Translate

Tajaan

Ahad, 7 Ogos 2011

Penangan Mama Toman Oleh Zulhilmi Hat

hilmi@bharian.com.my
Aksi Erwan tawan ikan raksasa Tasik Biru tarik perhatian pengunjung

JERITAN kuat tanpa segan silu pemancing, Erwan Erzal, menggemparkan pengunjung yang berkelah dan mandi-manda dekat Tasik Biru, Sungai Buloh, baru-baru ini.
Pada insiden itu, gelagat spontan Erwan menarik perhatian dek sesekali terpaksa mengundur dan mara ke depan melawan asakan seekor ikan dipercayai bersaiz besar di dasar tasik berkenaan.

Namun, selepas selesai aksi tarik menarik itu, orang ramai menghela nafas lega kerana Erwan rupa-rupanya berjaya melawan kudrat seekor toman sebesar budak yang beratnya lebih 15 kilogram.

Bagi Erwan, kepuasan menaikkan ikan itu bertambah apabila dipuji pengunjung tasik yang rata-ratanya pertama kali melihat aksi hebat pemancing menaikkan ikan toman bersaiz besar di depan mata.

Malah, ada pengunjung menghamburkan pujian sambil mengakui terpukau dengan aksi itu yang sebelum ini hanya dapat disaksikan dalam rancangan dokumentari siri Animal Planet seperti River Monsters dan Hooked!

Erwan yang ditemui penulis untuk mendengar kisah bagaimana beliau berjaya mendaratkan ikan toman bersaiz raksasa di tasik yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan Sungai Buloh itu berkata, rancangan memancing ibu toman atau mama toman ini sudah dirancang sejak dua bulan lalu.
Beliau berkata, ketika itu, beliau hanya ternampak kelibat ibu toman dan anak-anaknya bermain di tengah tasik. Menurutnya, keadaan itu berterusan hingga beberapa minggu selepas itu apabila kumpulan anak beranak ini dilihat ‘bermain’ tidak jauh dari tebing.

“Apabila melihat keadaan itu, saya cepat-cepat membaling gewang selaman dalam ke arahnya. Kumpulan ikan ini tidak mengendahkan langsung dan melarikan diri ke tengah tasik semula.

“Pada keesokan harinya, saya datang lagi ke tempat sama pada waktu petang dan kumpulan ini timbul di bawah pokok. Balingan pertama menggunakan gewang permukaan terus disambut dan tidak sempat karauan dibuat, ibu toman yang dipercayai menyerang gewang dihulurkan, membenamkan diri dan terlucut,” katanya.

Erwan menambah, selang seminggu selepas itu, toman tidak melayan langsung gewang dihulurkannya walaupun sudah mencuba habis pelbagai jenis gewang di dalam kotak simpanannya.

“Saya berhenti memburu ikan ini selama seminggu selepas itu dan menganggap, ibu toman semakin culas kepada benda asing yang sering mengganggunya atau sakit mulut selepas terkena mata kail gewang sebelum ini.

“Dalam pada itu, saya sering meninjau tasik ini untuk melihat sejauh mana ikan ini bergerak dalam tasik yang dahulunya bekas kuari pasir,” katanya.

Pada 30 Jun lalu, kira-kira jam 6.30 petang selepas pulang dari kerja, Erwan sempat singgah di lokasi sama untuk meninjau aktiviti ibu toman dan anak-anaknya.

“Selepas mendapati ibu toman tidak jauh dari tebing, saya bergegas membaling gewang jenis permukaan ke arah kumpulan ikan terbabit. Gewang Yozuri Sashimi aksi permukaan di karau melalui ibu toman terus disergapnya.

“Berdesit-desit tali keluar dari kekili menegak Shimano Conquest 101 yang dipadankan Joran Major Craft Slicer apabila menahan asakan padu ibu toman yang cuba melarikan diri ke arah reba kayu di bawah pokok.

“Melihat keadaan itu, saya terus mengetatkan drag pada awal. Cara itu bagaimanapun masih tidak dapat menahan kudrat ibu toman yang masih membawa tali keluar.” katanya.

Tambah Erwan lagi, beliau kemudian berlari ke tempat lapang untuk mengekang toman melarikan diri ke reba kayu semula.

“Ibu toman terasa dirinya dipaksa ke tempat lapang dan beberapa kali dilihat melompat sambil menggelengkan kepala untuk membuang gewang tertancap di mulut. Selepas menahan asakan kira-kira 25 minit, akhirnya ibu toman dengan anggaran berat 10 kilogram berjaya didaratkan dengan selamat,” katanya.

Erwan menambah, pengunjung yang melihat aksi pertarungan bertepuk kegembiraan lalu mengucapkan tahniah kepadanya.

“Selepas puas bergambar kenangan dengan ibu toman, saya melepaskannya kembali ke dalam tasik untuk bersama anaknya semula.

“Bagi saya, kaedah tangkap dan lepas penting untuk membiakkan generasi ikan ini supaya saya boleh memancing lagi pada masa depan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan