KUALA LUMPUR: Sani Express Sdn Bhd sedia memberi pampasan kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Ipoh, awal pagi tadi bagi meringankan beban mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Mohammad, ketika dihubungi berkata sebagai tindakan segera, Sani Express akan menyediakan peruntukan khas untuk setiap keluarga mangsa.
Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi keluarga mereka yang terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan tidak lama lagi.
Katanya, bas dua tingkat milik syrikat itu yang membawa 48 penumpang berada dalam keadaan baik sebelum ia memulakan perjalanan dari Klang, Selangor, pada 9 malam tadi menuju ke Kuala Perlis, Perlis.
"Bas berkeadaan baik dan diselenggara dengan baik. Bas itu juga dikunci had kelajuannnya pada 97 kilometer sejam dengan menggunakan alat khas 'speed limiter'," katanya.
Abu Bakar berkata, dengan menggunakan alat itu pemandu tidak boleh memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan atau mengubah alat terbabit untuk menambah kelajuan.
"Siasatan kami juga mendapati kelajuan bas yang dirakamkan sebelum kemalangan adalah 91 km sejam," katanya.
Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil syarikat terhadap pemandu bas yang didakwa terlelap, beliau berkata tindakan susulan akan dibuat setelah laporan daripada polis berhubung punca sebenar kejadian diperolehi.
"Tindakan selepas ini bergantung kepada hasil siasatan polis. Jadi kena tunggu laporan (polis) itu dahulu," katanya.
Abu Bakar berkata, operasi bas milik syarikat itu juga masih berjalan seperti biasa.
Dalam kejadian 1 pagi tadi, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pengadang jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara. - Bernama
Pemandu bas Sani Express akui 'terlelap'
IPOH: Pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara awal hari ini yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera, mengaku "terlelap" sebelum kejadian.
Ketua Trafik Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab, berkata siasatan awal polis mendapati pemandu berkenaan merancang untuk bertukar giliran memandu dengan pembantunya sebaik tiba di kawasan Rehat & Rawat Sungai Perak dekat sini.
"Ujian alkohol dan dadah yang dijalankan ke atas pemandu berusia 38 tahun itu didapati negatif," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu berkenaan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Rodzi berkata, bas ekspres tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan trafik namun beliau enggan menyatakan rekod pemandu yang ditahan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, meminta kerajaan pusat mempertimbangkan agar tidak membenarkan lagi bas ekspres beroperasi pada waktu malam.
Beliau berkata sekiranya langkah itu mampu melindungi nyawa pengguna perkhidmatan berkenaan maka ia amat wajar sekali dipertimbangkan.
"Nyawa orang ramai adalah yang paling utama," katanya kepada pemberita selepas menemui dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada anggota keluarga mangsa nahas berkenaan di luar Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini. - Bernama
LPKP tidak bercadang gantung operasi Sani Express
JOHOR BHARU: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) setakat ini tidak bercadang menggantung sementara perkhidmatan bas Sani Express yang terbabit dalam kemalangan maut berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi tadi yang mengorbankan 10 orang.
Pengarah LPKP, Datin Naimah Ramli, berkata syarikat bas ekspres terbabit bagaimanapun telah diarahkan untuk meningkatkan tahap keselamatan penumpang.
"Mungkin susah sikit untuk meminta syarikat mengantung operasi mereka berikutan musim cuti pada ketika ini dengan penumpang telah pun membeli tiket mereka.
"Bagaimanapun, saya telah pun bercakap dengan pemilik syarikat dan mengarahkan beliau supaya meningkatkan tahap keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Naimah berkata, insiden kemalangan maut membabitkan bas ekspres itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa tentang kemalangan maut yang membabitkan pelbagai agensi teknikal.
"Syarikat bas ekspres terbabit juga akan diminta menghantar laporan mereka (mengenai kemalangan maut hari ini)," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, bas dua tingkat terbabit yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan.
Dalam kemalangan itu, 10 penumpang maut manakala dua cedera dengan seorang daripadanya parah manakala 36 lagi penumpang dan dua pemandu bas itu selamat. - Bernama
sumbangan mane bruhh
BalasPadam