Translate

Tajaan

Rabu, 3 Mac 2010

Kemeriahan festival Elvis


SEBUAH keluarga tampil dengan gaya tersendiri cuba menyerupai penampilan keluarga Elvis bersama isteri, Priscilla dan anak mereka, Lisa Marie.


DI sebalik kemeja dan seluar panjangnya yang ketat di paha, Gnarnayarrahe Inmurry Waitairie basah dengan keringat di bawah terik panas di bumi Kanggaru. Lengkap dengan penampilan ala Raja Rock n Roll, Elvis Presley, lelaki itu turut mengenakan rambut palsu berwarna hitam berkilauan.

Sambil mengendong sebuah gitar di atas bahunya, Waitaire membawa bersama sekeping pas rasmi untuk membuat persembahan. Lelaki itu cuba membetulkan kedudukan cermin mata hitam dan menarik tali gitarnya. Lalu, dia bersedia menggoncang-goncangkan tubuh dan menari ala idola muzik Amerika Syarikat (AS) itu.

"Elvis boleh jadi sesiapa sahaja kerana dia mampu mencairkan hati anda.

"Penduduk asal tidak ada idola seperti Elvis. Jadi, saya datang ke sini untuk menjadi Elvis. Saya ialah Elvis Hitam," kata Waitairie, 67.

Waitairie merupakan seorang penari Orang Asli yang berasal dari Yindjibarndi di barat Australia. Demi menjadi sebahagian daripada kemeriahan sambutan hari jadi terbesar Elvis di Australia baru-baru ini, dia sanggup menukarkan penampilannya.

Ketika peminat-peminat setia di kota Memphis, AS menyambut ulang tahun ke-75 Raja Rock n Roll itu, ribuan pengunjung tertumpu di pekan Parkes, Australia untuk aktiviti tahunan, Festival Elvis. Pekan Parkes yang kering-kontang dan kecil itu hanya terletak 300 kilometer dari barat Sydney.

Segala-galanya bermula dua dekad lalu sebagai satu impian kecil pasangan, Bob dan Anne Steel. Pasangan tersebut mengendalikan sebuah pusat penyambut tetamu bertemakan retro, Gracelands. Mereka nekad untuk menghidupkan suasana musim panas di pekan yang terkenal dengan aktiviti perlombongan dan perladangan itu.

Ikon muzik

"Kami berharap penganjuran satu festival pada bulan Januari boleh merancakkan aktiviti perniagaan di pekan ini. Saya rasa mesti ramai yang bersorak gembira sekarang.


TREN dari Sydney ke Parkes pada hari ulang tahun kelahiran Elvis Presley kini dikenali sebagai Elvis Ekspres.


"Kebanyakan orang nampak impaknya ke atas ekonomi dan kami juga memerlukan impak seperti itu," kata Steel.

Parkes yang dihuni oleh golongan petani dan pelombong itu jauh sekali dijangka menjadi lokasi untuk memberi penghormatan kepada seorang ikon muzik terkemuka seperti Elvis.

Sebelum ini, populariti pekan itu hanya bersandarkan pada sebuah teleskop radio, The Dish.

Teleskop itu telah digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) untuk menerima imej-imej pendaratan Apollo 11 di bulan pada 1969.

Namun daripada sebuah karnival pekan yang kecil, Festival Elvis Parkes kini menjadi acara tahunan.

Karnival yang hanya dihadiri oleh 200 orang pengunjung pada 1993, kini berjaya menarik lebih 10,000 orang pelawat tahun ini. Festival itu juga berjaya menjana pendapatan tambahan bernilai RM15.66 juta kepada ekonomi tempatan.

Ratusan pengunjung bersesak dalam tren, Elvis Ekspres, untuk menuju ke Parkes dari Sydney. Lengkap dengan penampilan retro, para pengunjung bersorak gembira dengan iringan muzik dan tarian buat seorang ikon legenda.

Peminat-peminat fanatik bersesak-sesak di jalanan untuk membuat persembahan. Sesetengah pula berusaha untuk menarik perhatian juri-juri dalam pertandingan meniru Elvis.

Selain itu, terdapat pelbagai acara menarik lain seperti peraduan Idola Elvis, perjumpaan keagamaan beramai-ramai dan sebuah istana raja khas untuk menyimpan sejumlah besar koleksi barangan Elvis.


MENIRU gaya Elvis antara aktiviti yang diadakan sempena Festival Elvis.


Waitairie yang menjelajah sejauh 600 kilometer untuk mengambil bahagian dalam festival itu, berharap menjuarai persembahan jalanan. Dia juga berhasrat memperbaharui ikrar perkahwinannya dalam majlis Back to the Altar with Elvis secara beramai-ramai di taman tersebut.

"Elvis adalah simbol kasih sayang dan keharmonian. Sejak saya berusia 14 tahun saya sudah menyukai sisi Elvis," katanya.

Seorang peserta pertandingan meniru Elvis, Graeme Mackaway memberitahu, dia telah empat kali menggunakan perkhidmatan tren Elvis Express untuk ke Parkes.

"Setiap tahun, bilangan pengunjung yang datang semakin ramai dan perjalanannya juga dirasai kian lama," tambah pengarah sebuah syarikat swasta itu.

Dalam tempoh lima hari, festival tersebut berjaya meningkatkan jumlah pendapatan tahunan sektor perlancongan. Ini sekali gus menjadikannya sumber pendapatan ketiga terbesar selepas sektor pertanian dan perlombongan.

Di Parkes, kebanyakan bilik hotel telah ditempah setahun lebih awal. Di sekitar kawasan bandar, khemah-khemah didirikan di merata-rata tempat. Pihak berkuasa memberitahu, pengunjung yang hadir setiap tahun terdiri daripada golongan muda.

Tambah Steel, apa yang bermula sebagai satu idea kecil dua peminat fanatik Elvis kini bertukar menjadi sambutan besar-besaran untuk budaya rock 1960-an. Lebih penting lagi, ia menyatukan gaya hidup kedua-dua masyarakat bandar dan luar bandar.

"Saya telah menjadi peminat Elvis sejak berusia 11 tahun. Sekarang, saya sudah pun masuk 66 tahun. Hari ini, anda tidak semestinya perlu menjadi peminat Elvis untuk berada di sini," katanya. - AFP

Kosmo!

Gelengg@ng:

Elvis, Michael, P Ramlee, Sudirman tak pasti siapa lagi yang akan muncul sebagai lagenda seniman.

Jika dulu Mawi disebut-sebut sebagai seniman yang penuh dengan aura, nampaknya sekarang semakin sepi. Apek sekadar pelawak, Nabil jika tak pandai menjaga disiplin diri pasti akan di pinggir peminat. Siapa lagi nampaknya. Apakah Raja Lawak Adlan akan menjadi lagenda.

Mr Bean juga boleh dikatakan ada peminatnya tersendiri. Di Malaysia siapa agaknya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan