Translate

Tajaan

Sabtu, 23 Januari 2010

Pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, yang dilantik sebagai Pemangku Raja Johor hari ini, merupakan seorang pewaris takhta yang mempunyai banyak keistimewaan.

Mewarisi sifat prihatin ayahanda baginda, putera sulung Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail itu bukan hanya mempunyai latar belakang akademik dan pencapaian membanggakan tetapi baginda juga cukup disenangi kerana keperibadian yang menawan hati rakyat.

Mesra disapa sebagai TMJ (Tengku Mahkota Johor), Tunku Ibrahim, 51, cukup sinonim dengan Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti berteraskan kerja-kerja sosial yang diilhamkan baginda sejak 2001.

Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu yang dijadikan acara tahunan, membawa baginda dan rombongan pengiringnya terdiri daripada Menteri Besar dan para pegawai negeri lain ke semua lapan daerah di Johor yang menyaksikan Tunku Ibrahim dan rombongan melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi.

Sikap prihatin dan kesungguhan baginda untuk turun padang bagi melihat sendiri kehidupan dan menyelami susah senang masyarakat membina kredibiliti baginda sebagai pewaris takhta yang mesra rakyat.

Semasa kembara pertamanya pada 2001, Tunku Ibrahim tidak kekok untuk mendokong dan mendodoikan seorang bayi yang terlentuk di bahu baginda.

Ketika melawat Kampung Temiang di Muar, baginda sempat menjamah ubi rebus yang merupakan makanan rakyat dengan begitu berselera serta memuji pembuat sambal ubi rebus, iaitu seorang nenek yang terharu dengan pujian Tunku Mahkota Johor.

Kesungguhan baginda untuk merasai kehidupan seharian rakyat jelata di situ jelas terserlah apabila pada satu ketika baginda meneguk air tebu dalam bungkusan plastik yang dihulurkan oleh seorang penduduk.

Tidak bersendirian, aktiviti turun padang itu memecah tembok pemisah antara istana Johor dan rakyat apabila Tunku Ibrahim turut melibatkan isteri, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan putera-puteri baginda dalam ekspedisi itu.

Tunku Ibrahim yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, putera sulung daripada 10 beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik sebagai Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Pewaris takhta itu menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika.

Sekembalinya baginda ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan