Umat Islam Akan
Berpecah Menjadi 73 Kumpulan.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
أَلاَ إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ اِفْتَرَقُوْا عَلَى
ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى
ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ: ثنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِيْ النَّارِ وَوَاحِدَةٌ فِيْ
الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ.
Ketahuilah bahawa
orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh
dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada
tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan
hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah.[1]
Kemusykilan:
Apakah maksud
sebenar hadis ini? Ia seolah-olah meramalkan bahawa banyak umat Islam yang
akhirnya akan masuk neraka. Bagaimanakah kita hendak meletakkan diri kita dalam
kumpulan al-Jamaah?
Penjelasannya:
Hadis ini adalah
antara yang paling disalah-fahami dan disalah-gunakan. Dengan hadis ini ramai
pihak yang memisahkan dirinya daripada kesatuan umat atas alasan kononnya
Rasulullah telah meramalkannya. Dan banyak kumpulan yang membenarkan kumpulan
sendiri sebagai hanya yang satu-satunya layak masuk syurga manakala lain-lain
kumpulan semuanya akan masuk neraka.
Sementara itu
sebahagian lain pula menolak hadis ini kerana bagi mereka adalah mustahil
kebanyakan umat Islam akan masuk neraka. Telah sabit dalam pelbagai hadis yang
sahih bahawa umat Islam, yakni mereka yang mengucap dua kalimah syahadah,
akan masuk syurga secara pasti. Mereka mungkin akan masuk ke neraka untuk
sementara waktu bergantung kepada dosa-dosa besar yang dilakukan masing-masing
tetapi akhirnya akan tetap masuk ke syurga.
Oleh itu apakah
maksud hadis di atas? Marilah kita mengkaji maksud kalimahnya satu persatu.
Sabda baginda:
… dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh
tiga (kumpulan)… bukanlah merupakan satu ramalan yang menetapkan tetapi
adalah satu peringatan kepada apa yang mungkin akan terjadi.
Jumlah 73 yang
baginda sebut mengisyaratkan kepada jumlah yang banyak sebagaimana kebiasaan
penggunaan angka 7 atau 70 oleh masyarakat Arab untuk mengisyaratkan sesuatu
yang besar jumlahnya. Ini seperti yang telah diterangkan ketika menjelaskan
hadis orang kafir ada tujuh usus. Angka 2 dan 3 bagi jumlah 72 dan 73
pula mengisyaratkan bahawa umat Islam berkemungkinan akan berpecah menjadi
kumpulan-kumpulan yang lebih banyak jumlahnya daripada perpecahan Ahli Kitab.
Daripada
kumpulan-kumpulan ini hanya al-Jamaah yang akan masuk syurga. Apa dan
siapakah al-Jamaah?
Dari sudut bahasa
al-Jamaah adalah persatuan di mana lawannya adalah perpecahan.
Dari sudut istilah, al-Jamaah adalah persatuan umat Islam di atas
kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan
pemulauan sesama umat sama ada dalam bentuk yang kecil atau besar.
Justeru Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
menyampaikan hadis di atas dalam rangka memberi amaran keras kepada umatnya
untuk tidak berpecah-belah menjadi kumpulan dan kelompok yang saling berselisih
antara satu sama lain. Hendaklah umat Islam semuanya bersatu sebagai satu jamaah.
Amaran Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dalam
hadis ini adalah selari dengan ayat al-Qur’an berikut ini:
وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ
مُخْتَلِفِينَ.
إِلَّا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ
لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ.
Dan kalaulah Tuhanmu
(wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya
menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah
mereka terus-menerus berselisihan.
Kecuali orang-orang
yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah);
dan untuk itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah
janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian
jin dan manusia (yang berdosa)”
[Hud 11:118-119]
Dalam ayat ini Allah
Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan
tabiat manusia yang suka berpecah-belah dan ini termasuklah umat Islam sendiri.
Semuanya akan memenuhi neraka kecuali mereka yang bersatu atas kebenaran, iaitu
jamaah umat Islam.
Dalam sebuah ayat
lain Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ.
مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا
لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ.
Dan janganlah kamu
menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik - Iaitu orang-orang yang
menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan
masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira
dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu).
[al-Rum 30:31-32]
Dalam ayat di atas
Allah Tabaraka wa Ta‘ala menerangkan sifat orang-orang musyrik yang
memecah-belahkan agama mereka, masing-masing bergembira dengan pecahan
masing-masing. Maka hendaklah orang-orang yang mentauhidkan Allah, yakni umat
Islam tidak mengikuti sikap musyrik tersebut. Hendaklah umat Islam bersatu dalam
satu jamaah dan mengelakkan perpecahan.
Sikap berjamaah yang
menjauhi perpecahan juga sangat ditekankan oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dalam
hadis-hadis baginda. Antaranya:
فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ شِبْراً فَمَاتَ، فَمِيْتَةٌ جَاهِلِيَّةٌ.
Sesungguhnya orang
yang memisahkan dirinya daripada jamaah sekalipun dengan jarak sehasta lalu dia
mati, maka matinya adalah dalam keadaan jahiliyah.[2]
ثَلاَثَةٌ لاَ يُسْأَلُ عَنْهُمْ: رَجُلٌ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ، وَعَصَى إِمَامَهُ
وَمَاتَ عَاصِيًا، وَأَمَةٌ أَوْ عَبْدٌ أَبَقَ مِنْ سَيِّدِهِ فَمَاتَ،
وَاَمْرَأَةٌ غَابَ عَنْهَا زَوْجُهَا وَقَدْ كَفَاهَا مُؤْونَةُ الدُّنْيَا
فَخَانَتْهُ بَعْدَهُ.
Tiga orang, jangan
engkau bertanya tentang mereka: (1) seseorang yang memisahkan dirinya dari
jamaah dan menderhakai imamnya lalu mati dalam keadaan menderhaka, (2) Seorang
budak perempuan atau budak lelaki yang melarikan diri dari tuannya lalu dia (budak
tersebut) mati dan (3) seorang isteri yang suaminya pergi lalu ditinggalkan
bekalan (nafkah) duniawi yang mencukupi namun kemudian dia (isteri) mengkhianati
(suaminya).[3]
Sabda Rasulullah:
Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka bermaksud tiga
orang yang akan menghadapi kemusnahan di Hari Akhirat nanti.[4]
اَلْجَمَاعَةُ رَحْمَةٌ، وَالْفُرْقَةُ عَذَابٌ.
Berjamaah adalah
rahmat dan berpecah adalah azab.[5]
إِنَّ اللهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِيْ ـ أَوْ قَالَ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ـ عَلَى ضَلاَلَةٍ، وَيَدُ الله عَلَى الْجَمَاعَةِ، وَمَنْ
شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ.
Sesungguhnya Allah
tidak akan menghimpun umatku (atau umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam)
atas kesesatan. Dan tangan Allah atas al-Jamaah dan sesiapa yang mengasingkan
diri, maka dia mengasing ke neraka.[6]
أَيُّهَا النَّاسِ عَلَيْكُمْ بِاَلْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفَرَقَةِ، فَمَمْ
أَرَادَ بُحْبُحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةِ.
Wahai manusia,
berjamaahlah kalian dan janganlah kalian berpecah-belah. Sesiapa yang hendak
tempat di tengah-tengah syurga maka hendaklah dia selalu berjamaah.[7]
سَيَكُوْنُ بَعْدِيْ هَنَاتٌ وَهَنَاتٌ. فَمَنْ رَأَيْتُمُوْهُ فَارَقَ
الْجَمَاعَةَ، أَوْ يُرِيْدُ أَنْ يُفَرِّقَ بَيْنَ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمْرُهُمْ جَمِيْعَ، فَاقْتُلُوْهُ كَائِنًا مَنْ
كَانَ، فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ
فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.
Akan datang sesudah aku orang-orang yang berbuat fitnah, keburukan dan kejahatan. Maka sesiapa kamu yang melihatnya memecah-belahkan al-Jamaah atau hendak memecah-belahkan antara umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam atau memecah-belahkan urusan mereka, maka bunuhlah dia siapapun orangnya.
Sesungguhnya tangan
Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang
memecah-belahkan al-Jamaah.[8]
Demikian beberapa
hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam yang memerintah umat untuk berjamaah dan ancaman keras bagi mereka
yang memecah-belahkan jamaah atau mengasingkan diri darinya.
Timbul persoalan
seterusnya, bagaimanakah seharusnya kita umat Islam hidup berjamaah?
Sepertimana yang
telah diterangkan, dari sudut bahasa al-Jamaah adalah persatuan di
mana lawannya adalah perpecahan. Dari sudut istilah, al-Jamaah
adalah persatuan umat Islam di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan
perpecahan, pengasingan dan pemulauan sesama umat sama ada dalam bentuk yang
kecil atau besar. Untuk memperincikan konsep al-Jamaah memerlukan sebuah buku
yang berasingan kerana ini adalah satu subjek yang luas dan penting. Justeru
berikut ini hanya digariskan perkara-perkara penting tentang konsep berjamaah
dalam Islam:
Pertama:
Berjamaah adalah di
atas kebenaran. Umat Islam bersatu di atas kebenaran yang berasal dari al-Qur’an
dan al-Sunnah yang sahih. Tidak boleh bersatu di atas sesuatu yang batil
atau terkeluar dari batas-batas Islam. Ini adalah dasar pertama yang terpenting
sehingga Abdullah ibnu Mas‘ud radhiallahu ‘anh pernah berkata: al-Jamaah
adalah apa yang menepati kebenaran sekalipun engkau bersendirian.[9]
Namun perlu
diingatkan bahawa kebenaran itu sendiri adalah sesuatu yang sangat luas,
justeru hendaklah ia ditentukan oleh seseorang mujtahid atau sekumpulan ilmuan
yang jujur dan adil. Jika didapati seseorang atau sesebuah kumpulan itu jelas
menyalahi kebenaran, maka tidak perlu berjamaah dengannya seperti orang yang
menyindir Rasulullah atau kumpulan tariqat yang meletakkan syari‘at Islam di
tangga kedua selepas shaikh mereka.
Kedua:
Berjamaah adalah
kepada satu pemimpin yakni seorang khalifah Islam. Dalam suasana tidak ada
khalifah pada masa kini, berjamaah adalah kepada pimpinan al-Qur’an dan al-Sunnah
dan para ahlinya. Dalam ertikata lain, para ilmuan Islam yang berdiri di atas
al-Qur’an dan al-Sunnah bertindak sebagai pemimpin umat Islam masa kini
sehinggalah lahir sistem khalifah yang berwibawa.
Ketiga:
Berjamaah bukanlah
bererti persatuan pendapat tetapi adalah toleran terhadap beberapa pendapat yang
sedia ada. Sebahagian ahli hikmah berkata: Yang dibolehkan adalah perbezaan
pendapat sementara yang dilarang adalah perpecahan umat. Namun perlu
diingatkan bahawa sikap toleran hanyalah terhadap beberapa pendapat dan
bukannya semua pendapat kerana pendapat yang batil wajib ditolak atau
diperbetulkan.
Keempat:
Berjamaah adalah
saling menghormati antara satu sama lain. Namun di waktu yang sama gerakan
dakwah dan ‘amar ma‘aruf nahi mungkar wajib berjalan sesama ahli termasuk
pemimpinnya supaya kebenaran sentiasa berada bersama jamaah. Seandainya pemimpin
memerintahkan sesuatu yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka tidak
ada ketaatan kepada perintah tersebut melainkan kewajipan membetulkannya.
Seandainya pemimpin tetap berdegil maka hendaklah diusahakan perlantikan atau
penggantian pemimpin yang baru secara bermesyuarat sesama jamaah (Majlis
Syura). Semua ini tetap dijalankan dalam jamaah, tidak di luarnya.
Demikian beberapa
dasar utama konsep jamaah dalam Islam. Berjamaah berlandaskan dasar-dasar di
atas wajib ditegakkan dan dipelihara sesama umat Islam tanpa mengira mazhab fiqh
dan fikrah politik. Tidak boleh memecahkan jamaah semata-mata kerana perbezaan
pendapat dalam hukum fiqh. Tidak boleh membahagi-bahagikan jamaah semata-mata
kerana perbezaan pandangan dalam berpolitik. Tidak boleh saling memulau antara
jamaah semata-mata kerana sesuatu amalan bid‘ah yang tidak jelas kebid‘ahannya.
