Translate

Tajaan

Isnin, 18 Februari 2013

Adab Menantu Terhadap Mertua & Mertua Terhadap Menantu


Apabila kita bernikah sahaja dengan pasangan kita secara tidak langsung kita akan terus mendapat ibu bapa mertua.Taraf dan penghormatan kita terhadap ibu bapa mertua ini sama seperti ibu bapa kita sendiri. Ada tanggungjawab yang kita perlu laksanakan kepada mereka.

Hari ini ramai yang salah anggap mengenai tanggungjawab terhadap mertua. Salah anggap itu membawa kepada rasa kurang hormat terhadap mertua sedangkan mereka wajar dihormati seperti taraf menghormati ibu bapa sendiri.

Apabila wujud rasa kurang hormat, tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan mungkin tidak akan berlaku, walhal tanggungjawab menantu perlu ada pada mertua. Menantu lelaki terutamanya mempunyai tanggungjawab yang berat terhadap mertua berbeza dengan menantu perempuan. 

Kalau seorang wanita perlu meletakkan suami sebagai individu yang sangat perlu dihormati dan ditaati selepas Allah dan Rasul bagi lelaki pula dalam konteks menantu dan mertua, mereka mesti menghormati ibu mertua diikuti bapa mertua selepas Allah dan Rasul sepertimana dia menghormati kedua ibu bapanya.

Islam meletakkan martabat yang tinggi terhadap ibu bapa dan juga mertua, justeru tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan oleh menantu lelaki. Mengabaikan ekoran dari mertua seolah-olah mengabaikan ibu bapa sendiri. 

Kesejahteraan rumah tangga amat bergantung kepada sejauh mana tanggungjawab menantu terhadap ibu bapa serta mertua. Jika tanggungjawab itu diabaikan sudah tentu si isteri akan menjadi kurang selesa disebabkan ibu bapanya sendiri diabaikan oleh si suami. Tegasnya, kedudukan ibu bapa sendiri dan mertua adalah sama tidak kira mertua beragama apa sekalipun, sama seperti  tanggungjawab anak yang sudah memeluk Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk Islam. 

Bagi sesetengah  pasangan permasalahan hubungan antara menantu dan mertua seringkali menjadi punca timbulnya konflik antara suami dan isteri. Meskipun  di zaman ini sudah banyak pasangan yang tidak tinggal serumah dengan mertua namun hal tersebut bukan bererti bahawa masalah menantu-mertua tidak lagi terjadi. Hal ini mengingatkan kita bahawa sebagai anggota dari sebuah keluarga maka mertua dan menantu pasti akan selalu bertemu dan saling berinteraksi contohnya ketika pulang berhari raya atau ketika si datuk atau nenek berkunjung ke rumah anaknya untuk menjenguk cucu mereka.


Bagaimana jika anda terpaksa tinggal bersama mertua? Apa yang perlu dilakukan trehadap mereka? Mesti ada pro dan kontranya. 

Sebagai menantu perempuan kia kena beralah dan mendahulukan mertua. Dalam hirarki kehidupan seorang suami, seorang suami perlu mendahulukan ibu bapanya dari isteri. Suami yang baik akan bertanggungjawab terhadap ibu bapanya ibu bapa mertua dan keluarganya sendiri. Sebagai isteri kita sepatutnya membantu suami untuk menjadi anak dan suami yang soleh.

Sekiranya ada apa-apa perbincangan dan permuafakatan perlu ada agar tiada hati yang akan terluka. Sebagai seorang isteri yang sayangkan suami, mestilah kita mahu dia menjadi seorang hamba yang soleh. Dan untuk mencapai hasrat itu suami itu perlulah bertanggungjawab terhadap orang tuanya. Salah satu tanggungjawab suami ialah berbakti kepada ibu bapanya.
Ada juga mertua yang cerewet dan selalu mencampuri urusan rumah tangga anak-anak mereka sehingga anak menantu bercerai-berai. Namun tidak dinafikan kadang-kadang ianya bergantung kepada anak itu sendiri yang terlalu bergantung dengan ibu bapa mereka sekalipun telah berumah tangga.

Persoalannya bagaimanakah cara menangani masalah ini sehingga hubungan antara menantu dan mertua kekal harmoni? 

Cara mewujudkan hubungan yang baik

Pada dasarnya penyelesaian sesuatu masalah adalah bergantung pada diri kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Jika hanya menunggu pihak lain untuk bertindak, kemungkinan besar penyelesaiannya akan menjadi lebih rumit. Maka bagi mereka yang mengalami masalah dengan mertua atau menantu, ada baiknya mereka mempertimbangkan beberapa saranan berikut:

 Berdamai dengan diri sendiri:
Ertinya menciptakan suasana tenang dalam diri sendiri dengan mendekatkan diri pada Allah s.w.t dan mengenepikan sebarang buruk sangka terhadap mertua. Alihkan fikiran secara total pada hal-hal yang positif.Ingatlah bahawa setiap perselisihan pasti melibatkan lebih dari seorang dan dalam hal ini tidak ada manusia yang dapat lari dari kesilapan.

Oleh sebab itu, jika secara negatif dan selalu meyalahkan orang lain, maka sekarang belajarlah sedikit demi sedikit melihat sesuatu permasalahan secara objektif. Mulakan dengan mengubah pola pemikiran kita sendiri. Hal ini berkait rapat kerana pasangan yang mempunyai sikap prejudis di dalam diri mereka akan terpengaruh dengan sikap tersebut di mana terdapat pasangan yang dari awal-awal perkahwinan lagi menunjukkan sikap yang negatif terhadap mertua.

Sebagai contoh masyarakat selalu melemparkan persepsi yang salah terhadap mertua seperti: mertua harus dijauhi dan tidak perlu mewujudkan hubungan yang baik dengannya, mertua tidak boleh dibawa tinggal bersama ataupun menantu tidak boleh tinggal bersama mertua dan berbagai-bagai prasangka yang lain. Persepsi yang tidak baik ini jika tertanam dalam pemikiran seseorang akan menyebabkan mertua berkecil hati dan mudah tersinggung. Jauhi sikap meninggi suara pun tidak hormat kepada mertua. Jika mertua menegur kekurangan diri terimalah secara baik biarpun ada ketikanya teguran itu menyinggung keperibadian diri sendiri yang sukar dibaiki sejak sebelum berumah tangga lagi.

Mulailah belajar untuk memahami beberapa perkara seperti berikut

Setiap keluarga mempunyai budayanya sendiri begitu juga antara menantu dan mertua tentunya memiliki budaya keluarga yang berbeza. Yang dimaksudkan dengan budaya keluarga di sini ialah latar belakang yang seringkali berbeza, sama ada yang menyentuh hal-hal berkenaan tempat tinggal ataupun pengalaman peribadi yang selama ini menjadi pegangan, didikan dan kebiasaan dalam sesebuah keluarga di mana segalanya ini tentu sekali akan membentuk karaktor, sikap dan pembawaan seseorang individu dalam menjalani kehidupan seharian dan dalam menghadapi sesuatu masalah.

Dengan lain perkataan asuhan orang tua atau kualiti hubungan yang terjalin antara orang tua dengan anaknya merupakan faktor penting yang boleh mempengaruhi kualiti perkahwinan seseorang di masa akan datang. Hal ini mencakupi perihal memilih pasangan pola interaksi komunikasi suami isteri dan anak-anak sikap terhadap pasangan dan persepsinya terhadap perananannya dalam keluarganya. Dengan itu jika proses sosialisasi dengan orang tuanya tidak begitu baik segala emosi negatif dari masa lalu akan terbawa-bawa dalam kehidupan rumah tangganya, baik terhadap diri sendiri, pasangannya dan terhadap makna perkahwinan itu sendiri.

Menyamakan pasangan dengan ibu atau bapa sendiri

Seringkali tanpa sedar seseorang akan mencari pasangan dan mertua seperti ibu dan bapanya. Mereka mengharapkan pasangannya dan mertuanya memperlakukan mereka seperti perlakuan ibu dan bapa sendiri. Harapan tersebut pada dasarnya tidaklah wajar  kerana ia mendatangkan masalah besar pada institusi rumah tangga.

Sebaliknya menantulah yang harus mengalah dan melayani mertua mereka seperti ibu bapa sendiri selaku orang yang lebih tua dari kita kerana kedudukan mereka sebenarnya adalah sama dengan taraf ibu bapa sendiri. Menderhaka kepada mereka samalah seperti menderhakai pada orang tua kita. 
Menantu juga hendaklah menunjukkan sikap bertolak ansur dengan mertua. Mertua seperti individu lain yang tentunya memiliki sifat kekurangan dan kelebihan tersendiri. Segala  sifat mertua ini hendaklah diterima oleh menantu dengan lapang dada. Jangan sesekali bercakap ego berani meninggi suara pun beraku kamu dengan mertua. Ini amat menyalahi ajaran agama Islam demi membangunkan rumah tangga Islam yang bahagia. Cepatlah memohon maaf jika terkasar bahasa dan bertaubatlah memhon ampun kepada Allah SWT sebab selalunya derhaka ini balasannya amat segera diturunkan Allah SWT di dunia lagi. Ibu ayah pun mertua akan sentiasa memaafkan anak-anak tetapi sikap derhaka terhadaop orang tua ini amat dilaknati Allah SWT.

Penghargaan kita kepada menantu itu. Komunikasi yang bijak akan melahirkan kedamaian Namun jika hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha kearah perdamaian, sudah pastinya matlamat untuk mendapatkan keharmonian dalam rumah tangga tidak tercapai. Mertua juga seharusnya memainkan peranan yang penting dalam perkara ini. Ada segelintir mertua yang selalu campur tangan dalam kehidupan anak-anak mereka walaupun sudah berkahwin. 

