Translate

Tajaan

Isnin, 1 Mac 2010

Derita saya silih berganti

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/03/01

SUNGAI BULOH: “Saya sudah banyak melakukan kesilapan, kalau boleh saya nak minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ambillah saya, jagalah saya dan anak-anak saya...saya minta tolong sangat,” kata Nurhanim Aziz, 25, tersedu-sedu.

Ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun, Syafia Humairah yang mati didera dalam kejadian di Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, Khamis lalu itu mengharapkan JKM membantu dia dan dua lagi anaknya ditempatkan di rumah kebajikan untuk menjalani pemulihan, kaunseling dan perlindungan bagi memulakan hidup baru.

Dia yang ditemui di rumah keluarganya di Batu 16 1/2, Sungai Plong di sini, berkata dia kini trauma untuk meneruskan hidup dengan kejadian menimpa anak perempuannya itu.

Katanya, dia tidak sanggup lagi hidup menderita kerana terpaksa berdepan satu demi satu cabaran dalam hidup bermula dengan penahanan suaminya, Sahari Usol, 33, di Penjara Sungai Buloh sejak 2006 kerana kesalahan jenayah dan kini kehilangan anak tersayang. Menceritakan pengalaman hidupnya, Nurhanim berkata selepas suami dipenjarakan, dia yang sebelum itu suri rumah sepenuh masa terpaksa bekerja sebagai jurujual di pusat beli-belah di ibu negara bagi menyara tiga anaknya dan pada masa sama berdepan pandangan serong masyarakat kerana bersuamikan banduan.

“Saya masih muda...suami pula ditahan (di penjara) menyebabkan saya hidup menderita. (Kemudian) teman lelaki (suspek) hadir dalam hidup untuk membantu dan menjaga saya sehingga kami merancang untuk berkahwin tetapi suami tidak mahu melepaskan saya. “Pada masa itu, saya tidak tahu kepada siapa hendak mengadu dan meminta tolong, sekarang (kematian anak akibat didera) banyak pihak menyalahkan saya sedangkan ketika menderita tiada siapa yang ambil tahu,” katanya yang turut mengaku serik untuk menerima mana-mana lelaki lagi dalam hidupnya. Dia turut dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Anak keduanya, Syafia Humairah, 3, mati dengan kesan luka di muka dan perut, dipercayai didera teman lelaki Nurhanim di kediaman suspek di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam Khamis lalu. Mangsa dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga cedera parah pada tubuh selain luka di muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan. Syafia meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) ketika dibawa suspek sebelum ditinggalkan di wad kecemasan. Suspek mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya. Bagaimanapun, pihak hospital mengesyaki berlaku penderaan terhadap mangsa selepas menemui banyak kesan luka dan lebam pada tubuh kanak-kanak itu sebelum polis menahan suspek yang mengaku mencederakan Syafia. Sementara itu, Shahrizat berkata, kementeriannya melalui JKM sedia membantu menempatkan Nurhanim dan dua lagi anaknya di rumah kebajikan bagi mendapatkan perlindungan dan pemulihan untuk memulakan hidup baru selepas trauma dengan kejadian menimpa anaknya. Nurhanim berkata, sejak berkenalan dengan teman lelakinya itu, lelaki berkenaan menunjukkan sikap mengambil berat terhadap anak-anaknya termasuk Syafia dan sering membawanya keluar makan bersama sertamembeli pakaian baru untuknya. Namun, Nurhanim tidak menyangka hubungan rapat itu akhirnya bertukar tragedi yang menyebabkan dia kehilangan seorang anak yang pintar, lebih menyedihkan melihat jenazah Syafia dalam keadaan sadis.

“Sebelum ini saya pernah melihat ada kesan luka dan lebam pada badan Syafia tetapi bila saya tanya pada arwah, dia cuma kata terjatuh ketika bermain di luar rumah. Saya tidak menyangka sebenarnya perbuatan itu dilakukan teman lelaki.

“Saya sekarang sentiasa teringatkan arwah...nak melelapkan mata pun nampak wajah arwah. Beberapa hari sebelum meninggal dunia, dia ada membuat permintaan supaya saya memakai tudung,” katanya.


Nurhanim berkata, pada hari kejadian, dia sedang bekerja dan menerima panggilan telefon daripada teman lelakinya yang memberitahu Syafia meninggal dunia akibat terjatuh dari motosikal menyebabkannya terkejut dan bergegas ke HKKB. “Tak sangka rupa-rupanya anak saya tidak terbabit dalam kemalangan, tetapi dipukul dan didera sehingga meninggal dunia,” katanya.

Ditanya mengenai laporan media sebelum ini yang mengatakan dia mengandung empat bulan hasil hubungan dengan teman lelakinya itu, Nurhanim menafikan kenyataan itu.

MyMetro

2 ulasan:

  1. binatang tuu ..bukan manusia ... patut hukum bunuh ke manusia binatang macam tu kann ...

    BalasPadam
  2. Sdr Jijahh,

    jika kita amati kisah ini, ura-uranya Nurhanim telah pun menjalinkan hubungan dengan lelaki ini sebelum suaminya di penjara.. suaminya pun dipenjara kerana membunuh...

    banyak yang kita tak tahu kisah sebenarnya... tetapi dari telahan kita dari jauh masalah ini mengingatkan betapa jika keruntuhan akhlak atau moral itu tidak lagi dapat dibendung... segala kekalutan terbiasa akan berlaku...

    sukar buat kita memikirkan bagaimana mahu mengembalikan nilai damai & bahagianya keluarga Islam bila telah rosak begini...

    BalasPadam