Translate

Tajaan

Isnin, 10 Mei 2010

Mitos, Lagenda & Sejarah @ Nogoghi Sembilan


Misteri: Dulang aneh sentiasa ada makanan
Oleh Hussain Said

Tempat saji makanan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas terhempas sehingga pecah ketika satu majlis jamuan di Masjid Kuala Dulang.


KAMPUNG Peninjau yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan, nyata tidak jauh berbeza dengan suasana kampung lain di negara ini.

Malah, kampung yang mempunyai bilangan penduduk seramai 400 orang, berjiran dengan Kampung Ulu Jelebu, Kampung Bukit, Jelebu Tengah itu, juga tidak ketinggalan mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan berturap.

Kedudukannya terletak berdekatan pekan Kuala Klawang juga memudahkan penduduk yang kebanyakan mereka menyara kehidupan dengan menoreh getah, menyelesaikan urusan harian masing-masing dengan mudah.

Istimewanya kampung yang dikepung oleh dua bukit iaitu Bukit Air di kanan dan Bukit Peninjau di kiri ialah wujudnya sebuah masjid tertua di daerah Jelebu.

Masjid itu diasaskan oleh Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja, pendakwah dari Minangkabau pada awal abad ke-16, yang juga menandakan kedatangan awal Islam ke daerah berkenaan

Kedua-duanya dikatakan meneroka perkampungan itu yang kemudian dinamakan Kampung Peninjau dan masjid itu pula pada asalnya sebuah bangsal beratap ijuk yang menjadi tempat pendakwah itu beribadat.

Istimewanya, pembinaan dan struktur asal masjid itu ialah tidak menggunakan paku sebaliknya dipasak.

Masjid Kuala Dulang mendapat namanya dipercayai daripada satu peristiwa yang berlaku di masjid berkenaan apabila ada sebuah dulang aneh yang sentiasa berisi makanan untuk semua jemaah.

Siapa menyediakan dulang berisi makanan berkenaan tidak diketahui dan peristiwa itu berterusan sehinggalah dulang aneh itu ghaib secara tiba-tiba. Malah, mitos mengenainya masih diperkatakan sehingga sekarang.

Siak masjid berkenaan, Abdul Aziz Samah, 71, mengakui cerita mengenai dulang itu dikatakan benar-benar berlaku menerusi beberapa versi cerita disampaikan beberapa penduduk awal yang menduduki kawasan berkenaan.

Dia yang mula menduduki kampung berkenaan pada 1953 dan sudah berkhidmat sebagai siak di masjid itu sejak 15 tahun lalu berkata, mengikut cerita, dulang aneh itu wujud ketika jemaah selesai menunaikan sembahyang zuhur ketika masjid itu mula dibuka.

"Selesai berjemaah, dikatakan ada di kalangan jemaah yang menyatakan lapar sebelum tiba-tiba mereka ternampak sebuah dulang di atas busut besar terletak di tengah-tengah sawah berdekatan masjid dan di tepi busut itu pula ada pusar air.

"Seorang jemaah yang pergi mendapatkan dulang itu mendapati ia berisi makanan yang lengkap dengan nasi serta gulai dan selepas kejadian itu, setiap kali selepas waktu zuhur dulang itu sentiasa berisi makanan yang dinikmati jemaah.

"Apa yang menarik, walaupun seberapa ramai jemaah yang datang bersembahyang, makanan yang terdapat dalam dulang itu sentiasa mencukupi. Namun, tiada yang tahu siapa menyediakan makanan itu," katanya.

Katanya, beliau juga pernah mendengar cerita dulang yang berisi makanan itu bukan saja disediakan selepas zuhur malah musafir yang singgah beribadat di masjid berkenaan turut merasai makanan dalam dulang berkenaan apabila mereka memintanya.

"Bagaimanapun, dulang makanan itu dikatakan ghaib sejak 300 tahun lalu selepas seorang jemaah tidak memegangnya dengan betul lalu terhempas dan pecah ketika satu majlis jamuan diadakan.

"Sejak itu, tiada lagi dulang yang berisi makanan untuk dinikmati jemaah sebaik selesai mengerjakan sembahyang zuhur. Namun, cerita mengenai dulang aneh itu masih diperkatakan hingga sekarang," katanya.

Abdul Aziz berkata, sebenarnya cerita mengenai dulang aneh itu sudah banyak diperkatakan hingga dilaporkan dalam media cetak dan elektronik, menyebabkan ramai orang luar datang beribadat di masjid berkenaan.

"Bukan saja penduduk tempatan malah orang luar dari Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang juga datang beribadat di masjid ini termasuk menunaikan solat hajat untuk mendapat petunjuk terutama dalam soal mencari jodoh dan menyelesaikan masalah dihadapi, katanya.

Beliau berkata, lima tahun lalu seorang wanita dari Pulau Pinang yang menghadapi masalah untuk melupakan teman lelakinya yang sudah beristeri selepas berkenalan selama dua tahun datang bernazar di masjid berkenaan.

Selepas itu wanita berusia 37 tahun itu mampu melupakannya. Saya ada dihubungi wanita terbabit selepas dua tahun dia datang ke sini dan menyatakan dapat melupakan lelaki terbabit, katanya.

Ditanya mengenai perkara pelik lain yang pernah diceritakan di masjid berkenaan, beliau berkata, pernah berlaku dua kali banjir besar di kampung berkenaan iaitu sebelum merdeka dan pada 1970 tetapi masjid berkenaan tidak ditenggelami air.

"Ramai penduduk yang hairan dengan keajaiban itu kerana masjid berkenaan terletak di tepi tebing sungai sedangkan semua rumah penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang.

"Berdasarkan orang alim dan ulama yang pernah mendengar keajaiban itu, mereka dapat melihat pelampung di bawah masjid berkenaan dan apabila banjir, pelampung itu akan menolaknya ke atas bagi mengelakkannya tenggelam," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Jalaluddin Alias, berkata pihaknya tidak menghalang sesiapa termasuk orang luar datang beribadat di masjid berkenaan.

"Kita akui cerita lama yang diperkatakan mengenai keistimewaan masjid berkenaan hingga menyebabkan ramai orang datang termasuk dari luar negeri ini yang singgah dan bermusafir di masjid ini.

"Setakat ini, tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbentuk khurafat di masjid dan kawasan sekitarnya, sebaliknya kebanyakan yang datang hanya untuk beribadat," katanya.

Katanya, walaupun sudah tiga kali pengubahsuaian dijalankan hingga membolehkan masjid itu kini menampung 400 jemaah, struktur dan identitinya asalnya masih dikekalkan bagi menjadikannya sebagai tempat bersejarah.

"Tiang masjid berkenaan masih tiang asal dan kita juga mengekalkan tabuh yang diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu untuk diketuk bagi memberitahu, masuk waktu sembahyang.

"Usia peralatan tabuh itu dikatakan sama dengan usia masjid. Tabuh berkenaan dibuat pada abad ke-16 ketika masjid berkenaan dibina," katanya.

3 ulasan:

  1. :D betul jgn org duk memuja2 cukup

    BalasPadam
  2. Jangan sampai kurafat; doa manusia ini di mana pun sampai; kalau di Tanah Suci atau Madinah itu memang ada tempat-tempatnya doa termakbul cepat.

    Kita nan jauh dari Tanah Suci atau Madinah, kena ambil peluang di hari & ketika doa mudah termakbul.

    BalasPadam
  3. Artikel yang bagus...penah kembara seorang diri dari Kajang sampai ke Kuala Klawang...kawasan Kuala Klawang nie macam ada sesuatu aura yang susah nak cakap...mungkin sebab kawasan tuh dah lama didiami, ada semangat dan sejarah yang buat hati mekar bila lalu kat kawasan tuh :)

    BalasPadam