Sewajarnya mereka tidak perlulah lagi masuk campur dalam masalah remeh dan kemelut rumah tangga anak-anak mereka. Berikan mereka ruang untuk berbincang dan menyelesaikannya dahulu. Sebagai mertua,kita hanya boleh memberi nasihat dan panduan kepada anak-anak tetapi biarlah mereka membuat keputusan sendiri untuk menentukan corak kehidupan mereka.

Selain itu mertua juga haruslah menghormati keputusan anak dan menantu juga. Cuba untuk memahami kehendak dan keperluan mereka. Tiada salahnya kita mendengar pendapat anak-anak muda. Selagi ianya tidak bercanggah dengan hukum dan prinsip Islam kita boleh menerima saranan mereka. Mertua perlu mendamaikan rumah tangga anak-anak jika berlaku pergeseran sampai mahu bercerai-berai. Jangan menjadi batu api membuatkan rumah tangga anak-anak bercerai-berai. Jangan jadikan rumah sendiri tempat anak berlindung ketika bergolak rumah tangga. Ingatlah akan amaran Allah SWT yang perceraian itu satu yang dibolehkan tapi dimurkai-Nya. Jangan menjadi mertua sebagai orang yang meruntuhkan masjid yang telah kukuh terbina.

Cubalah berbaik-baik dengan menantu serta keluarganya untuk mengeratkan lagi hubungan sillaturrahim yang ada. Dengan cara ini secara tidak langsung boleh membuatkan kita lebih mengenali keperibadian menantu kita itu.

Mertua juga perlulah  mencuba untuk mengajak menantu berbual untuk mengetahui tentang kesukaannya masalah yang dihadapi supaya menantu tidak berasa kekok ketika berada di rumah mereka sekaligus membuatkan menantu lebih selesa dan di sayangi oleh mertuanya.

Selalu mengambil berat tentang keadaan menantu untuk menunjukkan rasa kasih dan serta keharmonian dalam sesebuah perhubungan.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum:

    Saya tidak menafikan terdapat ibubapa mertua yang lebih sayangkan menantunya dari anak sendiri...conth yang terdekat adalah ibubapaku sendiri....ianya menyayangi kakak ipar, suamiku dan adik iparku sebaik yang mungkin...tiap tutur katanya sentiasa berhati-hati agar menantunya tidak tersinggung....

    tak macam mentua aku.....segala arahannya perlu dipatuhi, di arahkan berkumpul dirumahnya untuk makan-makan bersama ahli keluarga, tetapi saya dan suami telah memaklumkan kepada anak yang memaklumkan majlis tersebut kerana tidak dapat hadir yang mana pada masa yang sama terpaksa membantu jiran untuk menghantar suaminya kehospital. Namun ibunya tidak boleh terima, walaupun alasan telah diberi.....yang kami dapat kata-kata sindirin dan kemarahan ibunya sahaja.

    Ibu mertua saya serinng memarahi suami saya dengan menunjukkan tingkah lakunya....Adakal tu bila suami saya dan anak-anak balik selalu dia berjalan dan tiada di rumah (Mereka Kerap Melancong dan bercuti) tanpa pengetahuan suami saya....

    Anak sulongnya merupakan perancang dan juga racun kepada ibunya....sehingga ibu mertua saya sanggup meracun anak-anak yang lain memulau suami saya. Bila suami saya tak balik kerumahnya, dia marah, kadang-kadang tu bila balik kena sindir dan perli...tu yang buat suami saya berkecil hati....

    Saya selalu menasihati suami saya...banyak-banyak bersabar. Berdoa pada Allah agar beri jalan penyelesaian. Saya selalu berkata pada dia...jangan sesekali menjawab atau memberi alasan pada ibunya, takut jatuh dosa....biarlah dia, (ibunya) kalau kemarahan nya itu mambawa kebahagian kepada dirinya..biarkan....kerana siibu telah menanam racun yang berbisa dikalangan anak-anaknya dan memutuskan silaturrahim....

    BalasPadam
  2. Memang tak dinafikan ramai kalangan ibu mentua bersikap tak adil dengan menantunya. Dalam sudut layanan yang berbeda. Apatah lagi jika menantu sorang ini yang tak punya apa-pa dan yang sorang lagi org terhormat.

    Kita sebagai anak/menantu terpaksa menaham sabar; jangan fikirkan sangat pun jangan harapkan sangat kasih sayang dari mentua yang begini. Ikut arus rumah tangga kita; pasti keluarga kita sentiasa bahagia. Teruskan berperasan sebagai menantu atau anak yang menghormati orang tua.

    Anggap orang tua itu adalah mereka yang perlu kita bersabar dengan kerenahnya. Orang tua akan pergi biarlah mereka dengan sikap pelik mereka jangan kita pelikkan lagi; atau mencurah minyak ke api memarak. Takkan hilang bisanya jika ular menyusup akar. Allah SWT sentiasa sayang kita yang sabar dan tak pandai ambil hati sikap orang tua yang memang melukakan hati kita.

    BalasPadam