Sesiapa yang memecah-belahkan jamaah atau menyisihkan diri atau memulau daripada
jamaah maka dia termasuk salah satu daripada 72 kumpulan yang akan masuk ke
dalam neraka.
[1]
Hasan:
Hadis daripada sejumlah sahabat dengan lafaz
yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang
sama, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi,
Ibn Majah dan lain-lain, di atas adalah salah
satu dari lafaz Abu Daud, lihat Sunan Abu
Daud – no: 4429 (Awal kitab al-Sunnah).
Hadis-hadis ini memiliki jalan periwayatan yang
banyak, sebahagiannya
sahih,
sebahagiannya
hasan
dan sebahagian lain
dha‘if,
lihat semakan dan penilaiannya oleh Nasr al-Din
al-Albani dalam Silsilah Hadits Shahih – no:
203.
[2]
Sahih:
Sebahagian hadis daripada ‘Abdullah ibn Abbas
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim, Darimi dan lain-lain, di
atas adalah dengan lafaz Muslim, lihat Sahih
Muslim – no: 1849 (Kitab al-Imarah, Bab
kewajipan bersatu dengan jamaah.....).
[3]
Sahih:
Sebahagian hadis daripada Fadhalah bin ‘Ubaid
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari (Adab al-Mufrad), Ibn Hibban,
al-Hakim dan lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn
Hibban dan ia disahihkan
oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Sahih Ibn
Hibban – no: 4559 (Kitab al-Siyar, Bab Taat
kepada pemimpin).
[4]
al-Munawi dalam
Faidh al-Qadir Syarah al-Jamii’ al-Sagheir
(Maktabah Tijarah al-Kubra, Mesir 1356H),
jld 3, ms 324.
[5]
Hasan:
Sebahagian hadis
daripada Nu’man bin Basyir
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Ibn Abi ‘Ashim, al-Bazzar, Ibn Abi Dunya, al-Qudho‘i
dan al-Baihaqi (Syu‘abu al-Iman), dinukil
oleh al-Munziri dalam al-Targib wa al-Tarhib
dan dinilai
hasan
oleh para penyemaknya: Muhyiddin Dibb Mastu,
Samir Ahmad ‘Atha & Yusuf ‘Ali Badiwi.
[6]
Hasan:
Hadis daripada ‘Abdulullah
ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Tirmizi
dan di dalam
isnadnya
terdapat kelemahan. Namun bahagian awal hadis
ini memiliki beberapa penguat dari sudut
sanad
dan matan
sehingga dapat diangkat ke taraf
sahih,
demikian penilaian Nasr al-Din al-Albani dalam
Sahih Sunan al-Tirmizi – no: 2167 (Kitab al-Fitan,
Bab Keperluan kepada al-Jamaah). Bahagian
akhir hadis: dan sesiapa yang mengasingkan
diri, maka dia mengasing ke neraka tidak
memiliki penguat dari sudut
sanad
tetapi memiliki kebenaran dari sudut
matan
sebagaimana disokongi oleh beberapa hadis dalam
bab ini yang telah dikemukakan di atas. Oleh itu
al-Suyuti menilai keseluruhan hadis ini sebagai
hasan,
lihat al-Jamii’ al-Sagheir – no: 1818.
[7]
Sahih:
Hadis daripada ‘Umar
bin al-Khattab
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ibn Abi ‘Ashim
dan dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Kitab al-Sunnah
– no: 897.
[8]
Sahih:
Hadis daripada
Arfajah bin Syuraihin
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Ibn Abi Syaibah, Abu Daud, al-Nasa’i (al-Sunan
& al-Kubra), Ibn Hibban, al-Hakim dan
lain-lain, di atas dengan lafaz Ibn Hibban dan
dinilai
sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam
Sahih Ibn Hibban – no: 4577 (Kitab al-Siyar, Bab
Taat kepada pemimpin), demikian juga oleh
Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih al-Jamii’
al-Sagheir – no: 3621. Juga dikeluarkan
secara ringkas oleh Muslim dalam kitab Sahihnya,
no: 1852.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan