Lapan mahasiswa dibuang asrama manakala lapan lagi sedang menghitung
nasib selepas terlibat dalam himpunan membantah pengambil alihan premis
pelajar di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL)
yang dikendalikan pelajar.
Pengerusi kumpulan promahasiswa (Pro-M)universiti itu Jamhuri Mohamad
berkata, 16 pelajar itu dibicarakan bawah Kaedah 9(3) Kaedah-Kaedah
Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999, Akta
Universiti dan Kolej Universiti 1971.
Kaedah itu berkaitan menghadiri atau menyertai perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak universiti.
Jika disabitkan bersalah, mahasiswa itu boleh dihukum sama ada berbentuk
amaran, didenda tidak melebihi RM200, dilarang berada di kawasan
universiti, digantung pengajian atau dipecat
Tidak puas hati dengan prosiding itu, Jamhuri mendakwa, mahasiswa tidak
diberi peluang untuk membela diri dan hukuman yang dikenakan “berat
sebelah”.
“Pro-M UMSKAL mempertikai tindakan pihak Universiti yang melakukan perbicaraan dan hukuman secara tergesa-gesa.
“(Seramai) 16 orang mahasiswa dibicara dalam masa kurang 5 jam dan 8 daripadanya terus dihukum,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga mendakwa, tarikh perbicaraan juga terlalu hampir dengan tarikh surat pertuduhan dikeluarkan.
Katanya, surat pertuduhan dikeluarkan pada 23 Mei yang mengarahkan perbicaraan pada 26 Mei.
Jamhuri juga berkata, universiti gagal menghormati regulasi Mahkamah
Rayuan Putrajaya yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman
sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan kebebasan berhimpun yang
dijamin perlembagaan.
Mahasiswa sebelum ini bertegas tidak akan mengosongkan premis itu walaupun sudah diberikan arahan lisan.
Sebuah perhimpunan bantahan turut dilakukan bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan universiti.
Pentadbir universiti sebelum ini menarik balik satu lot premis yang
telah enam tahun dikendalikan oleh pelajar bawah Sekretariat Masjid Al
Hikmah.
Pengarah UMSKAL Prof Dr Ismail Ali ketika dihubungi berkata,
beliau tidak dapat mengulasnya kerana tidak terlibat dengan tindakan
tatatertib yang dikendalikan oleh bahagian perundangan dan tatatertib
universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan