Translate

Tajaan

Selasa, 23 Ogos 2011

Buah tangan terakhir Seri Bayu

PORT DICKSON: “Ayah (Seri Bayu) sempat menghasilkan sebuah lagu berjudul ‘Sebelum Aku Pergi’ untuk saya,” kata penyanyi remaja, Nazira Abdul Ghani, ketika ditemui pada majlis pengebumian komposer dan penulis lirik terkenal itu.

Nazira yang juga anak angkat kepada Seri Bayu berkata, dia mengenali arwah ketika menyertai pertandingan karaoke di Tasik Idaman, Bangi, Selangor, empat bulan lalu.


“Saya disapa arwah ayah yang turut menyaksikan pertandingan itu. Dia menyatakan kagum dengan suara saya, malah berjanji menggilap saya menjadi penyanyi popular,” kata anak bongsu lima beradik itu.

Menurutnya, arwah ayah angkatnya itu meminta untuk tinggal bersama keluarganya di Kampung Teluk Pelanduk, di sini, dengan alasan suka dengan suasana kampung dan mudah mendapat ilham mencipta lagu.


Nazira berkata, arwah seperti dapat menjangka hayatnya tidak lama apabila begitu tergesa-gesa menyiapkan lagu untuk rakaman album.


“Ketika keluarga saya dan arwah ke Shah Alam berjumpa seorang komposer lagi bagi pembikinan video klip lagu Sebelum Aku Pergi, dia beria-ia minta disiapkan pada Mei, apabila ditanya kenapa tidak bulan April, dia hanya tersenyum saja. “Rupa-rupanya arwah seperti mengetahui ajalnya dan tidak mahu albumnya disiapkan dalam tempoh berpantang 44 hari,” katanya.

Kelmarin, komposer dan penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Port Dickson di sini, kira-kira jam 8.30 malam akibat penyakit saraf motoneuron dihidapinya sejak 2004 lalu.


Isterinya yang juga seorang penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 27, atau Erema, turut kelihatan walaupun sebelum ini rumah tangga mereka bermasalah dan kes itu masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Saya masih sah isteri arwah dan reda dengan pemergiannya,” kata Erema yang mengetahui berita kematian suaminya itu kira-kira jam 9 malam kelmarin.


“Kali terakhir berjumpa arwah ketika hadir perbicaraan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Ogos lalu. Namun, kami kerap berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar antara satu sama lain,” kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu.


Jenazah Seri Bayu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Pelanduk, di sini, semalam kira-kira jam 2 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan