Translate
Tajaan
Khamis, 29 April 2010
Wajah siapakah ini? (Singgahsana)
Wajah ini di ambil sekitar tahun 2002, masa ini tak ada sebarang sakit kronik, memang hobi ketika ini suka buat koleksi spek hitam; spek yang ini hilang... tertinggal di al-Farmosa Melaka sana.
Itu baju staf teknikal di tempat kerja! pinggang masa ini sekitar 35 ". Sekarang dah sampai 40". Isk!
Gambar diambil depan Makmal Komputer KKA, Fakulti Kejut. UPM
Sila komen wajah Penyair iDANRADZi ini!
Usia ketika ini berapalah agaknya?.
Rahsia!.
Ahad, 25 April 2010
Tahniah BN
PR seharusnya tambah giat membangunkan negeri Selangor jika tidak mahu hilang kuasa di Pilihan Raya Umum akan datang!.
iDAN
BN tawan semula Hulu Selangor
|
|
HULU SELANGOR 25 April – Barisan Nasional (BN) memberikan isyarat awal kebangkitan semula parti itu di Selangor apabila menawan kerusi Parlimen Hulu Selangor berikutan kejayaan calonnya, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.
Kamalanathan memperoleh 24,997 undi manakala Zaid mendapat 23,272 undi. Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru, di sini.
Seramai 49,000 atau 76 peratus daripada 64,500 pemilih berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr.Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G.Palanivel dengan majoriti 198 undi. Kali terakhir BN menguasai kerusi Parlimen tersebut ialah pada tahun 2004 juga melalui Palanivel.
Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dicapai oleh BN dalam sepuluh pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum 2008.
Turut meraikan kejayaan BN ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di dewan itu kira-kira pukul 9.10 malam, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin-pemimpin komponen BN.
Berdasarkan kepada keseluruhan undi yang diterima daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor, dua daripadanya dimenangi oleh BN manakala satu lagi dimenangi oleh PKR.
BN menang di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali tetapi tewas di Kuala Kubu Bahru yang pada pilihan raya umum lalu dimenangi oleh BN dengan majoriti 448 undi.
Bagaimanapun terdapat peningkatan ketara di kalangan pengundi Cina yang majoritinya berada di dalam DUN Kuala Kubu Bahru.
Kejayaan BN di Hulu Selangor, selain dilihat sebagai kebangkitan semula BN dalam usahanya merampas kembali pemerintahan di Selangor yang kini berada di bawah pakatan pembangkang yang diketuai oleh PKR, lebih penting daripada itu, pemimpin-pemimpin BN menyifatkan ia isyarat penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib dan Muhyiddin.
Sepanjang kempen berlangsung sejak 15 April lalu, kepimpinan BN terus berusaha meyakinkan pengundi-pengundi untuk menerima kembali parti itu di kawasan Parlimen berkenaan melalui penerapan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Kempen pembangkang yang terus memainkan isu syarikat perunding antarabangsa, Apco Worldwide (Apco) ternyata gagal mempengaruhi pengundi yang dilihat lebih mengutamakan isu-isu tempatan dan pembangunan.
Selasa, 20 April 2010
Dasar Pandang Ke Timur perlu disemak - PM
|
|
TOKYO 19 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masanya sudah tiba untuk Dasar Pandang Ke Timur yang bermula 28 tahun lalu disemak semula dengan memperkenalkan usaha baru yang menepati keperluan dan kepentingan semasa serta masa depan Malaysia-Jepun.
Walaupun Perdana Menteri mengakui jasa besar dasar itu antara teras hubungan dua hala selain manfaat kepada lebih 15,000 rakyat Malaysia, kedua-dua negara perlu tampil dengan formula baru untuk terus bergerak ke hadapan.
"Kita akan melihat pakatan strategik dalam bidang-bidang teknologi baru seperti alam sekitar, industri hijau, nano serta sektor komunikasi," kata beliau pada majlis jamuan rasmi anjuran rakan sejawatannya dari Jepun, Dr. Yukio Hatoyama sempena lawatan beliau di sini hari ini.
Jamuan itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Hatoyama, Miyuki; Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; serta Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md. Som.
Pandangan Najib mengenai keperluan dasar itu disemak semula turut dipersetujui Hatoyama dengan kedua-dua pihak mengakui hubungan Malaysia-Jepun kini memasuki fasa baru yang menekankan kepentingan meningkatkan perkongsian sumber dan kepakaran.
Menurut Najib, Malaysia sangat menghargai kerjasama ekonomi Jepun yang terus berkembang sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik 50 tahun lalu.
Namun, beliau berpendapat walaupun banyak kejayaan yang telah dicapai, potensi untuk berkembang masih terbuka luas khususnya dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) serta Iskandar Malaysia untuk Jepun menggandakan nilai pelaburan.
Perdana Menteri berkata, walaupun kemelesetan ekonomi dunia memberi kesan kepada penurunan nilai perdagangan dua hala, keadaan itu dijangka berubah kepada lebih baik bermula tahun ini.
Untuk rekod, nilai perdagangan Malaysia-Jepun susut daripada RM136 bilion pada 2008 kepada RM108.7 bilion tahun lalu.
Diabetes Melitus
Apakah itu diabetes?
Diabetes adalah salah satu penyakit kronik di mana ianya merupakan masalah yang besar di kebanyakan negara-negara di dunia. Di Malaysia satu kajian telah dilakukan pada tahun 1996 di mana di anggarkan 700,000 hingga 900,000 orang dewasa berumur 30 tahun ke atas menghidapi diabetes atau terdapat 8 penghidap diabetes bagi setiap 100 orang dewasa.
Diabetes adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah anda adalah tinggi dari normal. Ia adalah satu daripada faktor utama untuk mendapat sakit jantung atau angin ahmar.
Diabetes berlaku apabila pankreas dalam badan tidak lagi menghasilkan insulin atau badan tidak boleh menggunakan insulin sendiri dengan berkesan. Makanan yang kita makan akan bertukar kepada gula dalam badan kita. Insulin akan digunakan untuk membawa gula dalam saluran darah kedalam sel dan tisu, di mana ia akan digunakan untuk bahan bakar.
Apabila kekurangan insulin, gula tidak boleh dibawa kedalam sel dan tisu, maka paras gula dalam badan akan meningkat.
Ini akan merosakkan sel yang memerlukan glukosa untuk bahan bakar dan juga ini akan merosakkan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi.
Dua jenis diabetes
Terdapat dua jenis diabetes utama:
- Jenis 1 - "Diabetes atau Insulin Dependent Diabetes Mellitus" (bergantung pada Insulin)
- Biasanya berlaku pada kanak-kanak dan remaja
- Biasanya tidak dapat menghasilkan insulin
- Jenis 2 - "Diabetes atau Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus" (tidak bergantung pada insulin)
- Jenis paling biasa ditemui dan lebih daripada 90% penghidap diabetes adalah penghidap jenis ini.
- Selalunya pada orang yang berumur dan berat badan berlebihan.
Bagaimanapun, terdapat satu lagi jenis kumpulan individu yang berada di antara kedua-dua jenis di atas yang dikenali sebagai Impaired Glucose Tolerance atau kumpulan IGT.
Apakah tanda-tanda amaran diabetes?
Anda boleh mengalami berlainan tanda-tanda dan gejala. Walau bagaimanapun, gejala yang biasa dialami ialah:
- Haus/dahaga (haus yang berlebihan)
- Letih
- Berat badan menurun
- Penglihatan kabur
- Otot lemah
- Gatal
Lain-lain gejala termasuk:
- Pengidap penyakit kulit yang berpanjangan
- Luka yang lambat sembuh
- Kencing yang kerap
- Gatal pada bahagian kemaluan
- Rasa kebas
Anda boleh juga menghidapi diabetes tanpa apa-apa gejala. Jangan bergantung kepada gejala untuk mengetahui anda adalah penghidap diabetes. Jalankan ujian di klinik kesihatan berdekatan.
Siapakah yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat diabetes?
Sesiapa saja tidak kira umur boleh menghidapi diabetes. Walau bagaimanapun anda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidapi diabetes jika mempunyai perkara berikut:
- Berumur 35 tahun atau lebih tua. Semakin tua semakin tinggi risiko anda untuk menghidapi diabetes
- Berat badan berlebihan atau obesiti.Semakin berat badan anda bertambah, semakin tinggi risiko anda menghidap diabetes.
- Impaired glucose tolerance (IGT).
- Latar belakang keluarga yang mempunyai diabetes
- Sejarah diabetes pada kehamilan terakhir.
- Sejarah mempunyai bayi yang besar (berat kelahiran adalah 4.0 kg atau lebih ) .
- Tekanan darah tinggi
- Tidak aktif -gaya hidup sedentari
- Faktor pemakanan -Pengambilan makanan berlemak tinggi dan kurang pengambilan makanan berserat
- Tahap lemak/ kolesterol yang tinggi .
Jika anda fikir anda mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi diabetes, hubungi klinik kesihatan berdekatan.
Komplikasi diabetes
Diabetes adalah masalah kronik dan boleh mengganggu banyak organ bergantung kepada kawalan gula dalam darah. Tanpa pengurusan yang betul ianya boleh mendatangkan berbagai komplikasi seperti penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, buta dan kerosakan saraf.
Keadaan kecemasan:
- Hipoglisemia -ialah apabila tahap gula dalam darah adalah rendah. Anda akan mengalami sakit kepala, rasa pening, pusing, ketar tangan dan berpeluh. Anda boleh pengsan atau di serang sawan jika kandungan gula anda adalah terlalu rendah
Diabetes Ketoacidosis adalah keadaan serius apabila tahap gula terlalu tinggi. (Ini biasanya bermaksud anda benar-benar kekurangan insulin). Ia juga boleh di hasilkan oleh tekanan, jangkitan kuman, kecederaan, penggunaan ubatan atau kemasukan wad bagi angin ahmar atau sakit jantung. Anda akan mengalami mengantuk dan tidak sedar diri.
- Hiperglisemia - adalah apabila tahap gula dalam darah tinggi. Anda akan mengalami mengantuk dan tidak sedar diri
Kandungan gula dalam darah tinggi yang berpanjangan ( Kronik)
- Ini menyebabkan kerosakan jangka panjang:
- Mata
- Katarak, pendarahan dalam mata dan menyebabkan buta
- Saraf
- Kebas atau kehilangan deria rasa pada tangan dan kaki dimana pesakit boleh mendapat kecederaan tanpa disedari. Ini boleh menyebabkan luka pada kaki dan gangrene
- Buah pinggang
- kegagalan buah pinggang
- Jantung
- Sakit jantung
- Mata
Berita baik adalah jika anda dapat mengawal diabetes dengan baik, ini akan membantu mengelakkan atau melambatkan komplikasi
Apakah yang sepatutnya saya lakukan untuk mengelakkan dari mendapat diabetes?
Kawalan diabetes yang baik adalah anda boleh mengawal tahap gula dalam darah menghampiri tahap normal. Ini boleh di capai dengan kaedah berikut:
- Mengawal pengambilan makanan
- Mengambil makanan seimbang kerana pengambilan makanan berlebihan akan meninggikan tahap gula dalam darah
- Melakukan senaman fizikal
- Senaman dapat mengurangkan kandungan gula dalam darah dan membantu insulin bekerja dengan lebih berkesan. Senaman juga dapat membantu anda mengurangkan berat badan.
