Translate

Tajaan

Selasa, 27 September 2011

Isteri dan KWSP Suami


Isteri bercerai putus hak wang KWSP suami


Soalan:

SAYA bercerai secara fasakh di Perlis. Setahun selepas bercerai, bekas suami meninggal dunia. Kami mempunyai empat anak dan semuanya dipelihara oleh ibu bapa mentua. Arwah meninggalkan tiga rumah semuanya berada di Selangor yang dibeli ketika dalam tempoh perkahwinan, sebuah kereta dan wang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ibu bapa mentua sudah mendapatkan sijil faraid dan dalam proses pembahagian harta pusaka. Saya menerima sejumlah wang daripada KWSP kerana arwah menamakan saya sebagai penama. Baru-baru ini ibu bapa mentua meminta semua wang KWSP yang saya terima dengan alasan saya tidak berhak menerima wang KWSP. Saya ingin tahu hak saya dan anak terhadap wang KWSP dan harta lain kerana saya tidak sempat menuntut semua itu sebelum arwah meninggal dunia. Jika boleh menuntut, di manakah sewajarnya saya menuntut, sama ada di Perlis atau Selangor?
Bekas Isteri,
Perlis Indera Kayangan

Jawapan:

SEMOGA puan dan anak sentiasa dalam rahmat dan reda Allah melalui hari mendatang. Mengikut fatwa dan amalan semasa, wang simpanan si mati dalam KWSP adalah harta pusaka dan bukannya harta sepencarian. Ia mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Ia jelas melalui Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-49 pada September 2000 iaitu wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid kerana wang itu dicarum si mati semasa hayatnya kepada KWSP maka wang itu adalah milik si mati.

Oleh itu, wang milik si mati adalah harta pusaka. Walaupun puan dinamakan sebagai penama untuk mengeluarkan dan menerima wang itu, wang yang diterima hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Fatwa Kebangsaan juga memutuskan penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak. KWSP turut memberikan peringatan kepada penerima seperti berikut: “Bagi ahli yang beragama Islam, penerima waran ini adalah sebagai wasi atau pentadbir dan adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mentadbir dan membahagikan simpanan KWSP ahli mengikut undang-undang Islam (faraid).”

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun mana-mana institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank. Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberikan pendapat yang dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut: “Penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.”

Persoalan sama ada penama berhak kepada harta atau wang simpanan menurut hukum syarak atau sebaliknya dan sama ada harta atau wang simpanan itu dianggap sebagai harta pusaka si mati atau tidak timbul dalam kes Re Ismail bin Rentah (si mati) (1939) FMSLR 230. Dalam kes itu si mati menjadi ahli Syarikat Koperatif Pegawai Melayu, perkhidmatan awam dan menamakan anak perempuannya sebagai penama untuk menerima saham dan faedahnya dalam syarikat itu apabila beliau meninggal dunia.

Ketika kematiannya, si mati meninggalkan waris iaitu balu, ibu, anak perempuan, saudara lelaki dan saudara perempuan. Penolong Pendaftar memerintahkan saham dan faedah si mati daripada syarikat dibahagikan kepada waris dan bukan hanya kepada penama seorang. Penama membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan diperintahkan bahawa rayuan ditolak.

Yang Arif Hakim Raja Musa dalam keputusannya memutuskan: “Dalam pendapat saya, surat penama dalam kes ini tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup oleh kerana tidak ada pindah milik kepada orang yang menerima. Sebaiknya dia boleh dianggap sebagai hibah dalam masa mard al mawt, akan tetapi hibah dalam masa sedemikian dianggap sebagai tertakluk kepada undang-undang wasiat. Oleh kerana itu mengikut undang-undang Islam, jumlah itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris.”

Walaupun puan dilantik sebagai penama KWSP tetapi puan tidak termasuk sebagai waris pusaka si mati untuk mewarisi wang KWSP kerana pertalian di antara puan dengannya sebagai waris pusaka sudah terputus disebabkan perceraian antara puan dengannya sebelum arwah meninggal dunia. Namun, terpulanglah kepada peguam puan untuk berhujah menyatakan puan masih berhak ke atas 1/3 wang KWSP menggunakan undang-undang wasiat atau hibah semasa mard al-mawt seperti dinyatakan kes di atas.

Bagaimanapun, puan masih berhak untuk menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah. Ia kerana tiada had masa untuk seseorang menuntut harta sepencarian selepas perceraian. Arahan Amalan No 5 tahun 2003 bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan masa membuat tuntutan harta sepencarian dibolehkan sama ada semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian atau selepas kematian mana-mana pihak.

Oleh itu, puan masih boleh menuntut harta sepencarian terhadap rumah dan kereta arwah dengan membuktikan sumbangan puan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pemerolehan harta berkenaan. Berkaitan di mana puan perlu memfailkan kes tuntutan harta sepencarian, walaupun ia masih dipertikaikan oleh khalayak namun menurut Arahan Amalan No 6 tahun 2003, penentuan mahkamah yang berbidang kuasa membicarakan kes harta sepencarian adalah mahkamah di mana perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan.

Jika perintah perceraian fasakh puan dikeluarkan oleh mahkamah di Perlis, maka puan perlu memfailkan tuntutan itu di Perlis walaupun harta semuanya berada di Selangor. Berkaitan hak anak puan, mereka adalah waris yang sah dan berhak menerima pusaka arwah selepas hutang dan harta sepencarian ditolak daripada pusaka arwah. Berbincanglah dengan mentua untuk menyelesaikan kes tuntutan harta sepencarian dan faraid secara baik.

Nota Kaki;

saya pernah berbual dengan seorang sahabat yg juga seorang perunding kewangan, beliau berpendapat sekiranya anak masih terlalu kecil maksudnya di bawah 18 tahun, seelok2nya diletakkan penama isteri/suami.

rasionalnya, sekiranya berlaku kematian di pihak suami terutamanya, isteri dapat menggunakan secara terus sumber kewangan drpd kwsp tersebut. sekiranya penama adalah anak yg masih di bawah umur 18, maka wang tersebut akan dipegang oleh pemegang amanah sehinggalah anak itu genap usianya 18 tahun.

kalau silap tolong betulkan...

dan jika isteri meninggal dunia, maka suami bolehlah terus menggunakan wang tersebut untuk mencari pengganti yang sesuai...

oleh Aslina Mohd Astar »

Paling saya nak elakkan berurusan dengan Amanah Raya... dah serik dah. Masa tu buat urusan untuk keluar kan baki wang dalam bank arwah adik ipar saya. Keluar masuk pejabat Amanah Raya dekat 10 kali tak settle2. Last2 dengar nasihat seorang sahabat... pergi mahkamah syariah buat sijil faraid , bawa pergi bank terus dapat keluar semua duit arwah dari bank tu... tak sampai seminggu dah settle.

Caruman KWSP Tidak Dikira Harta Sepencarian

Timbul persoalan sama ada wang simpanan yang ada di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah harta milik peribadi pencarum atau sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut oleh satu pihak lagi, bekas isteri mahupun bekas suami.

Harta berupa caruman wang KWSP si mati tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian melalui sumbangan secara tidak langsung jika dirujuk kepada konsep asalnya. Sebaliknya, ia menjadi harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid. Dengan itu, KWSP adalah harta milik peribadi pencarum dan hanya pencarum yang mempunyai hak mutlak ke atas wang itu.

Melihat kepada konsep dan kepentingan ini, maka fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-49 pada 10 September 2000, menjelaskan seperti berikut:
  • Wang KWSP dan wang simpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid;
  • Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan simati) mengikut hukum faraid;
  • Bahagian Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Selangor turut mewartakan Hukum Simpanan Wang KWSP pada 9 Mei 2002 bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia. Fatwa itu menjelaskan perkara berikut:
  • Wang KWSP yang disimpan ahli dianggap harta pusaka;
  • Kaedah pembahagian harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.
Berdasarkan fatwa-fatwa yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa wang simpanan KWSP adalah hak milik mutlak pencarum yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia dan bukan harta sepencarian.

Oleh yang demikian, tuntutan yang berkaitan dengan wang simpanan KWSP supaya diisytiharkan sebagai harta sepencarian adalah bercanggah dengan fatwa yang diputuskan di atas. Penolakan ini juga wajar kerana selari dengan Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mentafsirkan seperti berikut: Harta sepencarian™ ertinya harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak. Di bawah seksyen sama, hukum syarak diertikan sebagai hukum syarak mengikut Mazhab Shafie iaitu mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hambali™.

Keputusan fatwa juga menetapkan Bahagian Undang-Undang JAKIM hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syarak.

Pelantikan penama hanyalah sebagai amalan biasa dalam KWSP mahupun institusi kewangan seperti Tabung Haji dan bank.

Majlis Raja-Raja kali ke-96 pada September 1973 memberi pendapat dikeluarkan sebagai fatwa seperti berikut:

  • Penama KWSP, wang simpanan pejabat pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati daripada sumber itu untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.
Jelasnya, konsep dan pembahagian harta sepencarian di Malaysia dikanunkan di dalam Enakmen Keluarga Islam negeri-negeri. Mahkamah Syariah negeri-negeri diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian bagi mana-mana pasangan orang Islam yang bercerai.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan