Translate

Tajaan

Rabu, 27 Julai 2011

Kapten Singapura tak gentar Oleh Syed Riduan Ahmad

2011/07/27

Shahril sedia hadapi provokasi penyokong tuan rumah di Bukit Jalil


KAPTEN Singapura, Shahril Ishak tidak gentar dengan provokasi penyokong tuan rumah walaupun sedar dia bakal menjadi sasaran utama selepas melakukan isyarat mengejek kepada penyokong Malaysia pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.

“Mereka boleh kata apa saja, tetapi sebagai pemain kami akan memberi tumpuan kepada permainan semata-mata,” kata Shahril ketika ditemui sebelum memulakan sesi latihan di Bangi, semalam.
“Tumpuan utama kami ialah untuk mempertahankan kelebihan kemenangan dan tidak akan membiarkan Malaysia menang 2-0.”

Skuad kebangsaan yang tewas 5-3 memerlukan kemenangan 2-0 untuk layak ke pusingan ketiga.

Shahril, 27, penyerang yang berpengalaman beraksi di Liga Super Indonesia bersama kelab Persib Bandung dan kini bersama Medan Chiefs, mengakui pengalaman di sana menjadikan seseorang pemain itu lebih baik dan buktinya dapat dilihat menerusi aksi penyerang utama negara, Safee Sali yang meledak dua gol, Sabtu lalu.

“Saya sempat mengenali Safee di Indonesia, kami berkawan baik. Tetapi di atas padang kami tetap lawan,” kata Shahril yang mengakui tekanan tetap ada apabila beraksi di hadapan lebih 80,000 penyokong tempatan.

Sementara itu, jurulatih Singapura, Radojko Avramovich cuba memperlekeh faktor kelebihan gelanggang sendiri skuad negara yang dirasakannya tidak akan memberi kesan kepada persembahan pemainnya apabila berdepan lebih 80,000 penyokong tuan rumah.

“Sama saja, lebih ramai ia lebih baik untuk bola sepak,” kata Avramovich selepas sesi latihan itu. “Saya pasti bukan saja pemain Malaysia akan bersemangat, pemain saya juga akan menggunakan kelebihan itu.

“Bagi saya keputusan perlawanan ditentukan 11 pemain di atas padang, bukan ribuan penonton di tempat duduk. Jadi jumlah penyokong tidak akan mempengaruhi keputusan perlawanan kedua nanti.”

Menurut jurulatih kelahiran Serbia yang lebih mesra dengan panggilan Raddy itu, faktor padang dan penonton tidak akan memberi masalah kepada anak buahnya dan dia yakin, persembahan mantap seperti perlawanan pertama di Singapura mampu dikekalkan.

Rajagobal ada formula terbaik
Oleh Hussain Said

2011/07/27

Untuk ‘bakar’ semangat anak didik

PENGENDALI Datuk K Rajagobal menegaskan dia memiliki formula terbaik ‘membakar’ semula semangat barisan Harimau Malaya yang luntur untuk bangkit mengatasi defisit dua gol dalam perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Dan pengendali 55 tahun itu mengakui, formula yang digunakan adalah dengan menayangkan semula video ‘detik emas’ ketika mereka bangkit daripada kekalahan sebelum mengukir sejarah menjulang Piala Suzuki AFF tahun lalu dan Sukan SEA 2009.
“Kekalahan 5-3 dalam perlawanan pertama Sabtu lalu bukan penamat perjuangan pasukan kerana mereka masih ada baki 90 minit lagi untuk membuat perhitungan terakhir dengan lawan. Lagipun, ini bukan pengalaman pertama pemain tewas dan menghadapi detik sukar seperti ini.

“Sebaliknya, pemain pernah menghadapinya ketika tewas sebelum bangkit dengan membuktikan kemampuan dan mengejutkan semua pihak apabila memenangi emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF.

“Jadi, saya yakin pemain mampu melakar keajaiban itu sekali lagi dengan bangkit menewaskan lawan Khamis ini (malam esok),” katanya.

Rajagobal berkata, dia menghargai pandangan dan kritikan pelbagai pihak berikutan kekalahan itu, tetapi menegaskan kekalahan kepada skuad Singa sama sekali tidak membimbangkan atau memaksanya menekan butang panik untuk merombak pasukan.

“Bukan saya tidak mahu memanggil pemain lain seperti Norhafiz (Zamani Misbah) bagi memperkuatkan benteng, tetapi semua pihak harus faham ia bukan mudah untuk Norhafiz beraksi dalam 90 minit sejurus selepas pulih daripada kecederaan.
“Jadi, saya harus percaya dengan pemain yang ada dan semua pihak juga harus mempercayai mereka. Berilah sokongan padu kepada mereka dan saya yakin mereka akan membalasnya dengan menebus kekalahan dan menundukkan lawan nanti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan