Translate

Tajaan

Sabtu, 8 Jun 2013

Hafizh dapat wildcard lagi

 ARKIB : 08/06/2013

KUALA LUMPUR - Pelumba remaja negara, Hafizh Syahrin Abdullah menerima khabar gembira apabila bakal beraksi lagi pada Grand Prix Motosikal Dunia selepas diberi wildcard untuk berlumba dalam kelas Moto2 di Litar Catalunya, Sepanyol, 14-16 Jun ini.

Selepas menduduki tangga ke-22 pada penampilan pertamanya dalam perlumbaan di luar negara di Le Mans bulan lalu, pelumba berusia 19 tahun itu berpeluang menunjukkan bakat sebenar apabila turun ke litar sekali lagi pada pusingan keenam kejuaraan motosikal dunia.
Pemilihan pelumba Petronas Raceline Malaysia itu untuk menerima tiket wildcard di Catalunya keputusan yang agak mengejutkan memandangkan permintaan tinggi daripada pelumba-pelumba tempatan sendiri yang sentiasa mengisi tiket wildcard di Sepanyol.
"Saya sememangnya menantikan cabaran ini.

"Barcelona sudah dianggap seperti rumah kedua saya, manakala Litar Catalunya pula seperti litar halaman sendiri yang kedua untuk saya.

"Jika di Le Mans kami perlu cepat menyesuaikan diri dengan litar, di Catalunya pula situasinya agak berbeza kerana pasukan kami sememangnya berlatih di sini," kata Hafizh.

"Apa yang lebih penting ialah kami sudah mempunyai data yang cukup berkaitan litar ini.
"Dengan segala maklumat sedia ada, saya percaya kami dapat melakukan persiapan secukupnya menjelang hari perlumbaan sebenar nanti," kata Hafizh yang cukup teruja untuk membuat penampilan di Catalunya.

Pada aksi wildcard pertama musim 2013 di Le Mans, Hafizh mempamer semangat juang tinggi dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 sekalipun jentera Kalex yang digunakannya mengalami masalah klac patah setelah terjatuh pada pusingan pertama perlumbaan.

"Saya tidak begitu bernasib baik di Le Mans kerana terjatuh apabila cuba mengelak daripada terlanggar kelompok pelumba hadapan yang terjatuh, namun ia memberi pengalaman berguna kepada saya.

"Di Catalunya, kami masih realistik dengan mengekalkan sasaran untuk saya sekurang-kurangnya dapat mengutip mata kejuaraan," rumus Hafizh.

Malah Hafizh juga dikhabarkan menerima wildcard untuk beraksi dalam perlumbaan Moto2 di Grand Prix Malaysia, Oktober ini selepas mempamer aksi di Litar Sepang, tahun lalu.

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan