Oleh Hafizah Iszahanid
2011/08/22
Kerajaan diminta bertegas dengan dasar yang sudah diputuskan
TIMBUL lagi isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu berikutan pengakuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan sedia menimbang untuk membenarkan dasar PPSMI di sekolah pilihan.
Meskipun keesokan harinya, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan berkata, kerajaan tegas untuk memansuhkan PPSMI dan tidak akan tunduk pada walau apa juga tekanan, isu ini menyebabkan sebahagian besar warga Malaysia gelisah. Kenapa mesti berdolak-dalik dan bertarik tali pada sesuatu perkara yang sudah diputuskan?
Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Faridah Jalil berkata, jika disorot dari sudut Perlembagaan Malaysia, kedudukan bahasa Melayu sudah dimaktubkan dalam Perkara 152. Bagaimanapun, perlembagaan itu hanyalah kata-kata yang boleh diubah dan ditafsirkan mengikut kepentingan.
Secara jelas Perkara 152 menggariskan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu dan semua urusan rasmi kerajaan sama ada kerajaan negeri atau persekutuan hendaklah dilakukan dalam bahasa Melayu, ini merangkumi pendidikan kerana ia dalam kategori urusan rasmi.
“Sebelum ini tuntutan untuk penubuhan Universiti Merdeka pada 1981 yang ingin menggunakan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya ditolak oleh mahkamah kerana penggunaan bahasa Cina secara jelas berlawanan dengan Perkara 152. Malah ia juga bercanggah dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Malaysia,” katanya pada pertemuan dengan Sastera.
Bagaimanapun pada dekad 2000, kerajaan menggubal Akta Pengajian Tinggi Swasta yang membenarkan penubuhan universiti dan kolej persendirian yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Ini selari dengan matlamat kerajaan yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan antarabangsa.
“Inilah yang saya maksudkan dengan perlembagaan itu boleh diubah dan ia sebenarnya boleh disesuaikan dengan masa. Jika kita lihat, di Thailand dan Indonesia, isu seperti ini tidak berbangkit kerana mereka bangga dengan bahasa ibunda mereka. Namun di Malaysia, tinggalan penjajah British terlalu kuat dan memansuhkan penggunaan bahasa Inggeris selepas merdeka tidak begitu relevan, apabila kita menyaksikan bahasa Inggeris menjadi bahasa antarabangsa,” katanya.
Dr Faridah menilai tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melaksanakan PPSMI dibuat atas polisi kerajaan pada masa itu bukan dengan maksud memperkukuhkan bahasa Inggeris melalui kedua-dua mata pelajaran terbabit kerana penguasaan bahasa penjajah antaranya dapat dilaksanakan menerusi subjek sastera.
Subjek Matematik tidak memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris yang tinggi kerana ia hanya bermain dengan simbol dan formula berbanding dengan Sains, selain pada zaman Tun Mahathir, Malaysia hendak menjadi negara yang melahirkan teknokrat, lalu penekanan bahasa Inggeris ditingkatkan hingga kita melupakan perkara asas.
“Saya berpendapat jika subjek Matematik dan Sains dilakukan dalam bahasa Inggeris, ia tidak akan menjejaskan jati diri, seandainya kita bersama-sama pejuang bahasa dan sastera terus giat memperjuangkan bahasa dan sastera. Jika PPSMI dimansuhkan dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) saya berharap MBM itu bukan hanya memartabatkan, sebaliknya juga memperkasakan.
“Kesilapan paling besar ialah apabila Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) dalam laporan di lawan sesawang dan akhbar, memperjuangkan PPSMI dengan menyebut ‘bahasa Melayu tidak berupaya menjadi bahasa ilmu atau bahasa saintifik yang kurang nilai komersial.
“Kenapa kita perlu berjuang dengan memperlekehkan orang lain? Kalau hendak perjuangkan PPSMI silakan, tetapi bukan dengan memperlekehkan bahasa Melayu. Situasi ini menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan sebilangan besar orang Melayu dan pejuang bahasa Melayu,” tegasnya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Dr Mohd Ali Hassan berkata, isu terbabit sepatutnya sudah selesai dan pihak yang berkaitan perlu lebih peka dalam mengeluarkan kenyataan tanpa perlu menyinggung kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan pengantar di negara ini.
“Apa yang kelihatan ialah kerajaan tidak tegas dengan usaha pemansuhan PPSMI dan seolah-olah tidak serius mahu melaksanakan MBMMBI. Ia juga memberi gambaran kerajaan tidak jitu dengan keputusan yang sudah dibuat dalam usaha memperkasakan bahasa ibunda, lalu kenyataan sebegitu dilihat sebagai satu taktik pemancingan politik,” katanya.
Prof Mohd Ali, kerajaan seolah-olah tidak mahu menjayakan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa tamadun dan bahasa sains dan teknologi sehingga kesemua itu memberi implikasi yang negatif lalu menunjukkan ketidakwibawaan.
“Kenapa perlu tiba-tiba berpatah balik ke belakang untuk sesuatu yang sudah diputuskan? Mengapa tidak tegas dalam isu perjuangan bahasa Melayu? Kalau isunya PPSMI itu perlu wujud kerana kegagalan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar, kita mesti faham ia adalah dua perkara berbeza.
“Kalau gagal bahasa Inggeris, perbaiki bahasa Inggeris, semak kembali kokurikulum, prasarananya, guru yang dipertanggungjawabkan bagaimana? Hendak perkasakan bahasa Inggeris, perkasakan dulu guru yang mengajar subjek itu, PPSMI tidak akan memperkasakan bahasa Inggeris pelajar sekolah negara ini,” ujarnya.
Prof Mohd Ali melihat langkah kerajaan mahu membenarkan sekolah memilih sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu dalam pengajaran subjek Sains dan Matematik, akan mencelaru dan menghuru-harakan pelajar, selain menjejaskan perpaduan.
“Akan wujud dua kelompok dalam generasi hadapan. Ibu bapa kena ingat, sekolah ini sekolah kerajaan dan mesti mengikut aspirasi kerajaan. Kalau hendak anak belajar bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik, hantar anak ke sekolah persendirian,” katanya.
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr Hassan Ahmad, ketika dihubungi Sastera, jelas tidak dapat membendung kekecewaannya dan perkara ini dapat dilihat melalui kenyataannya yang melihat sebagai dasar yang memecah-belahkan rakyat.
“PPSMI adalah dasar penjajah yang memisahkan sekolah elit dengan sekolah tidak elit dan sekolah kampung dengan sekolah bandar. Dasar yang sebelum ini sudah berjaya mengapa perlu kita berpatah balik?,” soalnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan