November 9, 2008 at 12:34 am
Hari ni aku nak sembang pasal Mamat Khalid. Menurut rekod, drama pertama arahan Mamat Khalid ialah Namaku Yassin (1995). Aku takkan lupakan sampai bila-bila drama bersejarah ni sebab drama ni begitu tersendiri & menjadik kenangan dalam diri aku secara peribadi. Namaku Yassin mengisahkan liku-liku seorang pendatang haram Indonesia ke Malaysia iaitu Yassin yang dilakonkan oleh Harun Salim Bachik. Sebenarnya nama betul dia Yanto, tapi setelah dinasihatkan oleh kengkawan yang menghantar dia naik bot haram ke Malaysia, dia menukarkan namanya menjadik Yassin - nampak Malaysian sket. Dalam drama ni, berkali-kali jugakla dia introducekan diri dia kat siapa-siapa - namaku Yassin. Hidup sebagai pendatang haram di Malaysia penuh dengan angan-angan, begitulah jugak Yassin. Dihimpit kesempitan hidup di Indonesia, kalau tak silap aku hanya berniaga jagung bakar & seterusnya menjadik makanan sehari-hariannya begitu ‘menyeksakan’. Di Malaysia, Yassin menjadik buruh binaan & dia telah jatuh cinta dengan kontraktor tempat binaannya. Dia pernah bermimpi yang dia telah menyelamatkan kontraktor kesayangannya daripada ditimpa benda yang jatuh daripada tingkat atas bangunan yang rupa-rupanya hanya sekeping papan plywood. Dia cuma tinggal di rumah kongsi yang akhirnya di’raid’ oleh polis & dia terkocoh-kocoh melarikan diri dari ditangkap polis. Di penghujung cerita, Yassin tertangkap jua & dihantar semula ke Indonesia. Yang membuatkan aku tak boleh lupa pasal drama ni ialah 2 perkara:
i) Populariti jagung bakar: Selepas drama tu ditayangkan, aku & member aku selalu menggunakan jagung bakar sebagai simbol lawak (Azmil, mana kau Azmil?)
ii) Muzik latar drama sewaktu polis menyerbu rumah kongsi Yassin - “da da da da da ayo ayo ayo da da da” - itu pun menjadik bahan lawak antara aku & member aku.
Waktu tu aku baru darjah 4, so aku pun tak amik pot siapa pengarah drama ni. Lepas Mamat Khalid terkenal baru aku tau drama ni drama arahan dia. Patutlah aku terkesan dengan kelucuan drama dia.
Mamat Khalid berkarya lagi dengan drama Pukul 2 Petang. Drama ni ditayangkan awal 1998, masa ntv7 baru-baru launching. Drama ni bukan arahan dia, tapi skrip & muzik adalah hasil karya dia. Drama ni sangat menarik (aku rasa mungkin takde yang seumpamanya), sebab jalan ceritanya cukup singkat, mengisahkan peristiwa yang berlaku dari pagi dalam pukul 10 sampailah 2 petang, kisah pengantin lelaki yang kena sampai dari Ipoh (kalau tak silap) ke rumah pengantin perempuan kat Bukit Mertajam sebelum jam 2 petang. Banyak halangan & dugaan yang dihadapi oleh We (Allahyarham Hani Mohsin), adik accident, kereta kena tarik, van kena curik, jambatan rosak, highway tutup, kereta accident, terpaksa berlari (seriously lawak gila ‘halangan-halangan’ yang terpaksa ditempuh) akhir sekali berjaya jugak dia sampai ke rumah pengantin perempuan menaiki motosikal. Moral ceritanya, apa pun yang terjadi, kita kena berpegang pada janji.
Drama Pukul 2 Petang dipanjangkan menjadi drama bersiri “Abang We” yang jugak disiarkan di ntv7 sekitar tahun 1999. Plot cerita lebih kurang je, Abang We tak sudah-sudah ditimpa malang, dia jadik mangsa fitnah, ada perempuan nak hancurkan rumah tangga dia, dia diberhentikan kerja, sepupu tersayang dia Abu asik buat hal (sejak drama Pukul 2 Petang lagi), tanah Pak Ngah dia hampir tergadai, kereta kena curik, tapi semuanya dihadapi dengan cukup tabah.
Rasa-rasanya Mamat Khalid paling terkenal dengan drama Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel (1998). Aku rasa takde sapa yang tak tau drama ni, semua orang tau. Malah sampai jadik label pulak kalau ada rombongan ramai-ramai kat mana-mana, mesti dipanggil “Rombongan Cik Kiah”. Ini drama komedi yang tebal dengan jiwa patriotik & sindiran tajam terhadap orang Melayu. Banyak dugaan yang mereka hadapi, bas buruk, pemandu gila, tayar bas tercabut, semuanya dihadapi dengan tabah & akhirnya mereka berjaya menjejakkan kaki ke Stadium Bukit Jalil.
Mamat Khalid jugak cemerlang dengan rantaian drama-drama komedinya seperti Mat Nor Khusairi & the Velvet Boys, Hari Raya Abdullah Rafie, Arbaie Bujang Kembali, drama bersiri Jiran & beberapa lagi yang aku pun dah tak ingat dah. Lawak dia bukan lawak kosong, tapi lawak ‘ada makna’ bak kata P.Ramlee. Mamat Khalid seangkatan dengan abang dia Dato’ Lat kerana kedua-duanya merupakan ‘oservant’ di dalam memerhatikan & mengkritik perkembangan sosio-budaya masyarakat Malaysia. Bezanya, abangnya Dato’ Lat berkarya melalui kartun, Mamat Khalid berkarya melalui gerak kerja kamera.
Walaupun Mamat Khalid terkenal dengan drama komedinya, drama komedinya bukanlah lekeh-lekeh, boleh kata semuanya berkualiti. Buktinya, drama Pinang Durian arahannya berjaya memenangi Drama Terbaik Anugerah Skrin 2001 mengalahkan drama-drama heavy yang lain. Bayangkan macam mana drama komedi boleh menang drama terbaik. Tapi drama Pinang Durian memang terbaik bagi aku, sama taraf dengan Rombongan Cik Kiah. Kalau nak tengok dari segi jalan ceritanya, aku pun konfius camne drama ni boleh menang drama terbaik tapi dari segi ‘kesan’ terhadap penonton, memang drama ni meninggalkan impak yang besar terhadap penonton. Drama ni mengisahkan percintaan antara lelaki berasal dari Pulau Pinang & perempuan berasal dari Perak. Pertembungan mereka takde apa-apa sangat, tapi pertembungan bapak diorang begitu melucukan hati. Bapak pengantin lelaki (Maidin) & bapak pengantin perempuan (Zami Ismail) masing-masing mempunyai persepsi negatif terhadap orang negeri bakal besan. Contoh keluhan Maidin terhadap anaknya apabila memilih isteri orang Perak “Hang tau dak, depa pagi makan durian, tengahari makan durian, petang makan durian, malam PUN makan durian!”.
Zami Ismail pulak memandang ’slack’ terhadap si lelaki (Radhi Khalid) yang sewaktu pertama kali datang bertandang ke rumahnya di Perak, Zami Ismail menyangkakan Radhi Khalid seorang penjual karpet Bangla! Tapi akhirnya ‘ketidakberkenanan’ di hati Zami Ismail tu padam begitu saja apabila mengetahui Radhi Khalid anak yatim yang sudah kematian ibunya. Satu insiden yang melucukan ialah apabila rombongan meminang daripada Pulau Pinang datang ke Perak & tak reti berpantun mengikut adat orang Perak. Kesudahannya Maidin berpantun merapu & Zami Ismail terkebil-kebil melihat betapa loklaknya bakal besan dia.
Tan tilok tan tilan,
Terbang sekawan ke Inderagiri,
Kalau begitu katamu tuan,
Tunggu di situ hamba kan ke mari.
Drama Pinang Durian cukup simple, tapi menekakan betapa pentingnya restu orang tua terhadap bakal suami/isteri pilihan kita. Sungguhpun pada waktu itu orang tua telah pun mempunyai pilihan mereka sendiri untuk dijadikan pasangan anak mereka, tapi anak-anak mereka tidak membelakangkan orang tua tetapi memilih untuk memujuk orang tua mereka supaya menerima pilihan anak, tanpa melukakan hati orang tua.
Satu kelebihan bonus Mamat Khalid yang aku rasa takde pada pengarah lain ialah dia menjadik pengarah muzik drama/filem arahannya. Dan arahan muziknya begitu segar & unik. Di sebalik adegan-adegan lucu, terselit irama ghazal yang dimainkan secara live oleh siapa entah kombo ghazal di belakangnya. Drama Jiran, Pinang Durian, filem Man Laksa adalah contoh. Kelebihan ni satu advantage kepada Mamat Khalid sebab sebagai pengarah, dia lebih tau muzik mood apa yang nak disuntik di dalam satu-satu adegan. Kadang-kadang walaupun pengarah drama/filem ada pengarah muziknya sendiri, yang dah jadik sidekicknya zaman-berzaman, mustahil pengarah muzik tu boleh menepati kesemua citarasa muzik tuan direktor tersebut. Tapi lain halnya dengan Mamat Khalid. Drama dah drama dia, skrip dia, dengan muzik latar pun kita tau dah, hah, ini memang Mamat Khalid. Justeru walau seburuk mana pun sesebuah filem/drama tu, kalau pengarah tu tau ke mana hala tuju muzik latar drama/filem tu nak ditala, sekurang-kurangnya penonton terhibur jugak menonton drama/filem tu, walau hanya dengan bunyi-bunyian yang best. Macam filem P.Ramlee lah, filem memang dah filem dia, dengan muzik-muzik pun dia kontrol sama, itu yang membuatkan filem dia betul-betul ‘filem P.Ramlee’.
Boleh dikatakan selepas drama Pinang Durian, Mamat Khalid ‘cool down’ di dalam membikin drama & mula mengorak langkah mengarahkan filem pertamanya Lang Buana yang diterajui oleh Senario. Aku memang skeptikal dengan pemilihan Senario sebagai pelakon di dalam filem Mamat Khalid sebab lawak Mamat Khalid lain genre berbanding Senario. Senario ni lebih kepada lawak slapstik & double meaning, tapi lawak Mamat Khalid lebih intelek, although kadang-kadang tak terlepas dari lawak bodoh (yang selalunya nampak memang disengajakan). Dan betullah, aku tak gemar dengan filem tu sebab pendekatan komedi Senario yang agak berbeza & filem tu terlalu nak menyampaikan mesej perpaduan. Filem Lang Buana menang Anugerah Khas Juri Festival Filem Malaysia kerana membawa tema perpaduan di dalamnya - sudah dijangka.
Siapa yang kata Mamat Khalid hanya pandai berlawak sepatutnya bertaubat & keluar daripada bangsa Melayu (kah! kah! kah!). Filem Puteri Gunung Ledang (2004) menafikan dakwaan tersebut sekeras-kerasnya. Mamat Khalid berjaya menampilkan naskhah terbaiknya dengan skrip yang penuh ‘bunga-bunga’ bahasa Melayu. Dia memenangi anugerah Lakonlayar Terbaik Festival Filem Malaysia untuk filem itu. Sejak itu orang tak memandangnya dengan sebelah mata lagi.
Filem kedua Mamat Khalid, Rock (2005) juga merupakan satu masterpiece. Ianya satu tribute untuk rock kapak. Aku tak tau nak cakap apa la tapi bagi aku, inilah filem terbaik Mamat Khalid pada pandangan peribadi aku. Aku puas hati. Rock mengajar erti kesetiaan & kesetiakawanan. Rock tak melupakan kritikan sosial Mamat Khalid terhadap budaya ‘kabel’ orang Melayu melalui watak Zack yang pegi temuduga untuk dapat kerja:
“Hey, encik! Saya takde Ayah Cu atau Abang Long bagi borang tender, tahu tak? Saya tak perlukan surat sokongan dari siapa-siapa pun. Ye, betul, ilmu saya tak cukup sampai ke ilmu jampi masa interviu, tapi dengan sijil saya, dengan falsafah hidup saya, dah cukup kuat untuk pegang jawatan ini.”
Man Laksa (2006) jugak filem nostalgia, tapi nostalgia ini agak membunuh bagi aku kerana kesudahan filem ni ialah sebuah mimpi. Mimpi seorang Mat Jenin. Aku cukup pantang filem yang endingnya mimpi ni sebab dah banyak sangat filem yang berendingkan mimpi macam Mistik, Anak, Pontianak Harum Sundal Malam (ending tak mimpi tapi adegan seram semuanya mimpi). Tapi untuk Man Laksa ni aku bagi concession la sebab dah tau endingnya mimpi, Mamat Khalid tarbi cukup-cukup mimpinya sampai M.Daud Kilau terbang, ada superpower, ada kereta Mercedez, ada cek pintu, orang jahat bertukar jadik kambing, nak tunjuk sangat-sangat orang Melayu kalau bermimpi punyalah tak tercapai dek akalmu. Melalui filem ni lah aku mengenali Nancy Sinatra dengan lagunya These Boots Are Made For Walking. Kritikan sosial, as usual memang tak terlepas dari pandangan Mamat Khalid, umpamanya macam mana pertandingan Ratu Kebaya akhirnya dimenangi oleh saudara Pegawai Daerah yang datang officiate Malam Amal Kampung Talang, sekadar satu contoh.
Filem Zombi Kampung Pisang (2007) ialah filem yang aku tak tau apakah hala tujunya. Ironinya inilah filem pertama Mamat Khalid yang mencecah ‘kotak pejabat’ (box office) & filem ni menang Anugerah Khas Juri Festival Filem Malaysia di atas kritikan sosialnya (lagi!). Nak sebut pasal pengajaran memang banyakla pengajaran dalam filem ni, siap ada yang disuap terang-terang dalam kepala hotak penonton, sesuatu yang tak wujud pun dalam drama-drama terhebat Mamat Khalid sebelum ni. Entahla, mungkin filem ni pressurenya lain, tak serileks buat drama agaknya.
Kala Malam Bulan Mengambang-KMBM (2008) sekali lagi sebuah filem nostalgia, yang BETUL-BETUL nostalgia daripada Mamat Khalid. Filem ni membuatkan orang terkedu tak percaya, macam mana filem ni boleh menang Filem Terbaik untuk Festival Filem Malaysia & Anugerah Skrin & Mamat Khalid menang Pengarah Terbaik untuk kedua-dua anugerah tersebut, juga Rosyam Nor pun menang Pelakon Lelaki Terbaik untuk kedua-dua anugerah! Ini satu double hatrick yang jarang gila kita saksikan. “Apa yang best sangat filem ni?”, begitu tanya orang. Aku sendiri, secara jujur mengatakan inilah filem Mamat Khalid yang paling boring sekali. Ianya tak boring pada separuh masa pertama (macam bola lak), tapi start masuk cerita jembalang tu, aku dah mula menyumpah “Apa benda pulak dah la niiii”. Memetik komen aku dalam forum cari:
“Yang aku fahamla, juri-juri pilih filem KMBM sebab utamanya ialah keberanian Mamat Khalid untuk mengarah filem hitam putih, bukan senang nak buat tu, nak kontrol lighting, nak kontrol kamera, letak duduk props, rekaan kostum, skrip, mood filem, hatta skor muzik - semuanya back in 1960’s, as if memang betul-betul Mamat mengarah dengan ‘kelengkapan’ tahun 1960’s - alasan yang ni, walaupun nampak picisan & teknikal - bagi aku KMBM memang cemerlang bab ni. Kalo nak analogi yang agak mudah (although tak tepat), macam Saw Teong Hin (PGL) menang Pengarah Terbaik kalahkan Yasmin Ahmad although Sepet Filem Terbaik, Yasmin sendiri kata, dia pun tak mampu mengarah filem berskala besar macam Teong Hin buat, dibagi RM15 juta pun belum tentu dia boleh secermat & seteliti Teong Hin, beban pengarah tu memang berat, tak ’semudah’ mengarah filem Sepet, sebab tu Teong Hin menang. Macam tu jugakla filem KMBM, orang memangla argue, setakat buat hitam putih, siapa-siapa pun bole buat, tapi betul ke siapa-siapa pun bole buat, seteliti & secermat Mamat Khalid? Ada yang anggap mana-mana filem kaler, tukar je setting jadik hitam putih, jadikla macam KMBM, wah senang cakap. Macam dia tiap-tiap hari buat filem. Besides, ni la antara filem Melayu yang sedaya-upaya menampilkan semua elemen - seram, komedi, cinta, sejarah, tahyul, patriotisme, jurnalisme, muzikal, noir, seks (sket-sket), semuanya dirojakkan dalam satu filem yang walaupun penonton bole kata boring atau tak menjadik, tapi di mata juri itu satu percubaan yang berani agaknya (gagal atau tak gagal tu pun subjektif).
Aku sendiri tak subscribe dengan ‘kesenian’ filem KMBM, aku lagi enjoy tengok Zombi Kampung Pisang (yang aku anggap filem terburuk Mamat Khalid), tapi what to say, itu pilihan juri, bak kata ketua juri Festival Filem Malaysia dulu (Pansha), kita orang filem, kita taulah susahnya nak buat filem macam ni”
Walau apa pun kritikan orang terhadap penganugerahan Filem Terbaik tu, bagi aku itu takde apa-apa pun. Lama-lama senyapla. Macam bising-bising pasal Sepet, Gubra dulu. Atau macam bising-bising zaman filem A.R Badul kalahkan filem Rahim Razali tahun 1990 dulu.
Sekian. Ini satu ulasan panjang berjela aku mengenai Mamat Khalid sebagai satu ‘penghormatan’ terhadap hasil kerja dia yang membuatkan aku terhibur selama ni. Selain daripada Lang Buana, kesemua filem Mamat Khalid yang lain aku tonton kat pawagam sebagai tanda sokongan aku terhadap dia (although kadang-kadang aku rasa dikecewakan, ceh ceh ceh).
Kredit kepada penulis asal blog ini...
Saya pinjam yer bang....
http://sangpenchenta.blog.friendster.com/
Heheheh....
Rupanya Abang Mamat Khalid ni adik kepada arwah cikgu lukisan aku masa form 3....
Al-Fatihah kepada cikgu Shahar b Khalid.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan