Polis menahan 13 anggota tentera bagi membantu siasatan berhubung kes
kematian seorang anggota tentera dan dua orang awam cedera di Pekan
Lahad Datu semalam.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua mereka ditahan
sejak semalam di sekitar Pekan Lahad Datu dan 13 laras senjata api turut
dirampas.
"Mereka direman sehingga 4 Jun bagi membantu siasatan," katanya kepada
pemberita di sini hari ini dan menambah sehubungan itu kes berkenaan
dianggap selesai.
Dalam kejadian kira-kira 4.45 pagi itu, seorang anggota tentera
dipercayai melepaskan beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan
yang berlaku di hadapan sebuah kedai, tembakan itu mengakibatkan
Lans Koperal Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di dada dan
meninggal di Hospital Lahad Datu.
Dua orang awam turut cedera yang merupakan warga Indonesia berumur 31 dan 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga kelab malam.
Sementara itu di Tawau, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim
Bakri berkata kementerian berkenaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak
polis untuk menjalankan siasatan sebelum pihaknya mengambil sebarang
tindakan.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian tersebut kerana ia melibatkan anggota pasukan keselamatan.
"Sekarang kes ini (adalah) kes polis dan polis akan buat siasatan dan
kita pun tak pasti apa yang berlaku sehingga polis selesai melakukan
siasatan.
"Jadi kena tunggu hingga polis membuat pengesahan berkaitan kejadian
tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai
perjalanan pengurusan kem Pusat Latihan Khidmat Negara, Kem San Shui di
Kota Kinabalu hari ini.
Menurutnya, jika terdapat bukti mencukupi, anggota tentera yang didakwa
melepaskan tembakan itu akan didakwa di Mahkamah Awam kerana kes berlaku
di kawasan awam serta melibatkan orang awam dan kes bukan berlaku di
kawasan kem tentera.
Abdul Rahim juga berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam
penggunaan senjata api bagi anggota tentera akan ditambah baik jika
terdapat kelemahan, tetapi ia bergantung kepada hasil siasatan kes
berkenaan.
"Penggunaan senjata api di kalangan anggota tentera atau polis mempunyai
SOP tertentu dan anggota yang tidak bertugas tidak harus menggunakan
senjata api sewenang-wenangnya apatah lagi untuk kegunaan peribadi.
“Tapi kita akan tunggu siasatan, sama ada dia (suspek) ikut SOP atau
tidak. Kalau dia ikut OK, tetapi kalau dia tidak ikut, kita akan tengok
apa (bentuk) tindakannya. Kita akan lihat semula selepas pihak polis
siasat,” katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan