itu mengakui, fobia yang dialami secara tidak langsung menjejaskan pekerjaannya. Setakat ini, sudah tiga kali anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik itu dimasukkan ke dalam wad kecemasan kerana serangan panik.

Imbasnya, insiden yang paling teruk ialah sewaktu membantu seorang pesakit yang cedera di bahagian lutut akibat kemalangan.

"Sewaktu pesakit itu mendaftar, kecederaan lututnya tidak kelihatan kerana dilindungi meja kaunter. Malangnya, sebaik sahaja ingin membawanya berjumpa doktor, saya tergamam kerana ternampak lututnya luka teruk dan berdarah. Mata saya berpinar-pinar dan pengsan di hadapannya.

"Sepatutnya, saya bantu pesakit. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Pesakit itu pula yang membantu papah dan panggil doktor. Sedar-sedar saja saya berada di atas katil wad. Nampak jururawat mengambil tekanan darah dan memeriksa pernafasan saya," tambah Fetty yang juga mengakui panik untuk berhadapan dengan khalayak.


TUGASAN yang membebankan boleh mengundang stres, sekali gus menyebabkan serangan panik.


Selain fobia darah masalah panik akan menyerang apabila namanya dipanggil secara rawak. Pernah suatu ketika namanya dipetik secara tiba-tiba untuk membuat persembahan pada sebuah majlis. Terkejut dengan panggilan itu, kakinya mula terasa kebas dan dada berdegup kencang.

Situasi yang sama turut berlaku ketika menuntut di tingkatan tiga. Sementara menunggu pengetua sekolahnya menghabiskan ucapan aluan, Fetty dan beberapa orang pelajar diminta bersedia beratur di bawah pentas. Ini kerana, selepas itu tiba giliran mereka naik ke atas pentas untuk menerima sijil penghargaan.

Suasana dewan yang sunyi sebentar tadi bagi menghormati sesi ucapan pengetua bertukar ceria dengan tepukan gemuruh. Pelajar-pelajar mula bersorak apabila nama rakan diumumkan oleh pengerusi majlis.

Sementelah majlis anugerah berlangsung dengan meriah, secara tiba-tiba riak wajah Fetty mula berubah. Kipas angin yang berputar menyejukkan segenap ruang dewan tidak mampu menghalang peluhnya daripada mencurah deras sehingga membasahi bajunya.

Debaran dan cuaknya semakin dirasai apabila tiga orang pelajar di hadapannya sudah mengatur langkah ke atas pentas. Kepalanya mula pening dan tekaknya terasa mual hendak muntah. Namun, sebaik sahaja namanya dipanggil tiba-tiba tubuh badannya tidak bermaya dan pandangannya terus menjadi gelap.

"Cikgu kata saya pengsan. Tak sempat naik pentas untuk ambil sijil. Berhadapan dengan orang ramai benar-benar membuatkan saya menggeletar dan panik. Saya jadi tak tentu arah dan sukar bernafas. Berpeluh-peluh dibuatnya," cerita Fetty menamatkan bicara.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Ahmad Daniel Fiqri Zaharudin, 25 memberitahu dia pernah mengalami masalah panik di tempat kerja apabila menyedari terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan dalam satu masa.

"Apabila melihat kerja bertimbun yang perlu diselesaikan segera, panik menyerang. Kepala saya tiba-tiba pening dan mahu pengsan. Terasa sukar untuk bernafas. Seluruh badan menjadi kebas dan terasa seperti rasa kebas itu mahu menjerut diri," kata Ahmad Daniel yang kemudiannya dibawa rakan sekerja ke hospital.


SERANGAN panik akan terus menyerang apabila individu terus dibelenggu ketakutan.


Cuba kawal diri

Serangan panik bermaksud suatu keadaan ketakutan atau kerisauan ekstrem yang dialami secara mendadak atau tiba-tiba. Ia boleh berlaku selama 15 saat tetapi lazimnya kesannya dirasai lebih kurang 30 minit.

Keadaan serangan panik tersebut adalah lebih teruk daripada keadaan cemas biasa kerana ia diiringi simptom fisiologi tertentu seperti sesak nafas dan berpeluh.

Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Samsilah Roslan memberitahu terdapat beberapa punca yang mengundang serangan panik. Antaranya, mengalami tekanan melampau yang boleh menyebabkan keadaan traumatik.


FOBIA ternampak darah juga boleh menyebabkan seseorang itu panik dan pengsan apabila melihat darah.





Misalnya, kehilangan orang dikasihi, perceraian, kehilangan pekerjaan, peperiksaan yang hampir tiba atau stres di pejabat. Berhadapan dengan fasa kehidupan yang baru seperti berkahwin, atau mendapat anak buat kali pertama turut mengundang serangan yang sama.

Selain itu, kecelaruan serangan panik juga boleh diwarisi daripada genetik keluarga. Namun peratusan besar mendapati sebahagian individu yang berhadapan dengan serangan panik tidak mempunyai sejarah keluarga. Ironinya, ia bergantung kepada faktor luaran dan persekitaran yang membebankan.

"Perlu diketahui fobia juga antara pencetus serangan panik melampau. Disebabkan itu mereka yang fobia pada darah begitu mudah diserang penyakit panik ekstrem apabila terpandang darah," tegas Samsilah mengenai serangan panik yang tidak kira jantina dan usia.

Saran Samsilah apabila melihat seseorang itu sedang bergelut dengan serangan panik pastikan mereka duduk dan berehat. Jangan sesekali biarkan mangsa dihujani dengan pertanyaan atau nasihat kerana faktor itu membuatkannya menjadi semakin panik.

Bagi si mangsa yang bergelut sendirian dengan serangan panik sama ada di rumah atau sedang memandu, cuba bertenang, kawal diri dan berfikir secara positif.

"Misalnya, individu mengalami serangan panik ketika menjawab soalan peperiksaan. Cuba fikirkan bahawa ramai orang yang berjaya pun pernah mengalami kegagalan. Yang penting ialah bangkit semula dan berusaha untuk lakukan yang terbaik.

"Apabila menyedari apa yang kita takuti itu sebenarnya tidaklah seteruk mana, kita boleh mengurangkan rasa panik tersebut," nasihat Samsilah lagi.

Jangan abaikan waktu makan

Dari sudut pemakanan pula, pakar pemakanan Hospital Besar Kuala Lumpur, Nurhidayah Mohamad Som, menjelaskan, pemakanan bukan faktor utama penyumbang pada masalah panik, tertekan, takut atau sebagainya.

Namun begitu pemakanan yang tidak seimbang atau kekurangan zat tertentu boleh menjadikan masalah panik menjadi lebih teruk.

"Justeru elak pengambilan minuman kafein (kopi), berkarbonat dan alkohol. Perlu diketahui proses menyingkirkan kafein daripada tubuh memakan masa yang agak lama. Keadaan tersebut akan meningkatkan tindak balas pada stres dan panik.

"Pada masa yang sama, kafein juga boleh menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi dan mengurangkan penyerapan mineral sekiranya diambil bersama makanan utama yang lain. Begitu juga dengan makanan tinggi lemak yang turut meningkatkan paras hormon stres dan panik dalam badan," terang Nurhidayah kepada Kosmo!.


AKTIVITI bersenam ialah salah satu cara mengurangkan serangan panik.


Oleh itu, rancang pemakanan seimbang setiap hari bagi membantu menangani masalah panik. Ia haruslah dilengkapi karbohidrat, protein, sayur-sayuran, buah-buahan serta sedikit lemak.

Sikap meninggalkan salah satu waktu makan utama hendaklah dielakkan. Ini kerana pengambilan makanan yang tidak mencukupi boleh mengganggu tahap metabolisme dalam badan.

Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan