Translate

Tajaan

Ahad, 28 Ogos 2011

Eurofine rancang bina kompleks studio filem di Ayer Keroh

BAYANGKAN kecanggihan dan keluasan kompleks studio filem terbesar di dunia, Ramoji Film City di Hyderabad India bakal didirikan di negara kita. Bukan lagi omong kosong, sebaliknya ia akan direalisasikan anak syarikat Eurofine, Fine Leisure Development Sdn Bhd selepas membuat perancangan selama 10 tahun.

Bakal dinamakan Laman Seni Film City, ia dijadual dibangunkan awal tahun depan di tapak seluas 21.6 hektar di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka dengan kos kira-kira RM300 juta.
Ramoji Film City yang dimiliki Ramaji Rao dan mula beroperasi pada 1996, dibina di tapak lebih 800 hektar dan keluasannya diiktiraf Guiness Book of World Records.

Pengarah Urusan Kumpulan Eurofine, Ida Rahayu Md Noor sendiri pernah melawat Ramoji Film City pada 2001, namun bagi projek di Melaka itu, tanah yang digunakan tidaklah sebesar kompleks studio filem di Hyderabad, tetapi fungsinya boleh dianggap sama.

Selain menawarkan kemudahan dan peralatan untuk penggambaran filem serta drama, projek kebanggaan Eurofine ini turut berfungsi menjana sektor pelancongan melalui perancangan membuka empat taman tema keluarga dipanggil Laman yang setiap satunya menggunakan watak animasi dan drama yang pernah diterbitkan Eurofine.

Nama yang dimaksudkan ialah karakter Yokies, Frootees, filem Putih dan drama Sara Akashah yang pernah disiarkan di kaca TV dulu. Empat hotel juga bakal dibangunkan yang keseluruhannya memuatkan 1,000 bilik, selain Akademi Filem dan sajian terbuka kepada rakyat yang bakal bebas belajar tanpa sebarang kelayakan tertentu.
“Pengunjung juga bakal berpeluang melihat aliran kerja pembikinan filem dan drama. Secara tak langsung, kita dapat terus menyemarakkan industri pembikinan filem dan drama tempatan. Kita sediakan kemudahan kepada penggiat seni dengan caj untuk penggunaan utiliti dan sebagainya.

“Kompleks studio ini nanti turut menempatkan studio suntingan, grafik dan audio digital terkini, pusat beli-belah laman rekreasi dan hiburan. Bayangkan pembikin filem boleh masuk ke situ dengan sebuah skrip dan keluar dengan segulung filem kerana segala kemudahan ada di situ,” kata Ida yang juga aktif menerbit drama.

Majlis menandatangani perjanjian pembelian tanah bagi membangunkan projek terbabit diadakan pada 9 Disember lalu di Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, dihadiri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Melaka, Datuk Seri Ali Rustam. Turut hadir rakan media dan artis seperti Dira Abu Zahar, Almy Nadia, Roy Azman dan Ezany.

Berita Minggu yang menjadi wakil tunggal akhbar dari Kuala Lumpur diundang ke sana turut berpeluang meninjau keseluruhan lokasi terbabit yang dibeli pada harga RM11.1 juta pada petang hari sama dengan menaiki kereta pacuan empat roda dan difahamkan sebuah pawagam terbuka turut dirancang dibina dalam kawasan kompleks berkenaan.

“Untuk menzahirkan projek ini bukan sekecil anak usahanya. Tahun ini kita hanya mampu melunaskan proses pecah tanah, tetapi harapnya ia satu permulaan yang baik. Kita akan usahakan projek ini dalam tiga fasa yakni selama tiga tahun sebelum dijangka memulakan operasi pada 2014.

“Kami yakin projek berpaksikan seni sebegini wajar diusahakan pihak berkaitan, baru ada ‘feel’. Kami juga dalam perbincangan dengan beberapa rakan kongsi dari Amerika Syarikat untuk turut serta membangunkan projek ini,” katanya, tetapi belum dapat mendedahkan identiti rakan kongsi yang bakal dipilih.

Ida berkata, projek itu juga penanda aras bagi Eurofine yang mula beroperasi pada 1991, sekali gus tidak mahu ia sekadar hangat-hangat tahi ayam atau melepaskan batuk di tangga, sebaliknya sebagai mercu tanda Malaysia dan industri seni negara sehebat Universal Studio, Disneyland dan Legoland di AS.

“Projek ini juga bagi membantu meningkatkan industri pelancongan negara, terutama di Melaka. Dengan adanya Laman Seni Film City, kita mensasarkan tambahan 1 juta lagi pelancong dan orang tempatan mengunjungi negeri ini.
Melaka sendiri dianggap bandar raya bersejarah dan kita mahu mencipta sejarah baru dengan penghasilan projek ini.

“Harapnya pelancong yang datang akan bercakap mengenai projek ini dan melakukan promosi mulut ke mulut kepada teman senegara. Siapa tahu selepas Hollywood dan Bollywood, akan muncul Malaywood atau Melakawood pula selepas ini,” katanya peneraju syarikat penerbitan yang aktif menerbit program terbitan televisyen tempatan dan luar negara ini.

Info
Kumpulan Eurofine


  • Beroperasi di Bandar Baru Nilai sejak 1991.
  • Beberapa program animasi terbitannya berjaya dijual ke AS, Timur Tengah, Brunei dan Indonesia.
  • Anak syarikat lain, Fine International Network, Fine Gallery Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd, Fine Animation Sdn Bhd dan P T Fine Media Kreasi di Jakarta.
  • Man United calar maruah Arsenal 8-2

    2011/08/29
    LONDON: Wayne Rooney mencipta hatrik pertama di awal musim Liga Perdana Inggeris bagi memastikan kemenangan besar Manchester United ke atas Arsenal 8-2 di Old Trafford, sebentar tadi.

    Rooney meledak pada minit ke-40 dan 62, kedua-duanya menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-81.
    United memperoleh gol awal menerusi Danny Welbeck pada minit ke-21 sebelum Asley Young meledak pada minit ke- Theo Welcott menyamakan kedudukan pada minit ke-27. Theo Walcott kemudian menyumbat masuk pada minit ke-48.

    Masuk separuh masa kedua Nani meledak pada minit ke-65 disusuli Park Ji Sung pada minit ke-69 sebelum Robin Van Persie memperoleh gol kedua Arsenal pada minit ke-73.