- Ubatan
- Jika anda pengidap diabetes jenis 1, anda memerlukan suntikan insulin
- Jika anda pengidap diabetes jenis 2, anda mungkin hanya memerlukan pengambilan ubat hipoglisemia untuk menurunkan tahap gula dalam darah dan sesetengah mungkin memerlukan suntikan insulin.
Walaupun anda menghidap diabetes, anda masih boleh menjalani kehidupan normal dan aktif.
- Penjagaan secara umum:
- Penjagaan kulit
- Mandi setiap hari
- Keringkan semua bahagian badan dengan sempurna
- Merawat luka dan calar dengan segera
- Berjumpa doktor jika luka tidak sembuh selepas 2 - 3 hari.
- Penjagaan kaki
- Basuh kaki setiap hari
- Keringkan semua bahagian kaki dengan sempurna terutama antara celah-celah jari kaki
- Periksa kaki anda setiap hari untuk luka, calar, melecur atau apa-apa perubahan warna kulit.
- Potong kuku jari kaki secara lurus
- Tukar stokin anda setiap hari
- Jangan berjalan tanpa kasut
- Selalu pakai kasut yang lembut dan sesuai diguna luar rumah.
- Penjagaan kulit
- Mengawasi diri sendiri
- Anda digalakkan untuk melakukan pengawasan glukosa dalam darah. sendiri. Kerap memeriksa tahap glukosa dalam darah boleh memberitahu keberkesanan cara anda mengawal diabetes
- Anda digalakkan untuk melakukan pengawasan glukosa dalam darah. sendiri. Kerap memeriksa tahap glukosa dalam darah boleh memberitahu keberkesanan cara anda mengawal diabetes
- Penjagaan gigi
- Kerap menjalani pemeriksaan mata
- Mengelakkan minuman keras
- Berhenti merokok
Apakah yang patut saya lakukan untuk mengelakkan dari mendapat penyakit diabetes?
Diabetes boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat:
- Makan makanan berkhasiat dapat membantu mengawal tahap gula dalam darah, mengekalkan berat badan, mengawal paras kolesterol, mengurangkan tekanan darah tinggi dan mencegah penyakit jantung.
- Senaman dapat memperbaiki kecergasan, membakar kalori. Oleh itu dapat mengurangkan lemak dalam badan dan mengawal berat badan anda. Senaman merendahkan kadar gula dalam darah dan membantu tubuh anda untuk menggunakan gula dalam darah dengan baik.
- Kajian menunjukkan obesiti mempunyai hubungkait dengan diabetes. Kekalkan berat badan yang unggul
Kumpulan sokongan
Ahad, 18 April 2010
Menyelenggara Dan Menguruskan Sistem Pengurusan Kualiti ISO
Tajuk: Infomasi Pendidik
Pengenalan
Pada awal pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001, pengurusan atasan sesebuah organisasi mestilah mempunyai tekad dan iltizam bahawa Sistem Pengurusan Kualiti yang dibangunkan perlu dipertahankan secara konsisten dan berterusan.
Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 mempunyai 'mekanisme dalaman' yang perlu diolah bagi menyelenggara sistem ini agar terus kekal dipelihara atau dipertahankan. Penulisan ini akan memberi perhatian serius tentang apakah yang dimaksudkan dengan 'mekanisme dalaman' itu.
Pengurusan atasan dicadangkan memberi perhatian kepada mekanisme ini agar usaha menjamin pengukuhan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 dapat dipelihara dari semasa ke semasa. Kita harus sedar bahawa persijilan ISO 9001 bukan diperbaharui secara automatik tetapi perlu melalui audit susulan yang ditetapkan oleh badan yang mentauliahkan persijilan.
Fokus Penulisan
Perspektif Penyelenggaraan ISO 9001 (termasuk ISO 9001 versi 2000) adalah melangkaui beberapa peringkat yang besar. Dari peringkat penyelenggaraan awal hingga ke peringkat penyelenggaraan rutin serta peringkat penambahbaikan yang berterusan ke atas Sistem Kualiti.
Penyelenggaraan awal meliputi aspek pelaksanaan mekanisme dalaman dan tindakan pembetulan yang perlu hasil dari laporan teknikal Audit Pematuhan.
Penulis hanya memberi tumpuan penulisannya kepada penyelenggaraan awal iaitu apabila organisasi mendapat pengiktirafannya di peringkat awal pelaksanaan ISO 9000. Penulis percaya pendekatan bagi menyelenggara Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9000 tidak 'exhaustive' oleh penulisan ini saja.
Mekanisme Dalaman
Tiga puluh empat keperluan dalam MS ISO 9001 bolehlah dipecahkan kepada tiga elemen. Pertama Elemen Proses. kedua Elemen Sokongan dan ketiga Elemen Penyelenggaraan. Elemen Penyelenggaraan Sistem meliputi:
- Tanggungjawab Pengurusan
- Kawalan Dokumen Kualiti
- Tindakan Pembetulan dan Pencegahan
- Kawalan Rekod
- Audit Dalaman
- Kawalan produk yang tidak memenuhi spesifikasi
- Pengurusan Statistik dan Penilaian Sistem
- Pengukuran dan Pemantauan aktiviti proses
Lapan komponen penyelenggaraan di atas akan membentuk tatacara yang sistematik dalam mewujudkan kerangka mekanisme dalaman untuk bertindak sebagai 'anti-body' melawan, mencegah dan memusnahkan virus yang berada dalam Sistem Kualiti. Ini sangat bergantung kepada kekuatan dalaman Pengurusan sesebuah organisasi bagi mengurus, mengawal dan memantau tindakan-tindakan susulan dan pencegahan dalam mengolah komponen yang terlibat.
Persoalannya adakah Pengurusan Atasan memahami secara bijak dan berhati-hati dalam mengaplikasi komponen yang tersebut dalam konteks Penyelenggaraan Sistem Kualiti ISO 9000. Apakah komponen yang lebih utama (penting) dan mana pula yang kurang penting.
Komponen Penting Dalam Penyelenggaraan Sistem Kualiti: Tanggungjawab Pengurusan (Komitmen Pengurusan Atasan)
ISO 9001 :2000 sudah menetapkan bahawa komitmen pengurusan atasan dalam seksyen 5.1 Management Commitment itu sangat penting dan menentukan kewibawaan dan kekuatan Sistem Kualiti itu sendiri. Pengurusan tertinggi dalam sesebuah organisasi mestilah komited dalam mengambil tindakan awal yang betul "Doing Right Thing The First Time" .Tindakan yang pertama ialah melantik seorang wakil pengurusannya yang berkemampuan tinggi, berkebolehan dalam mengurus secara terancang, berilmu dalam mewujudkan sistem PR yang baik, rajin dan dedikasi serta daya tahan yang tinggi. Wakil Pengurusan perlulah mendapat sokongan padu dari pasukannya. Jika wakil pengurusan bertukar atau bersara dari perkhidmatan, perlulah beliau diganti segera dengan pegawai yang sesuai. Pengambilan alih tugas ini secara sementara oleh Timbalan Wakil Pengurusan boleh dicadangkan itupun jika ada keperluan, Ini dinyatakan dalam Kualiti Manual.
Wakil Pengurusan yang berdedikasi mestilah memahami 3 (tiga) tugasannya yang utama.
- Mewujudkan Sistem (membangunkan dan mendokumenkan sistem)
- Melaksana, mengukur dan memantau Sistem Kualiti
- Menyelenggara dan menambah baik sistem
Tugasan kedua dan ketiga amatlah kritikal dalam konteks penyelenggaraan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001. Tugasan inilah yang dianggap sebagai "hub of the built-in mechanism". Jika tugasan kedua dan ketiga ini dicuaikan banyak perkara- perkara negatif akan menimbulkan ancaman kepada sistem yang akhirnya merebak dan menghancurkan sistem.
Melaksana, Mengukur dan Memantau Sistem
Wakil Pengurusan perlu memastikan sistem yang diwujudkannya mampu dilaksanakan sepertimana didokumenkan. Pastikan pengukuran dan pemantauan yang sistematik dan terancang dilaksanakan secara konsisten dan berjadual. Laporkan progress pengukuran dan pemantauan itu kepada "top management". Kenalpasti masalah-masalah besar dan ambil tindakan pembetulan dan pencegahan secepat mungkin. Pengukuran dan Pemantauan hendaklah berasaskan kitaran PDCA (PDCA Cycle). ISO 9000 versi 2000 menuntut komitmen pengurusan dari perspektif .PDCA Cycle'.
Mekanisme 'Sistem Audit Dalam'
Sebagai seorang wakil pengurusan, anda janganlah gusar jika pasukan Audit Dalam adalah berkesan, terancang dan sistematik. Ketua Sistem Audit yang dilantik haruslah bersikap proaktif dan antisipatif secara konsisten. Ketua Sistem Audit perlu memahami keperluan penyelenggaraan Sistem dalam konteks kitaran PDCA, Pastikan Ketua Sistem Audit adalah berpengetahuan mendalam dengan tugasnya, berwibawa dan sedia berkongsi pengalaman dengan agensi yang telah lebih awal memantapkan Sistem Audit Dalamnya.
Harus diingat Sistem Audit Dalam ISO 9000 adalah nadi utama yang menggerakkan budaya Penyelenggaraan Sistem Kualiti. Jika Wakil Pengurusan berupaya melantik seorang Ketua Sistem Audit yang berwibawa, tugasnya dalam memantau sistem serta menyelenggara akan menjadi lebih mudah. Apa yang dikhuatiri ialah jika Ketua Sistem Audit Dalam gagal mengoperasikan Audit Dalaman seperti yang dijadualkan, Audit Dalam perlu dijalankan secara profesional oleh juruaudit yang baik, Sistem Audit Dalaman perlu dikendalikan dengan bijaksana supaya sentiasa mendapat respon yang positif dari segenap lapisan anggota pekerja. Kegagalan mewujudkan 'audit harmony' boleh membawa bencana buruk kepada Sistem Kualiti ISO 9000. Sistem Audit Dalaman mestilah mampu mengesan kekurangan dan kelemahan dalam sistem serta tindakan pembetulan dan pencegahan hendaklah diambil secara efektif.
Tindakan Pembetulan dan Pencegahan
Sebarang kekurangan atau kecacatan yang wujud mesti ada puncanya. Punca-punca yang menyebabkan sesuatu kelemahan atau kecacatan perlu dibedahsiasat ke akar umbinya, dianalisis supaya punca sebenar sesuatu masalah itu diperolehi. Tindakan pembetulan boleh berpunca dari sumber-sumber berikut:
- Hasil Laporan Audit Dalam dan Laporan Teknikal
- Audit Pematuhan serta Audit Susulan.
- Aduan Pelanggan/Maklumat balas pelanggan
- Sumber Dalaman - MIS (Management Information System)
- Laporan Penyelia
- Kajian Semula Pengurusan
Tindakan pembetulan perlulah bersifat 'instant' atau 'immediate'. Bagi sesuatu tindakan pembetulan, punca yang betul mestilah menjadi fokus utama, Untuk mengenalpasti sesuatu punca itu siasatan (investigation) perlulah menyeluruh, objektif dan bebas. Sesuatu tindakan bagi membetulkan sebarang kelemahan sama ada kecacatan atau ketidakakuran perlu diberi perhatian dan susulan sewajarnya, Sekiranya tindakan tidak menghasilkan kesan yang diharapkan pegawai yang terlibat perlu melaporkan kepada Wakil Pengurusan dan cadangkan tindakan susulan dimana perlu.