    Young sekali lagi merembat jaringan pada minit ke-90 untuk melengkapkan kemenangan bersejarah United 8-2.

    Sabtu, 27 Ogos 2011

    Tolak baju baru

    Oleh ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
    zatuliffah@hmetro.com.my

    KUALA TERENGGANU: “Arwah berpesan kepada isterinya supaya tidak membelikannya baju raya tahun ini walaupun mereka sekeluarga sentiasa berpakaian sedondon setiap kali menyambut hari lebaran.

    “Namun, isterinya tetap menyediakan baju raya itu tanpa memaklumkan arwah dan siapa sangka pesanan itu adalah petanda arwah akan meninggalkan keluarganya beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri,” kata Maznah Bakar, 43, kakak ipar kepada Sukri Awang, 38, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi di Kampung Bukit Kolam, Hulu Terengganu, pagi kelmarin.


    Dalam kejadian jam 7.50 pagi, Sukri yang duduk di sebelah kiri penumpang bahagian depan cedera parah di dada dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Hulu Terengganu manakala isterinya yang juga adik kepada Maznah, Norwani Bakar, 36, cedera di rusuk namun dirawat sebagai pesakit luar.

    Selain itu, tiga anak pasangan berkenaan iaitu Mohd Amin, 6, yang cedera di rusuk dan Mohd Naim, lima bulan, yang mengalami pendarahan di kepala dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, manakala Mohd Amni, 3, yang cedera di muka ditempatkan di wad biasa HSNZ.


    Ketika kemalangan, mereka yang menetap di Kem Tentera Iskandar, Johor Bahru dalam perjalanan pulang ke kampung Norwani di Bachok, Kelantan bagi menyambut Aidilfitri.


    Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dipandu Norwani dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil terbabas ke sebelah kanan jalan lalu dilanggar sebuah kenderaan Honda Accord yang datang dari arah bertentangan.

    Menurut Maznah, Norwani juga bersikap pelik apabila tidak memberitahu kepulangan mereka sekeluarga, sedangkan sebelum ini mereka biasanya memaklumkan perkara itu setiap kali pulang beraya di rumahnya di Kampung Alur Pilai, Jelawat, Bachok.


    “Sebelum ini, saya tanya sama ada mereka akan pulang beraya tetapi Norwani memaklumkan tidak tahu kerana suaminya bekerja. Mungkin dia dan arwah suaminya merahsiakan kepulangan mereka kerana ingin membuat kejutan.

    “Difahamkan, mereka bertolak daripada Kem Tentera Iskandar jam 12 tengah malam Khamis lalu. Jika saya tahu hal itu, pasti saya tidak membenarkan mereka pulang kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku,” katanya yang ditemui di HSNZ di sini, semalam.


    Maznah yang juga anak ketiga daripada lima beradik berkata, dia turut berasa tidak sedap hati pada hari kejadian dan segala perasaannya terjawab apabila menerima panggilan daripada Norwani memaklumkan dia dan keluarga terbabit kemalangan.


    “Norwani menghubungi saya selepas kejadian itu sebelum panggilan terputus disebabkan telefonnya rosak. Namun ketika cuba menghubunginya semula, saya terdengar bunyi ambulans dan menyangka mereka sekeluarga hanya terbabit dalam kemalangan biasa.


    “Walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku, saya reda, apatah lagi mengenangkan tragedi berlaku beberapa hari sebelum Aidilfitri,” katanya.


    Seorang rakan Sukri yang enggan dikenali memaklumkan, arwah sememangnya teruja untuk pulang beraya pada malam sebelum kejadian walaupun isterinya mencadangkan mereka pulang pada keesokan harinya.


    “Arwah baru saja bertugas di kem ini selama tiga hari selepas dipindahkan dari Melaka. Dalam tempoh itu, arwah tidak pernah tinggal menunaikan solat sunat tarawih, cuma dia kelihatan tidak sabar-sabar untuk pulang berhari raya pada malam sebelum kejadian,” katanya.


    Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, 153 kes kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh empat hari Ops Sikap 24 dilancarkan sejak 23 Ogos lalu membabitkan lapan kemalangan maut dengan lapan kematian.

    Selasa, 23 Ogos 2011

    Buah tangan terakhir Seri Bayu

    PORT DICKSON: “Ayah (Seri Bayu) sempat menghasilkan sebuah lagu berjudul ‘Sebelum Aku Pergi’ untuk saya,” kata penyanyi remaja, Nazira Abdul Ghani, ketika ditemui pada majlis pengebumian komposer dan penulis lirik terkenal itu.

    Nazira yang juga anak angkat kepada Seri Bayu berkata, dia mengenali arwah ketika menyertai pertandingan karaoke di Tasik Idaman, Bangi, Selangor, empat bulan lalu.


    “Saya disapa arwah ayah yang turut menyaksikan pertandingan itu. Dia menyatakan kagum dengan suara saya, malah berjanji menggilap saya menjadi penyanyi popular,” kata anak bongsu lima beradik itu.

    Menurutnya, arwah ayah angkatnya itu meminta untuk tinggal bersama keluarganya di Kampung Teluk Pelanduk, di sini, dengan alasan suka dengan suasana kampung dan mudah mendapat ilham mencipta lagu.


    Nazira berkata, arwah seperti dapat menjangka hayatnya tidak lama apabila begitu tergesa-gesa menyiapkan lagu untuk rakaman album.


    “Ketika keluarga saya dan arwah ke Shah Alam berjumpa seorang komposer lagi bagi pembikinan video klip lagu Sebelum Aku Pergi, dia beria-ia minta disiapkan pada Mei, apabila ditanya kenapa tidak bulan April, dia hanya tersenyum saja. “Rupa-rupanya arwah seperti mengetahui ajalnya dan tidak mahu albumnya disiapkan dalam tempoh berpantang 44 hari,” katanya.

    Kelmarin, komposer dan penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Port Dickson di sini, kira-kira jam 8.30 malam akibat penyakit saraf motoneuron dihidapinya sejak 2004 lalu.


    Isterinya yang juga seorang penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 27, atau Erema, turut kelihatan walaupun sebelum ini rumah tangga mereka bermasalah dan kes itu masih dalam perbicaraan mahkamah.

    “Saya masih sah isteri arwah dan reda dengan pemergiannya,” kata Erema yang mengetahui berita kematian suaminya itu kira-kira jam 9 malam kelmarin.


    “Kali terakhir berjumpa arwah ketika hadir perbicaraan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Ogos lalu. Namun, kami kerap berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar antara satu sama lain,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu.


    Jenazah Seri Bayu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Pelanduk, di sini, semalam kira-kira jam 2 petang.

    Keluarga wajib bertaubat

    KUALA LUMPUR: Perbuatan membelakangkan bapa sebagai wali bukan saja melanggar undang-undang keluarga Islam, malah semua pihak yang bersubahat memalsukan keterangan itu melakukan dosa besar dan wajib bertaubat.

    Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata selepas menerima aduan daripada Sham, pihaknya kini dalam proses untuk memfaraqkan pasangan itu kerana secara jelas berlaku penipuan dalam perkahwinan terbabit.


    “Secara umumnya, wali mujbir atau wali akrab menjadi satu syarat utama sah sesebuah pernikahan, tetapi dalam kes ini berlaku manipulasi undang-undang apabila si anak lebih sanggup mengaku anak tidak sah taraf daripada meminta bapa kandung menjadi wali.

    “Kes seumpama ini pernah berlaku apabila seorang wanita menipu dengan menggunakan sijil kematian palsu bapanya untuk bernikah secara berwali hakim. Mahkamah kemudian memerintahkan pasangan itu difaraqkan serta-merta. Justeru, mengambil intipati perundangan sama tindakan tegas perlu diambil bagi kes ini,” katanya yang ditemui, semalam.


    Beliau berkata, pasangan itu hanya boleh dinikahkan semula dengan berwalikan bapa kandungnya yang masih hidup kerana mengikut hukum syarak, perkahwinan tanpa wali mujbir tidak sah.


    “Dalam kes ini, jurunikah juga bukan sekadar memastikan semua maklumat dalam borang nikah lengkap, malah sahih bukan bersikap sambil lewa.

    “Malah, semua pihak yang mengetahui mengenai perkara ini, tetapi tidak menghalangnya wajib bertaubat kerana melakukan dosa besar selain melanggar undang-undang syariah,” katanya.

    3 beradik mati lemas dipercayai ditolak bapa ke dalam kolam air

    KLUANG: Tiga kanak-kanak meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas ditolak ke dalam sebuah kolam takungan air oleh bapa mereka dalam kejadian di Ladang Lambak/Elaeis, Jalan Mengkibol, di sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Fawzi Arshad berkata dua kanak-kanak perempuan berumur tiga dan lima tahun serta adik lelaki mereka, berusia dua tahun, dipercayai ditolak ke dalam kolam kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada 7.30 malam.

    "Ketiga-tiga beradik itu dipercayai dibawa ke kolam berkenaan oleh bapa mereka yang berumur 29 tahun dengan alasan untuk memancing ikan sebelum ditolak dan mati lemas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, hari ini.

    Mohd Fawzi berkata pusat kawalan IPD Kluang menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada 10.20 malam sebelum meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang bagi melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.


    Beliau berkata mayat kesemua kanak-kanak yang lengkap berpakaian itu ditemui kira-kira satu setengah jam kemudian.


    Katanya polis kemudian berjaya menahan bapa kanak-kanak terbabit di rumahnya malam tadi, yang merupakan pemandu traktor di ladang berkenaan yang cuba membunuh diri dengan meminum racun.

    Lelaki itu katanya turut berada di bawah pengaruh alkohol dan kini ditempatkan di Hospital Kluang untuk rawatan.

    "Polis sedang menyiasat motif kejadian mengapa lelaki itu sanggup menolak anaknya ke dalam kolam yang menjurus kematian. Bedah siasat terhadap tiga kanak-kanak terbabit akan dilakukan hari ini untuk mengetahui punca kematian sebenar," katanya.

    Menurut Mohd Fawzi polis sudah merekodkan keterangan ibu kanak-kanak itu yang berumur 23 tahun bagi membantu siasatan dan polis sedang mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman suaminya.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

    Farid Kamil Terima RM50,000 & Juga Biasiswa Untuk Kejayaan Filem Kongsi

    August 10, 2011 by

    Celebrities, Entertainment, Filem,

    Kami suka gambar Farid Kamil di’atas, walaupun filem Kongsi menariknya tidak seberapa, tetapi gaya Farid Kamil, like a boss!

    Menjadi tradisi MIG yang di’ketuai David Teo untuk mengadakan majlis menghargai tenaga kerja di’belakang sesebuah filem.

    Majlis yang di’panggil Malam Kongsi Rezeki ini turut melibat majlis berbuka puasa yang menjemput mereka yang bertuah dari Rumah Nur Hikmah, Rumah Anak Yatim Syifa, Pusat Jagaan dan Asuhan Raudhatul Ikhwan, Persatuan Kebajikan Al-Munirah dan Darul Kifayah.

    Penghuni-penghuni ini di’jemput untuk berbuka puasa bersama MIG & selebriti mereka selain menerima sumbangan Aidilfitri dari syarikat ini yang berjaya mengaut RM8.5 juta melalui filem Kongsi sahaja.

    Turut di’raikan adalah tenaga kerja filem Kongsi yang menerima imbuhan dari David Teo. Farid Kamil sebagai pengarah menerima RM50,000 tunai & RM50,000 lagi sebagai biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang filem di’luar negara.

    Pelakon utama Kongsi, Shahiezy Sam menerima RM60,000 manakala Yana Samsudin dan Fizo Omar masing-masing menerima RM10,000 dan RM5,000.

    Bertuah badan kalau bekerja keras untuk MIG ini. Farid Kamil contoh hidup yang di’angkat MIG sebagai pengarah muda yang berjaya. via Murai.com.my

    Kariah Masjid Buat Laporan Polis, Azmil Mustapha Hina Islam & Melayu


    August 20, 2011 by

    Kami bukanlah arif sangat tentang ilmu agama, namun laporan tentang kelakuan Azmil Mustapha merobek hati kami.

    Azmil Mustapha yang popular sekitar tahun 80′an ini kini bertugas sebagai pendakwah bebas & sering di’jemput untuk memberi tazkirah di masjid.

    Namun malam semalam, Azmil Mustapha nampaknya mengambil peluang mengkafirkan kerajaan, menghina agama Islam & kaum Melayu.

    Azmil Mustapha di’jemput untuk menyampaikan tazkirah di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang selamat 15 minit sebelum sessi solat terawih namun berlarutan sehingga jam 10.30 malam.

    Sepanjang tazkirah yang bertukar menjadi syarahan politik itu, Azmil Mustapha menegaskan yang kerajaan Malaysia sedia ada sekarang ini sebagai kafir & sistem pendidikan negara mengikut acuan kafir.

    Bekas pelakon yang terkenal dengan watak Ali Setan ini turut menjatuhkan hukum amalan seorang kariah masjid tidak di’terima Allah kerana menyoal tindakan beliau malam itu.

    Azmil Mustapha dalam kenyataan membela diri menyatakan yang beliau sah sebagai pendakwah bebas & JAIS memberikan kebenaran untuk beliau memberi tazkirah di’mana mana masjid.

    Bukan kami mahu membela mana mana pihak, namun kebenaran yang di’beri oleh pihak berkuasa adalah untuk menyebarkan ajaran Islam sebenar & menyatukan umat Islam di bulan Ramadhan.

    Banyak lagi platform lain boleh Azmil Mustapha gunakan untuk menyebarkan fahaman politik beliau, masjid bukan tempat’nya. Peace out! via Taiping Mali & Prebet Sapu

    Respon Pembaca

  • saya on Sun, 21st Aug 2011 8:23 pm

    salam,yang dok komen lebih2 ni dengar dari mulut dia sendiri ke?atau dengar khabar macam ni je?kata islam x ajar hina org,tapi kita dok hina dia..sepatutnya kena tegur elok2 la.. maklum la dia baru je nak dekat dengan agama..

  • gigiputihberseri on Mon, 22nd Aug 2011 6:02 am

    hmmm…azmil telah menafikan dakwaan kariah masjid tu..so rotikaya ada wat follow-up & x nk post yg baru bg pihak azmil ke bg membersihkan nama beliau??? ;p bkn apa,post yg ini rmai gak bley tahan bg komen psl azmil dlm bln puasa yg berkat ni :)

  • iDAN:

    Saya setuju dengan Saya On... kena dengar sendiri jangan buat andaian; saya pernah menghadiri ceramah Azmil ini, memang dia selalu berceramah atas pentas PR. Hatta kita tak boleh membuat andaian dia anti kerajaan. Mungkin dia sekadar menegur, bukan melabelkan kerajaan kita kafir. Perbalahan ini sering berlaku dalam kancah politik antara UMNO & PAS. Masing-masing ada matlamat politik tersendiri; Pas mahukan perundangan Islam, UMNO pula kata itu undang-undang Islam PAS. Bagi kata yang punyai bebas berfikir, semua tahu sejarah tak semua orang kita Melayu setuju merdeka dengan perundangan Sivil atau berpaksi British. Semua sedar bagaimana di negara dua perundangan kita gunapakai; satu undang-undang Mahkamah Syariah satu lagi Perundangan Sivil; mungkin ini yang dimaksudkan Azmil.

    Islam tak boleh ambil separuh hukuman, tak boleh memilih perundangan yang kita suka dan mengetepikan perundangan yang tak sehaluan dengan kita atau perundangan dipinda mengikut peredaran masa. Ada negara Islam yang mengamalkan atau mempraktikkan Hukum Hudud di mana si pencuri dipotong tangan. (Biar pun tidak semua undang-undang agama kita digunapakai) Di negara kita pula ada pemimpin yang mempersendakan hukuman ini; maka itu yang menjadikan kita kembali ke zaman Islam tiada pengaruhnya. Maka kejadian mencuri tidak dapat dikawal lagi; Mungkin itu yang dimaksudkan oleh Azmil.

    Isnin, 22 Ogos 2011

    Pengedar dadah ditembak mati


    KUALA LUMPUR 14 Ogos – Polis menembak mati seorang pengedar dadah dan memberkas enam yang lain termasuk dua wanita selepas berbalas tembakan dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Flora, Balakong, dekat sini awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, polis turut merampas 200 gram dadah jenis heroin, ganja dan syabu bernilai RM500,000, dua pucuk pistol jenis Glock dan Revolver dan sepucuk pistol tiruan.

    Selain itu, dua buah kereta BMW dan Mitsubishi dan empat buah komputer riba turut dirampas.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rasyid Ab. Wahab, suspek dan seorang wanita bertindak melarikan diri ke dalam sebuah bilik sejurus sepasukan anggota polis menyerbu masuk rumah tersebut.

    Katanya, ketika itu, terdapat tujuh orang di ruang tamu rumah termasuk dua wanita.

    “Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah rogol, dipujuk agar menyerah diri namun enggan dan bertindak menembak ke arah anggota polis.

    “Polis yang bertindak balas, telah melepaskan tembakan dan mengenai perut serta tangan suspek mengakibatkan lelaki itu terbunuh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dekat sini hari ini.

    Beliau berkata, wanita yang berada bersama suspek, bagaimanapun berjaya dipujuk keluar untuk menyerah diri.

    Katanya, ujian air kencing terhadap enam suspek yang ditahan berusia 22 hingga 47 tahun itu didapati positif dadah.

    “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung,” ujarnya.

    Menurutnya, mayat suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

    Utusan

    iDAN: sebelah rumah Salleh IT.... bikin Salleh serba salah nak balik sana...

    Ahad, 21 Ogos 2011

    Kompas mohon maaf kepada Najib



    Jimmy S. Harianto memohon maaf kepada Najib Tun Razak mewakili akhbar Kompas di Putrajaya, baru-baru ini.


    JAKARTA 21 Ogos - Akhbar Kompas hari ini memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan penyiaran laporan mengenai keluarga Perdana Menteri dalam akhbar berkenaan pada 4 Ogos lalu.

    Ketua Pengarang akhbar popular Indonesia itu, Rikard Bagun berkata, Kompas memohon maaf di atas penyiaran berita berhubung perkara yang tidak pernah berlaku dalam keluarga Perdana Menteri.

    Penyiaran berita itu antara lain menyatakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai pemilik syarikat Perimekar Sdn. Bhd.

    Selain itu, akhbar tersebut menyiarkan berita yang menuduh Rosmah membelanjakan AS$24 juta dolar (RM72 juta) untuk membeli sebentuk cincin berlian sedangkan barang kemas berkenaan tidak pernah dipesan atau dibeli mahupun untuk bahan pameran peribadi oleh Rosmah.

    Akhbar tersebut turut menuduh bakal besan Perdana Menteri mempunyai kaitan dengan mafia Rusia sedangkan ia langsung tidak berasas.

    “Atas pemberitaan tersebut, Pemimpin Redaksi (Ketua Pengarang) Kompas, Rikard Bagun, Sabtu (20/8) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya “Kepada Kepala Negara (Perdana Menteri) dan keluarga,” kata Rikard yang disiarkan oleh akhbar berkenaan hari ini.

    Permohonan maaf itu dimuatkan dalam wawancara dengan wartawan kanan akhbar tersebut, Jimmy S Harianto dengan Perdana Menteri di Putrajaya Khamis lalu.

    Ketika ditemui oleh Jimmy, Perdana Menteri melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Kompas yang sanggup menyiarkan berita

    Rabu, 17 Ogos 2011

    10 Penipuan Yahudi

    Michel Collon, seorang wartawan dan pengarang berketurunan Belgium dalam bukunya "Israel, let's talk about it," telah menempelak media Eropah, yang sejak berdekad yang lalu telah menipu pandangan umum kerana menyokong Israel.

    Michel Collon

    Collon dalam bukunya telah merumuskan "10 Penipuan Besar " yang tersebar dalam media Barat semata-mata untuk menjustifikasikan kewujudan dan tindakan Israel selama ini. 10 penipuan tersebut adalah;

    1. Penipuan pertama, Israel bertapak ekoran dari reaksi pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi semasa Peperangan Dunia Kedua. Hakikatnya, tanggapan ini adalah palsu. Israel sebenarnya adalah satu projek mendominasi dunia yang telah diluluskan dalam Kongres Zionis yang pertama di Basel, Switzerland pada tahun 1897. Dalam kongres tersebut, pejuang-pejuang kebangsaan Yahudi telah bertegas dan mengambil keputusan untuk menduduki tanah Palestin.

    2. Justifikasi kedua untuk pendudukan dan pengesahan Israel adalah, bahawa bangsa Yahudi terpanggil untuk kembali ke tanah nenek moyang mereka di mana satu ketika dahulu mereka telah diusir pada tahun 70 M. Ini adalah cerita dongeng. Saya (Michel Collon) telah bersembang dengan seorang sejarawan Israel, Profesor Shlomo Sand dan beberapa sejarawan yang lain, Mereka semua percaya bahawa tidak pernah berlaku "penghijrahan keluar beramai-ramai" bangsa Yahudi. Jadi apa maknanya "kembali". Tiada makna. Manusia yang mendiami Palestin tidak pernah meninggalkan tanah purba itu. Keturunan Yahudi yang mendiami Palestin sebenarnya adalah mereka yang tinggal bersama penduduk asal di situ. Puak-puak yang menuntut, kononnya untuk kembali ke tanah leluhur mereka, sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur serta Afrika Utara. Sand juga menyatakan bahawa bahgsa Yahudi sebenarnya tiada negara. Mereka juga tiada sejarah umum, bahasa dan kebudayaan. Satu-satunya benda umum yang mereka miliki adalah agama mereka dan agama tidak membentuk negara.

    Profesor Shlomo Sand


    Shlomo Sand


    3. Ketiga, apabila orang Yahudi menduduki Palestin, ia adalah sebuah tanah yang kosong dan tidak diduduki. Ini satu penipuan di siang hari. Terdapat dokumen-dokumen dan bukti yang menjelaskan bahawa pada kurun ke 19 hasil pertanian rakyat Palestin telah dieksport ke beberapa buah negara termasuk Perancis.


    4. Ada manusia menyatakan bahawa orang-orang Palestin meninggalkan tanah air mereka atas kehendak sendiri. Ini satu lagi pembohongan. Ramai yang percaya dan yakin, termasuk saya sendiri dan juga sejarawan Israel seperti Benny Morris serta Ilan Pappe berkata bahawa bangsa Arab Palestin telah pergi dan diusir dari tanah mereka secara paksa dan ugutan.

    5. Pembohongan menyatakan bahawa Israel hari ini adalah satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan ia patut dilindungi. Ia adalah negara berdaulat. Tapi lubuk hati saya menyatakan ia bukan negara berdaulat. Ia adalah satu-satunya regim dan tiada undang-undang yang menjelaskan dan menggariskan sempadan dan wilayahnya. Semua negara di dunia memiliki perlembagaan yang mendefinasikan wilayah dan sempadannya. Israel adalah projek perluasan kuasa yang tiada sempadan negara. Undang-undangnya sama sekali bersifat perkauman. Mengikut undang-undang ini, Israel adalah sebuah negara untuk bangsa Yahudi dan rakyatnya yang tidak berketurunan Yahudi adalah manusia yang tidak perlu dihormati.

    6. Pembohongan mengatakan bahawa Amerika Syarikat berusaha untuk melindungi demokrasi di Timur Tengah dengan cara melindungi Israel, dan kita tahu bahawa belanjawan tahunan Amerika memperuntukkan sejumlah 3 billion dolar sebagai talian hayat Israel. Wang ini digunakan Israel untuk mengebom negara-negara jirannya. Dan Amerika bukan sekadar untuk "memantapkan demokrasi" dengan cara begitu tetapi juga untuk memastikan pengaliran minyaknya tidak terganggu.

    7. Mereka berpura-pura kononnya Amerika berusaha mencari perdamaian antara Israel dan Palestin. Ini juga satu penipuan yang nyata. Setiausaha Agung Majlis Kesatuan Eropah, Javier Solana pernah memberitahu Israel "Anda adalah negara ke-21 Kesatuan Eropah". Industri Persenjataan Eropah, sejak dahulu bekerjasama dengan angkatan tentera Israel dan membantu kewangannya. Apabila rakyat Palestin memilih kerajaan mereka, Eropah tidak mengiktiraf dan memberi lampu hijau kepada Israel untuk menyerang Gaza.

    Javier Solana

    8. Apabila anda bercakap tentang fakta-fakta ini serta sejarah Israel dan Palestin, dan apabila anda mendedahkan laba yang dikecapi Amerika dalam situasi ini, anda akan dilabel sebagai anti semitik, supaya anda diam. Tetapi kita patut menyatakan bahawa apabila kita mengkritik Israel, ia bukanlah perkauman atau anti Semitik. Kita mengkritik kerajaan yang tidak mempercayai kesamaan Yahudi, Kristian dan Islam yang boleh membawa kepada kehancuran perdamaian di antara pengikut ketiga-tiga agama ini.

    9. Media massa menyatakan bahawa orang-orang Palestin mencetuskan keganasan. Kita menyatakan bahawa kerja masa lapang tentera Israel adalah menimbulkan keganasan dan ketakutan. Polisi merampas tanah dan rumah yang dicuri dari rakyat Palestin adalah keganasan.

    10. Isu yang sering ditimbulkan adalah, tiada jalan untuk memecah kebuntuan dan polemik Israel-Palestin ini. Tiada berkesudahan dan tiada penyelesaian untuk menghilangkan perasaan benci, dendam yang diakibatkan oleh Israel dan konco-konconya. Tetapi hakikatnya memang ada jalan penyelesaiannya. Satu-satunya cara untuk menghentikan proses ini adalah dengan memberikan tekanan tekanan umum terhadap rakan subahat Israel di Amerika dan Eropah dan negara-negara lain. Tekanan terhadap media massa yang menyembunyikan kebenaran dan tidak bercakap benar tentang Israel. Menggunakan Internet atau apa sahaja media untuk menerbitkan berita-berita sebenar tentang Palestin.

    SOMALIA: Kebuluran tak halang ibadah


    PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk dalam sejarah ketika ini.


    DADAAB (Kenya): Ketika umat Islam seluruh dunia meraikan kedatangan Ramadan, Faduma Aden, terpaksa menahan lapar sepanjang hari kerana tidak cukup makanan untuk berbuka.

    Ibu kepada tiga anak dari Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran itu berkata, beliau tetap berpuasa.

    Hidangan mewah untuk buka puasa tidak pernah difikirkan kebanyakan penduduk Somalia yang berhadapan dengan kebuluran paling teruk dalam sejarah. Biarpun Islam mengecualikan puasa kepada mereka yang sakit, kebanyakan penduduk Somalia tetap melakukannya.

    Seperti yang lain, Mohamed Mohamud Abdulle malu kerana tiada makanan ‘bagi memenuhi kepuasan’ ketika berbuka selepas berpuasa sepanjang hari.

    “Bagaimana saya boleh berpuasa jika tidak ada apa-apa untuk berbuka? Semua ahli keluarga kelaparan. Kelaparan memaksa saya ke sini,” kata Abdulle antara puluhan ribu yang berjalan ke kem pelarian di negara jiran, Kenya.

    Penduduk Somalia sudah biasa ‘berpuasa’ berminggu malah berbulan lamanya kerana kekurangan makanan. “Saya tidak boleh berpuasa kerana tidak mempunyai makanan untuk berbuka dan sahur,” kata Nur Ahmed, bapa kepada enam anak di kem yang menempatkan pelarian Somalia di Mogadishu. Isterinya meninggal tahun lalu ketika bersalin.

    Sheik Ali Sheik Hussein, ketua masjid di Mogadishu bimbang apabila ramai penduduk tidak dapat berpuasa kerana terlalu lemah akibat kelaparan dan tiada makanan untuk berbuka.

    “Kami meminta umat Islam seluruh dunia menderma bagi membantu mereka yang kebuluran,” katanya. – AP

    Ahad, 7 Ogos 2011

    Tun Teja

    Gambaran pelukis wajah Tun Teja

    Tun Teja Ratna Benggala atau Tun Teja, merupakan anak perempuan tunggal Bendahara Seri Amar Diraja dari Pahang ketika pemerintahan Sultan Abdul Ghaffur Syah, Sultan Pahang ketiga, sezaman dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka ke 8. Tun Teja dikatakan terlalu elok rupa parasnya dan menjadi sebutan orang-orang yang berdagang di Pahang, namun begitu telah pun ditunangkan dengan Sultan Pahang. Khabar kecantikan Tun Teja hingga ke pengetahuan Sultan Mahmud Syah yang ketika itu telah pun kematian isterinya yang pertama, Tun Kecil. Baginda telah menghantar utusan peminangan ke Pahang namun ditolak oleh Bendahara Seri Amar Diraja berikutan pertunangan Tun Teja dengan Sultan Pahang.

    Tun Teja disebut dalam dua hikayat Melayu lama, iaitu Hikayat Hang Tuah yang menyatakan Hang Tuahlah yang memujuk Tun Teja lari tetapi dalam Sejarah Melayu ia dikatakan Hang Nadim.

    Tersebut pula kisah Hang Nadim yang merupakan Laksamana Melaka yang telah diutuskan ke India untuk membeli 40 gulung kain namun malangnya kapal beliau telah karam dipukul ribut. Bimbang akan kemurkaan Sultan Mahmud, Hang Nadim telah pergi ke Pahang untuk bertemu dengan Tun Teja. Sesampainya Hang Nadim ke Pahang, baliau telah membuat perhubungan dengan orang-orang istana hinggakan tiada orang curiga lagi akan niatnya. Tun Teja di pujuk rayu dan Hang Nadim menceritakan tentang kebaikan rupa paras Sultan Mahmud dan kegagahan kerajaan Melaka. Tun Teja termakan pujuk dan bersetuju untuk mengikut Hang Nadim pulang ke Melaka.

    Hang Nadim merancang akan rancangan untuk melarikan Tun Teja ke Melaka dan perjalanannya memakan masa selama 40 hari. Sesampainya Hang Nadim ke Melaka, beliau telah meniarap dilantai balai istana denagn tangan seakan terikat kebelakang. Melalui kata-kata kiasan, tahulah baginda bahawa Hang Nadim telah berjaya memujuk Tun Teja ke Pahang dan akan dipersembahkan kepada baginda. Tun Teja dikahwini baginda dan dikurniakan seorang puteri, Tengku Amra Dewi.

    Tun Teja telah jatuh gering yang berat dan mangkat sewaktu Portugis mula menyerang Melaka yang pada ketika itu Sultan Mahmud Syah dan orang-orang kerajaan Melaka berundur ke Muar, pada tahun 1511. Tun Teja telah dimakamkan di Merlimau, sekitar 24 km daripada bandar Melaka.

    Berbeza dengan versi Hikayat Hang Tuah yang menyebut tentang Hang Tuah yang telah difitnah oleh orang-orang istana Melaka dan telah membawa diri ke Pahang setelah dinasihati oleh Bendahara Paduka Raja. Sesampai di Pahang, Hang Tuah telah membuat perhubungan dengan Bendahara Seri Buana iaitu ayahanda kepada Tun Teja dan Tun Jenal, adinda Tun Teja. Pada mulanya Tun Teja menolak akan pelawaan perhubungan dengan Hang Tuah namun setelah diberi ubat guna-guna melalui Dang Ratna, inang pengasuh Tun Teja yang juga menjadi ibu angkat Hang Tuah, Tun Teja telah jatuh cinta kepada pahlawan itu, walhal Tun Teja Telah pun bertunang dengan Megat Panji Alam, anak raja Terengganu.

    Hang Tuah telah membuat pakatan untuk membawa Tun Teja ke Melaka melalui jalan laut, walau pun pada mulanya orang-orang Pahang berjaya menghidu akan tindakan Hang Tuah, diketuai oleh Tun Jenal. Namun angkatan tentera Pahang terpaksa berpatah balik setelah tiang kapal mereka patah dipanah oleh Hang Tuah. Sesampai di Melaka, Tun Teja diarak dengan gajah ke balairung seri istana Melaka. Tun Teja terperanjat kerana dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah, walhal kedatangannya ke Melaka adalah untuk mengahwini Hang Tuah. Namun setelah diberi sirih jampi oleh Hang Tuah, Tun Teja melupakan Hang Tuah dan akhirnya mengahwini Sultan Melaka, manakala Hang Tuah telah diampuni oleh Sultan Melaka dan dijadikan Laksamana.

    Megat Panji Alam yang amat marah dengan kejadian yang menimpa tunangannya, telah mengambil keputusan untuk menyerang Melaka bersama 4000 tentera namun beliau singgah di Pahang untuk mengadap Sultan Pahang. Namun beliau dibunuh oleh Hang Jebat dan Hang Kasturi yang telah diarahkan oleh Hang Tuah yang telah dapat menghidu tindakan Megat Panji Alam. Sultan Pahang yang murka kerana gagal menjalinkan hubungan dengan Terengganu, telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap keluarga Tun Teja.

    Penangan Mama Toman Oleh Zulhilmi Hat

    hilmi@bharian.com.my
    Aksi Erwan tawan ikan raksasa Tasik Biru tarik perhatian pengunjung

    JERITAN kuat tanpa segan silu pemancing, Erwan Erzal, menggemparkan pengunjung yang berkelah dan mandi-manda dekat Tasik Biru, Sungai Buloh, baru-baru ini.
    Pada insiden itu, gelagat spontan Erwan menarik perhatian dek sesekali terpaksa mengundur dan mara ke depan melawan asakan seekor ikan dipercayai bersaiz besar di dasar tasik berkenaan.

    Namun, selepas selesai aksi tarik menarik itu, orang ramai menghela nafas lega kerana Erwan rupa-rupanya berjaya melawan kudrat seekor toman sebesar budak yang beratnya lebih 15 kilogram.

    Bagi Erwan, kepuasan menaikkan ikan itu bertambah apabila dipuji pengunjung tasik yang rata-ratanya pertama kali melihat aksi hebat pemancing menaikkan ikan toman bersaiz besar di depan mata.

    Malah, ada pengunjung menghamburkan pujian sambil mengakui terpukau dengan aksi itu yang sebelum ini hanya dapat disaksikan dalam rancangan dokumentari siri Animal Planet seperti River Monsters dan Hooked!

    Erwan yang ditemui penulis untuk mendengar kisah bagaimana beliau berjaya mendaratkan ikan toman bersaiz raksasa di tasik yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Sungai Buloh itu berkata, rancangan memancing ibu toman atau mama toman ini sudah dirancang sejak dua bulan lalu.
    Beliau berkata, ketika itu, beliau hanya ternampak kelibat ibu toman dan anak-anaknya bermain di tengah tasik. Menurutnya, keadaan itu berterusan hingga beberapa minggu selepas itu apabila kumpulan anak beranak ini dilihat ‘bermain’ tidak jauh dari tebing.

    “Apabila melihat keadaan itu, saya cepat-cepat membaling gewang selaman dalam ke arahnya. Kumpulan ikan ini tidak mengendahkan langsung dan melarikan diri ke tengah tasik semula.

    “Pada keesokan harinya, saya datang lagi ke tempat sama pada waktu petang dan kumpulan ini timbul di bawah pokok. Balingan pertama menggunakan gewang permukaan terus disambut dan tidak sempat karauan dibuat, ibu toman yang dipercayai menyerang gewang dihulurkan, membenamkan diri dan terlucut,” katanya.

    Erwan menambah, selang seminggu selepas itu, toman tidak melayan langsung gewang dihulurkannya walaupun sudah mencuba habis pelbagai jenis gewang di dalam kotak simpanannya.

    “Saya berhenti memburu ikan ini selama seminggu selepas itu dan menganggap, ibu toman semakin culas kepada benda asing yang sering mengganggunya atau sakit mulut selepas terkena mata kail gewang sebelum ini.

    “Dalam pada itu, saya sering meninjau tasik ini untuk melihat sejauh mana ikan ini bergerak dalam tasik yang dahulunya bekas kuari pasir,” katanya.

    Pada 30 Jun lalu, kira-kira jam 6.30 petang selepas pulang dari kerja, Erwan sempat singgah di lokasi sama untuk meninjau aktiviti ibu toman dan anak-anaknya.

    “Selepas mendapati ibu toman tidak jauh dari tebing, saya bergegas membaling gewang jenis permukaan ke arah kumpulan ikan terbabit. Gewang Yozuri Sashimi aksi permukaan di karau melalui ibu toman terus disergapnya.

    “Berdesit-desit tali keluar dari kekili menegak Shimano Conquest 101 yang dipadankan Joran Major Craft Slicer apabila menahan asakan padu ibu toman yang cuba melarikan diri ke arah reba kayu di bawah pokok.

    “Melihat keadaan itu, saya terus mengetatkan drag pada awal. Cara itu bagaimanapun masih tidak dapat menahan kudrat ibu toman yang masih membawa tali keluar.” katanya.

    Tambah Erwan lagi, beliau kemudian berlari ke tempat lapang untuk mengekang toman melarikan diri ke reba kayu semula.

    “Ibu toman terasa dirinya dipaksa ke tempat lapang dan beberapa kali dilihat melompat sambil menggelengkan kepala untuk membuang gewang tertancap di mulut. Selepas menahan asakan kira-kira 25 minit, akhirnya ibu toman dengan anggaran berat 10 kilogram berjaya didaratkan dengan selamat,” katanya.

    Erwan menambah, pengunjung yang melihat aksi pertarungan bertepuk kegembiraan lalu mengucapkan tahniah kepadanya.

    “Selepas puas bergambar kenangan dengan ibu toman, saya melepaskannya kembali ke dalam tasik untuk bersama anaknya semula.

    “Bagi saya, kaedah tangkap dan lepas penting untuk membiakkan generasi ikan ini supaya saya boleh memancing lagi pada masa depan,” katanya.

    ‘Wang bukan penentu kemenangan’

    2011/08/07

    Ferguson lancar perang psikologi terhadap Mancini menjelang pertemuan Perisai Komuniti

    LONDON: Pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson terus menyalakan perang psikologi sebelum pertembungan Perisai Komuniti bertemu Manchester City, malam ini dengan memberi amaran kepada seteru jirannya itu betapa kekuatan dana besar bukan jaminan kejayaan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

    Ferguson sebelum ini tidak mengambil pusing ketika City diambil alih pemilik kaya raya dari Abu Dhabi dan berjaya memikat nama-nama besar tiga tahun lalu sambil menamakannya “jiran bising” namun kemudian bertukar nada menyebut skuad dimiliki Roberto Mancini ketika ini adalah satu ancaman besar.
    Dan Ferguson bagaikan sudah mulai panas sebelum pertembungan pembuka tirai tradisi musim ini bermula dengan menyatakan peringatan keras betapa wang besar bukan penentu betapa hadiah utama, menjulang kejuaraan liga akan menyusul.

    “Kami menghadapi situasi sama setiap tahun di mana kelab di sekeliling kami membeli pemain dan itulah bagaimana kamu melihat betapa pentingnya menjuarai liga hari ini,” kata Ferguson. “Chelsea mempunyai kekuatan wang untuk membeli ketika Jose Mourinho hadir buat pertama kali dan kami menerima cabaran itu.

    “Untuk memenangi liga di England amat sukar. Jika kamu melihat kepada Liga Perdana, kamu akan melihat enam pasukan bersaing untuk empat teratas. Saya fikir 84 mata sudah cukup menjuarai liga. Kami memiliki jumlah lebih rendah musim lalu namun kamu harus memikirkan peningkatan persaingan.”

    Mancini juga ingin melancarkan perang sama ke atas United, namun dia percaya skuadnya masih belum memiliki kekuatan bersaing dengan barisan dimiliki Ferguson untuk tempoh sembilan bulan berikut.

    Ketika City membelanjakan 51 juta pound (RM251.5 juta) untuk memikat Sergio Aguero, Gael Clichy dan Stefan Savic, United turut mengeluarkan dana 50 juta pound (RM 246.5 juta) untuk mendapatkan David De Gea, Ashley Young dan Phil Jones. - AFP

    Hentikan badi Kejohanan Dunia

    Oleh Hussain Said

    2011/08/07

    pix_gal0
    Chong Wei jadi tumpuan untuk akhiri ‘sumpahan’

    ESOK, Kejohanan Badminton Dunia akan disingkap tirainya dengan Wembley menjadi medan pertarungan yang menyaksikan barisan Tanah Tumpahnya Darahku diterajui jaguh perseorangan, Lee Chong Wei akan cuba menamatkan badi memenangi mahkota kejuaraan berprestij itu.

    Entah mengapa kejohanan yang diperkenalkan pertama kali pada 1977 di Malmo, Sweden itu bagai badi kepada barisan pemain negara kerana hingga hari ini belum ada di kalangan jaguh negara yang mampu bergelar juara dunia walaupun mereka memiliki reputasi hebat, termasuk menduduki ranking pemain nombor satu dunia.
    Sebaliknya, Malaysia yang menjadi antara gergasi badminton dunia hanya mampu bermegah dengan pingat perak dan gangsa tatkala gergasi lain seperti China, Indonesia, Denmark dan Korea Selatan sudah mengecapi nikmat memenangi mahkota kejuaraan berprestij itu.

    Justeru, harapan menggunung sekali lagi disandarkan kepada Chong Wei dan rakan-rakannya untuk cuba menamatkan badi itu sekali gus menceriakan kembali semula seluruh negara yang tampak masih ‘berkabung’ menangisi kegagalan skuad Harimau Malaya melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

    Pengalaman tewas dalam lima percubaan sebelum ini harus menjadi pengajaran berguna kepada pemain nombor satu dunia itu untuk menangani cabaran kali ini, apa lagi, pemain berusia 29 tahun itu kini berada di tahap prestasi terbaik dengan mengungguli lima daripada enam kejuaraan musim ini.

    Malah, Chong Wei bukan setakat menjadi sandaran Malaysia, tetapi menggalas harapan tinggi seluruh dunia untuk menyekat pasukan Naga Merah – China – daripada menyapu bersih kesemua lima gelaran sekali lagi seperti tahun lalu dalam kejuaraan di Paris.

    Jadi, ayuh Chong Wei dan rakan-rakan, jangan sekali lagi memberi impian palsu kepada seluruh negara, sebaliknya buktikan mampu menamatkan kemarau panjang negara dengan menakluk kejohanan berprestij itu kali ini!
    JUARA PERSEORANGAN LELAKI
    • 1977: Flemming Delfs (DEN)
    • 1980: Rudy Hartono (INA)
    • 1983: Icuk Sugiarto (INA)
    • 1985: Han Jian (CHN)
    • 1987: Yang Yang (CHN)
    • 1989: Yang Yang (CHN)
    • 1991: Zhao Jianhua (CHN)
    • 1993: Joko Suprianto (INA)
    • 1995: Heryanto Arbi (INA)
    • 1997: Peter Rasmussen (DEN)
    • 1999: Sun Jun (CHN)
    • 2001: Hendrawan (INA)
    • 2003: Xia Xuanze (CHN)
    • 2005: Taufik Hidayat (INA)
    • 2006: Lin Dan (CHN)
    • 2007: Lin Dan (CHN)
    • 2009: Lin Dan (CHN)