Sekiranya tindakan pembetulan telah sebenarnya mengatasi masalah yang wujud maka amatlah perlu diambil tindakan pembelajaran yang berterusan agar masalah yang sama dicegah dari berulang. Inilah yang dipanggil sebagai tindakan pencegahan. Rangkaian tindakan pembetulan dan pencegahan ini disebut sebagai tindakan hiliran 'Mekanisme Dalaman' dalam konteks 'PDCA Cycle' bagi menangani sebarang ancaman di dalam sistem. Laporan yang berkaitan hendaklah direkodkan. Di bawah keperluan tanggungjawab Pengurusan, keperluan utama yang sangat besar implikasinya kepada sistem ialah 'Kajian Semula Pengurusan'. Dalam pelaksanaan Sistem Kualiti ISO 9000 Agenda Kajian semula Pengurusan merupakan titik tolak kepada 'survival' sesebuah organisasi. Kajian Semula Pengurusan perlu dirancang dan dibudayakan pelaksanaannya.
Kajian Semula Pengurusan
Dalam Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 :2000 di bawah keperluan Seksyen 5.6 Management Review ia mewajibkan Pengurusan Atasan mengkaji semula Sistem Kualitinya bagi menilai semula objektif kualiti dan pencapaian objektif kualiti yang telah ditetapkan. Objektif Kualiti perlu 'measurable' dan 'achievable'. Kajian ini boleh dilakukan secara mesyuarat, seminar, kolokium dan sebagainya.
Kajian semula pengurusan boleh mendatangkan faedah yang besar dalam menyelenggara Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9000 dari pelbagai perspektif. Pengurusan atasan perlu menghayati keperluan ini secara sistematik dan terancang agar pengurusan penyelenggaraan Sistem Kualiti dapat dikendali secara konsisten. Input dari Laporan Audit Dalaman, maklumbalas pelanggan dan tindakan pembetulan hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya.
Kajian semula pengurusan biasanya membincangkan perkara-perkara berikut:
- Dasar Kualiti dan Objektif Kualiti
- Laporan Audit Dalam
- Aduan Pelanggan/Maklumbalas pelanggan
- Tindakan Pembetulan dan Pencegahan
- Langkah-Iangkah inovasi
- Prestasi proses dan produk/perkhidmatan
- Susulan dari output kajian semula yang lalu
- Pemantauan tindakan pembetulan dan pencegahan yang lalu
Oleh itu, apa yang dapat dirumuskan sekiranya kajian semula pengurusan dikendalikan dengan berkesan perkara-perkara pokok yang berkaitan dengan penyelenggaraan Sistem Kualiti sudah terjawab dengan sendirinya.
Kajian semula pengurusan adalah tonggak utama dibawah keperluan tanggungjawab pengurusan dalam Seksyen 5.6-ISO 9001 :2000. Pengurusan atasan sesebuah organisasi perlu memberi lebih perhatian terhadap keperluan ini agar tugas memelihara dan menyelenggara Sistem Kualiti ISO 9001: 2000 menjadi amalan yang konsisten dan berterusan.
Komitmen yang berterusan oleh Ketua Jabatan dan sokongan padu oleh wakil pengurusan dan semua lapisan personel adalah kunci utama yang dianggap asas kepada pengukuhan Sistem Kualiti ISO 9000.
Pengurusan bagi Mengukur dan Memantau Pelaksanaan sistem Kualiti ISO 9001 :2000
Operasi bagi mengukur dan memantau pelaksanaan ISO 9001 :2000 sudah menjadi rutin yang begitu utama dalam penyelenggaraan dan pemeliharaan sistem. Pelaksanaan bagi mengukur dan memantau sistem kualiti mestilah diasaskan dari perspektif kitaran PDCA dan pendekatan proses. Wargakerja perlu memahami pendekatan proses secara total bagi mengolah tindakan pembetulan demi merealisasikan pengukuran dan pemantauan serta penambahbaikan.
Organisasi yang melaksanakan tindakan untuk mengukur dan memantau pelaksanaan ISO 9000 perlu menyerapkan output pemantauan itu kedalam tindakan pembetulan dan pencegahan secara terancang dan berkesan. Susulan secara sistematik perlu ditangani keatas setiap tindakan pembetulan dan pemantauan yang berterusan keatas impaknya, justeru memastikan apa yang dirancang dapat dicapai sepenuhnya.
Pengurusan Latihan Dalaman
Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9000 mewajibkan setiap wargakerja yang ada pengaruh kepada Kualiti Kerja hendaklah diberi Latihan Susulan di mana yang perlu. Skim latihan dikenalpasti dan tahap kepakaran dan kemahiran kerja yang terkini disuntik ke dalam program latihan. Latihan susulan juga perlu dilaksanakan jika ada perubahan ke atas prosedur semasa.
Pengurusan Atasan boleh juga menetapkan keperluan latihan mengikut peringkat kumpulan personelnya. Contohnya Kumpulan A ditetapkan sekurang-kurangnya menghadiri latihan minima 10 hari bekerja setahun. Kumpulan B minima 6 hari bekerja dan seterusnya Kumpulan C dan D minima 2 hari bekerja.
Perlu diperhatikan, keperluan latihan adalah satu-satunya tonggak yang menyokong mekanisme dalaman. Pengendalian latihan secara sistematik, terancang dan berkesan akan mempermudahkan Pengurusan Penyelenggaraan Sistem Kualiti ISO 9000 secara konsisten.
Budaya Kualiti Organisasi
Bagi sesebuah organisasi yang mempunyai budaya kualiti yang sihat, budaya pemantauan mestilah menjadi asas dan teras dalam penyelenggaraan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9000.
Sekiranya sesebuah organisasi sudah membudayakan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), sudah menghayati 'best practices' dan program keceriaan personelnya maka amalan menyelenggara dan memelihara Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9000 menjadi lebih mudah dan bersahaja.
Apa yang sangat dikhuatiri ialah pelaksanaan ISO 9000 dibuat secara paksaan tanpa asas-asas budaya kualiti yang sesuai. Perlu diingati ISO 9000 perlu didirikan diatas landasan yang kukuh ibarat sebatang pokok yang berdiri di atas tanah yang subur dan dikelilingi oleh persekitaran yang sihat.
Sebaik sahaja sesebuah organisasi berjaya memperolehi pengiktirafan ISO 9000 yang diidamkan ia akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, mungkin sebelumnya pun ia mampu memantapkan sistem. Jika cabaran ini dapat diatasi secara berhati-hati dan konsisten bermakna kita sudah berupaya menyelenggara sistem kualiti ISO 9000 dengan baik.
Cabaran Selepas memperolehi Persijilan IS0 9000
Pada asasnya, pelaksanaan ISO 9000 akan melalui empat fasa yang besar iaitu pertama Dokumentasi, kedua Implementasi, ketiga Pengiktirafan dan keempat Penyelenggaraan.
Masalah awal di peringkat dokumentasi termasuklah penentuan skop, penulisan prosedur, Manual Kualiti dan Arahan Kerja serta 'Document Review'.
Di peringkat implementasi, masalah dan cabarannya ialah penghayatan kepada dokumentasi (orientasi kepada prosedur),masalah 'compliance', Operasi Audit Dalam, penyediaan dan penyelenggaraan rekod dan sebagainya.
Setelah berjaya mendapatkan pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti (memperolehi Sijil ISO) masalah-masalah selepasnya lebih mencabar dan sedikit menekan diperingkat awalnya. Apakah cabaran yang bakal dihadapi?
Cabaran Pertama (Komitmen personel yang semakin merosot)
Selepas sijil pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 diperolehi ramai juga di antara kita yang beranggapan organisasi kita sudah mencapai tahap tertinggi sistem bekerja. Anggapan ini sebenarnya tidaklah betul dan jika berlarutan boleh membawa akibat yang buruk dan sistem akan kecundang. Komitmen warga kerja akan pudar dan kecuaian ini boleh membawa kesan gandaan yang membimbangkan ke atas sistem. Ia sebenarnya menuntut 'Fulltime compliance'.
Di samping peranan wakil pengurusan yang konsisten bagi menyelenggara Sistem Pengurusan Kualiti, pengurus kualiti harus juga berusaha dengan asakan yang bertubi-tubi ke arah memastikan setiap personelnya sentiasa akur kepada sistem yang dibangunkan. Dr. Daud Mohamad dari Institit Teknologi Nuklear (MINTS) Bangi, pernah menyatakan:..". (Mesyuarat di MAMPU, Mac 1998)
Selepas MINTS berjaya memperolehi pengiktirafan ISO 9000 (sinagama), kita percaya tugasan susulan itu amat penting seperti mengadakan taklimat bulanan dan latihan yang berterusan,..."
Kenyataan tersebut di atas memperkuatkan lagi fakta bahawa potensi pegawai dan staf untuk 'relax' adalah tinggi selepas persijilan ISO 9001 diperolehi.
Jika keadaan ini tidak ditangani dengan berhati- hati cabaran pertama ini akan menular kepada fasa kedua,
Cabaran Kedua (Pegawai dan staf tidak merasai faedah pelaksanaan ISO 9000 kepada diri dan pasukannya)
Sememangnya faedah dalam pelaksanaan ISO 9000 tidak mungkin dirasai secara peribadi atau kumpulan pekerja, Pegawai Atasan perlu membuat penilaian yang objektif ke atas Sistem serta kemukakan bukti kelebihan ISO 9000 kepada staf. Sebarkan maklumat tentang kajian yang dibuat dan kenalpasti pelbagai faedah yang sudah diperolehi, Mengikut Wilson dalam bukunya: (Implementing ISO 9000 and successful Registration)
"…Convey the benefits of implementing ISO 9000 to officers and staffs. ..."
Di INTAN, setahun selepas persijilan ISO 9000 wakil pengurusannya ada membuat kajian yang terperinci mengenai faedah dan buruk baik kesan pelaksanaan ISO 9000 di INTAN, Antara hasil kajian itu didapati penemuan-penemuan seperti berikut:
70% pegawai INTAN merasai integriti INTAN meningkat selepas persijilan ISO 9000
85% dari pegawai dan staf merasai sistem fail di INTAN bertambah baik.
70% pegawai INTAN mendapati sistem bekerja lebih terancang telus dan cekap.
Kajian seperti ini amat baik dan berguna tetapi malangnya ianya tidak disebarkan secara menyeluruh. Hasil penemuan kajian ini sepatutnya disebarkan secara menyeluruh melalui program taklimat atau penerangan dan mestilah di 'highlight'kan penemuan kajian ini kepada seluruh wargakerja.
Cabaran Ketiga (Pertukaran pegawai-pegawai)
Di dalam Perkhidmatan Awam, pertukaran pegawai adalah fenomena biasa. Bagi Pegawai- pegawai yang menerajui Pelaksanaan ISO 9000 sepatutnya tidak digalakkan bertukar atau sekurang-kurangnya biarlah Sistem Pengurusan Kualiti di agensi berkenaan telah mantap dan stabil dahulu. Jika senario pertukaran ini diambil remeh, dipercayai dibeberapa agensi yang sudah diberi pengiktirafan ISO 9000 maka tahun-tahun berikutnya ia akan melalui kesukaran untuk mempertahankan sistem tersebut. Malang sekali, jika pertukaran itu melibatkan wakil pengurusan dan terlebih malang lagi jika tiada timbalan wakil pengurusan untuk menanggung kerjanya.
Adalah dicadangkan, jika pertukaran pegawai melibatkan wakil pengurusan, Pengurusan Atasan agensi perlulah menangani hal ini sebaik mungkin dengan segera. Di INTAN keadaannya agak istimewa kerana Pengurusan Atasan yang baru di bawah pimpinan Dato' Dr. Zulkurnain Hj. Awang menunjukkan komitmen yang mendalam dan konsisten terhadap pelaksanaan ISO 9000.
Cabaran Keempat (Sistem Serpihan)
Jika Skop pelaksanaan ISO 9000 tidak berasaskan kepada proses utama yang besar maka akan wujudlah duo sistem di agensi tersebut. Disatu pihak minoriti melaksanakan ISO 9000 dan di pihak yang majoriti 'wait and see' sambil masih melaksanakan kaedah atau cara bekerja lama. Jika pelaksanaan ISO 9000 ini akhirnya tidak dapat meyakinkan pihak kedua nescayalah Sistem Pengurusan Kualiti serpihan itu akan 'tenggelam semula dilipat oleh ombak yang besar'.
Greg Hutchins dalam bukunya A "Comprehensive Guide to ISO 9000 Implementation and Certification" ada menyatakan… "jika dua sistem wujud, pada masa yang sama, maka sistem baru perlulah menampakkan kekuatannya".
Sekiranya ini berlaku peranan pengurusan atasan bagi memelihara Sistem Kualiti seperti ini menjadi lebih mencabar. Tindakan segera untuk memperluaskan skop pelaksanaan amatlah dituntut .
Cabaran Kelima (Peranan MAMPU)
Dalam melaksanakan ISO 9000 di Agensi Awam, peranan MAMPU sangatlah penting di segi tujuarah, pimpinan, panduan, sokongan berterusan dan penyelenggaraan sistem.
MAMPU dicadangkan mengeluarkan garis panduan tambahan bagi memperkuatkan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9000 supaya faedah yang berterusan dapat dirasai dan dimanfaatkan secara berpanjangan. Pelaksanaan ISO 9000 mestilah dilihat sebagai asas Pembentukan Budaya Kerja Cemerlang. Garis panduan tambahan tersebut perlulah antara lain menyatakan keperluan supaya wakil pengurusan melakukan kajiselidik ke atas pelaksanaan sistem dan penilaian sejauhmana ISO 9000 telah sebenarnya meningkatkan produktiviti dan keberkesanan proses.
Sekiranya terdapat penemuan yang luar biasa bagaimana pula tindakan mengubahsuai sistem boleh dilakukan. Panduan Penyelenggaraan sistem ini oleh MAMPU sendiri, sangat menentukan dan menyumbang kepada jangka hayat pelaksanaan ISO 9000 yang berpanjangan.
Cabaran Keenam (Peranan Ketua Jabatan)
Ketua Jabatan yang melaksanakan ISO 9000 mestilah sentiasa peka kepada usaha mengukuhkan pelaksanaan ISO 9000 di agensi masing-masing. Komitmen dan kesungguhan mereka sangatlah utama ke arah mewujudkan penyelenggaraan berterusan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001. Suntikan 'Kaizen' dan inovasi akan memperkuatkan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 di agensi masing-masing.
Khamis, 8 April 2010
Bahana kencing tikus (Delima Merkah)
BANYAK pihak terkejut apabila deejay dan personaliti radio dan televisyen popular, Din Beramboi dilaporkan terpaksa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang setelah dipercayai dijangkiti kuman kencing tikus baru-baru ini.
Pelbagai teori tiba-tiba muncul apatah lagi Din jatuh sakit beberapa hari selepas dia menjalani penggambaran di Zoo Negara. Bagaimanapun, Din disahkan meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.
Jangkitan kuman kencing tikus atau leptospirosis yang jarang berlaku itu dipercayai menular daripada haiwan kepada manusia dan kebiasaannya terjadi secara kebetulan.
Menurut Pakar Perunding Veterinar, Dr. Intan Suriati Abdul Manaf, leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi.
Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin.
170 anak
“Banyak haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira, tidak kira ia haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala.
“Bagaimanapun, tikus dikesan sebagai penyebar utama bakteria ini kerana kitaran hidupnya yang suka makan dan tinggal di tempat kotor (menjadi tempat bakteria Leptospira membiak).
“Iklim negara yang lembap menjadi faktor terbaik kepada pembiakan bakteria ini. Malah, pada suhu sederhana ia boleh hidup lebih lama,” katanya.
Tambah Intan, kitaran hidup tikus yang cepat membiak dan sukar dikawal membantu penyebaran bakteria dengan lebih meluas.
“Jangka hayat tikus betina adalah di antara dua dan tiga tahun tetapi ia sudah boleh bunting dan aktif seks hanya dalam tempoh enam minggu.
“Setiap kelahiran, tikus boleh melahirkan lima hingga tujuh ekor anak tikus. Tikus betina boleh bunting sebaik melahirkan anak,” kata Intan.
Secara purata, dalam kitaran hidup seekor tikus betina, ia boleh bunting sehingga 28 kali dan melahirkan sehingga 170 ekor anak.
Tikus gemarkan sampah dan air bertakung seperti di lorong belakang hotel terkemuka, kolong bawah tanah hinggalah ke petak sawah atau kandang kuda. Rumah yang dijaga rapi juga tidak terkecuali daripada menjadi sasaran makhluk perosak tersebut.
“Bakteria Leptospira akan tersebar melalui cecair yang dikeluarkan oleh tikus seperti air kencing, air liur, darah, air mani dan najis.
|
|
Rumput
“Malah, tikus betina yang bunting boleh memindahkan bakteria tersebut kepada anak dalam kandungannya.
“Bakteria daripada kencing tikus juga boleh tersebar melalui air atau tanah. Menyentuh pokok atau tanah lembap yang tercemar juga boleh memindahkan bakteria kepada manusia.
“Oleh sebab itu, saya mengesyorkan pemakaian sarung tangan sewaktu melakukan kerja-kerja berkebun dan basuh tangan menggunakan antiseptik,” kata Intan.
Menurut beliau, jangkitan terus bakteria Leptospira daripada tubuh tikus jarang dilaporkan sebaliknya terjadi apabila haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing meminum air dari lopak yang sudah dicemari dengan kencing tikus.
“Kebiasaannya kucing yang meminum air dari tempat bertakung yang telah dicemari kencing tikus berisiko tinggi untuk mendapat leptospirosis.
“Pemilik kucing yang membersihkan kucing dan tersentuh dengan kencing, air liur, tisu atau permukaan lembap lain juga akan terdedah kepada jangkitan ini,” ujarnya.
Gerudi
Simptom penyakit hanya akan muncul dalam masa empat hingga 12 hari selepas kuman atau bakteria Leptospira menjangkiti haiwan atau manusia.
“Lazimnya, bakteria ini boleh memasuki badan manusia melalui luka atau tisu lembut seperti dalam mulut, hidung atau mata. Jika kita pegang haiwan yang dijangkiti leptospirosis dan makan tanpa mencuci tangan, bakteria tersebut akan turut memasuki tubuh sebelum memasuki saluran darah.
“Bakteria ini akan menggerudi sel-sel dalam badan termasuk hati dan buah pinggang. Malah, dua organ tersebut adalah lokasi utama pembiakan bakteria ini.
“Akibatnya, sel-sel organ penting haiwan yang diserang bakteria ini akan rosak dan gagal berfungsi manakala pembuluh darah akan pecah sehingga membawa kepada kencing berdarah,” jelas Intan.
Dalam kes serius, leptospirosis boleh menyebabkan kematian. Tahap jangkitan berbeza antara individu atau haiwan mengikut daya ketahanan masing-masing.
“Sukar untuk mengenal pasti jangkitan ini pada peringkat awal kerana simptom yang ditunjukkan sangat umum.
“Pemeriksaan terperinci melibatkan ujian makmal, ujian darah, analisis air kencing dan beberapa ujian lain perlu dilakukan sebelum mengetahui ia berpunca daripada Leptospira,” ujarnya.
Kata Intan, simptom akan menjadi lebih serius apabila penyakit memasuki fasa kedua dan ketiga kerana ia boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang dan kerosakan hati.
“Apabila dijangkiti, biasanya bakteria Leptospira mengambil masa sekitar 10 hari untuk sampai ke organ penting sebelum menimbulkan gejala.
“Dalam tempoh ini, rawatan sewajarnya perlu diberikan untuk mengelak komplikasi tidak diingini,” kata Intan.
Seperti jangkitan bakteria lain, leptospirosis boleh dirawat dengan mengambil antibiotik seperti penisilin, streptomisin, eritromisin, tetrasiklin dan doksisiklin.
“Kos ujian mengenal pasti bakteria Leptospira tinggi sehingga menyebabkan kebanyakan pemilik haiwan yang dijangkiti kuman itu hanya mengambil rawatan berdasarkan simptom yang ditunjukkan haiwan peliharaan mereka.
“Untuk tujuan itu, antibiotik adalah pilihan utama namun ia tidak akan membunuh bakteria itu sepenuhnya sebaliknya hanya meredakan simptom jangkitan seperti demam panas, muntah, cirit-birit atau demam kuning.
“Malah selepas tiga bulan ia sihat secara klinikalnya, bakteria itu masih ada di tubuhnya,” jelasnya.
Kosmo!
Khamis, 1 April 2010
Saat menilai cinta
SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.
Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.
Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.
Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
1. Lupakan masa lalu
Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.
Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.
2. Temui ramai orang
Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.
Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.
3. Ubah penampilan
Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.
Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.
4. Jangan terburu-buru
Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
5. Jangan terlalu memilih
Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
6. Buat keputusan
Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.
Kosmo!
Badrul Muhayat ditahan reman (Ceritera)
mohdzaini.samsuhadi@kosmo.com.my
AMPANG - Polis semalam mendapat perintah untuk menahan reman selama empat hari bermula semalam terhadap pelakon Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 41, bagi membantu pihak berkuasa itu menjalankan siasatan berhubung kes mencederakan isterinya, Julia Daud, 28.
Majistret Wan Karimah Wan Wan Abd. Ghani mengeluarkan perintah tersebut bagi membolehkan Badrul membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 324 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan cedera terhadap Julia 24 Mac lalu.
Beliau tiba di Mahkamah Majistret Ampang dengan menaiki trak polis pada pukul 9.25 pagi bersama beberapa tahanan lain dengan memakai baju T dan berseluar pendek manakala tangannya pula bergari.
Badrul sebelum itu telah memaki hamun jurugambar dan juga wartawan Kosmo! kerana bengang apabila gambarnya dirakamkan ketika turun dari trak polis.
Antara kata-kata cercaan itu termasuk puk**** kau, Ba**, si**, serta ugutan 'berani kau ambil gambar aku'.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.
Din Beramboi masih kritikal
Din Beramboi masih kritikal
berita@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Pelawak dan penyampai radio popular, Din Beramboi masih kritikal sehingga malam tadi dan berada di bawah pengawasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang ekoran komplikasi demam denggi berdarah.
Keadaan itu menyebabkan Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri bergantung kepada mesin hayat.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataannya kepada Kosmo! menjelaskan, keputusan diagnosis menunjukkan keadaan Din Beramboi kritikal akibat pendarahan dalaman.
Katanya, beberapa organ tubuhnya juga gagal berfungsi.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.